Anda di halaman 1dari 11

Nota Kerajaan Fatimiyyah

Gerakan Golongan Syiah

Kerajaan Fatimiyah lahir di waktu Kerajaan Abbasiyah menempuh zaman kegelapannya.


Nama Fatimiyah diambil bersempena dengan nama Fatimah puteri Rasulullah dan isteri kepada
Sayyidina Ali bin Abu Talib, Khalifah ar-Rasyidin yang keempat. Kerajaan ini dibangunkan oleh
Ubaidullah Al-Syi'i untuk menegakkan kedaulatan generasi Ali yang lebih terkenal dengan nama
golongan Syiah. Mereka ini berkeyakinan bahawa jawatan khalifah hanya untuk keturunan Ali sahaja.
Khalifah ar-Rasyidin, Khalifah Bani Umayyah dan Khalifah Bani Abbasiyah telah mencabul dan
merampas hak mereka sebagai khalifah.

Kejatuhan kerajaan Umayyah yang berpusat di Damsyik pada tahun 750 Masihi adalah hasil
daripada gerakan bawah tanah yang telah diusahakan bersama oleh golongan Abbasiyah dan golongan
Syiah. Orang Syiah tidak benasib baik dengan kejatuhan itu. Hasil usaha mereka telah digunakan oleh
golongan Abbasiyah untuk menubuhkan kerajaan mereka yang berpusat di Iraq. Orang Syiah
semuanya dijadikan musuh yang ketat dan terpaksa ditindas menyebabkan mereka menanggung derita
dan malapetaka yang sangat dahsyat. Pengikut-pengikutnya berselerak di sana sini mencari bumi yang
subur tempat menyemaikan fahaman Syiah untuk menegakkan kerajaan mereka.

Setelah sekian lama mereka hidup terdesak dan bertaburan di sana sini, maka pada akhirnya
mereka berjaya juga mendapatkan tapak perjuangan di Maghribi (Morocco). Hal ini ialah kerana
usaha yang bersungguh-sungguh dan bijaksana dari pendakyah (Mubaligh) mereka yang bernama
Ubaidullah al-Syi'i dari keturunan Fatimah anak Rasulullah (namun nasab keturunan mereka
disandarkan kepada keturunan Fatimah diragukan oleh para ulama Ahlussunnah seperti Imam as-
Suyuthi). Kerajaan ini berpunca dari kebencian penduduk daerah itu kepada gabenor-gabenor Bani
Abbas yang membebankan mereka dengan cukai-cukai yang berat. Apatah lagi daerah itu terletak
jauh dari pusat pemerintahan Abbasiyah di Baghdad.

Perkembangan fahaman Syiah pada akhirnya lahirlah apa yang dikatakan kerajaan Fatimiyah
pada tahun 909 Masihi bersamaan dengan tahun 297 Hijrah. Setelah berjaya mengalahkan kerajaan
Bani Aghlab di Tunisia, Abu Ubaidullah (nama sebenar Abu Muhammad Abdullah -Ubaidullah- al-
Mahdi billah) telah ditabalkan sebagai khalifah yang pertama dan kota Tunisia dirasmikan sebagai
pusat pemerintahan dan pentadbiran mereka. Dari sini pengaruh dan kekuasaan Syiah meluas ke utara
Afrika sehingga hampir sekalian kabilah-kabilah yang mendiami daerah itu tertakluk di bawah
kekuasaannya. Beberapa kali dia mencuba hendak menakluki Mesir tetapi tidak berjaya hingga dia
wafat pada tahun 323 Hijrah (935 Masihi).

Peta wilayah kekuasaan kerajaan Syiah Fatimiyah

2. Kelahiran Kerajaan Syiah Fatimiyah Di Mesir


Setelah beberapa lama kemudian, iaitu di zaman pemerintahan al-Muizzul Lidinillah (342 - 365
Hijrah), cucu Ubaidullah pengasas kerajaan tersebut, lahir seorang panglima yang gagah berani
bernama Jawahar al-Siqili yang berasal dari Sicily. Dengan keberaniannya beliau telah berjaya
mengepalai satu angkatan tentera dan menyerang negeri Mesir. Pada tahun 355 Hijrah, beliau
menguasai negeri Mesir setelah melalui beberapa pertempuran yang kecil. Sebagai lambang
kemenangan, beliau mendirikan ibu kota yang baru yang bernama al-Qahirah yang beerti Gagah
Perkasa.

Faktor utama kejayaan kerajaan Fatimiyah di negeri Mesir ialah kerana pada waktu itu Mesir
dalam keadaan huru hara oleh kelemahan Khalifah Bani Abbas yang telah ditekan oleh panglima-
panglima bangsa Turki di Baghdad. Kelemahan ini berkesan secara langsung kepada kelemahan
gabenor-gabenor, panglima-panglima tentera dan pegawai-pegawai pentadbiran yang memerintah di
wilayah-wilayah takluknya termasuk negeri Mesir sendiri. Sebelum ini pemerintahan negeri Mesir
mewah dan makmur di bawah pemerintahan kerajaan Touloniyah yang diasaskan oleh Ahmad Toulon
(245-292 Hijrah / 868-905 Masihi). Walaupun pada awalnya Ahmad bin Toulon dihantar oleh
pemerintahan Abbasiyah ke Mesir untuk menjadi gabenor Abbasiyah di sana,tetapi beliau telah
membebaskan diri dari kerajaan pusat di Baghdad dan mengisytiharkan kerajaan Touloniyah di Mesir.
Tetapi kerajaan Touloniyah dapat dirampas kembali oleh Khalifah Abbasiyah al-Muktafi.

Bab al-Futuh, Tinggalan pintu kota Dinasti Fatimiyah di Kaherah, Mesir

Dalam saat yang genting inilah maka orang Syiah yang berpusat di Tunisia merebut peluang
menakluki negeri Mesir untuk dijadikan pusat penyiaran fahaman mereka dan untuk dijadikan
pengkalan melancarkan dakwah dan pengaruh ke negeri-negeri sebelah timur, kerana negeri Mesir
adalah berhampiran dengan kota-kota Islam yang besar seperti Madinah, Damsyik dan Baghdad
sendiri. Pemerintahan Abbasiyah di Mesir tidak dapat mempertahankan kedudukan mereka kerana
tentera Abbasiyah waktu itu terpaksa menghadapi angkatan perang Byzantine yang sedang memasuki
wilayah-wilayah Abbasiyah yang lain.

3. Kemajuan Kerajaan Fatimiyah

Selama lebih kurang 240 tahun kerajaan Fatimiyah memerintah negeri Mesir dan negeri-negeri
di sekitarnya yang meluas dari lautan Atlantik di Barat dan Laut Merah di Timur dengan seramai tiga
belas orang khalifah yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan tersebut, terdapat begitu banyak
kemajuan dan pembangunan negara yang dapat menandingi kerajaan Abbasiyah di Baghdad dalam
bidang ketenteraan, ekonomi, pendidikan, kesenian dan lain-lain lagi.

Dalam bidang ketenteraan misalnya mereka mempunyai angkatan darat dan laut yang kuat.
Khalifah Muiz pernah mendirikan sebuah kilang pembuat kapal. Adalah dianggarkan bahawa
kerajaan ini mempunyai 600 buah kapal perang yang sentiasa melakukan hubungan di antara
pelabuhan-pelabuhan Dimyat, Iskandariah, Uka, Tyrus dan Askalona. Kekuatan ketenteraan ini
membolehkan mereka menguasai seluruh persisiran Afrika Utara, Palestin, Syria, Hijaz, pulau-pulau
di kawasan Laut Mediterranean seperti pulau-pulau Bakaria, Sardania, Corsica, Malta, Sicily dan lain-
lain. Mereka juga berjaya menguasai semenanjung Calabaris, Lembahan Lombardy, Bandar Geno
yang masing-masing di Italy. Mereka juga pernah menguasai beberapa tempat di Sepanyol dan
Perancis. Keadaan ini semua adalah kerana khalifah-khalifah mereka seperti al-Qaim, al-Muiz dan al-
Aziz adalah panglima-panglima perang yang terhandal.

Selain dari itu, khalifah Fatimiyah juga telah memainkan peranan penting dalam ekonomi.
Mereka berusaha menambah dan memperbanyak hasil dan pendapatan negara hingga dapat
menandingi kerajaan Abbasiyah. Mereka berjaya memajukan pertanian, perdagangan dan perusahaan.
Di waktu pemerintahan al-Aziz (365-386 Hijrah / 975-996 Masihi) misalnya, kerajaan ini telah
berjaya menggali beberapa terusan, membuat jambatan-jambatan dan memperbaiki pelabuhan.

Dalam bidang kesenian pula, khalifah Fatimiyah telah berjaya memajukan perusahaan tangan
yang bernilai tinggi seperti bertenun, mengukir dan menyulam dalam pelbagai jenis. Antaranya tikar
permaidani, pakaian, pelana kuda dan lencana-lencana kebesaran dari logam. Khalifah Muiz sendiri
iaitu Khalifah pertama Fatimiyah di Mesir pernah mendirikan mendirikan sebuah kilang tenun tempat
membuat pakaian pegawai-pegawai kerajaan yang digunakan untuk musim panas dan musim sejuk.
Di situ juga dibuat kiswah (kelambu) Kaabah yang megah sekali. Padanya dilukiskan dua belas bulan
sabit daripada emas. Ayat-ayat al-Quran juga ditulis dengan zamrud yang berwarna biru, kemudian
dibungai pula dengan permata-permata yang mahal harganya.

Piring seramik zaman Fatimiyah

Kerana kekayaan negara yang melimpah ruah juga terdapat di zaman pemerintahan Fatimiyah
beberapa istana yang indah-indah, megah dan cantik ukirannya sebagai lambang keindahan kesenian
pada waktu itu yang masih dapat dilihat hingga hari ini.

Dalam bidang pendidikan, Khalifah Fatimiyah telah dapat melahirkan satu pusat pendidikan
yang terkenal dengan nama Jami' al-Azhar (Universiti al-Azhar). Nama al-Azhar itu adalah
bersempena dengan nama gelaran bagi nama anak Rasulullah Fatimah al-Zahra. Panglima ulung
mereka yang bernama Jauhar adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan al-azhar itu pada
tahun 359 Hijrah. Walaupun tujuan utama didirikan untuk memperluaskan ajaran Syiah sahaja, tetapi
perkembangan kemudiannya hingga kepada zaman Khalifah al-Aziz, al-Azhar telah bertukar menjadi
pusat pengajian tinggi Islam di mana mahasiswa dari berbagai negeri datang ke situ untuk
mempelajari berbagai ragam ilmu dan kebudayaan. Khalifah al-Aziz seorang pujangga yang
menggemari ilmu pengetahuan memperuntukan harta wakaf secukup-cukupnya untuk membiayai para
pelajar dan mahaguru. Selain daripada itu Khalifah Fatimiyah juga berusaha mendirikan
kutubkhanah-kutubkhanah di sekitar kota Kaherah sebagai tempat mendalami dan membahas
bermacam-macam ilmu pengetahuan selain daripada tempat simpanan buku-buku pelajaran. Di antara
khutubkhanah yang terkenal hingga ke hari ini ialah kutubkhanah Darul Hikmah yang didirikan oleh
Khalifah al-Hakim (996-1020 Masihi).

Masjid al-Azhar, Mesir

Pada zaman pemerintahan Khalifah Fatimiyah ini juga kita dapati banyak perkara baru yang
telah diusahakannya. Usaha-usaha ini adalah untuk menarik hati rakyat. Umpamanya di zaman
pemerintahan al-Aziz (nama sebenar Abu Mansur Nizar al-Aziz billah), beliau memperbanyakkan
anugerah dan hadiah kepada mereka yang patut menerimanya. Beliau juga mengadakan perayaan dan
upacara untuk mengenangkan hari-hari kebesaran Islam. Di hari raya Aidilfitri dan Aidiladha
diadakan jamuan secara besar-besaran. Seluruh rakyat dari berbagai tingkatan dan golongan dijemput
menghadiri jamuan itu. Khalifah Fatimiyah juga mengadakan jamuan dan perayaan-perayaan besar di
hari Maulid Nabi (perayaan Maulid Nabi pertama dalam sejarah umat Islam), di hari kelahiran
Hussein dan Fatimah, di hari kelahiran Khalifah, di beberapa malam Bulan Ramadhan, di permulaan
dan di pertengahan bulan Rejab dan Sya'ban. Di hari-hari perayaan itu masjid-masjid dihias dengan
perhiasan yang indah, gendang-gendang dibunyikan dan ayat-ayat al-Quran dilagukan dengan suara
yang merdu. Di waktu inilah seluruh rakyat diberi peluang mengadap khalifah.

4. Kejatuhan Kerajaan Fatimiyah

Sebelum al-Hakim (386-411 Hijrah / 996-1020 Masihi) menjadi khalifah, kerajaan Fatimiyah
telah sampai kemuncak tamadun dan kemajuan yang boleh dibanggakan. Tetapi apabila tiba sahaja
zaman al-Hakim (nama sebenar Abu Ali al-Mansur al-Hakim bi-Amrullah), keadaan yang penuh
dengan kemajuan berubah kepada zaman kegelapan. Kegelapan dan kemerosotan ini berlaku kerana
politik al-Hakim sudah tidak berperi kemanusiaan lagi. Banyak peraturan yang menekan kehidupan
rakyat terutamanya dari golongan Sunni, Yahudi dan Nasrani telah dilaksanakan. Akibatnya mereka
yang terlibat menanggung penderitaan yang pedih sekali.

Lakaran wajah al-Hakim bi-Amrullah

Selain dari itu, al-Hakim sendiri mendakwa bahawa dirinya mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Ia
menyatakan bahawa Tuhan berada dalam dirinya. Ramai antara rakyat terpengaruh dengan dakwaan
itu dan mendakwa bahawa tangan al-Hakim terletak hidup dan mati seseorang.
Setelah itu khalifah-khalifah yang datang selepasnya terlalu lemah dalam pentadbiran. Mereka
dilantik menjadi khalifah dalam usia muda, dan ada pula yang dilantik dalam usia yang terlalu tua.
Umpamanya pengganti al-Hakim sendiri iaitu al-Zahir (411-427 Hijrah / 1021-1035 Masihi)
dikhalifahkan ketika berusia 16 tahun, manakala penggantinya iaitu al-Mustansir (427-487 Hijrah /
1035-1094 Masihi) diangkat menjadi khalifah pada usia 7 tahun. Keadaan seperti ini telah
menyebabkan pengendalian pemerintahan dimainkan oleh pemangku khalifah atau menterinya.
Akibat daripada itu, lahirlah rasuah dan mementingkan diri sendiri. Contohnya Khalifah al-Mustansir
sendiri merupakan pemerintah yang paling kaya sekali dalam senarai pemerintah Fatimiyah.
Kekayaan itu telah digunakan untuk kepentingan diri sendiri. Beliau menggunakan kekayaannya
untuk membina istana, tempat-tempat hiburan dan berbagai-bagai lagi yang kebanyakannya
merugikan rakyat dan negara.

Hal-hal tersebut telah menggelisahkan rakyat. Akibatnya antara rakyat sesama mereka berpecah
belah. Orang Islam, bukan Islam, penganut-penganut Syiah, Sunni dan Khawarij, masing-masing
bersengketa sesama sendiri. Peristiwa buruk yang sedemikian itu bertambah buruk lagi kerana
timbulnya perbalahan di kalangan tentera Bangsa Sudan yang menjadi tulang belakang kepada
khalifah telah dapat diusir oleh tentera Turki hingga ke Iskandariah. Peluang ini telah digunakan oleh
tentera Turki untuk merampas dan menyamun dalam Kota Kaherah.

Lakaran pertempuran zaman Fatimiyah di Mesir

Di samping itu dalam tahun 1048 Masihi air sungai Nil telah susut mengakibatkan bidang
pertanian terganggu, perbendaharaan negara menjadi kosong dan bahan-bahan makanan berkurangan.
Berikutnya pula penyakit taun telah merebak dan menjadi-jadi dengan hebat sekali. Akibatnya berlaku
pencurian, perompakan dan pembunuhan dengan tidak terkawal lagi. Daerah-daerah takluknya pula
mula memerdekakan diri. Yaman merdeka pada tahun 1081 Masihi dan Pulau Sicily pula pada tahun
1091 Masihi. Dalam keadaan huru hara begini pemerintah yang akhir yang bernama Syawir lari ke
Syria meminta bantuan Sultan Nuruddin Muhammad Zanki. Dewasa itu Perang Salib sedang berlaku
antara orang Islam dan Umat Nasrani Eropah Barat. Akhirnya pemerintahan Mesir telah diambil alih
pula oleh panglima besar Salahuddin al-Ayyubi. Dengan itu tamatlah sejarah kerajaan Syiah
Fatimiyah dan diganti pula kerajaan Ayyubiah di bumi Mesir.

5. Celaan Para Ulama Ahlussunnah Wal Jamaah Terhadap Daulah Syiah Fatimiyah

Para ulama Ahlussunnah tidak menggelarkan kerajaan Syiah ini dengan kerajaan Fatimiyah,
sebaliknya mereka cukup memanggil dengan nama Bani Ubaidiyah sahaja kerana menyandarkan pada
nama pengasasnya iaitu Ubaidullah al-Mahdi Billah. Hal ini adalah kerana penyandaran nasab
Ubaidullah kepada Fatimah binti Ali tidak diiktiraf oleh mereka.

Imam Jalaluddin as-Suyuthi rahimahullah dalam kitabnya Tarikh Khulafa' telah memberikan
nama Daulah Khabitsah (negara busuk) kepada golongan Fatimiyyin. As-Suyuthi berkata, "Aku tidak
mencantumkan seorang pun Khulafa' Ubaidiyyin (Fatimiyah) kerana Imamah mereka tidah sah kerana
beberapa alasan. Di antaranya mereka bukan dari Quraisy. Yang menamakan mereka Fatimiyyin
adalah orang-orang awam yang bodoh. Datuk mereka adalah Majusi. Al-Qadhi Abdul Jabbar al-Basri
berkata, nama datuk para khulafa Misriyin (khalifah Mesir) adalah Sa'id, bapanya adalah orang
Yahudi, seorang pandai besi yang membuat panah."

Simeon I utusan dari Bulgaria berunding dengan Khalifah Ubaidullah al-Mahdi dengan harapan untuk
mewujudkan satu pakatan yang membolehkan kaum Bulgaria menggunakan tentera laut Arab yang
berkuasa.

Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani berkata: "al-Qaddah datuk kepada Ubaidullah yang dijuluki
sebagai al-Mahdi adalah orang Majusi. Ubaidullah masuk ke Maghribi dan dia mengaku bernasab
kepada Ali bin Abi Talib r.a, padahal tidak seorangpun ulama nasab yang mengetahuinya. Orang-
orang bodoh menamakan mereka Fatimiyyin."

Ibnu Khallikan berkata: "Majoriti ahli ilmu tidak mensahihkan nasab al-Mahdi Ubaidullah,
Datuk Khalifah Mesir (al-Ubaidiyyun). Hingga al-Aziz Billah Ibnu al-Muiz (Khalifah Fatimiyah yang
ke-5) pernah naik mimbar pada hari Jumaat di awal pemerintahannya, lalu beliau melihat secarik
kertas di situ yang bertuliskan,

Kami mendengar nasab yang mungkar,


Dibaca di atas mimbar Masjid Jami',
Jika kamu benar dalam apa yang kamu dakwakan,
Maka sebutkan nama bapa setelah bapa ketujuh,
Jika kamu ingin kebenaran apa yang kamu katakan,
Maka sebutkanlah nasabmu kepada kami seperti orang yang taat,
Atau biarkanlah nasab tersembunyi,
Masukkanlah kami ke dalam nasab yang luas,
Sesungguhnya nasab Bani Hasyim,
Tidak dapat diraih dengan ketamakan orang yang tamak.

Al-Aziz kemudian menulis surat kepada al-Umawi penguasa Andalusia, yang berisi hinaan dan
cacian kepadanya, lalu Umawi membalas, "Amma ba'du, kamu mengetahui kami, maka kamu
menghina kami. Kalau kami mengetahuimu nescaya kami meneladanimu." Iaitu dia adalah orang
gelap yang tidak diketahui kabilahnya. Betapa bagusnya apa yang dikatakan oleh cucu Mu'iz,
penguasa Kaherah yang ditanya oleh Ibnu Thabathaba tentang nasab mereka, lalu dia menarik
setengah pedang dari sarungnya sambil berkata, "Ini nasabku." Dan dia melempar emas kepada para
umara dan hadirin sambil berkata, "Ini keturunanku."

Imam as-Suyuthi berkata lagi: "Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang zindik yang
terkeluar dari Islam. Di antara mereka ada yang mencaci para Nabi secara terang-terangan, ada yang
menghalalkan khamar (arak), ada yang memerintahkan bersujud kepadanya. Yang terbaik dari mereka
adalah orang Rafidhah (syiah) yang busuk lagi buruk kerana mengajak kepada mencaci sahabat
radhiallahu 'anhum. Tidak sah bai'at dan tidak sahih Imamah (kepimpinan) orang seperti mereka."

Lakaran tentera Syiah Fatimiyah

Al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani berkata: "Al-Mahdi Ubaidullah adalah seorang beraliran
(Syiah) Batiniyyah, keji, berusaha melenyapakan Islam, dia membunuh para ulama dan fuqaha agar
dapat menyesatkan manusia. Anak-anak (mereka) hadir dengan cara bapanya. Mereka menghalalkan
khamar, zina dan menyebarluaskan fahaman Rafidhah."

Imam Az-Zahabi berkata: "al-Qaim bin al-Mahdi lebih buruk dari bapanya, seorang zindik yang
dilaknat, mencaci para Nabi dengan jelas." Az-Zahabi berkata lagi, "Ubaidiyyun lebih buruk bagi
agama Islam daripada orang-orang Tartar."

Abu al-Hassan al-Qabisi berkata: "Yang dibunuh oleh Ubaidullah dan anak-anaknya daripada
kalangan ulama dan ahli ibadah mencapai empat ribu orang demi mengembalikan mereka kepada
kebencian kepada para Sahabat, tetapi para ulama itu memilih mati."

Al-Qadhi Iyadh berkata: "Abu Muhammad al-Qairuwani al-Kizani salah seorang ulama
Malikiyyah telah ditanya tentang orang yang dipaksa oleh Bani Ubaid di Mesir untuk masuk ke dalam
seruan (ajaran) mereka atau dibunuh, maka beliau menjawab, (lebih baik) memilih dibunuh. Tidak
ada alasan bagi seseorang dalam perkara ini kerana keadaannya berada di tempat di mana
penduduknya diminta untuk mengingkari syariat dan hal tersebut tidak dibenarkan."

Ibnu Khalikan berkata, "Mereka mengakui ilmu-ilmu ghaib, berita-berita tentang mereka
masyhur, bahkan suatu hari al-Aziz naik mimbar, dia melihat secarik kertas tertulis,

Jika kamu diberi ilmu ghaib,


Jelaskan kepada kami penulis kad (La ilaha illallah),
Kami rela dengan kezaliman dan ketidakadilan,
Tapi tidak dengan kekufuran dan kedunguan.
Imam as-Suyuthi berkata lagi: "Diantaranya adalah bai'ah kepada mereka terjadi sementara
Imam abbasi (Bani Abbasiyah) masih tegak berdiri dan telah dibai'at sebelumnya, jadi bai'at mereka
tidak sah, kerana bai'at yang satu tidak sah untuk dua imam pada waktu yang sama. Yang sah adalah
yang lebih dahulu."

Kerajaan Syiah Fatimiyah membangunkan Universiti al-Azhar sebagai tempat penyebaran


fahaman Syiah Rafidhah, mereka memaksa kaum Muslimin memeluknya. Ketika Salahuddin al-
Ayyubi rahimahullah menamatkan kerajaan mereka, beliau membatalkan semua hal tersebut dan
menetapkan Mazhab Syafi'i sebagai gantinya.

SUMBER
[1] Ikhtisar Perkembangan Islam, Haji Dusuki Haji Ahmad, cetakan 1978, terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka.
[2] Meluruskan Sejarah Menguak Fitnah Sejak Rasulullah SAW Wafat hingga Bani Umayyah (Judul
asal Al-Awashim Min Al-Qawashim Fii Tahqiq Mawaqif Ash-Shahabah Ba'da Wafat An-Nabi), Al-
Imam al-Qadhi Abu bakar Ibnu Arabi, Cetakan 2010, terbitan Pustaka Sahifa, Jakarta.
[3] Tarikh Khulafa', Imam as-Suyuthi, cetakan ketujuh 2010, terbitan Pustaka Al-Kautsar, Jakarta
Timur.

Anda mungkin juga menyukai