Anda di halaman 1dari 17

PENGAJARAN, TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN 2 (KPD3026)

TUGASAN INDIVIDU
KAJIAN TINDAKAN

DISEDIAKAN OLEH:
NURUL NAJWA BINTI AHMAD ROSE
(D20181082536)

PENSYARAH
ENCIK RAZALI BIN AYOB

TARIKH SERAHAN:
30/05/2021

IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
SEMESTER 2 SESI 2020/2021
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN LALU

Semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran bahasa Melayu yang
bertajuk ‘Semerah Rozel: Asam yang Manis’, guru pelatih dapati bahawa guru pelatih
mempunyai masalah pada bahagian perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) atas
faktor kekangan masa memandangkan kelas yang dijalankan hanya selama 30 minit.
Kegagalan dalam perancangan PdP dengan sebaik mungkin menyebabkan timbulnya isu di
mana terdapat beberapa aktiviti kelas disingkatkan masanya menyebabkan murid
melaksanakan aktiviti tersebut secara tergesa-gesa. Walaupun murid dapat menyelesaikan
aktiviti tersebut mengikut masa yang diberikan, namun ia akan memberi kesan kepada murid
terutamanya dari aspek penerimaan pengajaran yang disampaikan oleh guru pelatih.
Selain itu, video bahan bantu mengajar (BBM) yang bertajuk ‘Jenis-Jenis Bunga
yang Boleh Dimakan’ yang digunakan oleh guru pelatih pada fasa set induksi kurang sesuai
untuk digunakan dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Hal ini kerana, video yang digunakan
oleh guru pelatih pada fasa set induksi merupakan video yang menggunakan bahasa
Indonesia. Walaupun bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia di bawah satu
rumpun yang sama, namun perbezaan dari segi kosa kata, sebutan dan makna adalah berbeza.
Penggunaan video BBM tersebut menyebabkan murid tidak dapat memahami topik
pembelajaran yang akan dipelajari secara sepenuhnya. BBM yang digunakan dalam fasa set
induksi adalah untuk membantu murid agar lebih bersedia untuk menerima pembelajaran
pada hari tersebut. Jika guru pelatih gagal untuk menyediakan BBM yang baik, maka ia akan
menjadi bahan yang tidak bermakna yang tidak dapat membantu murid untuk lebih bersedia
menerima topik pembelajaran pada sesi PdP tersebut.
Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, guru pelatih mendapati
bahawa guru pelatih kurang mahir dalam aspek pengurusan masa terutamanya pada fasa kerja
kumpulan (Fasa 3) dan menilai keputusan (Fasa 4). Selain itu juga, guru pelatih kurang mahir
dalam mengendalikan BBM di mana video bahan bantu mengajar yang disediakan tersebut
kurang sesuai untuk digunakan. Oleh itu, guru pelatih memilih untuk membaiki Kemahiran
Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar tersebut kerana penggunaan BBM pada
fasa set induksi amat diperlukan bagi membantu murid memahami topik yang akan dipelajari
di samping menarik perhatian mereka supaya kekal fokus sepanjang sesi PdP dilaksanakan.
Bagi mengatasi kelemahan tersebut, guru pelatih perlu mencari kaedah dan alternatif bagi
mengatasi masalah tersebut agar kefahaman murid bertambah dan sekali gus memperbaiki
kelemahan guru pelatih itu sendiri.
2.0 ISU KEPRIHATINAN
Setelah sesi PdP telah dilaksanakan dan rakan penilai telah menilai sesi PdP tersebut, guru
pelatih dan rakan penilai mendapati bahawa murid tidak dapat memahami topik pembelajaran
secara sepenuhnya adalah kerana disebabkan kekurangan guru pelatih terhadap Kemahiran
Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar yang digunakan dalam penyediaan video
BBM terutamanya dalam fasa set induksi. Bagi memastikan BBM yang digunakan
merupakan bahan yang bermakna dan sesuai dengan objektif pelajaran yang ingin dicapai,
guru pelatih akan melihat secara terperinci berkaitan dengan penyediaan BBM dengan betul
dan berkesan.

2.1 Kemahiran Menggunakan Media/ Bahan Bantu Mengajar


Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar merupakan salah satu kemahiran
mikro pengajaran yang perlu dikuasai oleh semua guru. Bahan bantu mengajar (BBM)
merupakan segala atau suatu kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk
membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah sama ada dalam bentuk
elektronik mahupun bukan elektronik. Kemahiran Menggunakan Bahan Bantu Mengajar pula
bermaksud kecekapan seseorang guru menggunakan bahan bantu mengajar ketika sesi
pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Kemahiran ini tidak berdasarkan mana-mana
teknik atau teori yang tertentu, tetapi penggunaan kemahiran tersebut bergantung kepada
kecekapan guru dalam mengendalikan BBM yang disediakan untuk digunakan dalam sesi
PdP. Kemahiran ini lazimnya digunakan pada fasa set induksi dan fasa 1 (Pengenalan) untuk
membantu murid-murid lebih memahami topik pembelajaran yang akan dipelajarinya. Oleh
itu, Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar amat penting dilaksanakan
secara berkesan supaya penyampaian proses pembelajaran kepada murid dapat dilakukan
secara berkesan, dapat membina pengetahuan baru serta memberi kefahaman awal terhadap
topik pembelajaran yang dipelajarinya.
Antara objektif penggunaan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu
Mengajar adalah untuk membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, menarik
dan tepat. Penguasaan dalam kemahiran ini amat penting memandangkan guru-guru pada
masa kini digalakkan untuk menggunakan BBM dalam sesi PdP bagi menarik perhatian
murid di samping mempelbagaikan kemahiran mengajar guru kepada murid-murid.
Penguasaan yang baik dalam kemahiran ini akan membantu guru untuk mencapai objektif
pelajaran serta membantu murid untuk lebih mengingati dan memahami topik pembelajaran
yang dipelajarinya.

2.2 Jenis-Jenis Bahan Bantu Mengajar


Bahan Bantu Mengajar terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
1. Bahan Elektronik
Bahan bantu mengajar elektronik merupakan bahan bantu mengajar yang terdiri daripada
bahan bukan maujud dan berasaskan elektronik. Bahan ini terdiri daripada Overhead
Projektor (OHP), radio, televisyen dan Video Cassete Recorder (VCR), alat rakaman, filem,
komputer, pita slaid (filem slaid) dan sebagainya. Pada masa kini, penggunaan bahan bantu
mengajar semakin berkembang dan penggunaan elektronik dalam kemahiran mengajar juga
tidak terkecuali daripada menggunakannya. Penggunaan bahan elektronik dapat digunakan
secara meluas kerana ia melibatkan deria pendengaran dan deria melihat kerana bahan-bahan
tersebut dapat memberi gambaran yang jelas serta mempunyai audio yang mampu menarik
minat murid untuk kekal fokus dalam kelas.

2. Bahan Bukan Elektronik


Bahan bantu mengajar bukan elektornik merupakan bahan bantu mengajar yang terdiri
daripada bahan maujud. Bahan bukan elektronik terdiri daripada buku teks, gambar,
penggunaan papan hitam atau papan tulis, papan pamer atau papan buletin, carta, grafik,
model tiga dimensi, patung, surat khabar dan sebagainya. Bahan bantu mengajar jenis ini
sering kali dikaitkan dengan bahan pengajaran terawal yang digunakan oleh guru-guru
sebelum wujudnya bahan pengajaran elektronik. Walaupun begitu, fungsi bahan-bahan
tersebut masih lagi relevan kerana dapat memudahkan guru untuk menyampaikan
pengajarannya.

3. Bahan Bercorak Pengalaman dan Bahan Sebenar dari Alam Sekitar


Bahan bantu mengajar bercorak pengalaman pula merupakan bahan bantu mengajar yang
menggunakan pengalaman sendiri, gerak badan, bahasa isyarat, persembahan, dan
sebagainya. Bahan bercorak pengalaman ini terdiri daripada lakonan, lawatan, projek,
pameran dan sebagainya. Bahan bercorak pengalaman ini dikelaskan sebagai bahan tiga
dimensi yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan, iaitu:
a) Bahan bukan hidup.
b) Bahan buatan.
c) Tumbuhan.
d) Benda hidup.

2.3 Prinsip-Prinsip Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar


Terdapat empat prinsip utama dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu
Mengajar iaitu:
1. Berdasarkan Objektif Pelajaran
Penggunaan BBM dalam sesi PdP perlulah berdasarkan kepada objektif pelajaran yang
disediakan. Kandungan dalam bahan tersebut perlulah mengandungi fakta yang tepat serta
sesuai digunakan mengikut kebolehan dan tahap penguasaan murid. Penyediaan BBM tidak
boleh terlalu menyimpang daripada objektif pelajaran kerana ia akan menganggu kelancaran
sesi PdP dan murid-murid tidak dapat mengaitkan BBM tersebut dengan topik pembelajaran
yang dipelajarinya. Oleh itu, guru-guru perlu memastikan bahan yang digunakan adalah
berdasarkan objektif pelajaran.

2. Perlulah Dinilai Terlebih Dahulu


Penggunaan BBM dalam sesi PdP perlulah dinilai terlebih dahulu sebelum sesi PdP tersebut
dijalankan. Guru perlu menilai dari kesesuaian bahan, objektif pelajaran, warna dan
peruntukan waktu apabila menggunakannya. Guru perlu membaca terlebih dahulu bahan
tersebut dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan bahan tersebut berdasarkan kandungan
pelajaran. Jika terdapat kelemahan pada bahan tersebut, guru perlu mengubahsuai bahan
tersebut mengikut topik pelajaran yang diajar sehingga bahan tersebut menjadi satu bahan
yang kukuh dari segi isi dan fakta, kreativiti, sesuai dengan aktiviti yang dijalankan, dan
dapat membantu guru dan murid dalam sesi PdP.

3. Proses Penggunaan BBM dalam Bilik Darjah Perlu Dirancang


Guru perlu merancang pada fasa atau langkah yang mana yang memerlukan guru untuk
menggunakan BBM tersebut. Proses penggunaan bahan tersebut dalam kelas hendaklah
dirancang mengikut langkah-langkah pelajaran yang akan disampaikan. Guru perlu
menerangkan cara dan tujuan penggunaan bahan tersebut dan perlu memberi justifikasi
mengapa BBM tersebut sesuai untuk digunakan pada fasa tersebut. Lazimnya, penggunaan
BBM sering kali digunakan pada fasa set induksi bagi memberi gambaran awal kepada murid
terhadap topik pembelajaran di samping menarik perhatian murid dengan bahan yang
digunakan oleh guru. Perancangan penggunaan BBM yang baik dapat memastikan sesi PdP
yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

4. Menilai Keberkesanan Penggunaan BBM tersebut


Menilai keberkesanan penggunaan BBM dilakukan semasa dan selepas BBM digunakan oleh
guru dalam sesi PdP yang dilakukan. Keberkesanannya dapat dinilai daripada respons murid-
murid berdasarkan pemerhatian, soal jawab, perbincangan, dan sebagainya. Penilaian ini
dibuat bertujuan untuk melihat sejauh mana penggunaan BBM itu memberi impak atau kesan
kepada murid serta melihat kebaikan dan kelemahan yang diterima oleh murid-murid. Di
samping itu, guru juga boleh melakukan penambahbaikan selepas menggunakan BBM
tersebut.

2.4 Komponen-Komponen Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar


KOMPONEN KEMAHIRAN MENGGUNAKAN MEDIA /
BAHAN BANTU MENGAJAR

1) Prinsip
- Memberi pengukuhan dan rangsangan kepada murid, dan menarik.

2) Kesesuaian
Sesuai dengan objektif/hasil pembelajaran dan isi kandungan, digunakan pada masa yang
sesuai dan menggunakan warna yang menarik.

3) Mencabar
Mencetuskan idea, menggerakkan aktiviti, menjadi bahan soal jawab, menjadi bahan
perbincangan, timbul rasa ingin tahu.

4) Kejelasan
Dapat dilihat dan didengar dengan jelas, maklumat yang dipaparkan jelas, ringkas, padat dan
tepat, dan saiz sesuai.

5) Penggunaan Berfungsi
Membantu kefahaman, meningkatkan kemahiran, memudahkan pengajaran dan
pembelajaran, dan menjelaskan fakta.

Rajah 1: Komponen Penting yang Terdapat dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan
Bantu Mengajar

2.5 Penggunaan dan Impak Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu


Mengajar
Antara impak penggunaan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar
dalam proses PdP ialah:
1. Dapat mengawal serta mengatasi masalah kekurangan masa dan tenaga guru.
2. Dapat mempertingkatkan minat murid dalam proses PdP.
3. Dapat mempertingkatkan motivasi murid untuk belajar.
4. Dapat mengekalkan ingatan jangka panjang terhadap isi-isi pembelajaran.
5. Murid dapat memahami dengan lebih mendalam terhadap tajuk yang dipelajari.
6. Murid dapat merasakan keseronokan belajar dan mengelakkan rasa jemu terhadap
pengajaran guru.
7. Guru dapat memberi pengalaman yang sebenar kepada murid-murid dan menjadikan
pengajaran tersebut lebih menarik.
8. Dapat menjimatkan masa dan murid dapat belajar dengan lebih banyak dalam masa
yang singkat.

3.0 OBJEKTIF
Objektif utama kajian tindakan ini dilakukan adalah untuk memperbaiki kelemahan guru
pada bahan bantu mengajar pada fasa set induksi yang disediakan dalam perancangan
pengajaran guru supaya pada sesi pengajaran yang akan datang, murid-murid dapat
memahami dan mencungkil idea mereka terhadap topik yang guru pelatih cuba sampaikan di
samping menarik perhatian murid untuk kekal fokus sepanjang sesi PdP berjalan.

4.0 KUMPULAN SASARAN


Kumpulan sasaran yang terlibat dalam kajian ini merupakan para pelajar Universiti
Pendidikan Sultan Idris. Seramai 6 orang pelajar yang berbeza kursus terlibat secara langsung
dalam memenuhi peruntukan kajian ini. Pertukaran kumpulan sasaran daripada murid sekolah
kepada pelajar universiti adalah disebabkan faktor situasi dan keselamatan masyarakat yang
menghalang guru pelatih untuk memilih murid sekolah dan guru pelatih melaksanakan sesi
PdP secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi ‘Zoom’.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN


5.1 Merancang
Sebelum melaksanakan sebarang tindakan dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap
permasalahan yang timbul perlu dikenal pasti terlebih dahulu bagi melancarkan proses PdP
yang berlaku. Guru pelatih bersama rakan penilai telah melakukan perbincangan dan
berdasarkan perbincangan tersebut, guru pelatih mendapati punca masalah tersebut timbul
adalah kerana faktor guru pelatih gagal menyediakan BBM dengan baik kepada murid-
muridnya. Guru pelatih dan rakan penilai sedar bahawa penggunaan BBM terutamanya dalam
fasa set induksi amat penting bagi memastikan murid bersedia untuk memulakan
pembelajaran. Guru pelatih juga turut menyedari peranan BBM dalam membantu guru untuk
mencapai objektif pelajaran di samping memudahkan guru dalam proses pengajaran. Oleh
itu, setelah tinjauan dilaksanakan oleh guru pelatih dan rakan penilai, maka guru pelatih
melakukan keputusan untuk membuat perbincangan bagi mengatasi masalah tersebut. Selain
itu, guru pelatih dan rakan penilai bersetuju untuk melakukan pemerhatian bagi merancang
kajian ini berdasarkan beberapa aspek yang penting. Antara aspek yang menjadi topik
perbincangan ialah:

1. Masa Kajian
Guru pelatih menetapkan sesi PdP yang akan dilakukan akan berjalan selama 30 minit sahaja.
Sesi PdP tersebut dijalankan dengan melakukan penambahbaikan dari aspek Kemahiran
Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar terutamanya pada fasa set induksi. Di samping
itu, guru pelatih perlu memastikan pengurusan masa dapat dilakukan dengan sebaik mungkin
memandangkan guru pelatih menghadapi masalah untuk mengurus masa kelas pada sesi PdP
sebelum ini.

2. Murid yang Terlibat


Guru pelatih masih menggunakan murid-murid dari sesi PdP sebelum ini untuk proses
penambahbaikan ini. Hal ini kerana, guru pelatih ingin memastikan murid tersebut dapat
memahami topik pembelajaran tersebut di samping mendapat maklum balas terhadap kedua-
dua sesi PdP yang dijalankan. Jumlah murid yang terlibat adalah sebanyak enam orang dan
pengajaran tersebut dilaksanakan secara dalam talian.

3. Kemahiran Fokus
Pada bahagian ini, guru pelatih memberi fokus untuk memperbaiki kelemahan terdahulu iaitu
kelemahan guru pelatih dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar
yang digunakan pada fasa set induksi. Bagi melaksanakan kemahiran ini, guru pelatih perlu
mengaplikasikan komponen-komponen yang terdapat dalam Kemahiran Menggunakan
Media / Bahan Bantu Mengajar yang terdiri daripada prinsip, kesesuaian, mencabar,
kejelasan, dan penggunaan berfungsi. Sebelum memulakan pembelajaran, guru pelatih akan
memastikan fasa set induksi dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Hal ini amat penting
kerana fasa tersebut merupakan fasa permulaan pembelajaran yang mana dapat membantu
murid untuk lebih bersedia untuk menerima pembelajaran. Dalam sesi PdP kali kedua, guru
pelatih akan lebih memfokuskan penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan topik
pembelajaran yang mampu membantu murid untuk mengenali jenis-jenis bunga yang boleh
dimakan disamping mengetahui kebaikan bunga-bunga tersebut yang dijadikan sebagai
makanan dan minuman.

4. Kaedah Pengajaran
Guru pelatih menggunakan model pengajaran Koperatif STAD yang memfokuskan kepada
pengajaran secara berkumpulan. Menurut Slavin (1982), pengajaran Koperatif didefinisikan
sebagai kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama
dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama. Model Pengajaran
Koperatif berbentuk Student Teams-Achievement Divisions (STAD) merupakan salah satu
cara bagi melaksanakan kaedah pengajaran Koperatif. STAD merupakan kaedah pengajaran
yang menekankan aspek aktiviti dan interaksi antara murid yang memerlukan setiap murid
dalam sesuatu kumpulan untuk bekerjasama bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan
seterusnya mendapat skor yang baik dalam kuiz atau ujian yang dijalankan. Kaedah ini dapat
mewujudkan persaingan yang sihat antara murid di samping dapat membantu mengekalkan
daya tumpuan murid dalam kelas. Bagi melaksanakan Kemahiran Menggunakan Media /
Bahan Bantu Mengajar, guru pelatih perlu memasukkan elemen STAD ke dalam kemahiran
tersebut selepas tayangan video BBM dilakukan. Melalui kaedah ini, murid-murid dapat
memberi tumpuan terhadap video tersebut supaya dapat menjawab soalan dalam sesi soal
jawab.

5. Alat Bantu
Pada bahagian ini, alat bantu yang digunakan merupakan sebahagian daripada Kemahiran
Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Jadi, pelatih menggunakan alat bantu
mengajar seperti komputer bagi memaparkan video BBM yang disediakan sendiri oleh guru
pelatih. Video tersebut dipaparkan pada fasa set induksi bagi menunjukkan kegunaan lain
bagi setiap bunga yang dipaparkan dalam video tersebut. Berdasarkan jawapan yang
diberikan oleh murid sebelum video BBM ditayangkan, kebanyakan murid tidak mengetahui
bahawa bunga juga boleh dijadikan sebagai makanan dan minuman. Berdasarkan video BBM
tersebut, guru dapat melaksanakan sesi PdP dengan lebih berkesan dan memudahkan guru
untuk menerang lebih lanjut berkenaan dengan topik pembelajaran pada hari tersebut.

6. Alat yang Digunakan untuk Memungut Data


Alat yang digunakan untuk memungut data adalah melalui Borang Pencerapan Pengajaran
Makro, maklum balas daripada rakan penilai dan murid-murid. Melalui cara tersebut, guru
pelatih dapat mengetahui kelemahan yang dilakukan semasa proses PdP berlaku dan
kelemahan tersebut dapat diperbaikikan pada sesi PdP yang akan datang.

Borang seperti di Lampiran 1.

7. Perancangan Pengajaran
Guru pelatih membuat keputusan untuk membuat penambahbaikan dalam sesi PdP kali
kedua. Perancangan yang dilakukan adalah berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
yang telah dilakukan penambahbaikan daripada sesi PdP kali pertama. Guru pelatih masih
mengekalkan model pengajaran Koperatif STAD. Guru pelatih diberi masa selama 30 minit
dan guru membahagikan perancangan pengajaran kepada lima fasa yang bermula dengan fasa
set induksi, fasa memberitahu (Fasa 1), fasa transisi (Fasa 2), fasa kerja kumpulan (Fasa 3),
fasa menilai keputusan (Fasa 4), dan fasa penutup. Namun begitu, guru akan lebih
memfokuskan kepada fasa set induksi kerana pada fasa tersebut, guru pelatih mempunyai
kelemahan dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru pelatih
akan membuat sesi soal jawab secara ringkas yang berkaitan dengan bunga dan seterusnya
membuat sesi soal jawab selepas tayangan video BBM dilakukan. Dengan cara ini, guru
pelatih dapat mengetahui tahap kefahaman mereka terhadap topik pembelajaran. Di samping
itu, guru pelatih juga akan memastikan pengurusan masa sesi PdP berjalan mengikut
perancangan yang telah dibuat supaya setiap fasa dan aktiviti dapat dijalankan dengan sebaik
mungkin.

5.2 Melaksana
Pelaksanaan yang dilakukan oleh guru pelatih adalah dengan memperbaiki kelemahan guru
pelatih dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru pelatih
membuat keputusan untuk menyediakan video BBM tersebut dengan memasukkan elemen-
elemen penting yang perlu ada dalam BBM. Guru pelatih memasukkan isi-isi, dan fakta-fakta
penting yang mampu memberi maklumat tambahan berkenaan dengan kegunaan bunga yang
mampu memberi kebaikan kepada semua manusia. Sebelum guru pelatih menayangkan video
BBM tersebut, guru pelatih bertanyakan soalan kepada murid-murid.
Guru Pelatih: Cikgu akan mulakan kelas dengan memaparkan satu video berkaitan dengan
bunga. Sebelum itu, boleh tak sesiapa beritahu apa kegunaan bunga? Sesiapa boleh jawab?
Murid 1: Jawapan murid.
Guru Pelatih: Perhiasan? Betul. Lagi?
Murid 2: Jawapan murid.
Guru Pelatih: Tanaman? Ya, betul. Ada lagi?
Murid 3: Jawapan murid.
Guru Pelatih. Ya, betul Sabrina. Bagus jawapan awak semua. Tapi, ada satu kegunaan bunga
yang awak tak sebutkan tadi. Mesti awak tertanya-tanyakan apa kegunaan bunga selain yang
awak sebutkan, kan? Betul tak? Baik, sekarang, cikgu akan paparkan video tersebut. Minta
semua beri perhatian ya.

Guru pelatih juga ada bertanyakan soalan kepada murid untuk mengetahui tahap kefahaman
mereka terhadap video BBM selepas video tersebut ditayangkan.

Guru Pelatih: Berdasarkan video tersebut, bunga apa yang boleh dibuat sebagai makanan?

Murid-Murid: Memberikan jawapan berdasarkan video tersebut.

Guru Pelatih: Boleh sesiapa nyatakan jenis masakan atau minuman yang boleh kita buat
dengan menggunakan bunga-bunga tersebut?

Murid-Murid: Memberi jawapan berdasarkan soalan yang diajukan berpandukan video BBM
tersebut.

Guru Pelatih: Berdasarkan video tersebut dan soal jawab tadi, pembelajaran kita pada hari ini
adalah berkaitan dengan tema ‘pertanian, penternakan dan perikanan’, tetapi cikgu akan
fokuskan kepada tema ‘pertanian’ sahaja yang bertajuk “Semerah Rozel: Asam yang
Manis”. Sekarang, awak boleh lihat pada ruangan komen berkenaan dengan objektif
pembelajaran kita pada hari ini.

5.3 Mencerap
Proses mencerap dibahagikan kepada lima proses iaitu proses menerima, proses memahami,
proses mengingat, proses menilai dan proses memberi tindak balas. Pada bahagian ini, guru
pelatih akan menerangkan setiap proses yang dilakukan bagi menerangkan proses mencerap
yang dilakukan oleh guru pelatih.
Berdasarkan Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar yang
diterapkan, guru pelatih mendapati guru pelatih semakin baik dalam mengendalikan
kemahiran tersebut. Video BBM yang disediakan lebih banyak membantu murid untuk
memahami topik pembelajaran. Penggunaan video BBM tersebut merupakan salah satu
langkah pengenalan bagi memperkenalkan topik pembelajaran sebelum mempelajari topik
pembelajaran dengan lebih mendalam. Amat penting bagi setiap guru untuk memastikan
murid-murid bersedia untuk menerima pembelajaran kerana minda yang bersedia dapat
membantu murid untuk menerima pembelajaran dengan lebih baik. Guru pelatih juga tidak
terkecuali daripada menggunakan kemahiran menyoal bagi mengukuhkan lagi Kemahiran
Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar di samping mengukur tahap kefahaman murid
terhadap video tersebut. Melalui kemahiran menyoal, guru pelatih dapat menilai proses
menerima, proses memahami, proses mengingat, proses menilai dan proses memberi tindak
balas. Berdasarkan refleksi guru pelatih terhadap sesi PdP pada bahagian fasa set induksi,
guru pelatih dapat menyimpulkan bahawa murid-murid dapat menerima pengetahuan yang
baru sahaja mereka belajar. Mereka dapat memahami apa yang video tersebut cuba
sampaikan. Proses menilai dilakukan dengan bertanyakan dua soalan kepada murid untuk
melihat sejauhmanakah mereka dapat memahami video tersebut dan bagaimana mereka
bertindak balas selepas melihat video BBM tersebut. Kesan daripada tayangan video BBM,
murid-murid lebih nampak bersedia dan seronok untuk memulakan pelajaran.

5.4 Menganalisis Data dan Mereflek


Berdasarkan data yang diperoleh daripada hasil penilaian rakan penilai dan murid-murid, dan
pemerhatian guru pelatih, guru pelatih dan rakan penilai melakukan perbincangan buat kali
kedua selepas sesi PdP kali kedua dilaksanakan. Perbincangan tersebut melibatkan penilaian
guru pelatih dalam melaksanakan sesi PdP kali kedua sama ada dalam bentuk kekuatan dan
kelemahan kemahiran mengajar guru pelatih. Perbincangan ini dijalankan bagi memperbaiki
kelemahan-kelemahan yang wujud pada sesi PdP akan datang.
Berdasarkan perancangan sesi PdP yang dijalankan, guru pelatih banyak melakukan
penambahbaikan dari aspek Kemahiran Menggunakan Media / Bahan Bantu Mengajar. Guru
pelatih juga berupaya menguruskan masa dengan lebih baik memandangkan setiap fasa dan
langkah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Bermula pada fasa set induksi, guru pelatih
menggunakan BBM yang dihasilkan sendiri bagi membantu murid dalam memahami topik
pembelajaran. Pada bahagian ini, guru pelatih menggantikan video BBM terdahulu dengan
video BBM yang baru kerana video terdahulu kurang sesuai digunakan kerana tidak menepati
elemen-elemen penting yang perlu ada dalam Kemahiran Menggunakan Media / Bahan
Bantu Mengajar.
Seterusnya, guru pelatih dapat melaksanakan aktiviti dalam kelas dengan lebih baik di
mana murid-murid dapat mengikut pembelajaran. Mereka dapat memahami rakaman audio
yang dipasang sebanyak dua kali. Ini dapat membantu mereka untuk mencatat perkara-
perkara penting yang perlu digunakan dalam sesi aktiviti kumpulan. Pada sesi PdP sebelum
ini, guru pelatih terpaksa menyingkatkan masa dengan memasang rakaman audio tersebut
sekali sahaja dan guru pelatih bertindak untuk memberi penerangan ringkas supaya murid
dapat memahami rakaman audio tersebut. Namun begitu, guru pelatih tidak melaksanakan
penerangan berkaitan rakaman audio kerana mengandaikan murid-murid dapat mencatat
semua fakta-fakta dan hujah-hujah penting dalam rakaman audio tersebut. Pada bahagian ini,
muncul kelemahan baru di mana guru pelatih tidak melakukan pengukuhan terhadap rakaman
audio yang dipasang.
Selain itu, pengurusan masa guru pelatih nampak lebih baik pada Fasa 3 (fasa kerja
kumpulan) di mana murid diberi masa untuk melaksanakan tugasan kumpulan yang diberi.
Masa yang diberikan digunakan sebaik mungkin oleh murid dan guru pelatih tidak
menyingkatkan waktu tersebut. Pada Fasa 4 (fasa menilai keputusan), sesi pembentangan dan
sesi soal jawab dilaksanakan dengan baik sekali. Murid-murid diberi peluang untuk
berinteraksi antara satu sama lain semasa sesi pembentangan dan sesi soal jawab. Namun
begitu, pada bahagian ini, muncul satu kelemahan guru pelatih dalam melaksanakan aktiviti
STAD. Guru pelatih menggunakan model pengajaran Koperatif STAD tetapi aktivit tersebut
tidak dilaksanakan langsung. Kelemahan ini berpunca daripada perancangan guru pelatih
yang tidak dinilai kembali sebelum melaksanakan sesi PdP tersebut. Walaupun guru pelatih
tidak melaksanakan aktiviti STAD, murid-murid masih dapat melakukan aktiviti kumpulan,
sesi pembentangan dan sesi soal jawab dengan baik. Murid-murid memberi respons yang
baik di mana mereka berasa seronok melakukan aktiviti kumpulan tersebut kerana mereka
dapat mengetahui langkah-langkah membuat Air Rozel dan Jem Rozel. Mereka juga
mengatakan aktiviti yang dilaksanakan tidak membosankan. Oleh itu, guru pelatih dapat
menyimpulkan bahawa sesi PdP kali kedua dapat dilakukan dengan baik walaupun terdapat
kelemahan-kelemahan baru yang timbul.

6.0 RUMUSAN
Berdasarkan kepada penilaian dan analisis yang dikemukakan, guru pelatih mendapati
kelemahan tersebut telah diperbaiki pada sesi PdP kali kedua yang mana guru pelatih sendiri
menyediakan video BBM tersebut. Walaupun video tersebut mempunyai sedikit kelemahan
dan boleh diperbaikikan lagi, namun peningkatan tersebut amat baik dan menggalakkan
kerana murid-murid memberi respons yang sangat baik terhadap sesi PdP tersebut berbanding
dengan sesi PdP yang terdahulu. Hal ini kerana, melalui video BBM tersebut, murid-murid
dapat mengetahui topik pembelajaran yang akan dipelajari oleh mereka dan dapat mengikuti
sesi PdP dengan baik sekali. Pengurusan masa pada sesi PdP kali kedua adalah lebih teratur
berbanding sesi terdahulu kerana guru pelatih dapat menguruskan aktiviti dan masa dengan
baik. Setiap aktiviti yang dilaksanakan berjaya dilakukan tanpa disingkatkan masa atau
melangkau mana-mana aktiviti yang dirasakan terlalu lama.
Namun begitu, pada sesi PdP kali kedua ini, terdapat beberapa masalah yang timbul
tetapi terdapat satu masalah yang begitu ketara iaitu pelaksanaan aktiviti STAD. Pada sesi
PdP tersebut, guru tidak melaksanakan aktiviti tersebut walaupun guru pelatih menggunakan
model pengajaran Koperatif STAD. Guru pelatih hanya melaksanakan sesi pembentangan
biasa di mana murid hanya membentang dan menjalankan sesi soal jawab. Jika aktiviti STAD
dilaksanakan, guru pelatih dapat mewujudkan sikap persaingan yang sihat antara murid dan
murid akan lebih berasa seronok apabila aktiviti yang dijalankan dalam bentuk pertandingan.
Kelemahan yang dilakukan oleh guru pelatih dapat dijadikan sebagai panduan
penambahbaikan kemahiran mengajar guru pelatih pada masa akan datang.
Melalui hasil kajian yang dijalankan ini, guru pelatih dapati bahawa Kemahiran
Menggunakan Media atau Bahan Bantu Mengajar sangat penting dan perlu dikuasai oleh
setiap guru dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana, dengan adanya BBM, guru-guru dapat
menambahkan kefahaman murid-murid dalam topik pembelajaran di samping menarik minat
murid untuk sentiasa fokus di dalam kelas. Di samping itu, penggunaan BBM pada fasa set
induksi amat penting untuk membantu murid memahami topik pembelajaran yang akan
dipelajari di samping mencungkil idea-idea murid untuk mempelajari topik pembelajaran
tersebut. BBM yang baik merupakan bahan mengajar yang bermakna dan boleh digunakan
untuk membantu guru dalam sesi PdP. Oleh itu, guru-guru perlu mempraktikkan kemahiran
tersebut supaya sesi PdP dapat berjalan dengan lebih lancar.
Atas kesedaran tersebut, guru pelatih yakin bahawa kajian-kajian seperti ini perlu
dilaksanakan dan diteruskan oleh setiap guru kerana melalui kajian ini, guru dapat menilai
sejauh mana keupayaan mereka dalam mengendalikan sesi PdP. Guru-guru akan dapat
mengetahui kekuatan dan kelemahan mereka semasa mengajar di samping dapat
memperbaiki kelemahan mereka supaya kualiti kemahiran mengajar guru sentiasa meningkat
dari semasa ke semasa. Guru merupakan seorang pembimbing, pendidik, role model dan
sebagai kepada murid-murid, kecemerlangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek
dan sosial adalah hasil daripada didikan, bimbingan, dan dorongan daripada guru. Jika guru
tidak berjaya mengendalikan sesi pengajaran dengan baik, hasil tersebut berkemungkinan
tidak boleh dicapai. Oleh itu, bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut, kajian-kajian
seperti ini perlu dilakukan dan berharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak di
samping meningkatkan mutu pengajaran dan mutu pendidikan dalam negara. Guru pelatih
berharap hasrat ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak supaya hasrat Falsafah
Pendidikan Negara dapat dicapai.

7.0 KAJIAN SELANJUTNYA


Sekiranya guru pelatih diberi peluang untuk membuat sesi pengajaran dan pembelajaran
sekali lagi, guru pelatih akan cuba memperbaiki pengajarannya dari segi pengurusan masa
dan penyediaan bahan bantu mengajar terutamanya dalam fasa set induksi. Hal ini demikian,
bahan bantu mengajar dapat membantu guru untuk memberi gambaran sesi pembelajaran
yang akan dilakukan di samping meningkatkan kefahaman murid dalam topik pembelajaran
tersebut. Kelemahan terhadap penggunaan BBM akan menyebabkan murid berasa bosan dan
tidak memahami topik yang akan dipelajarinya. Kesannya, objektif pelajaran tidak dapat
dicapai sepenuhnya. Di samping itu, guru pelatih berharap dapat memperbaiki kelemahannya
dari aspek pelaksanaan aktiviti STAD memandangkan guru pelatih tidak dapat melaksanakan
aktiviti tersebut pada sesi PdP kali kedua. Pelaksanaan aktiviti tersebut dapat menonjolkan
bakat terpendam murid-murid di samping mewujudkan persaingan yang sihat dalam
kumpulan murid. Justeru itu, guru pelatih akan menambah baik dan mempelbagaikan
kemahiran mengajar untuk meningkatkan motivasi murid-murid.
Lampiran

Anda mungkin juga menyukai