Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM

Malaysia ialah negara yang namanya harum di persada dunia kerana kehebatan rakyatnya dalam
mengekalkan perpaduan kaum yang berbilang-bilang bangsa. Pada zaman dahulu, penjajah British
telah membawa masuk kaum Cina dan India untuk kepentingan mereka sendiri dalam usaha
mengeksploitasi ekonomi yang mewujudkan jurang sosial dan ekonomi yang amat besar antara
ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Namun kini, masyarakat yang berbilang bangsa telah
berjaya mengasimilasikan budaya masing-masing untuk membentuk masyarakat Malaysia yang
bersatu teguh dan bersatu hati persis peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Namun persoalannya, apakah kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam
kalangan masyarakat?

Salah satu kepentingan perpaduan kaum adalah bagi menjamin keamanan negara. Perpaduan
antara rakyat tidak kira bangsa dan agama adalah sangat vital supaya peristiwa berdarah yang terjadi
pada 13 Mei 1969 akibat rusuhan antara kaum Cina dan Melayu yang telah mengorbankan banyak
nyawa nirmala yang tidak bersalah tidak terulang kembali. Jika kaum-kaum tidak mempunyai
persefahaman dan toleransi antara satu sama lain, persengketaan akan dapat dicetuskan dengan
mudahnya. Keadaan ini akan menyebabkan hubungan yang dingin antara masyarakat yang berpecah
belah dan akan tercetuslah pertengkaran-pertengkaran yang menggugat keamanan negara.
Tegasnya, perpaduan kaum adalah penting untuk mengekalkan keamanan negara agar kemerdekaan
negara kita dapat dikekalkan.

Dalam nada yang lain, perpaduan kaum dapat memajukan ekonomi negara. Masyarakat yang
bersatu pada tentulah akan menggembleng tenaga bersama agar dapat memajukan negara
mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing tanpa mengira ras dan agama masing-masing.
Tamsilnya, dalam perniagaan, masyarakat Melayu tidak hanya akan membeli barang dari penjual
Melayu tetapi mereka akan turut membeli barang-barang yang dijual oleh kaum lain. Diskriminasi
dalam kumpulan masyarakat dan pekerjaan dapat dielakkan kerana semua orang yang mempunyai
semangat cinta akan negara mempunyai tujuan dan matlamat yang sama iaitu untuk menaikkan
taraf hidup rakyat negara kita. Sesungguhnya, perpaduan kaum amat penting bagi meningkatkan
ekonomi negara untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.
Akhir sekali, imej negara akan dapat ditingkatkan melalui perpaduan kaum. Kita boleh lihat sendiri
sikap toleransi dan hormati-menghormati yang dicerminkan oleh masyarakat kita apabila
menyambut perayaan kaum masing-masing. Contohnya, kaum Melayu menghormati perayaan
Tahun Baru Cina yang diadakan, malahan turut ikut serta memeriahkan perayaan tersebut dan
berkongsi euforia momen-momen terindah bersama. Keadaan inilah yang menarik perhatian
pelancong-pelancong asing untuk datang ke Malaysia bagi menyaksikan suasana yang amat jarang
dilihat di negara asal mereka. Perpaduan kaum menjadikan rakyat Malaysia mudah untuk bergaul
mesra dengan masyarakat luar kerana terbiasa hidup dalam komuniti yang mempunyai kaum yang
pelbagai. Konsekuensinya, masyarakat Malaysia boleh bersikap ramah dengan para pelancong yang
datang dari pelbagai pelosok dunia. Intihanya, perpaduan kaum secara tidak langsung dapat
meningkatan imej negara kita sebagai negara yang sejahtera, bertoleransi dan bersatu padu di mata
dunia.

Berdasarkan huraian-huraian yang telah dijelaskan, izharlah bahawa perpaduan kaum


sememangnya memberi banyak maslahat dan impak dalam kehidupan kita. Persefahaman dan sikap
hormat-menghormati antara kaum menjadi pemangkin utama dalam pencetusan perpaduan kaum.
Konklusinya, marhaen perlulah mempunyai semangat kekitaan agar rakyat tidak berpecah belah.
Marilah kita bersama-sama bersinergi dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dengan tidak menjadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing. Jika semua rakyat bersatu padu dengan mengetepikan perbezaan, tentulah perpaduan dan
permuafakatan dapat dikecapi.

Anda mungkin juga menyukai