Anda di halaman 1dari 11

Profesionalisme dimaksudkan dengan sifat-sifat yang positif di mana seseorang itu

mempunyai keupayaan dalam sesuatu kemahiran, cara perlaksanaan sesuatu seperti yang
ada pada seorang ahli profesional. Selain itu, profesionalisme juga boleh didefinisikan
sebagai pekerjaan yang memerlukan latihan khas. Secara ringkasnya, konsep
profesionalisme boleh dirumuskan sebagai ciri-ciri sesuatu pekerjaan yang memerlukan
latihan ikhtisas seperti yang terdapat dalam profesionalisme perguruan dan lain-lain.
Seseorang yang terlibat dalam sesuatu profesion yang profesional perlu menunjukkan
tingkah laku yang profesional dan sentiasa beriltizam untuk patuh kepada etika serta
membuat muhasabah diri bagi meningkatkan kualiti kerja. Dari konteks perguruan, seorang
guru harus mengetahui apa yang dimaksudkan sebagai profesionalisme keguruan supaya
mereka tahu tentang peranan sendiri iaitu sebagai pendidik, pembimbing mahupun fasilator
kepada anak-anak muridnya. Seorang guru yang profesional perlu sihat dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS) serta menguasai pelbagai kemahiran seperti
berfikir, berkomunikasi, merancang, mengurus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dan sebagainya. Di Malaysia, profesion perguruan adalah antara profesion yang paling
mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia dengan buktinya mempunyai kira-kira 157415
orang guru pada tahun 1999. Guru merupakan suatu profesion yang bertanggungjawab
mendidik manusia dalam membentuk sahsiah para pelajar.
Mengikut kamus dwibahasa, perkataan akauntabiliti dijelaskan sebagai
bertanggungjawab kepada seseorang atau bertanggungjawab terhadap sesuatu. Selain itu,
akauntabiliti juga adalah mengenai disiplin dan keperluan untuk memberi justifikasi dan
menerima kebertanggungjawab terhadap sesuatu keputusan yang diambil. Maka, dari
konteks keguruan, akauntabiliti boleh dirumuskan sebagai bertanggungjawab terhadap
profesionalisme keguruan. Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus
difahami dan dilaksanakan oleh seorang guru. Akauntabiliti seseorang guru terhadap
profesionnya boleh diperlihatkan daripada laporan rasmi yang dikemukakan oleh
sekumpulan penilai bebas tentang pandangan mereka terhadap pencapaian atau prestasi
guru semasa menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, guru yang
sedang mengikuti latihan mengajar akan diawasi dan dinilai oleh panel penilai yang dilantik
oleh kementerian pendidikan supaya dapat melahirkan guru yang berkualiti. Panel penilai ini
biasanya terdiri daripada orang-orang profesional yang diberi pengiktirafan dan mempunyai
kecekapan menjalankan penilaian secara tepat dan saksama. Selepas penilaian dijalankan,
pengerusi bagi panel penilai akan mengemukakan satu laporan mengenai prestasi atau
pencapaian guru itu berdasarkan tugas yang dilaksanakan mengikut ciri-ciri yang ditetapkan
bagi mempertimbangkan langkah yang selanjutnya dalam meningkatkan prestasi guru.

1
Akauntabiliti seorang guru telah merangkumi tanggungjawab guru terhadap anak murid, diri
sendiri, sekolah, ibu bapa, masyarakat, negara dan sebagainya.

Sebagai seorang guru yang berprofesional, beliau harus berakauntabiliti dengan pelajar.
Sebagaimana yang kita ketahui, tugas dan tanggungjawab guru tidak hanya terhad kepada
penyampaian ilmu pengetahuan dalam bilik darjah sahaja, tetapi juga meliputi pembentukan
sahsiah murid-murid yang meliputi pelbagai aspek perkembangan dari segi intelek, rohani
emosi dan jasmani. Tujuannya adalah untuk mendorong murid-murid menjadi insan yang
berilmu pengetahuan, bermoral tinggi , hormonis dan seimbang. Selain itu, guru juga harus
menjalankan tugasnya dengan dedikasi di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, guru harus
menepati jadual waktu yang ditetapkan serta mempelbagaikan kaedah atau teknik
pengajaran supaya pelajar tidak mudah bosan mahupun mengantuk. Sebagai contoh,
penerapan ICT ke dalam pengajaran dan pembelajaran amat sesuai untuk generasi masa
kini kerana mereka telah dipengaruhi oleh pelbagai media elektronik seperti Internet,
intranet dan lain-lain. Penggunaan ICT dalam kelas lebih mudah menarik minat pelajar
berbanding dengan pengajaran secara tradisional iaitu “chalk and talk”. Maka, seorang guru
harus menguasai asas kemahiran mengakses ICT dalam pendidikan.

Di samping itu, guru perlu bersikap adil terhadap semua pelajar tanpa mengira bangsa,
agama dan budaya selaras dengan prinsip “Satu Malaysia”. Seorang guru harus
menganggap semua pelajarnya sebagai anak dan memberi kesayangan kepada mereka
dengan membimbing murid-murid menuju yang arah yang sihat. Guru perlu mengutamakan
kemajuan, kebajikan dan keselamatan pelajar berbanding dengan hal-hal lain. Selain itu,
guru harus menyampaikan sesuatu topik itu dengan tepat. Sekiranya memberi nota
tambahan, guru harus membekalkan kepada semua pelajar tetapi bukan kepada pelajar
yang disukainya. Dalam membuat penilaian, guru juga harus bertindak dengan saksama dari
segi permarkahan. Di samping itu, ganjaran dan denda harus dilaksanakan dengan adil dan
saksama supaya dapat mengawal disiplin pelajar. Keadaan ini adalah untuk mengelakkan
ketidakpuashati pelajar terhadap tindakan guru yang pilih kasih.

Setiap guru tidak boleh menerima sebarang hadiah daripada ibu bapa bahkan ia cuma
sesuatu yang amat murah. Sebagai seorang guru, ia merupakan tanggungjawab bagi
seorang guru untuk mendidik atau mengajar mereka. Mereka tidak boleh menerima
sebarang hadiah daripada anggota keluarga pelajar itu sebagai satu balasan kepada mereka
sendiri. Selain itu, ia juga boleh dikenali sebagai rasuah. Sebagai contoh, seorang pelajar
mendapat keputusan cemerlang dalam akademiknya, walaupun ia merupakan jasa mereka

2
tetapi mereka masih tidak boleh memperolehi atau meminta sebarang balasan daripada ibu
bapa. Sebaliknya, guru harus berasa bangga atas tunjuk ajar yang diberi sehingga
mendorong pelajar itu berjaya. Sebaliknya, bagi pelajar yang lemah dalam akademiknya,
seseorang guru juga tidak boleh meminta hadiah daripada ibu bapa. Hal ini demikian kerana
semasa mengajar pelajar yang lemah, ia memakan masa dan tenaga yang banyak. Oleh itu,
walaupun betapa susah pun, guru juga tidak boleh meminta sebarang hadiah sebagai
ganjaran ataupun balasan. Hal ini demikian kerana mengajar pelajar merupakan tugas asas
bagi setiap guru. Oleh itu, mereka mempunyai kewajipan untuk memberi ajaran dan
mendorong murid agar mereka berjaya pada masa akan datang.

Di samping itu, guru perlu menjadi teladan ataupun role model kepada para pelajar
dengan berpakaian kemas, bersopan santun dan berbudi bahasa semasa menjalankan
tugas. Hal ini demikian kerana dalam mata pelajar, guru merupakan seorang yang
dihormati. Maka, guru harus menjaga profesionalismenya supaya tidak dipandang serong
dan tidak disukai oleh anak muridnya. Sebagai contoh, semasa pelajar mempunyai
ketidakfahaman dalam pelajarannya dan pergi menanya guru, guru harus memberi layanan
yang bersopan dengan memberi tunjuk ajar yang sewajarnya supaya pelajar tersebut dapat
menguasai topik tersebut. Oleh itu, guru mempunyai akauntabiliti terhadap tahap
pencapaian, kemajuan serta kelakuan murid-murid yang diajarnnya.
Walaupun guru merupakan golongan yang mesti dihormati oleh para pelajar ataupun
statusnya lebih tinggi, tetapi guru juga perlu menghormati pelajarnya. Menghormati pelajar
bukanlah bermaksud pendidik perlu berdiri tegak ataupun membongkokkan diri sebagai
tunduk hormat ataupun tabik hormat tetapi memahami kelakuan dan permasalahan yang
dihadapi oleh para pelajar, tidak lokek dengan senyuman, bersopan santun dan sebagainya.
Dengan menghormati pelajar, secara tidak langsung pelajaran dan sahsiah diri pelajar akan
menjadi cemerlang. Elakkan menjadi guru yang dibenci, dipandang serong atau tidak
disukai oleh pelajar. Sebaliknya, hubungan erat perlu dijalin bagi merapatkan jurang antara
pelajar dengan pendidik. Seorang guru yang mempunyai sikap yang positif iaitu
menghormati orang secara tidak langsung ia turut akan mempengaruhi kelakuan pelajar
dengan menghormati orang.
Selain guru perlu mempunyai akauntabiliti terhadap pelajarnya, guru juga perlu
berakauntabiliti terhadap bidang pekerjaannya. Seperti yang kita ketahui, tugas utama guru
adalah untuk mendidik pelajarnya supaya boleh menjadi insan yang berilmu. Oleh itu, guru
harus memahami kurikulum sekolah dengan teliti supaya dapat melaksanakan tugasnya

3
dengan sempurna tanpa sebarang kesilapan. Guru harus merancang kerjanya supaya dapat
mencapai objektif pengajaran serta kelas boleh dijalankan dengan lancar.
Seterusnya, guru juga perlu berakauntabiliti terhadap sekolah di mana beliau perlu
bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan oleh pihak sekolah. Sebagai salah
seorang ahli di sekolah, guru perlu bertanggungjawab dan mengeluarkan sumbangan
terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah sama ada dari segi kurikulum mahupun
kokurikulum. Guru bukan saja perlu mengajar di kelas sebagai ejen perantara ilmu, tetapi
juga dikehendaki menjalankan tugas seperti guru disiplin, kaunselor, ketua panitia,
pengerusi skim pinjaman buku teks serta jawatan-jawatan lain. Setiap jawatan ini
mempunyai tugas masing-masing yang diamanahkan oleh pihak sekolah yang perlu dipikul
atau dilaksanakan oleh seseorang guru tersebut. Sebagai contoh, selaku guru disiplin,
perlulah mengawal kelakuan devian di sekolah dengan membuat rondaan semasa waktu
rehat ataupun menggabungkan tenaga sekolah bagi mengadakan ceramah mahupun
kempen tentang menangani masalah disiplin supaya dapat memberi kesedaran kepada
pelajar agar tidak terjerumus ke arah yang tidak sihat. Hal ini demikian kerana masalah
disiplin merupakan satu isu yang agak serius dan sering kedengaran di kebanyakan sekolah.
Selain itu, guru juga perlu bertanggungjawab terhadap tingkah laku sendiri kerana
mereka merupakan contoh teladan bagi para pelajar. Oleh itu, guru haruslah mempunyai
sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladan kepada murid-murid untuk dicontohi.
Dalam hal ini, guru haruslah sentiasa berpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan
santun, berbudi bahasa, sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap terhadap
tugas-tugas yang diamanahkan. Pendek kata, guru haruslah berkelakuan seperti guru,
berpakaian seperti guru, berjalan seperti guru dan bertutur seperti guru (Mok Soon Sang,
1990). Sekiranya guru tidak mempunyai kelakuan yang baik misalnya merokok di kawasan
sekolah, maka pelajar juga akan terikut-ikut dengan perbuatan guru kerana mereka
berpendapat bahawa guru boleh membuat demikian, maka pelajar juga boleh membuat
begitu. Selain itu, cara pertuturan guru mestilah bersopan santun kerana sekiranya guru
tersilap cakap, ia akan menyinggung perasaan pelajar bila-bila masa dan menyebabkan
mereka terasa rendah diri dan tidak bersemangat untuk terus belajar sehingga
menyebabkan mereka cuba mengelakkan diri daripada guru tersebut dengan ponteng
sekolah ataupun tidak masuk ke kelas. Di sini, telah menunjukkan tingkah laku guru amat
penting dan mampu mempengaruhi tingkah laku pelajar untuk menjadi baik ataupun tidak.
Merujuk perkara di atas, guru adalah dikenali sebagai role model untuk dicontohi oleh para
pelajar sama ada dalam sekolah ataupun luar sekolah iaitu mempunyai ilmu yang tinggi dan
relevan, penampilan diri yang positif, berketerampilan dan mengamalkan budaya positif.

4
Sebagai seorang profesional, guru mempunyai akuantabiliti terhadap profesionnya. Oleh
itu guru bertanggungjawab meningkatkan imej profesion keguruan dengan memberi
perkhidmatan yang bermutu tinggi seperti mengajar murid dengan cekap dan dedikasi
supaya setiap murid yang diajarnya akan berjaya mencapai keputusan akedemik yang
cemerlang. Dalam hal ini guru hendaklah sentiasa berazam menambahkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pendidikan melalui pelbagai kursus ataupun
buku rujukan supaya dapat menjalankan tugas mengajar cekap dan sempurna. Ini
termasuklah memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dan
menyertai seminar pendidikan seperti kursus-kursus yang dianjurkan oleh jabatan
pendidikan atau pihak sekolah sebagai usaha untuk menepati akauntabilitnya terhadap
profesionalisme keguruan. Sebagai contoh, guru harus merancang dan melaksanakan
strategik pengajaran dan mesti mengajar mengikut fakta yang betul supaya merid-murid
boleh mempelajari sesuatu dengan tepat. Di samping itu, guru perlu menjaga nama baik
profesion dengan tidak menjadikan isu-isu peribadi sebagai bahan sajian di media-media
atau disampaikan kepada pihak yang bukan satu profesion. Elakkan diri daripada membuat
sebarang kenyataan atau ulasan pelajar ataupun ibu bapa, ataupun berbuat sesuatu yang
boleh menjatuhkan maruah guru. Namun, elemen yang paling penting ialah guru tidak boleh
melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan mereka sebagai guru
seperti menghisap dadah, kaki judi dan sebagainya. Sebagai contoh, masalah hutang
dengan kongsi gelap akan menyebabkan guru tidak dapat menumpu perhatian dalam
menjalankan tugasnya kerana bimbang dan takut terhadap kekacauan yang mungkin
dilakukan oleh gangster.
Sebagaimana profesion-profesion yang lain, guru haruslah menjalankan tugas dan
tanggungjawab mereka mengikut hasrat sekolah, murid, ibu bapa, masyarakat dan negara
Guru harus mempunyai dorongan bekerja untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti
kepada masyarakat. Sebagai contoh, dorongan bersifat intrinsik amat penting dan
mempunyai nilai yang tinggi terhadap kualiti perkhidmatan yang akan dibekalkan oleh guru-
guru tersebut. Adalah diharapkan, kaum guru dapat menjalankan tugas mereka dengan
penuh dedikasi, berdasarkan objektif dan rasional, tidak bersifat emosi serta bersangka
buruk kepada masyarakat supaya mutu perkhidmatan mereka selaras dengan akauntabiliti
mereka terhadap bidang, sekolah, tingkahlaku murid dan profesion keguruan. Sebagai
contoh, guru harus mempunyai semangat sanggup berkorban untuk pelajar, sekolah
mahupun masyarakat kerana peranan mereka adalah mulia dalam melahirkan modal insan
yang berilmu dan berkaliber.

5
Tambahan pula, guru perlu bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara
kerana peranan guru bukan saja terhad di bilik darjah. Guru perlu menjalankan tugas
menyebarkan Falsafah Pendidikan Negara dengan jelas. Selain daripada itu, guru harus
menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan matlamat pendidikan negara berlandaskan
kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru perlu memupuk nilai dan sikap yang murni dan
sesuai dengan masyarakat berbilang bangsa dalam setiap jiwa pelajar dan membimbing
mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab serta berguna. Oleh
demikian, guru harus mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh
merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara serta bertentangan dengan
prinsip Rukun Negara. Dalam berakauntabiliti terhadap masyarakat dan negara, guru harus
memenuhi tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian
secara tegas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat ataupun memberi sumbangan secara
sukarela kepada negara seperti melibatkan diri dalam anggota sukarelawan, seminar-
seminar dan sebagainya. Kerjasama antara guru dan ibu bapa amat penting bagi
mengeratkan hubungan dan persefahaman. Dengan adanya kerjasama antara ibu bapa dan
guru, prestasi atau kelakuan pelajar dapat diperhatikan mahupun diselia. Sebagai contoh,
sebagai pemantau di sekolah, guru boleh melaporkan tingkah laku negatif pelajar itu seperti
memukul orang, mencabul kehormatan, menggugut dan lain-lain lagi kepada ibu bapanya
supaya mereka dapat bekerjasama untuk menangani masalah yang dihadapi oleh pelajar itu
sama ada dari segi pengaruh rakan sebaya, emosi mahupun perangainya sendiri. Namun
begitu, terdapat sesetengah ibu bapa memihak kepada anaknya sendiri dengan
menyalahkan guru kerana tidak mendidik anaknya dengan baik sehingga menyebabkan
mereka terjerumus dalam pelbagai kelakuan devian. Di sini, ia telah menunjukkan bahawa
ibu bapa dan guru tidak mempunyai kesefahaman sejagat di mana konflik antara guru
dengan ibu bapa berlaku. Kerjasama antara dua pihak ini amatlah penting untuk melahirkan
modal insan yang berkaliber. Untuk mengeratkan kerjsama kedua-dua pihak, Persatuan Ibu-
Bapa dan Guru-Guru telah dibentuk bagi membantu meningkatkan kebajikan dan kemajuan
pelajar serta imej sekolah memberikan gambaran yang jelas tentang fungsi badan tersebut
dalam pembangunan pemantapan pendidikan negara. Guru harus bersopan santun dan
bertingkah laku baik dalam segala aktiviti sosial demi mewujudkan suasana harmoni dalam
masyarakat kerana mereka dikatakan sebagai agen penghubung antara rakyat dan kerajaan
serta berperanan dalam menyelesaikan masalah-masalah ataupun kekeliruan yang berlaku
di kalangan rakyat. Hal ini disebabkan guru-guru perlu muncul sekali sebagai pemimpin
masyarakat sebagaimana yang pernah dimainkan oleh mereka pada zaman-zaman sebelum
merdeka dan selepas merdeka. Maka, guru harus terus aktif melibatkan diri dengan

6
memberi sumbangan cergas kepada masyarakat bagi meninggikan kehidupan moral,
kebudayaan dan kecendekiawan masyarakat.
Akauntabiliti terhadap masyarakat juga termasuklah rakan sejawat mereka selain
daripada mendidik pelajar. Seorang guru yang cekap dalam bidang ataupun kemahiran
tertentu boleh membantu rakan sejawatnya dengan berkongsi ilmu tersebut. Sebagai
contoh, seorang guru yang mahir dalam ICT boleh memberi tunjuk ajar kepada rakan
sejawatnya yang lemah dalam bidang ICT. Para guru perlu sentiasa membantu rakan
sejawat mereka terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan dan belum biasa
dengan budaya baru di sesebuah sekolah. Sebagai contoh, guru-guru senior boleh menjadi
pembimbing atau mentor kepada guru-guru baru dalam proses meningkat kemahiran dalam
pengajaran mereka kerana sering kali guru-guru pelatih yang menjalani praktikum tidak
mendapat bimbingan yang sewajarnya. Selain itu, Sistem Pembinaan Profesional telah
dibentuk untuk meningkatkan kemampuan profesionalisme guru sekolah dasar. Sistem ini
adalah suatu sistem pembinaan yang diberikan kepada guru dengan menekankan bantuan
pelayanan profesi berdasarkan kebutuhan guru di lapangan melalui pelbagai wadah
profesional dalam rangka peningkatan mutu pendidikan dengan menerapkan prinsip
pembinaan antara teman sejawat dalam peningkatan kemampuan profesional guru yang
dijalankan secara terus menerus yang dilandasi oleh tujuan dan semangat untuk maju
sama. Keadaan ini dapat menggalakkan nilai bersatu padu dalam melaksanakan tugas yang
diamanahkan dalam mencapai matlamat pendidikan negara. Setiap guru wajib mengawasi
diri supaya tidak mencemarkan nama baik guru lain kerana setiap guru adalah ahli dalam
sesebuah pertubuhan guru. Tanpa kerjasama semua guru, matlamat pendidikan negara
tidak akan tercapai. Justeru itu, guru harus menjalin hubungan erat dengan rakan
sejawatnya supaya dapat bekerjasama merealisasikan visi dan misi sekolah.
Seterusnya, guru juga perlu berakauntabiliti terhadap program pendidikan. Di
sekolah, guru bertanggungjawab untuk mendidik pelajar dan menjadi penjana modal insan.
Maka, elemen yang paling utama ialah guru perlu lengkap dengan ilmu pengetahuan.
Pembentukan budaya belajar seumur hidup perlu diterapkan dalam profesion guru kerana
konsep profesionalisme profesion guru amat berkait rapat di antara aspek keilmuan dengan
aspek operasional. Justeru itu, guru harus membaca secara meluas buku-buku yang
berkaitan dengan mata-mata pelajaran yang diajar supaya dapat memahami selengkap-
lengkapnya isi dan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar.
Selain daripada maklumat yang berkaitan dengan mata pelajaran, guru juga harus sering
membaca bahan rujukan lain seperti surat khabar, jurnal, artikel dan sebagainya untuk
memahami maklumat semasa atau perubahan-perubahan terkini yang berlaku di seluruh

7
negara supaya dapat diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh,
dalam mengajar Geografi, guru harus mengetahui berita semasa tentang kes-kes bencana
yang berlaku di seluruh dunia untuk diterapkan dalam pengajaran sebagai bahan bantu
mengajar supaya pelajar lebih memahami konsep atau isu lain mengenai bencana tersebut.
Untuk menambah ilmu pengetahuan guru tersebut, guru boleh menyertai seminar
pendidikan dan menghadiri kursus dalam perkhidmatan untuk meningkat prestasi dalam
aktiviti pengajaran terutamanya bagi guru yang baru menceburi bidang keguruan. Piawaian
juga disediakan bagi membantu guru baru memberi bimbingan dan panduan yang
terperinci, telus, tersusun, jelas dan boleh dijadikan sebagai asas bagi program perguruan
masa depan. Untuk menjalankan sesi pengajaran, guru perlu merancang dan melaksanakan
strategik pengajaran sepenuhnya supaya mencapai objektif pelajaran secara maksimum.
Sebagai contoh, penyediaan Rancangan Pengajaran Harian merupakan satu buku rekod
yang mesti digunakan oleh guru supaya kelas dapat dijalankan dengan lancar.
Selain daripada itu, guru juga perlu mempunyai akauntabiliti terhadap diri sendiri.
Domain diri adalah pegangan nilai guru yang sedia ada dan perlu dikembangkan supaya
guru dapat memberikan sumbangan yang berkesan serta menaikkan kualiti keguruan dalam
mencapai matlamat pendidikan negara. Oleh itu, pelbagai nilai perlu diterapkan dalam jiwa
guru seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah, bertanggungjawab, yakin dan
sebagainya. Sebagai contoh, agama merupakan satu elemen yang penting bagi guru. Hal ini
demikian kerana setiap agama yang wujud di dunia ini sentiasa menggalakkan semua
penganutnya untuk melakukan perkara-perkara yang baik. Pendidik yang mempunyai
pegangan agama yang kuat akan sentiasa memastikan tugas dan tanggungjawabnya yang
diamanahkan kepadanya dilaksanakan dengan penuh komitmen tanpa sebarang persoalan
menyesal, mengeluh dan membebankan. Pendidik yang mempunyai pegangan agama yang
kuat akan melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademiknya dan kokurikulum untuk
membentuk personaliti unggul. Guru boleh menerapkan ajaran agama dalam pengajaran
dan pembelajaran supaya sikap atau tingkah laku pelajar tidak terserong.
Seorang guru yang berakauntabiliti terhadap diri sendiri perlu menjaga kesihatan
badan diri supaya dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Sekiranya guru sakit atau
kurang sihat, sesi pengajaran tidak dapat dijalankan dengan lancar terutamanya semasa
kokurikulum. Selain itu, guru mesti mengawal emosi sendiri supaya mendapat ketenangan
dan ketenteraman jiwa . Guru dilarang sekali membawa unsur yang melibatkan masalah
keperibadiannya ke dalam bilik darjah. Sebagai contoh, sekiranya guru menghadapi masalah
kewangan di rumah, adalah tidak boleh guru mengeluarkan tekanannya ke atas pelajar
seperti marah pelajar sesuka hati, sengaja menyusahkan pelajar dan sebagainya. Justeru,

8
guru perlu dinasihatkan agar mengawal kewangannya dengan baik kerana masalah
kewangan yang menimbulkan masalah luaran boleh menjejaskan tumpuan mereka untuk
mengajar. Komponen yang paling utama ialah guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan melalui pembacaan yang luas. Ini termasuklah membaca buku ilmiah selain
membaca buku teks. Untuk melahirkan situasi pengajaran berkesan, terlebih dahulu guru
perlu menguasai ilmu yang mesti ada iaitu berkaitan dengan opsyennya sendiri. Pembacaan
surat khabar serta radio dan televisyen dapat membantu guru tersebut menjadi seorang
yang berpengetahuan dan peka terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling.
Guru juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam sesuatu hobi atau aktiviti yang
bermanafaat dengan tujuan mengisi masa lapang secara berfaedah supaya guru itu boleh
sihat dari segi mental dan fizikal. Penglibatan diri dalam sesetengah hobi atau aktiviti turut
boleh mencungkil bakat guru tersebut supaya dapat mengeluarkan sumbangan untuk
sekolah. Sebagai contoh, sekiranya seorang guru itu mempunyai bakat dalam bidang sukan,
maka beliau boleh membantu meningkatkan kualiti sukan sebagai jurulatih sandaran di
sekolah semasa waktu lapang supaya dapat mencungkil bakat-bakat yang tersembunyi
dalam diri pelajar. Dengan adanya tunjuk ajar dari guru tersebut, ia bukan saja dapat
membantu pelajar-pelajar menjadi cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut dalam
kokurikulum.
Akauntabiliti guru seterusnya ialah terhadap ibu bapa. Menurut kajian lepas yang
dijalankan oleh Yahya Buntat & Zainuddin Masrom, 2003 di sebuah sekolah di Kulai Johor,
gurunya mempunyai tanggungjawab yang baik kepada ibu bapa iaitu sebanyak 95.2%.
Mereka sering memaklumkan kepada ibu bapa apabila pelajar tersebut tidak hadir ke
sekolah. Tujuannya adalah untuk mengenal pasti sama ada pelajar itu tidak hadir ke sekolah
atas pengetahuan ibu bapa ataupun tidak kerana sesetengah pelajar tidak masuk ke sekolah
walaupun ibu bapanya telah menghantar anaknya ke sekolah. Selain itu, apabila berlakunya
kesalahan devian di sekolah, guru di sekolah tersebut akan melaporkan perkara ini kepada
ibu bapanya supaya boleh bekerjasama menangani masalah ini. Seterusnya, gurunya turut
berkunjung ke rumah pelajar bagi merapatkan hubungan antara satu sama lain. Keadaan ini
dapat membantu ibu bapa dan guru mencapai satu kesefahaman kerana kedua-dua pihak
ini amat mempengaruhi generasi muda tersebut iaitu sebagai ibu bapa. Apabila terdapat
apa-apa masalah yang berlaku ke atas pelajar, guru dan ibu bapa dapat berganding bahu
untuk membantu pelajar tersebut agar tidak terserong kelakuannya. Setiap ibu bapa
menghantar anak mereka ke sekolah adalah untuk mempelajari ilmu serta membina tingkah
laku yang positif. Maka, guru harus mempunyai teladan yang positif untuk dicontohi oleh
para pelajar. Hal ini demikian kerana ibu bapa mempunyai tanggapan dan harapan yang

9
tinggi terhadap guru. Maka, guru harus megelakkan diri daripada membuat sesuatu perkara
yang akan mengecewakan golongan ibu bapa seperti merokok, bercakap kasar dan
sebagainya.
Secara tuntasnya, profesion perguruan dan sistem pendidkan di Malaysia sedang
berhadapan dengan arus perdana globalisasi dan inovasi dalam bidang teknologi. Setiap
guru harus melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran melalui pelbagai kursus, latihan,
rujukan dan sebagainya bagi meningkatkan kualiti pengajaran. Tugas dan cabaran ini perlu
dipikul oleh para guru kerana mereka diibaratkan sebagai “lilin membakar diri menerangi
orang lain”. Guru harus memahami prinsip akauntabiliti sepenuhnya supaya dapat
memahami tangunggjawab mereka. Setiap guru harus menghayati prinsip akauntabiliti
supaya dapat meningkatkan tahap profesionalisme guru dengan menjalankan
tanggungjawab dan tugas-tugas yang diamanahkan dengan lebih komited dan dedikasi.
Peranan guru bukan saja terhad kepada pelajar, tetapi juga terhadap masyarakat, negara
dan sebagainya. Kesedaran terhadap akauntabiliti dapat mendorong para guru lebih
bertanggungjawab serta mengeluarkan sumbangan dengan ikhlas. Sekiranya seorang guru
itu mengabaikan akauntabilitinya, maka tanggungjawabnya akan diabaikan dan tidak
dijalankan dengan baik. Maka, ia akan menghadapi kegagalan melahirkan modal insan
seperti yang dicita-citakan oleh negara. Generasi muda ini memainkan peranan yang
penting kerana mereka merupakan bakal-bakal pemangkin negara dan semangat untuk
menyumbang kepada negara dapat diterusi dari satu generasi ke satu generasi. Semua
pihak perlu sama-sama memikul tanggungjawab dalam mencorakkan warganegara Malaysia
yang berkualiti dalam usaha mencapai negara bangsa Malaysia pada masa hadapan.

10
Rujukan
Mohamad Shatar Sabran., Jasni Sabri & Azali Mohamed. (2006). Tip Pendidik Cemerlang.
Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Mok Soon Sang. (1990). Pedagogi 4: Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan . Kuala
Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Zulhilmi Paidi & Rohani Abdul Ghani. (2003). Pendidkan Negara Bangsa. Pahang: PTS
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Salleh Abd Rashid., Shukery Mohamed & Denis Lajium. (Eds). (2005). Pemikiran Pendidikan.
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
Noratiqah Suhaimi., Rohana Hamzah & Amimudin Udin. (2011). Profesionalisme Guru PTV
dalam Membentuk Insan Sedar Kendiri(Self- Actualization). Journal of Edupres, 1,
230-237.
Yahya Buntat & Zainuddin Masrom. (2003). Amalan Etika Profesion Perguruan di Kalangan
Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kulai Johor. Satu Tinjauan. Jurnal
Teknologi, 38, 65-74.
Shazela Seman. (2012). Akauntabiliti Keguruan. Pulau Pinang: SMK Bukit Jambul.

Ibrahim Bafadal. (2006). Pentingnya Peningkatan Kemampuan Profesional Guru Sekolah


Dasar. Jurnal Pendidikan Inovatif, 1(2), 39-49.

11

Anda mungkin juga menyukai