Anda di halaman 1dari 25

MODEL ESEI UNTUK PENULISAN ESEI ILMIAH

KERJA KURSUS SEJARAH, KERTAS 940/4


SIJIL TINGGI PELAJARAN MALAYSIA (STPM)

Tajuk

PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA, 1953-2013: PERANANNYA


DALAM ‘MEMASYARAKATKAN SEJARAH’

Oleh

Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir


Calon Sarjana Sastera (Sejarah Malaysia)
Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Esei ini ditulis berdasarkan format dan spesikasi piawai sebagaimana yang
dikehendaki dalam Kertas Kerja Kursus Sejarah STPM, 940/4
Majlis Peperiksaan Malaysia
PERSATUAN SEJARAH MALAYSIA, 1953-2013:
PERANANNYA DALAM ‘MEMASYARAKATKAN SEJARAH’

Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir


(No KP: 0000000-00-0000)

Esei Ilmiah
Kertas Kerja Kursus Sejarah, Kertas 940/4
Sekolah Sejarah Untuk Kemahiran Abad ke-21
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Guru Pembimbing: XXXXXXXXXXXXXXXX
1 JANUARI 2020
Kandungan

Bil. Perkara Halaman

1.0 Pengenalan 1

2.0 Sejarah Penubuhan dan Perkembangan PSM 2

3.0 Pengertian Konsep ‘Memasyarakatkan Sejarah’ 5

4.0 Program ‘Memasyarakatkan Sejarah’ 7

4.1 Pertandingan Sejarah 7

4.2 Pameran Sejarah 9

4.3 Pewacanaan Sejarah 12

5.0 Kesimpulan 16

Nota Hujung 17

Bibliografi 19

Lampiran A 21

Lampiran B 22
1

1.0 Pengenalan

Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan sejak

enam puluh tahun lalu. Matlamat penubuhannya adalah untuk menyebarluaskan pengetahuan

sejarah, berasaskan prinsip ‘memasyarakatkan sejarah’ kepada pelbagai lapisan masyarakat

Malaysia. 1 Bagi melaksanakan peranan tersebut, sejak awal penubuhannya lagi, PSM secara

berterusan telah menjalankan pelbagai kegiatan kesejarahan sebagai wahana untuk mencapai

matlamat penubuhannya. Untuk memahami peranan PSM dalam memasyarakatkan sejarah di

Malaysia, maka tumpuan perbincangan esei ini menjurus kepada konsep ‘memasyarakatkan

sejarah’ dan bagaimana PSM menterjemahkan konsep ke dalam pelbagai bentuk program

yang dilaksanakan sepanjang tempoh 60 tahun kewujudannya. Perlaksanaan program

berkenaan adalah sebahagian daripada usaha badan ini melaksanakan peranannya untuk

menyebarkan pengetahuan sejarah ke dalam masyarakat.

Sebelum menjelaskan konsep ‘memasyarakatkan sejarah’ dan peranan PSM dalam

menyebarkan pengetahuan sejarah ke dalam masyarakat, akan disentuh terlebih dahulu

sejarah penubuhan PSM, sebagai latar belakang kepada peranan dan pelbagai program yang

dilaksanakan sejak penubuhannya itu. Supaya perbincangan esei ini lebih terarah kepada

permasalahan pokok, maka perbincangan tentang peranan badan ini hanya ditumpukan pada

kegiatan PSM di peringkat pusat sahaja. Bagi menjelaskan peranan tersebut kajian ini

meneliti pelbagai sumber primer dan sekunder tentang persatuan ini bagi memperolehi

maklumat yang berkaitan. Berdasarkan maklumat tersebut, jelas bahawa dalam tempoh 60

tahun kewujudannya, PSM telah bergerak sebagai sebuah badan sejarah yang sentiasa

komited dalam pelaksanaan peranannya. Keperihatinan utama dalam setiap program yang

dilaksanakan dalam tempoh tersebut adalah bertujuan memastikan masyarakat Malaysia

mempunyai kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam kehidupan mereka dan juga

memahami serta menghayati sejarah tanah air sendiri.


2

2.0 Sejarah Penubuhan dan Perkembangan PSM

Gagasan menubuhkan PSM pada awalnya dikemukakan oleh M.C.ff Sheppard,

seorang tokoh pentadbiran Inggeris. 2 Sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif

Peperangan bagi Negeri Sembilan, Sheppard sentiasa memikirkan kaedah bagaimana mahu

melemahkan ancaman komunis yang sedang memuncak di Tanah Melayu ketika itu. Salah

satu gagasan beliau adalah, sebuah badan awam yang berasaskan sejarah perlu ditubuhkan

supaya ia dapat memainkan peranan menyatupadukan kefahaman dan ingatan kolektif rakyat

tentang sejarah tanah air mereka. Sheppard kemudiannya telah menyampaikan gagasan itu

kepada Ahli Pendidikan Tanah Melayu, Dato’ E.E.C. Thuraisingam. 3 Setelah menelitinya,

Dato’ Thuraisingam mengaturkan suatu mesyuarat di Government Offices, Jalan Raja, Kuala

Lumpur pada 13 Febuari 1953 untuk membincangkan penubuhan sebuah persatuan yang

boleh memainkan peranan khusus untuk menyebarkan pengetahuan sejarah ke tengah-tengah

masyarakat. 4 Para Menteri-Menteri Besar dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan yang

menghadiri mesyuarat itu bersetuju menubuhkan badan sejarah berkenaan. Mereka juga

menetapkan bahawa peranan utama badan ini adalah membina kesedaran, membangkitkan

minat dan penghayatan masyarakat terhadap sejarah negara ini. Sementara keahliannya pula

dibuka kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis Perasmian PSM disempurnakan oleh Sir Gerald Templer, 30 April 1953
3

Akhirnya pada tanggal 30 April 1953, PSM telah ditubuhkan secara rasmi. Majlis

perasmiannya disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Gerald Templer.

Majlis yang diadakan di Town Hall, Kuala Lumpur itu juga turut dihadiri oleh ramai orang

kenamaan. Antaranya ialah DYMM Sultan Pahang, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,

Sultan Kedah, Sultan Terengganu, Raja Muda Perak dan Raja Muda Kelantan. Lebih kurang

250 orang tetamu yang terdiri dari orang kebanyakan juga hadir. 5 Selepas acara perasmian

berakhir, mesyuarat melantik Ahli Majlis PSM yang pertama telah dijalankan. Mesyuarat itu

memilih Dato’ Mahmud Mat, Ahli Tanah, Galian dan Perhubungan sebagai Yang Di-Pertua

PSM pertama. Manakala Dato’ E.E.C. Thuraisingam, Dato’ Nik Ahmed Kamil dan Dato’

Tan Cheng Lock pula sebagai Naib Yang Dipertua PSM. Sementara 13 orang tokoh lain pula,

sebagai Ahli Majlis PSM dan dua orang lagi sebagai Setiausaha dan Bendahari Kehormat. 6

Tidak lama setelah penubuhannya, PSM mula berkembang pesat menerusi penubuhan

cawangan bagi peringkat negeri dan daerah. Penubuhan PSM cawangan bertujuan bagi

memastikan setiap program dan kegiatan badan ini mampu sampai kepada khalayak yang

lebih besar dari seluruh negara. 7 PSM Kuala Lumpur adalah cawangan peringkat negeri yang

pertama. Cawangan ini ditubuhkan pada 19 Jun 1953. 8 Pada tahun ini juga, muncul lagi

beberapa cawangan PSM peringkat daerah. Antaranya ialah PSM Taiping, Kuantan, Kota

Bharu, Port Dickson, Kinta, Kuala Trengganu, dan Seremban. 9 Sehingga tahun 1976, PSM

telah mempunyai 13 cawangan peringkat negeri dan 14 cawangan di peringkat daerah. 10

Bersandarkan kepada perkembangan tersebut, PSM akhirnya muncul sebagai salah sebuah

Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang paling kukuh dari segi susunan gerak kerja dan juga

organisasinya di Malaysia sehingga hari ini.

Salah satu tanda kekukuhan PSM sebagai sebuah organisasi adalah keupayaannya

membangunkan kompleks Ibu Pejabatnya sendiri yang dinamakan sebagai “Wisma Sejarah”.

Bangunan 10 tingkat yang berharga RM 20 juta ini terletak di Jalan Tun Razak, ditengah-
4

tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Semenjak bangunan ini siap pada tahun 2003, Wisma

Sejarah mula bergerak sebagai pusat kegiatan pelbagai program kesejarahan di negara ini. 11

Pelbagai kemudahan yang ada di sini seperti perpustakaan penyelidikan, dewan persidangan,

dewan pameran dan bilik seminar juga memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat,

terutamanya bagi yang ingin menjalankan pelbagai aktiviti keilmuan, khususnya yang berkait

sejarah negara. Sebenarnya, sejak dari mula lagi, bangunan ini memang dirancang bukan

sahaja untuk menjadi Ibu Pejabat PSM, tetapi juga untuk menjadi ‘rumah’ bagi segala aktiviti

berkaitan sejarah di Malaysia. 12 Menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Tan Sri

Omar Mohd Hashim, “Memang menjadi matlamat kami sejak dahulu lagi untuk menjadikan

Wisma Sejarah ini sebagai pengkalan kepada pelbagai kegiatan sejarah di negara kita.” 13

Kiri: Tan Sri Omar Mohd


Hashim menyampaikan
cenderamata kepada Tun
Abdullah Ayub yang telah
merasmikan Majlis
Sambutan Jubli Emas
PSM di Dewan Tun
Hamdan Sheikh Tahir,
Wisma Sejarah pada 30
April 2003.

Bawah: Tan Sri Omar


Mohd Hashim
5

3.0 Pengertian Konsep ‘Memasyarakatkan Sejarah’

Penegasan Tan Sri Omar Mohd Hashim itu sebenarnya berkait rapat dengan konsep

‘memasyarakatkan sejarah’ yang menjadi teras perjuangan PSM. Berasaskan kepada konsep

inilah PSM menggunakan kemudahan yang tersedia di Wisma Sejarah bagi melaksanakan

kegiatan-kegiatan kesejarahan yang bertujuan ‘memasyarakatkan sejarah’, dengan matlamat

utamanya supaya pemahaman dan minat masyarakat tehadap sejarah tanah air terus

bercambah. Dalam sebuah tulisan beliau, Tan Sri Omar Mohd Hashim menjelaskan konsep

‘memasyarakatkan sejarah’ tersebut,

“Kita menggerak aktiviti secara tidak menonjol tetapi berkesan untuk me-
nimbulkan ‘historical consciousness’ dalam kalangan rakyat biasa, khasnya
generasi muda tentang peri pentingnya sejarah sebagai suatu tenaga atau force
penyumbang kepada pembangunan dan keutuhan negara bangsa. Gerakan kita
dalam usaha merakyatkan sejarah sesuai dengan pesanan Dato’ Mahmud Mat,
Yang DiPertua sulong PSM iaitu “PSM harus menjadi persatuan yang mengab-
dikan kepada rakyat biasa di kampung-kampung.” Pesanan ini memberi suatu
niche yang tersendiri kepada PSM...” 14

Berdasarkan penerangan di atas, konsep ‘memasyarakatkan sejarah’ itu adalah suatu

iltizam PSM untuk memastikan setiap kegiatan atau program-program yang dilaksanakannya

sentiasa bertumpukan masyarakat luas. Tumpuan berkenaan dilakukan supaya pelbagai

lapisan rakyat samada yang tinggal di bandar ataupun di kampung, yang kaya atau yang

miskin, dan yang muda mahupun yang tua mampu, mengikuti program tersebut. Malahan ,

sejak awal penubuhannya lagi, para peneraju PSM telah menekankan bahawa sasaran

kegiatannya tidak seharusnya bertumpu hanya kepada kelompok tertentu di dalam masyarakat

sahaja. Pendirian ini sangat ketara dalam pelbagai kenyataan yang dibuat dari semasa ke

semasa oleh pendokong utama badan ini. Misalnya, ketika merasmikan penubuhan PSM,

Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Gerald Templer, telah dengan tegas mengingatkan

bahawa, “This is not a Society for the Government, for the educated, or for any class or

section of the population; it is for everybody, and everybody has something to contribute to
6

it.” 15 Selain itu, Tun Hamdan Sheikh Tahir, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM (sebelum

jawatan ini diambil alih oleh Tan Sri Omar Mohd Hashim) juga turut menegaskan bahawa,

“...in the Malaysian Historical Society in our little ways are providing a service to the

community...” 16 Pernyataan tersebut kemudiannya menjadi asas utama kepada PSM dalam

usaha melaksanakan peranannya untuk ‘memasyarakatkan sejarah.’ Justeru, dalam setiap

perancangan program dan perlaksaaannya, manfaat untuk masyarakat umum sentiasa menjadi

pertimbangan utama.

Selari dengan prinsip ‘memasyarakatkan sejarah’ itu tadi, maka setiap program PSM

telah dirangka secara khusus dan teliti kerana ingin memastikan supaya setiap program itu

berupaya menarik minat masyarakat, terutama apabila sasaran sesebuah program berkenaan

adalah masyarakat awam. Lazimnya, bagi program sebegini, PSM menggunakan pendekatan

berbentuk popular. Menerusi pendekatan ini, perancang program sentiasa memastikan agar

penyampaian atau persembahannya tidak terlalu serius dan ‘berat’ seperti mana yang biasa

berlaku dalam kegiatan kesejarahan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Tujuannya

adalah untuk mengelakkan masyarakat awam menjauhi sejarah negara sendiri, semata-mata

kerana mereka menghadapi kesukaran memahami sejarah, atau disebabkan cara penyampaian

pengetahuan sejarah itu membosankan. PSM percaya bahawa, menerusi pendekatan popular

ini, upaya menarik minat pelbagai golongan masyarakat dari latar belakang yang berbeza,

untuk mempelajari dan memahami sejarah tanah air sendiri menjadi lebih mudah. Hal tersebut

dinyatakan secara jelas oleh Tan Sri Omar Mohd Hashim, iaitu,

“Kita dalam PSM mempunyai matlamat yang agak sederhana, iaitu: bagaimana
mengembangkan minat mengenai sejarah, kebudayaan dan adat resam orang
Malaysia dan negara jiran di kalangan masyarakat am di negara ini; secara te-
gas, bagaimana hendak mempopularkan sejarah di kalangan rakyat. Bukan se-
bagai satu bahan pengajian atau disiplin yang ilmiah, bukan sebagai satu pe-
lajaran mengenai tarikh-tarikh yang usang dan fakta-fakta yang kering dalam
buku tebal yang perlu dihafal - tetapi sebagai suatu pengetahuan praktik yang
hidup dan dapat dijadikan bimbingan, pemikiran dan panduan sehari-hari.” 17
7

Prinsip ‘memasyarakatkan sejarah’ di atas kemudiannya diterjemahkan oleh PSM menerusi

penganjuran pelbagai program selama 60 tahun ini.

4.0 Program-program ‘Memasyarakatkan Sejarah’

Perbincangan selanjutnya memberi perhatian kepada pelbagai program yang telah

dijalankan oleh PSM semenjak penubuhannya sehingga ke hari ini. Namun begitu, tumpuan

perbincangan adalah kepada bentuk dan objektif penganjuran setiap program yang menjadi

wadah kepada PSM melaksanakan peranannya dalam ‘memasyarakatkan sejarah.’ Menerusi

pengamatan ke atas program itulah kita dapat melihat bagaimana PSM menerapkan prinsip

‘memasyarakatkan sejarah’ itu dalam setiap program yang dilaksanakan. Secara umumnya,

kita boleh membahagikan program ‘memasyarakatkan sejarah’ oleh PSM kepada tiga bentuk,

iaitu Pertandingan Sejarah, Pameran Sejarah dan Perwacanaan Sejarah.

4.1 Pertandingan Sejarah

Salah satu program PSM yang dirangka sesuai dengan prinsip ‘memasyarakatkan

sejarah’ adalah penganjuran pelbagai jenis pertandingan yang berorientasikan sejarah.

Tujuannya adalah untuk menarik minat masyarakat, terutama generasi muda terhadap sejarah

negara. Diharapkan dengan menyertai kegiatan seperti itu mereka akan lebih memahami dan

berinisiatif untuk meningkatkan tahap pengetahuan sejarah negara sendiri. Menurut Tan Sri

Omar Mohd Hashim, sebahagian besar program pertandingan yang dianjurkan oleh PSM

adalah “...rancangan-rancangan berbentuk popular yang bertujuan untuk memupuk

kefahaman, minat dan rasa cinta terhadap sejarah tanah air.” 18 Misalnya, Pertandingan

Menulis Esei Sejarah adalah antara pertandingan berbentuk popular yang dianjurkan secara

tahunan. Pertandingan ini sudah dimulakan sejak tahun 1964 lagi. Di peringkat awalnya,

penyertaan pertandingan menulis esei hanya terbuka kepada pelajar universiti sahaja. 19

Namun, sesuai dengan hasrat PSM meluaskan lagi proses ‘memasyarakatkan sejarah,’ mulai
8

tahun 1972 sehingga hari ini para pelajar sekolah dan orang awam juga turut berpeluang

mengambil bahagian. 20 Antara objektif program tahunan ini menurut Pengerusi Jawatankuasa

Tetap Pertandingan PSM, Tuan Haji Abdul Rahman Ali adalah untuk,

(1) Menimbulkan kesedaran, minat dan penghayatan di kalangan pelajar khu-


susnya dan masyarakat amnya terhadap sejarah Malaysia (2) Menggalakkan
penulisan sejarah Malaysia berdasarkan kajian dan penyelidikan (3) Men-
dapatkan karya untuk memperbanyakkan khazanah bahan berunsur sejarah un-
tuk rujukan dan penerbitan, dan, (4) Memupuk penghayatan kerelevanan seja-
rah dalam arus pembangunan negara. 21

Selain Pertandingan Menulis Esei Sejarah, mulai tahun 1980, PSM dengan kerjasama

Kementerian Pendidikan, mengambil daya usaha menganjurkan Pertandingan Kuiz Sejarah

dan Patriotisme Antara Sekolah. 22 Kemudian, pada tahun 1988, PSM mula menganjurkan

Pertandingan Menulis Cereka Sejarah. Penyertaannya terbuka kepada para pelajar sekolah,

samada secara individu ataupun berkumpulan. Selain itu, PSM juga pernah mengadakan

Pertandingan Membuat Poster Sejarah dan Pertandingan Melukis Sejarah. 23 Terkini, dalam

tahun 2013, PSM menganjurkan pula Pertandingan Galeri Sejarah di peringkat sekolah. 24

Haji Abdul Rahman Mohd Ali bersalaman dengan Jurukuiz, Haji Chuari Selamat
pada Pertandingan Akhir Kuiz Sejarah dan Patriotisme
9

Berasaskan matlamat pengajuran setiap program berkenaan, jelas bahawa sejak enam puluh

tahun lalu, PSM telah sedaya upaya berusaha menerapkan prinsip ‘memasyarakatkan sejarah’

ke dalam program-program anjurannya. Matlamat utama setiap program itu adalah untuk

membangkitkan kesedaran dan minat masyarakat, khususnya generasi muda terhadap sejarah.

4.2 Pameran Sejarah

Selain menganjurkan pertandingan sejarah, pendekatan popular lain yang sering

dilaksanakan oleh PSM adalah melalui penganjuran pelbagai jenis pameran tentang sejarah

tanah air. Pameran-pameran ini merupakan program tahunan yang telah diadakan oleh PSM,

khususnya di peringkat negeri dan daerah. 25 Pameran pertama mula dianjurkan di Muzium

Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 1967. Program mega yang dinamakan sebagai

Pameran Sejarah Malaysia ini menyediakan pelbagai bahan bersejarah negara untuk

menyampaikan pengetahuan sejarah dengan berkesan kepada masyarakat. Menerusi pameran

ini, pengunjung berpeluang,

“....rnelihat dengan selayang pandang sejarah Malaysia dari zaman pra-sejarah,


zaman manusia hidup di dalam gua-gua batu, membawa kepada zaman keda-
tangan pengaruh-pengaruh Hindu pada awai Kurun Masehi. Zarnan keagongan
Kesultanan Melaka serta kedatangan Portugis vang menjatuhkannya. Zarnan
Kerajaan Acheh K.M. de XVI; Zaman Kerajaan Johor-Riau serta perbalahan-
nya dengan Bugis dan Belanda, membawalah sampai kekedatangan orang-
orang British dan Jepun yang rnenewaskannya dalam Perang Dunia II; dengan
tidak pula melupakan pengaruh-pengaruh dari jiran kita Thailand dari utara.” 26

Berdasarkan cakupan pameran berkenaan, PSM mahu menggalakkan masyarakat

Malaysia memahami sejarah negara sendiri menerusi pameran bergambar dan bahan

bersejarah lain. Meskipun penyampaian sejarahnya bersifat sepintas lalu, namun ianya

berkesan untuk dihayati oleh para pengunjung. Selain pameran tersebut, pada tahun itu juga

PSM turut menganjurkan pameran Historical Photographs. Pameran ini menjurus kepada

pemaparan gambar-gambar bersejarah mengenai pelbagai peristiwa penting di negara kita.


10

Gambar-gambar yang dipamerkan itu kemudiannya telah diterbitkan dalam majalah akademik

PSM, Malaysia in History. Penerbitan gambar-gambar ini adalah untuk memberikan peluang

kepada mereka yang tidak berkesempatan ke acara tersebut menatap dan menghayati bahan-

bahan pameran berkenaan. 27

Pameran Sejarah di Galeri Sejarah PSM

Sementara itu, sempena Perayaan Jubli Perak 25 tahun penubuhannya, PSM telah

menganjurkan pula sebuah pameran bergerak secara besar-besaran dalam tahun 1978.28

Pameran ini bermula di Muzium Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Kemudiannya ia dibawa

ke negeri lain di Semenanjung, dan berakhir di Sabah dan Sarawak. Menurut pihak

penganjur, objektif pameran yang bertemakan “Pembentukan Keperibadian Nasional Melalui

Sejarah” adalah untuk,

(1) Mendedahkan kepada generasi baru asas-asas pembentukan masyarakat


Malaysia sebagai ingatan bersama (2) Mengenali perkembangan dan kemajuan
di Malaysia (3) Mengenali sumbangan tokoh-tokoh Negara (4) Memperolehi
penghargaan dan rasa terlibat dalam perjuangan kebangsaan (5) Mencapai
persefahaman dan perasaan saling menghormati sesama bangsa Malaysia, dan,
(6) Mengenali Keperibadian Kebangsaan melalui Sejarah. 29
11

Susulan pelbagai program pameran yang diadakan berkala itu, akhirnya bermula pada

tahun 2008, PSM telah menganjurkan ‘pameran tetap’ mengenai sejarah Malaysia dalam

sebuah dewan khas di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. 30 Dewan pameran yang dinamakan

Galeri Sejarah ini bertempat di ruang utama Ibu Pejabat PSM. Dewan ini dibahagikan

kepada dua sudut, iaitu sudut sejarah PSM dan sudut sejarah nasional yang memaparkan

perkembangan sejarah negara.

Galeri Sejarah di bangunan Wisma Sejarah

Jelas sekali bahawa penganjuran pameran berkenaan memperlihatkan komitmen yang

tinggi dan berterusan PSM terhadap prinsip dan langkah untuk ‘memasyarakatkan sejarah.’

Perhatian badan ini secara bersungguh-sungguh menggiatkan program sebegitu itu adalah

didorong oleh komitmen PSM untuk mendekatkan hubungan masyarakat dengan sejarah

negara mereka sendiri. Kesemua ini dilakukan menerusi pendekatan yang popular dan

penyampaian pengetahuan sejarah yang tidak terlalu membebankan minda.


12

4.3 Perwacanaan Sejarah

Dalam usaha menggiatkan proses ‘memasyarakatkan sejarah,’ tumpuan PSM tidak

hanya terbatas kepada penganjuran pertandingan dan pameran semata-mata. Malahan. usaha

memasyarakatkan sejarah juga berlaku menerusi kegiatan Perwacanaan Sejarah. Kegiatan ini

terbahagi kepada dua bentuk. Pertama, adalah wacana bercorak santai dan menggunakan

pendekatan yang agak ringan. Manakala bentuk yang kedua adalah kegiatan wacana ilmiah

yang menumpukan perbincangannya kepada isu-isu sejarah secara serius.

PSM mengadakan kegiatan perwacanaan dalam bentuk pertama kerana menyedari

bahawa minat dan keupayaan masyarakat memahami dan menghayati sejarah adalah berbeza-

beza. Oleh itu, PSM telah menganjurkan wacana sejarah secara berkala, yang lebih bercorak

popular. Tujuannya adalah untuk menampung keperluan anggota masyarakat yang berminat

mendekati sejarah negara melalui kaedah penceritaan langsung oleh seseorang penggiat atau

tokoh sejarah. Kegiatan sebegini dilaksanakan melalui program “Sembang-sembang Sejarah.”

Tun Mohammed Hanif Omar dalam siri “Sembang-Sembang Sejarah”


13

Dalam program ini, tokoh yang terlibat mengadakan perbincangan secara santai dan

bersahaja. Meskipun begitu, program ini akan memastikan bahawa hanya tokoh-tokoh yang

mempunyai pengetahuan luas tentang sesuatu aspek sejarah negara atau mengalami sendiri

sesuatu perisitwa sejarah sahaja yang dijemput menyampaikan pengetahuan atau pengalaman

mereka, serta bertukar-tukar fikiran dengan para hadirin. Misalnya, antara tokoh yang pernah

dijemput ke program “Sembang-sembang Sejarah” pada tahun 2009 adalah Tun Haniff Omar,

bekas Ketua Polis Negara. Dalam sesi tersebut, beliau telah berkongsi pengalaman bersama

MAGERAN selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, serta tentang hati budi orang Melayu

dan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.. 31 Tokoh lain yang juga pernah

mengisi slot “Sembang-sembang Sejarah” adalah Dato’ Aripin Said, seorang budayawan yang

terkenal di negara kita. Menerusi sesi tersebut, beliau bercerita tentang kisah seorang tokoh

sejarah bernama Tok Jebek, seorang guru silat terkemuka yang banyak berjasa di negeri

Pahang semasa pemerintahan Sultan Ahmad Shah. 32. Ringkasnya, menerusi penganjuran

program “Sembang-sembang Sejarah” ini para hadirin dapat berkongsi pengetahuan atau

pengalaman bersama tokoh-tokoh terkemuka negara untuk memahami sesuatu aspek sejarah

Malaysia yang mungkin tidak begitu diketahui umum sebelum ini.

Sementara itu, program perwacanaan dalam bentuk kedua pula tertumpu pada kegiatan

ilmiah yang berlangsung menerusi bengkel, seminar dan kongres sejarah. Sebagai contohnya,

sejak tahun 1970-an lagi, PSM menganjurkan beberapa seminar sejarah yang bercorak ilmiah.

Antaranya ialah Kongres Sejarah Malaysia I dan Kongres Sejarah Malaysia II. Kedua-dua

kongres ini diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kongres Sejarah Malaysia I

berlangsung pada tahun 1978. Manakala Kongres Sejarah Malaysia II pula diadakan dalam

tahun 1996. Meskipun bersifat ilmiah, namun objektif penganjuran kongres ini juga masih

berpegang kepada prinsip ‘memasyarakatkan sejarah.’ Hal ini terakam dengan jelas, misalnya

melalui objektif penganjuran Kongres Sejarah Malaysia II, yang menyatakan,


14

(2) Untuk menemukan tokoh-tokoh sejarawan dengan hasil penyelidikan


terkini mengenai sejarah tanah air, dan, (3) Untuk menyalurkan sumbangan
sejarah melalui pengalaman, pengetahuan dan pengajaran agar dapat diterima
pakai untuk pembangunan masyarakat dan negara. 33

Bagi PSM, menerusi kongres seperti itu, seseorang pakar dan tokoh sejarah

berpeluang menyalurkan pengetahuan mereka dalam kertas-kertas kerja yang mereka

bentangkan, supaya dapat dikongsi bersama dengan masyarakat. Atas perkiraan inilah,

kerjasama dengan para sarjana dari Institusi Pengajian Tinggi dan beberapa pihak lain

diberikan keutamaan apabila PSM mahu menganjurkan sesebuah program yang bersifat

ilmiah. PSM sering menyifatkan peranannya bukan sekadar untuk ‘memasyarakatkan sejarah’

dalam kalangan masyarakat awam, tetapi juga bertindak sebagai ‘penghubung’ antara para

sarjana sejarah yang bergiat di institusi pengajian tinggi dengan masyarakat luas, iaitu pihak

yang menggunakan pengetahuan sejarah yang dihasilkan para pakar itu.

Majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sejarah


anjuran PSM dan Kementerian Pendidikan Malaysia
15

Terbaru, dalam tahun 2013, PSM menganjurkan suatu lagi seminar besar sebagai

memenuhi peranannya sebagai ‘penghubung’ antara para sarjana dengan masyarakat. PSM

berharap menerusi kerjasamanya dengan para sarjana dari Institusi Pengajian Tinggi, akan

memperkasakan lagi keupayaannya untuk ‘memasyarakatkan sejarah’. Menurut penganjurnya

seminar yang dinamakan Sidang Kemuncak Sejarah 2013 34 ini adalah bertujuan untuk,

“menggembeling tenaga kepakaran dan penggiat sejarah ke dalam sebuah komuniti epistemic

sejarah,” dan juga “meningkatkan peranan PSM sebagai penghubung di antara sejarah pada

tahap kesarjanaan dan sejarah pada tahap awam/public.” 35 Sidang Kemuncak Sejarah yang

berlangsung pada akhir tahun 2013 ini adalah penanda aras kepada perlaksanaan pelbagai

program berteraskan ‘memasyarakatkan sejarah’ yang menjadi keutamaan PSM selama ini,

sekaligus, akan menjadi pemangkin untuk menggiatkan lagi usaha PSM untuk mencapai cita-

cita kesejarahannya itu di masa hadapan.

Ringkasnya, PSM percaya bahawa melalui pertemuan langsung antara peserta dengan

pakar ataupun tokoh sejarah secara berterusan, samada di dalam seminar-seminar dalam

bentuk yang pertama ataupun bentuk yang kedua, akan membuka peluang kepada mereka

yang meminati sejarah untuk mendengar, bertanya dan berkomunikasi sendiri dengan para

penggiat ataupun tokoh sejarah, untuk memperolehi kefahaman yang lebih mendalam tentang

sesuatu isu atau peristiwa sejarah. Selain itu, penganjuran siri-siri seminar atau kongres

seperti ini juga pada akan membuka peluang kepada para sejarawan, khususnya di Institusi

Pengajian Tinggi menyalurkan dapatan hasil kajian ilmiah mereka ke dalam masyarakat.

Manakala orang ramai pula berpeluang memperolehi pengetahuan baru atau mencari jawapan

kepada pelbagai persoalan tentang sejarah, terutama yang berkaitan Malaysia daripada pakar

dan tokoh-tokoh sejarah yang berwibawa. Dengan berlangsungnya proses seperti ini, PSM

yakin bahawa ia akan dapat memainkan peranan sebagai sebuah badan sejarah dengan

berkesan bagi mencapai matlamat ‘memasyarakatkan sejarah.’


16

5.0 Kesimpulan

Esei ini telah menegaskan bahawa sejak awal penubuhannya, PSM telah mendokong

konsep ‘memasyarakatkan sejarah’ sebagai teras kegiatannya. Kemudian dijelaskan pula

pengertian konsep ‘memasyarakatkan sejarah’ yang menjadi pegangan PSM itu. Berdasarkan

penelitian ke atas tiga jenis program utama yang dianjurkan oleh badan sejarah ini secara

berkala dalam tempoh enam puluh tahun kewujudannya, adalah jelas bahawa PSM telah

secara konsisten berusaha menterjemahkan prinsip pegangannya bagi memenuhi cita-cita

‘memasyarakatkan sejarah’ itu. Berdasarkan program-program yang dilaksanakan jelas sekali

konsep ‘memasyarakatkan sejarah’ itu bukanlah hanya sebagai agenda perjuangan PSM yang

kosong semata-mata. Konsep itu terhurai dan diterjemahkan menerusi pelbagai objektif yang

mendasari setiap program yang dilaksanakan oleh PSM sejak dari tahun 1953 sehingga ke

hari ini. Atas sebab itu, peranan PSM dalam ‘memasyarakatkan sejarah’, yang bertujuan

untuk membangkitkan kesedaran, memupuk minat dan penghayatan masyarakat terhadap

sejarah negara ini sememangnya penting dan bermakna. Ia bahkan adalah suatu sumbangan

besar dari PSM untuk membentuk sikap positif warganegara Malaysia melalui sejarah, yang

perlulah dihargai oleh masyarakat, khususnya generasi muda pada hari ini.
17

Nota Hujung

1
Omar Mohd Hashim, “Pergerakan Persatuan Sejarah di Malaysia: Mengisar ke arah Kemantapan,”
Malaysia Dari Segi Sejarah 22 (1994): 4-5.
2
Selepas memeluk agama Islam, M.C.ff Sheppard menukarkan namanya kepada Mubin Sheppard.
Apabila PSM ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis PSM (kemudiannya dikenali sebagai Jawa-
tankuasa Kerja) dan menjadi editor majalah akademik PSM yang dinamakan sebagai Malaysia in History.
3
Mubin Sheppard, “Persatuan Sejarah Malaysia: Kenangan Seorang Pengasas Persatuan” (Kuala
Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1988), 1-2.
4
Surat Dato’ E.E.C. Thuraisingam (Member of Education, Federation of Malaya) kepada Dato’ Hj.
Abdul Malek Yusuf (Menteri Besar Negeri Sembilan), 27 Januari 1953. Dalam, Arkib Negara Malaysia
1957/00246.
5
Minutes of the Inaugural Meeting of The Malayan Historical Society held in The Town Hall, Kuala
Lumpur, 30 April 1953, Fail Malayan Historical Society 30. 04.1953, Arkib Negara Malaysia 2006/0037759.
6
Ibid.
7
Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir dan Abdul Ghapa Harun, “Memahami 60 Tahun Aktivisme
Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Dalam Konteks Sejarah Awam” (Kertas Kerja Lokakarya PSM, Akar Beach
Resort, Port Dickson, 28 & 29 September 2013), 17.
8
Minutes of Meetings of The Kuala Lumpur Branch of The Malayan Historical Society. Arkib Negara
Malaysia 1963/0000932.
9
List of Office Bearers of District Brances, dlm. Fail Malayan Historical Society 30. 04.1953, Arkib
Negara Malaysia 2006/0037759.
10
“Buku Cenderamata Penubuhan Ibu Pejabat PSM oleh Y.A.B. Datuk Hussien Onn, Perdana Menteri
Malaysia” (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1976), 12.
11
Omar Mohd Hashim, Menongkah Golombang Pendidikan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2013), 716.
12
Omar Mohd Hashim, Sejarah dan Masyarakat: Mengimbau Masa Lalu, Memacu Masa Depan
(Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2013), 515.
13
Ucapan Perasmian Bengkel Penyelidikan dan Penulisan Sejarah oleh Dato’ Omar Mohd Hashim di
Bilik Seminar Buyong Adil, Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, 9 Ogos 2010.
14
Omar Mohd Hashim, “40 Tahun sebagai Public Historian: Menoleh ke Belakang untuk ke Hadapan”
(Kertas Kerja Lokakarya PSM, Akar Beach Resort, Port Dickson, 28 & 29 September 2013), 4-5.
15
His Excellency The High Commisioner’s Adress to The Inaugural Meeting of The Malayan
Historical Society on Thursday, 30 April 1953, dlm. Fail Malayan Historical Society 30.04.1953, Arkib Negara
Malaysia 2006/0037759.
16
Luncheon Talks by Tan Sri Datuk Hj. Hamdan Sheikh Tahir, Chaiman, Malaysian Historical
Society, 30 November 1977, Hotel Merlin, Kuala Lumpur, Arkib Negara Malaysia 2002/0013315.
17
Omar Mohd Hashim, Sejarah dan Masyarakat, 6.
18
Ibid., 4.
19
Report of The Honorary Secretary fot The Year 1964/1965, dlm. Fail Malaysian Historical Society,
1964-1965, Arkib Negara Malaysia 2002/0014786,
18

20
Surat Kum Boo kepada semua Ketua Pegawai Pelajaran Negeri, 15 September 1972, dlm. Fail
Establishment of Local History Historical and Cultural Society, Arkib Negara Malaysia 1957/00246.
21
Abdul Rahman Ali, “Pengalaman Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Dalam Mengendalikan
Pertandingan Menulis Sejarah Malaysia” (Kertas kerja Persidangan Kebangsaan Pendidikan Sejarah: Ke Arah
Pembentukan Warganegara Patriotik, Kuala Lumpur, 8-12 Oktober 2001), 1.
22
Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSM, 10 November 1979, dlm., Fail Persatuan Sejarah
Malaysia J/K Kerja, Arkib Negara Malaysia 1986/0004942.
23
Omar Mohd Hashim, Sejarah dan Masyarakat, 5.
24
Laporan Jawatankuasa Tetap PSM, Laporan Tahunan Persatuan Sejarah Malaysia 2012/2013, 67.
25
“Buku Cenderamata Penubuhan Ibu Pejabat PSM oleh Y.A.B. Datuk Hussien Onn, Perdana Menteri
Malaysia” (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1976), 13.
26
Ucapan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Selaku Yang Di-Pertua, Persatuan Sejarah Malaysia di
Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Sejarah Malaysia di Muzium Negara pada 17 Januari 1967.
27
Mubin Sheppard, “Malaysia in Pictures,” Malaysia in History II, no. 1&2 (1967): 1.
28
“Buku Program, Perayaan Jubli Perak 25 Tahun Persatuan Sejarah Malaysia” (Kuala Lumpur:
Persatuan Sejarah Malaysia, 1978), 1.
29
Persatuan Sejarah Malaysia - Pameran Pembentukan Kepribadian Nasional Melalui Sejarah, 28hb
April-28 Mei 1978.
30
Ucapan Tan Sri Omar Mohd Hashim pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Majlis Persatuan
Sejarah Malaysia bagi tahun 2012/2013.
31
Mohd. Arof Ishak, “Siri Sembang-sembang Sejarah, Wawasan Merdeka: Dilema dan Hati Budi
Orang Melayu” Warkah PSM, Julai-September 2009, 8.
32
Mohd Nor Long, “Siri Sembang-sembang Sejarah” Warkah PSM, Julai-September 2012, 3.
33
Laporan dan Usul Kongres Sejarah Malaysia II, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia dengan
kerjasama Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 26-28 Nov. 1996. Arkib Negara Malaysia
1997/0004733,
34
Ucapan Tan Sri Omar Mohd Hashim pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Majlis Persatuan
Sejarah Malaysia bagi tahun 2012/2013.
35
Kertas edaran Sidang Kemuncak Sejarah (History Summit), Malaysia 2013, Persatuan Sejarah
Malaysia.
19

Bibliografi

Sumber Primer

Arkib Negara Malaysia 1957/00246. Surat Dato’ E.E.C. Thuraisingam (Member of


Education, Federation of Malaya) kepada Dato’ Hj. Abdul Malek Yusuf (Menteri
Besar Negeri Sembilan), 27 Januari 1953.

Arkib Negara Malaysia 2006/0037759. Minutes of the Inaugural Meeting of The


Malayan Historical Society held in The Town Hall, Kuala Lumpur, 30 April 1953,
Dlm. Fail Malayan Historical Society 30. 04.1953.

Arkib Negara Malaysia 1963/0000932. Minutes of Meetings of The Kuala Lumpur Branch of
The Malayan Historical Society.

Arkib Negara Malaysia 2006/0037759. List of Office Bearers of District Brances, Dlm. Fail
Malayan Historical Society 30. 04.1953.

Arkib Negara Malaysia 2006/0037759. His Excellency The High Commisioner’s Adress to
The Inaugural Meeting of The Malayan Historical Society on Thursday, 30 April
1953, Dlm. Fail Malayan Historical Society 30.04.1953.

Arkib Negara Malaysia 2002/0013315. Luncheon Talks by Tan Sri Datuk Hj. Hamdan
Sheikh Tahir, Chaiman, Malaysian Historical Society, 30 November 1977, Hotel
Merlin, Kuala Lumpur.

Arkib Negara Malaysia 2002/0014786, Report of The Honorary Secretary for The Year
1964/1965, Dlm. Fail Malaysian Historical Society, 1964-1965.

Arkib Negara Malaysia 1957/00246. Surat Kum Boo kepada semua Ketua Pegawai Pelajaran
Negeri, 15 September 1972, Dlm. Fail Establishment of Local History Historical and
Cultural Society.

Arkib Negara Malaysia 1986/0004942. Minit Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PSM, 10


November 1979, Dlm., Fail Persatuan Sejarah Malaysia J/K Kerja.

Arkib Negara Malaysia 1997/0004733, Laporan dan Usul Kongres Sejarah Malaysia II,
anjuran Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sejarah, Universiti
Kebangsaan Malaysia, 26-28 Nov. 1996.

Kertas Edaran Sidang Kemuncak Sejarah (History Summit), Malaysia 2013.

Laporan Tahunan Persatuan Sejarah Malaysia 2012/2013.

Persatuan Sejarah Malaysia - Pameran Pembentukan Kepribadian Nasional Melalui Sejarah,


28hb April-28 Mei 1978.

Ucapan Perasmian Bengkel Penyelidikan dan Penulisan Sejarah oleh Dato’ Omar Mohd
Hashim di Bilik Seminar Buyong Adil, Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, 9 Ogos 2010.
20

Ucapan Tan Sri Omar Mohd Hashim pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Majlis
Persatuan Sejarah Malaysia bagi tahun 2012/2013.

Ucapan Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri Selaku Yang Di-Pertua, Persatuan Sejarah
Malaysia di Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Sejarah Malaysia di Muzium Negara
pada 17 Januari 1967.

Sumber Sekunder

Abdul Rahman Ali, “Pengalaman Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Dalam Mengendalikan
Pertandingan Menulis Sejarah Malaysia” (Kertas kerja Persidangan Kebangsaan
Pendidikan Sejarah: Ke Arah Pembentukan Warganegara Patriotik, Kuala Lumpur, 8-
12 Oktober 2001).

Buku Cenderamata Penubuhan Ibu Pejabat PSM oleh Y.A.B. Datuk Hussien Onn, Perdana
Menteri Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1976.

Buku Program, Perayaan Jubli Perak 25 Tahun Persatuan Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur:
Persatuan Sejarah Malaysia, 1978.

Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir dan Abdul Ghapa Harun, “Memahami 60 Tahun Aktivisme
Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Dalam Konteks Sejarah Awam” (Kertas Kerja
Lokakarya PSM, Akar Beach Resort, Port Dickson, 28 & 29 September 2013).

Mohd. Arof Ishak, “Siri Sembang-sembang Sejarah, Wawasan Merdeka: Dilema dan Hati
Budi Orang Melayu” Warkah PSM, Julai-September 2009, 8.

Mohd. Nor Long, “Siri Sembang-sembang Sejarah” Warkah PSM, Julai-September 2012, 3.

Mubin Sheppard, “Malaysia in Pictures,” Malaysia in History II, no. 1&2 (1967): 1.

Mubin Sheppard. Persatuan Sejarah Malaysia: Kenangan Seorang Pengasas Persatuan.


Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1988.

Omar Mohd Hashim, “40 Tahun sebagai Public Historian: Menoleh ke Belakang untuk ke
Hadapan” (Kertas Kerja Lokakarya PSM, Akar Beach Resort, Port Dickson, 28 & 29
September 2013).

Omar Mohd Hashim, Sejarah dan Masyarakat: Mengimbau Masa Lalu, Memacu Masa
Depan, Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2013.

Omar Mohd Hashim. “Pergerakan Persatuan Sejarah di Malaysia: Mengisar ke arah


Kemantapan,” Malaysia Dari Segi Sejarah 22 (1994): 1-11.

Omar Mohd Hashim. Menongkah Golombang Pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2013.
21

Lampiran A

Logo Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)


Sumber: Laman web rasmi PSM - http://www.psm.org.my/
22

Lampiran B

Ibu Pejabat Persatuan Sejarah Malaysia: Wisma Sejarah, Kuala Lumpur


Sumber: Laman web rasmi PSM - http://www.psm.org.my/

Anda mungkin juga menyukai