Anda di halaman 1dari 12

Konsep Pertengahan Aristotle Menurut Perspektif Falsafah Akhlak Islam: Satu

Analisis Awalan

(The Aristotle’s Concept of Moderate from Islamic Moral Philosophy Perspective: An Interim
Analysis)

MOHD ANNAS SHAFIQ AYOB


MOHD NORAZRI MOHAMAD ZAINI
FARIDAH MOHD SAIRI

ABSTRAK

Menurut Aristotle, kebahagiaan merupakan tujuan terakhir bagi manusia. Justeru, untuk mencapai kebahagiaan,
salah satu perkara yang mesti diambil kira adalah pertengahan atau kesederhanaan. Pertengahan dapat dicapai
jika manusia menggunakan akal bersama kebaikan. Isu penting yang menjadi perbincangan makalah ini ialah
pertengahan menurut Aristotle sangat berkait rapat dengan perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan secara
betul oleh manusia jika menggunakan akal dan kebaikan. Konsep pertengahan turut dibincangkan dalam falsafah
akhlak Islam. Islam mengajarkan penganutnya agar berpegang kepada konsep pertengahan atau wasatiyyah
sebagai doktrin dalam mengamalkan ajaran agama bagi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Justeru,
makalah ini membincangkan bagaimana untuk membentuk pertengahan melalui pemilihan dan pengawalan
tingkah-laku serta hubungan akal dan kebaikan menurut Aristotle dari sudut perspektif falsafah akhlak Islam.
Selain itu, dapatan kajian ini menunjukkan terdapat persamaan dan perbezaan menerusi perbandingan yang
signifikan terhadap konsep pertengahan antara Islam dan Aristotle.

Kata kunci: Aristotle; pertengahan; wasatiyyah; akal; kebaikan

ABSTRACT
According to Aristotle, happiness is the aim of the end of human activities. Hence, to attain happiness, the important
things that must be taken into account is moderate or mean. Moderation can be achieved if human use reason with
goodness.The main issues that became the disscussion of this article is moderation is close to activities and
practicals according to Aristotle. The concept of mean also discuss in Islamic philosophy of ethics Islam teach his
adherents to keep moderate or wasatiyyah as a doctrine to interpret religion to attain happiness in worldly life and
hereafter. Hence, this article will discuss how to attain moderate through discussion of choosing and controling of
behavior and act in the concept of moderation or concept of golden mean and relation with the reason as discussed
by Aristotle, and the concept of wasatiyyah from the view of Islamic philosophy of ethics via relation and
dissimilarity. In addition, the findings also found that there were significant relation and differences between Islam
and Aristotle on the concept of mean.

Keywords: Aristotle; moderation; wasatiyyah; reason; virtue

PENDAHULUAN
Istilah pertengahan atau kesederhanaan telah lama dibincang oleh ahli falsafah Yunani klasik
sebelum Aristotle seperti Democritus, Pythagoras, Plato. Perbincangan tersebut merupakan inti

1
dan idea utama dalam pemikiran etika Yunani klasik. Tradisi masyarakat Yunani yang
membincangkan falsafah secara umumnya mula berubah kearah perbincangan etika disebabkan
perkembangan tamadun dan masyarakat Yunani klasik (Godfrey 1953). Mereka memikirkan
bagaimana hendak membentuk manusia yang bersifat baik dan dapat memenuhi kehendak
negara serta dapat memberi kebahagiaan kepada manusia. Justeru kebaikan moral dan
kebahagiaan tak dapat dipisahkan, lantas lahirlah idea-idea seperti Plato dan prinsip keadilan
dalam negara, Socrates dan prinsip pengetahuan yang membawa kepada kebahagiaan, Epicurus
dan teori keseronokan dan sebagainya. Perbincangan pertengahan sebenarnya bertitik tolak dari
perbincangan ahli falsafah Yunani klasik yang sedemikian dalam membentuk manusia yang
bersikap baik.
Antara tokoh falsafah Yunani klasik yang membincangkan pertengahan sebelum
Aristotle seperti Democritus (420 S.M.). Beliau menyebutkan konsep pertengahan terkandung di
dalam kebaikan moral (Stumpf 1994). Justeru, secara keseluruhan konsep etika Democritus
berpegang pada pertengahan bagi melahirkan manusia yang baik. Tambah Democritus lagi,
seseorang yang gembira dan bernasib baik terletak dalam pertengahan dan begitu sebaliknya
(Freeman 1996). Selain itu pertengahan bagi Democritus sangat berkait dengan jiwa. Konsep
pertengahan tersebut ialah pertengahan dapat memimpin manusia melalui jalan yang lurus
daripada terjebak dengan bahaya-bahaya yang ada di sekelilingnya (Horten 1974). Justeru,
kebaikan sejati akan diketemukan jika manusia mengikuti konsep pertengahan. Selain
Democritus, Epicurus menganjurkan suatu pola hidup sederhana iaitu keseronokan dan kepuasan
dilihat haruslah dibataskan dan dapat menghasilkan keseronokan yang tertinggi. Menurut beliau,
pola sederhana yang dapat memberi keseronokan adalah seperti persahabatan. (Kenny 2006)
Namun tidak ramai ahli falsafah sebelum Aristotle yang mengaitkan pertengahan secara tuntas
dan mendalam.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian tekstual digunapakai dengan pengumpulan data bersumberkan karya Aristotle yang
menjadi sumber primer dan sekunder serta rujukan utama perbincangan berkenaan konsep
pertengahan. Pengumpulan data utama melalui analisis dokumen berkaitan serta mengkaji
pertengahan dan cara mencapai pertengahan menurut Aristotle menerusi Nicomachean Ethics
serta sumber sekunder yang lainnya. Analisis data pula dilakukan secara induktif dan deduktif.
Proses induktif ini merupakan proses di mana penyelidik membentuk hipotesis serta teori
daripada hasil dapatan yang dikumpulkan dan bukan yang ditentukan dari awal penyelidikan
(Othman 2012). Pengumpulan data melalui bahan-bahan perpustakaan digunakan dalam kajian
ini. Selain itu, kajian kualitatif ini berasakan analisis perbincangan konsep pertengahan di antara
pertengahan Aristotle menurut perspektif falsafah akhlak Islam. Rujukan melalui tulisan
berkenaan pertengahan bertujuan mengenalpasti perbezaan dan persamaan berkenaan konsep
pertengahan Aristotle dan pertengahan dalam perbincangan falsafah akhlak Islam.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN MENGENAI PEMIKIRAN PERTENGAHAN
ARISTOTLE
Bagi masyarakat Yunani klasik, perbincangan etika ialah mengenai cara untuk mencapai
eudaimonia (O’Grady 2005). Eudaimonia merupakan sebuah pandangan dan nilai yang
mendasar dalam prinsip etika masyarakat Yunani. Dalam erti kata lain, fokus etika dalam
kalangan masyarakat Yunani klasik adalah bagaimana untuk mencapai kebahagiaan. Dalam hal

2
ini, Aristotle turut menyentuh aspek pertengahan menerusi eudaimonia. Eudaimonia bukanlah
suatu perasaan, tetapi seperti yang digambarkan oleh Huges (2001) yang memberi makna
eudaimonia sebagai sebuah kehidupan yang sempurna menurut Aristotle. Namun beliau
berpegang pada kenyataan Aristotle yang menyatakan bahawa eudaimonia ialah pencapaian
potensi seseorang secara penuh. Ini bermakna seseorang yang mencapai kecemerlangan dari
sudut amalinya maka dia telah mencapai eudaimonia. Eudaimonia juga merupakan kebahagiaan
yang berteraskan kepada kawalan tingkah-laku iaitu peningkatan nilai-nilai murni, kemahiran
dan fungsi yang positif. Aristotle menyatakan bahawa kebahagiaan merupakan ‘kehidupan yang
sempurna’ dan rata-rata manusia akan menyetujuinya. Justeru, bagi mencapai kebahagiaan atau
eudaimon, salah satu bentuk perkara penting yang perlu dipraktikkan oleh manusia ialah
mengamalkan pertengahan iaitu golden mean atau the doctrine of mean (Açikgenç 2008).
Dua perkara penting bagi menentukan pertengahan menurut Aristotle ialah akal dan
kebaikan moral. Pertengahan bermula dari akal yang berjaya memilih dan mengawal tingkah-
laku dengan betul seterusnya menatijahkan kebaikan moral. Namun bagi Aristotle, untuk
mencapai pertengahan bukanlah suatu perkara yang mudah. Menurut Aristotle memilih
perlakuan yang betul agak sukar kerana dalam segala-galanya tidaklah mudah untuk mencari di
mana pertengahan. Tanpa akal, seseorang tidak boleh memilih dan mengawal tingkah-laku
dengan betul. Bagi Aristotle, seseorang mungkin boleh untuk marah atau membelanjakan duit
dengan tujuan dan masa yang tepat, namun tidak semua orang boleh melakukan tindakan yang
sama (Aristotle 1962). Justeru, menurut Aristotle, untuk seseorang mencari dan mengenalpasti
titik tengah di antara dua keburukan adalah sangat penting bagi mengelakkan dirinya tidak
berada dalam pertengahan. Perbincangan mengenai pertengahan menurut Aristotle dapat dirujuk
khusus dalam konsep kebahagiaan beliau dalam bukunya Nicomachean Ethics.
Perbincangan falsafah masyarakat Yunani klasik sebenarnya merupakan rentetan dari
persoalan yang terkenal bagi setiap manusia sejak dari dahulu lagi, iaitu apakah yang menjadi
inti tujuan kehidupan manusia, termasuk persoalan bagaimana bentuk kebahagiaan yang hendak
dicapai oleh setiap manusia. Melalui pemikiran pertengahan, Aristotle turut membincangkan
bagaimana untuk membentuk karekter manusia yang baik dan cemerlang. Bagi Urmson (1973),
konsep pertengahan yang dibincangkan oleh Aristotle bukanlah suatu nasihat moral dari
Aristotle, namun konsep pertengahan Aristotle bermula dari persoalan apakah yang dimaksudkan
dengan kecemerlangan karekter bagi manusia dan tujuan kehidupan manusia. Dalam bukunya
Nicomachean Ethics, Aristotle secara panjang lebar membincangkan bagaimana mencapai
pertengahan melalui proses akal dalam memilih tingkah-laku yang betul yang menatijahkan
kebaikan. Akhirnya, bagi Aristotle kebaikan yang dilakukan oleh manusia tidak lain dan tidak
bukan hanyalah untuk mencapai kebahagiaan (Aristotle 1962).
HUBUNGAN KONSEP PERTENGAHAN DENGAN AKAL
Fungsi khas manusia iaitu akal merupakan keunggulan yang ada pada manusia berbanding
makhluk lain, dalam erti kata lain manusia mencapai kebahagiaan, disamping menjalankan
fungsinya dengan baik, manusia turut melibatkan aktiviti rasionalnya iaitu menggunakan akal
dengan secara paling baik (Bertans 2003). Selain manusia, haiwan boleh dikatakan mempunyai
keupayaan untuk melakukan aktiviti seolah-olah wujud akal pada haiwan. Namun akal bukanlah
suatu benda yang dianugerahkan kepada haiwan. Jika dikatakan haiwan mengecapi pertengahan,
itu tidaklah lebih dari sekadar kemampuan haiwan tersebut untuk melakukan sesuatu perkara
(Ibnu Miskawayh 1977). Ini dapat dilihat menerusi pemerhatian terhadap tingkah laku haiwan

3
seperti makan, minum dan rehat, maka pencapaian tersebut tidak sinonim dengan kebahagiaan
dan tidak boleh dianggap sebagai kebahagiaan. Bukan bermaksud haiwan tersebut memenuhi
fungsi akal. Hanya manusia sahaja dan bukan tumbuhan atau haiwan yang boleh mencapai
pertengahan. Dengan akal manusia mencapai eudaimonia. Manusia mempunyai fungsi khusus
dan tidak dikongsi oleh makhluk lain. Fungsi tersebut sudah tentu bukan untuk memenuhi
kelazatan fizikal dan indera, kerana fungsi tersebut lebih terkhusus kepada haiwan (Nasir 2010).
Haiwan tidak dapat memilih pertengahan kerana fungsi akal tidak wujud dalam diri haiwan.
Pemikiran akal menurut Aristotle ditulis secara khusus dalam bukunya De Anima, namun
sangat sedikit beliau kaitkan fungsi akal dengan pertengahan berbanding dalam bukunya yang
lain iaitu Nicomachean Ethics. Menurut Aristotle, akal sangat mempengaruhi seseorang dalam
menentukan jalan tengah diantara dua ekstrim yang bertentangan, atau dalam erti kata lain titik
pertengahan di antara dua perkara yang buruk. Bagi memahami perbincangan konsep
pertengahan, Aristotle menyarankan terlebih dahulu memahami fungsi akal dalam membuat
pilihan rasional dan kebaikan (virtue). Akal lebih tinggi peranannya berbanding deria rasa.
Keupayaan dan ketahanan akal dan deria rasa berbeza, namun ketahanan akal melebihi deria rasa
dari sudut fungsi (Aristotle, 1907). Akal secara umumnya pada pandangan Aristotle adalah satu
bahagian dari jiwa yang berfungsi sebagai ejen untuk mengetahui atau memahami sesuatu. Akal
difahami sebagai alat yang membolehkan jiwa berfikir, menggambarkan sesuatu makna atau
gambaran atau lebih khusus, mencapai sesuatu intuisi (Wan Suhaimi 2000).
Menurut Aristotle, penggunaan akal sangat penting untuk mencapai pertengahan.
Kesannya, manusia boleh mencapai tujuan yang paling utama dalam kehidupan iaitu
kebahagiaan. Justeru, bagaimanakah akal berfungsi? Akal digerakkan oleh dua kebaikan iaitu
kebaikan intelektual dan kebaikan moral. Kebaikan intelektual menyempurnakan akal, manakala
untuk kebaikan moral, akal menjalankan pilihan yang perlu dalam kehidupan seharian. Akal
yang waras dan rasional dilihat menentukan jalan tengah di antara dua ekstrem yang
bertentangan (Aristotle 1962). Kebaikan intelektual lebih unggul dan tinggi lantaran dengannya
manusia dapat melaksanakan fungsi utama sebagai manusia, di samping itu mereka dapat
memanfaatkan unsur yang dibekalkan iaitu akal yang berbentuk unsur ketuhanan, anugerah yang
tidak diberikan kepada makhluk lain seperti binatang dan tumbuhan. Dua ekstrim bertentangan
pula bermaksud dua keadaan yang bersifat tidak baik, suatu keadaan yang bersifat kurang dan
terlalu banyak atau berlebihan (Açikgenç 2008). Jadi dengan kebaikan moral, akal akan memilih
titik tengah atau pertengahan antara dua keburukan, secara tidak langsung kebaikan intelektual
akan dipenuhi.
Dengan wujudnya dua sifat ekstrim bertentangan, akal akan memilih apa yang dianggap
sebagai pertengahan atau titik tengah. Pertengahan yang dimaksudkan adalah sifat yang
mewakili di antara sifat kurang dengan berlebihan. Sebagai contoh keberanian merupakan salah
satu contoh keseimbangan di antara ketakutan, yang mewakili sifat kekurangan, manakala nekad
dan gopoh-gapah, mewakili sifat berlebihan (Açikgenç 2008). Selain itu, banyak contoh sifat
yang diberikan oleh Aristotle yang berkait dengan pertengahan, umpamanya kesabaran
diperlukan sebagai sikap keberanian di antara sikap pengecut dan membuta tuli. Sifat ramah
merupakan titik tengah di antara sifat bengis dan pendiam. Seterusnya sifat murah hati juga
terletak sebagai titik tengah di antara sikap ketamakan dan pemborosan (Godfrey 1953). Bagi
Cunningham (1999), konsep pertengahan Aristotle boleh dicapai melalui akal yang dapat
mengenal pasti di antara kebaikan dan keburukan dengan mengambil jalan tengah di antara dua

4
sifat iaitu kurang dan terlalu banyak. Oleh yang demikian, tanpa akal seseorang tidak dapat
memilih sifat yang sederhana seperti haiwan.
Dari sudut lain, untuk mencapai eudaimonia, seseorang mestilah dapat memenuhi
fungsinya secara sempurna, iaitu merujuk kepada keupayaan akal untuk berfikir dan berhujah
(O’Grady 2005). Setiap orang dewasa mempunyai keupayaan tersebut namun tidak semua yang
dapat menyempurnakannya. Aristotle menyatakan manusia dicipta untuk berfikir dan dengan
menggunakan akal dengan menyempurnakan keupayaan tersebut, manusia dapat mencapai
kebahagiaan. Inilah yang membezakan manusia dengan makhluk lain seperti haiwan dan
tumbuhan. Aristotle meletakkan keupayaan manusia untuk mencapai kebahagiaan disebabkan
kelebihan adanya akal. Aristotle cuba menghubungkan peranan manusia yang menggunakan
akalnya dan yang bertindak sebagai manusia untuk mencapai kebahagiaan yang tidak boleh
dimiliki oleh makhluk lain (Idris 2010). Justeru, bagi Aristotle apabila seseorang dapat
memenuhi potensi akalnya dalam memilih perkara kebaikan atau memilih dari dua sifat ekstrem
yang bertentangan, maka dia telah memenuhi fungsi akal tersebut dan secara tak langsung
pertengahan telah dapat dicapai.
Namun, Aristotle turut menyatakan bahawa manusia kebanyakannya bersangka buruk di
antara satu sama lain dalam hal ini, seperti seorang yang berani dituduh terburu-buru oleh
seorang pengecut, manakala sebaliknya seorang yang terburu-buru menuduh orang lain sebagai
pengecut. Mereka dianggap sebagai orang yang tidak baik dan beretika. Dari satu sudut,
kehendak rasional dan pertimbangan mereka sebenarnya dalam keadaan memilih perbuatan yang
tidak baik, telah harmoni dengan keinginan yang jahat iaitu perbuatan salah. Mereka telah
mencemarkan fungsi akal menurut Aristotle dan akal sebenarnya boleh terdedah dengan
kerosakan. Oleh sebab itu mereka merasakan bahawa apa yang mereka lakukan berada dalam
landasan kebaikan, tetapi sebenarnya tidak (Aristotle 1962). Inilah yang berlaku dalam kebiasaan
manusia apabila mereka merasakan tindakan yang dilakukan adalah benar namun hakikat yang
berlaku adalah sebaliknya.
HUBUNGAN PERTENGAHAN DENGAN KEBAIKAN
Konsep pertengahan berawalan dari pandangan Aristotle mengenai kecemerlangan dalam
perbuatan manusia. Kecemerlangan yang dimaksudkan adalah kecemerlangan sesuatu perbuatan
yang diakhiri dengan kesempurnaan (Losin 1987). Sebagai contoh, seekor kuda yang cemerlang
adalah kuda yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada penunggangnya dan berfungsi
dengan baik ketika di medan perang. Manakala kecemerlangan bagi manusia ialah apabila
mereka menjadi manusia yang baik serta berkeupayaan melakukan perkara baik. (Aristotle 1962)
Lantas dimanakah ditemukan pertengahan? Merujuk kepada pernyataan sebelum ini,
pertengahan ditemukan dalam perbuatan manusia yang cemerlang, yang dapat membawa
manusia kepada tingkah laku serta emosi yang baik selain keupayaan manusia untuk melakukan
perkara kebaikan. Ini bermaksud pertengahan dapat ditemui jika manusia dapat memenuhi
fungsinya dengan betul. Menurut Aristotle kecemerlangan watak atau karakter seseorang ada
hubungkaitnya dengan emosi dan tingkah-laku, sama ada keduanya terletak dalam sifat
kekurangan atau sederhana. Sebagai contoh seseorang boleh berada dalam ketakutan atau
keberanian, ataupun berkeinginan, marah dan kasihan serta berasa seronok atau sakit secara
umumnya. Sama ada kurang atau lebih sifat-sifat tersebut sebenarnya salah. Emosi dan tingkah-
laku yang baik merupakan kesan dari pemilihan sifat yang betul (Aristotle 1962). Oleh yang

5
demikian, kebaikan bukan sahaja tertakluk kepada tingkah-laku, tetapi termasuk segala jenis
perasaan.
Aristotle merumuskan bahawa kebaikan merupakan pertengahan (virtue is a mean). Bagi
Aristotle, pertengahan itu sendiri terkandung di dalam setiap kebaikan (Aristotle 1962).
Pertengahan ataupun apa jua kebaikan itu berada pada titik pertengahan di antara dua keburukan
yang dikenali juga sebagai dua ekstrem, iaitu melampau dan kekurangan menurut Nasir Omar
(2010). Apa sahaja yang dianggap sebagai kebaikan moral akan wujud nilai pertengahan. Maka
untuk mencapai kebahagiaan, manusia mesti bertingkah laku secara sederhana. Mereka mesti
berani, pemurah, sabar, jujur, adil dan sebagainya. Kerana keberanian merupakan titik tengah
yang berada di antara takut dan gopoh-gapah, manakala pemurah pula berada di pertengahan
antara sifat kedekut dan boros dan begitulah dengan sifat-sifat pertengahan lain seperti adil,
jujur, amanah dan sebagainya. Semua sifat dalam kebaikan merupakan sifat yang terpuji. Bagi
Aristotle, kebaikan yang tertinggi adalah keadilan. Keutamaan yang menentukan pertengahan
sebegini disebut oleh Aristotle sebagai phronesis (kebijaksanaan praktikal). Phronesis dianggap
sebagai penentu terhadap apa jua bentuk pertengahan tertentu (Bertans 2003).
Namun bagi Aristotle, tidak semua tindakan dan perasaan boleh dikategorikan sebagai
pertengahan. Aristotle mengakui teori pertengahannya tidak boleh dipraktikkan kepada semua
nilai, beliau percaya tidak semua tindakan dan emosi tergolong dalam pertengahan setiap
tindakan dan perasaan yang sememangnya tidak baik seperti pembunuhan, perzinaan dan
pencurian tidak berada pada titik pertengahan di antara dua keburukan (Aristotle 1962). Sifat
tersebut sememangnya adalah satu bentuk keburukan, dan keburukan tersebut tidak tergantung
pada ciri terlebih atau terkurang. Aristotle menegaskan dalam Nicomachean Ethics tidak semua
emosi dan tingkah-laku terletak dalam konteks sederhana. Ada beberapa emosi dan tingkah-laku
yang tidak boleh diletakkan dalam titik tengah seperti iri hati, sama juga dengan tingkah-laku
seperti perzinaan, pembunuhan dan pencurian (Aristotle 1962). Kesemua sifat tersebut tidak
boleh diletakkan dalam titik pertengahan di antara dua keburukan kerana ia sememangnya
bersifat ekstrem. Justeru, sifat-sifat tersebut boleh diletakkan dalam dua dikotomi yang
berlawanan dengan kebaikan. Sebagai contoh rasuah, satu sifat ekstrem, lawan kepada
meninggalkan rasuah, satu sifat kebaikan.
Walaupun seseorang dikatakan cemerlang dalam melakukan sesuatu perkara, jika melihat
apa yang dimaksudkan dengan kecemerlangan adalah kecemerlangan sesuatu perbuatan yang
diakhiri dengan kesempurnaan. Namun ia tidak menggambarkan langsung kepada pertengahan
dalam apa jua keburukan yang dilakukan walaupun sifat ekstrem tersebut dilakukan dengan
penuh sempurna. Sifat kemerlangan tersebut mestilah kebaikan kerana kebaikan adalah
pertengahan (Aristotle 1962). Aristotle mencadangkan beberapa kebaikan yang bersifat
sederhana yang mesti dimiliki oleh setiap orang iaitu kesopanan, kerjasama, keberanian,
keadilan, keramahan, kemurahan hati, kejujuran, keadilan, kesetiaan, keyakinan diri,kawalan
diri, kesopanan, keadilan, dan toleransi (al-Aidaros 2013). Bagi Urmson (1973), berdasarkan
kecemerlangan manusia menurut Aristotle ialah gambaran manusia yang cemerlang termasuk
emosi dan tingkah-lakunya mestilah bukan kecemerlangan dalam sifat ekstrem.
Menurut Aristotle lagi, manusia adalah baik dalam erti moral jika selalu mengadakan
pilihan rasional yang tepat dalam kehidupan hariannya. Pilihan rasional tersebut boleh difahami
sebagai kebaikan moral. Ini bermaksud apabila manusia tersebut baik dalam erti kata moral maka
manusia tersebut boleh dikatakan sebagai manusia yang bahagia. Kebaikan yang dimaksudkan
6
merupakan kebaikan yang terkandung di dalam setiap perbuatan yang ditafsirkan sebagai tujuan
akhir (Aristotle 1962). Kebaikan sahaja sebenarnya tidak mencukupi untuk mengecapi hidup
yang bahagia. Bagi Aristotle, ia mestilah gabungan di antara kebaikan dan nilai moral (virtue)
dan faktor luaran yang baik atau kebaikan luaran yang lain (external good) untuk memberi kesan
dalam membina hidup yang bahagia. Kebaikan dan nilai moral (virtue) cenderung memposisikan
perbuatan manusia dengan pertengahan (Hwang 2010). Perbuatan baik dan kebaikan luaran
adalah keperluan setiap individu sambil akal mempengaruhi dalam memilih pertengahan bagi
mencapai kebahagiaan (Lim 1996). Kebaikan luaran yang lain (external good) dalam konteks ini
boleh difahami sebagai nasib atau tuah yang baik. Aristotle sendiri menegaskan bahawa
kebaikan sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kebahagiaan tanpa memahami keperluan
terhadap konsep pertengahan (Aristotle 1962). Justeru, manusia adalah baik dalam erti moral jika
selalu mengadakan pilihan rasional yang tepat dalam kehidupan sehari-hari dengan memilih sifat
pertengahan maka mereka adalah orang yang baik dan bahagia.
PERTENGAHAN DALAM FALSAFAH AKHLAK ISLAM
Islam sangat sinonim dengan pertengahan dalam ajarannya yang dikenali sebagai wasatiyyah
malahan keseluruhan keseluruhan syariat Islam bertitik-tolak dari konsep tersebut. Ini dapat
dilihat dalam perkara pokok yang utama, iaitu prinsip akidah, adalah satu contoh adil dan
sederhana. Letaknya prinsip akidah dalam Islam di antara dua kefahaman yang keterlaluan, iaitu
kepercayaan adanya berbilang Tuhan dan kepercayaan kepada tanpa Tuhan (Zulkifli 2012).
Islam memberikan ruang dan peluang yang mencukupi, tidak dizalimi dan tidak berlaku
kerugian. Dalam konsep akhlak, pertengahan dalam Islam yang mengimbangi penilaian dan
perbuatan manusia dalam beragama (al-Shalabi 2007). Perlu juga dinyatakan di sini, bahawa
pertengahan dalam Islam bukan hanya dapat dilihat dalam aspek akidah, malahan dapat
disaksikan dalam aspek ibadah, ekonomi, politik dan pemerintahan, perundangan, akhlak, sosial
dan dalam keseluruhan kehidupan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat (Fakhruddin
et al. 2010).
Konsep yang mengimbangi ini terkenal dengan slogan la ifrat wa la tafrit, tidak
keterlaluan dalam setiap aspek melibatkan penghayatan dan pengamalan praktik agama. Selain
itu, gaya hidup dalam Islam adalah adil dan sederhana kerana tidak keterlaluan pada rohani.
Keterlaluan pada rohani bermaksud meninggalkan fitrah kehidupan manusia seperti tidak
berkahwin dan tidak memakan makanan tertentu atas alasan untuk mendekatkan diri kepada
Tuhan. Wasatiyyah dalam konteks ini adalah pengimbangan dari sudut rohani dan kebendaan.
Pendekatan pertengahan dalam Islam sangat jelas iaitu pertengahan merupakan elemen yang
penting untuk membentuk sifat yang baik dan meminggirkan sifat ekstremisme iaitu sifat buruk
dan melampau (Ermy & Azyati 2019).
Manifestasi pertengahan Islam ini dapat dilihat jelas dalam bacaan Surah al-Fatihah yang
merujuk kepada ayat Sirat al-Mustaqim (jalan yang lurus). Ayat tersebut menunjukkan justifikasi
pertengahan kerana jalan yang lurus adalah pertengahan di antara sikap terlebih dan terkurang,
konservatif dan liberal (al-Shalabi 2007). Pertengahan dalam Islam tidak tertakluk pada asas
ajaran agama, konsep praktikal agama atau gaya hidup, malah pertengahan melampaui semua
aspek kehidupan termasuk dalam aspek pemikiran dan pandangan. Umat Islam digesa untuk
mencari pandangan yang terbaik dan sederhana bagi menjamin kehidupan yang bahagia di dunia
dan di akhirat. Justeru, pertengahan dalam Islam mencakupi semua jenis keperluan iaitu
keperluan duniawi dan keperluan ukhrawi. Umat Islam harus memahami bahawa konsep
7
wasatiyyah yang dianjurkan oleh ajaran Islam ini wajib dijadikan asas kepada pembentukan
peribadi muslim yang sederhana dalam semua aspek kehidupan. Kesemua sumber pertengahan
dalam Islam datangnya dari al-Quran dan al-Sunnah. Pendekatan pertengahan atau wasatiyyah
adalah suatu pendekatan mengamalkan ajaran Islam secara berimbang dan syumul dalam
segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat, dengan mempertingkatkan kualiti hidup
ummah di bidang pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, perpaduan, ekonomi
dan kewangan, undang-undang dan kenegaraan, pertahanan dan sebagainya (Abdullah Md Zin,
2013).
PERTENGAHAN ARISTOTLE DAN ISLAM
Justifikasi pertengahan menurut Aristotle adalah untuk membentuk manusia yang baik melalui
pemilihan kebaikan dan nilai moral (virtue) yang perlu dihayati seperti keberanian, kesabaran,
murah hati dan sebagainya. Sifat kebaikan tersebut secara umumnya satu sifat kebaikan sejagat,
yang perlu dicapai oleh semua manusia. Etika Aristotle menekankan kepada watak, sifat murni
yang ditunjukkan dalam kehidupan dan membawa pelakunya kepada ‘kebahagiaan’.
(Jamaluddin et al. 2016) Menurut perspektif Islam seperti yang diterangkan oleh Ibn Miskawayh,
kebaikan yang disebut sebagai al-khayr merupakan aspek kebaikan amat dititik beratkan dalam
perlakuan dan akhlak manusia yang disebut sebagai sifat terpuji (mahmudah) (Ibnu Miskawayh
1977). Malah Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam, dengan diutusnya Nabi s.a.w. bagi
menyempurnakan kebaikan, tidak lain adalah akhlak, sesuai dengan terma akhlak seperti yang
disebutkan di dalam al-Quran (Surah al-Qalam 68:4). Sifat kebaikan (mahmudah) tersebut
rohani bentuknya yang lebih mendekatkan diri untuk penyucian jiwa berbanding Aristotle yang
lebih menekankan untuk melahirkan manusia yang baik semata-mata. Disiplin akhlak telah
dibincangkan dalam Islam melalui tasawuf. Justeru, secara umumnya konsep pertengahan
Aristotle lebih berbentuk kebaikan fizikal berbanding kebaikan yang lahir dari wasatiyyah Islam
yang berbentuk fizikal dan rohani.

Setiap kewujudan mempunyai fungsi khusus yang baik, dan setiap perbuatan akhir bagi
semua kewujudan haruslah bersandarkan kepada perkara yang terbaik. Sebagai contoh, kuda
yang terbaik adalah kuda yang dapat memberikan khidmatnya yang terbaik kepada
penunggangnya sesuai dengan keperkasaan dan kekuatannya. Jika kuda tersebut gagal berfungsi
dengan baik, maka hilanglah identiti kuda tersebut, dan kuda tersebut sama sahaja fungsinya
dengan keldai atau unta yang membawa muatan atau barangan (Nasir 2003). Bagi manusia,
mereka yang terbaik adalah mereka yang berjaya melakukan perbuatan yang mencerminkan
manusia sebagai kewujudan yang mempunyai akal rasional tidak seperti kewujudan lain. Jika
manusia tidak menuruti akal rasional, dengan melahirkan tingkah laku yang tidak baik, maka
perbuatan atau tingkah laku tersebut sebenarnya lebih menghampiri ciri kehaiwanan. Bagi
seorang manusia, kesempurnaan seseorang terletak pada perbuatannya yang berpandukan akal.
Fungsi akal mendapat tempat dalam perbahasan Aristole, akal dilihat memandu manusia untuk
memilih sifat-sifat yang tertentu. Perbahasan beliau lebih terperinci kerana bersifat kefalsafahan
dengan membahagikan akal kepada dua bahagian iaitu kebaikan intelektual dan kebaikan moral.
Namun Aristotle tidak membincangkan bagaimana untuk membentuk akal yang rasional dalam
memilih jalan tengah bagi membentuk pertengahan walaupun beliau membincangkan
pembahagian akal dan fungsinya.

8
Dalam hal ini, akal rasional sudah tentu tidak ada pada kanak-kanak kerana belum
mencapai kematangan. Lantas, bagaimanakah kanak-kanak dapat mencapai jalan pertengahan
sebagaimana yang dibincangkan Aristotle? Selain itu, persoalan lain turut timbul mengenai orang
yang tidak sempurna akalnya seperti mempunyai penyakit berkaitan akal. Adakah mereka ini
tidak boleh mencapai pertengahan seterusnya tidak boleh mengecapi kebahagiaan akibat dari
kekurangan yang ada? Aristotle tidak membincangkan kedudukan akal bagi kanak-kanak yang
masih belum sempurna akalnya. Dalam Islam, akal digunakan bagi memahami syari’at dan
menjadi penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukallaf. Kanak-kanak di
pandu dengan syari’at supaya dapat mencapai pertengahan seperti penerapan nilai-nilai
mahmudah. Namun untuk membentuk akal yang rasional perlu kepada panduan agama. Ini
kerana akal bersifat terbatas dan perlu tunduk kepada Tuhan atau agama. Tanpa bimbingan
agama, seseorang yang mempunyai kesedaran untuk memperbaiki diri tidak akan
mencapai kemajuan yang sesungguhnya. Agama menjamin bahawa kesedaran diri bukan
sahaja dapat dipelihara, tetapi dapat dipertingkatkan melalui latihan-latihan rohani (riyadah)
yang ditetapkan oleh agama (Jamaluddin et al. 2016). Keseimbangan akal dan rohani penting
bagi mengimbangi
Menurut Aristotle, dua ekstrim bertententangan ini bermaksud dua keadaan yang bersifat
pro dan kontra, suatu keadaan yang bersifat kurang dan satu sifat terlalu banyak atau berlebihan
(Açikgenç 2008). Sebagai contoh keberanian merupakan salah satu contoh jalan tengah diantara
ketakutan, yang mewakili sifat kekurangan, manakala tekad dan membabi buta, mewakili sifat
berlebihan. Namun, ada sesetengah kebaikan yang dipraktikkan dalam Islam kelihatan
bertentangan dengan dua sifat yang bertentangan Aristotle seperti berpuasa. Seseorang yang
tidak makan dan minum merupakan satu kekurangan sebagai salah satu keadaan yang dianggap
tidak baik. Malah, berpuasa merupakan salah satu cara untuk membersihkan rohani dan jiwa
serta membebaskan tubuh dari penyakit. Puasa telah terbukti secara saintifik boleh membantu
hati mengeluarkan toksin tersebut kerana ketika berpuasa, sejumlah besar lemak akan dipindah
ke hati untuk dioksidakan dan dimanfaatkan. Oleh itu, toksin yang termendap di dalam lemak
tersebut akan turut dilarutkan dan dikeluarkan dari badan melalui sistem perkumuhan (Hamidah
& Anisah 2012).

Selain itu, menuntut ilmu dan beribadat tidak termasuk dalam tuntutan pertengahan ini
kerana ia tanggungjawab penuh kepada Allah dan manfaat manusia sepanjang zaman. Ertinya,
seseorang tidak boleh secara ekstrim atau berlebih-lebihan dalam urusan keduniaan atau urusan
kehidupan, kecuali terhadap Allah. Bahkan, sifat melebih-lebih atau ekstrim tidak memberikan
kebahagiaan dalam hidup, baik ia berupa niat, perasaan, pengumpulan harta benda, mencari
populariti, nama mahupun pangkat (Hamidi Ismail 2016). Namun dalam urusan ibadat sesuai
mengikut kemampuan seseorang sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Quran iaitu Allah
tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Surah al-Baqarah
2: 286).
Jika menurut kaedah Aristotle, wujud dua keadaan sifat bertentangan dan keadaan yang
terbaik adalah dipertengahan. Namun wujud juga sesetengah sifat yang hanya berlawanan di
antara satu sama lain seperti keadilan bertentangan dengan kezaliman. Tidak wujud satu sifat
pertengahan di antara adil dan zalim. Keadilan itu sendiri menunjukkan tanda pertengahan. Sifat
yang berlebihan mungkin dianggap sebagai tidak menunjukkan pertengahan tetapi dalam
sesetengah kes, seperti fizikal yang sihat yang hanya bertentangan dengan fizikal yang

9
berpenyakit. Menurut Islam, ganjaran pahala kebaikan lebih banyak akan didapati jika lebih
banyak bersedekah atau sebagainya. Tidak semua nilai pertengahan bersifat pertengahan
sebagaimana contoh yang telah diberikan sebelum ini seperti pembunuhan, perompakan dan
perzinaan (Losin 1987). Islam sejak awal lagi jelas menolak perbuatan buruk dan keji kerana
tidak wujud pertengahan dalam setiap perilaku negatif.
Tidak seperti pertengahan Aristotle yang memfokuskan kepada pengawalan tingkah-laku
dan perbuatan manusia, konsep pertengahan dalam Islam bukan sahaja bersifat mengawal
tindakan manusia, malah merangkumi rohani, pandangan serta amali dalam melakukan ibadat.
Pertengahan dalam Islam lebih mengimbangi kehidupan manusia dari sudut fizikal dan rohani
tanpa meninggalkan salah satu dari kedua aspek berkenaan. Justeru, Islam lebih mengangkat
nilai-nilai mahmudah yang sememangnya terkandung dalam pertengahan seperti mengangkat
martabat insan dan nilai sejagat iaitu keadilan, kesaksamaan, memberikan hak kepada yang
berhak dan lain-lain. Selain itu, konsep pertengahan Islam sangat berkait rapat dengan aspek
kerohanian iaitu menghubungkan segala tingkah-laku kebaikan (mahmudah) dengan Tuhan.
Konsep penyucian jiwa (al-tazkiyah al-nafs) yang berkaitan rohani disediakan oleh agama.

KESIMPULAN

Konsep pertengahan telah dibincangkan sejak dahulu dan sistematik oleh ahli falsafah Yunani
dan diperincikan oleh Aristole secara sistematik. Beliau merumuskan konsep pertengahan
tersebut adalah untuk perbincangan mengenai kebaikan (virtue) dan kecemerlangan tingkah-laku
manusia. Bagi membentuk pertengahan, bagi Aristotle akal dan pemilihan sikap dan tingkah-
laku yang baik banyak membantu. Dari perspektif falsafah akhlak Islam, akal turut berperanan
dalam memandu manusia untuk memilih perbuatan yang membentuk pertengahan. Bukan sahaja
tingkah-laku, malah pemikiran pertengahan dalam Islam menunjukkan bahawa pertengahan
bukan hanya merangkumi aspek fizikal seperti tingkah-laku, malah aspek kerohanian sama
penting untuk mencapai pertengahan kecuali ibadah khusus dan soal mencari ilmu. Islam
memberikan perhatian adil secara ideal terhadap keperluan jasmani, rohani, individu dan
masyarakat tanpa melebihkan sesuatu perkara, tidak berat sebelah dan berpihak.
Konsep pertengahan dalam Islam bertujuan melahirkan umat Islam yang mengamalkan
corak wasatiyyah dari segi akidah, pemikiran dan praktikal (akhlak) termasuk rohani. Walaupun
konsep pertengahan yang dicanangkan oleh Aristotle secara umumnya kelihatan baik untuk
dipraktikkan, konsep pertengahan yang dibincangkan Aristotle tidak ada sangkut-paut dengan
mana-mana ajaran agama. Apa yang kurang dalam perbincangan pertengahan dalam kalangan
ahli falsafah Yunani seperti Aristotle ialah hubungan pertengahan dengan aspek ketuhanan.
Islam sangat menjunjung idea pertengahan dengan cara melarang umatnya bertindak secara
berlebihan dan ekstrim dalam amalan beragama dan perilaku seperti golongan pelampau yang
wujud masa kini. Aktiviti keganasan yang dilakukan atas nama agama, Syiah, golongan liberal
dan sebagainya merupakan natijah kerana tidak mengamalkan konsep pertengahan.
RUJUKAN

Abdullah Md Zin. 2013. Pendekatan Wasatiyyah: Definisi, Konsep dan Pelaksanaan. Putrajaya:
Institut Wasatiyyah Malaysia.

10
Abdul Mukti, F. Hamat, M.F. and Abd Latif, F. and Ab Hamid, N. 2010. Wasatiyyah dan
keamanan global: Kajian terhadap pemikiran ulama Melayu. In: Seminar Serantau Islam
dan Kesejahteraan Sejagat, 24-25 Februari 2010, Universiti Islam Sultan Sharif Ali
Brunei Darussalam. 1-15.
Al-Aidaros, al-Hasan, Faridahwati Mohd. Shamsudin, Kamil Md. Idris. 2013. Ethics and Ethical
Theories from an Islamic Perspective. International Journal of Islamic Thought 4: 1-13.
Al-Shalabi, Ali Muhammad. 2007. al-Wasatiyyah fi al-Qur’an al-Karim. Qahirah: Mu’assasah
‘Iqra’.
Açikgenç, Alparslan. 2008. Aristotelian and Islamic Moral Philosophy A Comparative Ethics.
al- Shajarah 13: 125-146.
Aristotle. 1907. De Anima. Trans. R. D. Hicks. Cambridge: Cambridge University Press.
Aristotle1962. Nicomachean Ethics. Trans. Martin Oswold. Indianapolis: Bobbs Marill.
Bertans, K. 2003. Etika dan Moral untuk Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Cunningham, Stanley B. 1999. Getting it Right: Aristotle’s Golden Mean as Theory
Deterioration. Journal of Mass Media Ethics 14(1): 5-15.
Ermy Azziaty & Azyati Azhani. 2019. Wasatiyyah Menurut Pandangan Islam dan Barat. dlm.
Wasatiyyah dalam Kesepaduan Sosial di Malaysia. Wan Kamal Mujani (ed.) Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 44-63.
Freeman, Kethleen. 1996. Anchilla to the Pre-Socrates Philosophers:a complete translation of
the Fragments in Diels,Fragmente der Vorsokratiker. Harvard University Press.
Godfrey, F. La T. 1953. The Idea of The Mean. Hermathena 81: 14-28.
Hamidah Mat, Anisah Ab Ghani. 2012. Kesan Rawatan Melalui Suntikan ke Atas Puasa Pesakit.
Jurnal Fiqh 9: 65-86.
Hamidi Ismail, Kalthum Hassan, Mohd Nizar Zakaria. 2016. Pertengahan ke Arah Perpaduan
Kaum di Malaysia. Journal of Techno Social 8(2): 70-84.
Horten, Max. 1974. Moral Philosophers in Islam. Islamic Studies 13(1): 1-23.

Huges, Gerard J. 2001. Routledge Philosophy Guidebook to Aristotle on Ethics. London:


Routledge.
Hwang, Jun Hyun. & Kretchmar Scott, R. 2010. Aristotle’s Golden Mean: Its Implication for the
Doping Debate. Journal of the Philosophy of Sport, 37:102-121.
Ibnu Miskawayh. 1977. Tahdhib al-Akhlaq wa Tathir al-A’raq. Beirut: Dar Maktabah al-Hayat.
Idris Zakaria & Ahmad Sunawari Long. 2013. Titik Temu Antara Falsafah dan Kehidupan
Praktis. International Journal of Islamic Thought 3: 37-44.
Jamaluddin Mohd Ali, Azizan Baharuddin & Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali. Konsep Tabii
Manusia Menurut Pandangan Jean-Jacques Rousseau: Suatu Analisis dari Sudut
Moral. Jurnal Peradaban. 9: 51-72.
Kenny, A. J. P. 2006. An Illustrated Brief History of Western Philosophy. Oxford:
Blackwell Publishing.
Lim, Melvyn Hong Seng. 1996. Eudaimonia: The Argument of the Ethics. Master Thesis,
Universiti Kebangsaan Singapura.
Losin, Peter. 1987. Aristotle’s Doctrin of Mean. History of Philosophy Quarterly 4(3): 329-341.
Nasir Omar. 2003. Christian and Muslim Ethics: a study of how to attain happiness as reflected
in the works on Thadhib al-Akhlaq by Yahya ibn ‘Adi (d.974) and Miskawayh (d.1030).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

11
Nasir Omar. 2010. Falsafah Akhlak. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
O’Grady, P. F. 2005. Meet the Philosophers of Ancient Greece. England: Ashgate Publishing
Limited.
Othman Lebar. 2012. Penyelidikan Kualitatif Pengenalan kepada Teori dan Metode. Tanjong
Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Stumpf, Samuel Enoch.1994. Philosophy: History and Problems. New York: McGraw Hill.
Urmson, J. O. 1973. Aristotle's Doctrine of the Mean. American Philosophical Quarterly 10(13):
223-230.
Wan Suhaimi Wan Abdullah. 2000. Falsafah al-Kindi Tentang Akal: Analisis Awalan dan
Terjemahan Risalah Fi al-Aql. Jurnal AFKAR 1: 71-100.
Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2012. Wasatiyyah Tunggak Kesatuan Ummah. Kuala Lumpur:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Mohd Annas Shafiq Bin Ayob


Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara
43800 Dengkil
Selangor
Malaysia
E-mail: mohdannas0382@uitm.edu.my
Mohd Norazri Mohamad Zaini
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara
40450 Shah Alam
Selangor
Malaysia
E-mail: Norazri7082@uitm.edu.my

Dr Faridah Mohd Sairi


Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil
Akademi Pengajian Islam Kontemporari
Universiti Teknologi Mara
43800 Dengkil
Selangor
Malaysia
E-mail: faridah0052@uitm.edu.my

12

Anda mungkin juga menyukai