Anda di halaman 1dari 3

Kelebihan Bulan Rabiulawal

 
Kelebihan Bulan Rabiulawal
Rabiulawal ialah bulan ke-tiga di dalam kalendar hijriah setelah bulan Muharram dan bulan
Safar. Ia dikenali juga dengan Bulan Maulid, Bulan Selawat dan Bulan Kelahiran Nabi Muhammad
SAW kerana anjuran untuk memperbanyakkan selawat sesuai kelahiran Nabi Muhammd SAW.
Seperti bulan-bulan Islam yang lain, bulan Rabiulawal membawa banyak sejarah dan
keistimewaan tersendiri serta merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh pencinta Nabi
Muhammad SAW, Nabi junjungan kita.

Pengertian Bulan Rabiulawal


Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga dan musim berbuah bagi
tanaman.

Peristiwa-Peristiwa Bersejarah dalam Bulan Rabiulawal


1. Umumnya yang paling diingati dan diraikan umat Islam di rantau ini pada bulan Rabiulawal
ialah kelahiran insan mithali yang kita hormati dan contohi iaitu Nabi junjungan kita,
Muhammad SAW. Walaupun terdapat beberapa riwayat berkenaan tarikh kelahiran Nabi
Muhammad SAW namun semuanya bersepakat bahawa Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada
bulan Rabiulawal dan yang paling masyhur ialah sumber-sumber yang mengatakan kelahiran
Nabi SAW jatuh pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah.

Walaupun tidak diraikan dengan majlis besar-besaran pada zaman Rasulullah SAW, Majlis
maulidur rasul seperti yang kita hadiri pada kebiasaannya merupakan inisiatif hasanah yang di
mulakan oleh para sahabat dan tabiin bagi memperingati sejarah hidup Rasulullah SAW dan
membuahkan kecintaan melalui selawat kepadanya. Hari ini, amalan ini telah kita lanjutkan
sesuai hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik umatku ialah yang hidup pada kurunku,
kemudian yang mengikuti zaman mereka dan kemudian yang mengikuti zaman mereka.” Juga
dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya daripada Aisyah RA dengan lafaz: “Seorang lelaki
telah bertanya kepada Nabi SAW siapakah umat yang terbaik?” Baginda menjawab: “Generasi
yang mana aku berada dengan mereka, kemudian generasi seterusnya kemudian generasi
ketiga.” (Riwayat Buraidah dan Nu’man bin Bashir radhiallahu 'anhuma sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, jld. 5, ms. 350 & 440). Malah, sambutan Maulidur
Rasul hari ini lebih panjang mencakupi 12 hari atau sebulan.

Adapun  terdapat berbagai pendapat dari beberapa ulama’ tentang sambutan maulidur rasul
atas dasar ianya bid’ah, ia bagaimanapun, merupakan bid’ah hasanah yang mendatangkan
faedah dan kebaikan kepada masyarakat Islam. Pertama, ia mengingatkan masyarakat Islam
khususnya muda mudi akan perjuangan Nabi Muhammad SAW yang harus dicontohi melalui
syarahan-syarahan agama dan kupasan-kupasan dari perspektif berbeza-beza kehidupan
Rasulullah SAW.

Kedua, sambutan-sambutan maulidurrasul disertai dengan lafaz-lafaz maulid mengajak umat


Islam berselawat. Ini sekaligus mengajar umat Islam lafaz-lafaz selawat yang pelbagai versi dan
mencetuskan amalan yang diharapkan dapat diteruskan selepas bulan ini.

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang
beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.
(Surah Al Ahzab ayat 56)

Manakala di dalam hadis-hadis Rasulullah SAW, terdapat banyak arahan dan kelebihan-
kelebihan yang dinyatakan berkenaan dengan selawat ke atas baginda SAW, antaranya, sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali
selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Hadis riwayat Imam
Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ass RA).

Bagi ibu bapa pula, lafaz-lafaz yang berlagu ini jika diajarkan kepada anak-anak menjadi satu
amal jariah dalam membentuk keperibadian soleh.

Ketiga, sambutan maulidurrasul ini memberi peluang kepada yang berkemampuan untuk
memberi makan kepada orang lain sekaligus menambah amalan kebaikan apalagi dengan doa
ikhlas mereka yang menerima kebaikan tadi sebagaimana maksud hadis dari Abdullah Bin Umar
RA bahawa Rasulullah SAW di dalam khutbahnya bersabda “tangan di atas itu lebih baik dari
tangan di bawah. Tangan di atas itu memberi dan tangan di bawah itu meminta” (Riwayat Al
Bukhari)

Keempat, merapatkan silaturrahim sesama saudara seIslam sebagaimana yang dianjurkan


agama dalam firman Allah SWT: “Berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu
bercerai berai” (Surah Al-Imran: 103)

Menyambut peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam dapat mendekatkan diri kepada
Allah SWT. Sebaiknya diikuti dengan berpuasa, meningkatkan amalan fardu dan sunat,
meningkatkan kefahaman akan pengajaran dari peristiwa tersebut dan pada bulan yang mulia
ini, perbanyakkanlah berselawat kerana sesungguhnya selawat itu mempunyai kedudukan yang
tinggi serta membawa banyak kelebihan, InsyaAllah, akan kita kupaskan kewajipan dan
keistimewaan selawat pada artikel akan datang.

2. Rasulullah SAW tiba di Quba pada hari Isnin 8 Rabiulawal. Perkara pertama yang baginda
lakukan ialah membina masjid bernama masjid Quba. Baginda kemudian meneruskan perjalanan
sampai ke kota Yathrib pada hari Jumaat, 12 Rabiulawal, dan menunaikan solat Jumaat yang
pertama di sebuah kawasan bernama Wadi Ranauna iaitu berhampiran perkampungan Bani
Salim bin Auf. Sebuah masjid kemudian telah dibina di tempat solat Jumaat itu didirikan dan
dinamakan Masjid Jumaah atau Masjid Wadi atau Masjid Atikah serta tersergam indah hingga ke
hari ini.

3. Menurut sejarah, terdapat pelbagai peperangan yang berlaku pada bulan yang mulia ini.
Antara peperangan yang mendapat liputan meluas pada bulan ini ialah peperangan Bawath,
peperangan Bani Nadhir, peperangan Dummatul Jandal, peperangan Ghatfan dan peperangan
Bani Lahyan.

4. Wafatnya Nabi Muhammad SAW pada hari lahirnya 12 Rabiulawal tahun 11 hijrah bersamaan
7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah Aisyah RA dan dikebumikan di Madinah al Munawwarah.

5. Saidina Abu Bakar RA dilantik menjadi pengganti Rasulullah SAW pada bulan Rabiulawal
dengan disokong oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW di Dewan Bani Saidah. Perkara pertama
yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar RA berhubung dengan perlantikan beliau ialah
memerangi mereka yang murtad setelah kewafatan Rasulullah SAW.

6. Pembukaan Iraq oleh tentera Islam pimpinan Khalid Ibni Walid pada zaman pemerintahan
Saidina Abu Bakar RA.

7. Pembukaan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al Ayyubi setelah tentera Islam menewaskan
tentera salib pada 583H.

8. Kejatuhan empayar kerajaan Islam Sepanyol di Andalusia oleh tentera Sepanyol yang dipimpin
oleh Fedinando dan Isabella pada tahun 897H. Sejak itu, bermulalah kemusnahan tempat-
tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium serta
tiada lagi kedengaran suara azan berkumandang di negara tersebut. Umat Islam, oleh itu, harus
mengambil iktibar bahawa kemusnahan agama Islam boleh berlaku jika kita tidak berhati-hati
dan berpecah belah.

Begitulah kelebihan bulan Rabiulawal. Marilah kita meraih keberkahan setiap bulan dengan
berpuasa sekurang-kurangnya 3 hari dalam sebulan sebagaimana maksud hadis SAW. Daripada
Abi Hurairah r.a katanya: “Rasulullah telah berwasiat kepadaku tiga perkara, iaitu puasa tiga
hari setiap bulan, sembahyang Dhuha dua rakaat dan sembahyang sebelum tidur.”

Sesuai dengan adanya peristiwa kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada bulan
yang mulia ini, marilah kita basahkan lidah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi
Muhammad SAW, Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad!

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ditulis oleh:

Ustazah Azeemah Mustafa, BA (Hons) Pengajian Islam (Perbandingan Agama), MA Sains


Kemanusiaan (Komunikasi Massa), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
 
Ustaz Rafiuddin Ismail, BA Syariah, Universiti Al Azhar, Mesir.

Anda mungkin juga menyukai