Anda di halaman 1dari 2

Gereja Umpama Tangan TUHAN

Enosroy Masangkil

Pendahuluan
Tangan adalah anggota tubuh manusia yang sangat penting, ianya digunakan untuk
berkarya, bekerja, mencipta, mengelola, dan mencapai sesuatu. Pada masa yang sama, kata
tangan boleh digunakan sebagai metafora yang besar ertinya. Tangan melambangkan autoriti,
kuasa, dan keperkasaan. Apabila itu berbicara tentang tangan Tuhan maka ianya boleh
melambangkan kedaulatan Tuhan yang Mahakuasa. Suatu huluran tangan boleh melambangkan
suatu pemberian dan penerimaan. Sekiranya itu berhubung dengan tangan Tuhan maka ianya
boleh bermaksud tangan yang memberkati dan mengampuni umat-Nya. Tangan Tuhan juga
boleh dimetaforakan sebagai pemeliharaan Tuhan atas orang-orang percaya (Mat. 4:6). Minggu
ini kita diingatkan bahawa, gereja itu seumpama tangan Tuhan sendiri. Maksudnya, kita
diundang untuk menjadi tangan Kristus dalam melakukan pekerjaan dan kehendak-Nya di bumi
ini. Penulis Injil Matius mencatat kata-kata Yesus dalam Mat. 25:35-40 sebagai pedoman dan
penuntun orang percaya dalam berperanan sebagai tangan Tuhan di bumi.

Isi Penting
Perikop ini wujud untuk menggambarkan tentang kedatangan Anak Manusia saat
penghakiman terakhir bagi segala bangsa. Perumpamaan digunakan Yesus dalam pengasingan
orang-orang benar dari yang tidak benar dengan ukuran pekerjaan tangan yang mereka pernah
lakukan untuk Anak Manusia itu. Yesus berkata “Sebab ketika Aku lapar, kamu memberi Aku
makan; ketika Aku haus, kamu memberi Aku minum; ketika Aku seorang asing, kamu memberi
Aku tumpangan; ketika Aku telanjang, kamu memberi Aku pakaian; ketika Aku sakit, kamu
melawat Aku; ketika Aku di dalam penjara, kamu mengunjungi Aku.” Kita boleh simpulkan
dengan sederhana kata-kata Yesus ini seperti, “kamu telah memberikan tanganmu kepada-Ku
hai orang benar!” Orang-orang benar melakukan segala kebaikan kepada orang yang
dianggap hina, namun tidak mengetahui sekiranya tindakan mereka juga memberi kesan
kepada Raja (Tuhan) sendiri. Ada tiga hal yang kita boleh pelajari berdasarkan perikop ini.

1. Tangan TUHAN adalah tangan yang peduli dan memberi.


Pastinya masyarakat yang dianggap rendah sudah ada semenjak sekian lama. Apalagi
pada zaman Yesus hidup, dan untuk inilah kedatangan Kristus, Dia bukan sekadar mewartakan
Injil Kerajaan Allah namun membawa kepedulian sosial-Nya agar yang dianggap rendah di satu-
satu masyarakat mendapat keadilan yang selayaknya (Lukas 4:18-19). Tuhan Yesus memiliki
tangan yang peduli, Dia peduli kepada orang-orang yang kelaparan. Dia menunjukkan
kepedulian-Nya dalam Injil Matius 14:15-21 ketika Dia memberikan makanan kepada lima ribu
orang. Setiap tahun jumlah orang yang kebuluran di seluruh dunia mengalami peningkatan.
David Beasley, Ketua Program Makanan Sedunia PBB berkata, analisis terbarunya menunjukkan
rekod 345 juta orang yang kebuluran ianya mengalami meningkat sebanyak 25% dari 276 juta



pada awal tahun 2022. Ini merupakan sebuah krisis. Gereja secara global perlu membuka mata
dan melakukan sesuatu sebagai tangan Tuhan di muka bumi. Kita juga boleh melihat kebuluran
berlaku disekeliling kita, dengan melihat gereja sebagai tangan Tuhan, kita pasti dapat
membuat perubahan kepada isu ini.

2. Tangan TUHAN adalah tangan yang memanifestasikan kasih.


TUHAN iaitu Bapa kita adalah kasih, dan segala pekerjaan Kristus di muka bumi
memanifestasikan kasih Bapa tersebut. Dia menyatakan kasih-Nya kepada orang-orang sakit,
dan orang-orang yang terbelenggu oleh kuasa gelap. Tangan-Nya memelihara secara jasmani
dan rohani kepada orang-orang yang memerlukan. Teladan ini dapat menginspirasikan kita
dalam melawat orang-orang yang sakit dan mengunjungi orang-orang yang terbelenggu di
penjara dengan kasih dari Tuhan. Kesedaran bahawa mereka memerlukan sokongan secara
mental dan emosional sangat penting sehingga tangan kita dapat memanifestasikan kasih
Tuhan. Kita bersyukur kerana ada badan Kristian di Malaysia yang peduli terhadap orang yang
berada di dalam penjara, sehingga gereja dapat terlibat secara langsung untuk melayani
mereka dan keluarga mereka.

3. Tangan kepada yang memerlukan juga tangan yang memuliakan-Nya.


Yesus mengatakan di ayat 40 bahawa, “sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan
untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku.”
Tangan yang memberi makanan, minuman, tumpangan, pakaian, lawatan dan kunjungan
kepada orang yang memerlukan merupakan tangan yang memuliakan Tuhan juga. Kebaikan
berguna bagi sesama kita tetapi dihadapan Tuhan ini seperti suatu penyembahan yang
berkenan bagi-Nya. Ketika gereja melayani yang memerlukan, Tuhan juga dilayani pada masa
yang sama. Segala kebaikan yang kita lakukan kepada salah seorang yang dianggap paling
hina, kita telah melakukan-Nya bagi Tuhan. Persoalan tentang siapakah “saudara-Nya yang
paling hina” mungkin masih boleh dipersoalankan, namun perkataan Yesus ini sudah cukup
untuk mendorong kita melakukan pekerjaan yang dianggap-Nya baik bagi yang memerlukan.

Penutup
Gereja yang adalah milik Tuhan, kita dipanggil untuk melakukan pekerjaan Tuhan di
bumi. Tuhan masih berkarya sampai hari ini, dan gereja sebagai rakan sekerja Tuhan memiliki
peranan penting dalam pekerjaan Tuhan di bumi. Marilah kita sentiasa mengingati bahawa kita
adalah tangan Tuhan di bumi. Ramai orang yang memerlukan gereja, dan gereja harus
menyedari identiti yang gereja miliki, iaitu sebagai tangan Tuhan di muka bumi ini.

Anda mungkin juga menyukai