Anda di halaman 1dari 1

KEPENTINGAN AMALAN BERJIMAT CERMAT

Tahun 2020 dilakari peristiwa hitam akibat pandemik Novel Coronavirus atau lebih dikenali COVID-19.
Situasi yang berlaku ini telah memberi pengajaran kepada negara dan rakyatnya tentang kepentingan
amalan berjimat cermat dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, kita masih belum terlambat untuk terus
mengamalkan amalan mulia ini di tengah-tengah kemelut pandemik yang masih belum ketemu titik
pengakhiran episod sedih. Dari satu perspektif, wang bukanlah segala-galanya namun wang masih menjadi
faktor utama penyelesaian masalah. Keadaan ini boleh dilihat apabila seseorang menghadapi dugaan
seperti bencana alam, kemalangan, dan kebakaran yang sering dikaitkan dengan pepatah ‘malang tidak
berbau’. Kesemua dugaan tersebut memerlukan wang untuk membaik pulih dan membeli barangan
keperluan untuk meneruskan kehidupan. Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan amalan berjimat
cermat sahaja dapat menyelamatkan keadaan. Benarlah kata peribahasa Melayu, “sediakan payung
sebelum hujan’.Tegasnya, amalan berjimat cermat ini merupakan persediaan awal sebelum sesuatu
kecemasan berlaku. Dari perspektif yang berbeza pula, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) pernah memberitahu bahawa kebanyakan individu yang meminjam daripada lintah darat ini
terperangkap akibat kegagalan pengurusan kewangan mereka. Jika mereka bersikap ukur baju di badan
sendiri, pasti masalah pengurusan kewangan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, seseorang yang hendak
membeli barangan peribadi seperti jam pintar akan mula melakukan penjimatan wang belanja harian lalu
menabung wang simpanan tersebut sehingga mencapai matlamat kewangan untuk membeli barangan
yang diminatinya. Keadaan ini seolaholah sebagai ganjaran setelah berjimat cermat. Secara tidak langsung,
amalan ini dapat memberi kepuasan kepada seseorang yang berjimat cermat untuk mendapatkan sesuatu
yang diharapkan. Di samping perspektif di atas, amalan berjimat cermat dikatakan mampu menjamin masa
depan yang lebih cerah. Amalan berbelanja secara berhemat dan menyimpan wang merupakan amalan
yang mampu menjamin masa hadapan. Amalan ini akan mengelakkan nafsu kita daripada berbelanja
sesuka hati bak kata peribahasa, íkut hati mati, ikut rasa binasa, malah tabiat ini akan menggalakkan kita
berhutang setiap bulan untuk memenuhi kehendak kita. Hanya dengan berjimat cermat, kita dapat
merancang masa depan pendidikan, kerjaya, perkahwinan, dan keperluan hidup dengan lebih mudah dan
terancang. Bukti jelas lagi konkrit ini menunjukkan kepentingan amalan berjimat cermat diamalkan sejak
usia remaja lagi mampu menjamin masa depan yang gilang-gemilang. Tidak dapat dinafikan bahawa,
amalan berjimat cermat merupakan amalan yang memberi kesan positif dalam usaha memelihara dan
memulihara alam sekitar. Hal ini dikatakan demikian kerana manusia sedang mengeksploitasi sumber alam
semaksimumnya tanpa memikirkan akibat yang bakal dihadapi oleh mereka. Jika manusia dapat
mengubah kehidupan mereka dengan berjimat cermat dari segi makanan, penggunaan bekalan air dan
elektrik serta kertas dan lain-lain lagi, kita sebenarnya sedang menuju ke arah menyelamatkan bumi
daripada mengalami kemusnahan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, maka, kita
perlu berjimat cermat dalam penggunaan setiap benda sebagai langkah menjimatkan sumber alam agar
kita dapat hidup sejahtera dan harmoni di muka bumi ini. Secara keseluruhannya, amalan berjimat cermat
ini merupakan amalan yang mendisiplinkan seseorang agar dapat berfikir sebelum bertindak dengan
menjadikan fikiran waras dan rasional untuk melakukan pertimbangan yang wajar sebelum pembelian
sesuatu barangan sama ada barang tersebut barang keperluan atau barang kehendak semata-mata. Oleh
itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memupuk amalan berjimat cermat ini
dapat agar disemai dalam jiwa remaja masa kini demi kelangsungan hidup yang lebih terjamin.

Anda mungkin juga menyukai