Anda di halaman 1dari 17

AMALAN PENTASHIHAN AL-QURAN DI MALAYSIA: SATU SOROTAN

Oleh:

Shaharuddin Pangilun (KUIS)


Muhammad Syafee Salihin b. Hasan (KUIS)
Imran Kamal Basha (KUIS)

Abstrak

Al-Quran adalah anugerah Allah s.w.t. yang agong kepada alam sejagat ini. Bersifat
syumul dan sentiasa releven sepanjang zaman. Dalam kegairahan kita membaca,
mentadabbur, menghayati dan mengamalkan al-Quran, terkadang kita terlepas
pandang tentang bagaimana standard operation procedure (s.o.p) pentashihan al-
Quran sehingga al-Quran yang ada di tangan kita benar-benar asli dan tiada
kesalahan serta kesilapan pada semua tahap dalam proses penerbitan dan
penyebaran. Artikal ini cuba membuat tinjaun awal bagaimana s.o.p. yang dilakukan
oleh badan berkuasa Unit Kawalan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri
dalam memberikan kelulusan penerbitan dan penyebaran mushaf al-Quran yang
pelbagai bentuk dalam pasaran, khususnya dalam negara ini. Kajian ini
menggunakan kaedah kualitatif. Semua dokumentasi dan data yang diperolehi
melalui sumber asal akan dikumpul dan diteliti serta dianalisis. Hasil dapatan kajian,
mendapati terdapat s.o.p. yang telah ditetapkan oleh KDN dalam setiap penerbitan
al-Quran dengan kaedah tertentu yang digunapakai dalam mengenalpasti setiap
mushaf al-Quran yang diterbit dan disebarkan dalam negara ini melalui s.o.p.
tersebut, demi menjamin keaslian dan kesejahteraan al-Quran.

Kata Kunci: Teks al-Quran, Lajnah Tashih Al-Quran, Unit Kawalan Teks al-Quran

14
PENDAHULUAN.

Al-Quran adalah mukjizat agung Nabi Muhammad s.a.w. yang diwariskan untuk umat
manusia sejagat. Ia dapat dibaca, ditadabbur, dihafaz dan dihayati dalam kehidupan
manusia sehingga sekarang. Pada akhir-akhir ini, percetakan, penerbitan dan
pengedaran mushaf al-Quran semakin bertambah atas permintaan umat Islam yang
semakin ramai1. Permintaan yang tinggi telah mencetuskan inovasi dan lahir pelbagai
reka bentuk dan metode yang pelbagai sehingga menimbulkan persoalan sejauhmana
mushaf itu dapat dipelihara kesucian dan dijamin keasliannya. Oleh itu para ulama
telah mengambil tanggungjawab untuk melakukan penyelidikan, penelitian dan
pemeliharaan terhadap hal ehwal penulisan al-Quran, lebih-lebih lagi penulisan yang
terdahulu yang dilakukan oleh para sahabat di hadapan Rasulullah s.a.w..

Begitu juga apa yang dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan, badan-badan


kerajaan seperti Arab Saudi, Mesir, Syria, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Di
Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri, Unit Penerbitan Al-Quran, semua
penerbitan dan penyebaran mushaf al-Quran perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu
daripada agensi ini, sebelum penerbitan dan penyebaran naskhah-naskhah al-Quran di
benarkan dalam negara.

LATAR BELAKANG PENYELIDIKAN.

Al-Quran turun kepada bangsa Arab dengan struktur bahasa Arab yang sangat indah
dan luhur serta mengandungi hidayah dan petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. telah
memerintahkan para penulis wahyu menulis ayat-ayat al-Quran yang telah
diwahyukan kepada mereka. Terdapat kalangan para sahabat yang telah diamanahkan
sebagai penulis al-Quran antaranya ialah Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin
Thabit, Zubair bin Awwam, Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain. Apabila wahyu
turun, baginda terus menyampaikan wahyu tersebut dan memerintahkan mereka

1
Jumlah penduduk di negara ini telah bertambah daripada 10.88 juta orang pada tahun 1970 kepada
29.94 juta orang pada tahun 2013 di mana pertambahan penduduk dalam tempoh dua dekad terakhir
melebihi 10 juta orang. Jabatan Perangkaan Negara (http://www.lppkn.gov.my/index.php? Itemid=
421& catid=37&id=207: penduduk-2014 & lang=ms& option=com_content& view=article)/ 2016.
09.18 /5:30PM.

15
menulis dan menetapkan susunan ayat-ayat al-Quran berdasarkan panduan Malaikat
Jibril a.s. sehingga penulisan al-Quran menjadi lembaran-lembaran (suhuf) dan
membantu memudahkan seseorang penghafal mengingati al-Quran dengan baik.2 Di
mana ayat-ayat al-Quran ketika itu ditulis di atas pelepah-pelepah kurma, batu-batu
nipis, pangkal pokok kurma, daun, kulit-kulit, tulang-belulang binatang dan lain-lain.3

Proses pengumpulan, pembukuan, dan penyalinan semula al-Quran bermula


pada pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq selaku Khalifah pertama iaitu selepas
kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. dan muncul banyak masalah yang beliau hadapi.
Antara masalah yang dihadapi ialah ramai kalangan orang Islam yang murtad dan
terdapat golongan yang enggan mengeluarkan zakat serta mempermainkan ayat-ayat
al-Qur’an. Abu Bakar al-Siddiq bertindak tegas dalam menangani golongan tersebut.

Sejarah telah mencatat dalam peperangan al-Yamamah, ramai para sahabat


yang menghafaz al-Quran telah syahid iaitu seramai tujuh ratus orang4. Peristiwa itu
telah menjadikan Umar Ibn al-Khattab r.a. mencadangkan kepada Abu Bakar al-
Siddiq r.a. supaya mengumpul dan menghimpunkan semua ayat-ayat al-Quran dalam
satu tempat. Pada awalnya beliau menolak cadangan tersebut kerana tiada nas atau
hadis yang mengarahkan beliau berbuat demikian tetapi akhirnya beliau menerima
pandangan Umar Ibn al-Khattab tersebut memandangkan kepentingan ummah
terhadap pemeliharaan al-Quran.

Bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang besar ini, beliau telah
memilih Zaid bin Thabit r.a..5 Abu Bakar al-Siddiq memanggil Zaid bin Thabit r.a.
dan kemudian memberikan tugas kepadanya agar mengumpul serta menulis ayat-ayat

2
Abdul Fatah al-Qadhi. 1999. Sejarah Kitab Al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan. Terengganu:
Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd. Hlm. 10.
3
Jalaluddin ‘Abd al-Rahman al-Suyuti. 1987M/1407H. Al-Itqan fi ‘Ulum Al-Qur'an. Cet. 1. Jild.1.
Damsyik: Dar Ibn Kathir. Hlm. 185.
4
Ali Muhammad Dabba’. 1999. Samir al-Talibin Fi Rasm wa Dabt Kitab al-Mubin. Cet. 1. Kaherah:
Maktabah al-Azhar li Turath. Hlm. 9. Terdapat beberapa pendapat tentang bilangan sahabat r.a. yang
mati syahid dalam eperangan di Yamamah. Menurut Sheikh Abdul ‘Azim al-Zarqani dalam kitabnya
Manahil al-Irfan berpendapat bilangan sahabat r.a. yang syahid di Yamamah ialah 70 dan setengah
pendapat seramai 500 orang. Al-Zarqani, Manahil al-‘Irfan. Jld. 1. Hlm. 205. Bagi Syeikh Ali Dabba’
dan Syeikh Makki Nasar, mereka berpendapat sahabat r.a. yang syahid dalam peperangan di Yamamah
ialah seramai 1,200 orang dan 700 daripadanya ialah kalangan Qurra’.
5
Beliaulah satu-satunya sahabat yang hadir bersama semasa Rasulullah saw. menyemak Quran dengan
Malaikat Jibril buat kali terakhir. Di samping itu beliau dikenali sebagai seorang yang berakal, warak,
sempurna agamanya dan adil, seorang yang dianggap amat amanah terhadap hafazan al-Qurannya,
tidak cacat pada agamanya dan akhlaknya. Terhimpun pada beliau segala sifat-sifat kelebihan yang
jarang terdapat pada para sahabat yang besar-besar.

16
al-Quran.6 Setelah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a wafat pada tahun 13 hijrah,
beliau digantikan oleh Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab r.a. dan tugas untuk
menyimpan Suhuf Abu Bakr diambil alih oleh beliau. Sepanjang masa pemerintahan
Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab r.a., Suhuf tersebut tetap dijadikan sebagai rujukan
dalam pembacaan al-Quran, tetapi dalam masa yang sama para sahabat dan
kebanyakan umat Islam di zaman tersebut tetap mengutamakan hafazan dalam
pembacaan al-Quran.

Selepas kewafatan Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab r.a., suhuf tersebut disimpan
pula oleh anak perempuannya iaitu Hafsah bt. ’Umar r.a. Beliau terus menyimpan
suhuf itu sehinggalah beliau meninggal dunia. Kemudian suhuf itu diambil oleh
Marwan bin al-Hakam bin Abi al-‘As bin Umayyah yang menjadi gabenor di
Madinah al-Munawwarah pada ketika itu dan terus membakarnya. Perkara ini
dilakukannya selepas suhuf tersebut dijadikan rujukan untuk menulis Mushaf al-lmam
pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a..

Saidina Uthman bin Affan r.a. telah dilantik menjadi Khalifah Islam yang
ketiga pada tahun 23 hijrah selepas Saidina ‘Umar Ibn al-Khattab r.a. wafat. Pada
zaman tersebut, penaklukkan Islam ke beberapa buah negara di sekitamya begitu
hebat berlaku dan kesannya ramai penduduk-penduduk negara yang ditawan itu
memeluk Islam. Pada masa yang sama, amalan pembacaan al-Quran tetap menjadi
ibadah yang utama dalam kehidupan mereka sehari-harian. Penduduk-penduduk di
setiap kota Islam itu mempelajari kaedah-kaedah pembacaan al-Quran daripada para
sahabat yang masyhur di sisi mereka. Penduduk Damsyik mempelajarinya daripada
al-Miqdad bin al-Aswad, penduduk Syam mempelajarinya daripada Ubai bin Ka‘ab,
penduduk Kufah pula mempelajarinya daripada Abdullah bin Mas‘ud, sementara
penduduk Basrah mempelajarinya daripada Abu Musa al-Asy‘ari. Bacaan mereka itu
berbeza antara satu sama lain, di sebabkan perbezaan wajah-wajah bacaan yang
mereka ambil dari Rasulullah s.a.w..

Pada tahun yang ke 25 hijrah iaitu di sekitar dua atau tiga tahun zaman
pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a.. Penduduk-penduduk negeri Syam dan
Iraq telah keluar beramai-ramai untuk memerangi negeri Armania dan Azarbaijan.
Salah seorang sahabat yang turut serta dalam serangan itu ialah Huzaifah al-Yamani.

6
Muhammad Makki Nasr al-Juraisi. 2003. Nihayat al-Qaul al-Mufid Fi Ilmi Tajwid al-Quran. Cet 1.
Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Hlm. 189.

17
Apabila berlaku satu peristiwa yang boleh membawa kepada perpecahan dan
perbalahan di kalangan mereka. Di mana tiap-tiap satu pihak mendakwa bahawa
bacaan mereka sahaja yang betul dan menyalahkan bacaan yang lain, mereka saling
caci mencaci sehingga kepada peringkat saling kafir mengkafir di antara satu sama
lain. Melihat perbalahan yang sedang berlaku, Huzaifah al-Yamani pun segera
mengadap Khalifah Uthman bin Affan r.a. untuk menceritakan keadaan itu dan beliau
mendesak supaya masalah tersebut segera ditangani sebelum umat Islam terus
berpecah belah di sebabkan perbezaan cara bacaan mereka sebagaimana kaum Yahudi
dan Nasrani telah berpecah belah.7

Berasaskan permasalahan tersebut, Saidina Uthman bin Affan r.a. pun


menghimpunkan sekalian sahabat yang terkemuka untuk menyelesaikan masalah
tersebut. Satu jawatan kuasa yang dilantik yang terdiri daripada empat orang sahabat
iaitu Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair, Sa‘id bin al-‘As dan Abd al-Rahman
bin al-Harith bin Hisyam r.a. di bawah seliaan Khalifah Uthman bin Affan r.a. sendiri.
Di mana Suhuf Abu Bakr dijadikan sumber utama dalam penyalinan semula al-Quran,
di samping apa yang ada dalam dada para sahabat di ambil juga sebagai rujukan.

Khalifah Uthman bin Affan r.a. sangat berhati-hati dalam menyelia penulisan
dan penyalinan semula al-Quran, kerana ianya berkaitan dengan kalam Allah s.w.t., di
samping akan menjadi sumber rujukan utama kepada umat Islam pada ketika itu. Oleh
itu beliau telah menetapkan beberapa metode yang perlu diikuti oleh jurutulis-
jurutulis tersebut, antara melarang menulis jika:-

1. Ayat al-Quran yang dimansuhkan bacaan.

2. Tidak terdapat ketika semakan terakhir.

3. Ditulis oleh orang perseorangan (ahad).

4. Bila berlaku perselisihan lahjah hendaklah ditulis dengan lahjah Quraisy.

Walaupun para ulama berselisih pendapat tentang jumlah sebenar bilangan


mushaf yang disalin dan diterbitkan serta dikirim oleh Saidina Uthman bin Affan r.a.
ke kota-kota dalam negara Islam. Sahihnya ialah enam buah naskhah semuanya yang
diterbitkan iaitu sebuah dihantar ke kota Basrah, sebuah ke kota Kufah, sebuah ke

7
Abdul Fatah al-Qadhi. 1999. Sejarah Kitab Al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan. op.cit. Hlm. 71.

18
kota Syam, sebuah ke kota Mekah, sebuah ke kota Madinah dan satu lagi dipegang
oleh Uthman bin Affan r.a. sendiri yang dinamakan Mushaf al-Imam.8

Khalifah Uthman bin Affan telah memerintahkan supaya al-Quran yang


hendak sebarkan ke kota-kota dalam negara Islam, diutus bersama tiap-tiap naskhah
mushaf yang diterbitkan itu seorang Imam yang adil dan cekap dalam bacaan al-
Quran, dan bacaannya itu kebiasaannya menepati dengan apa yang tertulis dalam
mushaf tersebut seperti berikut:-.

1. Zaid bin Thabit bersama naskhah Mushaf Madinah.

2. Abdullah bin Saib bersama naskhah Mushaf Mekah.

3. Mughirah bin Syihab bersama naskhah Mushaf Syam.

4. Abu Abdul Rahman al-Salami bersama naskhah Mushaf Kuffah.

5. Amir bin Qais bersama naskhah Mushaf Basrah.

Ketika mushaf-mushaf tersebut dihantar ke kota-kota besar dalam negara


Islam, ia telah mendapat sambutan baik kalangan penduduk-penduduk tempatan di
setiap kota tersebut. Kemudian naskhah al-Quran diperbanyakan salinan dan
diterbitkan. Kesemua salinan naskhah al-Quran tersebut mendapat sambutan dari
umat Islam seperti juga naskhah al-Quran yang asal.9

Pada awal pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan beberapa pemurnian dan
penambahbaikan mushaf al-Quran telah dilakukan oleh Abu al-Aswad al-Du’ali
dengan meletakkan tanda baris bacaan. Tanda baris yang diletakkan bagi
membezakan i’rab pada akhir setiap perkataan. Oleh sebab yang demikian, Abu al-
Aswad al-Du’ali dianggap sebagai pengasas ilmu ini dengan membentuk teknik serta
kaedah bagi memudahkan bacaan.10

Kaedah yang digunakan oleh Abu al-Aswad al-Du’ali ialah dengan


meletakkan titik berwarna merah pada akhir perkataan. Bagi fatḥah iaitu tanda baris
atas, beliau meletakkan satu titik di atas huruf, kasrah iaitu tanda baris bawah, beliau
meletakkan satu titik di bawah huruf, dhommah iaitu tanda baris depan, beliau

8
Ibid. Hlm. 66.
9
Ibid. Hlm. 102
10
Ibid. Hlm. 107.

19
meletakkan titik di depan atau selepas perkataan. Tanda baris tersebut berbeza dengan
tanda baris yang ada pada hari ini. Ia dikenali sebagai Naqt I’rab.11

Pada zaman pemerintahan Abd al-Malik bin Marwan, ramai di kalangan orang
bukan Arab memeluk Islam. Kebanyakan mereka tidak mampu membaca al-Quran
dengan dengan betul dan tepat. Ini kerana huruf di dalam al-Quran kelihatan sama
kerana tidak mempunyai titik bagi membezakan huruf-hurufnya. Maka beliau telah
memerintahkan Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi untuk melakukan pemurnian terhadap
tulisan Arab bagi meraikan orang bukan Arab. Hajjaj lalu memanggil dua orang pakar
bahasa Arab terkenal ketika itu iaitu Nasr bin Asim al-Laithi dan Yahya bin Ya’mar
untuk melakukan sedikit perubahan dengan meletakkan tanda titik bagi membezakan
antara satu huruf dengan huruf yang lain seperti huruf ba (‫)ب‬, ta (‫)ت‬, jim (‫)ج‬, kha (‫)خ‬
dan lain-lain. Ia juga dikenali sebagai Naqt I’jam. Al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi
pula telah melakukan perubahan titik i’rāb kepada baris iaitu fatḥah dengan tanda
sempang di atas huruf, kasrah dengan tanda sempang di bawah huruf, dhammah
dengan tanda waw kecil di atas huruf, dan tanwin dengan tambahan tanda serupa bagi
setiap baris seperti yang dilihat pada hari ini.12

Akhirnya muncul seorang ulama’ besar bernama Sheikh Ridhuan bin


Muhammad yang terkenal dengan gelaran Al-Mukhallalati, beliau telah menulis
sebuah mushaf yang sangat tinggi mutunya, penulisannya menurut kaedah dan bentuk
tulisan serta ejaan dalam Mushaf Uthmani. Beliau menambahbaikan dengan
menyatakan bilangan ayat-ayat dalam tiap-tiap surah pada pangkalnya menurut ulama
al-Fasilah yang masyhur. Begitu juga beliau menerangkan tempat-tempat waqaf
dengan meletak pada tiap-tiap tempat suatu alamat yang menunjukkan jenis waqaf.
Selepas meneliti tanda-tanda wakaf yang diletakkannya, terdapat enam jenis waqaf
iaitu waqaf tam (‫)ت‬, waqaf kafi (‫)ك‬, waqaf hasan (‫)ح‬, waqaf saleh (‫)ص‬, waqaf jaiz (‫)ج‬
dan waqaf mafhum (‫)م‬.13

Mushaf ini telah diterbitkan dengan kata-kata pendahuluan yang elok dalam
mana dijelaskan bahawa mushaf ini ditulis menurut rasm dan tanda-tanda dan seperti
yang tercatit dalam kitab al-Muqni’ karya Imam al-Dani dan juga kitab al-Tanzil
karya Abu Daud. Dalam kitab-kita itu beliau telah menjelaskan intisari sejarah
11
Zaraqani, Muhammad Abd al-‘Azim al-. 1995M/1415H. Manahil al-lrfan fi Ulum al-Qur’an.
Tahqiq. Fawwaz Ahmad Zamarli. 2 Jld. Cet. 1. Bairut: Dar al-Kutub al-Arabi: Hlm. 333.
12
Abdul Fatah al-Qadhi. 1999. Sejarah Kitab Al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan. op. cit. Hlm. 86.
13
Ibid. Hlm. 102.

20
penulisan al-Quran pada zaman Rasulullah s.a.w. dan pengumpulannya pada zaman
dua orang Khalifah iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Uthman r.a. Begitu juga
beliau telah membaca ringkasan bahasan-bahasan mengenai rasm (bentuk tulisan) dan
tanda-tanda (titik, baris dan sebagainya). Di dalamnya dijelaskan oleh para Ulama
‘Adad14 yang masyhur di bidang ayat-ayat Quran dan dalamnya juga diberi definisi
surah dan ayat. Semuanya dibuat dalam kata-kata yang ringkas dan senang difaham.
Naskhah mushaf ini telah dicetak di Matba’ah al-Bahiah di Kahirah Mesir, kepunyaan
Sheikh Muhammad Abu Zaid dalam tahun 1308H.15

HUKUM BERAMAL.

Para ulama telah berselisih pendapat mengenai kaedah yang perlu digunakan dalam
penulisan mushaf-mushaf al-Quran. iaitu sama ada wajib menggunakan kaedah rasm
‘Uthmani atau boleh juga menggunakan kaedah rasm qiyasi. Terdapat tiga16 mazhab
yang membincangkan masalah tersebut, iaitu:

1. Wajib menulis al-Quran dengan menggunakan rasm ‘Uthmani. Pendapat


tersebut telah disepakati oleh kebanyakkan ulama salaf dan khalaf.17 Antara
mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah Yahya bin Ya‘mar (m.89H),
Mujahid bin Jabar (m.104H), ‘Abd al-Rahman bin Hurmuz (m.117H), Ibn
Syihab al-Zuhri (m.124H), al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi (m.170H), Imam
Abu ‘Amru al-Dani (m.444H) dan ramai lagi. Antara hujjah pendapat ini, semua
penulis wahyu Rasulullah s.a.w. menulis al-Quran dengan menggunakan kaedah
penulisan rasm istilahi ini. Begitu juga zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar
r.a. dan zaman Khalifah ‘Uthman r.a., beliau juga memerintahkan supaya al-

14
Menurut Abd al-Fattah al-Qadi ialah ulama yang membincangkan dalam menetapkan sesuatu ayat
yang mempunyai permulaan, dan pengakhiran berdasarkan panduan syara’, dalam karya beliau Nafais
al-Bayan Sarh al-Faraid al-Hisan fi ‘Ad Ayy al-Quran. Hlm 4 - 7. Di mana terdapat tujuh Ulama al-
‘Adad yang masyhur iaitu Madani al-Awal (Abi Ja’afar bin Qa’qa’ dan Syaibah bin Nasah), Madani al-
Akhir (Ismail bin Ja’afar bin Abi Kathir), al-Makki (Abdullah bin Kathir), al-Basyri (‘Ata’ bin Yasar
dan ‘Asim bin al-‘Ijaj al-Juhduri), al-Dimasyqi (Abdullah bin ‘Amir al-Yahsabi), al-Himsyi (Syuraih
bin Yazid al-Himsyi) dan al-Kufi (Hamzah bin Habib al-Ziyad). manakala menurut Jalaluddin ‘Abd al-
Rahman al-Suyuti dalam al-Itqan fi ‘Ulum Al-Qur'an. Hlm 211, menyatakan seramai tujuh ulama al-
‘adad iaitu iaitu Madani al-Awal, Madani al- Akhir al-Makki al-Basyri, al-Syami, al-Himsyi dan al-
Kufi.
15
Abdul Fatah al-Qadhi. 1999. Sejarah Kitab Al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan. op.cit. Hlm. 102.
16
Zaenal Arifin. Kajian Ilmu Rasm Usmani dalam Mushaf Indonesia. Suhuf. Jurnal Kajian Al-Qur’an.
Vol. 6. No.1. 2013. Hlm 35-58.
17
Abd al-Karim Ibrahim ‘Awadh Saleh. 2006M/1427H. Al-Muthaf fi Rasm Al-Mushaf. Cet. 1. Tanta:
Dar al-Sahabah li al-Turath. Hlm. 91.

21
Quran disalin semula ke dalam beberapa buah mushaf berpandukan kepada
suhuf Abu Bakar.

2. Harus menulis al-Quran sama ada menggunakan rasm ‘Uthmani atau rasm
qiyasi, tetapi bagi orang-orang yang mempelajari dan mendalami al-Quran,
wajib bagi mereka menggunakan rasm ‘Uthmani ini. Antara mereka yang
berpegang dengan pendapat ini ialah al-Syeikh ‘lzzuddin ‘Abd al-Salam18
(m.660H) dan Imam Badr al-Din Muhammad bin ‘Abdullah al-Zarkasyi
(m.794H). mereka berpendapat penulisan al-Quran menurut kaedah-kaedah
tulisan yang digunakan pada zaman Saidina Uthman boleh menyebabkan
manusia sukar untuk membaca al-Quran dan mendedahkan mereka kepada
kesalahan dan perubahan, sama ada menambah atau mengurangkan sesuatu
daripadanya. Namun demikian, kaedah tulisan rasm ‘Uthmani perlu juga
dipelihara kerana ia merupakan warisan para ulama yang terdahulu.

3. Wajib menulis al-Quran dengan menggunakan rasm qiyasi, rasm ‘Uthmani pula
tidak harus digunakan, melainkan untuk orang-orang yang tertentu sahaja.
Antara mereka yang berpegang dengan pendapat ini ialah Abi Bakar al-Baqilani
(m.403H) dan ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Khaldun (m.808H),19
mereka berhujjah bahawa kaedah-kaedah penulisan itu hanyalah merupakan
tanda-tanda atau alamat-alamat sahaja. Tiap-tiap kaedah penulisan yang
bertepatan dengan cara pembacaan, maka itulah tulisan yang tepat dan betul. Di
samping itu tidak terdapat sama ada dalam al-Quran, hadis Rasulullah s.a.w.,
ijma ummah atau pun sebarang qias yang memerintahkan supaya al-Quran itu
ditulis berpandukan kepada kaedah-keadah yang tertentu.

METODOLOGI PENTASHIHAN MUSHAF AL-QURAN.

Pada akhir-akhir ini terdapat banyak syarikat dan penerbit berlumba-lumba


menerbitkan mashaf dalam bentuk teks, CD, VCD, audio dan digital al-Qur’an. Bagi
mengawal lambakan dan kebanjiran mashaf dalam bentuk teks, CD, VCD, audio dan
digital al-Quran yang tidak terkawal dan tidak mendapat kelulusan atau kebenaran
dari kerajaan dalam atau luar negara. Negara Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Syria,
Malaysia yang telah menubuhkan suatu jawatan kuasa penyemak di negara masing-

18
Zaraqani, Muhammad Abd al-‘Azim al-. 1995M/1415H. Manahil al-lrfan fi Ulum al-Qur’an.
Tahqiq. Fawwaz Ahmad Zamarli. op. cit. Hlm. 325.
19
Abd al-Karim Ibrahim ‘Awadh Saleh. Al-Muthaf fi Rasm Al-Mushaf. op. cit. Hlm. 91.

22
masing. Ini dapat dilihat di Arab Saudi telah menubuhkan satu jawatankuasa
penyemak di bawah Mujamma' Madinah Al-Munawwarah, Mesir pula di Majma'
Bu'uth al-Islamiyyah al-Mesriyyah dan Malaysia di bawah Kementerian Keselamatan
Dalam Negeri, Unit Kawalan Teks Al-Quran.

Pada peringkat awal penerbitan al-Quran bermula secara tradisi20 iaitu


diperbanyakkan salinan mushaf oleh penulis-penulis khat dan berterusan sehingga
muncul mesin cetak yang dicipta di Eropah.21 Namun masih terdapat banyak
kekurangan dan kelemahan yang menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam
ketika itu. Pada 1431M di kota Hamburg Jerman, al-Quran mula dicetak pertama kali
menggunakan mesin cetak dan seterusnya dicetakan pula di Italia pada abad ke-
16M.22

Pada tahun 1308H, al-Quran cetakan Mesir yang diperhalusi oleh Syeikh
Ridhwan bin Muhammad al-Mukhallilati diterbitkan. Mushaf ini diterbitkan dengan
kata-kata pendahuluan yang sempurna, di mana menjelaskan bahawa mushaf ini
ditulis menurut rasm dan tanda-tanda yang tercatat menurut kitab al-Muqni’ karya
Imam al-Dani dan kitab al-Tanzil karya Imam Abu Daud. Dalam mushaf ini
menjelaskan secara ringkas tentang sejarah pengkajian al-Quran dan perbahasan rasm
serta dhabt.23 Seterusnya pada tahun 1337H al-Quran cetakan Kementerian
Pendidikan (Wizaratul Ma’arif) Mesir pula mula diterbitkan, di mana ia telah ditashih
oleh para ulama al-Azhar. Pada tahun 1342H, Raja Fuad I membentuk kumpulan
pentashih al-Quran kalangan ulama-ulama al-Azhar. Pada tahun-tahun berikutnya

20
Mushaf al-Quran telah diperbanyakkan salinannya oleh penulis-penulis khat tempatan. Tradisi
penyalinan mushaf al-Quran di Alam Melayu berlangsung hingga pertengahan atau akhir abad ke-19.
Setelah teknologi semakin berkembang, barulah ianya dicetak dengan menggunakan mesin percetakan.
Tradisi penyalinan manuskrip al-Quran berlaku secara meluas sehingga kita masih boleh mendapatinya
pada hari ini di beberapa pusat simpanan seperti di Sumatera, Jawa, Kalimantan, Patani, Sulawesi,
kepulauan Maluku, Malaysia, Brunei dan sebagainya.
21
Mohd Asmadi Yakob et. al. 2014. Manuskrip al-Quran dan Ilmu-ilmunya (Ulum al-Quran) Di Alam
Melayu: Tumpuan Terhadap Manuskrip Ilmu Tajwid. Pusat Kajian Manuskrip Alam Melayu
(PUSKAM) Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA, Shah
Alam. Hlm 1.
22
Makalah ini dipresentasikan pada Lokakarya Penerbit Al-Quran yang diselenggarakan oleh Lajnah
Pentashihan Mushaf Al-Quran. Badan Litbang dan Diklat. Kementerian Agama RI, di Hotel Griya
Astuti, Bogor. 24 September 2012
23
Abd al-Fattah al-Qadi. 1994M/1413H. Tarikh al-Mushaf al-Syarif. Misr: Jumhuriyyah Misr al-
‘Arabiyyah al-Azhariyyah al-Syarif. Hlm 34.

23
Universiti al-Azhar membentuk kumpulan sendiri untuk mengawal pencetakan al-
Quran di Mesir24.

Walaupun syarikat-syarikat percetakan mushaf al-Quran yang bermula di


Mesir dan di ikuti oleh negara-negara Islam lain berusaha dan berlumba-lumba
mengelokkan reka bentuk mushaf al-Quran yang diterbitkan oleh masing-masing
sehingga lahir mushaf al-Quran pelbagai jenis reka bentuk dengan beraneka warna
dan ukuran. Namun jarang didapati syarikat yang berusaha menerbitkannya menurut
kaedah-kaedah tulisan Rasm Uthmani yang dihimpun dan ditulis pada zaman
Khalifah Uthman bin Affan r.a., malahan kebanyakannya dicetak dan diterbitkan
menurut kaedah ejaan-ejaan baru (rasm imla’i), kecuali sedikit benar perkataan-
perkataan yang masih dicetak menurut kaedah rasm Uthmani.25

Kini kerajaan Arabi Saudi telah menubuhkan Mujamma' Madinah al-


Munawwarah26 yang berfunsi bagi mengurus pencetakan mushaf al-Quran. Di
anggotai ahli jawatankuasa tertinggi akademik al-Quran di kalangan pakar dan dalam
bidang ulum al-Quran, Qiraat, Tafsir, Bahasa, Fiqh dan Tajwid. Tujuan
penubuhannya bagi menerbit dan mencetak al-Quran apabila didapati para penerbit
dan pencetak tidak memberi perhatian dalam usaha memelihara, mengawal, meneliti,
mentashih dan mengulang semak al-Quran.

Mujamma' ini memiliki ciri-ciri pengawalan yang rapi dan terkini dengan
teknologi percetakan yang canggih dan termoden. Penerbitnya disediakan oleh para
ulama dan pakar dalam pelbagai bidang yang diperlukan bagi mencetak al-Quran
supaya umat Islam dapat dibekalkan dengan cetakan al-Quran yang baik dan
sempurna serta dapat dikawal dari dipermainkan oleh pencetak-pencetak kitab suci al-
Quran. Di samping tidak berbentuk perniagaan. Sehubungan dengan itu, penubuhan
Mujamma' ini amat bertepatan bagi memastikan al-Quran dicetak dengan sempurna
dan terpelihara untuk diedar seluruh Negara-negara Islam di dunia.

Ahli jawatankuasa pelaksana bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut


dengan penuh amanah dan teliti. Setiap ahli diberi satu naskhah asal untuk disemak
dengan teliti dari awal hingga akhir. Catatan akan dibuat semula sekiranya terdapat

24
Makalah oleh Lajnah Pentashihan Mushaf Al-Quran, Badan Litbang dan Diklat, Kementerian
Agama RI. 24 September 2012.
25
Abdul Fatah al-Qadhi. 1999. Sejarah Kitab Al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan. op.cit. Hlm. 101.
26
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 2012. Panduan Rasm Uthmani. Cet. Ke 5. Kuala Lumpur:
Percetakan Nasional Malaysia Berhad. Hlm. 115.

24
kesalahan dan kesilapan. Perbincangan dan rumusan dibuat dan diserahkan semula
kepada Mujamma'. Setelah usaha dan kerja-kerja menyemak naskhah asal selesai,
proses pencetakan awal dibuat, kemudian diserahkan kepada lajnah untuk semakan
semula dengan kaedah yang sama.

Bagi menjamin kemurnian mushaf tersebut daripada kesilapan, sebanyak 200


kali semakan telah dibuat sebelum dicetak untuk edaran seluruh dunia. Kata sepakat
menjadi syarat bagi setiap langkah dan tindakan lajnah. Mana-mana perhatian yang
tidak didapati secara ijma' akan ditolak. Jika didapati khilaf akan dirujuk kepada
sumber asal dari kitab-kitab ahli ilm terdahulu.27

METODOLOGI PENTASHIHAN MUSHAF AL-QURAN DI MALAYSIA.

Lembaga Pengawalan Penerbitan Pencetakan Al-Quran KDN.

Pada tahun 1986 telah digubal satu undang-undang yang dikenali sebagai Akta 32628
iaitu Akta Pencetakan Teks Al-Quran yang telah diwartakan pada 15 Mei 1986. Bagi
menguatkuasaan peruntukan tersebut, Kerajaan telah menubuhkan Lembaga
Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) pada 1987 yang terdiri
dari kalangan Mufti dan Kadi Besar yang mewakili setiap negeri di Malaysia.29
Antara tugas dan tanggungjawab jawatan kuasa ini, menerima, menimbang atau
menolak permohonan lesen mencetak atau menerbit teks al-Quran, memperakui pruf
akhir30 teks al-Quran, dan menerima, menimbang dan memperakui permohonan
mengimport teks al-Quran secara bertulis bahawa kandungan teks al-Quran adalah
betul.31

Hasil sorotan pengkaji dapatan menunjukkan sebanyak 52 syarikat telah


mendapat lesen mencetak teks al-Quran sehingga Mac 2016 dan sebanyak 632
permohonan kelulusan pruf akhir teks al-Quran sehingga Mac 2016. Senarai ini
mengandungi kelulusan pruf teks al-Quran yang telah dikeluarkan oleh Bahagian

27
Ibid. Hlm, 115.
28
Akta 326 mengandungi 25 seksyen yang merangkumi peruntukan mengenai pengurusan,
penguatkuasaan, bidang kuasa dan pengecualian.
29
Abd Rahman Abd Ghani. 2009. Pemeliharaan Al-Quran: Kajian Di Unit Kawalan Teks Al-Quran
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Tesis Ijazah Doktor Falsafah. Akademi Pengajian Islam.
Universiti Malaya. Hlm. 185.
30
iaitu cetakan percubaan yang perlu dibandingkan dengan manuskrif asal untuk penelitian kesalahan
cetakan dan lain-lain. (Kamus Dewan Edisi Baru. 1991. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Hlm. 986).
31
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 2012. Panduan Rasm Uthmani. op. cit. Hlm. 108.

25
Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN. Pruf akhir teks al-Quran terdiri
daripada Ayat- ayat Quran yang dalam bentuk CD ROM, telefon pintar, al-Quran
dalam bentuk pen digital, Muqaddam dan naskah al-Quran.32

Lajnah Tashih Al-Quran.

Unit Kewalan Teks Al-Quran33, Kementerian Dalam Negeri, dipertanggungjawabkan


dalam mengawal dan memelihara kesucian dan kemurnian al-Quran. Mana-mana
syarikat, atau pertubuhan atau individu yang hendak menerbitkan atau mencetak al-
Quran perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu dari kementerian ini. Bagi
melaksanakan tanggungjawab dan amanah untuk memperakui kandungan bahan dan
teks al-Quran diterima atau ditolak, unit ini telah menubuhkan Lajnah Tashih Al-
Quran34 yang dianggotai di kalangan pakar dalam bidang ini. Kini seramai 35 orang
telah dilantik menganggotai lajnah ini. Unit ini telah menetapkan suatu piawaian
dalam penyemakan al-Quran supaya ia lebih berkualiti, tepat serta lebih
dipertanggungjawabkan, di samping menyelaraskan standard penyemakan di kalangan
ahli-ahli Lajnah Tashih Al-Quran.

Di Malaysia, berdasarkan pemerhatian dan sorotan penkaji, didapati ahli


Lajnah Tashih Al-Quran sependapat menjadikan mushaf rasm Uthmani, terbitan
Mujamma' Madinah al-Munawwarah sebagai sumber rujukan utama dan pegangan
kepada ahli Lajnah Tashih Al-Quran. Oleh itu Ahli Lajnah Tashih Al-Quran di
Malaysia sependapat dengan pandangan ulama atau pandangan pertama iaitu wajib
menulis al-Quran dengan menggunakan rasm Uthmani35, di mana pendapat tersebut
telah disepakati oleh kebanyakkan ulama salaf dan khalaf.

Proses penyemakan dilakukan di satu tempat khas, segala laporan,


pembentangan, perbincangan dan keputusan dilakukan secara sepakat. Kaedah
semakan berganda atau bersilang dilakukan oleh dua orang pentasheh dalam juzuk
yang sama bagi mengesan tidak berlakunya kecuaian dan kesilapan. Penyemak akan

32
http://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-permohonan-kelulusan-pruf-akhir-teks-al-
quran /April 29, 2016, 9:24 PM.
33
Bermula tahun 1984 Urus Setia ini diletak di Bahagian ‘C’ Kementerian Dalam Negeri yang
dikenali Unit Kawalan Teks Al-Quran yang di tempatkan di Tingkat 11, Bangunan Arab Malaysia
Berhad (AMDB), Kompleks Damai, Jalan Lumut, Kuala Lumpur. Kini Unit Kawalan Teks Al-Quran,
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri, beribu
pejabat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
34
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 2012. Panduan Rasm Uthmani. op.cit. Hlm. 108.
35
Ibid. Hlm. 112.

26
menggunakan pen mata bola bermutu warna merah atau warna yang mudah untuk
dikesan. Mereka akan membaca sambil mengesahkan setiap huruf, titik huruf, kaedah
khat, tanda baris dan lain-lain. Sekiranya terdapat kesilapan pada kalimah, huruf, baris
atau apa-apa kesilapan yang berlaku diberi tanda (dibulatkan) dan tanda bintang
dibahagian tepi helaian.

Seterusnya mereka akan membuat catatan kesalahan atau kesilapan dibahagian


tepi helaian mushaf tersebut. Di samping itu pentasheh perlu mengisi borang semakan
yang disediakan oleh urusetia UKQ. KDN dengan mencatat jumlah kesalahan
sekiranya ada, jenis kesalahan, nombor muka surat, nombor ayat, nama surah, bentuk
kesalahan dan pembetulan. Menjadi tanggungjawab kepada lajnah untuk membuat
laporan selepas pembentangan serta perbincangan. Penilaian dan keputusan bahan
yang disemak sama ada diterima, diterima dengan pembetulan atau ditolak.

PIAWAIAN DAN STANDARD SEMAKAN.

Dalam membuat penyemakan dan penilaian sesuatu bahan bercetak atau bahan
elektronik, pihak Lajnah Tashih Al-Quran menetapkan tiga standard semakan iaitu
diterima, diterima dengan pembetulan dan ditolak.

1. Diterima.

Mana-mana bahan bercetak atau bahan elektronik yang telah disemak mengikut
prosedur yang telah ditetapkan dan didapati tiada sebarang kesalahan dan
kesilapan adalah diterima.

2. Diterima Dengan Pembetulan.

Kesalahan kategori besar pada teks atau bahan bercetak atau bahan elektronik
semakan, mestilah tidak melebihi 1 (satu) kesalahan dalam satu juzu’ atau 30 (tiga
puluh) kesalahan bagi keseluruhan 30 juzu’. Manakala kesalahan kategori kecil
pada teks atau bahan bercetak atau bahan elektronik semakan, tidak melebihi 3
(tiga) kesalahan dalam satu juzu’ atau 90 (sembilan puluh) kesalahan bagi
keseluruhan 30 juzu’.

Seterusnya mana-mana bahan bercetak atau bahan elektronik yang telah


disemak mengikut prosedur yang telah ditetapkan dan didapati kesalahan dan
kesilapan yang tidak melebihi kesalahan besar dan kesalahan kecil adalah diterima

27
dengan pembetulan. seterusnya hendaklah dikemukakan semula bahan tersebut
kepada Unit Kawalan Al-Quran, KDN untuk semakan semula.

3. Ditolak.

Mana-mana bahan semakan yang mempunyai kesalahan melebihi piawaian dan


standard yang ditetapkan hendaklah ditolak. Begitu juga dengan kesalahan kecil
atau besar yang tidak dapat diperbetulkan adalah ditolak.

Prosedur Penyemakan

Antara prosedur penyemakan yang menjadi amalan ahli lajnah adalah seperti berikut:-

1. Mengesah dan menandai (mengaris) setiap huruf, titik huruf, kaedah khat, tanda
baris apa-apa kesilapan yang berlaku diberi tanda (dibulatkan) dan tanda bintang
dibahagian tepi helaian serta menyatakan kesalahan atau kesilapan di bahagian
tepi helaian Mushaf tersebut.
2. Isi borang semakan yang disediakan oleh urusetia UKQ. KDN dengan mencatat
jumlah kesalahan sekiranya ada, jenis kesalahan, nombor muka surat, nombor
ayat, nama surah, bentuk kesalahan dan pembetulan.
3. Buat laporan dan pembentangan serta perbincangan. Seterusnya membuat
penilaian dan keputusan sama ada diterima, diterima dengan pembetulan atau
ditolak.

Kaedah Penyemakan Lajnah Tashih Al-Quran.

1. Berkumpulan
Penyemakan dilakukan oleh semua ahli Lajnah di satu tempat khas, segala
laporan, pembentangan, perbincangan dan keputusan secara berkumpulan.

2. Semakan berganda atau bersilang.

Penyemakan dilakukan oleh dua orang pentasheh dalam juzuk yang sama bagi
mengesan tidak berlakunya kecuaian dan kesilapan serta meminimakan kesilapan.

3. Seragam.

28
Ahli-ahli lajnah diperkasa dan diperkayakan tentang kaedah dan prosuder
penyemakan dalam bengkel-bengkel dan kursus-kursu bagi menyelarasan dan
menyeragamkan teknik dan prosuder penyemakan setiap ahli.36

PENUTUP.

Usaha berterusan pemeliharaan al-Quran daripada Nabi s.a.w., sahabat, tabiin, dan
generasi umat Islam yang datang sesudahnya sehingga sekarang telah menyelamatkan
kesucian al-Quran dari segala macam campur tangan manusia yang tidak
bertanggungjawab, sehingga al-Quran yang ada di kalangan umat Islam ketika ini,
kekal asli sebagaimana al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Ini
merupakan bukti jaminan Allah s.w.t. yang akan tetap memelihara al-Quran itu
selamanya, sebagaimana firman Allah s.w.t.37 “Sesungguhnya Kamilah yang
menurunkan al-Quran, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya”. Oleh itu di
Malaysia, semua penerbitan dan penyebaran al-Quran perlu mendapat kelulusan dan
kebenaran terlebih dahulu daripada agensi ini, KDN iaitu pihak yang diberi amanah
dan tanggungjawab dalam mengawal dan memelihara keaslian dan kemurnian al-
Quran telah menetapkan kaedah tertentu yang digunapakai dalam mengenalpasti
setiap al-Quran yang diterbit dan disebarkan dalam negara ini melalui s.o.p. tersebut,
sebelum penerbitan dan penyebaran al-Quran di benarkan dalam negara demi
menjamin keaslian dan kesejahteraan al-Quran.

RUJUKAN

Abd Rahman Abd Ghani. 2009. Pemeliharaan Al-Quran: Kajian Di Unit Kawalan
Teks Al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Tesis Ijazah Doktor
Falsafah. Akademi Pengajian Islam. Universiti Malaya.

Abd al-Karim Ibrahim ‘Awadh Saleh. 2006M/1427H. Al-Muthaf fi Rasm Al-Mushaf.


Cet. 1. Tanta: Dar al-Sahabah li al-Turath.

Dabba’, Ali Muhammad al-.1999. Samir al-Talibin Fi Rasm wa Dabt Kitab al-Mubin.
Cet. 1. Kaherah: Maktabah al-Azhar li Turath.

Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 2012. Panduan Rasm Uthmani. Cet. Ke 5.


Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad. Makalah ini

36
Sumber: Panduan Penyemakan Lajnah Tashih Al-Qur’an, Kementerian Dalam Negeri. 2012.
37
al-Nahl 15: 9.

29
dipresentasikan pada Lokakarya Penerbit Al-Quranyang diselenggarakan oleh
Lajnah Pentashihan Mushaf Al-Qur’an, Badan Litbang dan Diklat, Kementerian
Agama RI, di Hotel Griya Astuti, Bogor, 24 September 2012.

Mohd Asmadi Yakob et. al. 2014. Manuskrip al-Qurandan Ilmu-ilmunya (Ulum al-
Qur’an) Di Alam Melayu: Tumpuan Terhadap Manuskrip Ilmu Tajwid. Pusat
Kajian Manuskrip Alam Melayu (PUSKAM) Akademi Pengajian Islam
Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Muhammad Makki Nasr al-Juraisi. 2003. Nihayat al-Qaul al-Mufid Fi Ilmi Tajwid al-
Quran, cet 1. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Qadhi, Abd al-Fattah al-. 1975M/1395H. Nafais al-Bayan Sarh al-Faraid al-Hisan fi
‘Ad Ayy al-Quran. Misr: Jumhuriyyah Misr al-‘Arabiyyah al-Azhariyyah.

Qadhi, Abd al-Fattah al-. 1994M/1413H. Tarikh al-Mushaf al-Syarif. Misr:


Jumhuriyyah Misr al-‘Arabiyyah al-Azhariyyah al-Syarif.

Qadhi, Abdul Fatah al-. 1999. Sejarah Kitab al-Quran. Terj. Ismail Mohd Hassan.
Terengganu: Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.

Suyuti, Jalaluddin ‘Abd al-Rahman al-.1987M/1407H. Al-Itqan fi ‘Ulum Al-Qur'an.


Cet. 1. Jild. 1. Damsyik: Dar Ibn Kathir.

Zaraqani, Muhammad Abd al-‘Azim al-. (1995M/1415H). Manahil al-lrfan fi Ulum


al- Qur’an. Tahqiq. Fawwaz Ahmad Zamarli. 2 Jld. Cet. 1. Bairut: Dar al-Kutub
al- Arabi.

Zaenal Arifin. Kajian Ilmu Rasm Usmani dalam Mushaf Indonesia. Suhuf. Jurnal
Kajian Al-Qur’an. Vol. 6. No.1. 2013. Hlm 35-58.

http://www.data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-permohonan-kelulusan-pruf-
akhir-teks-al-quran/April 29, 2016, 9:24 PM).

http://www.lppkn.gov.my/index.php? Itemid= 421&catid= 37&id= 207: penduduk-


2014&lang= ms&option= com_content&view= article/ 2016.09.18 /5:30PM.

30

Anda mungkin juga menyukai