Anda di halaman 1dari 2

Bangsa membaca, bangsa berjaya.

Slogan ini sentiasa mengingatkan rakyat Malaysia


tentang kepentingan membaca. Pada zaman kini, perkembangan teknologi telah menukarkan
bahan bacaan masyarakat daripada buku cetak kepada buku digital. Secara umumnya, buku
digital ialah buku yang hadir dalam format digital dan boleh dibaca dengan alat-alat peranti
seperti telefon pintar dan tablet. Pada pendapat saya, buku digital mampu memupuk minat
membaca dalam kalangan masyarakat.
Antara sebab yang dianggap dominan ialah buku digital bersifat fleksible. Kehadiran
buku digital membolehkan anggota masyarakat untuk membaca tanpa batasan masa dan
tempat. Anggota masyarakat dapat membaca dengan lebih mudah tanpa memerlukan buku-
buku cetak di tangannya. Sebagai contoh, semasa menunggu bas, anggota masyarakat boleh
membaca buku digital dengan telefon pintar mereka. Sifat fleksible ini amat sesuai dengan
anggota masyarakat kini yang terlalu sibuk dengan pekerjaan atau pembelajaran sehingga
tiada masa untuk melakukan aktiviti pembacaan. Kesannya, minat membaca dalam kalangan
masyarakat dapat dipupuk disebabkan sifat buku digital yang sesuai dengan budaya
kehidupan masyarakat hari ini.
Selain itu, buku digital dapat membantu dalam penjimatan. Nilai wang ringgit
Malaysia yang semakin menurun menyebabkan kos hidup masyarakat Malaysia menjadi
semakin tinggi. Harga import yang tinggi menjadikan harga bahan-bahan bacaan luar negara
meningkat. Namun begitu, aplikasi membaca pada hari ini membolehkan anggota masyarakat
untuk mengakses buku digital secara percuma dalam bilangan yang banyak. Hal ini dapat
mengurangkan bebanan anggota masyarakat Malaysia yang semakin berat pada hari ini.
Pihak ibu bapa dapat menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan kepada anak-anaknya dengan
memuat turun aplikasi buku digital seperti Kindle dan Kobo Books di alat-alat peranti yang
sedia ada. Impaknya, minat membaca dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat tanpa
halangan kos.
Seterusnya, buku digital adalah lebih menarik berbanding buku cetak. Hal ini
demikian kerana banyak video animasi dan muzik yang bersesuaian dengan isi kandungan
buku ada disertakan dalam buku-buku digital. Para pembaca boleh mempelajari ilmu
bermanfaat dalam buku sambil menikmati video serta muzik yang selesa dan menarik. Sifat
buku digital ini lebih mudah untuk menarik perhatian generasi muda untuk membaca pada
tempoh masa yang lebih panjang. Sebagai tamsilan, video animasi yang menyiarkan kejadian
banjir dalam buku digital yang bertemakan cinta akan alam sekitar boleh menambah
kefahaman para pembaca tentang kesan pencemaran sungai. Lama-kelamaan, minat
membaca akan dapat dipupuk dalam kalangan generasi muda sebagai satu amalan harian.
Di samping itu, buku digital boleh dibaca dengan cara yang berbeza dengan buku
cetak. Buku digital yang canggih telah menyediakan pilihan mendengar isi kandungan buku
kepada para pembaca. Para pembaca boleh memilih untuk memasang audio yang
membacakan isi kandungan buku yang terdapat dalam buku digital. Hal ini membolehkan
pembaca yang mempunyai masalah kelihatan turut berpeluang untuk “membaca” buku yang
diminati. Mereka yang sibuk tetapi ingin membaca boleh juga memilih untuk mendengar isi
kandungan buku sambil menyelesaikan tugasan mereka pada masa yang sama. Pada jangka
masa yang panjang, minat membaca dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat tanpa
disedari.
Akhir sekali, kehadiran buku digital sesuai dengan zaman teknologi kini. Hal ini
demikian kerana kehidupan masyarakat pada hari ini tidak dapat berpisah dengan alat-alat
peranti. Tambahan pula, alat-alat peranti amat digemari oleh anggota masyarakat tanpa
mengira umur. Buku yang hadir dalam format digital ini lebih mudah untuk mempengaruhi
anggota masyarakat hari ini untuk melakukan aktiviti pembacaan. Ilmu di hujung jari.
Mereka boleh mengakses beribu-ribu buah buku dengan cara “klik” sahaja tanpa perlu
membuat pencarian buku di lokasi yang berlainan. Iklan-iklan tentang buku digital yang
dipaparkan dalam media sosial dapat menggalakkan anggota masyarakat supaya menjadikan
budaya membaca sebagai satu amalan.
Kesimpulannya, digital buku mempunyai banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan
oleh anggota masyarakat. Saya berharap minat membaca dapat dipupuk dalam kalangan
masyarakat hari ini secara besar-besaran dengan kehadiran buku digital.

Anda mungkin juga menyukai