Anda di halaman 1dari 7

1.0 LAPORAN PERKEMBANGAN KOGNITIF 1.1 PENDAHULUAN Menurut Haliza Hamzah dan Joy N.

Samuel (2009), kemahiran kognitif merupakan kebolehan individu berfikir, memberi pendapat, memahami, mengingati perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Ia juga turut melibatkan aktiviti mental seperti ingatan, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi dan lain-lain. Kemahiran kognitif ini penting untuk kelangsungan hidup seseorang individu. Perkembangan kognitif kanak-kanak pula memberi penekanan kepada cara kanak-kanak belajar dan memproses maklumat iaitu suatu proses

memperkembangkan daya fikir atau membina pengetahuan kanak-kanak serta kemampuan mereka menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah, menganalisa dan membentuk pengetahuan baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Perkembangan kognitif ini juga sering dikaitkan dengan

perkembangan intelektual seseorang kanak-kanak. Menurut Jean Piaget, proses pemikiran seseorang berubah secara

menyeluruh bermula selepas lahir sehinggalah individu tersebut mencapai tahap kematangan. Berdasarkan kepada kajian dan pemerhatiannya, Jean Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah berbeza dan berubah melalui empat peringkat mengikut perubahan umur mereka. Jean Piaget telah membahagikan empat peringkat ini sebagai peringkat sensori motor (0-2 tahun), pra operasi (2-7 tahun), operasi konkrit (7-11 tahun) dan operasi formal (11 tahun sehingga dewasa).

1.2 PENGENALAN Kajian perkembangan kognitif ini dijalankan untuk mengkaji perkembangan kognitif kanak-kanak sama ada selari atau tidak dengan teori-teori perkembangan kognitif yang telah dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi. Sebelum kajian kes diteruskan terhadap pelajar tersebut, terdapat serba sedikit penerangan berkaitan dengan latar belakang pelajar tersebut. Kumpulan kami telah mengambil dua responden yang berbeza tahap umur dan jantina iaitu Muhd Hafizzudin bin Mustafa berumur 11 tahun dan Aisyah binti Ayob berumur 12 tahun. Kedua-dua responden ini sedang menuntut di Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat yang terletak di Pulau Pinang. Pemilihan responden ini telah dibuat berdasarkan kepada pemerhatian dan pengenalpastian latar belakang murid dan persekitaran sekolah dilakukan secara menyeluruh. Sebagai analisa, kedua-dua responden dianalisa dengan menjalani ujian konservatif Piaget untuk melihat perkembangan kognitif mereka. Antara ujian yang dijalankan seperti ujian duit syiling, ujian tali dan ujian air. Alasan yang dikemukakan oleh responden direkodkan untuk melihat perbezaan kognitif responden mengikut peringkat umur. 1.3 ANALISIS DATA 1.3.1 Pengenalan Ujian Konservatif Piaget Kedua-dua responden telah menjalani tiga jenis ujian konservatif Jean Piaget iaitu ujiaj duit syiling, ujian tali dan ujian air. Ujian pertama yang dijalankan ialah ujian duit syiling. Ujian ini telah menggunakan prinsip transformasi iaitu diubah bentuk. Pada permulaannya duit syiling disusun secara sama banyak dan kemudian duit syiling telah diubah jaraknya tanpa ada penambahan atau pengurangan duit syiling. Responden telah ditanya tentang adakah bilangan duit sebelum diubah dan selepas diubah sama banyak. Seterusnya ialah ujian kedua iaitu ujian tali. Prinsip transformasi masih juga digunakan dalam ujian ini. Bagi ujian ini, tali yang mempunyai panjang yang sama telah digunakan. Responden dikehendaki mengenal pasti sama ada tali yang disusun di atas meja dan disusun secara lurus mempunyai kepanjangan yang sama atau tidak. Kemudian, salah satu tali tersebut dibengokkan sedikit untuk

mengelirukan responden dalam memberikan jawapan sama ada tali tersebut masih mempunyai kepanjangan yang sama ataupun tidak. Ujian ketiga yang dijalankan ialah ujian air dan prinsip transformasi ini tetap juga digunakan dalam ujian ini. Dua bekas air yang sama bentuk dan saiz digunakan untuk diisi air pada kuantiti yang sama dan dilabelkan sebagai bekas A dan bekas B. Pada permulaan ujian, responden ditanya sama ada isipadu di dalam bekas sama atau tidak kemudian transformasi dilakukan dengan menggunakan bekas yang mempunyai saiz dan bentuk yang berbeza dan dilabelkan sebagai bekas C. Semasa transformasi dilakukan, responden memerhati dengan teliti. Bekas A dan C diletakkan secara bersebelahan dan responden ditanya lagi sama ada kedua-dua bekas tersebut mempunyai isipadu yang sama atau tidak. Setiap jawapan yang diberikan oleh kedua-dua responden telah direkodkan di dalam borang yang telah disediakan. Kemudian setiap alasan yang diberikan oleh responden dianalisa dan dibincangkan sama ada ia selari atau tidak selari dengan teori perkembangan kognitif kanak-kanak Jean Piaget. 1.3.2 Data Responden Ujian Perkembangan Kognitif Responden yang digunakan bagi menjalani ujian ini sama seperti responden yang telah menjalani ujian perkembangan fizikal. Responden yang dipilih berada di kalangan umur 11 tahun dan merupakan seorang kanak-kanak lelaki. 1.3.2.1 Perbincangan Responden Pertama Peringkat Operasi Konkrit Responden pertama telah berjaya menjalani kesemua ujian berdasarkan ujian konservatif Jean Piaget iaitu ujian duit syiling, ujian tali dan ujian air. Malahan, kami telah menambah dua lagi ujian iaitu ujian jisim dan ujian luas. Segala jawapan responden pertama telah direkodkan. Jawapan responden pertama yang berusia 11 tahun bagi ujian duit syiling ialah bilangan duit selepas diubah kedudukannya adalah tidak sama dengan bilangan duit sebelum diubah kedudukannya. Hal ini menunjukkan bahawa responden pertama masih tidak mampu untuk berfikir secara logik dan rasional. Ini kerana responden masih tidak dapat membayangkan konsep pembalikan

(reversibility) sesuatu benda. Pemikiran responden masih terikat kepada satu sudut dan keadaan statik sebelum dan selepas. Secara tidak langsung, hal ini

menunjukkan teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget tidak selari dengan perkembangan kognitif kanak-kanak yang mana beliau mengatakan kanak-kanak pada peringkat umur operasi konkrit (7-12 tahun) sudah mula memperolehi konsep transformasi, menguasai kebalikan dan akhirnya mengamati proses songsangan. Di samping itu, kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu perkara pada satu masa. Oleh itu, tahap perkembangan kognitif responden pertama bagi ujian duit syiling ini adalah rendah kerana tidak mampu mengingat semula peristiwa yang sudah berlaku dan juga tidak boleh membanding bezakan dua peristiwa yang sudah berlaku. Perkara yang serupa pada ujian duit syiling masih lagi terjadi kepada responden pertama sewaktu menjalani ujian tali pula. Pada ujian kedua ini, responden masih lagi tidak menguasai prinsip transformasi yang dilakukan. Responden telah memberikan jawapan bahawa apabila kedua-dua tali diletakkan di atas meja dalam keadaan yang lurus, ia mempunyai kepanjangan yang sama. Namun begitu, apabila perubahan dilakukan dengan membengkokkan sedikit tali tersebut, responden memberikan jawapan bahawa kepanjangannya juga turut berubah . Berdasarkan kepada jawapan yang diberikan oleh responden, dia masih lagi tidak mempunyai keupayaan untuk menguasai prinsip transformasi yang telah dilakukan ke atas tali tersebut. Sebaliknya, responden menganggap bahawa apabila bentuk tali berubah bengkok, ukuran juga turur berubah menjadi pendek. Hal ini, selari dengan pendapat yang telah dikemukan oleh Jean Piaget iaitu keupayaan berfikir kanak-kanak secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja. Mereka masih tidak mempunyai kebolehan untuk berfikir secara abstrak dan meluas. Oleh yang demikian, mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang kompleks. Malahan, prinsip identiti dan prinsip ganti rugi juga masih belum dikuasai oleh responden pertama melalui ujian tali, ujian air, ujian jisim serta ujian luas. Prinsip identiti yang dimaksudkan ialah responden tahu bahawa tidak berlaku kekurangan atau penambahan pada bilangan objek dan ianya tetap sama walaupun bentuknya berubah. Manakala, prinsip ganti rugi bermaksud bahawa responden tahu akan sesuatu perubahan pada satu segi akan diganti dengan perubahan dalam satu aspek lain seperti bentuk, ketinggian dan lain-lain. Responden tidak dapat mengenal pasti sama ada panjang tali berubah atau tidak setelah dibengkokkan walaupun perubahan tersebut dilakukan di hadapan mereka tanpa ada sebarang penambahan

atau pengurangan. Manakala, bagi ujian isipadu air pula, responden pertama mengatakan bahawa isipadu di dalam bekas B semakin berkurang apabila ditukarkan kepada bekas C. Bagi ujian yang seterusnya pula iaitu ujian jisim telah dijalankan. Jawapan yang diberikan tentang jisim tanah liat selepas dilenyekkan dari bentuk asalnya ialah tidak sama dan semakin berat. Terakhir sekali ialah ujian ruang dimana responden pertama memberikan jawapan bahawa ruang makan bagi lembu B lebih banyak berbanding ruang makan lembu A. Hal ini menunjukkan bahawa kenyataan ini telah menolak teori Jean Piaget bahawa kanak-kanak pada peringkat ini sudah boleh menguasai konsep pengekelan (conservation) yang mana ia melibatkan tiga prinsip iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Keadaan ini menunjukkan bahawa kanak-kanak pada peringkat umur 7-11 tahun lebih berfokuskan kepada keadaan fizikal daripada konsep yang lebih abstrak. Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak dapat melaksanakan prinsip transformasi dengan sempurna. Tuntasnya, hasil daripada analisa dan perbincangan yang dilakukan terhadap responden pertama mendapati bahawa kesemua jenis ujian tidak selari dengan teori yang telah dikemukakan oleh Jean Piaget. Hal ini berlaku mungkin disebabkan kanak-kanak tidak menjawab dalam keadaan yang serius, maka bagi mendapatkan keputusan ujian yang lebih tepat seharusnya dilakukan secara beramai-ramai untuk mendapatkan keputusan yang pelbagai. 1.3.3 Data Responden Ujian Perkembangan Kognitif Responden yang dipilih untuk menjalani ujian kognitif ini tetap sama seperti responden yang telah menjalani ujian fizikal. Responden berada di dalam lingkungan umur 12 tahun dan merupakan seorang kanak-kanak perempuan. 1.3.3.1 Perbincangan Responden Kedua Peringkat Operasi Formal Berdasarkan hasil kepada kelima-lima ujian yang telah dijalankan terhadap responden kedua yang berusia 12 tahun ini, responden telah menguasai ketiga-tiga prinsip transformasi ini iaitu prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip keterbalikan. Walaupun masih terdapat kesilapan pada satu ujian yang dilakukan namun responden kedua ini tetap berjaya menjalani tiga ujian utama ujian konservatif teori Jean Piaget ini iaitu ujian duit syiling, ujian tali dan ujian air. Secara tidak langsung,

ujian konservatif Piaget yang dijalankan ke atas responden kedua selari dengan teori perkembangan kognitif kanak-kanak yang telah dikemukakan oleh Jean Piaget. Hasil kesemua ujian mendapati bahawa responden kedua yang berusia 12 tahun ini sudah menguasai prinsip identiti. Sebagai bukti, semasa menjalani ujian duit syiling dengan memerhati segala pergerakan yang dilakukan, responden sudah dapat mengetahui bahawa jumlah duit tetap sama walaupun jarak asal duit sudah berubah bentuk. Hal ini kerana, kanak-kanak sudah boleh melakukan proses mental ke atas idea-idea dan membuat jangkaan atau andaian berdasarkan kepada fakta. Bahkan, pemikiran mereka juga tidak lagi terikat kepada satu sudut dan situasi static sahaja serta bahan-bahan konkrit. Pada keadaan ini, mereka sudah boleh faham sekiranya berlaku penambahan atau pengurangan sesuatu objek walaupun bentuknya sudah berubah. Di samping itu, responden juga menguasai prinsip keterbalikan di mana responden telah mengukur semula tali pertama dengan tali kedua bagi memastikan kepanjangan tali tersebut masih sama walaupun bentuknya sudah berubah. Responden menyatakan bahawa perubahan bentuk yang dilakukan ke atas tali tidak mempengaruhi kepanjangan kepada tali. Hal ini menunjukkan kanak-kanak pada tahap ini sudah mampu untuk berfikiran secara abstrak dan membuat hipotesis. Membuat hipotesis bermakna responden mampu untuk menyelesaikan masalah yang kompleks dalam jangka watu yang diberikan. Walaubagaimanpun, masih terdapat kelemahan pada responden kedua kerana dia masih membuat kesilapan terhadap ujian jisim. Responden keliru melihat kepada perubahan bentuk yang berlaku kepada tanah liat menyebabkan responden memberikan jawapan bahawa jisim tanah liat berubah setelah dilenyekkan. Disini responden masih lemah dalam prinsip identiti walaupun dia mendapat jawapan yang betul dalam ujian tali. Responden berasa keliru terhadap jisim tanah liat kerana responden tidak dapat mengukur secara kasar terhadap perubahan yang berlaku kepada tanah liat sebaliknya kepada tali responden dapat mengukur perubahan yang berlaku kepada tali. Kesimpulannya, responden kedua telah menepati teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget iaitu pada peringkat operasi formal walaupun masih terdapat sedikit kesilapan yang dilakukan oleh responden. Pada tahap ini, kanak-kanak

sudah boleh menaakul secara induktif atau deduktif. Penaakulan induktif bermaksud kanak-kanak dapat berfikir daripada yang khusus kepada yang lebih meluas begitu juga sebaliknya iaitu penaakulan deduktif pemikiran yang am kepada pemikiran yang lebih khusus. 1.3.4 RUMUSAN LAPORAN PERKEMBANGAN KOGNITIF Secara keseluruhannya, perkembangan kognitif kanak-kanak berkembang mengikut peringkat umur. Menurut Jean Piaget, kanak-kanak akan melalui peringkat perkembangan kognitif yang sama tetapi pada usia yang berbeza-beza. Beliau berpendapat bahawa persekitaran tidak membentuk kognitif kanak-kanak tetapi sebaliknya kanak-kanak membina pengetahuan mereka secara aktif untuk memahami persekitarannya. Walaupun kesemua ujian yang dilakukan ke atas responden pertama tidak selari dengan teori yang dikemukakan oleh Jean Piaget, namun bagi mendapatkan keputusan ynag lebih sekata dan tepat seharusnya ujian ini dilakukan secara beramai-ramai agar keputusan dapat dipelbagaikan. Kesemua proses transformasi yang dilakukan dalam tiap-tiap ujian mempunyai jawapan yang berbeza. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit masih belum dapat berfikir secara logik dan rasional di samping masih terikat dengan bahan konkrit yang diberikan. Bagi memastikan perkembangan kognitif kanak-kanak berkembang dengan sempurna dan mengikut peringkat, guru dan ibu bapa harus sedar akan pengaruh rakan sebaya terhadap perkembangan kanak-kanak khasnya daripada

perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial. Malahan, cara guru mengajar di dalam juga serba sedikit turut menyumbang ke arah perkembangan kanak-kanak. Hal ini kerana, dalam setiap pembelajaran kanak-kanak akan menguasai suatu kemahiran baru. Oleh itu, guru digalakkan untuk menggunakan bahan bantu mengajar yang lebih membantu kepada perkembangan kognitif kanak-kanak seperti penggunaan bahan maujud, model, video animasi, pengalaman pelajar sendiri dengan persekitarannya dan lain-lain lagi.

Anda mungkin juga menyukai