Anda di halaman 1dari 30

Dakwah Dalam Menangani Isu-Isu Sosial di Kalangan Remaja

Abstrak
Dakwah adalah satu program yang terancang dan boleh membawa kepada pengamalan dan
penghayatan Islam dalam diri seseorang individu. Dalam Islam, dakwah adalah satu
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam sama ada secara individu atau
secara kolektif. Dalam menangani isu gejala sosial di kalangan remaja masa kini, peranan
pendakwah adalah amat penting untuk membuktikan bahawa Islam mampu dan boleh
menyelesaikan pelbagai masalah sosial yang melanda negara kita. Penumpuan utama kertas ini
adalah untuk melihat peranan dakwah dalam menangani gelaja sosial di kalangan umat Islam.
Kertas ini mencadangkan agak setiap pendakwah mempunyai pelbagai kemahiran yang sesuai
dengan perkembangan semasa. Antaranya ialah kemahiran dan pendekatan, pengetahuan dalam
bidang psikologi dan kemahiran komunikasi.

Pendahuluan
Secara umumnya, masyarakat telah mengetahui tentang gejala sosial atau masalah masalah
keruntuhan akhlak yang sedang wujud di kalangan umat Islam di negara ini.Walaupun gejala
sosial ini juga wujud di kalangan masyarakat bukan Islam, tetapi apa yang lebih menonjol ialah
permasalahan di kalangan umat Islam. Permasalahan ini tidak boleh dikesampingkan begitu
sahaja dan perlu dihadapi dan ditangani oleh masyarakat Islam dengan penuh hikmah dan
bijaksana. Peranan setiap individu Muslim adalah sangat penting dalam menangani isu gejala
sosial dan tugas ini adalah tanggungjawab dakwah yang perlu dilaksanakan bersama. Umumnya,
gejala sosial ini boleh berlaku akibat dari kesalahfahaman, ketidakfahaman, kejahilan dan
keangkuhan terhadap perintah Allah SWT dan Rasullullah saw.
Di samping itu, faktor-faktor persekitaran juga turut memberikan sumbangan terhadap gejala
sosial yang berlaku. Tugas untuk membetulkan semula keadaan ini adalah satu tuntutan Islam
dan ia selaras dengan perutusan Rasulullah saw yang membawa risalah dakwah Islam bagi
membimbing umat manusia ke arah kebenaran. Maka, kertas kerja ini akan cuba membicarakan
peranan setiap Muslim sebagai pendakwah khususnya dalam menanggani masalah gejala sosial
yang sedang berlaku. Kertas ini sebenarnya adalah satu usaha kesinambungan dari beberapa
kertas kerja, laporan kajian dan penyelidikan-penyelidikan yang telah dijalankan oleh ramai
ilmuan sebelum ini.
Gejala Sosial Di Kalangan Umat Islam: Satu Analisa Ringkas
Gejala sosial boleh kita huraikan sebagai satu keadaan atau cara hidup yang berlaku di dalam
sesuatu masyarakat yang mana ia bertentangan atau berlawanan dengan ciri-ciri atau nilai budaya
dan juga nilai-nilai keagamaan sesebuah masyarakat. Permasalahan ini wujud apabila suasana
yang tidak bermoral dan berakhlak wujud dalam pelbagai aspek kehidupan dan dalam lapisan
masyarakat bermula dari hubungan dan pergaulan dalam keluarga, masyarakat hinggalah kepada
aspek kepercayaan dan pegangan hidup. Gejala sosial tidak terbatas kepada satu golongan atau
lapisan masyarakat sahaja, tetapi ia berlaku di semua peringkat masyarakat, yang muda, tua,
kaya, miskin, berpendidikan tinggi, tiada pendidikan, berpendidikan agama, kurang pendidikan
agama, rakyat, pemerintah, ketua dan pekerja.
Aktiviti-aktiviti gejala sosial yang dilakukan oleh mereka itu bertentangan dengan perintah Allah
SWT dan Rasulullah saw serta nilai-nilai ketimuran. Gejala sosial yang berlaku di kalangan umat
Islam pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada remaja sahaja malahan turut melibatkan
orang dewasa. Antara contoh-contoh adalah seperti berikut :
a) Remaja ponteng sekolah, melawan guru, membuli pelajar, gangsterisme, dadah, pil dan
ubat khayal, VCD lucah, seks bebas (bohsia, bohjan, homoseksual, hetroseksual dan lesbian),
lepak, vandalisme, rogol, mencabul kehormatan, lari dari rumah, sumbang mahram, rokok,
minum arak, mencuri, khalwat, mengunjungi kelab malam, disko dan karaoke, budaya dan
muzik liar, dan pergaulan bebas.
b) Dewasa mendera anak dan isteri, dadah, berjudi, minum arak, seks bebas, sumbang
mahram, mencabul kehormatan, rogol, mencuri, menipu, pukul, buang bayi, melacur, khalwat,
mengunjungi kelab malam, disko dan karaoke, menyimpan perempuan atau lelaki simpanan,
pergaulan bebas, bersekedudukan, dan rasuah.
Di kalangan remaja, masalah lepak adalah faktor yang memudahkan lagi mereka terlibat dengan
pelbagai lagi jenis gejala sosial. Kajian-kajian menunjukkan antara kesan-kesan negatif daripada
amalan budaya melepak ialah meningkatkan salah laku pelajar, meningkatkan kadar jenayah,
menambah kes remaja lari dari rumah, menggalakkan remaja terlibat dengan penyalahgunaan
dadah, menggalakkan seks bebas, menjejaskan prestasi akademik dan juga merosakkan sistem
kekeluargaan.
Terdapat beberapa faktor utama menyumbangkan kepada gejala sosial berlaku di kalangan
masyarakat Islam iaitu:
Faktor Perkembangan Diri
Faktor semulajadi perkembangan diri khususnya di kalangan remaja turut mempengaruhi berlaku
gejala sosial. Kita seharusnya mengetahui dan mengkaji kenapa masalah sosial ini terus berlaku
di kalangan remaja. Menurut ahli psikologi barat, zaman remaja adalah satu tempoh yang sangat
kritikal dalam perkembangan diri kerana zaman ini dikenali zaman yang penuh dengan cabaran
dan tekanan storming period. Pada zaman ini mereka sering mencuba dan perlakuan mereka
kadangkala mencetuskan konflik sosial dan anti sosial.
Dengan itu mereka berpandangan remaja seharusnya diberi kebebasan bagi memastikan mereka
dalam mendalami dan mencari pengalaman sesuai dengan perkembangan diri mereka (Eggen &
Kauchak 1997; Zanden 2000). Ada juga pandang ahli psikologi barat yang mengatakan bahawa
kematangan seorang individu akan berlaku selepas mereka melakukan hubungan seks pertama
(Leffert & Peterson 1995). Kefahaman barat sebegini turut menjadi faktor penyumbang kepada
gejala sosial yang berlaku sekarang ini.
Di dalam Islam, zaman remaja adalah satu masa yang sangat penting kerana pada waktu tersebut
mereka telah mula ditaklifkan dengan hukum-hukum Islam. Remaja Muslim tidak boleh
disamakan dengan remaja barat. Maka, para remaja Islam perlu disosialisasikan dengan nilai-
nilai ketimuran dan juga akhlak Islam. Mereka perlu diberikan pengetahuan dan juga maklumat
bagi memastikan mereka mempunyai perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang
mantap yang boleh membezakan perlakuan yang halal atau haram.
Pendekatan positif dan suasana kondusif perlu diwujudkan agar mereka dapat menerima
maklumat dan pendidikan dengan lebih berkesan. Ciri-ciri semulajadi perkembangan kendiri
remaja tidak boleh dipersalahkan dan aspek ini seharusnya diarahkan ke arah yang baik dan
positif.
Pengaruh Rakan Sebaya
Kajian menunjukkan bahawa rakan sebaya adalah faktor utama yang boleh mempengaruhi
remaja dari melakukan kebaikan malah boleh mempengaruhi mereka melakukan perkara-perkara
negatif, kemaksiatan dan kemungkaran (Rathus 1988; Bradley&Dubinsky 1994; Bee 1995; Ab.
Halim Tamuri 2000). Malahan pengaruh rakan juga boleh mempengaruhi orang dewasa
terjerumus ke lembah maksiat. Rakan sebaya kini telah banyak mengambil tugas yang
disepatutnya dimainkan oleh keluarga. Kajian-kajian banyak membuktikan bahawa remaja
mudah untuk melakukan sesuatu perkara selepas menerima `nasihat dari rakan-rakan sebaya
mereka. Ini bergantung kepada jenis rakan sebaya mereka jika mereka mendapat rakan yang baik
maka mereka akan terarah kepada kebaikan dan begitu juga sebaliknya.
Kelemahan-Kelemahan Dalam Sistem Pendidikan
Kepincangan yang wujud dalam sistem pendidikan juga turut menjadi faktor berlakunya gejala
sosial. Sebagai contoh, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (2000) telah mengenalpasti beberapa
faktor sekolah yang menyebabkan salah laku pelajar:
guru garang
guru menghadiri mesyuarat dan hal-hal lain di luar sekolah
lokasi/persekitaran sekolah yang tidak menggalakkan
terdapatnya kelas-kelas terapung
teknik P&P guru yang membosankan
bilangan murid yang terlalu ramai dalam satu kelas
bilangan waktu mengajar guru yang terlalu banyak
pertukaran guru
peraturan sekolah terlalu ketat
guru memegang berbagai-bagai jawatan di sekolah
kekurangan guru-guru kaunseling yang terlatih
tugas displin diserah kepada guru disiplin sahaja

Hubungan yang tegang antara pentadbir-guru-murid mewujudkan suasana dan iklim yang tidak
sihat di sekolah tersebut. Keadaan ini akan mengurangkan motivasi pelajar dan seterusnya
menggalakkan berlakunya salah laku pelajar yang berterusan. Maka, hubungan antara guru dan
murid perlu dipertingkatkan untuk memahami dan seterusnya mengurangkan masalah di
kalangan pelajar-pelajar. Program-program yang dilaksanakan di sekolah seharusnya dapat
menarik minat pelajar dan memberikan keseimbangan dari aspek akademik dan pembangunan
diri. Sikap sebahagian pentadbir sekolah dan guru-guru yang hanya menumpukan kepada
kecemerlangan akademik semata-mata harus diperbetulkan. Aspek pembangunan insan dan
penerapan nilai harus diberikan perhatian bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dan
bersahsiah tinggi. Namun begitu, berdasarkan kajian yang dijalankan (rujuk Jadual 1), masih
ramai guru yang tidak dapat menerapkan nilai-nilai murni semasa P&P (Ab. Halim Tamuri
2000).
Jadual 1 : Kekerapan pengajaran/penerapan nilai dalam P&P KBSM

Sikap Negatif Orang Dewasa
Hashim Abdullah (1996) telah mengkritik sikap orang dewasa kerana merekalah sebenarnya
yang mencari penyebab gelaja sosial berlaku khususnya di kalangan remaja. Dalam aspek
peminuman arak di kalangan remaja beberapa soalan telah diutarakan iaitu:
-Di mana mereka mendapat bekalan arak?
-Siapa yang menjualnya?
-Siapa yang membekal dan mengedar?
-Siapa yang membuka kilang arak?
Begitu juga dengan masalah perjudian, konsert hiburan, kelab-kelab malam, disko yang menjadi
bunga dan asas maksiat, siapakah yang menganjurkannya, tuan punya premis dan siapakah yang
memberi kelulusan? Adakah remaja sendiri? Orang dewasa seharusnya menjadi contoh yang
baik kepada remaja dan tidak sepatutnya membuka kelab malam, kedai judi dan ekor, menganjur
konsert dan funfair dan apa juga bentuk pesta-pestaan yang dilarang oleh Islam. Mengapa kita
terus menyalahkan remaja bila berlaku gejala sosial sedangkan orang dewasa yang tidak
bertanggungjawab yang menjadi punca utamanya. Orang dewasa seperti ini adalah warganegara
yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan kekayaan dan keuntungan diri sendiri
tanpa memikir kesan dan akibat jangka masa panjang dari perbuatan yang mereka lakukan
kepada generasi muda negara. Contoh lain pula ialah rasuah yang dilakukan oleh orang dewasa
di dalam masyarakat, pemimpin dan ketua yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini ditambah dengan kurangnya aktiviti-aktiviti yang menarik yang dianjurkan oleh
persatuan atau pertubuhan belia. Banyak persatuan belia yang hidup segan mati tak mahu dan
ditadbir dengan tradisional management. Di tambah pula dengan kewujudan ramai pimpinan
belia yang berumur lebih dari 30 tahun dan malahan terdapat pertubuhan belia yang dipimpin
oleh belia yang hampir pencen. Tentunya, cita rasa kepimpinan belia seperti bertentangan dengan
kemahuan belia masa kini. Kita seharusnya bersimpati dengan generasi muda masa kini kerana
mereka telah dilahirkan dalam suasana yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang kita sendiri
belum tentu akan mampu untuk mengatasinya jika kita dilahirkan di zaman ini juga. Jangan
terlalu mudah untuk menuding jari kepada remaja atau generasi ke atas masalah yang berlaku
sedangkan masalah itu berpunca dari kelemahan dan kesalahan yang dilakukan oleh generasi
dewasa.
Kelemahan Sistem Kawalan Sosial
Sikap tidak ambil peduli oleh ahli masyarakat turut menjadi faktor berlakunya masalah sosial di
negara kita. Dalam masyarakat tradisi, setiap anggota masyarakat menjadi mata dan ibu bapa
kepada anak-anak muda. Sikap tolong menolong dan saling kenal mengenali serta mengambil
berat telah mewujudkan sistem kawalan sosial yang kukuh. Namun wujudnya sikap
individualistik dan materialistik menjadikan sistem kawalan sosial kita menjadi semakin lemah.
Kehidupan di apartment, kondominium mewah, rumah pangsa dan rumah berpagar menjadikan
keadaan ini semakin lemah ditambah pula dengan kesibukan bekerja. Fungsi masjid dan surau
juga semakin longgar dengan kekurangan jemaah. Sistem ini perlu dipulihkan semula dengan
mengimarahkan surau dan masjid dan menjadikan institusi-instutisi ini sebagai pusat ibadah dan
sosial.
Konsep jangan jaga tepi kain orang perlu ditafsir dan diberi penjelasan semula kepada
masyarakat agar mereka boleh berfungsi sebagai ahli-ahli masyarakat yang prihatin dengan
masalah dan keadaan masyarakat di sekitarnya. Dapatan kajian dibawah menunjukkan bahawa
peranan jiran dalam memberikan nasihat kepada generasi muda amat membimbangkan di mana
28.9% dari responden mengatakan mereka tidak pernah menerima nasihat daripada jiran mereka
dan 54.3% menyatakan mereka jarang-jarang menerima nasihat daripada jiran tetangga mereka.
Jadual 2: Kekerapan memberi nasihat

Keluarga Yang Tidak Berfungsi
Kajian telah banyak menunjukkan bahawa ibu bapa/penjaga mempunyai yang penting dalam
perkembangan seseorang remaja. Kajian yang dijalankan oleh Fariza Md. Sham (1998) telah
menunjukkan bahawa corak tingkah laku keibubapaan adalah paling penting dan berkesan bagi
perkembangan psikologi remaja Muslim. Beliau menegaskan bahawa sikap ibubapa terhadap
remaja harus dinyatakan dalam tingkah laku yang dapat dipersepsi dan diinterpretasi oleh remaja
sebagai sumber maklumat dalam pembentukan akhlak dan nilai peribadi yang berasaskan kepada
Islam. Kajian oleh Norhaslinda Ahmad (1999) juga mendapati bahawa perpecahan atau
perpisahan keluarga adalah faktor utama yang mendorong remaja melakukan kesalahan juvana.
Dengan kata lain, ada keluarga yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Remaja yang kurang
mendapat tumpuan dari ibu bapa akan mengalami kekosongan jiwa dan tidak mempunyai tempat
pergantungan yang sebenar.
Sehubungan dengan itu, kita harus mengenal pasti apakah yang dikatakan sebagai keluarga yang
tidak berfungsi. Mohd Amin (1998) telah menggariskan lima ciri keluarga yang tidak berfungsi:
Perjalanan keluarga yang menyeleweng dari matlamat hidup berkeluarga
Gagal menjalankan tugas keibu bapaan
Suasana kekeluargaan yang tidak selesa
Setiap ahli keluarga mempunyai masalah
Gejala psikologi dapat dilihat

Persekitaran Yang Menggalakkan Maksiat Dan Jenayah
Kewujudan pusat rekreasi dan taman-taman bunga adalah untuk tujuan berehat, berkelah dan
program kemasyarakatan. Namun begitu, kemudahan awam ini telah disalahgunakan oleh orang
yang tidak bertanggungjawab sebagai pusat maksiat. Tempat peranginan yang sunyi serta
kondominium yang eksklusif disalahgunakan untuk tempat maksiat tanpa gangguan dari
masyarakat luar dan pihak berkuasa. Jenayah seperti merompak dan merogol juga mudah berlaku
di kawasan seperti ini jika kurang pengawasan dari orang ramai dan pihak yang berkuasa.
Kemunculan pusat hiburan, kompleks membeli belah di bandar dan kotaraya telah memberikan
peluang yang sangat luas kepada para remaja untuk melepak, berpeleseran, dating dan
membuang masa. Ini ditambah dengan konsert-konsert yang dianjurkan oleh pusat-pusat
membeli belah bagi menarik pelanggan. Bagi memburukkan situasi, terdapat pihak tertentu
menganjurkan funfair, dan konsert-konsert mega. Malah kebanjiran bahan-bahan negatif dari
majalah hiburan (dari dalam atau luar negeri), suratkhabar hiburan, VCD,TV, radio serta internet
telah menimbulkan masalah yang begitu serius kepada perkembangan sahsiah remaja masa kini.
Remaja dan orang dewasa mudah terjebak, mencuba dan menggalakkan mereka terjerumus ke
lembah maksiat disebabkan pendedahan mereka kepada bahan-bahan lucah. Kesibukan keluarga
menyebabkan mereka tidak dapat memberikan tumpuan kepada pendidikan anak-anak dan
membiarkan anak-anak mereka secara bebas menonton TV, VCD dan melayari laman-laman
web tanpa pemantauan, bimbingan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa.
Peranan Pendakwah Dalam Menangani Gejala Sosial
Dalam menangani gejala sosial yang berlaku di dalam masyarakat, peranan setiap individu
Muslim adalah amat penting. Maka, kefahaman terhadap konsep dan pelaksanaan dakwah adalah
amat diperlukan. Perkembangan negatif yang melibatkan remaja dan orang dewasa Muslim perlu
ditangani dengan lebih serius dan bijaksana. Kelambatan dalam memberikan perhatian kepada
mereka boleh merosakkan masa hadapan negara. Perlaksanaan undang-undang yang ada pada
masa kini tidak akan mampu menyelesaikan masalah sosial yang berlaku kerana kesalahan yang
diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Undangundang Islam adalah terlalu kecil berbanding
dengan jenis kesalahan-kesalahan dalam Islam (Mohd Daud Bakar 1995).
Maka, peranan pendakwah adalah amat penting dalam memberikan kesedaran kepadamasyarakat
tentang ajaran Islam dan pelaksanaannya dalam kehidupan seharian. Konsep Tauhid perlu
diterapkan dalam setiap aspek kehidupan individu Muslim. Metode dan pendekatan perlu
dipelbagaikan bagi memaksimum keberkesanan dakwah. Peranan pendakwah dalam menangani
gejala sosial boleh dilihat dari beberapa aspek seperti berikut:
Kemahiran Dan Pendekatan
Dakwah merupakan suatu proses yang berterusan dengan matlamat untuk mengubah sasaran
dakwah agar bersedia menuju ke jalan Allah, dan secara berperingkat mengarah kepada
kehidupan yang Islami. Suatu proses berterusan memerlukan perancangan dan pendekatan yang
sistematik yang boleh dilaksanakan dan dinilai secara terus-menerus agar ia dapat mengubah
tingkah laku madu sesuai dengan matlamat yang telah dirumus (Syamsul Bahri 2003).
Sebagaimana yang telah difahami, pendekatan secara hikmah dan nasihat yang baik dan
bijaksana adalah amat penting dalam menjalankan tugas dakwah, khususnya di kalangan remaja
dan generasi muda. Bagi mendekati mereka, kita harus menggunakan strategi yang berhemah
dengan penuh kasih sayang dan sopan santun. Madu perlu melihat pendakwah sebagai individu
yang boleh diajak berbincang dan dipercayai. Dengan itu, mereka dapat meluahkan perasaan
mereka tanpa wujud rasa segan dan malu. Tugas kita menyampaikan dengan cara yang terbaik
dan bukan memaksa dengan keras dan berhujah sehingga menimbulkan kemarahan dan
ketegangan antara dai dan madunya. Metode kita harus dapat membawa mesej dakwah yang
dapat memberikan keuntungan.
Ramai remaja Muslim yang melakukan kesalahan disebabkan kejahilan atau disebabkan
pengaruh luaran. Seharusnya kita perlu bijak untuk memilih pendekatan yang paling baik dan
sesuai terhadap madu bagi memastikan mereka memahami ajaran Islam itu sendiri. Madu yang
menjadi sasaran dakwah tidak boleh dianggap sebagai individu yang statik dan tidak
berkembang. Oleh itu, dakwah tidak boleh diarahkan hanya kepada penyampaian ceramah dalam
pengertian yang sempit dan berkisar kepada perkara-perkara bersifat ibadah semata-mata. Setting
masyarakat masa kini dengan pelbagai corak dan keadaannya perlu dianalisis bagi mendapatkan
input dalam rangka penyempurnaan serta menentukan kemahiran dan pendekatan dakwah yang
efektif.
Sirah Nabawiyyah adalah contoh yang terbaik yang perlu kita ikuti. Persoalannya
sejauhmanakah kefahaman dan penghayatan terhadap konsep hikmah ini? Apakah benar dan
tepat kefahaman kita terhadap konsep hikmah? Atau hikmah yang kita fahami itu sememangnya
hikmah atau pun sebaliknya. Maka, setiap pendakwah perlu mempunyai kemahiran atau metode
dakwah yang berasaskan kepada Firman Allah dalam Surah Al-Nahl:125
Maksudnya: Serulah (manusia hai Muhammad) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat
dan mauizah (nasihat) yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih
baik.
Selain itu pendakwah perlu mencari role model kepada setiap individu Muslim kerana
kebanyakan remaja kini tidak mempunyai role model yang baik. Ibu bapa kadangkala tidak
dilihat sebagai role model disebabkan kekurangan dan kelemahan yang ada pada ibu bapa
sendiri. Organisasi dakwah perlu memperbanyakkan lagi forum, perbincangan serta usrah dan
juga Islamic peer-group counseling, yang boleh menarik minat ahli masyarakat yang bermasalah.
Pendakwah perlu menjadi sebuah pohon yang rendang bagi melindungi individu yang
bermasalah dalam masyarakat. Metode ceramah kadangkala kurang berkesan kerana mesej yang
disampaikan kurang sesuai dengan tahap ilmu pendengar serta tidak wujud interaksi dua hala
antara mereka. Pada pandangan Syamsul Bahri (2003), dakwah sering disalahertikan sebagai
suatu pesanan yang datang dari luar. Oleh itu, pendekatan dakwah lebih diwarnai dengan
pendekatan interventif dan dai pula meletakkan diri mereka sebagai orang asing yang tidak
berkait langsung dengan apa yang dirasakan dan diperlukan oleh masyarakat sebagai madunya.


Selain itu, metode tradisional penyampaian ilmu yang sering digunakan pada masa kini perlu
disepadukan dan disesuaikan dengan pemikiran generasi muda. Kajian mendapati pendekatan
yang tidak formal seperti sukan, khidmat atau perkhemahan lebih menarik minat golongan
remaja berbanding orientasi dakwah berbentuk ceramah dalam pengertian yang sempit.
Fungsi dan peranan institusi masjid perlu dimaksimakan dan ia dapat memenuhi minat dan
kegemaran remaja yang sememangnya fobia dengan masjid. Fizikal, tataatur dan persekitaran
masjid seharusnya dapat merangsang kehadiran remaja. Kemudahan kemasyarakatan perlu
dipertingkatkan lagi bagi memenuhi hasrat dan kesesuaian generasi muda masa kini.
Pendakwah juga harus mempunyai kemahiran dalam penggunaan alat-alat komunikasi terkini
terutama komputer. Mereka harus berkemahiran dalam melayari lamanlaman web dan membina
laman web mereka sendiri. Laman-laman web on-line untuk kaunseling Islam perlu ditambah
dan penggunaannya perlu dipopularkan.

Pengetahuan Dalam Bidang Psikologi
Pendakwah juga perlu mempunyai kemahiran psikologi kerana perkembangan seseorang
individu banyak dipengaruhi oleh perkembangan sosio-budaya, sosio-ekonomi, psiko-sosial,
kognitif, moral dan latar belakang keagamaan. Tentunya kita tidak boleh mengambil secara total
idea atau pandangan dari barat seperti Kholberg, Ericsson dan Piaget akan tetapi boleh dijadikan
maklumat tambahan dan perbandingan kepada perdakwah. Ini disebabkan wujud sebahagian ahli
masyarakat kita menerima secara total, secara sedar atau tidak sedar, pandangan-pandangan barat
tanpa menyesuaikan dengan suasana dan biah masyarakat kita.
Seharusnya, pendakwah merujuk kepada metodologi pendidikan dan psikologi yang telah
diasaskan oleh Rasulullah saw yang kemudiannya dikembangkan oleh al-Farabi, I bnu Sina,
Abu Hassan Al-Mawardi, Al-Ghazali dan I bnu Khaldun (Hassan Langgung 1981).
Tujuan utama dakwah ialah untuk memberikan bimbingan kepada manusia untuk mendapat
keredhaan Allah SWT. Tentunya dakwah memerlukan metode yang berkesan kerana ia
melibatkan aspek perkembangan jiwa, hati dan perasaan. Ab Aziz (1999) telah merumuskan
pandangan Al-Qardawi bahawa antara ilmu yang paling berguna untuk seorang dai ialah ilmu
psikologi kerana ia:
Menerangkan tanda-tanda dan hasil-hasil yang berfaedah kepada iman dan penghayatan agama
seseorang.
Menolong untuk memahami dalil-dalil agama dan tafsir-tafsir yang sesuai dengan akal semasa.
Boleh menambahkan maklumat untuk memahami rahsia hukum syarak yang boleh membawa
penambahan iman.
Menolong pendakwah memahami jiwa sasaran, penumpuan sasaran dan cara mempengaruhi jiwa
mereka dengan lebih mudah.
Pendakwah yang mempunyai ilmu psikologi akan mendapat kelebihan kerana ilmu psikologi
membantu seorang dai mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi perkembanganseseorang
individu khususnya yang berkaitan dengan perubahan sikap dan personaliti. Di samping itu,
pendakwah juga akan dapat menganalisa proses, pendekatan dan keberkesanan dakwah yang
disampaikan.

Kemahiran Interaksi Dan Komuniskasi
Proses dakwah boleh dihubungkaitkan dengan proses pendidikan yang memerlukan interaksi
yang berkesan antara dai dan madu. Malah, untuk menjadi lebih efektif lagi, dakwah boleh
dihubungkaitkan dengan kemahiran bimbingan dan kaunseling. Dalam dakwah, kemahiran
interaksi adalah penting bagi memaksimumkan keberkesanan dakwah yang diberikan. Dalam
kaunseling, suasana yang membolehkan seseorang merasa bebas, tidak tertekan dan
bertanggunjawab terhadap diri sendiri dikenali sebagai suasana teraputik. Dr. Zuria Mahmud
dan Salleh Amat dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2000) telah
memperkenalkan model interaksi teraputik dalam pendidikan. Pendekatan ini boleh disesuaikan
dan diaplikasikan dalam proses menyampaikan dakwah. Dalam dakwah, langkah-langkah
interaksi teraputik boleh disesuaikan seperti berikut:
Langkah 1 Membina Hubungan. Dalam langkah pertama ini, pendakwah berusaha
mewujudkan suasana kondusif yang membolehkan interaksi dengan madu. Beberapa kemahiran
perlu dilaksanakan iaitu:
Ekspektasi yang sihat pendakwah perlu mengenali latar belakang dai sebelum beliau
menyampaikan mesejnya
Membina imej yang kongruen pendakwah perlu mempamerkan imej diri sebagai insan yang
boleh dicontohi melalui tingkah laku lisan dan bukan lisan
Membina peraturan Pendakwah perlu memberi kefahaman adab-adab, nilai-nilai akhlak serta
batasan-batasan halal dan haram dalam komunikasi dan hubungan.
Langkah 2 Mengenali Masalah. Pendakwah cuba mengenal pasti permasalahan yang dihadapi
oleh madu. Kemahiran yang perlu ialah:
Soalan yang boleh dijawab Memberikan peluang kepada madu menerangkan masalah yang
dihadapi
Mesej saya Pendakwah memberikan pandang beliau
Mesej anda Memahami yang apa yang tersirat dalam diri madu dan cuba membantu beliau
Langkah 3 Mencari Penyelesaian. Mencari beberapa alternatif dalam menyelesaikan masalah
yang timbul. Masalah yang timbul mungkin tidak dapat diselesaikan dengan satu cara sahaja. Ini
boleh mengajak mad`u berfikir tentang cara menyelesaikan masalahnya. Dua kemahiran boleh
dilakukan:
Apa yang kita mahu Pendakwah menerangkan apakah hasrat atau harapan yang mahu dilihat
oleh beliau.
Apa yang kita boleh buat Pendakwah akan bertanya langkah-langkah seterusnya untuk
memperbaiki masalah atau meningkat keadaan
Langkah 4 Pelaksanaan. Mad`u melaksanakan apa yang telah diperbincangkan antara mereka.
Langkah 5 Penilaian. Ia dilakukan untuk menilai sejauh manakah keberkesanan kaedah,
pendekatan dan proses dakwah yang dijalankan.
Interaksi teraputik dapat meningkatkan lagi keberkesanan proses dakwah khususnya di kalangan
remaja dan belia kerana mereka diberi peluang untuk berkongsi pandangan dalam menyelesaikan
permasalahan yang mereka hadapi. Mereka tidak akan merasa diketepikan malah dihargai oleh
masyarakat. Adalah lebih baik lagi jika setiap ibu dan bapa dapat didedahkan kemahiran-
kemahiran ini bagi memantapkan lagi pengurusan kekeluargaan mereka. Pendekatan bimbingan
dan kaunseling dapat digunakan dalam dakwah kerana apa juga bentuk pendekatan boleh
digunakan dalam dakwah asalkan tidak bercanggah dengansyarak.
Di dalam era globalisasi, di samping peperangan fizikal, kita turut menyaksikan pertembungan
dan pertempuran ideologi dan pemikiran yang memerlukan pelbagai bentuk strategi. Strategi
yang digunakan tentunya berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain dan sesuai dengan
perkembangan semasa. Pengalaman yang telah dilalui oleh generasi terdahulu seharusnya
dijadikan panduan dan iktibar oleh para pendakwah di dalam melaksanakan tugas mereka.

Penutup
Gejala sosial yang melanda masyarakat Islam masa kini perlu ditanggani dengan lebih
bersungguh-sungguh lagi. Keberkesanan dakwah berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya
psikologi manusia. Pengetahuan tentang perkembangan manusia akan dapat membantu dan
memudahkan lagi para dai dalam menyampaikan mesejnya. Pendakwah perlu memainkan
peranan dalam menghapuskan gejala sosial atau sekurang-kurang mengurangkan gejala sosial
yang berlaku di kalangan umat Islam. Metodologi dan kemahiran para pendakwah adalah amat
penting dalam usaha menyampaikan Islam kepada masyarakat. Di samping itu, penyelidikan-
penyelidikan perlu diperbanyakkan untuk memastikan pendakwah mendapat maklumat yang
tepat dan tidak bergantung kepada maklumat secondary atau andaian-andaian tanpa sebarang
sokongan atau fakta tepat. Kini sudah tiba masanya pakejpakej dakwah disusun dengan
mengambil kira sasaran dakwah mengikut stratafikasi madu sama ada berasaskan usia, tahap
pendidikan, sosio ekonomi dan juga persekitaran sosial.
Para pendakwah perlu mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang terkini bagi
memaksimumkan keberkesanan dakwah yang dilaksanakan. Pendakwah perlu juga memberikan
kesedaran kepada masyarakat bahawa tugas dakwah adalah tugas yang perlu dilaksanakan secara
kolektif kerana mereka adalah saling lengkap melengkapi. Setiap lapisan pemimpin dan ahli
masyarakat harus diberi kefahaman tentang peranan mereka untuk mencegah gejala sosial di
dalam masyarakat. Mereka perlu melihat tanggungjawab ini sebagai tugas dakwah dan amanah
dari Allah SWT. Di samping itu, fungsi yang dimainkan oleh masyarakat harus mendapat
sokongan yang sepenuhnya daripada semua pihak khususnya daripada pihak pemerintah.

Bibliografi
Al-Quran al Karim
Ab. Aziz Mohd Zin, 1999.Psikologi Dakwah. Kuala Lumpur: JAKIM
Ab. Halim Tamuri, 2000. Pengetahuan Akhlak di kalangan Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah,
Tesis PhD, University of Birmingham.
Abdullah Muhammad Zain et al. 1997. (pnyt), Prinsip dan Kaedah Dakwah dalam Arus
Pembangunan Malaysia. Bangi: UKM.
Abi `Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansar al-Qurtubi, t.th.al-Jami li-Ahkam al-Quran, 20
vols,: t.tp.: Dar al-Kitab al-`Arab.
Abul A`la al- Maududi, 1981.Towards understanding Islam, Singapura: Pustaka Nasional.
Abd. Karim Zaydan, 1976.Usul al-Da`wah. Alexandaria: Dar Umar ibn al-Khattab.
Bee, H. 1995. The developing child. New York: HarperCollins.
Berhanuddin Abdullah, 1997. `Amal Jama`ie dalam organisasi dakwah, Terengganu: Zabib
Enterprise.
Bradley, J dan Dubinsky, H. 1994.Understanding 15-17 year olds, London: Rosendale Press.
Eggan, Paul and Kauchak. 1997. Educational Psychology, New Jersey: Prentice Hall.
Fariza Md. Sham. 1998. Corak tingkah laku keibu bapaan dan perkembangan psikologi remaja
Muslim, al-Maw`izah, Jun pp. 57-68.
Fatimah Daud, 1996, Apa Peranan Jabatan Agama Islam, Dakwah, September pp. 16-18.
Leffert, N. dan Petersen, A. C. 1995. Patterns of development during adolescence in Rutter,
Michael and Smith, David J.(eds.). Psychosocial disorders in young people, New York:
Academia Europaea, pp. 67-103.
Mohd Amin H.A. Shariff, 1998.Perkembangan remaja pandangan, pemahaman dan interpretasi.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Mohd Daud Bakar, 1995, Undang-undang Bukan Jalan Penyelesaian, Dakwah, Disember pp.
24-27
Mudasir Rosder, 1996, Pengukuhan dan pemantapan Iman, al-Maw`izah, Jun pp. 1-14.
Norhaslinda Ahmad, 1999. Broken family is the major factor that leads teenagers to juvenile
deliquency, Latihan Ilmiah Fakulti Pendidikan, UKM.
Rathus, Spencer A., 1988.Understanding Child Development, New York: Holt Rinehart and
Winston.
















Bidaah : Satu Erti Yang Disalahgunakan

PENDAHULUAN

Permasalah bidaah-membidaah dan sesat-menyesatkan di dalam masyarakat Islam kini amatlah
parah dan berbahaya sekali. Masalah seperti ini timbul semula dengan membawakan kembali
persoalan-persoalan khilafiyah yang telah sekian lama dibahaskan dan diselesaikan oleh para
ulama muktabar terdahulu. Golongan yang sewenang-wenangnya membidaah ini cuba
menafsirkan nas-nas dari al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. dengan hawa nafsu sendiri
sehingga pelbagai tafsiran yang tidak munasabah diperolehi. Maka kucar-kacirlah masyarakat
Islam dengan pembawakan golongan ini yang kononnya berjuang untuk membersihkan perkara-
perkara bidaah.

Keadaan menjadi semakin parah apabila isu ini dipandang sebagai isu besar yang perlu
diperdebatkan sehingga mereka lupa dan alpa akan isu-isu yang lebih besar untuk kemaslahatan
umat Islam sejagat. Ini semua berpunca daripada kesalahan mereka dalam memahami maksud
bidaah sesat dalam ertikata yang sebenarnya. Semoga ulasan dan penerangan ringkas ini dapat
dijadikan panduan kepada semua di dalam usaha kecil saya untuk memperbetulkan salah faham
masyarakat terhadap isu ini.

DALIL YANG DIGUNAKAN

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang direka
itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam
neraka.
(Riwayat al-Nasaie).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya
tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH

Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:Baik bidaah ini
(Riwayat Bukhari).

Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih
berimamkan seorang imam sahaja .

Berkata Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A. baik bidaah
ini maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta sesuatu yang belum pernah ada dan
tidak pernah bermula. Ia tidaklah mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi
agama) seperti yang diamalkan selama ini. (Kitab: Al-Istizkar Syarah al-Muwatta).

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. baik bidaah ini adalah:
Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa
bukan syarak. Bidaah dari segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan
sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarie.

Amalan yang mempunyai sandaran kepada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi
syarak meskipun ianya bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam bahasa
daripada bidaah dalam syarak. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

Berkata Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi perkara yang
dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan sabit dan membuang
segala arahan syarak. (Kitab: Ihya Umul al-Din).

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah asalnya ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu
sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada sunnah
dan dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya tidak bercanggah dengan
syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk mengikut syarak maka ianya buruk kecuali
termasuk bab harus. Bidaah adalah terbahagi kepada lima hukum. (Kitab: Fathul Bari).

Berkata Imam Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika bersandarkan kepada
kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah bidaah dan bukanlah menyesatkan.
(Kitab: Maalim al-Sunnah Syarah Sunnan Abi Daud).

Berkata Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah syarie ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bidaah
yang dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan sebagainya adalah bidaah dari
sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bidaah syarie kerana bidaah syarie
adalah satu bahagian daripada bidaah dari sudut bahasa. (Kitab: Ahsanulkalam Fi Mayataallaqu
Bil Sunnah Wal Bidaah Minal Ahkam).

PENGERTIAN BIDA'AH

Setelah melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis setiap bidaah adalah
sesat maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak walaupun ia
berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan dengan syarak serta tidak membawa kepada
keburukkan maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh
dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas yang umum adalah
sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie kesemuanya adalah tercela dan bidaah
dari sudut makna syarie adalah salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.

Berkata lagi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman Nabi
Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai perkara-perkara baru yang
tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia adalah perkara yang harus dilakukan selama mana
menjadi keperluan. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH

Dari Imam Baihaqi maka berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan
bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang
mencanggahinya tetap dicela.
Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira
sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-
empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela.
(Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berkata Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib, bidaah haram,
bidaah sunnah, bidaah harus. (Kitab: al-Qawaid).

Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis setiap bidaah adalah sesat berkata:
Hadis ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah. Berkatalah ahli
bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya.
Berkata ulama:
Bidaah ada lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang wajib ialah
merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak para mulhid (yang tidak percayakan
kewujudan tuhan) dan menolak kaum bidaah (mubtadiin) dan seumpamanya. (Kitab: Fi Tahzib
al-Asma Wa al-Lughat).

Berkata Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua bahagian iaitu bidaah petunjuk dan bidaah
kesesatan. Sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah S.A.W. maka ia adalah
perkara yang tercela manakala perkara yang berada di bawah arahan baginda secara umum maka
ia adalah terpuji.

Bidaah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa maksud hadis
setiap bidaah adalah sesat ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak
dan tidak bertepatan dengan sunnah. (Kitab: al-Nihayah).

MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bidaah
tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr.
Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bidaah ini adalah
suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bidaah terbahagi kepada
hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam
mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa
perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan
mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama
ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk
membahagikan bidaah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan
haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur
rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, tahlil dll. Malah mereka
menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan
maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa
menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan
dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju
bahawa bidaah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan
perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bidaah. Inilah yang dimaksudkan oleh
para ulama ini.

DI ANTARA BIDAAH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-
buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat
Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka
mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka
mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada
syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan
sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini
adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata: Bermazhab ini adalah bermaksud
seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab
seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu
mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam
atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat
untuk mengikutnya sepanjang masa.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi: Kita amat gembira
menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan
Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah)
sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah
seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan
penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-
pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun
sebaliknya. (Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).

BIDAAHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap
perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman
Rasulullah S.A.W. adalah bidaah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk
menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan
yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau
mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih
memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: ayat 43).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang
yang mengikutnya
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti
kamu mendapat hidayah.
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. (Riwayat
Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan
syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bidaah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu
ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam
khususnya di Malaysia adalah seperti tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat
tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir
beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis setiap bidaah
adalah sesat tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika
amalan-amalan seperti itu adalah bidaah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-
ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka
(ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang
dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa
amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan
sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat
segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum
mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk
memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama
muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini
kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita
mengatakan seseorang itu ahli bidaah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu
darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.
(Riwayat muslim).

PERINGATAN PENTING

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:

Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh
dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam
Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau
menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat
dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat
fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah
menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang
kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan
mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah
mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja
sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu.
Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam
semenjak sekian lama.

PENUTUP

Setelah meneliti segala hujah di dalam perbincangan ini maka bolehlah kita katakan bahawa
janganlah terlalu mudah untuk membidaahkan amalan orang lain sebelum meneliti dahulu kata-
kata para ulama. Adapun amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di
Malaysia seperti kenduri tahlil, berzikir ramai secara nyaring dan pelbagai lagi amalan bukanlah
tergolong di dalam maksud bidaah yang dimaksudkan oleh al-Hadis. Saya ingin menasihati agar
golongan yang begitu mudah membidaah dan mensyirikkan amalan-amalan orang lain ini
(walaupun sekadar amalan-amalan seperti tahlil dll) supaya kembali ke pangkal jalan dengan
mendalami ilmu agama secara ikhlas. Semoga kita semua berada di bawah lindungan Allah
Taala setiap masa dalam menghadapi situasi ini.

Memberi dan Berbakti



BIDA'AH MENURUT KACAMATA ISLAM

Telah menjadi kelaziman, tradisi yang sinonim dalam masyarakat Islam di Malaysia, khususnya apabila
mengadakan kenduri aqiqah, perayaan Maulidur Rasul, perkahwinan dan lain-lain. Mereka mengadakan
majlis bacaan berzanji, selawat dan rawi.

Sejak akhir-akhir ini, telah timbul desakan yang kuat dari segolongan umat Islam agar amalan ini
dimansuhkan kerana di anggap Bid'ah yang tidak pernah di lakukan oleh Rasulullah s.a.w., malah ia
menular dalam amalan harian kita seperti wirid selepas solat, tahlil, membaca Yasin pada malam jumaat
dan talkin di kubur. Ikhtilaf pendapat ini telah menimbulkan perselisihan dan persengketaan yang bukan
sedikit, akhirnya akan menjerumuskan umat Islam ke kancah perpecahan yang tiada penghujung. Oleh
itu marilah sama-sama kita bincangkan persoalan ini dengan cara ilmiah, penuh berhikmah dan harmoni.

Bid'ah adalah asal perkataan bahasa Arab yang bermaksud rekaan baru atau nama bagi sesuatu yang
baru yang di ada-adakan. Sheikh Izuldin bin Abdul Salam dalam Qawaid Ahkam memberi erti seperti
berikut : Bid'ah itu adalah satu pekerjaan keagamaan yang tidak di kenali pada zaman Rasulullah
s.a.w. manakala Imam Syaf'ie r.a. mendefinisikan sebagai segala hal yang baru, yang terdapat setelah
Rasulullah s.a.w. wafat dan Khalifah yang ke empat (Khalifah Ar-Rasyidin).

Sidang jumaat yang berbahagia,

Ulama' fiqh membahagikan Bid'ah kepada dua pendapat :

Pendapat pertama :

Satu cara perbuatan yang di ada-adakan dalam urusan yang tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah
s.a.w. dengan maksud untuk mendampingkan diri kepada Allah s.w.t. kerana ingin mendapat dan
menambahkan pahala. Mereka membahagikan hukum ini kepada dua :

1- Bid'ah yang termasuk dalam dosa-dosa kecil, iaitu Bid'ah yang berlaku dalam juzuk-juzuk cabang
peribadatan dengan kehendak Al-Quran dan Al-Sunnah.

2- Bid'atun Mazmumah/Sayyiatun/Dzholalah :

Rekaan-rekaan baru yang tidak membawa pada sebarang kebaikan pada manusia, bahkan boleh
membawa bahaya samada dalam soal kehidupan seharian atau peribadatan.

Menurut pendapat kedua ini, yang menjadi pegangan masyarakat Islam yang bermazhab Ahli
sunnahwaljamaah, mereka membahagikan hukum Bid'ah itu kepada lima bahagian seperti yang
dinukilkan oleh Ibnu Hajrr Al-Ashqalani di dalam kitab fatwa baru :

1- Bid'atun wajibah :

Pekerjaan yang masuk dalam perkara wajib dan perintah agama seperti mengumpul dan menyusun
mushaf Al-Quran.

2- Bid'atun munduwabah :

iaitu segala yang mendukung perkara sunat seperti mengerjakan solat terawih berjemaah.

3- Bid'atun mubahat :

iaitu segala sesuatu yang menjurus hal-hal yang di bolehkan seperti menaiki kenderaan, makan bermeja
dan memakai pakaian berfesyen yang berbagai tetapi menutup aurat.

4- Bid'atun makruh :

Iaitu perkara yang membawa kepada makruh seperti banyak melakukan sembahyang sunat rawatib
hingga solat wajib tertunda.

5- Bid'atun muharramah :

Iaitu sesuatu hal yang menjurus perkara yang haram seperti menziarahi kubur orang mati dengan tujuan
meminta sesuatu pertolongan atau mengerjakan amalan suluk hingga meninggalkan solat jumaat.

Sidang jumaat yang dihormati,

Mengapa terdapat umat Islam yang menentang amalan Bid'ah ini?. Ini adalah kerana mereka merujuk
dan bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.aw. :

(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Bermaksud : " Sesiapa juga mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu pekerjaan ( amalan
peribadatan ) yang tiada daripadanya ( yang diadakan ) itu tertolak."

Manakala dalam hadis yang lain, Rasulullah s.aw.bersabda :

(Riwayat Muslim dari Jabir Bin Abdullah).

Bermaksud : " Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah
kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu ialah petunjuk Muhammad s.a.w. dan sejahat-
jahat perkara itu ialah yang di ada-adakan (rekaan baru) dan tiap-tiap yang di adakan itu adalah Bid'ah
dan tiap-tiap Bid'ah itu adalah sesat dan tiap-tiap kesesatan itu dalam api neraka."

Walau bagaimanapun, kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada aqidah ahli sunah waljamaah
dan menganut fahaman mazhab Syafie' yang mendominasi majoriti umat Islam di Malaysia perlu
merujuk kepada pendapat beliau mengenai perkara ini. Imam Syafie' seperti yang dinukilkan oleh Imam
Al-Baihaqi dalam kitab 'manaqib' Syafie' dalam 'fathulbari' jilid 17 muka surat 10 menjelaskan yang
bermaksud : " Pekerjaan yang baru "Bid'ah" itu dua macam : Pekerjaan kegamaan yang bertentangan
dengan Al-Quran, Sunah Nabi, athara dan ijma' ini di namakan Bid'ah Dzholalah. Pekerjaan keagamaan
yang baik yang tidak bertentangan dengan salah satu dari yang tersebut di atas, adalah Bid'ah juga,
tetapi tidak tercela.

Bacaan berzanji adalah tergolong dalam Bid'ah Hasanah. Ini adalah kerana di dalamnya mengandungi
peristiwa dan keperibadian Rasulullah s.a.w. Dalam setiap bacaan kita sulami dengan selawat ke atas
Nabi. Mudah-mudahan kita tergolong dalam apa yang disabdakan Nabi yang bermaksud :" Barangsiapa
yang berselawat ke atasKu sekali, maka aku akan gandakan sebanyak 10 kali" Berapa ramai daripada kita
yang mengetahui sejarah kehidupan Nabi, siapa nama ibunya, nama datuknya, bila diputarkan dan dan
lain-lain lagi. Generasi hari ini lebih mengenali artis-artis, tetapi tidak untuk menjadikan Rasulullah s.a.w.
sebagai ikutan mereka. Maka ketika inilah amalan berzanji ini memainkan peranan untuk menjadikan
Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, lebih-lebih lagi amalan itu kini telah dibaca dalam bahasa
malaysia dan bukan bahasa Arab yang kurang kita fahami.

Begitu juga membaca wirid selepas solat, bacaan Yasin beramai-ramai atau membaca talkin di kubur.
Berapa ramai di kalangan kita yang memperuntukkan masa 10 minit sehari untuk membaca Al-quran
atau memuhasabah diri sebelum tidur mengenai hal ehwal mati?. Berdasarkan nisbah ia mungkin boleh
dihitung dengan hari sahaja. Untuk menggambarkan bahawa kita jarang membaca Al-quran, kita
kadangkala tidak mempunyai penghujung ayat surah al-qafiruun ketika menghafaz, walaupun ianya
adalah ayat lazim, begitu jugalah dengan hal ehwal mati yang mana kita di sunatkan untuk selalu
mengingatinya, kerana ia akan datang menjemput kita tanpa di undang. Maka bacaan talkin di kubur
yang begitu menyayukan selepas pengkebumian akan menginsafkan kita, yang mana kita tidak dapat lari
dari dimasukkan ke liang lahad itu dan membuat persediaan yang secukupnya dari segala amal dan
ketakwaan untuk menjadi syafaat kita berhadapan dengan Allah rabbuljalil.

Sidang jumaat yang dirahmati,

terdapat beberapa perkara keagamaan yang dilakukan di zaman Khalifah ar rasyidin dan termasuk
dalam kategori Bid'ah Hasanah. Antaranya :

1- Membukukan Al-Quran yang di lakukan di zaman Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

2- Melakukan solat terawih berjemaah yang di perintahkan oleh Saidina Umar Al-Qhattab.

3- Mengadakan azan pertama dalam solat jumaat yang di perintahkan oleh Saidina Othman.

Kalau seseorang Khalifah arrasyidin memerintahkan sesuatu amal ibadat, maka sewajarnyalah kita
mengikuti dan mengamalkannya, kerana apa yang datang dari mereka pada hakikatnya adalah datang
dari Rasulullah sa.w., kerana mereka adalah orang yang hampir, mendengar dan melihat sesuatu pada
diri Baginda.

Sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w. :

(riwayat Abu Daud )

Maksudnya : " Maka wajib atasmu memegang sunnahKu dan sunah Khalifah arrasyidin yang di beri
hadiah."

Rasionalnya mengadakan azan pertama dalam solat jumaat sebagai contoh adalah untuk memudahkan
umat Islam membuat persediaan yang rapi untuk menunaikan solat jumaat, kerana terdapat umat Islam
mutakhir ini yang datang ke masjid hanya memenuhi tanggungjawab solat jumaat tanpa mendengar
khutbahnya, hatta ketika Khatib sedang berkhutbah pun, mereka masih berkeliaran di luar masjid
kerana berjual beli atau menikmati juadah untuk mengalas perut.

Kita sebagai masyarakat awam hendaklah berpegang dengan fahaman majoriti iaitu bermazhab Syafi'e
Tidak salah berfahaman lain, tetapi perlu ada dasar dan dalil yang kukuh untuk berpegang dengannya.
Selain itu adalah menjadi satu kesalahan dan melanggar etika, mereka yang berdakwah dalam
masyarakat yang berfahaman lain, sebagai contoh, jika seseorang mengatakan amalan berzanji itu
Bid'ah Dzhalalah dalam sebuag kampung yang majoritinya bermazhab Syafi'e, kita amat pasti ia akan di
pulukan masyarakat setempat malah mungkin di singkirkan dari kampung tersebut.

Sikap tegas dalam mananggani syirik dan khurafat dalam masyarakat adalah masalah yang di sepakati
Ulama' dan sesuatu yang wajar, tetapi di dalam permasalahan khilaf di kalangan Ulama', adalah
memerlukan penglihatan terperinci dan saling hormat-menghormati, agar ia tidak merosakkan
perpaduan dan persaudaraan Islam kerana itulah sikap yang di ambil oleh para Ulama' dari dulu lagi.

Oleh itu, kita perlu mengutamakan etika dan akhlak daripada emosi apabila berselisih pendapat seperti
yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., apabila para sahabat berbeza pendapat, mereka menggunakan
pendekatan takwa serta menjauhi daripada emosi dan runtunan hawa nafsu. Di samping itu kita perlu
bersikap sederhana dalam apa juga pandangan dan meninggalkan sikap taksub dalam beragama, kerana
ia menjadi faktor penting bagi mencapai kesatuan dan perpaduan sesama insan.

Sikap bekerjasama, bertolak-ansur dan tidak fanatik kepada sesuatu pendapat perlu menjadi teras agar
budaya kafir-mengkafir, fasik-memfasik, gelaran ahli Bid'ah atau ungkapan lain tidak akan berlaku dalam
masyarakat.

Mudah-mudahan amalan Bid'ah Hasanah yang kita lakukan selama ini akan mendapat ganjaran
sebaiknya dari Allah s.w.t. sebagaimana sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menjadi hujah Imam Syafi'e
apabila membicarakan persoalan Bid'ah ini yang bermaksud :

" Barangsiapa yang mengadakan dalam Islam Sunnatun Hasanah, maka di amalkan orang lain kemudian
sunnahnya itu di berikan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya, kemudian dengan tidak
mengurangkan sedikit jua daripada pahala orang yang mengerjakannya kemudian. Dan barangsiapa
yang mengadakan dalam Islam Sunatun sai'ah, maka di amalkan orang kemudian sunnah buruknya itu,
diberikan kepadanya dosa seperti dosa orang yang mengerjakan kemudiannya dengan tidak mengurangi
sedikit pun jua dari dosa orang yang mengerjakan kemudian itu. "

(Hadis riwayat Muslim.)

(Surah Al-A'raaf ayat 178.)

Bermaksud : " Sesiapa yang di beri petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya), maka dia lah yang
beroleh petunjuk, dan sesiapa yang di sesatkan oleh Allah s.w.t. (dengan sebab keingkarannya), maka
dia lah orang-orang yang rugi."













Amalan bidaah di negara kita
Posted by mohd saad mubarok bin ahmad On 5:27 PM No comments

Alhamdulillah segala syukur ke atas Allah SWT dan rahmatNya, selawat dan salam ke atas
Junjungan Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat, Tabiin, Tabi Tabiin dan seluruh
Muslimin Muslimat yang menjunjung tinggi syariat Pencipta sekalian alam.
Risalah yang ringkas ini berkisar mengenai beberapa amalan bidah yang berlaku di dalam
kehidupan umat Islam amnya dan di Malaysia khasnya. Seperti yang diketahui, Allah SWT
telah menurunkan Islam dengan penuh syumul, yakni sempurna dan meliputi segenap segi
kehidupan manusia.
Firman Allah SWT:
Maksudnya:
Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu, Aku telah penuhkan nikmatKu
untuk kamu dan Aku hanya meredhai Islam sebagai agamamu.19
Maka amalan-amalan bidah ini menafikan pensyariatan Allah SWT dan menunjukkan
bahawa di dalam Islam masih ada ruangan yang tidak diisi, sedangkan Nabi Muhammad
SAW tidak berkata melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Oleh yang
demikian, andainya Rasulullah SAW menyuruh para pengikutnya melakukan sesuatu amalan
dan yang lainnya tidak dilakukannya maka sesungguhnya itulah yang benar datangnya dari
Tuhan Sekalian Alam, Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Wahai umat Islam,
taatilah suruhan Allah Jalla Wa Ala dan PesuruhNya Muhammad SAW, dan jauhilah kamu
dari segala laranganNya, semoga kita diberkati Allah SWT di dunia dan di akhirat.
KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Firman Allah SWT
Maksudnya:
Maka jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, kembalilah kepada Allah dan Rasul20
Dan apa apa yang kamu perselisihkan tentang sesuatu, maka hukumnya kepada Allah21
Tidak ada suatupun yang Kami lewatkan dalam Kitab22
Dan ketika datangnya Imam Imam yang berempat, mereka telah mencurahkan segala
kemampuan yang ada pada mereka buat memperkenalkan agama ini dan membimbing
manusia dengannya, mereka larang orang yang bertaklid iaitu mengikut secara membabi
buta tanpa mengetahui dalil dan alasannya dengan berkata : TIDAK SEORANGPUN
BOLEH MENGIKUTI PENDAPAT KAMI TANPA MENGETAHUI ALASAN KAMI23
Pernyataan ini jelas melarang kita daripada menurut sesuatu mazhab tanpa mempelajari
selok belok hukum hakam Fiqh Islam. Namun, kini kita dapati banyak umat Islam hanya
mengikut satu mazhab tertentu sahaja, sedangkan para Imam ini hanya membantu
menunjukkan hukum Allah berdasarkan ilmu pengetahuan mereka tetapi tidaklah ianya
muktamad atau maksum sebagamana amalan dan pertunjuk daripada Rasulullah SAW.
Ingatlah segala amalan Nabi Muhamamad SAW telah diakui Allah SWT sebagai WahyuNya.
Firman Allah SWT. Maksudnya:
19 Al-Maidah (5:3)
20 An-Nisa : 59
21 As-Syura: 10
22 Al-Anam : 38
23 Fiqh Sunnah, Jilid 1-2, Sayyid Sabiq, pg 27
Pembahagian bidah: Bidah Hasanah & Bidah Dhalalah
Mengikut Ahlus-Salaf:
Bidah Hasanah: Ciptaan yang baik yang berkaitan dengan hal-hal keduniaan (kebendaan)
semata. Maka bidah (ciptaan) ini diharuskan dan digalakkan oleh Islam. Contoh: penciptaan
kereta, kapalterbang dan komputer.
Bidah Dhalalah: Ciptaan yang menyesatkan, iaitu segala apa yang bersangkutan dengan
amal ibadah atau urusan agama (syara). Haram menambah-nambah amalan sedia ada
kerana agama Islam telahpun lengkap dan sempurna.
ANTARA AMALAN-AMALAN BIDAH TERSEBUT:
Berzikir beramai-ramai selepas solat
Imam As-Syafie mengharamkan berzikir dengan cara mengangkat suara selepas
menunaikan sembahyang fardhu. Imam Syafie hanya menggalakkan para jemaah berzikir
secara sendirian.26
Imam As-Syafie menyatakan bahawa perbuatan Nabi SAW menyaringkan suara takbir adalah
untuk mengajar para Sahabat tentang zikir tersebut, sesudah itu Rasulullah SAW tidak lagi
menyaringkannya.
Bacaan yang disukai Imam As-Syafie ialah masing-masing imam dan mamum membaca
sekadar yang dapat didengari sendiri dengan tidak berzikir secara berjemaah.27
Prof. T.M. Hasbi As-Siddiqi: Antara Bidah itu ialah membaca istighfar serentak dengan
mengangkat suara sesudah salam. Yang sunat, kita masing-masing membaca istighfar
sendiri (juga ketika berwirid dan berdoa).28
Bertahlil sempena kematian seseorang
Imam As-Syafie dan Imam Malik tidak pernah mengatakan ibadah badaniah yang khusus
seperti sembahyang dan membaca Al-Quran sampai kepada si mati.29
Imam As-Syafie dan ulama lain:
24 Al-Najm (3 4)
25 H/R Muslim
26 Al-Umm, Jilid I, hlm 127, Bab Kalam Al-Imam wa julusihi bada As-Solat
27 Sembahyang Nabi SAW, hlm 18, Abdullah Al-Qari Hj Salleh
28 As-Sunan Wal Mubtadiat, hlm 119, Prof. T.M. Hasbi
29 Al-Ibda fi Mudhar Al-Ibtida, hlm 245, Syeikh Ali Mahfuz
Apa yang dilakukan manusia (hari ini) iaitu berkumpul (buat kenduri) di (rumah) keluarga si
mati dan menyediakan (makanan) hidangan, adalah perbuatan bidah yang mungkar. Dan
orang yang membanterasnya adalah diberi pahala.30
Imam An-Nawawi:
Adapun menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si mati dan mengumpulkan manusia
(orang ramai untuk berkenduri) di rumah (keluarga si mati) adalah tidak pernah sama sekali
ada nasnya (dalilnya). Perbuatan tersebut adalah bidah yang tidak pernah disunnahkan.31
Imam As-Syafie:
Aku memakruhkan berkumpul (di rumah si mati) walaupun bukan untuk tangisan.32
Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan berkumpul beramai-ramai di
rumah tersebut maka itu adalah bidah bukan Sunnah.33
Ertinya: Dari Ibnu Jarir bin Abdullah berkata: Kami menganggap berkumpul beramai-ramai
(kenduri) di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan.34
Caranya yang sebenar sebagaimana dilakukan Rasulullah SAW ialah dengan menghulurkan
bantuan (makanan atau lain-lain keperluan) kepada keluarga si mati. Sabda Rasulullah SAW:
Ertinya: Semasa kematian Jafar, Rasulullah SAW pulang menemui keluarga baginda
dan bersabda: Sesungguhnya keluarga Jafar sedang sibuk dengan urusan kematian,
maka buatkanlah untuk mereka makanan.3

Anda mungkin juga menyukai