Anda di halaman 1dari 4

Takrif Solat

-Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa
perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam,
mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Kenapa perlu solat?
-"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari
(perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45)

Syarat Wajib Solat
-Islam, Baligh, Berakal

Syarat Sah Solat
1. Suci badan dari dua hadas.
2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
3. Menutup aurat.
4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
5. Yakin masuk waktu solat.

Perkara-perkara yang membatalkan solat:
1. Keluar/kedatangan hadas.
2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
3. Makan/minum walau sedikit.
4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
10. Meninggalkan rukun solat.

Waktu-waktu Solat Fardhu:
Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:
1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa
yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya
sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari
terbenam.
4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di
ufuk barat.
5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan
sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.

Perbuatan sunat sebelum solat:
1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk
memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
2. Iqamah.
3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.

Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:
1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
5. Ketika masuk matahari.

Rukun Solat
1. Niat.
2. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama).
3. Berdiri bagi yang mampu.
4. Membaca surah Al-fatihah.
5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
6. Iktidal dengan tama'ninah.
7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama'ninah.
9. Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
11. Selawat kepada Nabi Muhammad saw dalam Tasyahhud Akhir.
12. Membaca salam
13. Tertib.

Huraian rukun solat:
(i) Niat: niat dilafazkan di dalam hati. Lafaz yang disebut oleh mulut itu tidaklah
dipanggil sebagai niat. Niat solat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratul
ihram iaitu tatkala ia mengata Allahu-Akhbar. Umpamanya, untuk solat Zuhur, maka
seseorang itu akan bertakbiratul ihram dan lalu hatinya berkata: Sahaja aku solat
Fardhu Zuhur, empat rakaat, tunai, kerana Allah Taala

(ii) Takbiratul Ihram, iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat.
Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain.

(iii) Berdiri bagi orang yang berkuasa. Sekiranya berdiri tetapi condong ke hadapan,
ke belakang, ke kanan atau ke kiri hingga tidak dapat dinamakan sebagai berdiri maka
hukum solat itu tidak sah. Sekiranya tidak mampu berdiri maka bolehlah dilakukan
solat secara duduk, baring mengiring, menelentang atau secara mana yang termampu.
Untuk solat sunat dibolehkan sembahyang secara duduk, namun tidak digalakkan.

(iv) Membaca al-Fatihah: pada tiap-tiap rakaat dengan memelihara segala makhraj
dan tajwid fatihah. Rukun al-Fathihah tidak diwajibkan untuk makmum dalam solat
berjemaah.

(v) Rukuk, berserta tama'ninah. Sekurang-kurangnya rukuk ialah membongkokkan
belakangnya sampai dua tangan di atas dua kepala lutut, disertai dengan tama'ninah
iaitu berhenti sebentar sekadar lama bacaan Subhanallah, dan anggota-anggota berat
kemudian berhenti. Doa tasbih ketika rukuk ialah:"Maha suci Allah yang Maha
Agung dengan sifat kepujian-Nya."

(vi) Iktidal. Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk, berserta tama'ninah. Doa
tasbih ketika iktidal ialah: "Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya."

Kemudian disambung pula dengan bacaan: "Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji."

(vii) Sujud ialah meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi itu mestilah tidak
berlapik dengan sesuatu. Sekiranya terpaksa seperti dahi dibalut kerana luka dan
sebagainya, maka tidaklah wajib dibuka. Dahi yang berlapik dengan songkok dengan
sengaja tanpa sebab adalah tidak sah solatnya. Anggota sujud ada 7:
1. Dahi
2. Dua tapak tangan
3. Dua lutut
4. Dua perut jari kaki
Doa ketika sujud ialah:"Maha suci Allah yang Maha Mulia dengan sifat kepujian-
Nya"

(viii) Duduk di antara dua sujud dan tama'ninah. Mengangkat kepala dan badan untuk
duduk di antara dua sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Oleh itu, sekiranya
seseorang itu mengangkat dari sujud kerana tujuan lain, umpamanya mengelakkan
daripada binatang, maka hendaklah ia kembali sujud semula. Duduk antara dua sujud
merupakan rukun pendek maka tidak boleh dipanjangkan. Doa tasbih ketika sujud
ialah:

"Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku,
rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku."
(ix) Tahiyat/Tasyahud akhir. Membaca tahiyat akhir juga hendaklah dipelihara segala
bacaan di dalamnya. Bacaan tahiyat akhir adalah seperti berikut:

"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas
engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan
atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan
Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah."

(x) Duduk ketika tahiyyat akhir.

(xi) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sekurang-kurangnya; "Allahumma-solli
'ala Muhammad."

(xii) Salam pertama. Sekurang-kurangnya salam: "Assalamu'alaikum" bermaksud
"salam sejahtera ke atas kamu."

(xiii) Tertib. Tertib ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu dan
mengkemudiankan yang kemudian. Solat yang tertinggal ketertiban rukun-rukunnya
dikira tidak sah.

Solat Berjemaah
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara
beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Sabda Nabi SAW:

"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali
darjat" (HR Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang
makmum. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie
hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat
berjemaah hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu,
solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang
Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah.

Syarat-syarat sah solat berjemaah:
1. Berniat mengikut/menjadi imam.
2. Mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh imam.
3. Tiada dinding yang menghalangi antara imam dan makmum, kecuali bagi makmum
perempuan di masjid hendaklah dibataskan dengan kain.
4. Tidak mendahului imam dalam takbir dan tidak pula melambatkannya.
5. Tidaj mendahului imam dalam rukun-rukun sembahyang.
6. Kedudukan imam ialah di hadapan makmum, sekurang-kurangnya di takat tumit.
Makmum tidak boleh berada di hadapan atau sebaris dengan imam.
7. Solat makmum harus sama dengan solat imam, misalnya sama-sama solat Zuhur,
Jumaat, qasar, jamak dan sebagainya.
8. Makmum lelaki tidak mengikut imam perempuan.

Semasa berniat, seseorang itu perlu menambah perkataan makmuman (makmum
lelaki), makmumatan (makmum perempuan), imaman (imam lelaki) atau imamatan
(imam perempuan) selepas menyebut solat yang ingin dilakukan.

Antara syarat untuk menjadi imam:
1.Bacaannya lebih baik daripada bacaan makmum.
2.Seseorang itu bukan sedang mengikut atau menjadi makmum kepada imam lain.
3.Imam itu sudah mumaiyiz.

Terdapat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Imam ialah yang menanggung
pembacaan, apabila baik pembacaannya maka pahala untuk dirinya dan untuk mereka
(makmum) dan jika rosak pembacaannya maka dosanya ialah di atas dirinya sendiri,
dan bukan makmumnya.

Anda mungkin juga menyukai