Anda di halaman 1dari 6

PENGENALAN

Pada hari Selasa, 6 November 2012 yang lepas, saya telah merakamkan
pengajaran makro terhadap 18 orang murid-murid prasekolah. Saya telah memilih
Tunjang Sains dan Teknologi iaitu Awal Sains di bawah tajuk Kitaran Hidup Ayam.
Pengajaran makro telah dijalankan selama 30 minit. Saya bersyukur kerana telah
berjaya melaksanakan pengajaran tersebut dengan lancar. Terdapat banyak perkara
yang telah saya pelajari daripada pengajaran makro ini.
Pada pengajaran makro tersebut, saya telah memulakan set induksi dengan
pengenalan kepada tajuk iaitu Kitaran Hidup Ayam. Kemudian saya telah memberi
penerangan tentang kitaran hidup seekor ayam. Saya juga menjalankan aktiviti
nyanyian yang berkaitan dengan pembiakan ayam dan seterusnya membuat
penutup akademik dengan menguji kefahaman murid melalui lembaran kerja yang
diedarkan.
Saya telah membuat refleksi daripada pengajaran makro saya. Refleksi adalah
proses merenung, menganalisis, mencari alasan, cadangan dan tindakan untuk
membaiki diri yang dilakukan secara berterusan. (Hanipah, 1999) Melalui refleksi ini
saya dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan yang dikenalpasti semasa
menjalankan pengajaran makro. Saya boleh membuat penambahbaikan terhadap
pengajaran saya sama ada kelemahan adalah dari pihak saya atau pun anak murid
saya.

KEKUATAN

Sepanjang menjalankan pengajaran makro, saya dapati bahawa saya dapat
mengurus dan mengawal bilik darjah dengan tersusun dan berkesan. Pengurusan
bilik darjah merujuk kepada semua tindakan guru semasa mengendalikan kelas
supaya dapat mewujudkan suasana persekitaran yang tersusun untuk
menggalakkan pembelajaran yang berkesan ( Haliza & Joy, 2009). Dengan
membuat persediaan rapi sebelum memulakan pengajaran makro maka pengajaran
dan pembelajaran saya dapat dijalankan seperti yang dirancang dan tersusun.
Pelbagai teori, kaedah dan teknik telah saya aplikasikan semasa menjalankan
pengajaran makro tersebut. Pemilihan kaedah yang sesuai amat penting bagi
menarik minat murid dan memastikan murid-murid berada dalam keadaan terkawal
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya penggunaan kotak
rahsia dan puppet dalam sesi set induksi yang digabungkan dengan bahan maujud
iaitu telur ayam, telur itik dan telur burung dalam pengajaran saya dilihat dapat
meningkatkan motivasi dan memberi keseronokan kepada murid-murid. Murid-murid
begitu teruja untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.
Selain itu, saya juga berupaya mewujudkan komunikasi yang berkesan dan interaksi
dua hala yang baik dengan murid-murid. Dengan menggunakan suara yang kuat
dan jelas, saya mempu menyampaikan pengajaran dengan berkesan kerana murid-
murid dapat mendengar arahan tanpa gangguan dari murid-murid lain mahupun
murid-murid di luar kelas. Komunikasi yang berkesan dapat menghasilkan iklim
pembelajaran yang kondusif dan murid-murid akan lebih aktif dalam proses P&P
(Mok, 2008). Justeru itu, semasa menggunakan teknik penyoalan, saya
menggunakan aras bahasa yang bersesuaian dengan tahap kognitif dan
pengetahuan sedia ada murid-murid. Maka, jika kita lihat dalam pengajaran makro
tersebut penglibatan murid-murid sangat aktif. Semua murid dilihat berusaha untuk
menjawab setiap pertanyaan yang diajukan.
Penggunaan kad gambar juga amat penting kerana ianya dapat merangsang minat
murid untuk memberi tumpuan dalam pengajaran. Pembinaan kad-kad gambar juga
haruslah mengikut lunas-lunas tertentu seperti jelas, keharmonian warna,
kesesuaian saiz dan bentuk huruf. Seperti yang telah dinyatakan oleh J.S.Farrant
(1981 : 142-143), dalam membuat pilihan gambar-gambar, guru perlulah memberi
perhatian kepada ketepatan, kesesuaian, berseni, ringkas, terang, menarik, jelas
dan bersih. Saya menggunakan gambar-gambar yang menarik seperti gambar ayam,
telur, ayam betina, ayam jantan dan anak ayam agar murid-murid saya lebih jelas
dengan penerangan saya mengenai kitaran hidup ayam.
Peneguhan juga merupakan teknik mengajar yang agak penting yang boleh
mengubah perlakuan murid Saya telah menggunakan peneguhan dalam
pengajaran saya seperti memberikan kata pujian kepada murid yang dapat
menjawab soalan dengan betul. Saya menggunakan perkataan seperti bagus, baik,
serta pandai dan meminta semua murid memberi tepukan kepada rakan mereka
yang memberi jawapan dengan tepat yang diaplikasi dari teori pembelajaran
behavioris. Ini sebagai satu usaha untuk memotivasi murid-murid agar mereka terus
aktif dalam pembelajaran.
Penggunaan radio dan CD dalam pengajaran mampu menarik minat murid terutama
murid-murid di prasekolah. Saya telah meminta murid menyanyikan lagu Ayam
Bertelur. Saya dapati mereka begitu gembira sekali menyanyi dengan bimbingan
guru. Emosi mereka jelas tergambar, secara tidak langsung boleh merangsang
minat mereka bagi mengikuti pengajaran saya, membantu menenangkan fikiran
mereka dan memberi peluang mereka melakukan pergerakan. Di samping itu,
aktiviti nyanyian ini dapat menguji kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan
menulis. Selain itu, aktiviti nyanyian dapat mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas (Hawijah Ahmad dan Md. Safea Mohamad, 1992).
Bagi memperkukuhkan ingatan mereka terhadap kandungan isi pelajaran yang telah
diajar, saya menyediakan lembaran kerja yang bersesuaian dengan tajuk yang di
ajar (Rujuk lampiran). Penyediaan lembaran kerja juga merupakan aspek penting
yang harus dititik beratkan. Ianya haruslah bersesuaian dengan tahap kognitif murid-
murid. Untuk murid-murid prasekolah, gambar memainkan peranan yang penting
dalam penyediaan lembaran kerja. Saya telah meminta murid-murid menyusun
semula kitaran hidup ayam berdasarkan gambar yang diberi. Seterusnya murid
akan mewarnakan gambar-gambar tersebut. Saya juga telah menyediakan lembaran
kerja untuk pengayaan dan pemulihan (Rujuk lampiran) bagi mengukuhkan lagi
ingatan mereka.

KELEMAHAN

Setelah melihat semula proses pengajaran makro saya menerusi rakaman
video, baru saya sedar bahawa saya tidak menulis tajuk yang hendak saya ajar,
iaitu Kitaran Hidup Ayam. Saya hanya sekadar memberitahu mereka bahawa hari ini
kita akan belajar Kitaran Hidup Ayam. Tajuk merupakan elemen penting yang harus
kita nyatakan kepada murid-murid, agar mereka tahu apa yang mereka sedang
belajar ketika itu. Pada pandangan saya murid-murid mungkin boleh terpesong
tentang kefahaman mereka mengenai apa yang saya ajar, mungkin mereka
beranggapan saya hendak mengajar mengenai telur, kerana saya memperkenalkan
telur ayam, telur itik dan telur burung. Maka saya lihat di sini tajuk perlu ditulis di
papan putih, bukan sekadar dinyatakan begitu sahaja.
Terdapat satu kelemahan lagi yang saya rasa perlu diperbaiki dalam
pengajaran makro saya. Sewaktu saya mengedarkan telur-telur tersebut kepada
murid-murid untuk memberi peluang mereka meneroka dengan cara menyentuh dan
memerhati, saya dapati kebanyakkan mereka akan menghidu telur tersebut. Untuk
makluman, saya telah merebus telur-telur itu terlebih dahulu. Saya terfikir lebih elok
telur itu dikupas, dan murid-murid akan dapat melihat perbezaan di antara telur-telur
tersebut dan seterusnya mereka boleh merasa telur tersebut. Secara tidak langsung
saya menggunakan kesemua deria rasa mereka. Saya berpendapat pembelajaran
pasti akan lebih menyeronokkan dan meninggalkan impak yang mendalam kepada
murid-murid saya.
Setelah diamati rakaman semula video pengajaran makro saya, terdapat satu
lagi kelemahan saya iaitu penglibatan murid. Saya dapati ramai murid yang ingin
mengambil bahagian dalam aktiviti menyusun semula kitaran hidup ayam tersebut.
Ada murid yang tidak terpilih untuk membuat susunan tersebut yang kecewa kerana
gagal dipilih oleh saya. Jelas terdengar suara, Ala. Keadaan ini saya lihat boleh
mematikan keyakinan mereka untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Saya telah meminta beberapa orang guru untuk memberi komen terhadap
pengajaran makro saya. Ternyata kelemahan saya yang dikenalpasti mempunyai
persamaan dengan komen rakan-rakan saya. Selepas ini saya akan memastikan
bahawa tajuk mestilah ditulis terlebih dulu. Tanpa tajuk, bermacam-macam
tanggapan boleh dibuat oleh anak murid saya mengenai pengajaran saya pada hari
itu. Pada masa akan datang saya akan memastikan perkara ini diberi keutamaan
terlebih dahulu.
Mengenai penggunaan bahan maujud, saya fikir ianya telah lengkap
diaplikasikan sedemikian, namun saya dapati penggunaan telur sebagai rangsangan
pengajaran boleh dipelbagaikan lagi. Seharusnya saya mengupas telur-telur
tersebut, membelahnya dan menyuruh murid melihat perbezaan ketiga-tiga telur
tersebut dan akhir sekali saya boleh menyuruh murid merasa telur-telur tersebut dan
menyatakan perbezaan dari segi rasa pula. Pasti pengajaran saya akan lebih
menyeronokkan.
Berkenaan dengan penglibatan murid pula, saya dapati saya harus
memperbanyakkan aktiviti yang melibatkan murid. Mereka akan merasa sangat
bangga apabila terpilih untuk meyiapkan tugasan. Menjadi satu kepuasan bagi diri
mereka apabila dipilih oleh saya. Justeru itu terdapat keluhan-keluhan kecil segelintir
murid yang tidak terpilih untuk melakukan aktiviti. Pada masa akan datang saya
akan menyediakan aktiviti yang boleh melibatkan lebih ramai lagi murid.

PENUTUP

Keseluruhannya saya dapati pengajaran makro banyak membantu saya
mengenalpasti kekuatan dan kelemahan saya. Perancangan yang sempurna akan
dapat menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan
menyeronokkan. Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran akan lebih lancar
dan seterusnya mencapai objektif pengajaran yang ditetapkan dengan jayanya.
Saya juga bertambah yakin dengan pengajaran saya setelah melihat sendiri
pengajaran makro saya. Bahan Bantu Mengajar (BBM) juga dilhat sebagai unsur
penting bagi membantu pengajaran dan pembelajaraqn agar ianya lebih berkesan
dan menyeronokkan.
Saya sangat berpuas hati dengan pengajaran makro saya. Ternyata dengan
menonton semula rakaman video tersebut membuatkan saya lebih berkeyakinan
untuk meningkatkan teknik dan kaedah yang lebih berkesan agar murid-murid saya
mendapat kepuasan dalam pembelajaran. Saya juga dapat lihat penggunaan BBM
merupakan tarikan yang kuat kepada murid-murid terutama kanak-kanak di
prasekolah yang sememangnya mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.
Semoga pengajaran dan pembelajaran saya selepas ini akan lebih bermakna
kepada anak didik saya .

Anda mungkin juga menyukai