Anda di halaman 1dari 10

DASAR PENGURUSAN KESELAMATAN DAN

KESIHATAN PEKERJAAN
1.0 PENDAHULUAN
1.1 Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini diwujudkan bertujuan menyediakan garis panduan
dan peraturan yang perlu diikuti dalam menguruskan aktiviti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Utara
Malaysia. Ianya juga menerangkan tentang fungsi dan peranan yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Induk
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan juga Jawatankuasa Kecil Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di peringkat
PTJ.
1.2 Dasar ini adalah berlandaskan kepada peruntukan-peruntukan "Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan
1994 [AKTA 154]" terutamanya "Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa
Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan ) 1996 [P.U.(A) 616].
1.3 Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang pertelingkahan/keraguan berhubung dengan pelaksanaan dasar ini maka
"Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [AKTA 514]" adalah dirujuk dan diterima pakai oleh Universiti.
2.0 TAFSIRAN AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN 1994
2.1 Pernyataan yang dicatatkan sebagai "Seksyen" adalah merujuk kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan
Pekerjaan 1994 [AKTA 514] dan pernyataan yang dicatatkan sebagai "Peraturan" adalah merujuk kepada Peraturan-
Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan) 1996 [P.U.(A)
616], kecuali dinyatakan sebaliknya.
2.2 Petikan tafsiran Akta tersebut berhubung beberapa pengistilahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat
kerja;
Seksyen 3(1) : Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki makna yang lain;
"majikan" ertinya majikan langsung atau majikan utama kedua-duanya;
"majikan langsung" berhubung dengan pekerjaan yang diambil khidmat oleh atau melaluinya, ertinya
seseorang yang telah mengakujanji untuk melaksanakannya, di tempat kerja di mana majikan utama menjalankan
perdagangan, perniagaan, profesyen, vokasion, pekerjaan atau pencariannya di bawah pengawasan majikan utama atau
ejennya, kesemua atau mana-mana bahagian apa-apa kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja
perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau yang menjadi permulaan bagi kerja bagi yang dijalankan
dalam atau bersampingan dengan maksud mana-mana perdagangan, perniagaan, profesion, vokasion, pekerjaan atau
pencarian itu dan termasuklah seseorang yang olehnya perkhidmatan seseorang pekerja yang telah membuat kontrak
perkhidmatan denganya dipimjamkan atau disewakan untuk sementara kepada majikan utama.
"majikan utama" ertinya pemuya suatu industri atau orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat
kontrak perkhidmatan dan termasuklah;
a) Pengurus, ejen atau orang yang pertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang pekerja;
b) Penghuni sesuatu tempat kerja;
c) Wakil di sisi undang-undang pemuya atau penghuni yang telah meninggal dunia; dan
d) Mana-mana kerajaan di Malaysia, jabatan mana-mana kerajaan itu, pihak berkuasa tempatan atau badan
berkanun.
"pekerja" ertinya seseorang yang diambil kerja dengan diberi gaji dibawah kontrak perkhidmatan mengenai atau
yang berkaitan dengan kerja suatu industri yang baginya Akta ini terpakai dan;
a) Yang diambil kerja secara langsung oleh majikan utama mengenai apa-apa kerja industri itu, atau yang
bersampingan dengan atau sebagai permulaan bagi atau yang berkaitan dengan kerja industri itu, sama ada kerja itu
dilakukan oleh pekerja itu di tempat kerja atau di tempat lain;
b) Yang diambil kerja oleh atau melalui seseorang majikan langsung di tempat kerja industri itu atau di bawah
pengawasan majikan utama atau ejennya mengenai kerja yang biasanya menjadi sebahagian daripada kerja industri itu,
atau yang menjadi permulaan bagi kerja yang dijalankan dalam atau bersampingan dengan maksud industri itu; atau
c) Yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan sementara kepada majikan utama oleh orang dengannya
orang yang perkhidmatannya dipinjamkan atau disewakan itu telah memasuki kontrak perkhidmatan.
"tempat kerja" ertinya premis tempat orang-orang bekerja atau premis yang digunakan bagi penyimpanan loji atau
bahan.
3.0 STRUKTUR ORGANISASI JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
3.1 Berdasarkan Seksyen 30(1)(a) dan peraturan 20, struktur organisasi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan UUM adalah merangkumi Jawatankuasa Induk dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil.
a) Jawatankuasa Induk, iaitu Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU);
dan
b) Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil, iaitu;
i. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/Kolej/PTJ; dan
ii. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Dewan Penginapan Pelajar (DPP).
3.2 Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/Kolej/PTJ dan DPP adalah merupakan
Jawatankuasa Kecil kepada Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti.
3.3 Struktur Organisasi hubungan Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti dengan
Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil di peringkat Jabatan/Kolej/PTJ dan DPP adalah seperti di lampiran.
3.4 Secara keseluruhannya, semua Jabatan (Jabatan/Kolej/Pusat/Unit) di UUM adalah perlu membentuk
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) peringkat Jabatan/PTJ masing-masing sama ada
membentuk Jawatankuasanya yang tersendiri atau gabungan-gabungan dengan Jabatan/PTJ yang lain adalah
berdasarkan kepada peraturan-peraturan berikut;
a) Jabatan/PTJ yang mempunyai bilangan staf yang melebihi 40 orang hendaklah menubuhkan JKKPnya yang
tersendiri
b) Manakala Jabatan/PTJ yang mempunyai kurang daripada 40 orang staf hendaklah menubuhkan JKKPnya
yang digabungkan dengan beberapa jabatan/PTJ yang lain. Penggabungan tersebut adalah berdasarkan kepada 'core
business' yang hampir sama dan/atau menduduki sesebuah bangunan yang sama, bersambungan atau berhampiran, atau
c) Sebagaimana yang ditetapkan oleh JIKKPU
3.5 Jawatankuasa induk, iaitu Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU)
3.5.1 Bidang tugas dan fungsi Jawatankuasa
Mengikuti Seksyen 31 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang ditubuhkan di tempat kerja menurut Seksyen 30;
a) Hendaklah sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan
kesihatan orang-orang di tempat kerja;
b) Hendaklah menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja
i. Yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja ditempat kerja itu adalah
tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan ; dan
ii. Yang telah dibawa kepada perhatian majikan.
c) Hendaklah cuba menyelesaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (b) dan, jika ia tidak
berupaya berbuat demikian, maka hendaklah meminta Ketua Pengarah (Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan Malaysia) supaya menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja itu bagi maksud itu, dan
d) Hendaklah menjalankan apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan
Mengikut Peraturan 11 - Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa
Keselamatan dan Kesihatan) 1996
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan sesuatu tempat kerja hendaklah :
a) Membantu dalam pembuatan kaedah-kaedah keselamatan dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat;
b) Mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan;
c) Menjalankan kajian tentang 'trend' kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan
pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, dan hendaklah melaporkan kepada majikan apa-apa
keadaan atau amalan yang tidak selamat atau tidak sihat di tempat kerja bersama-sama dengan cadangan untuk tindakan
pembaikan; dan
d) Mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan membuat cadangan kepada
majikan bagi apa-apa penyemakan dasar itu.
Mengikut Peraturan 12(a)-Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa
Keselamatan dan Kesihatan) 1996 :
Sesuatu Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan hendaklah memeriksa tempat kerja
sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menentukan jika terdapat apa-apa yang memudaratkan keselamatan dan
kesihatan orang yang diambil kerja di dalamnya.
Lain-lain Fungsi dan Peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan adalah seperti yang
dinyatakan dan dijelaskan pada Peraturan-Peraturan 12-20 Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan dan
Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996
3.5.2 Keahlian dan Keanggotaan Jawatankuasa JIKKPU
a) Pengerusi : Pendaftar selaku majikan [Peraturan 6(1)]
b) Setiausaha : Penolong Pendaftar selaku Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti yang
diambil kerja [Peraturan 6(2)]
c) Ahli-ahli:
Berdasarkan Peraturan 5 (1), 5(2), ahli-ahli jawatankuasa yang lain hendaklah terdiri daripada wakil
majikan/pengurusan dan wakil pekerja-pekerja berikut;
Wakil-wakil Majikan atau Pengurusan
- Timbalan Pendaftar (Timbalan Pengerusi)
- Bendahari
- Ketua Pustakawan
- Pengarah Pusat Komputer
- Pengarah Penerbit
- Ketua Penolong Pendaftar UUM COB
- Ketua Penolong Pendaftar UUM CAS
- Ketua Penolong Pendaftar UUM COLGIS
Wakil-wakil Pekerja
- 1 anggota yang dicalonkan oleh PERSATU
- 1 anggota yang dicalonkan oleh PERPATI
- 1 anggota yang dicalonkan oleh KESKA
- 1 anggota yang dicalonkan oleh SETIA
Wakil-wakil Pelajar
- Pengarah HEP
- Presiden MPP
Jawatankuasa Teknikal
- 2 orang Pensyarah KKP
- Pengarah JPP
- Pengarah Keselamatan
- Pengarah PKU
- Pengerusi Pers. Bomba Sukarela UUM
3.6 Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil
3.6.1 Bidang tugas dan fungsi
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ)
a) Mengikut Peraturan 20, fungsi dan peranan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil adalah untuk membantu
Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (JIKKPU) memainkan peranan dan fungsinya
bagi memenuhi kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. Oleh yang demikian, berdasarkan Seksyen
31 - Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 dan Peraturan-Peraturan 11 dan 12 - Peraturan-Peraturan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan)1996, maka tugas-tugas dan Tanggungjawab
Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil tersebut adalah seperti berikut, bagi setiap Jabatan/PTJ masing-masing;
i. Mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan membuat cadangan kepada
majikan atau Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti bagi apa-apa penyemakan dasar itu;
ii. Sentiasa mengkaji semula langkah-langkah yang diambil untuk memastikan keselamatan dan kesihatan
orang-orang di tempat kerja;
iii. Membantu dalam pembuatan kaedah-kaedah selamat dan kesihatan dan sistem kerja yang selamat;
iv. Mengkaji semula keberkesanan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
v. Memeriksa tempat kerja sekurang-kurangnya tiga bulan sekali untuk menentukan jika terdapat apa-apa
yang memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang yang diambil kerja di dalamnya;
vi. Menyiasat apa-apa perkara di tempat kerja :
a) Yang dianggap oleh anggota jawatankuasa itu atau orang yang diambil kerja di tempat kerja di tempat
kerja itu adalah tidak selamat atau merupakan risiko kepada kesihatan; dan
b) Yang telah dibawa kepada perhatian majikan atau Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan Universiti.
vii. Menyeselaikan apa-apa perkara yang disebut dalam perenggan (vi) di atas dan, jika ia tidak berupaya
berbuat demikian, hendaklah meminta Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti supaya
menjalankan suatu pemeriksaan tempat kerja bagi maksud itu;
viii. Menjalankan kajian tentang 'trend' kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya, keracunan
pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja, dan hendaklah melaporkan kepada majikan atau
Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti apa-apa keadaan atau amalan yang tidak selamat
atau tidak sihat di tempat kerja bersama-sama dengan cadangan untuk tindakan pembaikan; dan
ix. Hendaklah mempunyai apa-apa fungsi lain yang boleh ditetapkan.
a) Setiap Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada sebarang peringkat boleh membentuk
Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil dibawahnya dari masa ke semasa bagi tujuan membantunya menjalankan fungsi-
fungsi dan peranannya masing-masing, jika perlu.
3.6.2 Keanggotaan dan Keahlian Jawatankuasa
Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ)
a) Pengerusi : Ketua Jabatan (Dekan/Pengarah/Ketua/Jabatan/Penyelaras/ Pengetua) atau yang setaraf
dengannya hendaklah mempengerusikan JKKPJ. Manakala bagi JKKPJ yang digabungkan, salah seorang daripada
Ketua Jabatan hendaklah dilantik dikalangan mereka bagi bagi mempengerusikan JKKPJ tersebut. Seboleh yang
mungkin, Ketua Jabatan yang dilantik bagi mempengerusikan JKKPJ tersebut hendaklah terdiri dari Jabatan yang
dominan.
b) Setiausaha : Penolong Pendaftar atau yang setaraf dengannya bagi sesebuah Jabatan hendaklah menjadi
Setiausaha JKKPJ tersebut. Bagi JKKPJ yang digabungkan, Pengerusi JKKPJ hendaklah memilih dan melantik mana-
mana Penolong Pendaftar atau yang setaraf dengannya bagi menjadi Setiausaha kepada JKKPJ tersebut. Manakala bagi
Jabatan yang tiada terdapat Penolong Pendaftar, maka Pengerusi JKKPJ berkuasa untuk memilih mana-mana kalangan
ahli JKKPJ bagi menjadi Setiausaha kalangan ahli JKKPJ bagi menjadi Setiausaha JKKPJ tersebut.
c) Ahli-ahli:
i. Berdasarkan Peraturan 5(1) dan 5(2), ahli-ahli Jawatankuasa yang lain hendaklah terdiri daripada berikut;
- Mana-mana Jabatan/PTJ yang terdapat 100 orang atau kurang yang diambil kerja di tempat kerja
hendaklah ada tidak kurang daripada dua (2) orang wakil pekerja am dua (2) orang wakil pengurusan, dan
- Mana-mana Jabatan/PTJ yang terdapat lebih daripada seratus orang yang diambil kerja di tempat kerja
hendaklah ada tidak kurang daripada empat (4) orang wakil pengurusan dan empat (4) wakil pekerja bagi
menganggoatai Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Jabatan/PTJ masing-masing.
ii. Keahlian Jawatankuasa peringkat Jabatan/PTJ hendaklah di dapatkan daripada PERSATU, PERPATI,
KESKA sebagai wakil-wakil pekerja dan jika wakil-wakil daripada PERSATU, PERPATI, KESKA di Jabatan/PTJ
masing-masing tidak diperolehi, maka ketua-ketua Jabatan/PTJ bolehlah mendapatkan wakil-wakil pekerja daripada
Jabatan/PTJ masing-masing.
iii. Bagi Jabatan/PTJ yang menggunakan sinaran magion (bahan radioaktif dan radas sinaran seperti mesin
sinar x dan seumpamanya) hendaklah juga melantik Penyelia Keselamatan Sinaran/Juru x-ray sebagai ahli
Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/PTJ masing-masing.
iv. Keahlian JKKPJ yang digabungkan hendaklah mengambilkira keahlian daripada semua Jabatan/PTJ
yang membentuk JKKPJ yang digabungkan tersebut.
4.0 LAIN-LAIN PERATURAN DAN PERIHAL PENGURUSAN JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN
KESIHATAN PEKERJAAN [JIKKPU & JKKPJ]
4.1 Petikan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan)
1996 bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa dan keanggotaannya.
Kekosongan Jawatankuasa
Peraturan 10 : sekiranya berlaku kekosongan di kalangan anggota-anggota suatu jawatankuasa keselamatan dan
kesihatan, kekosongan itu hendaklah diisi oleh seorang yang dilantik dengan cara yang sama sebagaimana anggota
jawatankuasa terdahulu yang perletakan jawatannya atau selainnya telah mewujudkan kekosongan itu
Penyingkiran Anggota Jawatankuasa
Peraturan 10 : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh menyingkirkan seseorang anggota dari
jawatankuasa jika;
a) Dia gagal menghadiri mesyuarat jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran pengerusi
b) Dia didapati atau diisytiharkan sebagai tidak sempurna akal
c) Dia menjadi bankrap
d) Sebagai wakil pekerja, dia tidak lagi bekerja di tempat kerja
e) Telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, sesuatu pertuduhan dengan:-
i. Kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak
ii. Kesalahan di bawah undang-undang yang berhubung dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
atau
iii. Apa-apa kesalahan jenayah yang lain; atau
f) Dia selainnya tidak dapat atau tidak berupaya untuk menunaikan kewajipannya sebagai anggota
jawatankuasa.
Kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa, notis dan agenda
Peraturan 21(1) : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah bermesyuarat seberapa
kerap yang perlu setara dengan risiko yang menyertai jenis kerja tetapi hendaklah bermesyuarat tidak kurang daripada
tiga bulan sekali
(2) Tiap-tiap anggota jawatankuasa hendaklah diberi notis bertulis yang menasabah mengenai apa-apa
mesyurat jawatankuasa beserta dengan suatu salinan agenda mesyuarat itu yang dilampirkan pada notis itu
(3) Walau apa pun subperaturan (2), suatu mesyuarat hendaklah dipanggil dengan seta merta jika berlaku
kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan badan yang serius kepada mana-mana orang,
kemalangan nyaris, kejadian berbahaya atau apa-apa situasi lain yang memerlukan perhatian seta-merta supaya dapat
dipastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat tempat.
Kuorum Mesyuarat
Peraturan 24 : Pada tiap-tiap mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan, pengerusi,
setiausaha dan tidak kurang daripada satu perdua baki anggota yang hadir hendaklah membentuk kuorum.
Bukan Anggota Boleh Menghadiri Mesyuarat
Peraturan 25(1) : Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh mempelawa mana-mana orang
yang terlibat dalam atau mempunyai pengetahuan tentang apa-apa kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian berbahaya,
keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja untuk menghadiri mana-mana mesyuarat
jawatankuasa itu yang membincangkan peristiwa itu
(2) Jawatankuasa boleh mempelawa mana-mana orang lain untuk menghadiri mana-mana mesyuaratnya
untuk membincangkannya apa-apa perkara yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan
Perkara Yang Hendak Dibincangkan Dalam Mesyuarat
Peraturan 26 : Hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan keselamatan kesihatan di tempat kerja boleh
dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan
Minit Mesyuarat
Peraturan 27(1) : Satu salinan minit tiap-tiap mesyuarat sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan
hendaklah diberikan kepada tiap-tiap anggota jawatankuasa dan majikan tempat kerja dalam masa dua minggu selepas
mesyuarat berlangsung;
(2) Majikan hendaklah menyimpan suatu salinan minit mesyuarat jawatankuasa di tempat kerja selama
tempoh minimum tujuh (7) tahun bagi maksud pemeriksaan oleh pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan;
(3) Seseorang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan boleh pada bila-bila masa mengkehendaki
supaya sesuatu salinan minit mesyuarat itu dikemukakan kepadanya dan majikan tempat kerja hendaklah dengan serta
merta mematuhi kehendak itu.
4.2 Petikan Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 berkaitan kewajipan am pekerja yang sedang
bekerja dan larangan diskriminasi ke atas pekerja dan anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan
penalti adalah seperti berikut :
Kewajipan Setiap Pekerja
Seksyen 24(1) : Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pekerja yang sedang bekerja;
a) untuk memberi perhatian yang munasabah bagi keselamatan dan kesihatan dirinya dan orang lain yang
mungkin terjejas oleh tindakan atau peninggalannya semasa bekerja;
b) untuk bekerjasama dengan majikannya atau mana-mana orang lain dalam menunaikan apa-apa kewajipan
atau kehendak yang dikenakan ke atas majikan atau orang lain itu melalui Akta ini mana-mana peraturan yang dibuat
dibawahnya;
c) untuk memakai atau menggunakan pada sepanjang masa apa-apa kelengkapan atau pakaian perlindungan
yang diadakan oleh majikan bagi maksud mencegah apa-apa risiko kepada keselamatan dan kesihatannya; dan
d) untuk mematuhi apa-apa arahan atau langkah tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang
diperkenalkan oleh majikannya atau mana-mana orang lain melalui atau dibawah Akta ini atau mana-mana peraturan
yang dibuat dibawahnya.
(2) Seseorang yang melanggar peruntukan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan,
boleh didenda tidak melebihi satu ribu (RM1,000.00) ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3)
bulan atau kedua-duanya.
Peraturan 25 : Seseorang yang dengan sengaja, melulu atau cuai mengganggu atau menyalahgunakan apa-apa
jua yang diadakan atau menyalahgunakan apa-apa jua yang diadakan atau dilakukan untuk kepentingan keselamatan,
kesihatan dan kebajikan menurut Akta ini adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda
tidak melebihi dua puluh ribu (RM20,000.00) ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun
atau kedua-duanya.
Diskriminasi Terhadap Pekerja Dan Anggota Jawatankuasa
Seksyen 27(1) : Tiada majikan boleh memecat seseorang pekerja, mencederakannya dalam pekerjaannya atau
mengubah kedudukannya sehingga memudaratkannya semata-mata oleh sebab pekerja itu;
a) Membuat sesuatu aduan mengenai perkara yang dianggapnya tidak selamat atau suatu risiko kepada
kesihatan;
b) Adalah anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan menurut Akta ini atau;
c) Menjalankan mana-mana fungsinya sebagai anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan itu.
Tiada Kesatuan Sekerja Yang Boleh Mengambil Tindakan Ke Atas Anggotanya
Seksyen 27 (2) : Tiada kesatuan sekerja boleh mengambil apa-apa tindakan keatas anggotanya yang, sebagai
seorang pekerja disesuatu tempat kerja;
a) Membuat suatu aduan mengenai perkara yang dianggapnya tidak selamat atau suatu risiko kepada
kesihatan;
b) Adalah anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan menurut Akta ini: atau;
c) Menjalankan mana-mana fungsinya sebagai anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan itu.
5.0 TARIKH KUATKUASA
Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya diluluskan oleh JPU Kali Ke-
174 Bil. 9/2011 pada 31 Julai 2011.
6.0 PEMAKAIAN
Dasar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini terpakai kepada semua Jabatan/Kolej/PTJ di
Universiti Utara Malaysia.\
7.0 PENUTUP
Adalah diharapkan dengan penubuhan Jawatankuasa Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti
(JIKKP) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan peringkat Jabatan/PTJ (JKKPJ) akan meningkatkan
tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Jabatan/PTJ masing-masing selaras dengan konsep pengaturan sendiri
(self regulation) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
8.0 RUJUKAN
i) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Anda mungkin juga menyukai