Anda di halaman 1dari 10

KAJIAN MENGENAI PUNCA KEMALANGAN DI TAPAK PEMBINAAN

DI ZON UTARA SEMENANJUNG MALAYSIA


Mohd Zahari bin Nordin
Jabatan Kejuruteraan Awam
Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah
06000 Jitra, Kedah, Malaysia
e-mail : m_zaharie@yahoo.com

ABSTRAK
Industri pembinaan merupakan salah satu industri yang sangat penting dan memberi impak
terhadap proses pembangunan di Malaysia. Statistik kemalangan dan kecederaan pekerja di
tapak pembinaan adalah tinggi setiap tahun berbanding dengan sektor-sektor lain. Pihak-pihak
yang terlibat dengan industri pembinaan sentiasa berusaha secara berterusan untuk
mengurangkan kemalangan dan kadar kematian yang tinggi di kalangan pekerja di tapak
pembinaan. Kemalangan-kemalangan di tapak pembinaan juga masih lagi menjadi isu yang
sering dilaporkan dalam media massa sehingga ke hari ini. Objektif kajian ini adalah untuk
mengenal pasti punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan.
Skop kajian ini hanya tertumpu pada negeri-negeri zon utara semenanjung Malaysia sahaja
merangkumi negeri Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang. Kajian ini dijalankan melalui kajian
literatur dan menggunakan borang soal selidik bagi mendapatkan hasil kajian yang tepat dan
menyeluruh. Sebanyak 28 syarikat kontraktor Kelas A di sekitar zon utara yang terlibat secara
aktif dalam perlaksanaan projek pembinaan dijadikan sebagai responden bagi mendapatkan
maklumbalas berhubung dengan aspek kajian yang dijalankan. Hasil kajian ini menunjukkan
bahawa punca-punca kemalangan yang dikenalpasti berlaku di tapak pembinaan akibat dari
kelemahan pihak pengurusan, kelemahan pihak pekerja dan keadaan tapak pembinaan itu
sendiri. Diharapkan supaya pihak yang terlibat dalam aspek keselamatan dan kesihatan di
tapak pembinaan dapat menggunapakai hasil kajian ini bagi meramal dan seterusnya membuat
perancangan dan peraturan yang lebih efisyen bagi mengurangkan risiko daripada terus
berlakunya kemalangan di tapak pembinaan yang merugikan banyak pihak terlibat.
Kata kunci : kemalangan, punca kemalangan, tapak pembinaan.

1.0

PENGENALAN

Industri pembinaan memainkan peranan penting dan konsisten di dalam pertumbuhan ekonomi
negara. Secara umumnya, peningkatan ekonomi negara dapat dilihat dari segi infrastruktur dan
ini menunjukkan perkaitan diantara industri pembinaan dan ekonomi negara dimana ia dilihat
sebagai salah satu industri utama di Malaysia. Dalam kesibukan dan keghairahan pelbagai
pihak yang ingin mengaut keuntungan dari sektor ini, terdapat beberapa aspek yang sering
diabaikan ketika pembinaan dijalankan, ini termasuklah isu keselamatan dan kesihatan pekerja.
Jumlah kes kemalangan di tapak pembinaan semakin membimbangkan dengan peningkatan
angka-angka kemalangan serta kematian yang melibatkan pekerja di tapak pembinaan.
Kesannya bukan sahaja dirasai oleh mangsa yang terdiri daripada golongan pekerja, malah
majikan di mana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk kos ekonomi serta tindakan undangundang yang membebankan kedua-dua pihak. Ini menyebabkan keyakinan dan kepercayaan

masyarakat terhadap industri pembinaan semakin terjejas dan secara tidak langsung boleh
membantutkan pertumbuhan ekonomi negara disamping mencemarkan nama baik negara.
Aspek keselamatan dan kesihatan pekerja perlu dititikberatkan dalam semua peringkat projek
dalam industri pembinaan kerana pekerja-pekerja yang terlibat merupakan sumber manusia
dan aset penting bagi negara. Justeru itu, pengetahuan dan kefahaman yang mendalam
tentang program keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah penting bagi mendidik bukan
sahaja pekerja tapak pembinaan, malah pihak majikan yang terlibat secara langsung dalam
aspek pengurusan di tapak pembinaan.
Bagi sesebuah organisasi pembinaan, aspek pengurusan keselamatan di tapak pembinaan
memang tidak dapat dipisahkan. Kewujudan infrastruktur moden dan bangunan pencakar langit
adalah hasil daripada pengurusan keselamatan yang cekap, berkualiti dan berkesan. Ini
merupakan salah satu intipati didalam perlaksanaan sesuatu projek dimana aspek keselamatan
menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak secara menyeluruh.
2.0

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti punca-punca yang menyebabkan berlakunya
kemalangan di tapak pembinaan.
3.0

SKOP KAJIAN

Kajian yang dijalankan adalah terhad kepada beberapa punca utama yang terlibat secara
langsung dalam perlaksanaan kerja-kerja pembinaan di tapak, antaranya ialah berpunca dari
pihak pengurusan, pihak pekerja dan keadaan di tapak pembinaan itu sendiri. Responden bagi
kajian ini juga terhad kepada syarikat-syarikat kontraktor Kelas A di sekitar negeri Perlis, Kedah
dan Pulau Pinang yang terlibat secara aktif dalam perlaksanaan projek-projek pembinaan.
4.0

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan dua pendekatan utama dalam mendapatkan maklumat yang
diperlukan. Dua pendekatan utama yang dimaksudkan ialah melalui kajian literatur dan
pengumpulan data melalui penggunaan borang soal selidik kepada pihak berkaitan.
Kajian literatur dilakukan melalui pengkajian dan pembacaan sumber-sumber yang diterbitkan
seperti artikel-artikel dalam akhbar, jurnal, tesis dan buku-buku ilmiah. Selain daripada itu,
internet juga dilayari bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan selain dari sumber-sumber
bacaan yang telah dinyatakan. Melalui kajian literatur, kefahaman tentang kajian ini bukan
sahaja dapat dipertingkatkan malahan ia memberi gambaran yang lebih jelas berhubung unsurunsur penting berkaitan kajian yang dijalankan.
Bagi memastikan data yang diperolehi melalui kajian ini adalah realistik dari sudut pandangan
pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam industri pembinaan, borang soal selidik
digunakan bagi mengumpul data primer. Sebanyak 28 set borang soal selidik diedarkan kepada
syarikat kontraktor Kelas A yang dipilih di sekitar negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang selari
dengan objektif dan skop kajian yang telah ditetapkan.

5.0

KAJIAN LITERATUR

Kemalangan menurut Laney (1982) merupakan keadaan atau situasi yang berlaku tanpa
kawalan yang mengakibatkan kecederaan dan kerosakan. Dalam industri pembinaan,
kemalangan mengakibatkan kecederaan, kematian, kerosakan jentera, bahan binaan dan
sebagainya yang berkaitan dengan industri ini. Peyton dan Rubio (1991), menyatakan
kebanyakan pakar mendefinisikan kemalangan sebagai kejadian yang tidak dapat diramal
menyebabkan kecederaan fizikal kepada manusia dan kerosakan harta benda. Ia juga boleh
dikatakan sebagai suatu kejadian yang boleh dan telah menyebabkan penurunan kecekapan
firma dan operasi perniagaan.
Kejadian kemalangan di dalam industri pembinaan juga sering dikaitkan dengan kecuaian
dalam perlaksanaan pekerjaan, pengabaian aspek keselamatan, pengabaian program
kesedaran dan latihan, tiadanya disiplin, kurangnya komunikasi serta lain-lain lagi gangguan
luar yang meningkatkan lagi faktor pengaruh terjadinya kes kemalangan yang semakin
meningkat.
Perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)
menunjukkan kadar kemalangan di tapak pembinaan adalah tertinggi berbanding di tempat
kerja lain dan mengatasi sektor perkilangan atau pengeluaran. (Wan Rashid Mohammad, 2009)

5.1

Punca - Punca Yang Menyebabkan Berlakunya Kemalangan Di Tapak Pembinaan

Kemalangan tidak akan berlaku sekiranya langkah-langkah keselamatan diambil perhatian yang
serius termasuk mengenal pasti masalah kepada punca berlakunya kemalangan di tapak
pembinaan. Terdapat pelbagai jenis punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan iaitu
berpunca daripada kontraktor, pekerja dan keadaan di tapak pembinaan. (Wan Rashid
Mohammad, 2009)

5.1.1

Kelemahan Pihak Pengurusan

Masalah kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan sebenarnya banyak dipengaruhi oleh
pengurusan kontraktor yang lemah. Pihak pengurusan atau majikan yang serba kekurangan
sama ada dari segi komitmen terhadap aspek keselamatan hinggalah kepada kemudahan yang
disediakan sebenarnya menyumbang kepada potensi berlaku kemalangan.
Menurut Akhmad Suraji (2001), beliau menggariskan tiga faktor yang menyebabkan
kemalangan disebabkan kelemahan pihak pengurusan. Antaranya ialah dari segi perancangan
pembinaan yang kurang efektif ataupun berkesan. Dalam aspek ini, pihak pengurusan telah
mengabaikan ketelitian terhadap beberapa perkara seperti perancangan kerja-kerja pembinaan,
penyiasatan tapak yang kurang sempurna, perancangan keselamatan yang kurang berkesan
dan persediaan latihan kepada pekerja yang tidak sempurna serta gagal mengenal pasti dan
menaksir risiko yang wujud.
Pihak pengurusan juga tidak menjalankan penyelidikan untuk mencegah kemalangan yang
berpotensi untuk berlaku bagi setiap aktiviti di tapak pembinaan. Mereka juga tidak menyimpan
rekod kemalangan dan tidak berusaha mencari penyelesaian agar kejadian kemalangan yang
sama tidak berulang. Selain itu, pihak pengurusan juga gagal menyediakan sistem keselamatan
asas yang baik di tapak pembinaan. Kegagalan mereka menyediakan polisi keselamatan,

papan tanda keselamatan dan menubuhkan jawatankuasa keselamatan seperti yang telah
disyorkan oleh pihak berkuasa mengakibatkan kemalangan amat mudah berlaku di tapak
pembinaan.
Seterusnya adalah pengawalan pembinaan yang kurang sempurna. Dalam perkara ini, pihak
pengurusan kurang mengawal beberapa perkara penting dengan berkesan termasuklah
kawalan bahan kimia berbahaya, kawalan operasi jentera dan loji, kawalan kemudahan
keselamatan dan peralatan perlindungan pekerja, pemerhatian oleh penyelia tapak terhadap
kerja-kerja operasi, kawalan terhadap sistem kerja dan lain-lain.
Walaupun telah dinyatakan dengan jelas peranan dan tanggungjawab pihak majikan dalam
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), namun masih ada diantara pihak
majikan yang memandang remeh hal menjaga keselamatan di tapak pembinaan disebabkan
kurang kesedaran. Pihak pengurusan yang tidak menyediakan peralatan keselamatan yang
mencukupi untuk para pekerja menyebabkan ada diantara pekerja yang tidak menggunakan
peralatan perlindungan ketika sedang bekerja. Begitu juga dengan pengawasan yang lemah
oleh pihak pengurusan menyebabkan pekerja tidak menggunakan peralatan tersebut.
Kelemahan ketika menjalankan operasi pembinaan juga boleh menyebabkan punca berlakunya
kemalangan di tapak pembinaan. Kelemahan ini adalah seperti menggunakan peralatan, loji
atau kenderaan yang terlalu lama atau sudah rosak yang berpotensi mendatangkan bahaya,
kelemahan dalam proses penyelenggaraan barangan dan struktur sementara, kelemahan
komunikasi serta penyelarasan. Masalah komunikasi juga mungkin disebabkan oleh masalah
bahasa di antara pekerja asing dan penyelia yang mengakibatkan salah faham dalam membuat
kerja.
Selain itu, kelemahan operasi pembinaan juga termasuk ketidaksesuaian jentera yang
digunakan, kekurangan papan tanda amaran berkaitan keselamatan di tapak dan masalah
pekerja baru yang tidak mendapat latihan atau kekurangan pengalaman bekerja. Pihak
pengurusan kurang memberi taklimat dan latihan secukupnya untuk pekerja dan terdapat pula
majikan yang memaksa pekerja bekerja lebih masa hingga adakalanya ke waktu malam
menyebabkan pekerja keletihan. Selain itu, persekitaran yang kurang jelas meningkatkan risiko
berlaku kemalangan ketika bekerja.

5.1.2

Kelemahan Pihak Pekerja

Kemalangan yang berpunca daripada pekerja terjadi apabila berlakunya kecuaian iaitu tingkah
laku pekerja yang berbahaya. Faktor peribadi setiap pekerja seperti kekurangan pengetahuan,
pengalaman, tiada kelayakan dalam bidang kerja yang dijalankan, daya penglihatan yang
terhad, mabuk atau pengambilan dadah turut menjadi punca berlakuunya kemalangan di tapak
pembinaan. Kemalangan tidak akan berlaku begitu sahaja, tetapi ia disebabkan oleh pelbagai
faktor. Kemalangan boleh berlaku apabila seseorang pekerja itu mempunyai tingkah laku yang
merbahayakan. Menurut Levitt (1987), sebanyak 87% kemalangan yang berlaku adalah
disebabkan oleh tingkah laku pekerja yang tidak selamat.
Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan pekerja tidak menggunakan alat perlindungan
keselamatan yang telah disediakan oleh majikan seperti topi keselamatan, kasut keselamatan,
tali pinggang keselamatan dan sebagainya yang perlu ada di tapak pembinaan. Mereka
menganggap peralatan tersebut sebagai perkara yang remeh dan menyukarkan pergerakan

mereka. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat pekerja yang tidak mematuhi arahan dan
peraturan yang telah ditetapkan. (Mohd Firdaus Mohamad, 2006)
Kekurangan disiplin ketika melakukan kerja merupakan antara faktor utama yang
mengakibatkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan. Sikap pekerja yang gagal
mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak majikan mereka seperti tidak menggunakan
peralatan keselamatan yang telah disediakan mengundang bahaya. Menurut A. Roy Duff
(2001), beliau menerangkan faktor kelemahan tindakan operasi merupakan antara sebab yang
boleh mewujudkan kemalangan. Antaranya ialah gagal mematuhi arahan samada disebabkan
sikap atau salah faham tentang arahan tersebut, menggunakan peralatan dan mesin dengan
cara yang salah, tidak menggunakan peralatan perlindungan pekerja atau peralatan tersebut
tidak mencukupi selain bekerja di bawah pengaruh dadah dan alkohol. Ini ditambah pula
dengan faktor seperti kekurangan pengawasan oleh penyelia tapak yang bertanggungjawab
untuk memastikan pekerja mematuhi peraturan meningkatkan risiko berlaku kemalangan di
tapak pembinaan.
Selain itu, tahap kesedaran terhadap bahaya kerja yang rendah oleh para pekerja juga menjadi
salah satu punca yang mengakibatkan kemalangan. Sesetengah pekerja tidak menjalankan
kerja dengan serius atau bergurau senda ketika sedang bekerja tanpa mengetahui alatan yang
digunakannya boleh mendatangkan kecederaan seperti alat penggetar konkrit (vibrator) dan
juga alat pembersih tekanan angin (compressed air tool). Kenyataan ini disokong oleh kajian A.
Roy Duff yang juga menyatakan salah satu faktor yang mempengaruhi kemalangan di tapak
pembinaan adalah kecuaian atau sikap pekerja yang kurang berhati-hati membuat kerja selain
gurauan pekerja secara kasar (horseplay) ketika sedang menggunakan peralatan yang
berpotensi untuk mewujudkan kemalangan.
Sebilangan besar pekerja di negara ini tidak mengamalkan kelakuan yang baik semasa bekerja.
Hal ini boleh mengundang padah dan menyebabkan kemalangan sering berlaku di tapak
pembinaan. Menurut Amarjit Singh (1999), kemalangan itu juga berlaku disebabkan oleh unsafe
act dan unsafe condition. Unsafe act ataupun perbuatan yang tidak selamat merujuk kepada
semua peraturan keselamatan dan prosedur yang tidak mengikut peraturan. Manakala bagi
unsafe condition pula, ianya merujuk kepada satu situasi yang tidak langsung disebabkan oleh
tindakan yang diambil atau tidak diambil oleh seorang pekerja atau ramai pekerja di mana ianya
boleh membawa kepada insiden atau kecederaan jika tidak diperbaiki atau dibetulkan. Unsafe
condition juga kebiasaannya berada di luar kawalan pekerja.

5.1.3

Keadaan Tapak Pembinaan

Keadaan di tapak pembinaan juga turut menjadi penyumbang kepada punca-punca berlakunya
kemalangan di tapak pembinaan. Kecenderungan berlakunya kemalangan adalah disebabkan
oleh kawasan persekitaran tempat kerja yang merbahaya. Keadaan tempat kerja yang
merbahaya memungkinkan sebarang kemalangan akan berlaku. Keadaan ini berlaku apabila
susunan mesin atau perkakasan yang merbahaya dalam kedudukan yang salah seperti
berselerakan. Contohnya dalam melaksanakan kerja pendawaian, terdapat banyak lebihan
wayar dibiarkan bersepah di merata-rata tempat boleh menjadi punca pekerja yang terlibat
terjatuh dan tercedera.
Mengikut kajian Stephen J. Pickett (2001), masalah keadaan tapak pembinaan yang tidak
sempurna menyumbang 6% dalam mewujudkan kemalangan berlaku. Masalah ini merupakan
masalah persekitaran fizikal yang tidak sesuai apabila operasi pembinaan dijalankan. Masalah

keadaan tapak pembinaan yang tidak sempurna akan meninggalkan kesan terhadap operasi
pembinaan tersebut dan meningkatkan risiko kejadian yang tidak diingini secara langsung
(undesired event).
Stephen J. Pickett (2001) juga mentafsirkan keadaan yang tidak sempurna ini melalui lima
perkara iaitu keadaan persekitaran tapak pembinaan yang berselerak, terlalu penuh dengan
bahan-bahan dan loji serta tahap kebisingan yang tidak dapat diterima. Selain itu, ruang tempat
kerja yang terhad dan topografi tapak yang tidak rata juga mempengaruhi kemalangan. Beliau
juga memasukkan pengaruh iklim dan cuaca yang kurang sesuai di tapak pembinaan sebagai
salah satu faktor. Keadaan tapak pembinaan yang tidak terurus adalah berkaitan dengan
proses penstoran dan penyimpanan yang lemah. Kegagalan menguruskan tapak pembinaan
dengan baik akan meningkatkan risiko kemalangan disebabkan pembuangan barang secara
merata-rata sehingga boleh mendatangkan kecederaan.
Tahap pengurusan loji yang rendah ini menyebabkan barang-barang serta peralatan tidak
ditempatkan dengan baik dan ini merunsingkan serta mengganggu pekerja untuk bekerja
dengan baik. Selain itu, proses penstoran, pengurusan loji dan penyimpanan barangan yang
tidak teratur juga meningkatkan bahan buangan (wastage) sekaligus menyebabkan berlakunya
pembaziran.

6.0

ANALISA DATA

Analisa yang dijalankan adalah berdasarkan data yang diperolehi melalui borang soal selidik
yang telah dikembalikan oleh responden seperti yang telah dinyatakan. Hasil dari analisa yang
dijalankan melalui kajian ini bagi mengenalpasti punca-punca berlakunya kemalangan di tapak
pembinaan adalah seperti berikut :

6.1

Kelemahan Pihak Pengurusan

Kelemahan pihak pengurusan yang menjadi punca berlakunya kemalangan di tapak pembinaan
adalah disebabkan oleh :
6.1.1

Perancangan pembinaan yang kurang efektif

Jadual 1 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh perancangan yang


kurang efektif
Item
a
b
c
d

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Penyiasatan tapak yang kurang sempurna
Perancangan keselamatan yang kurang berkesan
Penyediaan latihan kepada pekerja yang lemah
Gagal mengenalpasti dan mentaksir risiko yang wujud
Jumlah Keseluruhan

Skor
71
67
58
51
247

Peratus
28.74 %
27.13 %
23.48 %
20.65 %
100.00 %

6.1.2

Pengawalan pembinaan yang kurang sempurna

Jadual 2 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh pengawalan


pembinaan yang kurang sempurna
Item
a
b
c
d

6.1.3

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Kurang pemerhatian oleh penyelia tapak
Kurang kawalan penggunaan peralatan perlindungan
pekerja
Kurang kawalan operasi jentera dan loji
Kurang kawalan bahan kimia berbahaya
Jumlah Keseluruhan

Skor
49
46

Peratus
28.32 %
26.59 %

41
37
173

23.69 %
21.39 %
100.00 %

Kelemahan ketika menjalankan operasi pembinaan

Jadual 3 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh kelemahan ketika


menjalankan operasi pembinaan
Item
a
b
c
d
e

6.2

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Pengambilan pekerja baru yang tidak mendapat latihan
Pengambilan pekerja yang kurang berpengalaman
Kelemahan dalam proses penyelenggaraan peralatan
Penggunaan peralatan atau jentera yang terlalu lama
Ketidaksesuaian penggunaan peralatan atau jentera
Jumlah Keseluruhan

Skor
71
67
40
35
30
243

Peratus
29.22 %
27.57 %
16.46 %
14.40 %
12.35 %
100.00 %

Kelemahan Pihak Pekerja

Kelemahan pihak pekerja yang menjadi punca berlakunya kemalangan di tapak pembinaan
adalah disebabkan oleh :

6.2.1

Kekurangan disiplin ketika melakukan kerja

Jadual 4 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh kekurangan disiplin


ketika melakukan kerja
Item
a
b
c
d

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Tidak menggunakan peralatan perlindungan pekerja
Gagal mematuhi arahan keselamatan
Menggunakan peralatan dan jentera dengan cara yang
salah
Di bawah pengaruh dadah dan alkohol
Jumlah Keseluruhan

Skor
77
74
71

Peratus
32.22 %
30.96 %
29.71 %

17
239

7.11 %
100.00 %

6.2.2

Tahap kesedaran terhadap bahaya kerja yang rendah

Jadual 5 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh tahap kesedaran


terhadap bahaya kerja yang rendah
Item
a
b

6.3

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Tidak menjalankan kerja dengan serius
Tidak mengamalkan kelakuan yang baik semasa
bekerja
Jumlah Keseluruhan

Skor
69
62

Peratus
52.67 %
47.33 %

131

100.00 %

Keadaan Tapak Pembinaan

Keadaan tapak pembinaan yang menjadi punca berlakunya kemalangan di tapak pembinaan
adalah seperti yang disenaraikan dalam Jadual 6 di bawah.
Jadual 6 : Punca-punca kemalangan di tapak pembinaan disebabkan oleh keadaan tapak
pembinaan
Item
a
b
c
d
e
f
g

Punca-punca Kemalangan Di Tapak Pembinaan


Keadaan persekitaran tapak pembinaan yang
berselerak
Pengaruh iklim dan cuaca yang kurang sesuai
Topografi tapak yang tidak rata
Ruang tempat kerja yang terhad
Kekurangan papan tanda amaran berkaitan
keselamatan
Tapak pembinaan terlalu penuh dengan bahan-bahan
dan loji
Tahap kebisingan yang terlalu tinggi
Jumlah Keseluruhan

7.0

KESIMPULAN DAN CADANGAN

7.1

Kesimpulan

Skor
77

Peratus
18.12 %

68
65
60
59

16.00 %
15.30 %
14.12 %
13.88 %

48

11.29 %

48
425

11.29 %
100.00 %

Pelbagai jenis kemalangan boleh berlaku di tapak pembinaan dan terdapat pelbagai punca
yang telah dikenalpasti menjadi penyebab kepada kemalangan yang berlaku. Hasil daripada
kajian yang dijalankan, kelemahan pihak pekerja dikenalpasti menjadi penyebab utama kepada
berlakunya kemalangan di tapak pembinaan. Kekurangan disiplin ketika melakukan kerja
seperti tidak menggunakan peralatan perlindungan pekerja, gagal mematuhi arahan
keselamatan dan menggunakan peralatan dan jentera dengan cara yang salah menjadi punca
berlakunya kemalangan disebabkan oleh perkerja sendiri di samping adanya tahap kesedaran
terhadap bahaya kerja yang rendah dikalangan pekerja.

Kelemahan pihak pengurusan juga dikenalpasti menjadi penyebab berlakunya kemalangan di


tapak pembinaan. Antara punca kemalangan disebabkan oleh kelemahan pihak pengurusan
adalah kerana perancangan pembinaan yang disediakan adalah kurang efektif khususnya
dalam membuat penyiasatan tapak yang sempurna, penyediaan perancangan keselamatan
yang kurang berkesan serta penyediaan latihan kepada pekerja yang lemah. Selain daripada
itu, kelemahan pihak pengurusan ketika menjalankan operasi pembinaan di tapak juga menjadi
penyebab kepada berlakunya kemalangan di tapak pembinaan di mana ianya berpunca
daripada pengambilan pekerja baru yang tidak mendapat latihan yang mencukupi, pengambilan
pekerja yang kurang berpengalaman dan kelemahan dalam proses penyelenggaraan peralatan
yang digunakan. Pengawalan pembinaan yang kurang sempurna turut menjadi penyebab
berlakunya kemalangan di tapak pembinaan dimana puncanya adalah disebabkan oleh
kurangnya pemerhatian serta kawalan oleh pihak penyelia tapak, kurangnya kawalan keatas
penggunaan peralatan perlindungan pekerja dan kurangnya kawalan keatas operasi jentera dan
loji.
Keadaan tapak pembinaan turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan di tapak
pembinaan. Punca utama kemalangan di tapak pembinaan yang disebabkan oleh keadaan
tapak pembinaan adalah disebabkan keadaan persekitaran tapak pembinaan yang berselerak,
pengaruh iklim dan cuaca yang kurang sesuai serta keadaan topografi tapak yang tidak rata.
Ruang tempat kerja yang terhad, kekurangan papan tanda amaran berkaitan keselamatan serta
tapak pembinaan yang terlalu penuh dengan bahan-bahan binaan dan loji turut dikenalpasti
menjadi punca kepada berlakunya kemalangan di tapak pembinaan.

7.2

Cadangan

Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam penguatkuasaan berkaitan aspek keselamatan dan
kesihatan pekerjaan perlu memperbanyakkan kempen keselamatan kepada pihak yang terlibat
dalam industri pembinaan. Selain daripada itu, pihak kontraktor juga dicadangkan perlu
menghadiri kursus khas yang berkaitan aspek perundangan keselamatan dan kesihatan
khususnya dalam membolehkan mereka meramal dan mengenalpasti punca-punca yang boleh
menyebabkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan.
Pihak pengurusan perlu mendapatkan input daripada para pekerja yang terlibat secara
langsung di tapak kerana mereka mengetahui sejauh mana tingkat bahaya yang dihadapi oleh
mereka semasa melakukan apa-apa kerja di tapak pembinaan. Semua pekerja daripada
pelbagai peringkat pekerjaan perlu dilibatkan dalam membuat polisi keselamatan dan kesihatan
pekerjaan. Justeru itu, perundingan, kerjasama serta penglibatan pekerja dan majikan
hendaklah digalakkan demi meningkatkan usaha menambah baik tahap keselamatan dan
kesihatan di tapak pembinaan.
Melalui hasil kajian yang dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca berlakunya kemalangan
di tapak pembinaan khususnya di Zon Utara Semenanjung Malaysia ini, dicadangkan semua
pihak yang terlibat dapat menggunakannya bagi meramal punca-punca yang boleh
menyebabkan berlakunya kemalangan dalam perlaksanaan projek pembinaan di tapak dan
seterusnya dapat membuat perancangan yang lebih efektif dan menyeluruh bagi mengelakkan
daripada jenis kemalangan yang sama terus berlaku.

RUJUKAN
Akhmad Suraji, A. Roy Duff, and Stephen J Peckitt. (2001). Development of Causal Model of
Construction Accident Causation. Journal of Construction Engineering and Management.
Amarjit Singh. (1999). Implementation of Safety and Health on Construction Sites. Taylor &
Francis.
Hinze, J.W. (1997). Construction Safety Upper Sadle River, N. J. : Prentice Hall.
Hughes Phil. (2007). Introduction to Health and Safety in Construction. 2nd ed. UK.
Ismail Bahari. (2006). Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Mc Graw Hill
(Malaysia) Sdn. Bhd.
Jc Laney. (1982). Site Safety. Longman Group United Kingdom.
Levitt, R. E. (1987). Construction Safety Management. 1st ed. United States of America.
Liska, R. W. And S.E. Goodle. (1993). Zero Accident Technique : A Report to the Construction
Industry Institute. Source Document 86. Austin TX : University of Texas.
M. Z. Abdul Majid and Ronald Mc Caffer. (1997). Discussion of Assessment of Work
Performance of Maintainance Contractors in Saudi Arabia. Journal of Management in
Engineering, ASCE, Vol. 13, No. 5, 1997.
Mardhiah binti Kamarudin. (2002). Tinjauan Terhadap Tahap Kesedaran Keselamatan Pekerja
Binaan dan Kontraktor Menurut Persepsi Pelajar Semester V dan VI Diploma Kejuruteraan
Awam Politeknik Ungku Omar. Universiti Teknologi Tun Hussein Onn, Tesis.
Mohd Asrul Raffiin. (2005). Kajian Pematuhan Peraturan Keselamatan Di Syarikat Terpilih.
Universiti Teknologi Malaysia, Tesis.
Mohd Firdaus Mohamad. (2006). Punca-punca Kemalangan Di Tapak Bina. Universiti
Teknologi Malaysia, Tesis.
Mohd Mujahid Mohd. (2005). Anggaran Kadar Kos yang Diperuntukan Dalam Program
Keselamatan. Universiti Teknologi Malaysia, Tesis.
OHSAS 18002. (1999). Occupational Health and Safety Management Systems Specification.
Occupational Health and Safety Assessment Series.
Peyton & Rubio. (1991). Construction Safety Practices and Principles. Van Nostrand Reinhole
(New York).

Anda mungkin juga menyukai