Anda di halaman 1dari 4

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Program Intervensi Kesedaran dan Kepimpinan Orang Asli ini telah berlangsung selama tiga
hari dua malam bermula dari 16, 17 sehingga 18 Mei 2014 dan bertempat di Lurah Bilut, Raub,
Pahang dengan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) . Dianggarkan seramai 200 orang daripada
perkampungan Orang Asli tersebut telah menyertai Program Intervensi ini yang terdiri daripada
penduduk kampong tersebut.
Selaku Pengarah Projek Festival Kembara Iman II , saya, Nor Asnini binti Kamaruddin telah
melantik sejumlah 23 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk lima orang Majlis Tertinggi (MT) di
bawah saya iaitu Muhammad Faisal bin Zulkifli, Fatimah Hannah binti Abd Wahab, Asma binti Abd
Hamid, Wan Azreen bin Wan Zaid dan Ummi Amyra Natasha binti Azhar. Laporan ini ditulis
berdasarkan aktiviti yang berlaku sepanjang program di jalankan iaitu pada 16, 17 dan 18 Mei 2014.

16 Mei 2014
Urusetia bertolak ke perkampungan Orang Asli di Lurah Bilut, Pahang pada pukul 3.30
petang dan sampai di sana dalam anggaran pukul 6.15 petang. Pada hari ini belum lagi berlangsung
aktiviti untuk Program Intervensi melainkan untuk melihat lokasi dewan, memunggah barang-barang
aktiviti dan membersihkan diri di tempat penginapan.
Pada jam 8.00 malam, semua urusetia turun ke dewan untuk makan malam. Sebelum pulang
berehat, semua AJK diminta untuk berkumpul dan diberi taklimat ringkas oleh ketua projek dan ketua
pengarah program berkenaan dengan perjalanan program pada keesokan harinya. Setelah selesai,
semua urusetia pulang berehat.

17 Mei 2014
Pada jam 8.00 pagi, semua urusetia yang akan bertugas menikmati sarapan yang telah
disediakan sebelum tugas-tugas program bermula. Program pada hari ini dimulakan dengan Majlis
Perasmian Program Intervensi Kesedaran dan Kepimpinan Orang Asli oleh Prof. Dr. Rohimi pada jam
10.30 pagi. Seterusnya, pada jam 11.00 pagi, diadakan jualan dan penyampaian sumbangan daripada
insan-insan prihatin serta minum pagi bagi penduduk Orang Asli yang hadir dan juga untuk urusetia.
Pada jam 11.30 pagi, slot 1 berlangsung yang diberikan oleh Puan Asma, wakil daripada
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memberikan pengetahuan mengenai hak-hak yang

sepatutnya diperoleh oleh Orang Asli. Beliau menerangkan tentang pentingnya pendidikan terhadap
kanak-kanak dan juga mengenai peluang pekerjaan. Dalam masa yang sama, terdapat booth dibuka
untuk pertanyaan mengenai pekerjaan yang kosong atau yang hendak diceburi oleh mereka yang
berminat.
Seterusnya, penduduk Orang Asli yang hadir dijemput menjamu makan tengah hari pada
pukul 12.40 tengah hari. Setelah itu urusetia juga menikmati juadah tengah hari. Urusetia Program
Intervensi Kesedaran dan Kepimpinan Orang Asli seterusnya menunaikan solat Zuhur di surau
berdekatan
Pada jam satu petang, hujan turun dengan lebatnya menyebabkan kami menangguhkan
aktiviti yang dijadualkan pada pukul 2 petang kepada 3 petang, supaya peserta orang asli di kawasan
tersebut dapat datang setelah hujan beransur. Slot 2 ini merupakan slot perkongsian Ikon Orang Asli
yang telah berjaya menuntut ilmu sehingga ke menara gading, untuk menyuntik semangat remaja dan
kanak-kanak orang asli untuk menyambung pelajaran juga mendedahkan bahawa ilmu itu dapat
mengubah nasib mereka. Empat orang daripada ikon tersebut merupakan pelajar yang sedang
menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia manakala seorang lagi merupakan

Penolong Pengarah di Sektor Bahasa & Kesusasteraan, Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu
Encik Johari.
Slot 3 merupakan aktiviti permainan atau sukaneka untuk kanak-kanak Orang Asli pada pukul
4.00 petang. Mereka dibahagikan kepada lapan kumpulan, di mana satu kumpulan mempunyai lapan
orang peserta. Setiap kumpulan diberikan sebuah kotak yang di dalamnya mempunyai dua keping
kertas A4 keras berwarna putih, sebiji gunting, dua biji double tape. Mereka dikehendaki mencipta
sesuatu daripada semua bahan yang diberikan. Setiap kumpulan mempunyai dua orang fasilitator yang
memantau. Melalui kreativiti mereka, ada yang mencipta rumah, kereta, roket dan sebagainya.
Selepas siap dalam masa yang telah diberikan iaitu 20 minit, wakil kumpulan atau ketua kumpulan
dikehendaki untuk membentangkan hasil rekaan mereka. Kumpulan dengan ciptaan paling kreatif
akan dinobatkan sebagai pemenang. Seterusnya, minum petang disediakan untuk penduduk dan juga
urusetia.
Slot 4 merupakan explorace, kanak-kanak orang asli dibahagikan kepada 4 kumpulan dan
dibimbing oleh dua orang urusetia untuk setiap kumpulan. Terdapat empat check point yang juga
dijaga oleh dua orang urusetia, iaitu aktiviti pecah belon, kerusi muzik, bola beracun dan futsal.
Setelah eksplorasi berakhir, semua urusetia atau fasi berkumpul di padang bersama dengan orangorang kampung yang terdiri daripada orang tua, muda, remaja dan kanak-kanak untuk bermain
pertandingan persahabatan, tarik tali.

Pada pukul 6.45 petang, semua urusetia dan peserta-peserta orang asli berkumpul di dewan
untuk penyampaian hadiah. Pada waktu malam tiada aktiviti, urusetia dibenarkan balik ke penginapan
di surau dan sebahagiannya di dewan untuk membersihkan diri dan makan malam.

18 Mei 2014

Kami turun untuk aktiviti gotong-royong membersihkan surau dan kawasan dewan pada
pukul 8.00 pagi. Setelah itu, kami bersarapan dan urusetia yang bertugas iaitu jawatankuasa jamuan
membahagikan makanan kepada kanak-kanak orang asli yang hadir dan menjemput ibu bapa mereka
untuk bersarapan.

Selepas sarapan, satu acara cabutan bertuah diadakan untuk kanak-kanak yang hadir pada
majlis penutup. Hadiah disumbangkan oleh Dr. Rohimi iaitu buku mewarna dan pensil warna. Slot
tersebut memeriahkan lagi majlis penutup yang diadakan selepas itu.

Slot terakhir merupakan majlis penutup untuk Program Intervensi Kesedaran dan Kepimpinan
Orang Asli, yang dirasmikan oleh Dr. Rohimi merupakan pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM
pada pukul 10.00 pagi.

Akhir sekali, kami bertolak pulang ke UKM pada pukul 11.30 pagi dengan diiringi oleh
penduduk orang asli terutamanya kanak-kanak yang bersalam dan mengucapkan terima kasih.
InsyaAllah jika diberi peluang lagi, Program Intervensi Kesedaran dan Kepimpinan Orang Asli II
bakal menyusul .

Sekian, terima kasih.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN UNTUK PROGRAM INTERVENSI KESEDARAN DAN


KEPIMPINAN ORANG ASLI

1) Susunan aktiviti-aktiviti melibatkan orang asli lebih teratur


2) Tempat penginapan yang lebih kondusif yang selesa dan selamat.
3) Mengadakan pembentangan berbentuk animasi atau LCD agar lebih menarik perhatian
mereka.
4) Slot-slot yang lebih menarik dan tidak terlalu general sukar untuk mereka fahami.
5) Mengadakan pertandingan mewarna kerana kanak-kanak orang asli mencadangkannya

Anda mungkin juga menyukai