Anda di halaman 1dari 6

7 Kriteria Unggul Pekerja Idaman Majikan

April 18, 2014 Penulis: Tim Majalah Niaga


Kategori: Konvensional / Perniagaan
Jika memori para pembaca masih segar dengan artikel minggu lepas, penulis Majalah Niaga
berkongsi artikel mengenai 8 Sikap Majikan yang Menjadi Bahan Gosip Pekerja. Minggu ini,
kita lihat pula kriteria pekerja yang menjadi keutamaan para majikan dalam mengambil pekerja.
Tiap-tiap majikan mempunyai pengalaman tersendiri dengan pekerja mereka, sama ada yang
baik atau buruk . Berdasarkan pengalaman lalu, majikan yang mengambil pekerja sentiasa
mempunyai idea segar dalam menetapkan ciri-ciri pekerja yang layak di ambil bekerja di
organisasinya.
Walau bagaimanapun, setiap majikan berbeza cita rasa dan pandangan dalam menilai pekerja.
Majoriti majikan melihat latar belakang pendidikan, pengalaman serta kemahiran yang ada pada
pekerja tersebut.

Namun, dunia semakin berubah. Zaman teknologi memungkinkan sebahagian pemegang ijazah
memiliki sifat dinamik serta berkebolehan secara holistik. Boleh jadi juga ada pemegang ijazah

yang hanya boleh berkata-kata apabila ada buku atau manual pekerja (SoP) di tangan mereka.
Berdasarkan kajian The National Association of Colleges and Employers (NACE), di sebalik
kepesatan pembangunan dan kemahiran penggunaan teknologi dan perisian, majikan lebih
mementingkan karakter pekerja itu sendiri seperti kebolehan membuat keputusan, bekerja dalam
kumpulan, kemahiran komunikasi dan membuat perancangan.
Jadi, kriteria yang bagaimanakah yang menjadi idaman para majikan dalam mengambil
seseorang bekerja? Berikut merupakan tujuh kriteria yang dicari majikan dalam diri para pencari
kerja.

1. Kualiti Pertama Yang Majikan Cari Ialah Kecerdasan


Dalam setiap kajian, didapati bahawa 76 peratus daripada produktiviti dan sumbangan pekerja
akan ditentukan oleh tahap kecerdasannya. Kecerdasan dalam konteks ini bermaksud keupayaan
untuk merancang, menganjur, menetapkan keutamaan, menyelesaikan masalah dan untuk
menyelesaikan tugasan yang diberi.
Kecerdasan merujuk kepada tahap akal dan keupayaan praktikal pekerja dalam menangani
cabaran dunia pekerjaan. Cara asas seorang majikan menilai tahap kecerdasan anda ialah melalui
cara anda bertanya soalansama ada ia soalan yang bijak atau sebalikya.
Sifat ingin tahu dan banyak bertanya juga menonjolkan ciri kecerdasan dan bersifat aktif. Lebih
banyak anda bertanya soalan yang baik dan mendengar jawapan, anda akan lebih banyak dan
cepat belajar mengenai skop kerja/tugasan anda.

2. Kualiti Kedua Dicari Majikan Ialah Keupayaan Kepimpinan


Kepimpinan adalah kesanggupan dan keinginan untuk menerima tanggungjawab untuk membuat
keputusan. Ia adalah keupayaan untuk menjaga, menjadi sukarelawan untuk satu-satu tugasan
dan menerima akauntabiliti dalam mencapai keputusan yang dikehendaki daripada staf yang
terlibat dengan tugasan yang berkaitan.
Ciri seorang yang berkepimpinan ialah tidak gemar beralasan. Anda menunjukkan kesediaan
anda untuk menjadi pemimpin dalam organisasi dengan menawarkan untuk berusaha mencapai
matlamat syarikat dan mencari strategi untuk mencapai matlamat tersebut.

3. Integriti Adalah Kualiti Yang Ketiga Dicari Oleh Majikan


Ia merupakan kualiti yang paling penting untuk kejayaan jangka panjang dalam kehidupan,
lebih-lebih lagi di tempat kerja. Tahap integriti diri boleh dinilai melalui sejauh mana anda jujur
pada diri sendiri. Jika anda mampu bersikap jujur dengan diri sendiri, anda juga akan bersikap
jujur dengan semua orang termasuk majikan dan rakan-rakan pejabat.
Anda bersedia untuk mengakui kekuatan dan kelemahan anda. Anda bersedia untuk mengakui
kesalahan yang dilakukan ketika melaksanakan sesuatu tugasan. Jujur, amanah dan positif saling
beriringan. Ia membezakan kualiti diri anda dengan pekerja-pekerja lain.

4. Kualiti Keempat Ialah Sikap Mudah Mesra


Majikan mencari pekerja yang ramah, mudah mesra serta senang untuk bekerjasama dengan
orang lain. Majikan mencari orang yang boleh menyertai organisasi itu dan menjadi sebahagian
daripada pasukan seperti sebuah keluarga.
Pekerja lelaki atau wanita yang mempunyai personaliti yang baik sentiasa lebih popular dan
lebih berkesan dalam apa saja yang mereka lakukan. Kerjasama merupakan kunci kepada
kejayaan perniagaan.
Pengalaman anda bekerja sebagai satu pasukan pada masa lalu serta kesanggupan anda untuk
bekerja berpasukan pada masa akan datang boleh menjadi antara perkara yang paling menarik
tentang anda ketika anda memohon pekerjaan.

5. Kecekapan Merupakan Kualiti Yang Kelima Dicari Oleh Majikan


Kecekapan merupakan aspek terpenting dalam meraih kejayaan. Ia merupakan asas dalam setiap
bidang kerjaya yang diceburi. Kecekapan dalam melaksana dan menyelesaikan tugasan, mencari
maklumat atau dalam mengendalikan masalah.
Ia juga merupakan keupayaan pekerja dalam menetapkan keutamaan, membezakan tugas-tugas
yang relevan dan kurang relevan dan bijak mengurus masa.

6. Keberanian Kualiti Keenam Yang Majikan Mahukan


Ia bermaksud kesediaan untuk mengambil risiko. Keberanian juga bermaksud kesediaan untuk
menerima cabaran, kesanggupan untuk menerima tugasan besar atau bahkan pekerjaan baru di
mana terdapat tahap ketidakpastian yang tinggi dan kemungkinan untuk gagal.
Keberanian ialah kesanggupan untuk bersuara dan mengatakan dengan tepat dan jelas apa yang
anda fikirkan tentang sesuatu situasi yang di hadapai di tempat kerja. Majikan mengagumi lelaki
dan wanita yang tidak takut untuk meluahkan perasaan dan mengutarakan pendapat mereka.
Para pencari kerja atau pekerja mampu menonjolkan sifat ini dengan bertanya soalan terus terang
dan secara langsung mengenai syarikat, kedudukan semasa syarikat dan masa depan atau
peluang anda di masa hadapan dengan organisasi tersebut.

7. Kualiti Terakhir Dicari Majikan Ialah Kekuatan Dalaman (Motivasi Diri)


Kekuatan dalaman bermaksud memiliki keazaman dan keupayaan untuk bersabar dan
bersemangat kental ketika berdepan saat sukar di tempat kerja. Kekuatan dalaman akan terpamer
jelas apabila anda kekal tenang dan santai semasa sesi temu duga kerja.
Jika anda tenang dan bersahaja ketika sesi temu duga, ia merupakan satu petunjuk bahawa anda
akan tetap tenang dan mampu bersabar ketika organisasi berdepan krisis yang tidak dapat
dielakkan.

Anda mungkin juga menyukai