Anda di halaman 1dari 6

4.

0 Kesan Perang Musket


4.1 Populasi masyarakat Maori semakin berkurangan
Perang yang tercetus telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam
populasi masyarakat Maori. Sejak masyarakat Maori menjalinkan hubungan
dengan orang Eropah, populasi masyarakat Maori di New Zealand mula
mengalami penurunanan. Kepupusan bilangan orang Maori dilihat sebagai kesan
yang paling dominan akibat daripada perang Musket ini.
Populasi peringkat awal masyarakat Maori sangat sukar untuk ditentukan
jumlahnya. Foster manganggarkan seramai 100,000 orang Maori berdasarkan
kepada pemerhatian awal yang dibuat berhampiran dengan pantai. K.B.
Cumberland pula menganggarkan jumlah orang Maori seramai 500,000 orang.
Menurut Vayda pula, jumlah populasi awal masyarakat Maori dianggarkan sekitar
100,000 hingga 300,000 orang daripada 40 kumpulan puak-puak Maori. Menurut
R.C.J. Stone, bermula tahun 1769 hingga 1840 sehinggalah New Zealand menjadi
Crown Colony, bilangan populasi masyarakat Maori semakin hari semakin
merosot. Walaupun penyakit berjangkit yang dibawa oleh orang Eropah menjadi
faktor kematian masyarakat Maori, namun pengenalan senjata Musket oleh
orang Eropah serta senjata lain dianggap sebagai pemusnah utama kepada
populasi masyarakat Maori.
Masyarakat Maori sememangnya sudah lama berperang sesama sendiri,
tetapi perang yang berlaku dalam kalangan mereka pada peringkat awal tidak
banyak membawa kematian dalam jumlah yang besar. Menurut Barbara, Pulau
Utara mengalami kepupusan penduduk sepanjang tempoh dua tahun
sehinggalah pada tahun 1840. Para mubalig pula telah menanggarkan bahawa
pengenalan senjata Musket telah membawa kematian seramai 80,000 orang
peribumi Maori. Puluhan ribu masyarakat Maori telah mati dalam perang Musket
yang berlaku di antara puak-puak pada tahun 1810, 1820 dan 1839an. Antara
tahun 1818 hingga awal tahun 1830 dianggarkan seramai 20,000 masyarakat
Maori telah terkorban dalam perang Musket ini. Menurut Alex Calder, Jonathan
Lamb dan Bridget Orr, antara tahun 1814 hingga 1840 merupakan satu tempoh
malapetaka bagi orang-orang Maori. Sepanjang tempoh tersebut, di anggarkan
seramai 80,000 orang Maori telah terbunuh ekoran daripada perang Musket yang
berlaku sesama puak Maori. Kebanyakkan mangsa-mangsa korban perang
adalah terdiri daripada golongan muda yang merupakan perintis masa depan
generasi yang akan datang. Pertempuran yang berlaku bukan hanya
mengorbankan ratusan masyarakat Maori, tetapi melibatkan beratus-ratus ribu
orang. Kebanyakan mangsa yang mudah menjadi korban dalam pertempuran
yang berlaku adalah orang Maori yang berada di sebelah Selatan. Hal ini kerana
mereka terlalu panik dengan serangan bersenjata yang pertama kali digunakan
semasa pertempuran dalam kalangan mereka. Populasi masyarakat Maori yang
semakin pupus adalah disebabkan oleh pembunuhan secara rawak yang
dilakukan oleh ketua-ketua puak dengan menggunakan senjata Musket.
Penurunan populasi masyarakat Maori juga mempunyai kaitan dengan
penguasaan wilayah oleh puak Ngapuhi, iaitu puak yang masih bertahan

sehingga pertengahan tahun 1830an. Hal ini disebabkan oleh bekalan senjata
Musket yang banyak dimiliki oleh puak Ngapuhi. Ketua puak Ngapuhi iaitu Hongi
Hika telah pergi ke England dan membeli banyak bekalan senjata Musket dan
serbuk api untuk dibawa ke New Zealand. Penggunaan senjata dalam kempen
awal perang yang diketuai oleh Hongi Hika telah mengorbankan ramai
masyarakat Maori. Hal ini kerana, pada ketika itu musuhnya belum lagi memiliki
senjata Musket seperti mana yang dimiliki oleh Hongi. Sebagai contoh, pada
tahun 1821 di Tamaki, Hongi dikatakan telah membunuh seramai 2000 pahlawan
Maori termasuk golongan perempuan dan kanan-kanak. Selepas beberapa
ekspedisi perang yang dilancarkan oleh Hongi Hika, beliau kemudiannya kembali
ke Bay of Island. Menurut William R. Wade, sepanjang tempoh lima tahun Hongi
telah membunuh seramai 5000 orang Maori dalam pertempuran dan ramai
diantara mereka telah dijadikan sebagai tawanan perang. Selain daripada Hongi
Hika, pemimpin Maori lain yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan
beramai-ramai masyarakat Maori pada awal abad ke-19 adalah Te Rauparaha
yang berkuasa di bahagian Selatan. Peperangan yang berlaku bukan sahaja
mengakibatkan kematian, tetapi turut melibatkan penghijrahan beramai-ramai
masyarakat Maori ke kawasan lain. Sebagai contoh, peperangan dianggap
sebagai pemangkin yang mempromosikan penghijrahan beramai-ramai puak
Kawhia ke Taranaki sekitar tahun 1821. Pada peringkat awal, peperangan hanya
berlaku di bahagian Utara, namun disebabkan tekanan perang, puak di bahagian
Utara telah menyerang puak di bahagian Selatan sehingga wujudnya skala
perang yang semakin meluas. Peperangan yang semakin meningkat secara tidak
langsung akan menambahkan lagi jumlah mangsa yang terkorban.
Populasi masyarakat Maori yang semakin berkurangan bukan sahaja
disebabkan oleh kematian dan pembunuhan, tetapi juga disebabkan oleh
ketidakseimbangan ekonomi. Persaingan untuk mendapatkan bekalan senjata
Musket telah mendorong masyarakat Maori berlumba-lumba menjalankan aktiviti
pertanian untuk memenuhi tuntutan orang Eropah bagi mendapatkan bekalan
senjata. Secara tidak langsung, kemuncak kepada persaingan ekonomi ini telah
mempengaruhi keseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Maori. Hal
ini juga telah menyebabkan masyarakat Maori mati kelaparan kerana babi dan
ubi kentang diberikan keutamaan kepada orang Eropah semata-mata untuk
mendapatkan senjata Musket. Kesihatan golongan lelaki, wanita dan kanakkanak berada dalam keadaan tidak seimbang dan keadaan perang yang berlaku
secara berterusan menambahkan lagi masalah kesihatan mereka.
4.2 Wujud kumpulan-kumpulan dan sekutu dalam puak-puak Maori
Perang Musket juga memberikan kesan kepada organisasi puak-puak Maori
sehinggakan wujudnya kumpulan-kumpulan dan sekutu dalam puak-puak Maori.
Orang-orang Maori dilihat tidak lagi keluar secara bersendirian, sebaliknya sudah
mula bergabung dengan puak-puak Maori yang lain. Wujudnya sekutu dalam
puak-puak Maori adalah disebabkan oleh keinginan mereka untuk memiliki
senjata, kekuatan dan ingin membebaskan diri dari cengkaman musuh.
Sekirannya puak Maori tersebut mempunyai sekutu yang ramai, sudah pasti
kekuatan mereka akan semakin bertambah dan mempunyai peluang yang besar
untuk memenangi sesebuah peperangan.

Permintaan yang tinggi terhadap senjata dan juga barangan daripada


orang Eropah telah membawa kepada terbentuknya pasukan tentera bersekutu
dalam kalangan masyarakat Maori. Sebagai contoh, Te Rauparaha telah
meninggalkan Kawhia dan memilih Pulau Kapiti sebagai markas angkatan
tenteranya kerana kapal dagang orang Eropah sering berlabuh disana. Hal ini
menyebabkan sekutu Te Rauparaha iaitu Te Heuheu dapat memperkuatkan
pasukannya menerusi senjata yang diterima daripada Te Rauparaha. Secara
tidak langsung ini telah memberi peluang kepada Te Heuheu untuk bebas
daripada Taupo. Begitu juga dengan Te Rauparaha yang merasakan perlunya ada
sebuah pakatan yang kuat untuk mendapatkan kekuatan senjata Musket bagi
menyerang musuh-musuh mereka.
Wujudnya tentera bersekutu dalam kalangan puak-puak Maori sudah pasti
memberikan peluang kepada kumpulan puak tersebut untuk memperoleh
pertolongan dan memudahkan perjalanan mereka untuk menyerang musuh.
Sebagai contoh, pasukan perang dari Utara iaitu Ngapuhi dan Ngati Whatua
telah menetap di Kawhia dalam ekspedisi ke Selatan. Pemimpin-pemimpin yang
terlibat adalah Tuwhare, Petuone, Nene, Tawhia dan lain-lain. Te Rauparaha dan
Ngati Tao telah dipujuk untuk bergabung dengan puak-puak dari Utara dan pada
waktu tersebut, mereka berangkat ke Utara Taranaki. Ngati Tama, Ngati Mutunga
dan Te Atiawa adalah puak-puak di daerah tersebut yang mempunyai kaitan
dengan Ngati Toa dan memberi laluan kepada ekspedisi perang tersebut. Secara
tidak langsung membolehkan mereka menyerang puak Ngati Maru yang ada di
daerah Taranaki dan kemudiannya bergerak tanpa sebarang halangan
sehinggalah mereka sampai di Wanganui.
Selain itu, faktor yang mendorong puak-puak Maori untuk membentuk
sekutu dengan puak-puak Maori yang lain adalah untuk menambahkan lagi
kekuatan senjata bagi menyerang musuh. Sebagai contoh, Te Rauparaha telah
bergabung dengan puak Ngati Raukawa dan Ngati Tama untuk mengumpul
kekuatan senjata bagi melakukan serangan di Pulau Selatan. Selain itu,
pembentukkan sekutu juga telah menambah kekuatan serangan untuk
mengalahkan musuh-musuh mereka dengan mudah. Sebagai contoh, Te
Rauparaha telah bergabung dengan Tamati Waka Nene untuk menyerang puak
Maori di Selatan. Gabungan ini juga seterusnya telah membantu beliau
memusnahkan sejumlah penduduk Maori di bahagian Utara. Pembentukkan
sekutu juga bertujuan untuk membebaskan diri daripada musuh yang lebih kuat.
Sebagai contoh, pada tahun 1820 puak-puak Walkato memutuskan untuk
membebaskan diri dari cengkaman puak Ngati Toa. Puak Walkato telah membuat
pakatan dengan sekutu mereka iaitu Ngati Maniapoto untuk membuat serangan
terancang terhadap Kawhia dan Taharoa. Jumlah pasukan Walkato dan sekutunya
mencecah lebih daripada 3000 orang. Puak Walkato pada ketika itu di bawah
pimpinan Te Wherowhero manakala sekutunya Ngati Maniapoto diketuai oleh
Tukoheru.

4.3 Berlakunya peningkatan perdagangan dan hamba

Peperangan dalam kalangan masyarakat Maori dilihat semakin hari semakin


bertambah disebabkan oleh penggunaan dan permintaan terhadap Musket yang
semakin meningkat. Skala peperangan yang semakin bertambah sama ada
secara langsung atau tidak langsung, sememangnya mempunyai kaitan dengan
perdagangan. Menurut McNab, perdagangan telah bertambah maju disebabkan
oleh keinginan puak-puak Maori terhadap senjata baru untuk digunakan dalam
peperangan dengan puak Maori yang lain.
Permintaan terhadap Musket telah mempengaruhi aktiviti perdagangan di
antara masyarakat Maori dengan orang Eropah. Bermula daripada puak Ngapuhi
yang berada di bahagian Utara seterusnya diikuti dengan puak-puak lain seperti
Ngati Whatua yang membuat permintaan tinggi terhadap senjata Musket. Secara
tidak langsung, pengeluaran terhadap barangan untuk ditukarkan dengan
Musket semakin meningkat. Tanaman baru seperti ubi kentang telah
diperkenalkan seiring dengan penggunaan tenaga buruh yang terdiri daripada
golongan hamba. Aktiviti pertanian yang semakin meningkat telah
menggalakkan lagi perdagangan di antara masyarakat Maori dengan orang
Eropah. Menurut James Belich, revolusi dalam aktiviti pertanian telah
menyebabkan skala perang semakin meningkat. Revolusi pertanian yang
dimaksudkan oleh beliau adalah merujuk kepada penternakan babi dan tanaman
ubi kentang yang dilakukan secara besar-besaran. Peperangan yang berlaku ini
telah memberikan jalan dalam persaingan ekonomi terutamanya untuk
mendapatkan senjata Musket. Di samping itu, perdagangan yang berlaku di
antara masyarakat Maori dan orang Eropah bukan sahaja melibatkan pertukaran
komoditi, malah turut melibatkan permintaan terhadap tanah. Hal ini kerana
orang Eropah ingin menjadikan tanah sebagai barang dagangan dengan
masyarakat Maori. Sebagai contoh, Marsden telah memperoleh 200 ekar tanah
hasil pertukaran dengan 12 bilah kapak. Orang-orang Eropah telah meletakkan
keutamaan yang tinggi terhadap permintaan tanah untuk dijadikan tempat
tinggal, sementara orang-orang Maori pula memerlukan bekalan senjata Musket
untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Peningkatan
perang
dalam
kalangan
masyarakat
Maori
telah
meningkatkan jumlah tawanan perang dan golongan hamba yang diperoleh
daripada peperangan tersebut. Peperangan tersebut telah menyebabkan ribuan
tawanan tersebut dijadikan hamba. Contohnya, peperangan yang dipimpin oleh
pihak Utara iaitu puak Ngapuhi dan Ngati Whatua yang akhirnya menimbulkan
persaingan dalam mendapatkan hamba untuk diperdagangkan bagi
mendapatkan bekalan senjata Musket. Bekalan senjata Musket telah dikuasai
oleh puak dari Utara terutamanya Hongi Hika dari puak Ngapuhi yang tinggal di
kawasan Bay of Island. Hongi Hika telah membuat perhubungan dengan orang
Eropah yang datang ke Bay of Island. Banyak kapal-kapal Eropah yang
berkunjung ke Bay of Island kerana mendapat jaminan keselamatan daripada
Hongi Hika. Hal ini menyebabkan Hongi Hika telah memonopoli perdagangan
dengan orang Eropah terutamanya perdagangan Musket. Bekalan senjata yang
banyak membolehkan Hongi Hika semakin agresif untuk mendapatkan hamba
yang diperoleh menerusi peperangan. Contohnya pada tahun 1818, beliau telah

menyerang 50 buah penempatan yang ada di bahagian Pantai Timur.


Dianggarkan seramai 2000 orang tawanan telah dibawa pulang untuk dijadikan
hamba. Pada tahun 1821 pula, Hongi Hika telah menyerang daerah AucklandCoromandel dan berjaya menawan seramai 2000 orang untuk dijadikan hamba.
Ketua puak merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap perdagangan
hamba untuk mendapatkan senjata Musket daripada orang Eropah.

4.4 Campur tangan pihak British


Pada tahun 1830 dan 1840, New Zealand muncul sebagai fasa kewujudan yang
baru. Pada ketika itu, perang yang berlaku di antara puak-puak Maori mula reda
kerana hampir semua puak sudah mempunyai senjata Musket. Keadaan ini
menyebabkan keseimbangan dalam kalangan puak-puak Maori di New Zealand
mula berlaku.
Bahagian Utara New Zealand lebih banyak berlaku peperangan
berbanding bahagian Selatan. Peristiwa-peristiwa yang berlaku terutamanya di
bahagian Utara telah memberi peluang kepada Britain untuk meletakkan New
Zealand dibawah pemerintahannya. Bermula pada tahun 1830, puak-puak yang
berada di bahagian Utara bekerja keras untuk menjalinkan hubungan yang erat
dengan British. Puak-puak ini telah menghantar surat kepada King William IV
bertujuan untuk mendapatkan perlindungan dan British telah bersetuju untuk
memberikan perlindungan kepada mereka. Pada tahun 1831, seramai 13 orang
ketua puak Maori dengan nasihat para mubalig telah membuat surat petisyen
kepada kerajaan British bertujuan untuk mendapatkan jaminan perlindungan.
Selain itu, peningkatan perdagangan dan peningkatan jumlah penduduk Eropah
yang tidak sah juga merupakan salah satu tujuan petisyen tersebut dilakukan.
Petisyen tersebut juga bertujuan untuk memberikan perlindungan daripada
ancaman Perancis. Alasan yang digunakan oleh William Yate mengenai
kedatangan kapal Perancis adalah satu cara bagi membangkitkan kepercayaan
ketua-ketua puak tersebut bahawa Perancis akan menakluk New Zealand.
Pada tahun 1832, Lord Goderich telah menghantar Mr James Busby ke Bay
of Island untuk bertugas sebagai Residen British. Busby kemudiannya
mencadangkan kepada puak-puak Maori dari Utara untuk menandatangani
pengisytiharan kemerdekaan. Pengisytiharan kemerdekaan akhirnya telah
membawa kepada penciptaan idea sebuah bangsa di bawah kuasa politik dari
Confederation of Chiefs. Deklerasi ini ditandatangani pada bulan Oktober tahun
1835, dan Parlimen Inggeris menerimanya pada tahun 1836. Setelah kerajaan
British menerima deklarasi tersebut, semua kapal-kapal dagang Maori akan
diberi perlindungan oleh British Royal Navy. Walau bagaimanapun kedaulatan
British tidak bertahan lama di New Zealand disebabkan berlakunya spekulasi
terhadap tanah yang dikenali sebagai land-shark iaitu kepura-puraan untuk
membeli kawasan daratan yang luas daripada orang Maori pada tahun 1838 dan
1839. Pada tahun 1839, Kerajaan British telah melantik Kapten William Hobson
sebagai Konsul untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas semua kawasan di
New Zealand dengan bantuan daripada puak-puak Maori. Selain itu, beliau juga

berusaha untuk menghalang agen-agen tanah daripada terus membeli tanahtanah orang Maori. Pada 5 Ferbruari, satu mesyuarat telah dijalankan dengan
dihadiri oleh orang-orang Eropah dan Maori di Waitangi. Mesyuarat tersebut
adalah bertujuan untuk membincangkan perjanjian yang akan ditandatangani
oleh orang Maori mengenai penerimaan kedaulatan dan perlindungan daripada
British. Pada 21 Mei 1840, lebih daripada 400 tandatangan telah diperoleh dan
Hobson kemudiannya mengistiharkan kedaulatan di Pulau Utara dan Pulau
Selatan. Maka bermulalah koloni dan migrasi orang Eropah dikedua-dua Pulau
Utara dan Selatan New Zealand.

Anda mungkin juga menyukai