Anda di halaman 1dari 10

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

PENGENALAN

Kepentingan pendidikan Matematik telah diketahui umum kerana ia dapat mempengaruhi negara dalam menghadapi cabaran era teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, masalah kelemahan dan kemerosotan pencapaian Matematik akan menimbulkan masalah kepada negara. Terdapat banyak kajian telah dijalankan untuk mengkaji faktor masalah pencapaian Matematik dalam usaha meningkatkan prestasi pencapaian sebagai matlamat akhir. Dossey, et.al. (dalam Lester 1994, Nur Baiti Omar 2000) menyatakan, satu pusat pendidikan di bawah Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat telah mengeluarkan tiga buah buku khas yang membincangkan masalah pencapaian Matematik pelajar di sekolah-sekolah, di mana kajian mengenai masalah tersebut telah dijalankan oleh Aiken (1970, 1976), Amstrong (1978), Masmuda (1981) dan Meyer (1990). Oleh yang demikian, bab ini akan menjelaskan secara ringkas tentang literatur dan kajian yang berkaitan dengan cadangan kajian ini.

Tinjauan literatur ini bertujuan untuk memberi satu gambaran kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji terdahulu mengenai permasalahan yang sama atau dalam lingkungan perkara yang sama dengan kajian penulis. Selain itu, tinjauan terhadap kajian lepas dapat memberitahu penulis mengenai trend trend baru yang muncul dalam bidang penyelidikan, dapat mempelajari kaedah atau pendekatan yang pernah digunakan pengkaji terdahulu serta mengetahui masalah yang pernah mereka hadapi.

Tinjauan literatur yang diterangkan dalam bab ini meliputi tiga bahagian iaitu; i) ii) Kajian lepas mengenai penguasaan murid dalam konsep asas nombor. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.

iii)

Motivasi dan kepentingannya dalam meningkatkan pemahaman tentang konsep asas nombor.

2.1

Tinjauan literatur

2.1.1 Penguasaan murid dalam konsep asas nombor

Berdasarkan kepada prestasi Matematik murid-murid yang menunjukkan kelemahan serta kegagalan dalam ujian atau peperiksaan, menunjukkan bahawa mereka mengalami kerumitan tentang kemahiran dan konsep Matematik. Apabila

pengetahuan murid perlu digunakan dalam keadaan yang lebih kompleks, kebolehan murid akan menurun. Mereka tidak dapat melakukan langkah-langkah pengiraan apabila kefahaman mereka tentang konsep-konsep matematik tidak cukup mantap.

Kenyataannya, masalah murid dalam pembelajaran Matematik adalah berpunca daripada kesukaran dalam pembentukan struktur konsep. Antaranya ialah konsep menentukan nilai tempat yang mana perlu diikuti oleh murid dalam setiap tahun pembelajaran mereka di sekolah rendah.

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji aspek penguasaan murid dalam konsep asas nombor. Kupasan secara terperinci serta cadangan telah diberikan oleh pengkaji berkenaan demi meningkatkan pencapaian pelajar menguasai konsep asas nombor. Berikut adalah beberapa kajian yang berkaitan dengan kajian pengkaji; Ng See Ngean(1984) (dalam Sadiah 2000) dalam kajiannya mendapati bahawa hanya 20 peratus daripada murid atau guru Matematik di Malaysia mengaitkan Matematik dengan proses. Oleh itu, individu tersebut berasa sukar untuk mengaplikasikan Matematik dalam kehidupan seharian mereka. Prof. Shahril(1993) (dalam Sadiah 2000) menyatakan, Matematik merupakan ilmu yang bersrtuktur, bertingkat-tingkat dan berhierarki sehingga tidak memungkinkan seseorang mempelajarinya sekiranya individu itu tidak cukup faham atau menguasai Matematik di peringkat yang lebih rendah iaitu termasuk penguasaan kemahiran asas nombor.

Menurut Liew Cheong Chaing (1994), pembelajaran dalam Matematik bergantung kepada pemahaman murid terhadap konsep asas di peringkat rendah. Kebolehan murid yang mungkin boleh melaksanakan operasi tambah dan tolak seperti yang diharapkan oleh guru.Mohd Nor b. Bakar (1995) menyatakan pembentukan konsep yang berlaku di dalam fikiran murid adalah satu proses yang lambat dan kompleks. Terdapat juga murid yang akan membentuk konsep yang salah di dalam fikiran mereka sehingga sukar untuk memperbetulkannya yang adakalanya hingga ke peringkat pengajian tinggi. Ini diakui oleh Aida Suraya (1989) dalam kajiannya menyatakan bahawa masalah murid yang belum dapat menguasai kemahiran asas Matematik, salah satunya berpunca dengan kurang faham tentang konsep Matematik.

Kajian Cheng (1999) mengenai masalah penguasaan kemahiran asas Matematik mendapati, masalah kegagalan dalam menguasai kemahiran Matematik di kalangan murid-murid sekolah rendah telah menjadi satu penghalang dalam usaha kerajaan untuk membentuk insan yang sempurna, harmonis, seimbang dalam aspek-aspek jasmani, emosi, rohani intelek dan sosial. Memandangkan operasi asas Matematik merupakan kemahiran yang harus dikuasai oleh setiap murid di peringkat sekolah rendah sebelum dapat meneruskan pembelajaran Matematik yang lebih rumit. Oleh itu, permasalahan dalam penguasaan kemahiran operasi asas Matematik dikalangan murid sekolah rendah harus ditangani lebih awal. Justeru, usaha untuk mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran operasi Matematik perlu dilakukan pada peringkat tahap satu sebelum mereka melangkah ke tahap dua. Sadiah Samingan (2000) dalam kajiannya mendapati, kelemahan pembelajaran Matematik dikalangan pelajar yang dikaji berpunca daripada kelemahan penguasaan fakta asas Matematik. Jelasnya lagi, kebanyakan pelajar juga sukar membuat kesimpulan terhadap ayat dan contoh-contoh Matematik sebenar kerana mereka tidak didedahkan kepada perkaitan antara pengalaman sedia ada dengan konsep yang hendak diajar. Jadi, ia perlu diperbaiki pada peringkat awal lagi agar minat terhadap Matematik terus tersemai untuk membuahkan kecemerlangan.

Backman (1978) menyatakan, setiap konsep atau prinsip Matematik boleh menjadi mudah difahami dengan tepat sekiranya konsep itu diperkenalkan kepada pelajar melalui beberapa contoh yang konkrit yang boleh disampaikan melalui teknik

bermain. Mok (1996) dalam kajiannya terhadap pelajar Sains dan Sastera di sekolah menengah di Negeri Sembilan mendapati bahawa adanya hubungan yang tinggi di antara kemahiran asas Matematik dengan pencapaian dalam matapelajaran Matematik. Faktor penguasaan konsep asas Matematik sangat mempengaruhi pencapaian pelajar dalam Matematik. Sufian Hussin (1992) (dalam Sadiah 2000) menyatakan, terdapat lima kelemahan pelajar apabila menyelesaikan masalah pengiraan matematik. Dua kelemahan itu antaranya ialah kesalahan berkaitan aturan langkah pengiraan di mana ia melibatkan meletakkan nombor berdasarkan nilai tempat yang tepat, dan kesalahan yang berkaitan dengan konsep matematik. Aida Suraya (1988, dalam Sadiah 2000) dalam kajiannya juga mendapati kelemahan murid menjawab soalan matematik adalah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk; murid kurang faham konsep atau kecuaian. Maka jelaslah pemahaman konsep sangat penting untuk mengurangkan kesilapan pelajar dalam membuat latihan pengiraan matematik dan operasi asas.

Berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan di atas, dapat dirumuskan bahawa penguasaan konsep asas Matematik amatlah penting dikuasai oleh murid di peringkat sekolah rendah pada tahap satu lagi. Ini kerana, dikhuatiri masalah yang tidak ditangani di peringkat asas boleh menjadi barah kepada sistem pendidikan negara khususnya dalam matapelajaran Matematik dalam mengharungi era teknologi yang serba mencabar ini.

2.3

Kajian lepas

"Those who can, do. Those who understand, teach." (Shulman, 1986, p. 14, dalam Tengku Zawawi 1995) Kemahiran matematik pelajar nyata merosot sejak dua dekad lalu. Pencapaian pelajar dalam matematik tidak memuaskan. Dengan itu, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan beberapa dasar pendidikan yang menyeluruh bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran matematik. Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) digubal dan diperkenalkan kepada 302 sekolah rendah bagi Tahun Satu pada 1982. Kurikulum ini diperluaskan ke seluruh negara pada tahun berikutnya. Sistem ini dikenali sebagai sistem 3M Membaca, Menulis dan Mengira. Kurikulum Baru Sekolah Rendah kemudiannya ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Bersepadu digunakan kerana semua matapelajaran disepadukan atau

digabungjalin dan merentasi kurikulum. Dari segi kaedah, pendekatan penyampaian pengetahuan, semuamatapelajaran adalah mengikut prinsip yang sama, (Mohd Zan, 1998).

Walaupun matematik adalah satu matapelajaran yang abstrak tetapi pendekatan yang betul dan konkrit harus disediakan supaya matapelajaran itu tidak menimbulkan kesan negatif yang boleh menambahkan kekeliruan kepada pelajar. Satu pendekatan harus dicari untuk meredakan kesan negatif yang mungkin terpahat di sanubari pelajar. Dengan cara itu, pelajar boleh tenang, tidak gelabah dan berani menghadapi tekanan matematik.

Terdapat pelbagai pendekatan yang telah dikemukakan oleh pengkaji terdahulu mengenai cara terbaik untuk membantu pelajar menguasai kemahiran matematik, khususnya kemahiran asas nombor. Antaranya, pengajaran terus, pengajaran penemuan berpandu dan pengajaran penemuan tulin. Selain itu, aspek pendekatan pengajaran dan pembelajaran menurut KBSR mengesyorkan pendekatan berpusatkan murid melalui strategi inkuiri-penemuan, penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan dan pemulihan, serta penilaian berterusan, (taklimat KBSR JPNNS 2001).

Nor Hawan telah menjalankan kajian terhadap 77 sampel mengenai kesan pendekatan konstruktivisme ke atas sikap dan pencapaian pelajar tingkatan empat dalam matematik. Hasil kajiannya mendapati pendekatan konstruktivisme adalah lebih berkesan dan sesuai digunakan dalam P&P matematik di bilik darjah berbanding pendekatan tradisional. Kajian Zainun Ismaon mengenai kesan pembelajaran koperatif model STAD ke atas sikap dan persepsi murid tahun lima dalam matapelajaran matematik KBSR yang ditadbir ke atas 82 orang pelajar pula mendapati, tinjauan persepsi pelajar menunjukkan hampir keseluruhan pelajar iaitu 90.5% mempunyai persepsi yang sangat positif terhadap Pembelajaran Koperatif model STAD. The most commonly used methods for teaching mathematics are presentation of information to the class by chalkboard or overhead projector and assignment of individual work ( Roulet, R.G. 1998, p. 3, dalam Tengku Zawawi 1995)

Realiti yang berlaku dalam pelaksanaan KBSR dan KBSM di Malaysia turut dialami oleh beberapa negara lain. Penyataan di atas dipetik daripada laporan Kementerian Pendidikan Ontario di dalam kajiannya terhadap pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di beberapa buah sekolah di sana. Kajian tersebut melibatkan pengetuapengetua sekolah, guru-guru, dan para pelajar. Dalam penyeliaan di bilik darjah didapati bahawa aktiviti pengajaran pembelajaran lebih berpusatkan kepada guru di mana para pelajar lebih banyak menyelesaikan latihan secara individu. Konsepkonsep baru disampaikan kepada pelajar dalam bentuk penerangan secara kelas, (Roulet, R.G 1998, dalam Tengku Zawawi 1995). Data bagi United State (US) yang dipetik daripada Second International Mathematics Study (SIMS) mengesahkan bahawa pelajar-pelajar pada tahap gred 12 menghabiskan sebahagian masanya di bilik darjah semata-mata untuk mendengar penerangan guru dan menyelesaikan latihan serta kuiz yang disediakan untuk menguji tahap penguasaan kemahiran mereka (Crosswhite 1987 dalam Tengku Zawawi, 1995). Soal selidik dengan guru-guru daripada 22 buah negara yang menjadi peserta dalam SIMS mendapati most of their time was used in whole-classinstruction. Kajian ini juga menunjukkan bahawa gaya pengajaran teacherdirected begitu dominan di kalangan guru-guru dan majoriti pelajar melihat subjek matematik sebagai satu set peraturan atau petua yang perlu dihafal, dan bukannya satu disiplin yang melibatkan kreativiti, penaakulan , dan komunikasi (Miwa 1987, dalam Tengku Zawawi, 1995).

Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, khususnya dalam matematik, tidak hanya melibatkan proses pemindahan fakta dari guru kepada murid semata-mata. Pelajar mestilah dilibatkan secara aktif di dalam membina konsep dan pengetahuan berhubung dengan setiap isi pelajaran yang dipelajari (Nik Azis 1992, dalam Tengku Zawawi, 1995). Pendekatan pengajaran yang sesuai dan menarik sememangnya telah dibuktikan dapat menarik minat pelajar untuk mengikuti aktiviti P&P yang disampaikan. Oleh yang demikian, guru perlu lebih bersedia dan rajin meneroka pelbagai idea untuk dijadikan pendekatan berkesan dalam membantu murid memahami isi pelajaran yang disampaikan. Pengorbanan guru pasti membuahkan hasil yang boleh dibanggakan.

2.3.1 Motivasi Abu Zahari (1998) (dalam Sadiah 2000) menjelaskan, motivasi berasal daripada perkataan Inggeris motivation yang diambil daripada perkataan Latin movere bermaksud menggerakkan. Saedah, Zainun dan Tunku Mohani (1996) (dalam Sadiah 2000) mendefinasikan motivasi sebagai penggerak kepada kemahuan dan keinginan untuk berjaya atau untuk mencapai sesuatu dengan mengelakkan atau menghindarkan kegagalan. Gardner & Lambert (1972) (dalam Abdullah 2003) menyatakan, motivasi terbahagi kepada dua iaitu integratif dan instrumental. Hasil kajian Abdullah (2003) ke atas pelajar Dusun mendapati mereka mempunyai motivasi yang tinggi terhadap matapelajaran Bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua. Tiga kategori motivasi yang dikaji dan telah dianalisis mendapati semua jenis motivasi iaitu sikap pembelajaran Bahasa Malaysia, keinginan untuk mempelajari Bahasa Malaysia dan motivasi instrumental berada pada tahap yang tinggi.

Menurut Teori Keperluan, manusia bermotivasi untuk bertingkah laku adalah kerana ingin memenuhi berbagai-bagai keperluan iaitu keperluan fizikal, emosi dan kognitif. Keperluan fizikal meliputi keperluan makan, minum, dan keselamatan fizikal lainnya. Oleh itu, sekolah perlu menyediakan persekitaran yang menimbulkan keamanan secara fizikal bagi para pelajar sehingga mereka merasa selesa dan tenang semasa belajar.

Bagi keperluan emosi, ia meliputi keperluan untuk mencapai prestasi dan harga diri. Ini dijadikan dorongan dalam memotivasi belajar dengan cara melibatkan pelajar iaitu menentukan tujuan dan aktiviti untuk mencapai tujuan belajar. Aktiviti belajar hendaklah benar-benar bermanfaat bagi pelajar. Tugas-tugas belajar hendaklah cukup mencabar pelajar untuk berusaha secara maksimum, tidak terlalu mudah dan tidak pula terlalu sukar. Urutan-urutan aktiviti belajar hendaklah diatur sedemikian rupa sehingga pelajar benar-benar dapat berjaya dalam belajar, walaupun dia adalah pelajar yang lemah.

Seterusnya keperluan kognitif, iaitu meliputi keperluan untuk berhasil menciptakan atau memecahkan suatu suasana konflik atau hal-hal yang saling bertentangan dan keperluan untuk mendapatkan rangsangan. Untuk itu guru perlu memberi tahu pelajar

tentang tujuan pelajaran sehingga mereka mengetahui keberhasilan yang bagaimana yang diharapkan untuk mereka capai. Berbagai macam cara penyajian dapat dilaksanakan, seperti melalui teka-teki, pertanyaan yang mengundang perdebatan atau berbagai pendapat untuk menjawabnya, memunculkan pandangan-pandangan yang berlawanan atau berbeza atau aneh sehingga pelajar-pelajar terangsang untuk berfikir dan membahasnya. Menyediakan rangsangan dengan memberikan maklumat baru dan berkualiti melalui ceramah, demonstrasi dan perbincangan.

Abraham Maslow, seorang pakar motivasi terkenal dan pencipta teori keperluan mengemukakan suatu hubungan hirarki di antara pelbagai keperluan. Menurutnya jika keperluan pertama dipenuhi, maka keperluan kedua akan menjadi penting untuk dipuaskan. Demikianlah seterusnya sampai keperluan yang paling tinggi, iaitu keperluan aktualisasi diri. Pakar Humanistik menitikberatkan pentingnya motivasi dari dalam diri sendiri (selfmotivation). Mereka menganjurkan agar guru-guru mendorong berkembangnya rasa ingin tahu dan minat semulajadi pelajar dalam belajar. Para pakar Behavioristik pula menekankan pentingnya persekitaran dalam menciptakan kondisi yang memotivasi pelajar. Mereka menganjurkan agar guru mengaitkan belajar dengan rangsangan yang menimbulkan perasaan selesa dan membentuk tingkah laku pelajar melalui berbagai pengukuhan.

Motivasi boleh dijadikan pendorong dan perangsang untuk menuju ke arah matlamat yang hendak dicapai. Manusia bermotivasi untuk mengambil tindakan dan menggunakan tenaga untuk mencapai matlamat iaitu pencapaian, keanggotaan dan pengaruh. Untuk mencapai ketiga-tiga matlamat, pelajar harus berusaha untuk mempelajari sesuatu matapelajaran atau mencapai objektif. Dengan itu terdapat motivasi yang menggerakkan pelajar ke arah pencapaian matlamat. Lowman (1996) (dalam Sadiah 2000) dalam kajiannya mendapati kebanyakan pelajar menunjukkan prestasi yang baik dalam kursus lain tetapi tidak dalam Matematik. Ini adalah kerana mereka bersikap akan gagal dalam matapelajaran tersebut. Sikap negatif menyebabkan mereka yakin bahawa mereka tidak boleh maju dalam Matematik. Brian (1998) (dalam Sadiah 2000) berpendapat bahawa kejayaan dan kegagalan boleh disebabkan oleh empat perkara iaitu kebolehan, usaha, nasib dan

kesukaran tugasan pembelajaran. Sekiranya empat aspek ini diiringi motivasi, pasti hasilnya bertambah lagi.

Pelajar memerlukan motivasi untuk mendorong mereka meminati sesuatu matapelajaran. Apabila seseorang pelajar bermotivasi, penerimaan pembelajaran akan menjadi lebih baik dan berkesan seterusnya menjamin peningkatan pencapaian. Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggung jawab dan tugas yang harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesion guru. Tugas utama dan terpenting yang menjadi tanggungjawab seorang guru adalah memajukan, merangsang dan membimbing pelajar dalam proses belajar. Segala usaha ke arah itu harus dirancang dan dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran. Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang maksimum.

Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat melaksanakan langkah-langkah seperti berikut ;

1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar. 2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar. 3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan keperluan dan minat pelajar. 4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar. 5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik. 6. Melaksanakan penilaian diagnostik.

7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.

Oleh yang demikian, aspek motivasi perlu dititikberatkan dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam matapelajaran Matematik. Kejayaan pelajar diiringi faktor motivasi sebagai penggerak akan menjadikan pencapaian mereka lebih manis untuk dikecapi.

2.4

Rumusan

Dalam bab ini kupasan penyelidik terdahulu telah memaparkan beberapa sorotan yang dilakukannya. Antaranya ialah masalah murid tahun 1 dalam menentukan nilai tempat nombor 11 hingga 20 dengan menerangkan kepada murid dengan menggunakan penggunaan alatan dan kaedah pengajaran yang perlu dipraktikkan dalam pembelajaran dan pengajaran. Melalui kajian yang lalu, kupasan secara terperinci serta cadangan telah diberikan oleh pengkaji berkenaan demi meningkatkan pencapaian pelajar menguasai konsep asas nombor. Oleh itu, dalam kajian saya ini akan membuat kajian khusus untuk menyiasat masalah yang timbul dalam pengajaran dan pembelajaran matematik khususnya bagi murid tahun 1 yang bermasalah dalam menentukan nilai tempat nombor 11 hingga 20.

Anda mungkin juga menyukai