Anda di halaman 1dari 8

KAJIAN KEBERKESANAN

PROGRAM DAKWAH MELALUI MEDIA ELEKTRONIK


DALAM KALANGAN MAHASISWA INSTITUT PENGAJIAN TINGGI
DI BAHAGIAN KUCHING




MUHAMMAD FADHLI BIN DAWEK 1696
DIPLOMA PENGAJIAN ISLAM DAN DAKWAH
INSTITUT KEMAHIRAN ISLAM MALAYSIA SARAWAK










BAB 1
PENGENALAN

1.1.Pendahuluan
Kajian ini membincangkan tentang keberkesanan dakwah yang disampaikan melalui media
elektronik. Bab 1 ini mengandungi beberapa subtopik yang penting. Antaranya ialah
pendahuluan, latar belakang kajian, kenyataan masalah, objektif kajian, kepentingan kajian,
definisi istilah dan penutup. Bab ini penting kerana memberi gambaran kepada keseluruhan
kajian yang dijalankan.
1.2.Latar Belakang Kajian
Di zaman teknologi, media sentiasa digunakan untuk berdakwah. Sebagai sebuah Negara
yang kiat membangun, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam penggunaan media untuk
menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat. Sejajar dengan pembangunan negara,
pelbagai media lahir bagi menyampaikan mesej di dalam kehidupan masyarakat di Malaysia
dalam bentuk tradisional (televisyen, radio, majalah akhbar, buku dan sebagainya) dan media
baru (Internet, laman sesawang, media sosial dan sebagainya). Selain daripada saluran untuk
menyampaikan maklumat dan hiburan, media juga adalah wahana yang berkuasa untuk
berdakwah kepada orang ramai.
Kebanjiran media baru pada masa kini, sama sekali tidak menggugat fungsi media
tradisional dalam menyampaikan mesej amar makruf wa nahi munkar (meminta untuk
berbuat kebaikan serta mencegah kemungkaran). Malah media baru dilihat sebagai pelengkap
kepada media tradisional dalam menyampaikan mesej dakwah Kekuatan media tradisional
dan media baru menyaksikan konsep convergence (penyatuan) dilaksanakan dalam
penyampaian mesej dakwah. Sebagai contoh, orang ramai yang tidak dapat menonton siaran
program Al-kulliyyah yang disiarkan di saluran televisyen TV3 pada masa siarannya masih
boleh berbuat demikian pada bila-bila masa melalui laman sesawang www.tonton.com.my.
Oleh itu, penggunaan teknologi dan telekomunikasi bukanlah untuk hiburan semata-
mata, tetapi ia juga perlu diaplikasikan dalam bidang pengurusan dakwah agar ia memberi
kesan kepada masyarakat Islam. Ini sejajar dengan saranan yang dikeluarkan oleh akhbar
Berita Harian yang bertarikh 1 Julai 2009, menyatakan Islam adalah cara hidup dan
mementingkan perdamaian sesama seagama dan penganut agama berlainan. Islam hari ini
dilihat sebagai alat untuk menjustifikasikan sesuatu perkara dengan dalil serta hujah politik
yang asyik meletakkan kesalahan pada bahu orang lain tanpa mencermin diri sendiri. Hanya
dengan pendedahan internet dan media elektronik yang lain, anak muda akan tahu mana intan
atau kaca.
1.3.Kenyataan Masalah
Masyarakat pada abad ke 21 wujud ditandai dengan dominasi teknologi maklumat. Revolusi
dalam IT telah memberi impak yang besar dalam sesebuah masyarakat kerana segala
maklumat mudah didapati dan menjimatkan masa. Negara Malaysia sekali lagi sedang
menghadapi revolusi iaitu daripada revolusi pertanian kepada revolusi perindustrian dan kini
yang terbaru revolusi teknologi maklumat (IT) seperti mana yang telah dilancarkan oleh
Dato Seri Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri Malaysia pada 11 Oktober 1997.
Dalam kajian disiplin ilmu dakwah berdasarkan teks-teks yang ditulis, pemikiran tentang
penggunaan teknologi untuk menyampaikan mesej secara teknikal tidak diperolehi. Unsur-
unsur dakwah yang dibincang hanya meliputi unsur proses dakwah yang asas seperti
pendakwah, mauduk, manhaj dan sasaran. Aspek keberkesanan atau kaedah pengukuran
keberkesanan secara saintifik juga jarang sekali disentuh.
Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk membincangkan sejauh manakah
tahap keberkesanan dakwah yang telah disampaikan melalui media elektronik sejak sekian
lama ini. Selain itu, penyelidik akan membincangkan apakah mencukupi atau tidak bahan-
bahan islamik yang disampaikan kepada para audiens.
1.4 Objektif Kajian
Objektif kajian ini dibahagikan kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus.
Objektif umum kajian ini ialah untuk mengkaji keberkesanan program dakwah melalui media
elektronik dalam kalangan mahasiswa IPT di bahagian Kuching.
Objektif khusus kajian ini ialah :
1.4.1 Kajian ini bertujuan untuk mengenali tahap kefahaman pengetahuan umum
mengenai Islam yang disebar melalui media elektronik seperti televisyen dan
internet.
1.4.2 Kajian ini bertujuan untuk mengetahui daya tarikan yang menyebabkan
sasaran tertarik dengan isi dakwah yang disampaikan melalui media
elektronik.
1.5 Soalan Kajian
1.5.1 Apakah keberkesanan program dakwah yang disampaikan melalui media elektronik.
1.5.2 Apakah tahap kefahaman umum mahasiswa IPT mengenai Islam yang disebar melalui
media elektronik.
1.5.3 Apakah daya tarikan utama yang menyebabkan audiens tertarik dengan isi dakwah
yang disampaikan melalui media elektronik.
1.6 Kepentingan Kajian
Kepentingan kajian ini telah dibahagikan kepada beberapa aspek penting iaitu ilmu
pengetahuan, metodologi kajian dan pembuat dasar.
1.6.1 Ilmu Pengetahuan
Kajian ini juga penting untuk dijalankan supaya dapat mendalami ilmu pengetahuan tentang
penyampaian dakwah melalui media elektronik. Hal ini demikian kerana kajian sebelum ini
hanya menyentuh sedikit sahaja tentang perkara ini dan ianya berbeza dengan kajian ini yang
mengkhususkan kajian kepada pengaruh media elektronik terhadap keruntuhan akhlak
pelajar. Selain itu, kajian sebelum ini yang berkaitan penyampaian dakwah melalui media
elektronik tidak dijalankan dalam kalangan pelajar di bahagian Kuching, Sarawak seperti
kajian ini.
1.6.2 Metodologi Kajian
Kajian ini penting untuk menyokong maklumat dan data kajian lepas yang dijalankan oleh
pengkaji lain. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidk dan pemerhatian untuk mengumpul
data yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Ujian kesahan dan kebolehpercayaan
instrumen juga telah dibuat untuk menguji instrumen-instrumen yang digunakan dalam kajian
ini. Jadi, hal ini akan meningkatkan tahap kesahan dan kebolehpercayaan instrumen dan
melahirkan kajian yang baik.
1.6.3 Pembuat Dasar
Kajian yang dijalankan juga memberi kepentingan kepada pembuat dasar itu sendiri. Hal ini
demikian apabila kajian yang dijalankan dapat mempengaruhi pembuat dasar itu sendiri.
Misalnya, kajian ini berkaitan dengan tahap keberkesanan penyampaian dakwah melalui
media elektronik yang menjadi trend dan pendekatan pada hari ini dan ianya akan
mempengaruhi para tekno-daie yang aktif menjalankan aktiviti dakwah melalui media
elektronik. Kajian ini juga akan memberitahu mereka tentang kaedah yang sesuai untuk
menarik lagi minat para sasaran dalam menyampaikan dakwah.
1.7 Definisi Istilah
Definisi istilah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu konseptual dan operasional. Definisi
konseptual ialah setiap istilah dihuraikan dengan merujuk kepada sumber tertentu seperti
buku, kamus atau kajian lepas. Manakala definisi operasional ialah setiap istilah dihuraikan
berdasarkan kesesuaian definisi itu kepada kajian yang dijalankan.
1.7.1 Kajian
Konseptual : Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, kajian adalah kajian tentang
sesuatu isu, institusi, orang dsb berdasarkan data atau maklumat terperinci yg
dikumpulkan dlm masa tertentu.
Operasional : Dalam kajian ini definisi kajian lebih sesuai ditakrifkan seperti yang
telah didapati pada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4
1.7.2 Keberkesanan
Konseptual : Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, keberkesanan adalah
sesuatu tindakan itu dapat dilihat daripada hasil yg diperoleh sesudahnya.
Operasional : Dalam kajian ini erti keberkesanan lebih sesuai ditakrifkan seperti
yang telah didapati pada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4
1.7.3 Dakwah
Konseptual : Dr. Rauf Shalabi menjelaskan bahawa dakwah Islamiah itu adalah
gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada
keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada
keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.
Operasional : Dalam kajian ini dakwah ialah mendorong manusia agar berbuat
kebajikan dan petunjuk. Menyuruh mereka berbuat yang ma`ruf dan mencegah
mereka daripada melakukan perbuatan mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan
di dunia dan di akhirat.
1.7.4 Media Elektronik
Konseptual : Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, media elektronik adalah alat
atau saluran komunikasi yg berupa atau yg menggunakan alat-alat elek-tron moden.
Operasional : Dalam kajian ini media elektronik lebih sesuai ditakrifkan seperti yang
telah didapati pada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4
1.7.5 Mahasiswa
Konseptual : Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4, mahasiswa adalah penuntut
atau pelajar di peringkat universiti
Operasional : Dalam kajian ini mahasiswa lebih sesuai ditakrifkan seperti yang telah
didapati pada Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4
1.8 Permasalahan Kajian
1.8.1 Sumber daripada perpustakaan IKMAS yang tidak mencukupi dan memerlukan masa
yang sesuai untuk mencari maklumat di perpustakaan luar. Oleh itu penulisan ini
mengambil masa untuk disiapkan.
1.8.2 Kurangnya sumber buku-buku ilmiah yang baru dan terkini menyukarkan proses
penulisan kajian ini.
1.8.3 Tempoh masa yang amat singkat diberikan untuk menyiapkan penulisan ini.



1.9 Metodologi Kajian
Kaedah yang digunakan dalam penulisan ini adalah kajian lapangan. Oleh yang
demikian, dapatan kajian diperolehi daripada set soal selidik yang diedarkan kepada 30
orang pelajar IPT di bahagian Kuching. Selain itu, tidak dilupakan juga antara bahan-bahan
yang dijadikan rujukan dalam penulisan ini adalah buku-buku ilmiah, buku penulisan ilmiah
yang lepas, majalah dan artikel.
1.8 Penutup
Secara keseluruhannya bab ini memberi gambaran keseluruhan tentang kajian ini. Bab ini
memperkenalkan secara ringkas tentang kajian keberkesanan program Dakwah yang
disampaikan melalui media elektronik..

Anda mungkin juga menyukai