Anda di halaman 1dari 2

Ubah suai alat timbang, sukat

By AHMAD ISMADI ISMAIL


Published: November 27, 2011
Dunia perniagaan tidak lekang dengan sukatan dan timbangan. Pelbagai jenis sukatan dan timbangan silih
berganti mengikut peredaran zaman selari dengan kemajuan serta kecanggihan teknologi. Namun, pelbagai cara
juga digunakan golongan tidak bertanggungjawab bagi meraih keuntungan dengan memperdaya pengguna tanpa
disedari. Justeru, pengguna harus berwaspada dengan sukatan dan timbangan barangan yang dibeli terutama
barangan yang dibungkus. Kadangkala bungkusan lebih besar sedangkan barangan di dalamnya hanya separuh
daripada bungkusan yang dilihat mata kasar.
Setiap alat timbang dan sukat yang sah ditandakan dengan Pelekat Keselamatan yang mempunyai kenyataan
tempoh sah, had terima, nombor rujukan ujian dan siri keselamatan.
Setiap alat timbang dan sukat bagi kegunaan perdagangan, diwajibkan diperiksa dan ditentusahkan sekali setiap
tahun serta satu sijil perakuan penentusahan berserta label keselamatan yang dilekatkan pada alat timbang atau
sukat tersebut.
Statistik kesalahan Akta Timbang dan Sukat
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah
Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, statistik pada Januari hingga Oktober tahun ini sekitar kawasan
Wilayah Persekutuan, jumlah kes bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 adalah sebanyak 49
kes dan nilai rampasan dianggarkan RM80,000.
Operasi yang dijalankan merangkumi semua bidang perniagaan menggunakan alat timbang dan sukat untuk

kegunaan perdagangan termasuk kedai emas, pajak gadai, peniaga di pasar awam, pasar malam, kilang
pembungkus makanan, timbang berat badan yang terdapat di kompleks perniagaan, parkir meter di tempat
awam atau di hotel, katanya.
Peniaga ubah suai ketepatan alat timbang
Penipuan penggunaan alat timbang dan sukat ini tidak mempunyai sasaran tertentu, tetapi yang memainkan
peranan penting dalam penipuan ini adalah peniaga yang tidak beretika dan hanya mementingkan keuntungan
semata-mata. Kebanyakan alat timbang yang digunakan di pasaran adalah neraca spring, alat timbang elektronik
yang banyak digunakan di kedai runcit, pasar besar dan pasar raya.
Bagi kedai emas, mereka juga menggunakan alat timbang emas tetapi mempunyai bacaan yang lebih kecil
berdasarkan harga emas dalam gram. Bagi perniagaan menjual kain ela pula, alat sukat yang digunakan adalah
kayu meter @ sukat linar mempunyai sukatan semeter bagi setiap kayu meter tersebut.
Penipuan alat timbang dan sukat biasanya berlaku dengan mengubah suai ketepatan alat timbang tersebut
dengan cara memecahkan penutup pada alat timbang dan kemudian membuat pengubahsuaian.
Peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 iaitu menggunakan
alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan, boleh didenda tidak melebihi RM4,000 atau tiga tahun penjara
atau kedua-duanya sekali.
Pengguna harus berwaspada
Abu Samah berkata, pengguna sepatutnya lebih peka dan berhati-hati apabila membeli barangan yang ditimbang
yang mana mereka sepatutnya melihat bacaan pada alat timbang tersebut bagi menentukan berat sebenar
barangan yang dibeli, sebaliknya tidak hanya mendengar apa yang dinyatakan oleh peniaga.
Pengguna perlu melihat sama ada alat timbang yang digunakan itu masih dalam tempoh sah berdasarkan
kepada label (pelekat keselamatan) yang terdapat pada semua alat timbang dan sukat yang digunakan untuk
perniagaan, katanya.
Menurutnya, pengguna seharusnya memainkan peranan penting dalam mencegah dan mendidik peniaga yang
tidak beretika ini dengan memboikot perniagaan mereka dan menyalurkan maklumat kepada kementerian
berkaitan untuk diambil tindakan. Bagi pengguna yang menghadapi masalah atau ditipu peniaga boleh
menghubungi talian 03-40454555 atau bilik gerakan Seksyen Penguat Kuasa, 03-40454471 untuk mendapat
bantuan dan nasihat.

Anda mungkin juga menyukai