Anda di halaman 1dari 12

KEMPEN PENGGUNA BIJAK

Pendahuluan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) telah
mengumumkan beberapa langkah proaktif dalam membendung kebimbangan pengguna
tentang kenaikan harga barang-barang, seterusnya mengawal pasaran dari ancaman
peniaga tidak bertanggungjawab. Di antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan
ialah melancarkan Kempen Pengguna Bijak di seluruh negara. Melalui kempen ini, mesej
utama yang ingin disampaikan kepada pengguna ialah agar mereka mempunyai pilihan
untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan manakala
peniaga yang menjual pada harga yang tinggi tidak akan disokong. Kempen Pengguna Bijak
ini disasarkan terhadap pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negara. Ianya bukan
bertujuan menjejaskan perniagaan runcit tetapi merupakan strategi bagi membolehkan orang
ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna.

Rasional logo Kempen Pengguna Bijak


Bentuk bulatan melambangkan cakerawala yang luas tanpa sempadan. Di samping itu,
ianya juga menggambarkan peranan KPDN & HEP yang komprehensif dalam
memperjuangkan kepentingan pengguna serta memberi perkhidmatan yang unggul agar
masyarakat mendapat barangan dan perkhidmatan yang terbaik.

1
Jari yang memaparkan elemen thumbs-up secara simboliknya melambangkan sesuatu yang
cemerlang, baik, bagus, cantik, elok dan berkualiti yang sinonim tanpa mengira golongan
masyarakat. Jalur Gemilang yang terdapat pada logo merupakan lambang kemegahan
negara dipadankan dalam outline jari (thumbs-up). Ianya bukan sahaja merupakan identiti
Malaysia malah secara tidak langsung membawa pengertian semangat patriotisme terhadap
negara tercinta. Dalam konteks ini, lambang Jalur Gemilang turut membawa pengertian
kepada kualiti dan kebaikan produk-produk di negara ini.

Gabungan Jalur Gemilang dalam bentuk thumbs-up memberi pengertian bahawa bukan
sahaja barangan atau produk serta matlamat atau isu yang ingin diketengahkan itu baik dan
berkualiti, tetapi juga untuk menanamkan semangat kenegaraan di kalangan pengguna dan
generasi akan datang agar timbul sikap sense of pride terhadap peranan mereka sebagai
warganegara dan berbangga dengan barangan atau produk serta matlamat yang
diketengahkan oleh KPDN & HEP.

Perbandingan harga dan kualiti


Semasa anda membeli-belah, pastikan tidak tergesa-gesa membeli sesuatu barang.
Sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu jenama tertentu, bandingkan kualiti
dan harganya dengan jenama lain yang merupakan alternatif terhadap barangan yang
hendak dibeli.

Panduan untuk memilih barangan


Apabila anda berpeluang untuk membuat pilihan, anda biasanya akan membuat
perbandingan dari segi harga terlebih dahulu. Sebagai contoh, anda ingin membeli syampu
di pasar raya. Anda mungkin memikirkan bahawa botol yang lebih besar adalah lebih
ekonomi berbanding dengan saiz kecil tetapi adakah anda pasti yang perkara ini benar?
Kadang-kadang saiz botol yang kecil adalah lebih ekonomi berbanding dengan saiz botol
yang besar.

2
Jadi bagaimana anda membandingkan barangan yang sama tetapi mempunyai isipadu yang
berbeza? Anda perlu ambil perhatian mengenai harga seunit. Harga seunit merupakan
asas yang baik untuk membuat perbandingan antara barangan. Misalnya harga sos tomato
ditentukan berdasarkan harga bagi setiap 100 ml.

Dengan merujuk kepada harga seunit, anda dengan mudah dapat membandingkan harga
walau apapun saiz dan rekabentuk pembungkusan sos tomato berkenaan. Harga seunit
adalah satu cara yang berkesan yang dapat membantu pengguna untuk membandingkan
harga apabila terdapat pelbagai saiz dan pembungkusan yang berbeza. Pengguna perlu
mendapatkan maklumat lain mengenai barangan, membuat perbandingan dan penilaian ke
atas setiap barangan alternatif yang ada.

Sebelum memutuskan mana satu barang atau jenama yang hendak dibeli, bandingkan
harga dan kualitinya terlebih dahulu. Perbandingan harga dan kualiti juga boleh anda
lakukan dengan membuat pengujian sendiri ke atas beberapa jenama. Perbandingan
seperti ini boleh dilakukan terhadap barangan keperluan seperti makanan, pakaian dan
sebagainya yang tidak melibatkan perbelanjaan yang besar.

Ingatlah! Barang yang bermutu tinggi.


Tidak semestinya mahal.
Tidak semestinya kerap diiklankan.
Tidak semestinya diimport.
Tidak semestinya cantik bungkusannya.
Tidak semestinya cantik katalognya.
Boleh dicari jika pembeli bijak.

Apakah yang patut dilakukan oleh pengguna untuk mencegah perbelanjaan


berlebihan?
Perubahan cara/gaya hidup bawa bekalan makanan yang telah dimasak dari rumah
sendiri, ke pejabat atau sekolah setiap hari.

3
Bersikap waspada terhadap pola perbelanjaan elakkan daripada berbelanja besar
semasa musim perayaan.
Rancang dengan teliti perbelanjaan beli barangan yang perlu sahaja. Elakkan
daripada membeli barangan yang mahal dan memperagakan kemewahan seperti baju
mahal, telefon bimbit terbaru dan makanan mahal.
Elakkan daripada membeli barangan secara berhutang seperti menggunakan kad kredit.
Amalkan sikap berjimat cermat dan perbelanjaan bukan tujuan menonjolkan
kemewahan.
Sentiasa dapatkan maklumat terkini tentang harga tertinggi bagi barangan harga
terkawal.
Buat perbandingan harga sebelum membeli sesuatu barangan.
Jangan mudah terpengaruh dengan promosi dan tawaran.
Senaraikan barangan yang perlu dibeli dan patuhi senarai tersebut dengan tekun.
Rancang kewangan dengan teliti bagi pengurusan aliran tunai seperti contoh berikut :
o Keperluan asas 50 peratus.
o Keperluan hiburan 20 peratus.
o Keperluan pertingkatkan diri 20 peratus.
o Keperluan status dan imej 10 peratus.

Panduan untuk menjadi pengguna makanan yang baik


Makanan merupakan keperluan harian asasi bagi manusia. Dalam usaha memenuhi
keperluan ini, pengguna menghadapi pelbagai masalah seperti kenaikan harga, bekalan
tidak mencukupi, tamat tempoh guna dan sebagainya. Pengguna perlu mengetahui pilihan
yang ada bagi sesuatu kategori makanan bagi memudahkan mereka membuat pilihan
sekiranya berlaku kenaikan harga. Berikut ialah panduan kepada pengguna untuk
mendapatkan makanan yang terbaik untuk kesihatan disamping menjimatkan perbelanjaan :
Makan makanan semulajadi, segar dan makanan organic.
Pilih makanan keluaran tempatan kerana ianya lebih segar, murah dan boleh
menjimatkan pertukaran asing.
Beli buah-buahan pada musimnya kerana harganya lebih murah.

4
Beli secara pukal terutamanya makanan yang tidak mudah rosak.
Kurangkan makanan yang diproses yang mengandungi ramuan seperti gula, garam dan
pewarna yang tinggi kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan.
Usahakan sendiri sumber makanan jika boleh seperti menanam sendiri sayur-sayuran.
Bagi ibu-ibu mengandung, amalkan penyusuan susu ibu.
Beli makanan berdasarkan harga seunit sukatan atau bilangan bagi tujuan perbandingan
(satu liter, satu kilogram, 100 gram).
Pastikan makanan yang dibeli memiliki khasiat yang seimbang.
Pastikan makanan berada dalam keadaan yang baik dan belum melewati tarikh luput.
Jika membeli makanan dalam tin, pastikan tin tidak kemek, berkarat, menggelembung
atau bocor.

Panduan ketika membuat kredit


Sebelum membeli secara kredit, buat pertimbangan terlebih dahulu supaya kredit tersebut
tidak membebankan.
Buat tinjauan dari beberapa sumber kredit untuk mendapatkan kos kredit yang terendah.
Pastikan bahawa anda mampu memenuhi tanggungan kewangan.
Gunakan untuk perbelanjaan utama seperti pembelian rumah dan kenderaan.
Baca kontrak pinjaman dengan teliti sebelum menurunkan tanda tangan.
Jangan menandatangani borang kontrak yang kosong.
Tentukan sama ada pemilikan serta barangan yang dibeli itu berpatutan dengan kos
kredit yang terpaksa ditanggung.
Pastikan pinjaman tidak dibuat dengan pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen.
Pinjam pada jumlah yang terendah yang diperlukan dan bukannya pada jumlah
maksimum.
Bila membeli secara kredit, pastikan mutu barangan adalah sama jika membeli secara
tunai.
Jelaskan dahulu pinjaman sedia ada sebelum membuat pinjaman yang baru.
Pastikan jika terdapat sebarang bayaran tambahan.

5
Dapatkan maklumat lengkap tentang polisi pinjaman jika tidak dapat menepati bayaran
pada masa yang ditetapkan.
Panduan untuk menyemai tabiat menabung
Kita sering dinasihatkan bahawa menabung merupakan amalan mulia. Menabung boleh
direalisasikan dengan mudah seandainya wujud kemahuan dalam diri seseorang individu.
Faedah menabung yang besar bukan hanya membantu dalam pembentukan masa depan
tetapi juga kepada anak-anak, keluarga dan negara.

Berikut adalah panduan menabung yang boleh diamalkan seperti :


Pupuk kesedaran dalam diri tentang kepentingan menabung.
Nasihati anak-anak dan sanak saudara demi kepentingan masa hadapan mereka.
Pastikan setiap individu mempunyai belanjawan peribadi yang dijadikan panduan
perbelanjaan.
Pelajari dan turut serta dalam skim-skim tabungan yang menguntungkan.
Simpan semua atau sekurang-kurangnya separuh daripada pendapatan yang tidak
dijangka, misalnya memenangi peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai,
keuntungan perniagaan atau bonus.

Panduan membeli rumah


Tindakan pembeli apabila menerima hak milik kosong
Proses penyerahan kunci dikenali sebagai penyerahan hak milik kosong. Penyerahan
pemilikan kosong hanya akan dibenarkan apabila perkara-perkara berikut diperolehi :
o Arkitek Pemaju memperakukan bangunan tersebut telah siap dengan sempurna dan
bekalan air serta elektrik sedia untuk penyambungan ke bangunan tersebut.
o Pemaju telah memohon dan memperakui boring E (Perkara 25 Undang-Undang
Kecil Bangunan Seragam 1984) telah dihantar kepada Pihak Berkuasa Tempatan
untuk dikeluarkan Perakuan Layak Menduduki (CFO).
o Pembeli telah membayar semua wang yang dikehendaki, membayar mengikut
klausa 4 (1) Jadual Ketiga dan segala wang lain yang perlu dibayar di bawah
perjanjian.

6
o Pembeli telah melaksanakan dan mematuhi segala terma dan syarat di pihaknya.

Tempoh liabiliti kecacatan


o Setelah menerima notis bertulis daripada pemaju untuk penyerahan milik kosong
(serah kunci) pembeli hendaklah segera mengambil kunci rumah dalam tempoh 14
hari.
o Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya untuk membuat pemeriksaan
bangunan/rumah bersama pemaju dan mengemukakan senarai kecacatan (jika ada)
secara bertulis kepada pemaju.
o Pembeli dinasihatkan membuat salinan kecacatan tersebut bagi tujuan semakan
kelak.
o Sekiranya pembeli tidak mengambil kunci dalam tempoh tersebut, ianya dianggap
kunci telah diambil dan sekiranya berlaku kecurian dalam tempoh selepas 14 hari,
pembeli adalah bertanggungjawab ke atasnya.

Penyelesaian
o Pembeli mempunyai tempoh 18 bulan (warranty period) untuk membuat aduan.
o Pemaju dikehendaki membaiki kecacatan yang diadukan dalam tempoh 30 hari dari
tarikh penerimaan aduan.
o Selepas tamat tempoh 30 hari, jika pemaju tidak mengambil apa-apa tindakan,
pembeli perlu memaklumkan kepada pemaju kos perbelanjaan yang diperlukan
untuk membaiki kecacatan tersebut.
o Pembeli dinasihatkan menghantar notis melalui peguamcara pembeli.
o Jika pemaju tidak mengambil apa-apa tindakan selepas 14 hari dari tempoh
pemakluman kes tersebut, pembeli berhak mendapat balik wang daripada pemaju
kos membaiki melalui memotong wang bayaran lima peratus seperti tercatat dalam
Jadual Ketiga Fasal 4 (1) sebagaimana tercatat dalam Surat Perjanjian Jual Beli
(SPJB) yang dipegang oleh peguamcara pemaju.

Serahan hak milik lewat

7
Sekiranya pemaju lambat menyerahkan pemilikan kosong seperti yang ditetapkan dalam
SPJB, pembeli berhak mendapatkan bayaran ganti rugi kelewatan penyerahan yang dikira
dengan kadar 10 peratus setahun dari harga rumah yang dibeli. Perkiraannya adalah seperti
berikut :

Jumlah hari x harga beli rumah


X 10%
365 hari

Bangunan pecah bahagi seperti pangsapuri, pemaju bertanggungjawab menyiapkan


kemudahan bersama seperti tempat letak kereta, lampu koridor, dewan serbaguna dan
sebagainya. Jika pemaju lewat menyiapkan kemudahan tersebut dalam tempoh yang
ditetapkan, pemaju perlu membayar gantirugi kepada pembeli mengikut SPJB Fasal 24 (2)
Jadual H. Pengiraan adalah seperti berikut :

Jumlah hari lewat


x 20% x harga terakhir belian x 10%
365 hari

Sekiranya pemaju enggan membayar, pembeli perlu mendapatkan khidmat peguam dan
memfailkan kes di mahkamah. Tetapi jika jumlah tuntutan kurang daripada RM25,000,
pembeli boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dengan mengisi
borang 1 di Pejabat Tribunal. Pembeli dinasihatkan supaya jangan membaiki kecacatan
atau membuat pindaan ke atas rumah atau bangunan sebelum mendapat CFO.

Tanggungjawab pembeli dalam Perjanjian Jual Beli


Pembeli bertanggungjawab membayar faedah yang dituntut oleh pemaju di atas kelewatan
membayar bayaran kemajuan. Sebarang kelewatan bayaran tuntutan kemajuan oleh
pemaju boleh memberi bebanan kepada pembeli seperti berikut :

8
o Sekiranya ansuran tidak dibayar dalam tempoh 14 hari selepas menerima notis
tuntutan diterima, faedah akan dikenakan ke atas ansuran-ansuran yang tidak
berbayar. Faedah akan dikira dari hari ke hari dengan 10 peratus setahun.
o Sekiranya terdapat ansuran yang tertunggak termasuk faedahnya belum dibayar,
pembeli perlu menjelaskannya dalam tempoh 28 hari dari tarikh surat (notis) tuntutan
bayaran diterima daripada pemaju. Sekiranya bayaran tersebut tidak dibuat dalam
tempoh tersebut, pemaju atau melalui peguamcaranya akan menghantar notis
bertulis melalui surat berdaftar kepada pembeli.
o Dalam tempoh tidak kurang daripada 14 hari selepas menerima notis tersebut, jika
pembeli masih tidak membuat pembayaran, ia bermaksud perjanjian ini ditolak oleh
pembeli dan membolehkan pemaju menamatkan perjanjian tersebut kecuali
penyelesaian dibuat dalam tempoh tersebut.

Panduan mengeluarkan wang dari bank


Orang ramai yang ingin mengeluarkan wang tunai dengan jumlah yang besar dari bank
dinasihatkan supaya berteman bagi mengelak daripada dirompak. Anda dinasihatkan
supaya :
Jangan tergopoh gapah pergi ke mesin ATM.
Gunakan ATM yang terletak di kawasan yang terang.
Sekiranya anda mengesyaki seseorang yang berhampiran, elakkan daripada terus
menggunakan mesin ATM tersebut.
Lindungi skrin ATM semasa memasukkan nombor PIN.
Jika anda rasa diri anda diekori selepas mengeluarkan wang :
Cuba camkan orang atau kenderaan tersebut.
Teruskan perjalanan anda ke tempat yang terang.

Panduan untuk menjimatkan penggunaan elektrik di rumah


Kipas
Tutup apabila tidak digunakan. Kipas yang berusia lebih daripada 20 tahun perlu diganti
kerana model yang terkini menggunakan kuasa elektrik yang rendah.

9
Televisyen dan video
Tutup bila tidak digunakan.
Seterika elektrik
Gosok pakaian yang banyak dalam satu masa.

Lampu
o Pilih lampu yang bersesuaian berdasarkan tempat.
o Bilik yang mempunyai warna dinding yang gelap akan menyerap lebih banyak
cahaya. Ini akan menyebabkan bilik kelihatan lebih terang.
o Letakkan lampu di sudut bilik.
o Guna lampu kalimantang.
o Tutup lampu apabila keluar bilik.
o Tukar lampu untuk kawasan luar rumah dengan lampu halogen.
o Apabila mentol kotor, lapkan sehingga bersih.

Panduan belanjawan isi rumah


Simpan satu rekod belanjawan isi rumah
Jangka masa yang paling lama kita boleh memperolehi pendapatan ialah tempoh 40 hingga
45 tahun iaitu sehingga usia 60 hingga 65 tahun. Untuk tempoh selepas usia 60 hingga 65
tahun, kita mungkin tidak mempunyai pendapatan. Oleh itu, pengetahuan yang baik
mengenai bagaimana mengagih pendapatan kita sepanjang jangka hayat menjamin
kehidupan yang selesa dan bahagia.

Pendapatan terbahagi kepada dua bahagian :


o Pendapatan untuk dibelanjakan.
o Pendapatan untuk tabungan.
Wang yang ditabungkan biasanya 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan bergantung
kepada keadaan isi rumah.

10
Simpan satu jadual yang menunjukkan tabungan dan hutang anda
Tabungan/pelaburan :
o Jenis (simpanan biasa, simpanan tetap, saham bon, barang kemas, insuran nyawa
dan sebagainya).
o Nilai asal.
o Kadar faedah setahun.
o Tarikh matang.
o Institusi/bank.

Hutang :
o Jenis hutang (pinjaman perumahan, pinjaman kereta, sewa beli televisyen dan
sebagainya).
o Amaun asal dipinjam.
o Tempoh pembayaran balik (contoh 24 bulan).
o Ansuran bulanan.
o Tarikh ansuran pertama.

Simpan rekod barangan tahan lama seperti kereta, rumah, alat-alat elektrik atau
elektronik yang besar
Disimpan bersama :
o Nama alat/barang.
o Tarikh beli.
o Nombor siri produk.
o Alamat pusat servis.
o Rekod pembaikan, waranti dan sebagainya.
o Brosur dan manual.

Penutup

11
Kuasa berbelanja terletak di tangan pengguna. Mereka berhak membeli barangan atau
perkhidmatan terbaik seimbang dengan nilai wang yang dibayar. Seseorang pengguna yang
dikategorikan sebagai Pengguna Bijak boleh dinilai dari segi kearifan mereka membuat
pertimbangan, bermaklumat serta bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan yang dibuat
termasuk berbelanja mengikut kemampuan dan tidak keterlaluan. Peniaga pula hendaklah
sentiasa memastikan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan memberi manfaat
kepada pengguna. Dalam urusan jual beli, peniaga hendaklah sentiasa bersikap sederhana
dalam menentukan kadar keuntungan dan tidak mengabaikan amalan beretika dalam
perniagaan.

Sumber maklumat :
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

12

Anda mungkin juga menyukai