Anda di halaman 1dari 3

CONTOH RENCANA

BEKERJA UNTUK MASA DEPAN

Oleh NASSRUL HAKIM MD JANI

HIDUP mesti diteruskan, betapa berat pun rintangan dan kesusahan, kami percaya kami boleh
bangkit semula dan kami akan membangunkan semula negeri ini, kerana Tuhan tidak suka mereka
yang berputus asa. Kata-kata ini dipetik dari sebuah rancangan majalah di kaca televisyen yang
memaparkan kehidupan selepas bencana gempa bumi yang melanda Sumatera suatu ketika dulu.

Tidak lama sebelum itu mereka ditimpa bencana tsunami dahsyat pada 26 Disember 2004 yang
menelan korban seramai 126 ribu orang. Dan berbagai-bagai lagi siri gempa bumi yang menghimpit
rakyat Indonesia seperti gempa bumi di Yogjakarta pada Julai 2005 dan Bengkulu pada September
2007.

Apa yang menarik untuk direnungkan daripada bencana dan kemusnahan yang melanda Indonesia
ialah tentang ketabahan rakyatnya untuk menghadapi bencana tanpa mengalah kepada nasib
semata-mata.

Begitu juga dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang. Kenaikan harga minyak telah melarat
menjadi inflasi yang telah memamah pendapatan kita.

Kuasa beli kita menjadi kecil apabila harga barang semakin meningkat secara mendadak sedangkan
pendapatan kita tidak bertambah. Dan penulis kira ia juga boleh dikategorikan sebagai bencana
kerana kita merasai kesusahan, keperitan dan kesan yang besar dalam kehidupan seharian.

Pada masa ini kerajaan sedang bertungkus-lumus berusaha untuk mengurangkan beban rakyat dan
ada juga kumpulan yang mendakwa boleh menurunkan harga minyak sekiranya berkuasa. Penulis
tidak berminat untuk mengulas dari sudut politik. Biarkan pihak yang berkuasa menjalankan
tanggungjawab mereka.

Tetapi apa pula peranan kita secara individu untuk berhadapan dengan bencana ini? Apakah kita
harus menjerit dan menangis menghadapi kegawatan ini? Adakah kita masih mengharapkan harga
minyak ini turun dengan mendadak pada masa akan datang? Dan jika turun pun, adakah harga
barangan yang naik ini akan turun juga?

Kita harus menerima hakikat bahawa apa yang berlaku sekarang adalah realiti yang harus kita
hadapi. Harga barangan kini semakin mahal dan kuasa beli kita semakin berkurangan.

Katakan dahulu kita boleh menabung sedikit daripada pendapatan bulanan kita, kini mungkin semua
pendapatan habis digunakan. Dan kalau dahulu pada mereka yang langsung tidak dapat menabung,
kini sudah pasti mereka terpaksa pula mengurangkan barang-barang yang boleh dibeli.

Kita pernah melalui zaman-zaman susah sekitar krisis ekonomi 1997/98. Pada masa itu pertumbuhan
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot daripada sekitar 7 peratus pada tahun 1997 kepada
sekitar negatif 7 peratus pada tahun 1998.
Dan pasaran saham Malaysia kehilangan lebih tiga suku dari nilai modalnya, atau lebih RM567.34
bilion wang rakyat negara ini hilang begitu sahaja akibat daripada kejatuhan harga saham dari Julai
hingga September 1998.

Bagaimana caranya kita perlu mempersiapkan mental kita untuk berhadapan dengan krisis ini? Kita
biasa mendengar seseorang yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser
boleh memanjangkan hayat sekiranya mereka berusaha melawan penyakit dan tidak hanya melayan
kesakitan. Melawan penyakit ini adalah peranan mental atau otak dan perasaan. Dan ia mempunyai
kesan psikologi yang besar.

Di sinilah peranan psikologi dalam menghadapi bencana ekonomi ini. Merungut, meratap dan
menangis tidak akan merubah apa-apa.

Yang penting kita mesti sama-sama berfikiran positif mengharunginya dan terus bekerja keras
memperbaiki taraf hidup.

Kalau kita terus melayan kebimbangan dan kesedihan ini, kita mungkin tidak boleh bekerja dan
termenung yang akhirnya memburukkan lagi keadaan. Atau mungkin ada yang bunuh diri atau
menjadi gila.

Setiap kita harus berusaha untuk menambah pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan
yang semakin meningkat kerana inflasi.

Kerajaan sendiri telah pun memberikan keizinan kepada kakitangan kerajaan daripada kumpulan
sokongan untuk menjalankan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan untuk menambah
pendapatan.

Penulis berpendapat kebenaran ini harus juga dipanjangkan kepada golongan pengurusan dan
profesional seperti kumpulan guru untuk menjadi guru tuisyen kerana golongan ini juga turut
menerima kesan dengan masalah ekonomi terutama mereka yang mempunyai keluarga yang besar.

Satu perkara yang kita jangan lupa ialah untuk sentiasa berdoa kepada Tuhan agar bencana yang kita
sedang hadapi ini akan berakhir juga satu masa nanti.

Dalam dunia ini tidak ada yang berkekalan. Percayalah bahawa kesengsaraan adalah sementara dan
kebahagiaan juga sementara. Satu hari nanti semuanya akan pulih seperti sedia kala sekiranya kita
berusaha dan tabah mengharunginya.

Kita telah membuktikan bahawa kita telah berjaya keluar daripada krisis ekonomi lepas dengan cara
kita sendiri dan kemudian kita kembali makmur.

Anggaplah kemewahan kita yang lepas sebagai sesuatu yang telah berlalu dan tiada lagi. Tapi kita
masih ada ruang untuk memperbaiki masa depan. Hidup mesti diteruskan.

Kita harus mengharapkan yang terbaik tetapi bersedia untuk yang terburuk. Kita perlu terus bekerja
keras membina sesuatu untuk generasi akan datang dan mengharungi krisis ini dengan tabah dan
berani.
Seperti yang dinyatakan dalam sebuah iklan Petronas; Adakah apa yang kita ada sekarang mampu
membawa kita ke masa depan? Suatu perkara yang harus kita renungkan.

Anda mungkin juga menyukai