Anda di halaman 1dari 6

1.

0 Model Kepimpinan 4E
Menurut Jeffery A.Krames dari Jack Welch, pemimpin yang hebat mempunyai ciri 4E iaitu
bertenaga dan bersemangat tinggi ( energy), bijak mendorong pasukannya ( energies ), cekal
dan berani menghadapi cabaran dan membuat keputusan yang sukar (edge ) serta seorang
pelaksana yang cekap (executes ).
Kaedah model 4E melahirkan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Ciri-ciri itu
adalah seperti berikut:
i) Energy
Individu yang mempunyai energy sentiasa bertenaga, tangkas dan bergerak aktif.
Individu seperti ini biasa bangun awal dan tidak sabar mahu ke pejabat untuk
memulakan tugasnya.
ii) Energizes
Individu yang energizes merupakan pendorong yang bersemangat tinggi. Mereka
bijak mendorong orang lain melakukan kerja. Individu sebegini akan menetapkan
suatu matlamat dan mendorong serta menaikkan semangat orang lain untuk
mencapai matlamat itu. Mereka tidak mementingkan diri sendiri , bahkan akan
memuji sesuatu kerja yang baik dan berani bertanggungjawab sekiranya
berhadapan dengan kegagalan.Berkongsi kejayaan dan kegagalan bagi mereka
sangat penting demi memupuk dan memelihara semangat rakan sepasukan.
iii) Edge
Pemimpin sebegini tidak takut bersaing dan cekal menghadapi cabaran.Mereka
berani membuat keputusan yang sukar dan tidak menjadikan kesukaran itu sebagai
cabaran ataupun alasan. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan tanpa
ragu-ragu berani membuat keputusan penting seperti mengambil pekerja baharu,
menetapkan kenaikan pangkat dan memecat pekerja.
iv) Executes
Hasil daripada aplikasi konsep kepimpinan adalah sangat penting. Hasil
seharusnya dapat diukur dan dinilai keberkesanannya kepada sesebuah organisasi
itu. Pemimpin yang baik tidak seharusnya sekadar boleh melaksanakan sesuatu
tugas dengan berkesan, memahami aktiviti dan produktiviti semata-mata.
Pemimpin yang bijak akan mengerah semangat, tenaga dan kegigihan pasukannya
supaya bertindak sehingga berjaya mencapai matlamat organisasi.
Bagaimanapun, beberapa syarat utama perlu dipenuhi sebelum mempraktikkan model 4E.
Kualiti seperti intergriti, karakter dan etika kerja yang baik adalah sangat penting. Kriteria ini
merupakan perkara asas dalam kepimpinan kerana seseorang pemimpin dilihat tidak
sempurna tanpa kriteria ini. Selain daripada itu, pemimpin yang baik seharusnya mempunyai
passion, iaitu keghairahan dan semangat yang tinggi dalam apa jua yang mereka lakukan.

2.0 Gaya Kepimpinan


Kejayaan sesebuah organisasi juga bergantung kepada gaya kepimpinan pemimpinnya. Gaya
kepimpinan merupakan cara seseorang pemimpin menggunakan kuasa yang dimilikinya
sebagai alat untuk mempengaruhi pekerja bawahannya supaya bekerja kuat untuk mencapai
matlamat organisasi mereka. Menurut Blake & Mouton ( 1964 ), pada dasarnya gaya
kepimpinan boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu:
i) Kepimpinan Autokratik
Pemimpin yang mengamalkan gaya autokratik amat mementingkan pelaksanaan
tugas. Mereka menggunakan sumber kuasa formal dalam memimpin organisasi.
Pemimpin sebegini akan membuat keputusan yang berkaitan tugas, mengeluarkan
arahan dan memastikan arahan itu dipatuhi. Pemimpin dalam industry biasanya
mengamalkan gaya kepimpinan ini.
ii) Kepimpinan Demokrasi
Gaya kepimpinan demokrasi adalah di mana pemimpin menggalakkan semua
pekerjanya melibatkan diri dalam organisasinya. Mereka memberikan peluang
kepada setiap ahli organisasi untuk memberikan pendapat atau pandangan
sebelum sesuatu keputusan diambil.
iii) Kepimpinan Berperikemanusiaan
Pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan berperikemanusiaan
menunjukkan minat yang tinggi terhadap pekerjanya. Mereka mementingkan
suasana kerja yang baik, memupuk jalinan persahabatan yang mesra dalam
kalangan pekerjanya. Mereka cuba menghindarkan konflik kerana menganggap
konflik boleh meruntuhkan sesebuah organisasi. Setiap persengkataan
diselesaikan dengan pemuafakatan.
iv) Kepimpinan Laissez-Faire ( Kebebasan )
Pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan laissez-faire pula tidak
menunjukkan minat yang ketara dalam melaksanakan tanggungjawab yang
diamanahkan kepadanya. Pada kebiasaannya, beliau tidak perduli mengenai kerja
atau hasil serta matlamat organisasinya. Beliau tidak menggunakan kuasa yang
diberikan kepadanya sepenuhnya dan menyerahkan keputusan kepada pekerja
bawahannya.

3.0 Kaedah kepimpinan dan pengurusan Dato Mokhtar Bin Harun


Dato Mokhtar menunjukkan ciri-ciri 4E dalam kerjayanya terutamanya semasa penglibatan
awalnya dalam syarikat-syarikat elektronik antarabangsa.
3.1 Beliau merupakan seorang individu yang sentiasa bertenaga, tangkas dan aktif. Sikap ini
ditunjukkan apabila beliau amat mementingkan masa. Contohnya masa untuk bermesyuarat
dan temujanji. Beliau akan pastikan beliau datang lebih awal dengan persediaan yang
lengkap. Bahan-bahan yang diperlukan untuk mesyuarat dan temujanji disediakan dengan
lengkap. Bahkan, beliau telah menunggu kami lebih awal daripada masa yang kami janjikan
untuk temujanji wawancara kami. Beliau menyediakan ruang yang selesa dan menggalakkan
kali bertanya. Setiap jawapan yang diberikan menunjukkan beliau memang amat berminat
dalam bidang yang diceburinya. Keupayaan beliau masih cergas dalam usia emas ini
mungkin banyak dipengaruhi oleh gaya hidupnya yang amat mementingkan gaya hidup sihat
dengan kerap bersenam, beriadah dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Kegemaran
Dato Mokhtar adalah menunggang kuda dan beliau amat menjaga kebersihan.
3.2 Dato Mokhtar adalah seorang yang bersemangat tinggi. Beliau mempunyai kewibawaan
yang tinggi sebagai pemimpin sehingga menjadi anak Melayu pertama dilantik menjadi Vice
Presiden Asia Pasific. Beliau bijak mencari ruang dan peluang. Ini terbukti apabila beliau
menawarkan diri untuk berhenti kerja dari syarikat elektronik terkemuka untuk menceburkan
diri dalam perniagaan sendiri dalam bidang yang lain iaitu pembinaan, landskap serta
automotif.
Setelah berkecimpung lama dalam berbagai bidang perniagaan, beliau akhirnya
menjalankan perniagaan rangkaian Hotel dengan identiti sendiri iaitu Hotel Transit di
kebanyakan Terminal Bas di seluruh Malaysia. Konsep hotel transit ini adalah cetusan idea
beliau dan telah dipatenkan yang mana merupakan strategi beliau dalam mengekalkan
prestasi perniagaannya. Beliau juga melibatkan diri sebagai broker hartanah dan pemaju
perumahan. Dalam menjalankan tugasnya, beliau kerap menekankan tentang Key
Performance Indicator (KPI) yang perlu dicapai oleh setiap pekerjanya, bahkan untuk dirinya
sendiri. Beliau sentiasa mendorong pekerjanya dan pernah memberikan ganjaran iaitu bonus
setiap 3 bulan sekali.
3.3 Dato Mokhtar merupakan seorang pemimpin yang tidak takut bersaing dan sangat cekal
menghadapi cabaran. Bahkan, beliau amat suka kepada cabaran dan menganggap cabaran
akan menambahkan pengalaman dan cabaran itu menjadikan urusan harian beliau lebih
menyeronokkan..
Beliau tidak gentar bersaing dengan ahli perniagaan lain terutama dari kaum Cina
yang lebih berpengalaman dan sanggup menanggung risiko dalam perniagaan. Beliau
sanggup mengatur “cut costing planning” walaupun dengan keuntungan yang amat minima.
Contohnya, dengan membina rumah penduduk Felda dengan harga RM 1000 sahaja.
Tindakan ini diambil bagi memastikan beliau berjaya mendapat projek yang diinginkan.
Walaupun pernah jatuh dalam mengemudi perniagaannya, tapi beliau terus bangkit dan tidak
menyerah kalah. Contohnya, apabila mengalami kerugian dalam projek beliau di Felda Aring
Gua Musang. Beliau bangkit semula dan meneruskan perniagaannya.
Dato Mokhtar adalah seorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap
kerjayanya dan tidak ragu-ragu membuat keputusan yang sukar. Beliau pernah
memberhentikan pekerjanya yang tidak berubah walaupun ditegur semasa memegang
jawatan di peringkat pengurusan di syarikat Motorola. Keyakinan itu masih ditunjukkan
hingga kini apabila beliau tidak keberatan utnuk memecat pekerja organisasinya yang tidak
mencapai tahap sepertimana yang dikehendaki. Bahkan beliau kini menggaji pekerja dari
kalangan ahli keluarga dan masih tekal dalam membuat keputusan sebarang keputusan.
3.4 Oleh kerana bermula dari bawah dan pernah mengalami kegagalan, Dato Mokhtar kini
lebih bijak mengukur hasil dan keberkesanan peranan pekerja bawahannya. Beliau
melibatkan diri secara langsung dalam mengawal perniagaannya. Beliau kerap mengawasi
dan mendapatkan maklumat daripada pekerjanya walaupun agak jauh. Dato Mokhtar
menggunakan medium elektronik dengan baik untuk berhubung seperti e mel dan aplikasi
lain dalam gajet telefon pintar seperti aplikasi WhatsApp.
Dalam melaksanakan tugasnya, beliau menggunakan beberapa pendekatan iaitu Two
Way Communication, Leadership by Eample, Flexibility serta Human Touch dan Insentif.
Dengan cara ini, beliau berharap pekerja beliau akan melaksanakan tugas untuk mencapai
matlamat syarikat beliau.

4.0 Gaya kepimpinan Dato Mokhtar Bin Harun


Latihan terbaik dalam sesebuah organisasi adalah latihan di luar kelas, iaitu latihan semasa
bekerja. Contohnya, perbincangan tidak formal, mesyuarat dalam jabatan dan juga bimbingan
secara personal. Pengurus yang proaktif juga perlu memastikan kakitangan mempunyai akses
kepada maklumat, alat dan pembelajaran dan latihan yang diperlukan supaya mereka dapat
melakukan tugas dengan efektif.
Pada pendapat kami, Dato Mokhtar mengamalkan semua gaya kepimpinan kecuali
Laissez-Faire. Beliau dianggap mengamalkan kepimpinan autokratik apabila beliau amat
tegas dalam memimpin dan tidak keberatan untuk memecat pekerja yang tidak komited
kepada kerja. Setiap sasaran beliau adalah bersifat objektif dan perlu dipatuhi oleh semua
pekerja. Walaupun begitu, pada masa yang sama, soal kebajikan pekerja sentiasa
dititikberatkan. Pemberian insentif akan mengurangkan tekanan kepada pekerja. Ini
menujukkan bahawa beliau mengamalkan kepimpinan dengan gaya berperikemanusiaan.
Apabila beliau kerap mengadakan mesyuarat dan perjumpaan bagi mendengar
pendapat pekerja bawahannya menunjukkan beliau mengamalkan demokrasi dalam
kepimpinan. Kesediaan beliau untuk bergerak jauh,contohnya dari Melaka ke Kuala Lumpur
atau Ipoh menunjukkan kesungguhan beliau mengamalkan kepimpinan demokrasi. Beliau
tidak mengamalkan Laissez-Faire kerana beliau menunjukkan minat dan kesungguhan yang
tinggi dalam memimpin syarikatnya sejak dahulu lagi.

Rujukan:

http://mohd-farid.weebly.com/uploads/1/2/7/4/1274031/gaya_kepimpinan.pdf pada 3/5/2016


jam 1.55 pg

Krames, A.Jefferey. Kuasa Kepimpinan 4E (2013). PTS Professional Sdn Bhd. Kuala
Lumpur

Anda mungkin juga menyukai