Anda di halaman 1dari 2

SOROTAN KAJIAN

Sejajar dengan perkembangan abad ke-21 ini, aspek teknologi kini menjadi satu wadah kepada
para pelajar mahupun pendidik untuk menyampaikan sesuatu ilmu dengan berkesan.
Berdasarkan kenyataan di atas kajian yang akan saya lakukan juga adalah berdasarkan aspek
teknologi iaitu perisian ‘Adobe Illustrator’. Kajian ini bertujuan untuk menghasilkan bunga dengan
menggunakan perisian komputer yang dikenali sebagai ‘Adobe Illustrator’. Tugasan ini
sememangnya mempunyai hubungkait dengan isi pelajaran yang disampaikan kursus Seni Dua
Dimensi ini.

Lanjutan daripada itu, seni 2D mempunyai pelbagai aspek seperti lukisan, catan, mural,
grafik dan sebagainya. Kesemua aspek ini memainkan peranan yang tersendiri terutamanya
dalam menghasilkan suatu karya seni. Dalam pada itu, lukisan boleh diertikan sebagai satu teknik
menggambar atau hasil kerja seni yang dibuat untuk meluahkan perasaan berbentuk imej dengan
menggunakan media kering atau menggunakan warna yang minimum. Justeru, aspek ini
merupakan batu asas bagi segala hasil karya seni.

Seterusnya, catan merupakan satu proses menyapu warna atau cat ke atas sesuatu
permukaan rata. Catan ini dihasilkan melalui sapuan warna ke atas permukaan rata dengan
menggunakan berus. Secara ringkasnya, aspek ini merupakan satu hasil kerja estetik dihasilkan
dengan mengaplikasikan warna basah ke atas permukaan 2D. Bertitik tolak dari situ, mural juga
merupakan salah satu unsur dalam seni ini. Mural adalah sebarang karya
seni yang dicat atau dilukis secara langsung pada dinding, siling atau permukaan besar
yang kekal. Tujuan mural ini adalah untuk menyampaikan atau menunjukkan unsur-unsur seni
dan mesej-mesej yang berkait rapat dengan ruang atau tempat dan keadaan tempat tersebut.

Manakala, unsur grafik pula merupakan suatu unsur moden yang kini digunakan secara
luas dalam bidang seni ini. Grafik secara amnya didefinisikan sebagai sebuah lukisan, gambar
atau huruf yang dihasilkan dengan menggunakan media tertentu seperti pen, pensel, berus dan
sebagainya. Dengan perkembangan teknologi moden, komputer juga kini telah digunakan secara
meluas dalam penghasilan pelbagai jenis grafik. Dalam pada itu, grafik berkomputer atau grafik
digital merujuk kepada sebarang hasil kerja grafik yang dihasilkan menggunakan sama ada
perkakasan atau pun perisian komputer.

Sehubungan dengan itu, kajian seni saya melibatkan unsur yang keempat iaitu unsur
grafik. Seperti yang dihuraikan di pendahuluan saya dikehendaki untuk menghasilkan bunga
pilihan saya dengan menggunakan perisian komputer yang dikenali sebagai ‘Adobe Illustrator’.
‘Adobe Ilustrator’ merupakan suatu aplikasi yang digunakan oleh artis, pereka grafik
untuk menghasilkan ‘vector artwork’ yang boleh digunapakai untuk pencetakan digital. Aplikasi
ini dlengkapi dengan pelbagai jenis alat (tools) untuk menghasilkan lukisan bebas tangan, tracing,
mewarna semula dan sebagainya. Bukan sahaja itu malah perisian ini juga turut membantu dalam
menjimatkan kos mahupun masa dalam menyiapkan sesuatu karya seni serta mesra alam.
Berdasarkan aspek-aspek inilah kami memilih untuk menjalankan tugasan kami dengan perisian
ini.

Pada masa yang sama, tema yang dipilih untuk kajian ini ialah tema bunga-bungaan. Hal
ini demikian kerana, bunga merupakan ciptaan semulajadi yang mempunyai unsur organik dan
mudah untuk menghasilkan karya dengan berpandukannya. Ianya tidak sebegitu susah
berbanding dengan unsur geometri kerana dalam unsur geometri para pelukis perlu memastikan
setiap satu elemen itu tepat mengikut piawannya. Oleh hal yang demikian, tema bunga ini
menjadi pilihan pensyarah mahupun guru pelatih bagi memudahkan tugas yang bakal
dilaksanakan.

Tema bunga-bungaan merupakan satu konsep yang luas. Hal ini demikian kerana,
mengikut kajian para saintis terdapat lebih kurang 400,000 jenis bunga di dunia ini. Angka ini
sememangnya menunjukkan bahawa terdapatnya pelbagai jenis bunga dengan pelbagai rupa
dan warna. Berdasarkan hal ini, saya telah memilih bunga Anthurium yang dikenali juga sebagai
‘Flamingo Flower’. Secara ringkasnya, bunga ini bukannnya bunga yang berasal dari luar negara
malah ia merupakan bunga tempatan yang lazimnya kita boleh melihat di sekitar kawasan
sekolah. Jika kita meneliti akan rupa bentuknya ia mempunyai struktur yang tidak begitu kompleks
serta mudah untuk dilukis. Oleh hal yang demikian, saya memilih bunga tersebut sebagai bunga
pilihan saya.

Bukan saja itu, malah saya juga turut menamakan hasil saya sebagai ‘Life’. ‘Life’
bermaksud kehidupan. Jika melihat bentuk bunga Anthurium tersebut ia seolah-seolah berbentuk
hati. Berpandukan bentuk tersebut saya mengandaikannya sebagai kehidupan seorang manusia.
Bukan saja itu, malah urat-urat yang terkandung dalam bunga tersebut juga mendorong saya
untuk memilih tajuk ini. Hal ini demikian kerana, urat-uratnya terdiri daripada berbagai bentuk.
Dengan itu, saya kaitkannya dengan lumrah kehidupan seseorang manusia iaitu suka dan duka
bukannya aspek-aspek yang berlainan. Malah, kedua-dua aspek itulah yang memainkan peranan
dalam membentuk seorang insan. Justeru, hujah-hujah di atas inilah yang membantu saya untuk
memilih tajuk sedemikian.

Anda mungkin juga menyukai