Anda di halaman 1dari 17

………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Pengenalan Kepada
BAB Sosiolinguistik

HASIL PEMBELAJARAN

Pada akhir bab ini pelajar akan dapat:

1. Menjelaskan konsep sosiolinguistik;

2. Menyatakan bidang-bidang kajian sosiolinguistik;

3. Membincangkan kajian-kajian yang berkaitan dengan struktur


sosiolinguistik; dan

4. Mengenal pasti penggunaan bahasa mengikut konteks sosial dan


budaya.

ELS322 SOSIOLINGUISTIK
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

1.1 PENGENALAN

Bidang sosiolinguistik merupakan bidang yang perlu diketahui oleh pengkaji


bahasa. Ini kerana bidang ini saling melengkapi antara satu sama lain dengan bidang
ilmu linguistik yang lain. Pengkajian bidang ilmu linguistik tidak lengkap jika bidang
sosiolinguistik tidak diberi penekanan sewajarnya oleh pengkaji bahasa. Sebagai
cabang ilmu dalam linguistik, bidang sosiolinguistik dilihat dapat melengkapi bidang
kajian ilmu linguistik. Ini kerana sosiolinguistik merupakan kajian yang berkaitan
dengan bidang bahasa dan kaitannya dari sudut kegunaannya dalam masyarakat.

Fenomena ini dianggap penting memandangkan bidang sosiolinguistik memberi


ruang kepada sesuatu bahasa digunakan dalam konteks masyarakat di mana ruang
diberikan kepada pengkaji bahasa untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa
tersebut mengikut konteks masyarakat tertentu kerana tidak semua bahasa boleh
digunakan dalam sesuatu masyarakat. Dengan pemahaman sosiolinguistik,
pengguna bahasa dapat menggunakan bahasa dengan tepat mengikut keperluan
masyarakat yang diwakili oleh mereka.

Berdasarkan kepentingan bidang ini, dalam topik ini, pelajar akan didedahkan kepada
konsep sosiolinguistik, bidang kajian sosiolinguistik, kedudukan sosiolinguistik dalam
bahasa, kajian struktur sosiolinguistik serta penggunaan bahasa mengikut konteks
sosial dan budaya. Kesemua subbidang ini akan disentuh memandangkan
kepentingannya dalam memberi gambaran kasar kepada pelajar sebelum mendalami
bidang ini dalam topik-topik yang berikutnya.
1.2 KONSEP SOSIOLINGUISTIK

Bidang linguistik muncul pada Mei 1964 dalam satu persidangan khas untuk
membicarakan hubungan antara bahasa dan masyarakat. Pada mulanya, ia dikenali
dengan berbagai-bagai nama, misalnya “linguistik antropologi”, “bahasa dan
kebudayaan” dan merupakan satu disiplin yang diajar di Jabatan Antropologi, Amerika
Syarikat. Pada tahun 1960-an, istilah sosiolinguistik mula digunakan dan kini
statusnya sebagai satu disiplin yang tersendiri diterima umum. Keadaan ini wujud
kerana ahli bahasa mendapati bahawa di samping kajian terhadap bahasa, kajian
bahasa yang dikaitkan dengan masyarakat penggunanya menjadi tajuk menarik.
Justeru, usaha untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin ilmu bermula di
sini. Sosiolinguistik adalah salah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama
sosiolinguistik terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-
disiplin yang meneliti masyarakat) dan linguistik - disiplin yang meneliti bahasa.

Sosiolinguistik adalah bahagian pengajian (studies) dan pengkajian (research)


yang menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi dan linguistik.

Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan kepada
dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Sosiolinguistik menganggap bahasa dan
masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti tersebut
yang rapat. Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan
hubungan sistematik yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, iaitu
sama ada sesuatu struktur bahasa itu menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu
atau sebaliknya (Teo Kok Seong: 42-43).

Menurut Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie
(1952) yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan
antara perlakuan bahasa dan status sosial. Istilah tersebut pada mulanya bermaksud
untuk menerangkan suatu pendekatan menggabungkan dua disiplin bagi
membolehkan penyelidikan yang dijalankan mendapat penerimaan umum. Di England,
tugas sosiolinguistik muncul dengan buah fikiran Malinowski yang diluaskan oleh Firth.
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

Walaupun istilah institusi linguistik lebih digunakan, namun bidang yang diliputi tidak
berbeza daripada yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang sosiolinguistik
juga merupakan daya usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan hakikat
bahawa sosiolinguistik itu merupakan cabang dalam bidang antropologi, khususnya
antropologi sosial yang mementingkan analisis struktur sosial masyarakat (Nik Safiah
Karim, 1981).

Menurut Fishman, kajian sosiolinguistik bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih


tertumpu pada perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi pola
pemakaian bahasa atau dialek dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau
dialek tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan. Bidang
sosiolinguistik membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan
masyarakat. Antara aspek tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa,
bahasa, kelainan bahasa, sikap terhadap bahasa, perancangan bahasa dan
sebagainya. Bidang sosiolinguistik terapan pula menggabungkan kajian
sosiolinguistik dengan kajian pendidikan. Bidang ini menjadi satu disiplin ilmu yang
tersendiri.

Secara kasarnya, sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan aspek-aspek


hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Mengikut Bright (1966), tugas ahli
sosiolinguistik ialah “untuk memperlihatkan perbezaan-perbezaan yang saling
mempengaruhi antara struktur bahasa dengan struktur sosial”. Hymes (1968)
mendefinisikan kegiatan bidang sosiolinguistik sebagai satu aktiviti disiplin di mana
ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan penting masing-
masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik
(Wong Shek Seng, 1987).

Sosiolinguistik sering ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang meneliti segala macam
aspek yang berkenaan hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Lingkungan
hubungan antara bahasa dengan masyarakat adalah amat luas dan boleh mengambil
pelbagai bentuk atau manifestasi. Contohnya, gaya bercakap yang berlainan antara
masyarakat Timur dengan masyarakat Barat. Selain itu, terdapat beberapa pengertian
lain kepada konsep sosiolinguistik (Zulkifley Hamid, Ramli Salleh dan Rahim Aman,
2006).

Sosiolinguistik merupakan disiplin yang berasal daripada disiplin sosiologi dan


linguistik, iaitu dua bidang ilmu empiris yang mempunyai kaitan sangat erat. Sosiologi
ialah kajian yang objektif dan ilmiah tentang manusia, lembaga sosial dan proses
sosial yang ada dalam masyarakat. Sosiologi berusaha untuk mengetahui bagaimana
masyarakat itu terjadi, hidup dan wujud hingga ke hari ini . Dengan mempelajari
lembaga sosial dan segala masalah sosial dalam masyarakat, kita dapat mengetahui
cara manusia menyesuaikan diri dengan lingkungannya, bagaimana mereka bersosial
dan menempatkan diri dalam tempat masing-masing dalam masyarakat. Linguistik
pula adalah bidang ilmu yang mempelajari bahasa atau bidang ilmu yang mengambil
bahasa sebagai objek kajiannya. Oleh yang demikian, kesimpulannya ialah
sosiolinguistik itu adalah bidang ilmu disiplin yang mempelajari bahasa dalam
kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam masyarakat (Noriah Mohamed,
2003).

De Saussure (1961) telah menghuraikan konsep sosiolinguistik ini dengan


menyebutkan bahawa bahasa ialah lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan
lembaga kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan, pewarisan harta
peninggalan dan sebagainya.

Dimensi kemasyarakatan bukan hanya memberi “makna” kepada bahasa, tetapi juga
menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. Ragam-ragam bahasa ini bukan
hanya dapat menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga
memberi indikasi tentang situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah
dan modus-modus penggunaan bahasa (Noriah Mohamed, 2003). Charles Morris
dalam bukunya Sign, Language and Behaviour (1946) membicarakan bahasa sebagai
sistem lambang yang membezakan tiga macam kajian bahasa berkenaan dengan
fokus perhatian yang diberikan. Jika perhatian difokuskan pada hubungan antara
lambang dengan maknanya, ini disebut semantik. Jika fokus perhatian diarahkan pada
hubungan lambang dengan lambang, ia disebut sintaksis dan kalau fokus perhatian
diarahkan pada hubungan antara lambang dengan para penuturnya disebut pragmatik.
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

Kajian antara lambang dengan penuturnya disebut sebagai sosiolinguistik (Noriah


Mohamed, 2003). Sebagai objek dalam sosiolinguistik, bahasa tidak dilihat atau
didekati sebagai bahasa seperti dilakukan oleh sosiolinguistik umum, melainkan
dilihat atau didekati sebagai sarana interaksi atau komunikasi dalam masyarakat
manusia. Sosiolinguistik juga lazimnya didefinisikan sebagai ilmu yang mempelajari
ciri dan pelbagai variasi bahasa serta hubungan antara ahli bahasa dengan ciri fungsi
variasi bahasa itu dalam masyarakat bahasa (Kridalaksana, 1978).

Pengkajian bahasa dengan dimensi masyarakat disebut juga sosiolinguistik (Nababan,


1984). Sosiolinguistik ialah kajian tentang ciri-ciri khas variasi bahasa, fungsi-fungsi
bahasa dan pemakai bahasa kerana ketiga-tiga unsur ini selalu berinteraksi, berubah
dan saling mengubah satu sama lain dalam masyarakat tutur atau masyarakat bahasa
(Fishman, 1972). Menurut Fishman lagi, sosiolinguistik berbeza daripada linguistik.
Dalam sosiolinguistik, pada umumnya, yang dikaji bukan deskripsi linguistik secara
terperinci daripada segi kegramatisan tetapi tentang perbahanan dan pemahaman
tentang perhubungan antara bahasa dengan berbagai-bagai institusi sosial. Selain itu,
sosiolinguistik ialah kajian tentang bahasa dan pemakaiannya dalam konteks sosial
dan budaya (Appel, Hubert & Meijer, 1976).

Fishman (1968) juga menyatakan bahawa sosiolinguistik merupakan kajian terhadap


‘pattern co-variation of language and society’, iaitu kajian yang mementingkan
kewujudan kelainan bahasa seperti dialek (geografi dan sosial), laras, gaya bahasa
dan sebagainya dalam sesebuah komuniti bahasa. Dalam hal ini, Fishman (1968) juga
membicarakan bahawa hanya sosiolinguistik yang merupakan satu-satunya disiplin
ilmu yang mementingkan kajian terhadap bahasa dan hubungannya dengan
pengguna bahasa. Sosiolinguistik ialah cabang ilmu linguistik bersifat “inter discipliner”
dengan ilmu sosiologi di mana objek penelitian hubungan antara bahasa dengan
faktor-faktor sosial dalam suatu masyarakat tutur atau secara lebih operasional lagi
seperti yang dikatakan Fishman (1972), “... study of who speak what language to
whom and when”.

Menurut Criper dan Widdowson (1975), sosiolinguistik ialah kajian bahasa dalam
penggunaannya, dengan tujuan untuk meneliti bagaimana konvensi pemakaian
bahasa berhubungan dengan aspek-aspek lain berdasarkan tingkah laku sosial.
Sementara itu, menurut Booji, Kersten dan Verkuyl (1975), sosiolinguistik ialah sub
disiplin ilmu bahasa yang mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan dalam
penggunaan bahasa dan pergaulan sosial. Bagi Hickerson (1998) pula, sosiolinguistik
ialah pengembangan subbidang linguistik yang memfokuskan penelitian pada variasi
ujaran serta mengkajinya dalam suatu konteks sosial. Sosiolinguistik meneliti korelasi
antara faktor-faktor sosial itu dengan variasi bahasa.

Di samping itu, Hymes pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai satu bidang yang
mengkaji lakonan bahasa daripada segi hubungan antara latar (setting),peserta
(participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan
nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama
sendiri. Beliau juga mendefinisikan bidang sosiolinguistik sebagai suatu aktiviti antara
disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan
masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah sumbangan oleh ahli-ahli linguistik
(Nik Safiah Karim, 1981).

Menurut Trudgill (1974), sosiolinguistik adalah sebahagian daripada linguistik yang


bersangkutan dengan bahasa sebagai suatu fenomena sosial dan budaya.
Sosiolinguistik menggunakan bahan, metodologi atau penemuan sains sosial
(khususnya sosiologi dan antropologi), tetapi beberapa aspek geografi sosial atau
manusia juga disentuh. Hudson (1980) mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian
tentang perhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Sosiolinguistik merupakan
sebahagian daripada kajian bahasa. Wackey (1982) pula berpandangan bahawa
sosiolinguistik menuntut kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa
serta kemungkinan kajian perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan
antara kategori sosial sebagai tingkah laku, budaya, etnik, pekerjaan, keturunan dan
pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa
sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata, laras bahasa dan jenis bahasa.

Sosiolinguistik juga ialah cabang linguistik yang mengkaji aspek linguistik, struktur dan
penggunaan bahasa yang berkait dengan institusi atau fungsi sosial, kebudayaan dan
penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Skop sosiolinguistik ini
meliputi soal seperti perhubungan antara demografi dan pemeliharaan bahasa,
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

penemuan bahasa dan kedwibahasaan, perkembangan bahasa Pidjin dan Kreol serta
dialek sosial, penukaran kod dan perancangan bahasa termasuk standardisasi
bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987). Wolfram dan Fasold (1974) pernah
membahagikan skop kajian sosiolinguistik kepada sosiologi bahasa, etnografi
pertuturan, linguistik am dan ekologi bahasa. Sosiologi bahasa adalah bidang yang
mengkaji interaksi antara faktor-faktor secara besar-besaran dengan bahasa atau
situasi dialek.

Etnografi pertuturan pula menyentuh kegunaan bahasa yang sebenarnya sebagai


suatu peristiwa pertuturan. Linguistik am ialah kajian bahasa dalam konteks sosial dan
dihubungkan dengan teori linguistik. Sementara itu, ekologi bahasa melihat
perhubungan bahasa dengan persekitaran sosial. Hal ini melibatkan aplikasi
pengetahuan linguistik kepada masalah sosial atau pendidikan seperti masalah
perancangan bahasa, standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng,
1987).

Sosiolinguistik juga didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara


bahasa dan gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang dihadapi oleh
ahli-ahli bahasa ialah masalah bahasa itu sendiri. Masalah ini dengan langsungnya
melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa. Pada prinsipnya, sosiolinguistik
mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan penggunaan
bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan
penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain,
sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa
sebagai alat kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian
antara bahasa dan masyarakat. Tetapi, sosiolinguistik bukan sekadar berkisar tentang
disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja. Kajiannya juga melampaui dialek dan
bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza yang disebabkan oleh perbezaan status
individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam sosiolinguistik
ialah bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu.
Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai-bagai-bagai bahan
sosiobudaya yang berhubung dengan aspek linguistik seperti perhubungan sosial
yang berkaitan pula dengan kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa,
dialek dan bentuk gaya yang dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya
dan sebagainya (Arbak Othman, 1983).

Walaupun sosiolinguistik dikatakan mengkaji aspek hubungan antara bahasa dengan


masyarakat atau sebaliknya, pentakrifan pola hubungan antara bahasa dengan
masyarakat secara tepat merangkumi banyak aspek. Belum ada ahli sosiolinguistik
yang menyediakan satu teori sosiolinguistik bersepadu yang dapat dijadikan kajian
mereka. Keadaan ini menyebabkan ahli sosiolinguistik mencipta ruang lingkup kajian
sosiolinguistik mereka tersendiri. Mereka bebas menamakan kajian sosiolinguistik
mereka asalkan kajian tersebut memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan
bahasa atau sebaliknya. Oleh itu, bukan mudah menentukan ruang lingkup kajian
sosiolinguistik.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………

1.3 BIDANG KAJIAN SOSIOLINGUISTIK


Jika kita meneliti pelbagai definisi yang telah dikemukakan oleh para sarjana
sosiolinguistik terhadap bidang sosiolinguistik, kita juga dapat mengesan persamaan
pendapat antara mereka. Namun begitu, pandangan tokoh-tokoh tersebut dapat
disebut sebagai indikator sosiolinguistik, dan secara umumnya inilah yang diselidiki
oleh sarjana sosiolinguistik. Ini dapat disimpulkan dalam lima perkara berikut:

(a) Ada beberapa jenis kebiasaan atau konvensyen yang digunakan bagi
menguruskan ujaran kita yang diorientasikan kepada tujuan-tujuan sosial.
Terdapat struktur-struktur pembicaraan dan interaksi misalnya dalam
pembicaraan melalui telefon, bergurau, berbual kosong dan sebagainya. Mereka
yang meminati bidang ini disebut ethnomethodologis, iaitu mereka yang
mempelajari metod-metod dan alat-alat yang digunakan oleh kelompok-kelompok
sosial untuk mencapai tujuannya. Mereka percaya bahawa kenyataan sosial tidak
boleh diselesaikan melalui jadual statistik, tetapi dibangunkan dalam proses
interaksi. Penyelidikan lain dalam bidang ini yang lebih berorientasi pada bidang
linguistik disebut sebagai analisis wacana. Kelompok lain yang menggunakan
analisis yang hampir sama ialah ahli antropologi yang menganalisis pola
penyusunan pengajaran lisan atau mesej oral yang terkandung dalam cerita
dongeng, cerita rakyat, teka-teki dan upacara keagamaan dengan acuan pada
masyarakat tempat semua itu berada.

(b) Terdapat kajian bagaimana norma dan nilai sosial mempengaruhi perilaku
linguistik, seperti penyelidikan yang dilakukan oleh Bernstein tentang perbezaan
gaya ujaran kelas pertengahan dan kelas atasan masyarakat Inggeris.
Penyelidikan tentang alasan masyarakat yang mewujudkan perilaku bahasa
begitu tidak terbatas pada perbezaan stail antara kelompok dalam suatu
masyarakat, tetapi juga berkaitan dengan variasi komunikasi antara kelompok
masyarakat bahasa dan kelompok etnik yang berbeza. Dalam hal ini, Hymes
mengutarakan konsep yang termaktub dalam istilah sosiolinguistik, iaitu
kecekapan berkomunikasi (communicative competence).

ELS322 SOSIOLINGUISTIK
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

(c) Variasi dan neka bahasa dihubungkan dengan kerangka sosial para penuturnya.
Ini merupakan gagasan inti bidang sosiolinguistik yang kelihatan seperti sama
dengan perkara (b) di atas. Perbezaannya adalah tujuannya yang lebih
sosiologikal. Banyak indikator linguistik yang memberikan maklumat sosial,
bermula daripada aksen pelat) dan membawa kepada pemilihan kosa kata dan
sistem gramatikal. Dalam masyarakat multilingual, apa yang diucapkan mungkin
menyajikan indikator status sosial si pembicara. Keanekaan linguistik ini
merupakan satu topik penting dalam kajian sosiolinguistik. Perkara ini yang dikaji
oleh Trudgil (1974) bagi menunjukkan perbezaan sosial orang Inggeris yang
berasal dari Norway.

(d) Pemanfaatan unsur bahasa dalam politik juga menjadi sasaran kajian
sosiolinguistik. Lembaga seperti Academie Francaise, berupaya menentukan apa
yang boleh diterima atau tidak dalam bahasa Perancis secara rasmi. Begitu juga
pemurnian bahasa Jerman sewaktu pemerintahan Nazi pernah dilakukan sebagai
eksploitasi bahasa demi kepentingan politik. Malah, pemilihan bahasa sebagai
bahasa nasional adalah persoalan yang bersangkut-paut dengan politik seperti
menentukan bahasa asing untuk diajarkan di satu-satu negara. Sebagai contoh,
keputusan mengajar bahasa Maori kepada warga berkulit putih di New Zealand,
pengajaran bahasa Rusia di negara-negara blok Timur dan usaha memasukkan
bahasa-bahasa peribumi ke dalam kurikulum sekolah di negara-negara Afrika,
dan lain-lain lagi. Contoh lain yang lebih rapat dengan kita adalah keputusan
memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Contoh di atas ada
kaitannya terutama dengan kebijaksanaan dalam pendidikan; dan dalam
sosiolinguistik ini semua lazim disebut sebagai perancangan taraf bahasa.
Menurut Fishman yang mengkaji masyarakat multilingual, hal ini sering
dihubungkan dengan tokoh atau pelopor sesebuah masyarakat multilingual.

(e) Aspek-aspek sosial dalam bilingualisme dan multilingualisme juga penting dalam
kajian sosiolinguistik. Kebanyakan kajian memberi tumpuan kepada kelompok-
kelompok minoriti di pelbagai negara, biasanya melibatkan nada politik yang
berkaitan dengan pengakuan atau penerimaan bahasa oleh kelompok tersebut.
Penyelidikan lainnya adalah mengkaji cara penutur bukan asli berganti-ganti
menggunakan bahasa tertentu untuk satu kegiatan dan bahasa yang satu lagi
untuk kegiatan lain. Fenomena ini disebut sebagai code switching. Kajian lain juga
melihat motivasi sosial dalam amalan meminjam perkataan asing. Ada pula yang
menyelidiki sejauh mana seseorang bilingual atau multilingual taat kepada bahasa
yang dikuasainya, ditinjau dari segi sosiologi mahupun psikologi. Dalam kelima-
lima perkara di atas, ahli sosiolinguistik sudah tentu mempunyai pendekatan dan
teori yang berbeza antara satu dengan yang lain. Mungkin ada yang memberi
penekanan kajiannya kepada linguistiknya, sosiologinya atau psikologinya. Akan
tetapi semuanya relatif, bermula daripada andaian yang sama bahawa
sosiolinguistik mengkaji cara-cara atau bagaimana bahasa berinteraksi dengan
masyarakat. Ia adalah kajian tentang bagaimana struktur bahasa berubah
sebagai respons terhadap fungsi-fungsi sosial yang beraneka ragam, dan batasan
yang lahir daripada fungsi-fungsi ini. Perlu juga dicatat bahawa konferensi
pertama untuk bidang sosiolinguistik berlangsung di University of California di Los
Angeles pada tahun 1964.

Salah satu hasil daripada konferensi itu dirumuskan oleh Dittmar dalam tujuh dimensi
dalam penyelidikan sosiolinguistik, iaitu seperti berikut:

(a) Identiti sosial penutur;

(b) Identiti sosial pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi;

(c) Lingkungan sosial tempat peristiwa ujaran terjadi;

(d) Analisis sinkronik dan diakronik terhadap dialek-dialek sosial;

(e) Penilaian sosial yang berbeza oleh penutur akan bentuk-bentuk perilaku ujaran;

(f) Tingkatan neka atau ragam linguistik; dan

(g) Penerapan praktikal daripada penyelidikan sosiolinguistik.

Menurut Hymes (1962), sosiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji bahasa dari
segi hubungan antara latar, peserta, tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi,
bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam
pertuturan sesama sendiri. Bidang ini juga boleh dikenali sebagai linguistik antropologi
atau linguistik sosial, iaitu bidang yang mengkaji hubungan antara bahasa dan
………………………………… Pengenalan Kepada Sosiolinguistik Bab 1

masyarakat. Lazimnya, bidang ini menumpukan kajian bahasa itu dan topik atau
konteks pengujarannya, seperti bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, laras bahasa,
Pidgin, Kreol, bilinguisme, multilinguisme, dialek, ideolik, ragam bahasa, sikap
terhadap bahasa dan kesetiaan terhadap bahasa juga perancangan bahasa. Antara
bidang yang dikaji dalam bidang sosiolinguistik ialah bahasa rasmi. Bahasa rasmi
digunakan untuk pentadbiran dan urusan-urusan rasmi dalam sesebuah negara.
Contohnya untuk kegunaan dalam sebaran am (media massa), surat rasmi seperti
borang permohonan, dokumen peribadi seperti surat beranak, kad pengenalan, minit
mesyuarat, urusan pos dan lain-lain. Bahasa rasmi boleh dipilih lebih daripada satu.
Di Brunei, ada dua bahasa rasmi iaitu Inggeris dan Melayu. Di Singapura, ada empat
bahasa rasmi iaitu Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.

Selain itu, bidang linguistik mengkaji bahasa kebangsaan bagi sesebuah negara.
Bahasa kebangsaan merupakan bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar utama
dalam sesebuah negara. Ia digunakan di media massa, pusat pengajian tinggi,
pemerintahan, parlimen, majlis konvokesyen, upacara rasmi kerajaan dan lain-lain.
Bahasa kebangsaan menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi sesebuah negara.

Seterusnya, laras bahasa juga merupakan bidang kajian dalam sosiolinguistik. Laras
bahasa secara kasarnya dapat dikaitkan dengan penggunaan bahasa penyampaian
yang bersesuaian dengan bidang dan situasi bahasa atau konteks pengucapan. Laras
bahasa juga boleh diertikan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut
bidang sesuatu ujaran atau wacana digunakan; contohnya laras bahasa doa, khutbah,
upacara, sukan dan sebagainya. Laras dipengaruhi oleh latar, penutur, peserta dan
tujuan. Selain itu, laras juga dipengaruhi oleh tatabahasa, contohnya penggunaan
ayat aktif dan pasif, dan panjang pendek ayat akan menghasilkan laras yang berbeza,
di samping penggunaan kata-kata tertentu seperti kata-kata pinjaman dari bahasa
Arab dan bahasa Inggeris. Beberapa orang ahli bahasa membahagikan laras itu
kepada beberapa bahagian. Halliday, dalam hal ini, membahagikan laras kepada tiga
bahagian, iaitu tajuk wacana, cara penyampaian dan gaya penyampaian.

Bidang sosiolinguistik juga menumpukan kajian terhadap bahasa pijin. Dalam


linguistik, dikenal satu ragam bahasa yang disebut bahasa pijin dan ragam ini sudah
sekian lama ada dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia. Dalam konteks
masyarakat di Malaysia, masyarakat Cina Baba, misalnya, menuturkan satu ragam
bahasa Melayu yang memperlihatkan percampuran unsur bahasa Melayu dengan
bahasa Cina. Walau bagaimanapun, ragam bahasa masyarakat Baba ini masih dapat
dianggap sebagai variasi bahasa Melayu. Dalam bidang sosiolinguistik terdapat istilah
peralihan kod (code switiching), iaitu penggunaan unsur bahasa asing pada tempat-
tempat tertentu, sama ada dalam bentuk kata, frasa dan bahkan ayat dalam suatu
wacana yang diujarkan oleh seseorang. Dalam bahasa Melayu, peralihan kod
memang kerap berlaku, bukan sahaja dalam perbualan, bahkan dalam mesyuarat,
kuliah, ucapan dan beberapa wacana rasmi yang lain. Unsur bahasa asing yang
lazimnya dicampuradukkan dengan bahasa Melayu ialah bahasa Inggeris. Ahli
bahasa melihat bahasa yang bercampur-baur ini sebagai salah satu ragam bahasa
basahan, iaitu bahasa yang digunakan untuk urusan yang tidak rasmi, seperti dalam
perbualan, gurau senda dan sebagainya. Selain daripada bahasa pijin, bahasa kreol
juga dikaji dalam bidang sosiolinguistik. Biasanya, bahasa kreol adalah percampuran
antara bahasa penjajah dengan bahasa peribumi. Contohnya, Kreol Portugis dan
Kreol Baba di Melaka.

(a) Berdasarkan contoh, jelaskan secara terperinci konsep


sosiolinguistik.

(b) Berdasarkan contoh, senaraikan bidang-bidang kajian


sosiolinguistik.
………………………………………………………………………………………………………………………………………………

ELS322 SOSIOLINGUISTIK

Anda mungkin juga menyukai