Anda di halaman 1dari 18

Kemahiran Literasi Awal

Kemahiran Literasi Awal

Pasti anda tertanya – tanya, apa itu kemahiran literasi awal? Literasi awal merupakan segala
maklumat mengenai membaca dan menulis yang diketahui oleh kanak – kanak sebelum mereka
boleh membaca atau menulis. Kemahiran literasi awal ini boleh dipupuk oleh ibubapa semasa
kanak – kanak berada pada lingkungan umur 2 – 5 tahun.

Dunia kanak – kanak penuh dengan aktiviti bermain. Kanak – kanak mempelajari sesuatu dengan
paling berkesan apabila mereka sedang berseronok. Sebenarnya kenyataan ini adalah benar untuk
kita semua. Kita mempelajari sesuatu dengan lebih mudah dan berkesan apabila kita sedang
berseronok dan menikmati apa yang kita buat. Sama juga untuk memperkenalkan konsep literasi
awal perlulah dengan cara yang menyeronokkan.

Kemahiran literasi awal adalah kritikal kerana ia menentukan sebaik mana kanak – kanak
mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Kanak – kanak yang mempunyai kemahiran
literasi awal yang baik lebih mudah belajar membaca dan menulis. Kemahiran membaca dan
menulis yang lebih baik membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Terdapat pelbagai cara yang menarik untuk menggalakkan perkembangan kemahiran literasi
awal. Berikut adalah beberapa cadangan aktiviti untuk menggalakkan kemahiran literasi awal.
Jadilah ibu bapa dan penjaga yang kreatif. Berseronoklah bersama anak kerana ini akan meniti
kejayaan yang cemerlang dalam kemahiran membaca dan menulis buat anak.
Idea – idea Menarik untuk Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal

Rajah: Idea – idea Menarik untuk Menggalakkan Kemahiran Literasi Awal.

Idea Menarik 1: Permainan yang Melibatkan Perkataan

Satu cara yang menarik untuk memperkenalkan literasi awal adalah dengan:

Bermain permainan berunsurkan huruf dan perkataan.

Kanak – kanak biasanya lebih mudah mempelajari sesuatu secara tidak langsung.

Mengajar secara teratur memang perlu, tetapi pada peringkat awal adalah lebih sesuai dengan
permainan.

Mempelajari konsep literasi awal sambil berseronok.

apa bermula huruf p

Antara permainan yang dapat mengembangkan literasi awal adalah meneka perkataan yang
bermula dengan huruf atau bunyi tertentu. Contohnya kita boleh bertanya:

Kanak – kanak digalakkan melihat sekeliling mereka untuk mencari jawapan.

Jawapannya mungkin ‘pisang’ atau ‘pin’.

Selain huruf, bunyi awal perkataan boleh juga digunakan untuk kanak – kanak yang lebih muda.
Kita boleh bertanya “Apa yang bermula dengan bunyi “buh” (b)”

Jawapannya mungkin ‘bola’ atau ‘buku’.

Tekankan bunyi atau huruf awal supaya kanak – kanak akan peka kepada bunyi awal perkataan.

Terdapat juga permainan bertemakan perkataan yang di pasaran, seperti

Sahibba

Saidina

Scrabble

Boggle

Upwords

Kebanyakan permainan ini kini tampil dengan versi yang lebih mudah untuk kanak – kanak yang
lebih kecil. Ini dapat memperkenalkan mereka kepada dunia literasi dengan cara yang menarik
dan menyeronokkan.

Idea Menarik 2: Tunjukkan Perkataan & Huruf di Mana Jua

Selain permainan, cara lain untuk menggalakkan kemahiran literasi awal adalah dengan:

Menarik perhatian kanak – kanak kepada perkataan dan huruf yang berada di persekitaran kita.

Kanak – kanak perlu mengenali apa itu huruf dan perkataan sebelum boleh membaca.

Tidak perlu mengajar kanak – kanak berumur 2 atau 3 tahun untuk membaca.

Sebaliknya cuma memperkenalkan konsep tentang tulisan, perkataan, dan huruf.


Ini adalah supaya kanak – kanak mempunyai kesedaran dan pendedahan awal kepada perkataan.

Pendedahan awal ini merupakan kemahiran literasi awal yang akan membantu mereka untuk
membaca dan menulis.

Perkataan yang paling mudah untuk ditunjukkan kepada kanak – kanak adalah:

Logo yang biasa kelihatan seperti logo KFC dan McDonalds.

Kanak – kanak juga telah biasa dengan logo – logo ini yang boleh kelihatan di kebanyakan
tempat.

Semasa menunjukkan logo, gunakan suara yang beranimasi untuk menarik perhatian kanak –
kanak.

Ibubapa boleh juga menggunakan perkataan yang terdapat pada baju, permainan, dan kotak
makanan untuk memberi pendedahan awal kepada konsep cetakan.

Perlu diingati bahawa tujuan aktiviti bukan untuk mengajar membaca tetapi sebagai pengenalan
kepada dunia literasi.

Lama – kelamaan kanak – kanak akan dapat mengenali dan memahami logo dan perkataan yang
biasa dilihat dan ditunjukkan.

Ini adalah asas kepada kemahiran membaca, iaitu mengenali perkataan dan memahami maksud
perkataan tersebut.

Sebagai ibu bapa kita perlu peka kepada perkataan dan huruf yang berada di sekeliling kita, dan
mengambil kesempatan untuk menarik perhatian kanak – kanak kepada huruf – huruf ini.
Nikmati aktiviti literasi awal ini, dan pastinya anak anda yang akan menunjukkan perkataan dan
huruf di persekitaran, walaupun belum boleh membaca. Ini membuktikan bahawa mereka telah
pun menguasai kemahiran literasi awal.
Idea Menarik 3: Berpantun dan Mencari Perkataan Berirama

Membaca pada dasarnya adalah memahami erti bunyi – bunyi bahasa dan bagaimana bunyinya
apabila digabungkan menjadi perkataan dan seterusnya ayat. Bunyi – bunyi ini adalah sama,
samada disebut dan didengar, atau dibaca dan ditulis. Memandangkan pentingnya bunyi bahasa,
setiap kanak – kanak harus mempunyai asas yang kukuh dalam mengenali dan menggunakan
bunyi – bunyi bahasa ini. Cara yang berkesan untuk mengukuhkan konsep bunyi bahasa adalah
dengan berpantun ataupun mencari perkataan yang berirama, yang bunyinya seakan – akan sama.

Contohnya kita boleh:

Bermain untuk mencari perkataan yang sama bunyinya, seperti ‘meja dan eja’, ataupun ‘ibu dan
Sibu’, atau ‘bola dan Cola’.

Kita juga boleh mengumpulkan perkataan dengan bunyi awalan yang sama, seperti ‘jem, jari,
jeruk, Jenny’ dan membuat ayat menarik seperti ‘Jari Jenny terkena jem dan jeruk’.

Mencari perkataan yang bunyinya sama akan menekankan konsep bunyi

Kanak – kanak akan lebih peka dan bersedia untuk membaca kerana asas bunyi sudah pun
diperkenalkan.

Semasa membuat ayat atau mengumpul perkataan yang sama, petua yang perlu diingati:

Tidak semestinya ayat itu betul dari segi maksud.

Buatlah ayat yang lucu agar aktiviti ini menggembirakan kanak – kanak.

Ini akan mengaitkan literasi dengan masa – masa bahagia dan meningkatkan kecenderungan
kanak – kanak untuk membaca dan menulis.
Mencari perkataan, berpantun dan ayat berirama ini boleh dibuat di mana sahaja.

Hiburkan hati sambil menanti waktu untuk sampai ke destinasi dengan berpantun dalam kereta,
bas, keretapi atau kapal terbang.

Boleh juga membuat ayat dalam restoran, semasa menunggu makanan, dan cuba kaitkan pantun
dengan makanan.

Bacalah pantun dan nyanyi lagu dengan perkataan yang berirama. Berseronoklah dengan kanak –
kanak sambil mencari perkataan yang hampir sama bunyinya.

Idea Menarik 4: Jadilah Contoh Pembaca yang Baik

Kepimpinan melalui teladan adalah kata – kata perangsang yang biasanya disarankan kepada
pegawai atasan di jabatan kerajaan atau swasta. Sebagai ibu bapa kita juga merupakan pemimpin
keluarga dan kanak – kanak sentiasa memperhatikan kita. Walau apa pun yang kita cakap atau
suruh anak kita buat, pengajaran yang paling berkesan adalah melalui apa yang kita buat.

Sekiranya kita mengharapkan anak kita menjadi seorang yang rajin membaca dan menulis, kita
perlulah menjadi contoh atau teladan yang baik untuknya dengan cara:

Luangkan masa untuk membaca suratkhabar, majalah, atau buku.

Pastikan anak melihat anda membaca.

Berceritalah dengan anak anda tentang apa yang sedang anda lakukan, tunjukkan gambar jika
sesuai.

Pastikan anak memerhatikan anda menulis dalam aktiviti harian.


Contohnya menulis nama anak dalam buku, menulis senarai barang untuk dibeli, atau menulis
alamat pada sampul surat.

Bercerita dengan anak tentang apa yang sedang anda tulis.

Beri mereka peluang untuk mencuba, walaupun hanya menconteng atau pura – pura menulis.

Apabila kanak – kanak memerhatikan orang dewasa yang tersayang membaca dan menulis,
mereka akan faham bahawa membaca dan menulis adalah penting. Melibatkan mereka untuk
sama – sama membaca dan menulis akan menggalakkan lagi kecenderungan mereka untuk
membaca dan menulis kelak.

Bacalah sekerap mungkin, untuk menjadi teladan kepada anak tersayang.

Idea Menarik 5: Membaca buku bersama anak anda

Membaca buku bersama anak andaSumber : blog.dyslexia.com

Membaca buku cerita bersama anak telah terbukti untuk memupuk kemahiran literasi awal,
kemahiran bertutur dan memahami bahasa. Ini juga satu aktiviti yang dapat mengeratkan
hubungan antara ibubapa dan anak. Bayi dan kanak – kanak dalam lingkungan usia 2-3 tahun
pun sudah boleh menikmati buku cerita.

Pilihlah buku yang bergambar dan mempunyai warna yang menarik.

Anak anda juga boleh memilih buku kegemarannya.

Duduk dengan selesa


Pilih masa yang sesuai ketika kedua – dua ibubapa dan anak berasa tenang.

Jangan setakat membaca sahaja, tetapi bercerita berdasarkan gambar.

Gunakan suara yang menarik dan lakonkan aksi dalam cerita jika boleh.

Anda juga boleh mengajukan soalan kepada anak anda berdasarkan cerita tersebut.

Setelah beberapa kali membaca cerita yang sama, beri peluang kepada anak anda untuk bercerita
semula.

Membaca bersama anak memberi peluang kepada anak anda untuk membiasakan diri dengan
buku, mengalami cara untuk membelek buku, serta cara yang betul untuk memegang buku.
Kesemua ini adalah kemahiran awal literasi yang menyediakan kanak – kanak untuk belajar
membaca.

Luangkan masa setiap hari untuk sama – sama membaca buku, kerana ini akan melahirkan anak
yang bersedia, berminat dan pandai membaca.

Kesimpulan

Artikel ini memuatkan beberapa teknik untuk menggalakkan kemahiran literasi awal. Diharap
cadangan – cadangan ini akan berfaedah dan membantu perkembangan literasi awal kanak –
kanak. Terdapat pelbagai cara lagi yang boleh dilakukan untuk memperkenalkan kanak – kanak
kepada konsep literasi. Gunakan apa saja kaedah asalkan ia melibatkan perkataan, huruf, cerita,
menulis, mewarna secara positif dan seronok.
Membaca dan menulis dipelajari secara formal di prasekolah, tetapi persediaan awal dan
kemahiran literasi awal harus bermula dari bayi dan kanak – kanak yang belum bersekolah lagi.
Bak kata pepatah “kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Berseronoklah dengan
aktiviti – aktiviti ini sambil membekalkan anak dengan kemahiran literasi awal yang penting.

Rujukan

Building Blocks: The Sequence of Emergent Literacy Skills.


http://kbyutv.org/kidsandfamily/readytolearn/file.axd?file=2011%2F3%2F12+Building+Blocks.
pdf retrieved on 28/8/2015

Getting Ready to Read By Lauren Lowry. http://www.hanen.org/SiteAssets/Helpful-


Info/Articles/getting-ready-to-read.aspx, retrieved on 28/8/2015

Weitzman, E. & Greenberg, J. ABC & Beyond: Building Emergent Literacy in Early Childhood
Settings. Toronto: Hanen Early Language Program
Kemahiran Literasi Awal

Interest in Books & Literacy1 Interest in Books & Literacy2

Pasti anda tertanya – tanya apa itu kemahiran literasi awal. Kemahiran literasi awal ini bukan
kemahiran membaca dan menulis. Sebaliknya, ia adalah kemahiran yang perlu ada sebelum
kanak-kanak belajar membaca dan menulis. Kemahiran literasi awal ini boleh dikatakan sebagai
pra – membaca dan menulis, atau asas yang diperlukan oleh kanak – kanak supaya mereka
bersedia untuk belajar membaca dan menulis.

Beberapa kajian menyenaraikan pelbagai jenis kemahiran literasi awal yang perlu ada pada
kanak – kanak sebelum dia belajar membaca dan menulis. Kemahiran ini mungkin tidak seperti
yang dijangka, kerana tidak banyak melibatkan kemahiran membaca dan menulis secara
langsung. Beberapa kemahiran ini mungkin sukar dikaitkan dengan bacaan dan tulisan, tetapi
sememangnya penting kerana merupakan kemahiran perkembangan bahasa.

Antara kemahiran literasi awal yang penting adalah perbualan, kosa kata atau bilangan perkataan
yang dikuasai, pemahaman cerita, pengetahuan tentang tulisan, kesedaran bunyi bahasa,
kemahiran mendengar, bertutur dan minat membaca dan menulis.

Apa peranan perkembangan bahasa dalam membaca dan menulis? Seperti yang dilihat, asas
kepada kemahiran membaca dan menulis adalah perkembangan dan kemahiran bahasa.
Kemahiran literasi awal boleh dikatakan asas yang kukuh dalam pemahaman bahasa, pertuturan
dan sebutan yang jelas, serta pemahaman system bunyi – bunyi bahasa.-ayat mengelirukan
Artikel ini akan meneliti beberapa kemahiran literasi awal dan pengaruh perkembangan bahasa
kepada kemahiran membaca dan menulis.
Kemahiran Literasi Awal 1: Minat Membaca dan Menulis

Cuba fikirkan apa yang anda gemar, apa yang anda minati. Sekarang cuba fikirkan apa yang
anda boleh lakukan dengan baik, apakah kemahiran anda. Selalunya kedua – dua minat dan
kemahiran adalah sama. Kita mahir melakukan sesuatu yang kita minati. Setiap pakar dalam
sesuatu bidang mempunyai minat dalam bidang mereka, dan dari situ lahirlah kemahiran dan
kecemerlangan. Sama juga untuk membaca dan menulis.

Masa yang diambil untuk belajar membaca bergantung kepada minat kanak – kanak terhadap
buku. Kanak – kanak yang sering melihat buku bersama ibubapa akan menimba kemahiran
literasi awal yang amat berfaedah.

Apabila kanak – kanak biasa dengan bahan bacaan, mereka akan:

Lebih mahir memahami apa yang didengar.

Mempelajari lebih banyak perkataan.

Belajar membuat ayat.

Bercerita kembali cerita yang didengar.

Memupuk minat membaca.

Minat terhadap buku meningkatkan minat dan kemahuan untuk membaca.

Minat membaca membolehkan mereka belajar membaca dengan lebih mudah dan lebih baik.

Ingatlah bahawa minat terhadap bacaan banyak membantu dalam peningkatan kemahiran
pertuturan, bahasa dan juga bacaan. Bacalah bersama – sama anak anda!
Kemahiran Literasi Awal 2: Kesedaran fonologi/ bunyi – bunyi bahasa.

Pernahkah anda mendengar bunyi dram? Bolehkah anda mengira setiap kali dram berbunyi?
Sekarang cuba bayangkan perkataan yang panjang, seperti ‘tanggungjawab’. Bolehkah anda
mengira setiap bunyi atau sukukata? Mari kita cuba: tang – gung – ja – wab, jadi jumlah bunyi
atau sukukata adalah empat. Ini merupakan salah satu ciri kesedaran fonologi.

Ciri – ciri lain adalah kebolehan untuk mencari perkataan yang bunyinya hampir sama, seperti
‘baju dan laju’, atau perkataan yang bermula dengan bunyi yang sama, seperti ‘buku dan bola,
yang kedua – duanya bermula dengan bunyi ‘buh’ atau huruf ‘b’.

Kesedaran fonologi juga merangkumi kesedaran bahawa ayat terdiri daripada beberapa perkataan
dan perkataan boleh dileraikan lagi kepada bunyi yang lebih kecil.

Kanak – kanak yang mendapat pendedahan awal kepada konsep ini mempelajari kemahiran
untuk ‘membunyikan’ perkataan, contohnya mereka dapat menyatakan bahawa perkataan ‘bola’
terdiri daripada 2 sukukata iaitu ‘bo’ dan ‘la’. Apabila mereka mula membaca, kemahiran ini
akan menjadi lebih berguna kerana membaca pada dasarnya adalah membunyikan huruf untuk
menjadikan/membentuk perkataan.

Mempelajari dan memahami bunyi – bunyi bahasa adalah satu ciri perkembangan bahasa yang
normal. Kanak-kanak yang mempunyai banyak sokongan untuk membaca dan terdedah kepada
konsep literasi awal akan lebih bersedia untuk belajar membaca.
Gunakan masa yang ada untuk memperkenalkan konsep bunyi bahasa yang diperlukan, agar
kanak – kanak dapat meningkatkan kemahiran literasi awal.

Kemahiran Literasi Awal 3: Pemahaman Bahasa.

Kita biasa terserempak dengan kanak – kanak yang tidak mengikut arahan. Kadang – kadang kita
ketawa apabila kanak – kanak memberi objek lain daripada apa yang diminta. Namun ini
mungkin merupakan tanda – tanda masalah pemahaman bahasa.

Kanak – kanak dengan perkembangan bahasa yang baik dapat:

Mengenali objek

Mengikut arahan sesuai dengan umur mereka.

Pemahaman bahasa penting untuk:

Memahami apa yang didengar

Membina kemahiran literasi awal.

Membaca melibatkan:

Menyebut perkataan

Memahami apa yang dibaca.

Pemahaman bahasa yang baik akan membantu kanak – kanak untuk:


Memahami maksud perkataan dan ayat semasa bercakap dan membaca

Memahami jalan cerita dan unsur – unsur lain dalam buku cerita

Kanak – kanak dengan pemahaman bahasa yang baik:

Lebih mudah belajar membaca dan menulis,

Lebih mudah memahami apa yang dibaca,

Bijak membuat kesimpulan tentang apa yang dibaca.

Sebelum membaca dan menulis, kanak – kanak memerlukan:

Pendedahan dan latihan dalam pertuturan dan bahasa.

Interaksi dan berkomunikasi dengan dewasa dan kanak – kanak lain

Kanak – kanak yang sukar memahami apa yang didengar akan turut susah untuk memahami apa
yang dibaca.

Peranan sebagai ibu bapa dan penjaga adalah untuk menunjukkan dan memberi penerangan
kepada kanak – kanak, supaya mereka dapat memahami dunia sekeliling, berkomunikasi dengan
baik serta meningkatkan kemahiran membaca dan menulis.
Kemahiran Literasi Awal 4: Perkataan yang Dikuasai

Pernahkah anda mengalami kesukaran untuk mencari perkataan yang sesuai? Sebaliknya, apabila
kita dapat menggunakan ataupun mendengar perkataan yang tepat, maksud kita dapat
disampaikan dengan jelas. Bilangan perkataan yang kita dapat kuasai, iaitu perkataan yang kita
dapat faham dan gunakan adalah penting dalam komunikasi lisan dan juga bertulis.

Kanak – kanak yang membesar dengan perkataan yang didengar, ditunjuk dan dibacakan akan
berpeluang untuk mempelajari dan memahami dan seterusnya menggunakan pelbagai perkataan
baru. Kanak – kanak yang dapat menguasai lebih banyak perkataan dapat bertutur dengan lebih
lancar dan berkomunikasi dengan lebih berkesan. Menguasai perkataan yang banyak juga
membantu kanak – kanak untuk menguasai bacaan dengan lebih mudah dan cepat kerana dapat
mengenali perkataan baru yang dibaca. Asas perkembangan bahasa yang kukuh, termasuk
menguasai perkataan yang banyak akan membantu kanak – kanak untuk lebih bersedia untuk
membaca dan menulis.

Kemahiran Literasi Awal 5: Bertutur dengan Lancar

Menguasai perkataan yang banyak adalah penting, tetapi ketepatan sebutan juga memainkan
peranan dalam perkembangan pertuturan, bahasa dan membaca. Kelancaran pertuturan
bergantung kepada beberapa faktor, salah satunya sistem bunyi bahasa kanak – kanak tersebut.
Kanak – kanak yang mempunyai masalah sebutan mungkin juga mengalami kesukaran untuk
belajar membaca.

Kanak – kanak yang mempunyai sistem bunyi bahasa yang baik akan dapat menyebut semua
bunyi dengan betul, bertutur dengan lancar dan juga membantu dalam penguasaan bacaan.
Kajian menunjukkan bahawa kanak – kanak yang mengalami kecelaruan pertuturan mungkin
juga mengalami masalah untuk belajar membaca. Khasnya kanak – kanak yang masih
mempunyai sebutan yang tidak tepat pada umur 5 ½ tahun didapati sukar untuk belajar membaca.

Sebagai ibubapa, peranan kita adalah untuk bercakap dengan jelas agar kanak – kanak dapat
mempelajari pertuturan yang jelas. Jika kanak – kanak tidak dapat menyebut perkataan atau
sebutan dengan betul, dapatkan penilaian dan rawatan dari terapis pertuturan-bahasa. Masalah
sebutan biasanya boleh diatasi dan ini akan membantu kanak – kanak untuk bertutur dengan
lebih jelas kerana mempunyai konsep bunyi bahasa yang kukuh. Ini seterusnya membantu dalam
penguasaan bunyi bahasa untuk bacaan.

Kesimpulan

Kita telah melihat bagaimana aktiviti berikut penting kepada perkembangan literasi kanak –
kanak:

Minat terhadap literasi

Kesedaran bunyi bahasa

Pemahaman bahasa

Penguasaan perkataan dan

Pertuturan yang lancar

Perkembangan bahasa adalah penting untuk:


Komunikasi

Menyediakan kanak – kanak untuk belajar membaca dan menulis.

Perkembangan bahasa yang baik bukan setakat untuk berkomunikasi sahaja, malah merupakan
asas kepada kemahiran membaca dan menulis juga. Sebagai ibubapa, peranan kita adalah untuk
menjadi teladan yang baik serta memupuk kemahiran bahasa agar kanak – kanak membesar
dengan kemahiran komunikasi, membaca dan menulis yang cemerlang.

Rujukan

Bowen, C. (2011, November). Literacy and Children with Speech Sound Disorders. Retrieved
30/8/2015 from http://speech-language-
therapy.com/index.php?option=com_content&view=article&id=73:literacy&catid=11:admin&It
emid=108

Concurrent Validity and Diagnostic Accuracy of theDynamic Indicators of Basic Early Literacy
Skills and the Comprehensive Test of Phonological Processing. John M. Hintze, Amanda L.
Ryan, Gary Stoner. School Psychology Review 2003.

Emergent Literacy: Early Reading and Writing Development.Froma P. Roth, Diane R. Paul,
Ann-Mari Pierotti American Speech-Language-Hearing Association (ASHA), 2006
http://www.asha.org/public/speech/emergent-literacy/ Retrieved on 20/8/2015

Greenberg, J. & Weitzman, E. I’m Ready! How to Prepare Your Child for Reading Success.
Toronto: Hanen Early Language Program.

Weitzman, E. & Greenberg, J. ABC & Beyond: Building Emergent Literacy in Early Childhood
Settings. Toronto: Hanen Early Language Program

Anda mungkin juga menyukai