Anda di halaman 1dari 5

ada 28 Februari 2019, saya telah menjalankan sesi temu bual bersama dengan salah

seorang guru di Sekolah Kebangsaan Batu 4 Jalan Apas, Tawau. Tujuan saya
melakukan sesi temu bual tersebut adalah untuk mengetahui berkenaan dengan
peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan
pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara tersebut bertepatan dengan keperluan
tugasan kursus asas pendidikan iaitu EDUP3083 Asas Kepemimpinan dan
Pembangunan Profesionalisme Guru yang mana memerlukan saya untuk menjalankan
sesi temu bual terhadap guru di sekolah pilihan saya semasa menjalani internship. Guru
yang ditemu bual merupakan Ketua Panitia Matematik di sekolah tersebut dan
mempunyai pengalaman mengajar selama 27 tahun bermula pada tahun 1992. Bentuk
temu bual yang telah saya laksanakan adalah temu bual separa berstruktur untuk
membolehkan saya melakukan penyoalan lebih lanjut berdasarkan jawapan yang
dikemukakan oleh responden. Temu bual tersebut telah dilaksanakan pada 28 Februari
2019 di bilik guru sekolah bermula pukul 10:00 am sehingga 11:00 am.

Semasa melaksanakan temu bual, saya telah mengajukan beberapa soalan yang
merangkumi kefahaman responden terhadap konsep profesionalisme keguruan,
peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan
pemudahcaraan serta beberapa soalan lanjutan. Berlandaskan perspektif responden,
profesion keguruan dianggap profesional kerana , kerjaya sebagai guru dianggap
sebagai profesional kerana memberikan perkhidmatan yang penting iaitu mendidik anak
bangsa, memerlukan keupayaan intelek dalam melaksanakan pembelajaran dan
pemudahcaraan, memerlukan latihan khusus dalam bidang perguruan dan mempunyai
kod etika tersendiri. Berdasarkan temu bual yang telah saya jalankan, terdapat
beberapa peranan guru sebagai pemimpin profesional dalam konteks pembelajaran dan
pemudahcaraan dalam pelbagai aspek kepemimpinan yang telah saya kemukan.
Menurut Syed Ismail Syed Mustapa dan Ahmad Subki Miskon (2010), kepimpinan
profesional dalam kalangan guru dapat diklasifikasikan kepada empat iaitu
perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan. Dalam temu bual yang telah
dilaksanakan, responden telah menyatakan peranan responden sebagai ketua panitia
secara terperinci berdasarkan aspek-aspek kepemimpinan profesional dalam konteks
guru seperti yang telah saya nyatakan pada awal sesi temu bual berlangsung.

Perancangan merupakan antara aspek kepemimpinan profesional dalam konteks


guru. Secara amnya, perancangan merujuk kepada penentuan matlamat jangka panjang
dan jangka pendek (Ragbir Kaur Joginder Singh, 2013). Berdasarkan temu bual
tersebut, peranan responden dari aspek perancangan sebagai ketua panitia di sekolah
tersebut adalah mengadakan mesyuarat untuk panitia matematik. Dalam mesyuarat
tersebut, perkara yang dibincangkan oleh responden bersama dengan guru panitia
matematik ialah pembahagian tugas dari segi kurikulum. Responden juga menyatakan
bahawa pembahagian tugas tersebut  dilakukan secara adil untuk memastikan guru
dalam panitia matematik dapat melaksanakan tugas yang telah diberikan dengan efektif.
Semasa mesyuarat juga, responden bersama dengan guru panitia matematik
berbincang berkenaan dengan penghasilan rancangan pengajaran tahunan, rancangan
pengajaran tahunan, rancangan pengajaran mingguan dan rancangan pengajaran
harian untuk membolehkan guru panitia matematik melaksanakan proses pembelajaran
dan pemudahcaraan dengan efektif dan sistematik. Responden turut menyatakan
bahawa panitia matematik turut membincangkan berkenaan dengan aktiviti yang
menjurus ke arah peningkatan pencapaian murid dalam Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Matematik seperti kelas tambahan dan bengkel
menjawab soalan-soalan Matematik UPSR untuk mendedahkan murid dengan format
soalan Matematik UPSR untuk meningkatkan pencapaian Gred Purata Mata Pelajaran
(GPMP) bagi mata pelajaran tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan sasaran yang
telah ditetapkan oleh panitia matematik sekolah tersebut.

Aspek kepemimpinan profesional yang seterusnya adalah pengelolaan.


Berdasarkan konsep yang dikemukakan oleh Wong Kiet Wah et al. (2018), pengelolaan
merujuk kepada peningkatan penyempurnaan perancangan untuk mencapai matlamat.
Menurut responden, peranan responden dalam aspek pengelolaan sebagai ketua
panitia ialah mengelola pelbagai program berasaskan akademik dan bukan berasaskan
akademik untuk mengembangkan potensi murid dalam pelbagai aspek. Perkara ini
bertepatan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan
rakyat Malaysia yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial
(Noriati A. Rashid e tal., 2012). Dalam konteks akademik, responden mengelolakan
pelaksanaan kelas tambahan untuk murid Tahun 6 untuk membolehkan mereka
memahami kaedah menjawab soalan kertas Matematik UPSR dengan mudah.
Responden turut menyatakan bahawa pelaksanaan kelas tambahan tersebut adalah
untuk meningkatkan kefahaman murid terhadap soalan aras tinggi yang telah mula
diperkenalkan dalam UPSR bermula pada tahun 2016 (Raja Noraina Raja Rahim,
2018). Untuk aktiviti bukan berasaskan akademik pula, responden bersama guru dalam
panitia matematik menganjurkan kuiz Matematik untuk memilih murid yang akan
mewakili sekolah dalam pertandingan Kangroo Math Competetion. Responden juga
turut menyatakan bahawa beliau merupakan penyelaras dalam pengelolaan
pertandingan Kangroo Math Competetion tersebut. Perkara ini adalah untuk memberi
peluang kepada murid menyerlahkan potensi diri masing-masing menerusi penglibatan
dalam aktiviti kokurikulum. Menerusi pengelolaan aktiviti sedemikian, kepimpinan
seseorang guru dapat ditingkatkan.

Pengarahan merupakan salah satu aspek kepimpinan profesional guru yang


merujuk kepada cara memimpin melaksanakan tugas dan mempengaruhi individu yang
dipimpin untuk mendapatkan kerjasama mereka bagi melaksanakan tugas (Omar Abdul
Kareem dan Khuan Wai Bing, 2005). Dalam temu bual yang telah dilaksanakan,
responden menyatakan bahawa guru sentiasa menerima arahan daripada pihak atasan
signifikan dengan transformasi bidang pendidikan. Hal ini bertepatan dengan Sufean
Hussin (2004) yang menyatakan bahawa bidang pendidikan bersifat dinamik mengikut
perubahan semasa. Perubahan kurikulum yang berlaku menerusi pelaksanaan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pada tahun 2011 telah menyebabkan
responden yang juga merupakan ketua panitia menghadiri kursus pelaksanaan KSSR
yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Responden sebagai ketua
panitia juga menyampaikan input yang diperoleh semasa kursus tersebut kepada guru
matematik sekolah tersebut. Menerusi penyampaian tersebut, guru panitia matematik di
sekolah dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan proses
pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan KSSR.

Pengintegrasian elemen Pembelajaran abad ke-21 kini kian diberi penekanan


oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sejajar dengan transformasi yang berlaku dalam
sistem pendidikan negara (Badrul Hisham Alang Osman, 2016). Dalam merealisasikan
hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengintegrasikan pembelajaran abad
ke-21, responden juga telah mengarahkan agar guru matematik di sekolah tersebut
melaksanakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan yang mengintegrasikan
elemen pembelajaran abad ke-21 tersebut. Menurut responden juga, penekanan yang
diberikan oleh pembelajaran abad ke-21 adalah seperti peranan guru sebagai fasilitator,
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, pembelajaran berpusatkan murid dan
juga pembelajaran kolaboratif. Hal ini amatlah penting untuk memastikan penglibatan
aktif murid semasa berlangsungnya proses pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam
bilik darjah. Dalam hal ini, responden telah mengikuti kursus berkenaan dengan
pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 dalam proses pembelajaran dan
pemudahcaraan. Untuk meningkatkan kefahaman guru matematik terhadap
pengintegrasian elemen pembelajaran abad ke-21 tersebut, responden sebagai ketua
panitia mengadakan sesi perkongsian untuk meningkatkan kefahaman guru matematik
di sekolah berkenaan dengan kaedah pengimplementasian elemen pembelajaran abad
ke-21 dalam pembelajaran dan pemudahcaraan. Oleh yang demikian, sesi perkongsian
yang dilakukan oleh responden membantu guru matematik yang lain untuk
meningkatkan kefahaman mereka terhadap elemen pembelajaran abad ke-21.

 Selain daripada mengarahkan guru matematik melaksanakan proses


pembelajaran berasaskan pembelajaran abad ke-21, responden turut mengarahkan
guru matematik Tahap 1 untuk melaksanakan pentaksiran bilik darjah dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan di dalam bilik darjah. Perkara ini selaras dengan
arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana
menyatakan bahawa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah dalam kalangan murid Tahap
1 bermula pada tahun 2019. Menurut Luqman Arif Abdul Karim (2018), pentaksiran bilik
darjah telah mula dilaksanakan di sekolah rendah bagi murid Tahap 1. Tambah
responden, pentaksiran bilik darjah memerlukan peranan guru sepenuhnya dalam
melaksanakan pentaksiran terhadap murid. Murid yang dinilai secara berterusan dalam
pelbagai bentuk pentaksiran yang merupakan sebahagian daripada proses
pembelajaran dan pemudahcaraan iaitu dari aspek penilaian merangkumi pengetahuan,
kemahiran dan nilai.  Untuk memastikan perkara tersebut berjalan dengan lancar,
responden menyatakan bahawa beliau memberikan penerangan kepada guru
matematik untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap pelaksanaan pentaksiran
bilik darjah. Bagi memastikan perkara tersebut berlaku, responden meminta guru
matematik Tahap 1 di sekolah tersebut untuk menghantar laporan pelaksanaan
pentaksiran bilik darjah.

            Aspek kepemimpinan profesional yang selanjutnya adalah pengawalan iaitu


proses untuk menentukan dan menjamin agar kegiatan individu yang dipimpin terarah
pada pencapaian matlamat yang telah ditetapkan (Syed Ismail Syed Mustapa dan
Ahmad Subki Miskon, 2010). Berdasarkan temu bual, responden menyatakan bahawa
dalam aspek pengawalan, responden yang juga ketua panitia melakukan cerapan
terhadap guru matematik untuk menilai prestasi pelaksanaan proses pembelajaran dan
pemudahcaraan guru tersebut. Menerusi cerapan yang dilakukan, responden dapat
membantu guru untuk melakukan penambahbaikan terhadap amalan pedagogi guru
tersebut ke arah merealisasikan aspirasi sistem pendidikan negara. Hal ini sejajar
dengan Zuraidah Abdullah et al. (2016) yang menyatakan bahawa penyeliaan
membantu meningkatkan kualiti amalan pedagogi guru. Untuk meningkatkan
kefahaman  amalan pedagogi yang berkesan, responden menyatakan bahawa beliau
turut melaksanakan konsep komuniti pembelajaran profesional yang mana responden
berperanan sebagai mentor kepada guru matematik yang lain. Dalam hal ini, responden
menyatakan bahawa antara strategi komuniti pembelajaran profesional yang beliau
laksanakan adalah bimbingan rakan guru, pembelajaran rancangan pengajaran harian
dan sesi perkongsian guru. Perkara tersebut amat penting untuk meningkatkan
kefahaman guru terhadap pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan yang
berkesan.

Secara holistik, terdapat pelbagai peranan guru sebagai pemimpin profesional


dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan berdasarkan temu bual yang
telah dijalankan. Berdasarkan pernyataan tersebut, peranan guru sebagai pemimpin
profesional dalam pelbagai aspek pembelajaran dan pemudahcaraan dapat
diklasifikasikan kepada perancangan, pengelolaan, pengarahan dan pengawalan.
Aspek-aspek tersebut memainkan peranan yang fundamental dalam konteks guru
sebagai pemimpin yang profesional.  Perkara tersebut amatlah penting kerana
keberkesanan proses pembelajaran dan pemudahcaraan bergantung kepada
kepimpinan yang dimiliki oleh guru.
Ulasan

Anda mungkin juga menyukai