Anda di halaman 1dari 12

AMALI PENDIDIKAN JASMANI SUAIAN

KEMAHIRAN MOTOR KASAR

Kemahiran motor kasar adalah merujuk kepada keupayaan kanak-kanak dalam menggunakan otot-
otot utama yang melibatkan organisasi pergerakan sendi untuk melaksanakan sesuatu aksi lakuan
asas (Williams, 1983), seperti berjalan, berlari, membaling, melompat, memanjat dan menangkap.
Perkembangan motor kasar juga dirujuk sebagai kemahiran yang digunakan oleh keseluruhan tubuh
melalui fungsi otot-otot besar yang memerlukan koordinasi temporal dan spatial dalam pergerakan
satu siri segmen secara serentak. Perkembangan motor kasar sering dikaitkan dengan kemahiran
yang diperlukan untuk berupaya memindahkan badan dari satu lokasi ke lokasi yang lain dan untuk
memanipulasikan objek. Kanak-kanak pada peringkat umur enam hingga sembilan tahun sudah
mempunyai koordinasi antara mata, tangan dan kaki yang baik yang membolehkan mereka
melakukan aktiviti membaling, menangkap dan memukul dengan betul. Asas pergerakan motor kasar
juga berhubung kait dengan pengkhususan dan pergerakan dalam lakuan motor (Burton, 1998).

PERKEMBANGAN KEMAHIRAN MOTOR KASAR

Peringkat awal kanak-kanak adalah fasa yang penting dalam perkembangan kemahiran motor kasar
ini. Interaksi kanak-kanak dengan persekitaran melalui pergerakan-pergerakan asas seperti
menyusur, merangkak, bertatih, berjalan dan melompat adalah tempoh kritikal yang mampu
mempengaruhi perkembangan kemahiran motor kasar seseorang kanak-kanak (Ulrich, 1986).
Pendapat ini dipersetujui oleh William (1983) yang menyatakan bahawa zaman kanak-kanak harus
dipenuhi oleh aktiviti yang merangkumi perlakuan motor yang mencabar dan menyeronokkan kerana
di peringkat ini kanak-kanak menguasai pelbagai jenis kemahiran motor yang baru.

Kemahiran motor kasar merupakan komponen utama yang difokuskan bagi kebanyakkan program
pendidikan fizikal diperingkat pra dan awal persekolahan. Pada peringkat awal pembentukan kanak-
kanak, keupayaan postur dan keupayaan motor mula terbentuk. Oleh yang demikian, program
intervensi fizikal awal kanak-kanak dan pengukuran kemahiran motor kasar ini perlu dibina dan
dijalankan secara standard supaya ia memenuhi keperluan kanak-kanak yang merangkumi kemahiran
lokomotor dan kawalan objek (manipulatif) dengan lebih berkesan. Perkembangan kemahiran motor
kasar pada peringkat kanak-kanak adalah petunjuk yang baik untuk melihat perkembangan
kemahiran kognitif mereka (Thomaidis, Kaderoglou, Stefou, Damianou dan Bakoula, 2000; Payne &
Rink, 1997)

Bersesuaian dengan itu, kanak-kanak banyak menghabiskan masa berinteraksi dengan persekitaran
melalui aktiviti pergerakan, seperti merangkak, berguling, berjalan, melompat dan sebagainya.
Tempoh perkembangan peringkat ini adalah kritikal kerana sistem biologi sangat sensitif dengan
perubahan yang berlaku. Perkembangan kemahiran motor kasar yang selari dengan umur kronologi
menggambarkan tahap pencapaian mereka sehingga mereka melepasi tempoh kritikal, iaitu apabila
umur mereka mencapai enam tahun. Sehubungan itu, kanak-kanak peringkat awal persekolahan
perlu dilihat tahap perkembangan motor kasar mereka agar perkembangan yang berlaku selari
dengan perkembangan umur kronologi mereka. Tahap ini juga perlu dikaji agar berlaku sekuen
antara perkembangan motor dan kemahiran apabila mereka berada di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Kemahiran motor kasar berkembang secara sekuen bermula dengan Refleks Primitif di
peringkat bayi, Kemahiran Motor Asas di peringkat pra-sekolah dan awal persekolahan, Kemahiran
Permainan Awalan di peringkat pertengahan persekolahan dan Kemahiran Fizikal dalam Sukan
Individu, Kumpulan & Rekreasi seperti digambarkan dalam rajah 1.
14 tahun dan ke atas Tahap Pengkhususan

11 - 13 tahun Tahap Spesifik

Fasa
pergerakan
berkaitan
sukan

Tahap matang
6 – 7 tahun
Tahap asas
Fasa Pergerakan Asas
4 – 5 tahun

1 – 2 tahun Tahap pra-kawal


Fasa Pergerakan
Mula lahir – 1 tahun Tahap Refleks
Rudimentary

4 bulan – 1 tahun Tahap Information decoding


Fasa Pergerakan Refleks
In utero – 4 bulan Tahap Information encoding

Tahap-tahap
Umur Fasa Perkembangan
perkembangan Motor perkembangan motor

Rajah 1 : Fasa-fasa Perkembangan motor.

(Sumber: Adaptasi dari Gallahue, D.L. (1982). Understanding motor development in


Children. New York : John Wiley & Son.)

2
KONSEP DAN KEPENTINGAN KEMAHIRAN MOTOR KASAR

Kajian mengenai kemahiran motor kasar adalah penting. Kemahiran motor kasar melibatkan
pergerakan besar seluruh tubuh, pergerakan lokomotor dan regangan seluruh tubuh. Menguasai
kemahiran motor kasar dan pola pergerakan semasa kecil dianggap sebagai aspek yang paling
penting bagi perkembangan kanak-kanak kerana kejayaan kemahiran motor kasar yang penting
dalam perkembangan motor kanak-kanak. Perkembangan motor menunjukkan kesan interaksi faktor
biologi dan faktor persekitaran atas perubahan perilaku motor sepanjang kitaran hidup (Haywood &
Getchell, 2005; Malina et al., 2004). Menguasai kemahiran ini membolehkan kanak-kanak melakukan
aktiviti-aktiviti yang memerlukan penglibatan otot besar dan itu akan membantu mereka untuk
bergerak bebas dalam semua ruang.

Kemahiran motor kasar membolehkan kanak-kanak untuk mengeksplorasi persekitaran mereka,


mengawal tubuh mereka, dan melakukan pergerakan mudah, pergerakan kompleks dan pola
kemahiran. Kemahiran motor kasar sebahagian besar digunakan dalam bermain dan sukan (Gordon
& Inder, 2000). Kemahiran motor kasar dianggap sebagai bahagian penting untuk mengambil alih
banyak tugas-tugas motor dan bentuk-bentuk pergerakan lanjutan (Cepicka, 2007; Goodway, Crowe,
& Ward, 2003). Kemahiran motor kasar ini juga penting untuk prestasi dalam pendidikan jasmani
(Cepicka, 2007).

Kanak-kanak dengan kemahiran motor kasar yang lebih baik memperoleh kemahiran sukan lebih
mudah daripada kanak-kanak berkemahiran motor kasar yang teruk (Ulrich, 1986). Kanak-kanak
berkemahiran motor kasar yang teruk kurang mampu dan akan meneruskan tugas-tugas dengan
kesulitan, belajar kemahiran yang lebih kompleks dan mengelakkan kegiatan yang akan
menyebabkan kegagalan awam. Jika mereka gagal untuk mengambil peluang memperkembangkan
keupayaan kemahiran motor, mereka mungkin akan menahan diri dari menikmati kegiatan-kegiatan
sukan dan rekreasi pada masa hadapan. Kurangan dalam kemahiran motor kasar adalah kekangan
untuk perkembangan kemahiran-kemahiran lanjutan.

KAJIAN LAMPAU MENGGUNAKAN TGMD

Perkembangan kemahiran motor kasar adalah petunjuk utama kepada umur perkembangan dalam
kalangan kanak-kanak. Pengukuran variable ini sering dijadikan asas untuk menilai tahap
perkembangan berdasarkan umur kronologi seseorang individu. Perkembangan kemahiran motor
kasar adalah asas kepada pencapaian kemahiran pergerakan yang lebih kompleks seperti pergerakan-
pergerakan spesifik dalam aktiviti sukan [Goodway dan Branta (2003) ]. Kajian yang mereka jalankan
secara langsung menunjukkan bahawa tahap perkembangan motor kasar dan keberkesanan program
intervensi fizikal mempunyai hubung kait yang positif. Kajian mereka bertujuan untuk mendapatkan
data kemahiran motor kasar kanak-kanak kurang upaya di peringkat prasekolah dan meninjau kesan
program intervensi fizikal selama 12 minggu ke atas prestasi kemahiran motor kasar kanak-kanak ini
yang mengikuti program latihan yang telah disediakan

Dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak kurang upaya yang mengikuti program intervensi fizikal
yang bersistematik akan meningkatkan perkembangan kemahiran motor kasar mereka. Penumpuan
kepada perkembangan kemahiran motor kasar adalah perlu kerana kemahiran interaksi antara
kanak-kanak bermula dengan kemahiran motor yang dikuasai. Hasil kajian juga menunjukkan
intervensi kemahiran motor kasar menentukan kecemerlangan kanak-kanak. Intervensi perlu

3
diperkembangkan bersesuaian dengan keperluan kemahiran iaitu daripada kemahiran yang mudah
kepada kemahiran yang lebih kompleks.

Mereka mencadangkan agar program intervensi fizikal ini dijalankan lebih awal bermula kanak-kanak
ini diperingkat prasekolah lagi. Selain itu dicadangkan juga agar kajian akan datang dilakukan
terhadap kesan intervensi kemahiran motor kasar bagi kanak-kanak bagi kumpulan etnik yang
berbeza, umur dan kaedah penyampaian yang pelbagai.

Kajian menggunakan kaedah penyampaian yang pelbagai telah dilakukan melalui aktiviti berdasarkan
intervensi dalam perkembangan kemahiran motor kasar (Apache RR, 2005). Kajian ini menilai
keberkesanan satu aktiviti berdasarkan program intervensi fizikal dan program arahan secara terus
untuk kanak-kanak prasekolah yang kurang upaya. Dua kumpulan pelajar prasekolah dipilih, (purata
usia= 4.1 tahun), peserta adalah terdiri daripada pelajar-pelajar yang dikelaskan sebagai mempunyai
masalah perkembangan atau mempunyai risiko kelewatan perkembangan. Mereka disediakan 15
minggu aktiviti Pendidikan Jasmani dengan arahan secara terus. Arahan diberikan tiga kali seminggu
untuk 30 minit bagi setiap sesi.

Dalam semester musim luruh kumpulan aktiviti Pendidikan Jasmani di sebelah pagi menerima aktiviti
berdasarkan intervensi fizikal manakala kumpulan tengah hari menerima Pendidikan Jasmani secara
arahan terus. Dalam penggal musim bunga arahan aktiviti untuk setiap kumpulan telah ditukarkan.
Kurikulum dan aktiviti-aktiviti yang disediakan kepada setiap kumpulan adalah sama tetapi hanya
format penyampaian yang berubah. Dua set ujian iaitu pra ujian dan pasca ujian menggunakan Ujian
Perkembangan Motor Kasar telah dijalankan sebelum dan selepas 15 minggu latihan. Kumpulan
Instructional period menunjukkan peningkatan dalam kemahiran jika dibandingkan dengan kumpulan
instructional methods. Hasil kajian menunjukkan berlaku peningkatan yang signifikan dalam kedua-
dua kemahiran lokomotor dan kawalan objek melalui aktiviti berdasarkan intervensi fizikal
berbanding aktiviti melalui arahan terus. Aktiviti-aktiviti berdasarkan intervensi fizikal menunjukkan
ianya mudah disesuaikan kepada bentuk pendidikan semulajadi dalam pendidikan prasekolah. Ini
membuktikan bahawa program intervensi fizikal lebih memberi kesan ke atas perkembangan motor
kasar kanak-kanak kurang upaya. Kajian ini juga mempersoalkan samada kemahiran motor asas
boleh dijadikan objektif utama dalam Program Pendidikan Jasmani atau tidak ?

Hayes (1988), pernah meninjau samada kemahiran motor asas boleh dijadikan objektif utama dalam
Program Pendidikan Jasmani. Komponen kemahiran motor asas yang diuji adalah koordinasi mata
dan tangan, ketangkasan, kemahiran lokomotor dan kemahiran kawalan objek. Hasil kajian tersebut
dapat memberi pengetahuan kepada guru mengenai komponen Ujian Kemahiran Motor Asas yang
boleh digunakan untuk menguji tahap perkembangan dan prestasi motor murid dalam aktiviti
Pendidikan Jasmani. Guru Pendidikan Jasmani bagi pendidikan awal kanak-kanak dan kanak-kanak
kurang upaya harus merangka satu struktur intervensi fizikal yang sistematik agar mereka dapat
mengurangkan limitasi dalam aktiviti dan interaksi sosial di kalangan mereka. Namun kejayaan untuk
mengurangkan limitasi dalam aktiviti dan interaksi sosial ini bergantung kepada keupayaan guru
membuat penilai terhadap perkembangan motor kasar di kalangan kanak-kanak.

Keupayaan guru-guru Pendidikan Jasmani menilai komponen motor kasar yang diuji adalah sangat
kritikal. Keberkesanan penilaian yang dibuat lebih bergantung kepada pengalaman dan kematangan
dikalangan mereka [Suomi R. Suomi J. (1997)]. Beliau telah menjalankan kajian keberkesanan
program latihan antara pelajar Pendidikan Jasmani dan guru-guru Pendidikan Jasmani dalam
menentukan skor Ujian Perkembangan Motor Kasar. Kajian dilakukan kerana terdapat asas yang
menunjukkan bahawa latihan yang diberikan dalam kemahiran menilai di kalangan pelajar-pelajar
Pendidikan Jasmani tentang Ujian Kemahiran Motor Kasar untuk kanak-kanak kurang upaya adalah
sering tidak mencukupi.

4
Dalam kajian ini, keberkesanan penilaian latihan tentang ketepatan memberi skor semasa Ujian
Perkembangan Motor Kasar adalah dinilai. Aktiviti kemahiran motor kasar dua orang pelajar (satu
pelajar kurang upaya, satu pelajar normal) telah difilemkan dan dinilai oleh tiga orang pakar dalam
bidang Pendidikan Jasmani Suaian. Ketiga -tiga pakar mendapatkan skor dan kemudian membuat
perbandingan dengan skor yang didapati oleh 26 pelajar Pendidikan Jasmani dan 26 guru Pendidikan
Jasmani yang berpengalaman. Keputusan kajian menunjukkan bahawa arahan yang diterima dalam
ujian ini membolehkan pelajar Pendidikan Jasmani menilai dengan tepat prestasi kemahiran motor
pelajar normal dan pelajar kurang upaya. Didapai juga model-model pengajaran dan teknik membuat
penilaian boleh digunakan untuk pelajar-pelajar normal dan pelajar-pelajar kurang upaya.
Kesimpulannya, ujian ini menunjukkan bahawa mempelajari cara yang betul dalam membuat
penilaian tentang perkembangan motor kasar menghasilkan skor yg tinggi berbanding skor yang
dihasilkan oleh guru-guru Pendidikan Jasmani yang berpengalaman. Ini akan dapat membantu guru-
guru baru dalam merancang program fizikal berkaitan dengan perkembangan motor kasar kanak-
kanak normal dan kanak-kanak kurang upaya.

Goodway, Crowe, Ward dan Philip (2003) telah menguji kesan program pembelajaran kemahiran
motor dalam perkembangan kemahiran motor asas. Kajian tersebut dijalankan ke atas dua
kumpulan kanak-kanak kurang upaya. Seramai 33 kanak-kanak mengikuti program pembelajaran
kemahiran lokomotor dan kawalan objek manakala 30 orang lagi mengikuti pembelajaran biasa di
Southern United States yang merangkumi berbagai etnik. Ujian Kemahiran Motor Kasar Ulrich (1985)
digunakan dalam menentukan perbezaan dua kumpulan yang dikaji. Dapatan menunjukkan
kumpulan yang mengikuti sembilan minggu pembelajaran kemahiran motor asas mendapat skor yang
tinggi semasa pasca ujian dilakukan. Ini membuktikan bahawa kanak-kanak yang dibimbing mampu
menunjukkan pencapaian prestasi yang baik apabila keupayaan kemahiran motor kasar mereka diuji.
Kanak-kanak juga menunjukkan minat untuk beraktiviti apabila guru-guru melakukan perkara yang
betul bagi membantu perkembangan fizikal mereka. Terdapat juga kajian berkenaan kesan program
latihan terhadap perkembanagan motor kasar dikalangan kanak-kanak disfasia.

Program latihan selama lapan minggu telah dijalankan bagi menentukan Skor ujian perkembangan
motor kasar kanak-kanak disfasia [Rintala P, Linjala J. (2003)]. Tujuan kajian ini adalah untuk menilai
tahap kemahiran motor kasar dan keupayaan latihan di kalangan kanak-kanak disfasia menggunakan
Ujian Perkembangan Motor Kasar. Seramai 27 kanak-kanak berumur dari tujuh hingga 12 tahun
( M=9.6 tahun, SD= 1.3) daripada empat kelas berbeza dalam satu sekolah khas telah terlibat. Skor
kemahiran motor kasar daripada satu kumpulan kanak-kanak disfasia telah diambil. Sebelum itu
mereka telah dilatih tentang kemahiran-kemahiran motor kasar, dan intrarater kebolehpercayaan
ujian telah diperiksa. Berdasarkan rakaman video, intrarater kebolehpercayaan adalah .93 ke .97
untuk jumlah skor keseluruhan, tetapi lebih rendah untuk item-item ujian individu. Purata skor
kemahiran motor kasar kanak-kanak disfasia telah diterjemahkan sebagai hubungan yang teruk
kepada kumpulan piawaian dan kumpulan rujukan.

Program intervensi fizikal selama lapan minggu ini menunjukkan peningkatan signifikan dalam nilai
pra ujian dan pasca ujian. Purata skor kemahiran lokomotor meningkat daripada 2.7 (SD= .4) kepada
2.8 (SD= .4), dan kemahiran kawalan objek dari 2.4 (SD= .7) ke 2.8 (SD= .7). Ini menggambarkan
kanak-kanak dengan masalah bahasa tidak mempunyai satu tahap kemahiran motor kasar yang sama
seperti kanak-kanak tanpa masalah bahasa. Ini membuktikan bahawa masalah perbezaan tahap
kemahiran motor kasar ini juga melibatkan kanak-kanak disfasia walaupun mereka tidak mempunyai
perbezaan dari segi keupayaan fizikal. Keadaan yang sama juga berlaku dikalangan kanak-kanak
disleksia.

Disleksia adalah kejadian ketidakupayaan belajar yang paling biasa di Amerika Syarikat.
Ketidakupayaan belajar ini adalah disebabkan oleh kesukaran-kesukaran untuk mengenalpasti
perkataan, ejaan dan pengkodan. Satu badan kesusasteraan yang semakin berkembang

5
mencadangkan bahawa kekurangan-kekurangan dalam prestasi kecekapan motor wujud dalam
populasi disleksia. Bagi memenuhi tuntutan ini satu Bateri Penilaian Pergerakan Kanak- Kanak dan
Ujian Perkembangan Motor Kasar antara kanak-kanak disleksia dan kanak-kanak tanpa disleksia
telah dijalankan [Getchell N, Pabreja P, Neeld K, Carrio V.(2007)].

Kajian ini membandingkan prestasi kanak-kanak dengan disleksia dan kanak-kanak tanpa disleksia
dalam sub-sub ujian yang berlainan melalui Ujian Perkembangan Motor Kasar dan Bateri Penilaian
Pergerakan Untuk Kanak-kanak, pengkaji menilai samada berlaku perubahan perkembangan dalam
skor bagi kumpulan disleksia. Peserta - peserta terdiri daripada 26 kanak-kanak disleksia (19 orang
lelaki dan 7 orang perempuan ; M=9.5 tahun, SD= 1.7) dan 23 kanak-kanak tanpa disleksia (17 orang
lelaki dan 6 orang perempuan; M= 9.9 tahun, SD= 1.3) sebagai satu kumpulan kawalan.

Ujian U Mann-whitney menunjukkan bahawa kumpulan disleksia memperoleh skor yang rendah
berbanding kumpulan kawalan hanya di sub-ujian imbangan penuh dalam Bateri Penilaian
Pergerakan Untuk Kanak-kanak. Kumpulan disleksia yang lebih muda memperoleh dapatan yang
lebih baik di sub-ujian imbangan penuh berbanding kumpulan disleksia yang lebih tua. Hasil dapatan
mencadangkan bahawa gangguan fungsi cerebellar boleh menerangkan mengapa terdapat
perbezaan dalam prestasi lakuan.

Berkaitan dengan masalah fungsi cerebellar ini, pengkaji-pengkaji lain pula cuba melihat peranan dan
masalah organ-organ lain dalam tubuh manusia yang mengganggu perkembangan motor kasar di
kalangan kanak-kanak. Rine, Braswell, Fisher, Joyce, Kalar dan Shaffer (2004) telah menjalan kajian
ke atas 21 kanak-kanak yang mengalami masalah hilang pendengaran sensori dan kecacatan
vestibular. Kajian mereka adalah untuk menentukan kesan program intervensi latihan fizikal ke atas
kelewatan perkembangan motor kasar secara progresif dan kecacatan kawalan postur bagi dua
kumpulan kanak-kanak ini. Kajian melibatkan program intervensi latihan fizikal yang menekankan
kepada fungsi visual dan somatosensori serta latihan imbangan manakala intervensi placebo berfokus
kepada perkembangan aktiviti bahasa yang dijalankan tiga kali seminggu selama 12 minggu.

Dapatan kajian ke atas kumpulan latihan menunjukkan berlakunya peningkatan signifikan semasa
pasca ujian berbanding pra ujian dalam perkembangan motor kasar berbanding kumpulan placebo
yang tidak mengalami perubahan. Mereka mencadangkan agar ujian ke atas vestibular, motor kasar
dan fungsi kawalan postur kepada kanak-kanak awal persekolahan perlu dijalankan lebih awal untuk
mengenalpasti kekurangan yang dialami. Guru, ibu bapa dan pihak-pihak yang terlibat perlu
menekankan program intervensi latihan fizikal awal dalam mempertingkatkan kemahiran motor
kasar kanak-kanak terutama yang melibatkan elemen keseimbangan.

Kittrell, Giarardi, Konrad, Hughes dan Neill (1998) telah membuat kajian keseimbangan ke atas 26
kanak-kanak. Tujuh orang daripada kanak-kanak ini merupakan kanak-kanak kurang upaya auditori.
Dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak kurang upaya auditori memperolehi skor yang rendah
dalam semua komponen ujian keseimbangan terutama ujian yang melibatkan berdiri di atas sebelah
kaki.

Kelemahan dalam mengawal imbangan adalah berpunca daripada kehilangan fungsi vestibular.
Rawatan atau pemulihan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah auditori perlu mengambil kira
kemahiran imbangan. Kebolehan dalam memperbaiki serta mengawal imbangan dengan baik akan
membantu kanak-kanak ini mencapai kemahiran yang lebih tinggi.

Keseimbangan dalam permainan adalah perlu sebagai satu perkara yang penting terutama bagi
memperbaiki tahap pencapaian dalam permainan moden. Asas dalam pergerakan yang melibatkan
motor kasar memerlukan kawalan postur dan imbangan. Kebanyakkan bentuk permainan masa kini
melibatkan kawalan pergerakan anggota badan khususnya permainan yang menggunakan alatan.

6
Kanak-kanak normal dan kanak-kanak kurang upaya yang lebih ketara bermasalah dalam kawalan
keseimbangan memerlukan kaedah latihan dan bentuk aktiviti yang lebih spesifik. Ini penting untuk
membentuk asas keseimbangan bagi kanak-kanak tersebut (Ulrich,1985).

Keseimbangan perlu diperkenalkan sebagai salah satu mata pelajaran dalam proses pembelajaran
untuk memberikan sedikit gambaran terhadap mereka yang ingin menjalani ujian kemahiran motor.
Kandungan isi pelajaran mestilah menitikberatkan aspek-aspek keseimbangan dalam pergerakan.
Intipati pengajaran dan pembelajaran perlu selaras dengan perkembangan fizikal dan mental kanak-
kanak prasekolah dan awal persekolahan.

Perkembangan dalam prestasi motor dengan peningkatan umur kronologi motor diandaikan berkait
rapat dalam aspek kekuatan, ketinggian dan berat badan kanak-kanak. Sebagai contoh, pada umur
pertengahan kanak-kanak prestasi motor hanya ketara dalam aspek berat, tinggi dan bentuk badan.
Penjelasan tentang peningkatan dan perbezaan prestasi kemahiran motor bagi kanak-kanak yang
lebih dewasa dipengaruhi oleh faktor latihan dan motivasi. Mejoriti kanak-kanak yang mengalami
masalah kurang upaya menunjukkan skor prestasi peningkatan motor yang rendah berbanding
kanak-kanak normal jika dibandingkan dengan peningkatan umur (Fischer & Farrar, 1988). Keadaan
ini adalah disebabkan kanak-kanak kurang upaya kurang didedahkan dengan latihan dan praktis.

Keupayaan motor kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui sesi praktis. Ini dibuktikan melalui kajian
mengukur dan mempertingkatkan kemahiran motor melalui praktis (Ericsson, 2008). Tujuan kajian
ini adalah untuk mengesahkan dan membincangkan kemungkinan-kemungkinan bagi menggunakan
Motorisk Utveckling Som Grund untuk pembelajaran (perkembangan kemahiran motor sebagai asas
untuk pembelajaran - MUGI). Pemerhatian dilakukan melalui senarai semak sebagai satu alat
pengukuran untuk kemahiran-kemahiran motor kasar dan memperkenalkan MUGI sebagai satu
latihan alternatif untuk meningkatkan kemahiran motor melalui praktis.

Pemerhatian terhadap kemahiran-kemahiran motor telah dijalankan pada semua pelajar seawal tiga
tahun persekolahan di sebuah sekolah rendah yang dibiayai di Sweden (n=251). Pelajar dalam
kumpulan intervensi (n=152) terlibat dengan satu sesi pengajaran aktiviti fizikal dan latihan motor
setiap hari di sekolah dan juga, bila perlukan, satu pengajaran latihan motor tambahan setiap
seminggu. Pemerhatian senarai semak MUGI, termasuk 16 item yang menguji imbangan statik dan
imbangan dinamik, koordinasi dua hala, dan koordinasi mata-tangan, adalah disahkan dan diuji untuk
kebolehpercayaan.

Selepas setahun intervensi fizikal dilakukan, pelajar-pelajar dalam kumpulan intervensi menunjukkan
pencapaian yang lebih baik (p< 0.05) dalam kemahiran motor berbanding kumpulan kawalan.
Keputusan analisis faktor, ujian kebolehpercayaan, dan evaluator agreement menunjukkan bahawa
pemerhatian senarai semak MUGI memenuhi syarat-syarat sebagai tahap yang diterima kesahan dan
kebolehpercayaan. Model MUGI berfungsi dengan baik sebagai satu bentuk praktis bagi
mempertingkatkan kemahiran-kemahiran motor kanak-kanak dan berfungsi sebagai dokumentasi
terancang untuk program intervensi fizikal individu. Model MUGI boleh digunakan untuk
meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak melalui praktis. Selain daripada praktis terdapat
beberapa faktor penting lain dalam menjamain sesuatu program intervensi fizikal berjaya.

Melaksanakan program-program intervensi fizikal yang sistematik adalah asas kepada usaha
mengurangkan sisihan umur kematangan di kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah
kelewatan perkembangan. Namun terdapat beberapa faktor sampingan yang harus dititikberatkan.
Antaranya adalah faktor motivasi dan peranan ibu bapa. Vlachou dan Farrell (2000) telah
menjalankan kajian terhadap pengaruh faktor motivasi dalam kemahiran manipulasi objek ke atas
kanak-kanak normal dan kanak-kanak Sindrom Down. Dapatan kajian membuktikan bahawa kanak-
kanak Sindrom Down mampu melaksanakan tugasan yang lebih sukar dengan bantuan motivasi

7
seperti galakan dan pujian. Penglibatan ibu bapa dalam program intervensi fizikal memberikan
kepentingan dan kepuasan kepada diri mereka. Sayers, Cowden dan Sherill (2002) merumuskan
bahawa para ibu bapa yang turut terlibat dalam program intervensi fizikal ini melahirkan keyakinan
yang lebih tinggi terhadap sesuatu program intervensi fizikal yang dilaksanakan.

PERALATAN DAN PROSEDUR KAJIAN

Alatan yang digunakan adalah seperti berikut : (1) empat set DVD Camcorders Samsung (VP-DC163i)
dengan keupayaan zoom 33X, (2) empat tripod (SteinZeiser SZ-01), (3) Perisian Pinnacle Studio 9 (4)
dua komputer Acer (5) perisian Adobe Primiere 6.5 (6) pita ukur (7) pundi kacang (8) skital (9) Bola
getah 4 inci (10) batting tee (11) bat plastik (12) bola keranjang (13) bola plastik 4 inci (14) bola
sepak (15) bola tenis (16) bola sofball dan (17) Borang skor (Ujian Perkembangan Motor Kasar
Ulrich, 2000).

Sebelum proses pengumpulan data dijalankan, satu taklimat ringkas diberikan kepada setiap
pembantu penyelidik supaya setiap arahan dan spesifikasi tugas dapat difahami dengan jelas.
Selepas pembantu penyelidik memahami tugas masing-masing maka proses menyediakan stesen
ujian, penyambungan wayar dan kedudukan kamera dilakukan. Langkah berikutnya adalah menguji
semua peralatan bagi menentukan semua alat-alat yang digunakan dapat berfungsi dengan baik.
Rajah 2 merupakan stesen ujian kemahiran lokomotor dan kedudukan sudut rakaman kamera bagi
setiap kemahiran ujian. Manakala Rajah 3 adalah stesen ujian kemahiran manipulatif dan
kedudukan sudut rakaman kamera bagi setiap kemahiran ujian.

subjek kajian dikehendaki mengisi borang maklumat diri (Lampiran A) yang mengandungi maklumat
berikut : (1) Nama (2) Tarikh lahir (3) Jantina (4) Bangsa (5) pekerjaan bapa (6) nama sekolah dan (7)
mendapatkan persetujuan dari penjaga dengan menandatangani ruang nama dan tanda tangan
penjaga.

Subjek kajian dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut jantina. Setiap Subjek dikehendaki
melakukan semua ujian berdasarkan item kemahiran lokomotor dan diikuti dengan kemahiran
manipulatif. Item kemahiran lokomotor melibatkan kemahiran berlari, gallop, lompat sebelah kaki,
lenting, lompat jauh berdiri dan lari sisi. Item kemahiran manipulatif pula melibatkan kemahiran
memukul, melantun, menangkap, menendang, membaling dan menggolek bola.

Setiap item ujian melibatkan dua percubaan bagi setiap peserta. Satu demonstrasi kemahiran akan
ditunjukkan oleh penunjuk ajar bagi setiap kemahiran sebelum ujian dijalankan. Skor dinilai
berdasarkan kewujudan kriteria dalam lakuan peserta semasa ujian. Perlakuan motor peserta juga
dirakam semasa sesi akhir ujian.

Penyelidik akan menganalisa rakaman video untuk mendapatkan skor mentah. Semua skor-skor
mentah direkodkan dalam borang skor seperti pada Lampiran A. Data perlakuan kemahiran
diperolehi melalui rakaman video menggunakan DVD Camcorders Samsung. Rakaman dipindahkan
ke komputer Acer. Komputer Acer telah dilengkapi dengan perkakasan Pinnacle studio 9 dan perisian
Adobe Primiere 6.5 untuk melakukan suntingan. Semua 12 kemahiran yang diuji telah dikumpulkan
dalam satu folder bagi setiap subjek kajian.

8
Kamera 1

Lari (60 kaki)

Gallop dan lari sisi (25 kaki)

Lenting (20 kaki)

Kamera 2

Lompat sebelah kaki (15 kaki)

Lompat jauh berdiri

(10 kaki)

Rajah 2 : Stesen ujian lokomotor dan kedudukan sudut rakaman kamera

9
Kamera 3

Memukul Bola Pegun (60 kaki)

Melantun Bola

Menangkap bola ( 15 kaki)

Kamera 4

Menendang Bola ( 30 kaki)

Membaling Bola (20 kaki)

Menggolek Bola ( 25 kaki)

Rajah 3 : Stesen ujian manipulatif dan kedudukan sudut rakaman kamera

10
UJIAN PERKEMBANGAN MOTOR KASAR ULRICH (2000)

Kajian menggunakan instrumen Ujian Perkembangan Motor Kasar yang dibangunkan oleh Ulrich
pada tahun 2000, untuk mengukur tahap perkembangan motor kasar dan kesetaraan umur
kemahiran bagi subjek kajian. Ujian ini mengandungi dua komponen sub kemahiran motor kasar iaitu
kemahiran lokomotor dan kemahiran manipulatif. Item-item dalam ujian ini terdiri daripada enam
item ujian kemahiran lokomotor (24 kreteria) dan enam item ujian kemahiran manipulatif (24
kreteria). Sub skor mentah dari sifar hingga 48 adakah berdasarkan hasil campur skor 1 dan skor 2
bagi setiap kemahiran. Kemahiran lokomotor melibatkan item-item kemahiran berlari, gallop,
lompat sebelah kaki, lenting, lompat jauh berdiri, dan lari sisi. Kemahiran manipulatif pula melibatkan
item-item kemahiran memukul bola pegun, melantun, menangkap, menendang, membaling dan
menggolek bola. Penerangan mengenai kemahiran yang diuji dan kriteria-kriteria lakuan yang dinilai
diperjelaskan dengan panjang lebar dalam borang skor berdasarkan kreteria TGMD

Teknik pengumpulan data

Subjek diberi dua kali percubaan sebelum aksi lakuan mereka dinilai dan direkodkan semasa ujian.
Seterusnya, skor prestasi dinilai berdasarkan kewujudan kriteria dalam lakuan peserta semasa ujian.
Perlakuan motor peserta juga dirakam dan dianalisis. Skor sifar atau satu diberikan kepada setiap
lakuan kemahiran yang menepati kreteria yang telah ditetapkan. Sub-skor mentah untuk kemahiran
lokomotor dan manipulatif adalah dari sifar hingga 48. Skor subjek dicatat pada borang skor
berdasarkan tahap penguasaan kemahiran mengikut kreteria yang ditentukan. Skor mentah yang
diperoleh dijumlahkan dan dicatatkan dalam bentuk skor piawai. Kaedah mendapatkan skor piawai,
skor kesetaraan umur dan skor tahap perkembangan motor kasar adalah seperti berikut:

1) Dapatkan skor mentah ujian lokomotor dan manipulatif seperti di Lampiran F


2) Bandingkan skor mentah mengikut indeks berdasarkan umur bagi sub-ujian
lokomotor dan manipulatif untuk mendapatkan skor piawai seperti di Lampiran G,
Lampiran H dan Lampiran I.
3) Tambahkan jumlah skor piawai kedua-dua sub-ujian tersebut untuk mendapatkan
jumlah skor piawai.
4) Skor mentah lokomotor dan manipulatif ditukar kepada tahap kesetaraan umur
seperti pada Lampiran J.
5) Jumlah skor piawai ditukarkan kepada skor Gross Motor Development Quotient
(GMDQ) berdasarkan Lampiran K.

Skor mentah yang diperoleh daripada lakuan dalam ujian lokomotor dan manipulatif akan ditukar
kepada skor piawai berdasarkan umur kronologi mereka. Sebagai contoh, sekiranya skor mentah
ujian lokomotor peserta lelaki berumur sembilan tahun ialah 34, maka skor piawainya adalah 5. Jika
skor mentah ujian manipulatif ialah 38, maka skor piawainya adalah 6. Jumlah skor piawai bagi
kedua-dua ujian ialah 11. Maka skor GMDQ yang diperoleh ialah 73. Jumlah skor piawai berkenaan
ditukarkan ke dalam bentuk GMDQ berdasarkan Lampiran K.

Rujuk norm TGMD


Lampiran K: Skor Piawai dan persentil sub-ujian Manipulatif bagi lelaki

11

Anda mungkin juga menyukai