Anda di halaman 1dari 3

Kesan Teori Konstruktivisme

Seperti yang kita sedia maklum, keberkesanan dalam menyampaikan ilmu


pengajaran dan pembelajaran (PnP) adalah bergantung kepada kaedah
penyampaian yang diaplikasikan di dalam kelas. Kaedah ini penting dalam
menyampaikan ilmu kepada para pelajar supaya objektif pembelajaran dicapai
dari aspek kefahaman pelajar terhadap silibus yang telah dirangka dengan baik.
Dengan itu, Teori Konstruktivisme yang digunakan di dalam PnP memainkan
peranan penting dalam memberi impak terhadap pelajar dari segi kognitif dan
konsep kendiri pelajar itu sendiri.

Pembinaan asas pengetahuan pelajar merupakan salah satu daripada kesan


daripada penerapan teori konstruktivisme dalam PnP. Pelajar yang berada dalam
bidang teknikal dan vokasional akan bersikap lebih aktif dalam memperoleh
pengetahuan di dalam kelas. Aktif di sini membawa maksud mengaktifkan segala
deria pembelajaran termasuk mendengar, melihat dan memahami dengan
menggunakan daya pemikiran dalam menyelesaikan masalah. Dengan
menerapkan teori konstruktivisme dalam PnP, pelajar bukan sahaja dapat
membina asas pengetahuan yang diberikan oleh guru malah pelajar dapat
mengaitkannya dengan pengetahuan yang baru. Tambahan pula, melalui konsep
ini guru-guru menjadi penunjuk yang akan membimbing pelajar dengan
mengajukan soalan-soalan akademik supaya dapat memberangsangkan pemikiran
mereka. Sebagai contoh, guru menyediakan soalan praktikal berkaitan dengan
elektrik seperti sambungan litar sesiri dan litar selari. Dengan teori elektrik
tersebut yang telah diajar di dalam kelas, pelajar menjadi aktif dengan
menggabungkan ilmu teori dengan ilmu praktikal bagi menyelesaikan soalan
sewaktu aktiviti makmal. Mereka secara langsungnya mengetahui komponenen-
komponen dan alat-alat elektrik yang diperlukan untuk membuat sambungan
yang betul. Guru akan membenarkan pelajar berdikari dalam menyelesaikan
masalah di samping memantau aktiviti mereka dan membimbing mereka di
bahagian-bahagian tertentu. Bukan itu sahaja, penerapan konsep ini
membolehkan pelajar membina asas pengetahuan yang kukuh apabila teori ini
diterapkan dalam pendidikan teknikal dan vokasional dengan cara mengimbas
semula proses pembelajaran yang telah dilalui [1] dan secara tidak langsung
meningkatkan kualiti pelajar untuk sentiasa kekal kompetitif dalam memenuhi
pasaran negara sama seperti negara-negara maju yang lain.

Selain daripada mengasah diri pelajar yang aktif deria pembelajarannya,


tidak dapat dinafikan bahawa teori ini juga mempengaruhi aspek sosial pelajar itu
sendiri. Pembinaan aspek sosial ini merujuk kepada cara berinteraksi pelajar
dalam bertukar pandangan, pendapat dan idea antara guru dan sesama mereka.
Selain daripada berpeluang mengemukakan pendapat mereka akan sesuatu
konsep, mereka juga terdidik untuk bersifat terbuka dengan menerima semua
pendapat yang ada tanpa merendah-rendahkannya. Konsep ini menitikberatkan
aktiviti berkumpulan di mana kepelbagaian idea akan tercetus bagi mengukuhkan
pengetahuan-pengetahuan asas. Kenyataan ini disokong oleh Jean Piaget; pakar
psikologi yang menyatakan bahawa proses pembelajaran ini bersifat dinamik dan
sosial yang mana tercetusnya idea-idea berbeza yang difikirkan oleh individu-
individu berlainan dan kemudiannya akan dikumpulkan dan dibandingkan
menjadi satu asas pengetahuan yang jitu [2]. Misalannya, guru meminta pelajar
membentuk dua kumpulan untuk menyelesaikan soalan-soalan Hukum Ohm.
Sekumpulan pelajar A akan menggunakan kaedah yang pertama manakala
sekumpulan pelajar B pula akan menggunakan kaedah yang kedua di mana
keduaa-dua kaedah tersebut memperoleh jawapan yang sama walaupun cetusan
idea bagi kedua-dua kumpulan adalah berbeza. Kedua-dua kaedah yang diguna
pakai boleh diterima selagi mana tidak bercanggah dengan konsep Hukum Ohm
itu sendiri. Maka dengan itu, pendekatan teori ini dalam pengajaran dan
pembelajaran teknikal dan vokasional membolehkan pelajar bersaing dari segi
kognitif malah melahirkan pelajar-pelajar yang berani mencuba dalam
mencetuskan buah idea dalam menyelesaikan permasalahan yang ada.

Dengan mengaplikasikan teori ini dalam pendidikan teknikal dan vokasional,


motivasi pelajar juga akan menjadi tinggi. Hal ini khususnya bagi pelajar-pelajar
introvert yang mana mereka cenderung untuk berseorangan, pemalu, sensitif dan
kurang bersedia menanggung risiko. Teori ini menggalakkan pelajar untuk
berdepan memberi pandangan dan bergaul bagi membuahkan idea. Dengan
menggalakkan aktiviti berkumpulan, pelajar-pelajar introvert ini akan mudah
bersosial dan bersikap optimistik. Ini sangatlah berkait rapat dengan konsep
kendiri pelajar itu sendiri yang mempengaruhi semua aspek dalam dirinya dari
segi fizikal, emosi, intelektual dan rohani. Mereka dengan mudahnya akan
menjadi pelajar yang aktif untuk mengajukan sebarang soalan mahupun
menyelesaikannya diikuti dengan keseimbangan emosi yang mana mereka
mendapat sokongan baik daripada guru-guru dan rakan-rakan sekelas.

Kesimpulannya, penerapan teori konstruktivisme dalam pendidikan teknikal


dan vokasional sememangnya memberi impak yang begitu besar dalam
membentuk keperibadian pelajar secara menyeluruh. Para pelajar bukan sahaja
mampu untuk berdaya saing bahkan kualiti dan nilai mereka sendiri memberi
impak kepada negara yang senantiasa mahu terus berkompeten dan tidak
ketinggalan di peringkat global.

Rujukan

[1] Murid dan Alam Belajar (Keberkesanan Strategi Pengajaran Konstruktivisme)


http://group3pismp2g.blogspot.com/2010/09/definisi-konstruktivisme-
pendekatan.html. Diperolehi pada 5 April 2019.
[2] Definisi Teori Konstruktivisme. (Prinsip-prinsip Asas dalam Teori
Konstruktivisme) https://www.scribd.com/doc/98888808/DEFINISI-TEORI-
KONSTRUKTIVISME. Diperolehi pada 8 April 2019.

Anda mungkin juga menyukai