Anda di halaman 1dari 14

1.

0 PENDAHULUAN

Tanpa kita sedari, sudah lebih 1400 tahun kekasih kita, yang disebut sebagai Habibullah itu telah pergi
meninggalkan kita. Dialah insan kamil dan mulia yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Selawat
dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun baginda tiada di sisi kita, namun
nama dan akhlak bagindalah yang seharusnya terpateri dalam jiwa setiap Muslim. Bercakap mengenai
akhlak baginda, baginda sememangnya mempunyai akhlak yang cukup indah dan sempurna walaupun
berhadapan dengan orang yang memusuhi baginda. Dalam Al-Quran juga ada menyebut dalam surah Al
Qalam ayat 4 :

‫َّك لَ َعلَ ٰى ُخلُ ٍق َع ِظيم‬


َ ‫َوإِن‬

Yang bermaksud : Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.

Allah juga merakamkan hal ini dalam surah Al-Ahzab ayat ke-21 :

‫ُس َوةٌ َح َسنَةٌ لِ َم ْن َكا َن َي ْر ُجو اللَّهَ َوالَْي ْو َم اآْل ِخَر َوذَ َكَر اللَّهَ َكثِ ًريا‬ ِ ِ
ْ ‫لََق ْد َكا َن لَ ُك ْم يِف َر ُسول اللَّه أ‬

Yang bermaksud : “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Dalam hadith juga ada disebutkan mengenai betapa hebatnya akhlak Rasulullah untuk dicontohi di
mana Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah tentang akhlak Rasulullah s.a.w, lalu
Aisyah menjawab :

“Akhlak Rasulullah s.a.w adalah Al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim).

Daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadith di atas, dapat kita simpulkan bahawa betapa sempurna dan luar
biasanya akhlak Nabi. Ditambah lagi apabila Saidatina Aisyah r.a berkata bahawa akhlak Nabi adalah Al-
Quran. Ini menunjukkan bahawa akhlak Nabi itu begitu indah dan setiap yang nabi lakukan itu pasti ada
makna disebaliknya serta hal inilah yang membuatkan ramai orang pada zaman Nabi tertarik dengan
Islam dek kerana kehebatan akhlak yang ditonjolkan. Cara yang dilakukan oleh Rasulullah dalam
menyebarkan ilmu dan Islam itu sangat indah dan sebagai umat Islam khususnya para pendidik di luar
sana perlu mencontohi dan mengagumi akhlak baginda tersebut untuk menjadikan lapangan pendidikan
dan profesion keguruan lebih mantap dan berketrampilan. Dalam dunia pendidikan ini, sememangnya
akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Menurut Ahmad Mohd Salleh (2011), “perubahan sentiasa
berlaku dalam sistem pendidikan negara selaras dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam
hidup masyarakat”. Justeru, muncul cabaran yang perlu ditangani secara berkesan terutama cabaran
yang berkaitan dengan kerohanian dan akhlak. Tugas yang dipikul untuk mendidik anak bangsa ini
bukanlah satu tugas yang mudah terutamanya guru Pendidikan Islam di sekolah. Selain daripada
mengajar sukatan pelajaran, guru Pendidikan Islam ini menggalas satu tanggungjawab yang cukup besar
bagi membentuk akidah dan akhlak anak-anak muridnya di samping menjadi tempat rujukan masyarakat
sekeliling.

2.0 CORAK KERJA RASULULLAH

Seperti yang kita ketahui, kedatangan agama Islam telah mengubah tamadun keilmuan jahiliyah pada
zaman dahulu. Pada peringkat awal perkembangan Islam, ilmu pengetahuan dan pendidikan Islam telah
disampaikan di rumah baginda dan rumah sahabat iaitu rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Jika kita
sekarang, sekolah merupakan institusi untuk kita menyampaikan ilmu secara formal. Dalam sekolah
pastinya akan ada Guru Besar, ketua panitia, rakan sejawat dan murid-murid. Untuk memajukan dan
meningkatkan pencapaian sekolah, guru Pendidikan Islam seharusnya mempunyai kolaborasi dengan
individu-individu ini. Seperti yang dilakukan oleh Rasulullah, untuk menyebarkan ilmu dan Islam, baginda
tidak bergerak secara sendirian. Contohnya di Madinah, Rasulullah s.a.w menggunakan beberapa orang
tawanan Perang Badar yang berkebolehan dalam menulis dan membaca untuk mengajar kanak-kanak
Islam sehingga mereka pandai sebagai jaminan kebebasan. Baginda juga melantik para sahabatnya
untuk dijadikan guru terhadap kanak-kanak dan dihantar ke daerah-daerah tertentu sebagai guru
agama.

Begitu juga kita sebagai guru Pendidikan Islam, perlu ada kerjasama dengan guru-guru lain dan pihak ibu
bapa. Disebabkan itulah wujudnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai wadah untuk kita
gunakan sebagai pendekatan untuk memudahkan tugas guru. Jika kita guru baru di sesebuah sekolah,
kita perlu kenali iklim sekolah tersebut, bagaimana murid-muridnya dan berkemungkinan ada murid
tahun 5 yang masih tidak tahu untuk membaca Al-Quran dan Jawi. Jadi, sebagai guru baru, kita boleh
bertanya kepada guru yang berpengalaman di situ bagaimana cara untuk mendekati pelajar atau kaedah
pengajaran yang sesuai digunakan kepada pelajar tersebut. Seterusnya, kita boleh meminta bantuan
daripada ibu bapa untuk membantu guru memastikan pengamalan anak-anak murid di rumah. Kadang-
kadang ada murid yang boleh membaca, tetapi disebabkan pengamalan membaca Al-Quran itu tiada di
rumah, murid tersebut akan lupa. Oleh itu, kolaborasi dua hala ini amat penting seperti yang dilakukan
Rasulullah dan teknik ini perlu dilakukan sebagai guru untuk meningkatkan pencapaian murid dan
sekolah.

3.0 DIDIKAN MENGIKUT UMUR (MEMUPUK DISIPLIN DAN TANGGUNGJAWAB)

Di samping itu, mendidik anak sendiri tidak sama dengan mendidik anak orang lain. Namun sebagai
guru, kita perlu menghadirkan sifat keibu bapaan dalam diri dan menanggap mereka sebagai anak kita
sendiri. Hal ini kerana sifat tersebut akan merapatkan jurang antara guru dan murid. Menurut Muhd
Nasruddin Dasuki (2015), dalam mendidik anak-anak, Rasulullah s.a.w memperkenalkan empat
D id ik a n R a s u lu lla h M e n g iku t U m u r

peringkat pendidikan seperti dalam Rajah 1.

0-6 tahun
(Berikan kasih sayang sepenuhnya)

7-14 tahun
(Disiplin & tanggungjawab)

15-21 tahun
(Jadikan mereka kawan)

21 tahun ke atas
(Berikan kepercayaan & kebebasan)

Rajah 1: Didikan Rasulullah Mengikut Umur

Dalam konteks kita sebagai guru pendidikan Islam sekolah rendah, perkara ini berkaitan dengan
peringkat kedua iaitu anak murid yang berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun). Pada peringkat
ini, Rasulullah menyarankan kita supaya menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-
anak. Bagaimanakah kita sebagai guru Pendidikan Islam ingin menamam nilai ini dalam diri murid ? Hal
ini boleh dilakukan dengan memastikan mereka mengetahui dan mendidik mereka untuk mendirikan
solat. Kenapa dengan solat dapat memupuk nilai disiplin dan rasa tanggungjawab murid ? Hal ini kerana
solat itu sendiri mempunyai rukun dan waktu-waktu tertentu untuk dipatuhi. Menurut Hj. Afifi Ahmad
(2012), keseimbangan hidup akan dapat dicapai apabila urusan kerohanian dapat diurus dengan
berkesan iaitu dengan menjaga solat. Jika kita lihat perbezaan antara cara hidup orang yang tidak solat
dengan orang yang solat, dan antara orang yang solat pada awal waktu dengan orang yang solat di akhir
waktu. Pastinya orang yang solat dan solat di awal waktu itu, hidupnya lebih teratur. Selaras itu, dalam
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), topik solat ini sudah diajar seawal tahun dua dan wudhu’
sudah diajar pada tahun satu.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Ustazah Hjh Napisah [et.al..] (2004) dalam Jadual 1, faktor yang
mempengaruhi pelaksanaan solat fardhu menunjukkan bahawa faktor pendidikan agama amat
mempengaruhi.

Jadual 1 : Faktor yang Mempengaruhi Pelaksanan Solat Fardhu

Disebabkan itu semenjak di sekolah rendah lagi perlu ditekankan mengenai bab solat ini. Sebagai guru
Pendidikan Islam di sekolah, menjadi tugas dan tenggungjawab kita utuk memastikan murid-murid
dapat mendirikan solat. Biarpun bertatih asalkan kita dapat menjawab di akhirat kelak mengenai
amanah yang telah diletakkan di bahu kita. Bersangkutan itu, Kem Bestari Solat (KBS) juga telah
dilaksanakan sebagai program sekolah. Rasionalnya, perkara ini bukan sahaja merupakan rukun Islam,
akan tetapi terdapat elemen yang tersembunyi di sebaliknya iaitu untuk mendidik murid-murid supaya
berdisiplin dan mempunyai rasa tanggungjawab seperti yang disarankan Rasulullah. Sepertimana dalam
hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah bersabda : “perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan solat
ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat pada umur sepuluh tahun
dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” Hal ini menunjukkan bahawa
Rasulullah sangat menekankan solat di peringkat sekolah rendah supaya mereka akan lebih
bertanggungjawab pada setiap tugasan terutamanya dalam mendirikan solat. Bak kata pepatah,
‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Peringkat sekolah rendah inilah masa terbaik bagi kita sebagai
guru untuk membentuk keperibadian dan akhlak mereka mengikut acuan Islam.

4.0 TEKNIK PENGAJARAN RASULULLAH

4.0.1 Pembentukan Jiwa

Ilmu itu adalah cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang penuh dengan maksiat dan
kegelapan. Menurut Ahmad Yani, Rasulullah memandang bahawa pendidikan harus diawali dengan
pembentukan jiwa dan keimanan terlebih dahulu. Hal ini kerana bila pendidikan ini tidak diawali dengan
pembentukan jiwa dan keimanan, maka hasil atau matlamat pendidikan itu tidak akan tercapai.
Maksudnya, segala ilmu yang disampaikan itu hanya di dalam kelas dan sekadar untuk peperiksaan
sahaja dan bukannya ilmu yang meresap di jiwa untuk pengamalan dalam hidup mereka. Guru ini
bukanlah sekadar guru bahkan juga pendidik. Bila mana dikatakan seorang pendidik, maka tugasnya
adalah mendidik dan membentuk jiwa murid-muridnya. Jangan biarkan kita khususnya guru Pendidikan
Islam, yang hanya tahu makan gaji dan menghabiskan silibus semata-mata.

Hal ini seperti mana sewaktu awal penyebaran ilmu Islam, Rasulullah mengajar akidah dengan memberi
penekanan untuk menanam rasa keimanan kepada Allah s.w.t di akal dan jiwa umatnya. Setelah
matlamat ini dicapai, Rasulullah s.a.w menumpukan pula kepada bidang pembentukan akhlak. Aspek
yang berkaitan dengan sistem nilai, tingkah laku dan pergerakan psikomotor murid dibimbing agar
sesuai dengan keyakinan iman yang dipegang oleh mereka. Perkara ini sangat sinonim dan berkait
dengan guru Pendidikan Islam yang mana perlu mengukuhkan pembentukan jiwa anak murid melalui
pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan. Contohnya seperti sebelum kelas bermula, kita boleh
menerapkan budaya membaca syahadah terlebih dahulu. Bacaan syahadah ini sedikit sebanyak akan
menguatkan jiwa dan rohani mereka. Bacaan ini juga perlu diterapkan maknanya dalam diri setiap
pelajar agar mereka dapat meneguhkan pegangan sebagai umat Islam.

Pembentukan jiwa ini juga boleh dilakukan ketika pembelajaran berlangsung dengan cara memberi
naihat ataupun ‘tazkir’ agar mereka tidak mudah lupa dan melekat di jiwa. Perkara inilah yang dipanggil
kurikulum tersembunyi yang disemaikan secara tidak langsung melalui pengajaran yang dilakukan (A.J
Michael, 2006). Setidak-tidaknya ada antara perkataan kita yang terkesan di hati anak murid yang tanpa
disedari mengubah tingkah lakunya daripada nakal menjadi baik dan daripada malas memmbaca Al-
Quran kepada rajin membaca Al-Quran. Sebagaimana Rasulullah sebagai seorang guru telah dapat
mengubah sikap dan tingkah laku para sahabat yang sebelumnya bersifat jahiliyah kepada akhlak yang
mahmudah (Ghazali Darusalam, 2004).

4.0.2 Dialog atau Perbincangan

Di samping itu, Rasulullah juga menggunakan kaedah dialog atau perbincangan dalam pengajaran
baginda. Contohnya baginda pernah berdialog dengan dengan sekumpulan pemuda Bani al-Harith
dengan tujuan supaya mereka menerima Islam dengan prinsip yang betul. Menurut Ghazali Darusalam
(2004), kaedah pengajaran dan pendidikan Nabi di masjid dan Suffah dibuat dalam bentuk halakah di
mana berlakunya interaksi pelbagai hala. Teknik perbincangan pelbagai hala yang telah dilakukan oleh
Rasulullah dalam mendidik ini sebenarnya banyak manfaatnya yang kita boleh peroleh. Jadi, kaedah ini
perlu kita lakukan agar dapat mengasah minda murid-murid untuk membincangkan mengenai sesuatu
perkara agar idea mereka akan bercambah. Dalam subjek Pendidikan Islam, kita boleh melakukan
perbincangan ini seperti dalam bidang akhlak, sirah dan Al-Quran. Contohnya, kita bahagikan mereka
dalam beberapa kumpulan untuk mereka bincangkan mengenai pengajaran yang diperoleh daripada
peristiwa dada Nabi dibelah dan turunnya wahyu kepada baginda atau mengenai kejadian ciptaan Allah,
iaitu apakah hikmah di sebalik penciptaan langit dan bumi serta malam dan siang.

Bukan Rasulullah sahaja yang menggalakkan teknik pengajaran berbentuk perbincangan dan soal jawab
ini, malah dalam Al-Quran itu sendiri sudah ada menekankan mengenai galakan kepada umat manusia
untuk berfikir. Seperti mana dalam surah Jaathiyah ayat 13 :
‫ات لَِّق ْوٍم َيَت َف َّك ُرو َن‬
ٍ ‫ك آَل ي‬ِٰ ِ
َ َ ‫ض مَج ًيعا ِّمْنهُ ۚ إ َّن يِف َذل‬ ْ
ِ َّ ‫وس َّخر لَ ُكم َّما يِف‬
ِ ِ ‫ات وما يِف اأْل َر‬
َ َ ‫الس َم َاو‬ َ ََ

Bermaksud : Dan Dia telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya,
(sebagai rahmat) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar benar terdapat tanda tanda
( kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.

Oleh itu sebagai guru Pendidikan Islam, kita perlu menggalakkan perbincangan antara murid, galakkan
mereka meneroka dan menyoal. “Perbincangan bukan sahaja meransang interaksi antara pelajar secara
bermakna, tetapi juga merangkumi kemahiran, sikap dan proses-proses pembelajaran” (Noriati A.
Rashid [et.al..]). Hal ini berlaku apabila mereka berbincang, sikap mereka akan diuji iaitu bagaimana
mereka menerima pandangan rakannya dan bagaimana mereka berfikir secara kritis untuk memberi
pendapat dalam kumpulan. Melalui cetusan soalan yang diberikan guru, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) mereka juga akan diuji untuk mereka mendapatkan sesuatu yang tersurat dan tersirat daripada
pembelajaran. Hasilnya, kaedah yang digunakan Rasulullah ini sebenarnya telah melibatkan elemen
pemikiran kritis dan kolaborasi antara pelajar seperti yang dikehendaki dalam Pembelajaran Abad Ke-21
kini seperti dalam Rajah 2.

Rajah 2 Sumber: (Portal Rasmi Pejabat pendidikan Daerah)

4.0.3 Isyarat dan Menggambar

Selain itu, dalam memberi pemahaman yang jelas mengenai sesuatu, kadang-kala Rasulullah s.a.w
menggunakan kaedah isyarat dan menggambar. Hal ini di mana dalam buku Pedagogi Pendidikan Islam
ada menerangkan bahawa baginda pernah melukis garisan untuk menggambar dan menerangkan ayat
dalam Surah Al-An’am: 153:

َّ ‫السبُ َل َفَت َفَّر َق بِ ُك ْم َعن َسبِيلِ ِه ۚ ٰذَلِ ُك ْم َو‬


‫صا ُكم بِِه لَ َعلَّ ُك ْم‬ ُّ ‫يما فَاتَّبِعُوهُ" ۖ َواَل َتتَّبِعُوا‬ ِ ِ ِ َّ ‫َوأ‬
ً ‫َن َٰه َذا صَراطي" ُم ْستَق‬
‫َتَّت ُقو َن‬

Bermaksud: “Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanku yang lurus, maka ikutilah dia dan
janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari
jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.”

Untuk memberi pemahaman yang jelas menganai jalan-jalan tersebut, Rasulullah telah melukis garisan-
garisan seperti di bawah supaya mudah difahami.

Jalan-jalan syaitan

Jalan Allah

Jalan-jalan syaitan

Begitu juga dengan kita sebagai guru Pendidikan Islam, kadang-kadang sewaktu menyampaikan
pengajaran, mungkin ada sesuatu topik yang sukar untuk difahami dan diingat oleh murid-murid. Jadi,
perkara ini telah diajar oleh Rasulullah supaya kita sebagai pendidik untuk menggunakan kaedah isyarat
dan menggambar. Sebagai contoh, murid-murid sukar untuk mengingati dan memahami cara bacaan
tanda-tanda waqaf dalam Al-Quran. Jadi, kita bertindak sebagai pemudah cara perlu membuat simbol
atau gambaran yang mudah seperti tanda waqaf Qabih kita simbolkan dengan tangan yang bersilang
dan diwarnakan dengan warna hijau untuk bacaan dilarang berhenti. Sebagai contohnya lagi, dalam
bidang Sirah, untuk kefahaman dan ingatan yang lebih kukuh, kita boleh menggunakan kad imbasan
atau ‘puppet’ sebagai set induksi melalui penceritaan dalam kronologi Sirah. Menurut Wan Nor Faezah
dalam penulisannya, “jika bahan maujud digunakan oleh guru dalam pengajaran, kaedah ini akan
membuatkan kanak-kanak lebih tertarik”. Hal ini bertepatan seperti mana contoh yang ditunjukkan oleh
Rasulullah dalam pengajaran baginda. Betapa bijaknya Rasulullah. Dalam pembelajaran masa kini pula,
kita digalakkan untuk melibatkan elemen inovasi atau bahan bantu mengajar yang menarik supaya
murid-murid lebih faham dan ingat.

4.0.4 Praktikal dan Demonstrasi

Di samping itu, Rasulullah s.a.w sememangnya contoh teladan yang terulung dalam bidang pendidikan
ini. Hal ini kerana baginda s.a.w bukan sahaja mengajar dengan lidah kepada kaum Muslimin bahkan
segala tingkah laku baginda menunjukkan apa yang diajar. Hal ini disebabkan Rasulullah bukan sahaja
Rasul yang mengajar manusia malah menjadi contoh ikutan. Menurut Wan Mohd Nor Wan Daud dalam
bukunya, dalam mengajarkan masalah keagamaan kepada para sahabat, Rasulullah s.a.w sering
menjelaskannya dengan perbuatan seperti dalam mengajarkan cara bersolat, berwudhu’ dan
tayammum. Seperti mana dalam hadith riwayat Imam Bukhari :

Dari Abdurrahman bin Abzi dari ayahnya ia berkata, “seseorang datang kepada Umar dan berkata,
“saya sedang junub dan tidak mendapatkan air.” Amar bin Yasir berkata kepada Umar Al-Khattab,
“tidakkah kamu ingat ketika saya dan kamu dalam sebuah perjalanan, adapun kamu belum solat,
sedangkan saya berguling-guling (di tanah), kemudian saya solat. Saya pun menceritakannya kepada
Rasulullah s.a.w kemudian baginda bersabda, “sebenarnya anda cukup begini.” Rasulullah s.a.w
memukulkan kedua tapak tangannya ke tanah dan meniupnya, kemudian mengusapkan keduanya pada
wajah dan tapak tangan baginda.” (HR Bukhari).

Melalui hadith tersebut kita dapat lihat bahawa Rasulullah s.a.w dalam menerangkan sesuatu yang
kurang jelas, baginda menggunakan kaedah demonstrasi atau praktikal seperti mana baginda
menunjukkan cara bertayammum kepada para sahabat. Hal ini kerana sesuatu ilmu dan cara untuk
mempraktikkannya adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan, kedua-duanya saling berkait.
Metodologi Rasulullah dalam pendidikan adalah dengan menyokong teori ilmiah melalui penerapan
praktikal. Perkara ini penting kerana ilmu dalam pendidikan itu sebenarnya lahir dari pengamalannya,
bukan dari teori ilmiah semata-mata. Disebabkan itu, kita sebagai guru Pendidikan Islam perlu
menekankann aspek pengamalan dan praktis ini seperti yang diajar oleh Rasulullah. Contohnya dalam
topik wudhu’ dan solat, setelah diterangkan mengenai cara-cara berwudhu’ dan solat, berikan mereka
peluang untuk melakukan simulasi. Perkara yang penting seperti wudhu’ dan tatacara solat ini tidak
boleh diterangkan hanya melalui teori semata-mata. Ianya memerlukan tunjuk cara yang betul supaya
boleh diamalkan oleh murid-murid seperti mana yang dimahukan dalam Draf Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang menekankan aspek pengamalan.Jadi, melalui simulasi dan
praktikal inilah boleh membantu murid dalam aspek pengamalan.

Menurut Cma Usin (2013), dengan adanya kaedah serta teknik simulasi ini dlam p&p banyak memberi
input kepada kebaikan terutamanya dari segi pencapaian akademik. Dalam kajian tindakan yang
dilakukan oleh Izudi Hasan (2015) juga menyatakan bahwa pelajar sememangnya menyukai dan
menyetujui isi pembelajaran yang dilakukan secara amali kerana ianya lebih menyeronokkan dan mudah
diingat seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.

Rajah 3: Tinjauan Kaedah Penyampaian Isi Pengajaran

Jadi sebagai guru, kita harus bertindak bijak seperti yang dikukan oleh Rasulullah agar menerapkan
kaedah demonstrasi dan amali dalam pengajaran dan pembelajaran.

5.0 KEPERIBADIAN RASULULLAH SEBAGAI PENDIDIK

5.0.1 Penyayang
Sesungguhnya sifat penyayang ini wajib ada dalam setiap insan yang bergelar pendidik. Orang yang
jiwanya keras dan kasar tidak sesuai untuk menjadi pendidik. Hal ini kerana untuk memanusiakan
manusia memerlukan kasih sayang yang begitu luas. Umum memahami bahawa kanak-kanak di
peringkat sekolah rendah ini sifatnya degil akan tetapi hatinya masih suci dan bersih. Jadi, apabila
mengajar kita tidak boleh menggunakan kekerasan. Hal ini kerana kekerasan dengan kekerasan tidak
akan menimbulkan hasil, malah kelembutan juga yang akan menewaskan kekerasan. Sebagaimana
Rasulullah dalam menyampaikan dakwah dan ilmu Islam, baginda tidak pernah menggunakan kekerasan
untuk memaksa orang lain menerima dakwah Islam. Malah, ramai orang ketika itu masuk Islam dek
kerana peribadi Nabi yang begitu penyayang dan berlemah-lembut.

Dalam buku susunan Junaid Al-Baghdadi juga ada menyatakan bahawa kita perlu mencontohi peribadi
baginda Rasullah s.a.w kerana bagindalah yang paling mahir dalam mendidik sebagaimana yang
disebutkan oleh Anas bin Malik r.a :

Bermaksud : “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling berkasih-sayang dalam memenuhi
segala keperluan keluarganya daripada Rasulullah.” (HR. Muslim).

Melalui hadith ini kita dapat tahu bahawa Rasulullah sangat penyayang orangnya. Junaid Al- Baghdadi
dalam buku susunannya juga ada menceritakan bahawa baginda juga memanggil kanak-kanak dengan
nama-nama yang baik yang mana mereka suka mendengarnya. Baginda juga memberikan kepada
mereka nama-nama gelaran yang manis dan selalu bergurau dengan tujuan berkasih sayang. Begitu
juga kita sebagai guru Pendidikan Islam, kita tidak boleh menggunakan perkataan kesat dan kasar
kepada anak murid kita. Perkara ini sebenarnya akan membantutkan perkembangan emosi dan kognitif
mereka. Hal ini menurut Kolhberg dalam karangan buku Abdulah Zhidi [et.al..], pada peringkat umur
murid sekolah rendah ini, mereka mahu dihormati dan dihargai serta diterima semua. Oleh itu, kita
sebagai guru jangan lunturkan keinginan dan semangat mereka untuk belajar dengan mengherdik dan
menghina mereka kerana hal tersebut akan membantutkan semangat mereka untuk belajar. Sebaliknya,
gunakanlah dan sebarkanlah kasih sayang seperti yang diajarkan Rasulullah dalam mendidik.

5.0.2 Kesabaran yang Tinggi

Dalam meneroka dunia pendidikan ini, sememangnya banyak cabaran yang perlu ditempuh. Terkadang
kerenah dan perangai murid serta sistem pengurusan yang sentiasa berubah-ubah menguji daya tahan
emosi dan kesabaran kita. Jadi, sebagai pendidik kita perlu mempersiapkan diri dengan kesabaran yang
tinggi. Sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab Al-Rahiq Al-Makhtum karangan Safiyyu Al-Rahman Al-
Mubarakfuri, Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan dakwah Islam, baginda diuji dengan ujian yang
sangat hebat. Sehinggakan baginda pernah diperlakukan oleh kaum Quraisy dengan dibaling batu, najis
dan dijerut leher baginda. Namun baginda tidak pernah putus asa, malah semakin gigih dan sabar dalam
menegakkan kalimah tauhid. Begitulah kita sebagai pendidik, walaupun diduga dengan kedegilan anak
murid atau dikhianati dan menjadi mangsa hasad dengki rakan guru yang lain, sabar. Nabi mendidik kita
supaya bersabar kerana setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Jika ingin dibandingkan dugaan
Nabi dan dugaan yang kita alami, dugaan yang dilalui Nabi itu lebih berkali ganda hebatnya.

Ketika menjadi seorang guru juga, banyak perkara yang perlu dikorbankan demi melihat anak didik
berjaya. Sebagaimana yang diceritakan dalam buku yang diterjemah oleh Rasyidah Basir (2006), dalam
proses menyampaikan dakwah, ketika hari yang amat panas, baginda tidur di atas tanah kerana tidak
punya kain yang dapat dijadikan alas tidur. Biarpun begitu, baginda tetap manusia yang paling penyabar,
kerana Allah telah berfirman dalam surah Al-Ma`arij ayat 5 yang bermaksud :

‫صْبًرا مَجِ يال‬


َ ْ ‫اصرِب‬
ْ َ‫ً ف‬

“Maka bersabarlah kamu dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.” (Al-Ma`arij :5)

Jika Rasulullah boleh berkorban dan bersabar sehingga ke tahap itu, kenapa tidak kita sebagai pendidik
bersabar dengan cabaran yang hanya sedikit sahaja dalam menyampaikan ilmu khususnya ilmu
Pendidikan Islam. Bersabar itu indah sebenarnya. Kita hanya perlu yakin bahawa tidak ada kuasa yang
boleh menghilangkan kemudaratan selain Allah, tidak ada yang dapat mengabulkan doa selain Allah,
tidak ada yang dapat memberikan kefahaman selain Allah dan tidak ada yang sanggup mengubati derita
selain Allah. Justeru, Rasulullah s.a.w tidak pernah mengadukan rasa sedih dan gundahnya selain kepada
Allah. Jadi, bersabarlah dan mintalah pertolongan dari Allah, wahai insan yang bergelar pendidik.

5.0.3 Ketegasan dalam Kelembutan

Dalam dunia Pendidikan Islam ini, ilmu yang disampaikan kepada anak-anak murid itu perlu disampaikan
dengan sebetul-betulnya. Hal ini kerana ilmu yang disampaikan itu adalah ilmu Allah dan ajaran serta
sunnah Rasulullah s.a.w. Selain itu, ilmu yang disampaikan itu akan menjadi amalan anak didik kita
seterusnya menjadi bekal atau saham kita di akhirat kelak. Jadi, bagi menjamin ilmu itu sampai ke dalam
hati dan jiwa anak-anak didik, kadang kala kita perlu bertegas dalam melakukan sesuatu. Namun,
ketegasan itu perlu adanya kelembutan. Atau dengan kata lain, kita mendidik secara berhikmah. Perkara
ini penting untuk dilakukan terutamanya dalam soal akidah dan akhlak. Sebagaimana yang Rasulullah
terapkan dalam diri cucunya iaitu Saidina Hasan mengenai sifat benar. Hal ini ada diriwayatkan dalam
hadith di mana Saidina Hasan r.a pernah berkata :

Maksudnya : “Aku pelihara benar-benar akan apa yang aku ambil dari Rasulullah s.a.w iaitu:
“Tinggalkanlah segala apa yang membimbangkan kamu dan pergilah kepada apa yang tidak
membimbangkan kamu. Maka sesungguhnya sifat benar itu merupakan ketenangan dan berdusta itu
merupakan kebimbangan.” (HR. Tarmizi).

Melalui hadith ini, sesungguhnya Rasulullah s.a.w amat mengambil berat dan bertegas dalam
menanamkan sifat benar dan jangan berdusta dalam diri anak-anak. Walaupun Nabi bertegas dalam hal
ini, namun cara penyampaiannya cukup lembut dan berhikmah sehinggakan Saidina Hasan tidak
melupakan hal tersebut. Begitu juga dalam konteks kita sebagai pendidik, dalam memastikan akidah dan
akhlak anak murid kita terjaga, dan dalam pada masa yang sama kita perlu menjaga sensitiviti di mana
anak-anak sekarang yang tidak boleh dicubit sedikit pun, kaedah ini sangat perlu untuk digunakan.
Setegas mana pun kita , jangan gunakan kekerasan sebaliknya didiklah secara berhikmah.

Contohnya, dalam penerapan ibadah solat, kebanyakan guru akan mengatakan “jangan tinggal solat,
nanti masuk neraka”. Kenapa tidak kita mengatakan, “jom kita solat, ajak ahli keluarga kamu bersolat,
nanti boleh masuk syurga bersama-sama”. Sememangnya ayat yang mula tadi tidak salah, tapi apa
salahnya jika kita positifkan ayat tersebut supaya kita tidak mebentuk anak-anak murid yang terdidik
dengan elemen-elemen negatif. Kadang-kadang kata-kata kita yang lembut dan berhikmah itulah yang
melekat di jiwa anak-anak daripada kata-kata amaran yang menakutkan. Menurut Mazidah Muhammad,
pendidikan nilai dalam Islam berkait rapat dengan konsep akhlak iaitu nilai baik dan buruk, bersifat
mutlak serta ditentukan oleh Allah. Oleh itu, pembangunan dan penanaman nilai memerlukan
ketegasan dalam kelembutan, kesabaran dengan kefahaman serta kebijaksanaan yang tinggi.

6.0 PENUTUP

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan bahawa Rasulullah s.a.w merupakan pendidik terulung yang perlu
kita contohi sebagai pendidik pada masa akan datang khususnya dalam dunia Pendidikan Islam. Jika
dikaji, Rasulullah sebenarnya telah lama menunjukkan cara yang terbaik dalam mendidik anak-anak
bangsa. Cuma kita memilih untuk menjadi bangsa yang malas untuk membaca dan mengkaji. Buktinya,
elemen-elemen yang terdapat dalam Pendidikan Alaf ke-21 kini seperti elemen kolaborasi, kreatif dan
kritis sebenarnya sudah diterapkan oleh Rasulullah dalam pengajaran zaman Nabi lagi. Konsep yang
sama, cuma caranya agak sedikit berbeza disebabkan perubahan zaman yang berlaku. Tuntasnya, kita
sebagai guru Pendidikan Islam perlu menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai role model kita yang
pertama. Sebagai mana yang telah diterangkan, kita perlu lagi membaca dan mengkaji bagaimana
Rasulullah meletakkan dirinya sebagai pendidik. Kita perlu melihat corak kerja baginda, bagaimana
baginda mendidik anak-anak, yang mana didikan Nabi tidak sama untuk setiap orang. Itu uniknya ajaran
baginda. Pada hakikatnya banyak lagi kaedah pengajaran dan keperibadian Rasulullah dalam dunia
pendidikan ini yang perlu dikaji daripada semua fakta sirah Rasulullah s.a.w. Semoga kita semua dapat
menjadi pendidik seperti Rasulullah s.a.w. yang disegani serta dihormati.

Anda mungkin juga menyukai