Anda di halaman 1dari 21

BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

1.0 PENGENALAN

Tradisi perkamusan Melayu mencipta sejarah tersendiri yang tidak terpisah daripada sejarah
perkamusan dunia. Sehingga kini, ratusan kamus telah diterbitkan dan mekanisme penyusunan
juga mengalami perubahan. Kamus bukan sahaja seperti genre lain yang dapat ditatap dalam
bentuk bercetak, malah boleh dilayari melalui internet dengan kecanggihan konsep e-kamus,
multimedia dan sebagainya. Itulah realitinya pada hari ini apabila kepesatan dalam bidang
teknologi maklumat juga mempengaruhi kegiatan penyusunan kamus.

Tugasan kerja kursus ini cuba menelusuri sejarah perkembangan perkamusan Bahasa
Melayu bermula abad ke-20 sehingga kini dan peranan Kamus Dewan dalam perkembangan
pendidikan bahasa Melayu di negara ini.

2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN PERKAMUSAN BAHASA MELAYU

Bahagian ini menghuraikan sejarah perkembangan perkamusan Bahasa Melayu bermula pada
abad ke-20 sehingga kini.

2.1 Perkembangan Perkamusan Melayu 1900 – 1950

Di Malaysia, sejarah perkamusan Melayu bermula dengan penyusunan kamus-kamus


dwibahasa disebabkan kecenderungan sarjana-sarjana Barat menguasai bahasa Melayu bagi
tujuan perdagangan dan penyebaran agama (Mohd Rasdi, 2003). Pada awal abad ke-20,
peranan warga asing masih menyerlah dalam penghasilan kamus-kamus dwibahasa seperti A
Malay-English Dictionary susunan R.J Wilkinson pada tahun 1901, An English-Malay
Vocabulary susunan W.G. Shellabear pada tahun 1902, Vocabulary of the English and Malay
Languages susunan Frank Swettenham pada tahun 1910, An English Malay Dictionary susunan
R.O Winstedt pada tahun 1913, An English-Malay Dictionary susunan W.G. Shellabear pada
tahun 1916 dan Easy Malay Vocabulary susunan A.W. Hamilton pada tahun 1923.

[AUTHOR NAME] 1
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Gambar 1.0: Antara contoh kamus dwibahasa oleh sarjana Barat pada tahun 1900 sehingga
1950.

Awal abad ke-20 juga memperlihatkan pelbagai kamus Bahasa Melayu berbentuk
ekabahasa. Menurut Chong (2015), kamus ekabahasa Melayu pertama dihasilkan pada awal
abad ke-20 ialah Kitab Benih Bahasa susunan Fadhil Jaafar pada tahun 1917. Tahun 1920 pula
terhasilnya Kamus Melayu susunan Shamsudin Muhd. Yunus yang menjadi sumber rujukan
terpenting ketika itu (Shamsul Aizuwani Nawi, 2020). Seterusnya, Kamus al-Mahmudiah
susunan Syed Mahmud Syed Abdul Kadir diterbitkan pada tahun 1925 diikuti Buku Katan
P.B.M.P.B Diraja Johor yang diterbitkan oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku-Buku
Diraja Johor pada tahun 1936 susunan Major Dato’ Haji Muhamad Said Sulaiman (Salinah
Ja’far, 2000).

[AUTHOR NAME] 2
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Gambar 2.0: Buku Katan P.B.M.P.B Diraja Johor.

2.2 Perkembangan Perkamusan Melayu 1951 – 1999

Perkembangan kamus ekabahasa pada pertengahan abad ke-20 bermula dengan munculnya
Kamus Angkatan Baru susunan Harun Muhammad Amin pada tahun 1951 (Ibrahim Ahmad,
2004). Kamus Am Bahasa Melayu susunan Che Yusof Ahmad et. al. diterbitkan pada tahun
1957 dan Kamus Bahasa Melayu susunan R.O. Winstedt pada tahun 1960 (Zainab Awang
Ngah, 1990). Beberapa buah kamus dihasilkan pada tahun-tahun berikutnya seperti Kamus Am
Bahasa Melayu oleh Md. Ayah Jetty pada tahun 1961 dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu
oleh Abdullah Hussain pada tahun 1965.

Gambar 3.0: Kamus Bahasa Melayu susunan R.O. Winstedt pada tahun 1960.

[AUTHOR NAME] 3
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Gambar 4.0: Kamus Istimewa Peribahasa Melayu oleh Abdullah Hussain pada tahun 1965.

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1956 memberikan
sumbangan besar dalam aktiviti penyusunan kamus ekabahasa. Pada tahun 1970, DBP
menerbitkan Kamus Dewan Edisi Pertama yang mengandungi 280,000 kata entri (Norliza
Jamaluddin, 2000). Kamus ini dicetak semula pada tahun 1984 dan mengalami perubahan
sistem ejaan mengikut pedoman Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981) serta pindaan
beberapa takrif dan kemasukan entri baharu. Pada tahun 1975, terbitnya Kamus Bahasa
Malaysia Edisi Pelajar yang kemudiannya dikemas kini pada tahun 1983 sebagai Kamus
Pelajar Bahasa Malaysia (Marsis Muhamad Nasir, 2007). DBP juga menyasarkan golongan
kanak-kanak dengan menerbitkan Kamus Rendah Dewan Bergambar pada tahun 1989
(Ibrahim Ahmad, 1994). Tahun 1989 terbitnya pula Kamus Dewan Edisi Kedua dengan
memuatkan kira-kira 2,000 entri tambahan dan sedikit penyemakan kandungan. DBP
menerbitkan Kamus Dewan Edisi Ketiga pada tahun 1994 dengan memuatkan 6,000 kata entri
tambahan.

Penerbit-penerbit swasta turut giat menerbitkan kamus ekabahasa seperti Kamus Am


terbitan Crescent News pada tahun 1995, Kamus Besar Bahasa Melayu susunan Zainal Abidin
Safarwan terbitan Utusan Publications pada tahun 1995, Kamus Melayu Global susunan Hasan
Hamzah terbitan Piramid Perdana pada tahun 1996 dan Kamus Bahasa Melayu (edisi kedua)
pada tahun 1999 susunan Arbak Othman terbitan Fajar Bakti. Rata-rata metabahasa kamus ini
mengikut acuan Kamus Dewan dari aspek pemilihan kata masukan, cara takrif, pelabelan atau
sebagainya. Kamus Dewan bukan sahaja menjadi templat untuk penyusunan kamus

[AUTHOR NAME] 4
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

ekabahasa DBP, malah menjadi templat untuk penyusunan ekabahasa yang dihasilkan oleh
penerbit lain.

Gambar 5.0: Antara contoh kamus ekabahasa yang diterbitkan oleh penerbit swasta sekitar
tahun 1995 sehingga 1999.

Penyusunan kamus dwibahasa pula mula mengalami transformasi apabila organisasi


tempatan dan warga penutur asli bahasa Melayu menerajui kerja-kerja penyusunan kamus
(Ibrahim Ahmad, 2004). Antara tahun 1970-an sehingga 1990-an, muncul kamus dwibahasa
seperti Kamus Lengkap susunan Awang Sudjai dan Yusuf Khan pada tahun 1977, Kamus
Pelajar Delta Dwibahasa susunan Lutfi Abas dan Awang Sariyan pada tahun 1988, Kamus
Terjemahan Inggeris-Melayu susunan Ainon Muhammad dan Abdullah Hassan pada tahun
1994 dan Kamus Perwira pada tahun 1998 susunan Kelana C.M dan Lai Choy.

Gambar 6.0: Antara kamus dwibahasa oleh organisasi tempatan tahun 1970 sehingga 1998.

[AUTHOR NAME] 5
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

DBP merupakan organisasi penting dalam aktiviti penyusunan kamus dwibahasa.


Shamsul Aizuwani Nawi (2020) menyatakan bahawa pada tahun 1979, DBP menerbitkan
Kamus Dwibahasa (Inggeris-Melayu). Kemudian, tahun 1992 munculnya Kamus Inggeris-
Melayu Dewan yang direka bentuk sebagai alat praktis bagi penterjemahan. Selain itu, DBP
menyusun Kamus Perancis Melayu Dewan pada tahun 1996 dan Kamus Inggeris-Melayu
Dewan Edisi Ringkas pada tahun 1997.

Gambar 7.0: Kamus-kamus dwibahasa keluaran DBP tahun 1979 sehingga 1997.

Menurut Ibrahim Ahmad (2004), muncul juga kamus-kamus dwibahasa lain seperti
kamus dwibahasa Arab-Melayu yang dihasilkan oleh penutur asli seperti Kamus Pustaka
Melayu-Arab susunan Abdul Latif pada tahun 1967. Kamus dwibahasa Arab-Melayu dianggap
sebagai usaha untuk memenuhi keperluan menguasai bahasa Arab bagi mendalami ilmu Islam
(Zainab Awang Ngah, 1990). Selain itu, terdapat juga kamus dwibahasa Rusia-Melayu seperti
Kamus Bahasa Rusia-Bahasa Malaysia susunan V.A Pogadaev pada tahun 1986, kamus
dwibahasa Jepun-Melayu seperti Kamus Bahasa Malaysia-Jepun susunan Ashita Ray dan Karl.
J. Kanpmark pada tahun 1987 dan kamus dwibahasa Thai-Melayu seperti Kamus Bahasa
Melayu-Bahasa Thai susunan Aziz Muhammad Isa pada tahun 1987.

[AUTHOR NAME] 6
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

2.3 Perkembangan Perkamusan Melayu 2000 Sehingga Kini

Penyusunan kamus Melayu pada abad ke-21 semakin berkembang dengan munculnya
berbagai-bagai lagi kamus ekabahasa dan dwibahasa, malah terdapat juga kamus dalam
bentuk elektronik. Awal tahun 2000-an memperlihatkan pelbagai kamus ekabahasa diterbitkan
oleh DBP dan penerbit-penerbit swasta. Antaranya seperti Kamus Za’ba oleh Za’ba terbitan
Pustaka Antara Books pada tahun 2001, Kamus KBSR Dewan Bergambar Edisi Kedua
susunan Noresah Baharom terbitan DBP pada tahun 2003 dan Kamus Bahasa Melayu
Nusantara terbitan DBP Brunei pada tahun 2003 yang digunakan secara meluas di Brunei,
Indonesia dan Malaysia.

Gambar 8.0: Antara contoh kamus ekabahasa Melayu pada tahun 2000 sehingga 2003.

Pada tahun 2005, DBP menerbitkan pula Kamus Dewan Edisi Keempat yang kini telah
dicetak berulang kali dengan memuatkan tidak kurang daripada 5,843 kata entri baharu atau
tambahan. Sehingga kini, kamus ini telah menjadi rujukan utama seluruh masyarakat di
Malaysia sama ada pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di institut pengajian
tinggi serta diguna pakai oleh para guru, pensyarah dan sebagainya. Dalam tahun yang sama,
Oxford Fajar menerbitkan Kamus Komprehensif Bahasa Melayu susunan Arbak Othman. Tahun
2007 pula terbitnya Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Kedua susunan Aziah Tajudin
terbitan DBP dan Kamus Fajar KBSR susunan Arbak Othman terbitan Oxford Fajar. Kamus
Bahasa Melayu susunan Adli Yacob dan Khuzaihan Zakaria terbitan Crescent News serta
Kamus dan Perkamusan Melayu susunan Noresah Baharom terbitan DBP diterbitkan pada

[AUTHOR NAME] 7
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

tahun 2009. Pada tahun 2012, Golden Books menerbitkan Kamus Lengkap Emas Bahasa
Melayu yang mengandungi pelbagai perkataan-perkataan dan istilah-istilah baharu yang
dikemaskinikan untuk membantu pelajar di dalam pembelajaran mereka. Kamus ekabahasa
terkini yang diterbitkan ialah Kamus Bahasa Melayu Asas Rujukan Pelajar oleh Arbak Othman
diterbitkan oleh Oxford Fajar pada tahun 2019.

Gambar 9.0: Contoh-contoh kamus ekabahasa Melayu pada abad ke-21.

Kamus Dwibahasa juga semakin berkembang pada abad ke-21 ini. Antara kamus
dwibahasa yang muncul pada abad ke-21 ialah Kamus Dwibahasa (Bahasa Inggeris-Bahasa
Malaysia, Bahasa Malaysia-Bahasa Inggeris) terbitan Pelanduk Publications pada tahun 2000,
Kamus Dwibahasa: Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu Edisi Kedua terbitan DBP pada tahun
2002, Kamus Thai-Melayu Dewan terbitan DBP pada tahun 2008, Kamus Dwibahasa

[AUTHOR NAME] 8
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Kontemporari (Bahasa Malaysia-Bahasa Inggeris, English-Malay) susunan Daud Baharum


terbitan Sasbadi pada tahun 2013, Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (Bahasa Inggeris-Bahasa
Malaysia, Bahasa Malaysia-Bahasa Inggeris) Edisi Kelima terbitan Oxford Fajar pada tahun
2014, Kamus Dwibahasa Bergambar (Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia dan Bahasa Malaysia-
Bahasa Inggeris) terbitan Mind to Mind pada tahun 2019 dan pelbagai lagi kamus dwibahasa
diterbitkan oleh pelbagai agensi yang boleh didapati dalam pasaran di seluruh Malaysia. Situasi
ini sememangnya membuktikan bahawa perkembangan kamus dwibahasa pada abad ke-21
sangatlah pesat.

Gambar 10.0: Antara contoh kamus dwibahasa pada abad ke-21.

Ibrahim Ahmad (2004) menyatakan bahawa pada zaman teknologi abad ke-21 ini,
kamus berbentuk elektronik mula masuk ke pasaran. Misalnya pada tahun 2000, munculnya
kamus elektronik mudah alih berbahasa Melayu yang pertama, iaitu Kamus Komputer Telapak
Besta DBP-1 dan Kamus Pena Quictionary yang merupakan inisiatif DBP dengan kerjasama
dua buah syarikat tempatan. Usaha seumpama ini diperluas apabila sudah ada e-kamus dan

[AUTHOR NAME] 9
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

kamus-kamus dalam bentuk multimedia terbitan DBP seperti Kamus Pelajar dan Kamus
Dwibahasa. Kini, terdapat pula sebuah kamus berbentuk elektronik melalui laman sesawang
Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Terdapat pelbagai jenis kamus yang menjadi
rujukan dalam membangunkan laman sesawang ini seperti kamus dewan, kamus inggeris serta
struktur ejaan berdasarkan ejaan MABBIM.

Gambar 11.0: Kamus Komputer Telapak Besta DBP-1.

Gambar 12.0: Kamus Pena Quictionary.

3.0 PERANAN KAMUS DEWAN DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN BAHASA


MELAYU DI NEGARA INI

Menurut Salmah Jabbar (2020), Kamus Dewan (KD) merupakan sebuah kamus umum yang
menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu di Malaysia dan juga di negara-negara lain
yang menggunakan bahasa Melayu. Pandangan ini selari dengan pandangan Chong dan
Vijayaletchumy (2013) yang menyatakan KD sebagai kamus bahasa Melayu yang paling

[AUTHOR NAME] 10
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

autentik dan menjadi rujukan utama pengguna bahasa Melayu di Malaysia dan di negara-
negara lain. Asmah Haji Omar (1987) pula berpandangan bahawa KD ialah kamus yang paling
utama dan dijadikan landasan bagi rujukan makna perkataan Melayu. Hal ini menunjukkan
bahawa KD sememangnya sebuah kamus yang penting kerana dijadikan rujukan seluruh
pengguna bahasa Melayu di seluruh dunia. Walaupun KD ini merupakan sebuah kamus umum,
namun kamus ini juga menjadi rujukan pada pelbagai peringkat pengguna, termasuklah pelajar.
Kamus ini dimulakan pada tahun 1970 dan diteruskan dengan edisi-edisi baharu sehinggalah
yang terkini, edisi keempat.

3.1 Kamus Dewan Edisi Pertama

Menurut Hassan Ahmad dalam KD Edisi Pertama (1970), perkembangan yang dialami oleh
bahasa Melayu sejak kemerdekaan begitu pesat sehingga beribu-ribu perkataan dalam bentuk
dan pengertian baharu digunakan secara meluas dalam majalah, surat khabar, karya-karya
kreatif, buku ilmu pengetahuan, buku teks dan sebagainya. Menyedari hakikat ini, DBP sedar
perlunya sebuah kamus bahasa Melayu moden yang lengkap dan dapat menampung keperluan
yang lahir dari proses pemodenan bahasa Melayu. Maka dari itu, terbitlah KD Edisi Pertama
pada tahun 1970. Teuku Iskandar dalam KD Edisi Pertama (1970) menyatakan bahawa
sasaran kamus ini adalah untuk penggunaan umum dan penuntut-penuntut di sekolah. Dalam
kamus ini, pelbagai kata-kata dari Indonesia dimasukkan kerana penggunaannya yang semakin
meluas dalam buku-buku, majalah-majalah dan lain-lain pada zaman itu. Maka, kamus ini
sebenarnya berperanan dalam membantu masyarakat pada waktu itu, termasuklah para pelajar
untuk lebih memahami penggunaan kata dan istilah bahasa Indonesia yang digunakan secara
meluas dalam buku-buku ilmiah mahupun buku teks agar mudah untuk difahami di samping
memperkayakan kata-kata bahasa Melayu.

[AUTHOR NAME] 11
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Gambar 13.0: Kamus Dewan Edisi Pertama.

Menurut Salmah Jabbar (2020), beliau menyatakan bahawa KD Edisi Pertama dalam
cetakan pertama menggunakan ejaan yang lama. Dalam cetakan kedua pada tahun 1984 telah
berlaku perubahan besar dari segi ejaan yang mana kesemua entri dieja mengikut sistem ejaan
yang baharu. Perkara ini tentunya berkait rapat dengan pendidikan bahasa Melayu di negara ini
pada ketika itu. Hal ini dikatakan demikian kerana sistem ejaan yang digunakan dalam
pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah pada ketika itu ialah sistem Ejaan Sekolah
(Salehudin Aman, 2014). Pada waktu itu, para pelajar menghadapi masalah dalam mengenal
pasti dan memahami ejaan, perkataan, isitlah malah pembunyian perkataan dari bahasa
Indonesia dan bahasa asing. Akan tetapi, menerusi usaha daripada kerajaan Malaysia dan
Indonesia pada tahun 1972, wujudlah sistem Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu yang bertujuan
menyeragamkan ejaan rumi di Malaysia dan di Indonesia (Ariff Ahmad, 2003). Maka, apabila
KD Edisi pertama buat dicetak kali kedua dengan menggunakan sistem ejaan baharu, para
pelajar akan lebih mudah untuk merujuk dan memahami perkataan atau istilah bahasa
Indonesia yang dieja menggunakan sistem ejaan rumi yang seragam di dalam KD.

3.2 Kamus Dewan Edisi Kedua

Berdasarkan pernyataan Haji Jumaat dalam KD Edisi Kedua (1989), tujuan utama
penyelenggaraan dan penerbitan KD Edisi Kedua ini adalah untuk memuatkan kata-kata baharu
dan perkembangan makna yang muncul sejak beberapa tahun sebelum itu di samping
melaksanakan pembaikan dan pindaan-pindaan sewajarnya pada isi kandungan. Menurut
Sheikh Othman dalam KD Edisi Kedua (1989), kira-kira 2,000 kata masukan baharu telah

[AUTHOR NAME] 12
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

ditambahkan dalam perbendaharaan kata kamus ini, manakala kata masukan sedia ada dibaiki
pengolahannya. Hal ini adalah disebabkan kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu yang
begitu aktif dalam pelbagai bidang, kegiatan dan interaksi sehingga mewujudkan banyak
perkataan, frasa, ungkapan, istilah-istilah yang berkaitan dengan subbidang ilmu pengetahuan
dan kosa kata umum dalam bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan
pengguna bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan pelajar untuk merujuk penggunaan
kata atau istilah baharu tersebut dalam proses pembelajaran mereka berdasarkan bidang yang
mereka ceburi.

Faktor lain penyusunan edisi baru ini adalah bagi memenuhi hasrat DBP dalam usaha
menjayakan rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Matlamat utama
pembentukan kurikulum baru ini adalah membina pengetahuan kukuh tentang bahasa serta
meningkatkan kemampuan membaca dan menulis dalam kalangan murid sekolah di Malaysia
(Kamus Dewan Bergambar, 1989). Lantaran itu, Kamus Dewan Bergambar telah diterbitkan
pada tahun yang sama sebagai rujukan untuk murid darjah 4, 5 dan 6 yang disusun
berpandukan KD Edisi Kedua. Jika dilihat dalam KBSR, penggunaan kamus bergambar ada
dinyatakan dalam Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Bahasa Melayu Tahun Satu, iaitu HSP 6.0
membaca dan memahami maklumat yang terdapat dalam pelbagai teks.

Jadual 1.0: Penggunaan kamus bergambar dalam KBSR.

[AUTHOR NAME] 13
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Kamus Dewan Bergambar ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kebolehan mereka
dari aspek pemahaman dan penggunaan bahasa Melayu kerana kandungan dan makna
perkataan dalam kamus ini mudah difahami melalui huraian makna yang jelas berdasarkan ciri-
ciri seperti penggunaan antonim dan sinonim serta ilustrasi. Perkara ini memainkan peranan
yang signifikan dalam memperkembangkan kemampuan bahasa bermula dari sekolah rendah
seterusnya ke sekolah menengah. Maknanya di sini, KD Edisi Kedua berperanan dalam
perkembangan pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia sebagai rujukan murid-murid sekolah
bagi meningkatkan kebolehan berbahasa.

Gambar 14.0: Kamus Dewan Edisi Kedua.

3.3 Kamus Dewan Edisi Ketiga

KD Edisi Ketiga diterbitkan pada tahun 1994 bertujuan untuk memenuhi kepesatan bahasa
Melayu dalam pelbagai bidang ilmu dalam dunia sains, teknologi, budaya, korporat, ekonomi,
perindustrian dan sebagainya yang telah menghasilkan pemantapan kata dan ungkapan baharu
dalam pelbagai modus bahasa (lisan dan tulisan) dan juga genre. Kesannya, kamus ini terhasil
dengan tambahan 6000 kata masukan yang baharu. Hal ini secara tidak langsung memberikan
sumbangan yang sangat besar dalam sistem pendidikan Bahasa Melayu di negara ini.

[AUTHOR NAME] 14
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Gambar 15.0: Kamus Dewan Edisi Ketiga.

Antara sumbangan KD edisi ini adalah dari segi pengejaan kata majmuk yang baharu.
Misalnya, perkataan ‘jalanraya’, ‘pilihanraya’ dan ‘keretapi’ yang dahulunya dieja rapat kini dieja
terpisah menjadi ‘jalan raya’, ‘pilihan raya’ dan ‘kereta api’ (Noresah Baharom, 2009).
Berpandukan penetapan baharu ini, semua kata majmuk yang dieja rapat akan dieja terpisah
kecuali beberapa perkataan yang telah ditetapkan sebagai kata majmuk berbentuk mantap.
Pertambahan kata masukan baharu ini turut memberikan sumbangan terhadap KBSM kerana
terdapat pelbagai istilah-istilah umum dan khusus dengan sistem ejaan bahasa Melayu telah
dimuatkan dalam kamus ini. Perkara ini dapat membantu pelajar mengenal pasti makna
perkataan yang tepat dan sesuai dengan konteks dan membantu memperluaskan kosa kata.
Maka, dapat disimpulkan bahawa KD Edisi Ketiga ini memberikan sumbangan dalam
perkembangan pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia melalui pertambahan entri kata yang
baharu serta ejaan baharu yang diguna pakai sehingga ke hari ini.

3.4 Kamus Dewan Edisi Keempat

Menurut Noresah Baharom dalam KD Edisi Keempat (2005), KD Edisi Keempat diterbitkan
adalah bertujuan memenuhi tuntutan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dalam tempoh
sepuluh tahun sebelumnya. Hal ini disebabkan kosa kata Melayu yang sentiasa berubah dari
sehari ke sehari sehingga menyebabkan munculnya ribuan kata baharu. Kosa kata yang
banyak ditambah dalam kamus ini merupakan kosa kata dalam bidang Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK). Hal ini demikian kerana bermula pada abad ke-21, teknologi di dunia
menjadi semakin pesat. Maka, lahirlah pelbagai kata dan istilah baharu yang merujuk pada

[AUTHOR NAME] 15
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

bidang TMK tersebut. Di samping itu, terdapat juga kosa kata baharu dalam bidang-bidang
yang lain seperti undang-undang, marin, perubatan dan sebagainya. Penambahan kosa kata
baharu dalam pelbagai bidang ini secara tidak langsung membolehkan pengguna bahasa
Melayu, terutamanya dalam kalangan murid di sekolah mahupun pelajar di peringkat tinggi
untuk mengetahui makna istilah yang digunakan oleh golongan profesional sebagai
pembelajaran.

Seterusnya, dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), peranan kamus adalah sangat
penting dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam
pendidikan zaman kini, murid pasti akan menemui pelbagai perkataan yang jarang mereka
dengar dan gunakan dalam kehidupan seharian. Maka, KD edisi terkini, iaitu edisi keempat
akan menjadi sumber rujukan untuk mendapatkan maklumat dan makna terkini yang sebetulnya
terhadap sesuatu perkataan tersebut. KD ini juga dijadikan panduan dan rujukan oleh guru-guru
untuk memantapkan pengetahuan tentang makna istilah dan perkataan bahasa Melayu agar
memudahkan urusan guru dalam melaksanakan PdP bahasa Melayu terhadap murid-murid. Di
peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) pula, penggunaan KD Edisi Keempat ini sangatlah
penting bagi pelajar yang mengambil jurusan atau major yang berkaitan dengan perkamusan
(Helmi, 2004). Misalnya, pelajar semester enam di Insititut Pendidikan Guru yang mengambil
major Bahasa Melayu menggunakan KD edisi keempat sebagai rujukan dalam menjalani kursus
BMMB3113 Perkamusan, Peristilahan dan Penterjemahan Bahasa Melayu.

Gambar 16.0: Kamus Dewan Edisi Keempat.

[AUTHOR NAME] 16
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Di samping itu, seiring dengan kepesatan teknologi dan kepesatan penggunaan TMK di
seluruh negara dan dunia, DBP telah melancarkan kamus berbentuk elektronik yang boleh
diakses melalui laman sesawang PRPM. Dengan wujudnya kemudahan ini, pengguna bahasa
Melayu, warga pendidik atau para pelajar akan dapat mengakses makna bagi sesuatu
perkataan atau istilah dengan lebih cepat, mudah dan secara serta merta. Maka, perkara ini
menunjukkan bahawa KD berperanan dalam memudahkan penggunanya, terutama pelajar
dalam mengakses kamus melalui hujung jari sahaja.

Gambar 17.0: Laman Web PRPM.

4.0 KESIMPULAN

Secara kesuluruhannya, bidang perkamusan bahasa Melayu bukanlah sesuatu bidang baharu.
Namun begitu, selari dengan kemajuan negara, bidang perkamusan ini dilihat semakin ke
hadapan, mantap serta dinamik. Keadaan ini jelas terbukti dalam setiap penerbitan kamus pada
hari ini. Sehubungan dengan itu, sebagai seorang pendidik bahasa Melayu, penggunaan kamus
haruslah diterapkan kepada murid-murid bukan sahaja untuk merujuk makna sesuatu
perkataan, tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dihormati
(Ramlah Adam, 2014).

[AUTHOR NAME] 17
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

[AUTHOR NAME] 18
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

BIBLIOGRAFI

Ariff Ahmad. (2003). Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Language Council.


https://www.languagecouncils.sg/mbms/my/-/media/mlc/documents/penerbitan_ejaan-rumi-
bahasa-melayu_muhammad-ariff-ahmad.pdf

Asmah Haji Omar. (1987). Perkamusan Melayu: Satu Penilaian. Perpustakaan Universiti Malaya.

Chong, O. C. (2015). Metabahasa dalam Kamus Ekabahasa Melayu Malaysia dan Indonesia . Tesis Doktor
Falsafah: Universiti Putra Malaysia.

Chong, O. C. dan Subramaniam Vijayaletchumy. (2013). Medan Maklumat dalam Kamus Ekabahasa
Melayu. International Conference on Languages, Linguistics and Society 2013, 22-24 Oct (249-
258). Promenade Hotel, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia: Universiti Putra Malaysia.

Helmi. (2004). Perancangan bahasa Melayu di Malaysia. PTS. https://pts.com.my/berita/perancangan-


bahasa-melayu-di-malaysia

Ibrahim Ahmad. (1994). Perkamusan Melayu: Suatu Pengenalan. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Ahmad. (2004). Perkamusan Melayu: Teori dan Amali. Penerbit Universiti Malaya.

Ibrahim Ahmad. (2004). Perkembangan Perkamusan Melayu: Suatu Analisis dari Sudut Tipologi Formal.
Jurnal Bahasa, 4(3), 533-553.

Kamus Dewan Bergambar. (1989). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Baru. (1989). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (Harga Ekonomi) Cetakan Pertama. (2015). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat Cetakan Pertama. (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1994). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Pertama. (1970). Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Melayu Global. (1996). Susunan Hasan Hamzah. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marsis Muhamad Nasir. (2007). Perkembangan Kosa Kata Bahasa Melayu: Satu Kajian Kes Perbandingan
Antara Dua Kamus. Tesis Doktor Falsafah: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Rasdi. (2003). Kamus Dewan dan Kamus Besar: Perbandingan Aspek Kandungan Medan
Maklumat. Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan.

Noresah Baharom. (2009). Kamus dan Perkamusan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norliza Jamaluddin. (2000). Perkamusan Melayu: Sumbangan Data Korpus Berkomputer. Tesis Doktor
Falsafah: Universiti Malaya.

[AUTHOR NAME] 19
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

Ramlah Adam. (2014). Perdaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu di
Malaysia: Sejarah dan Kedudukan Masa Kini. Proceeding of Symposium of International
Language & Knowledge (SiLK 14) (2-26). Universiti Malaysia Perlis.

Salehudin Aman. (2014). Sinopsis sistem ejaan bahasa Melayu. Klik Web DBP.
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=6003

Salinah Ja'afar. (2000). Perkamusan Melayu dalam Era Teknologi Maklumat. Jurnal Dewan Bahasa, 44(7),
809-815.

Salmah Jabbar. (2020, 28 Februari). Bahagian Perkamusan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera,
Dewan Bahasa dan Pustaka. Temu bual. Kuala Lumpur.

Shamsul Aizuwani Nawi. (2020). Perkamusan Peristilahan dan Penterjemahan Bahasa Melayu. Penerbit
IPG Kampus Bahasa Melayu.

Zainab Awang Ngah. (1990). Perkamusan Melayu/Indonesia: Satu Bibliografi. Penerbit Universiti Malaya.

[AUTHOR NAME] 20
BMMB3113 | PERKAMUSAN, PERISTILAHAN DAN PENTERJEMAHAN BAHASA MELAYU

LAMPIRAN

Gambar 18.0: Temu bual bersama Puan Salmah Jabbar dari Bahagian Perkamusan, Jabatan
Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28 Februari 2020.

[AUTHOR NAME] 21

Anda mungkin juga menyukai