Anda di halaman 1dari 16

1. Jelaskan maksud antisiklon dan siklon.

Antisiklon merupakan salah satu sistem angin yang berputar keluar dari pusat tekanan
tinggi mengikut arah jam di hemisfera utara manakala di hemisfera selatan pula, ia berputar
mengikut arah lawan jam. Ia juga merupakan putaran angin berskala besar di wilayah tekanan
atmosfera yang tinggi, di mana udara mengalami penenggelaman. Antisiklon dikaitkan dengan
cuaca yang tenang, cerah dan stabil, di mana tiupan angin adalah tidak kencang seperti yang
berlaku pada siklon. Ia adalah disebabkan kecerunan tekanan yang lemah dan kekurangan
pembentukan awan yang disebabkan oleh udara bergerak turun daripada altitud yang tinggi. Ketika
udara tersebut bergerak turun, ia dimampatkan lalu meningkatkan tekanan udara seterusnya
dipanaskan. Pemanasan udara tersebut mengurangkan kelembapan udara tersebut, maka proses
pemeluwapan tidak berlaku seterusnya kurang pembentukan awan serta hujan. Kesannya, cuaca
kawasan yang mengalami antisiklon adalah agak kering. Secara ringkasnya, antisiklon melibatkan
pergeraka udara dari atas ke bawah kemudian tersebar secara mendatar apabila sampai ke
permukaan. Rajah 1 berikut menunjukkan pergerakan udara dalam antisiklon.

Rajah 1: Antisiklon
Siklon pula merupakan sistem angin yang bertiup menuju ke kawasan tekanan atmosfera
rendah. Anginnya berputar mengikut arah lawan jam di hemisfera utara dan mengikut arah jam di
hemisfera selatan sekitar pusat tekanan rendah. Udara yang berputar tersebut akan bergerak naik
dan mengalami penyejukan seterusnya membentuk awan dan kerpasan. Dalam pembentukan
siklon, udara hangat dan lembap bergerak naik dari permukaan laut. Semasa udara tersebut
bergerak naik, ia mewujudkan tekanan udara rendah di bawahnya. Seterusnya, udara dari kawasan
tekanan udara tinggi di sekitarnya akan bergerak masuk ke kawasan tekanan udara rendah,
mengalami pemanasan dan naik ke atas. Apabila udara lembap dan hangat tersebut naik dan
menyejuk, air yang terdapat di udara akan membentuk awan. Kemudian, seluruh sistem awan dan
angin berputar dan berkembang disebabkan haba dan air sejatan daripada permukaan laut.
Selanjutnya, sistem angin akan berputar dengan kelajuan yang tinggi dan membentuk mata siklon
atau “eye of the storm” di bahagian tengah. Keadaan adalah tenang dan tekanan udara rendah di
mata siklon. Oleh itu, siklon dikaitkan dengan tiupan angin yang sangat kencang seperti ribut dan
taufan serta cuaca yang amat buruk. Siklon terbahagi kepada beberapa jenis iaitu siklon tropika
yang merangkumi ribut petir, puting beliung dan ribut taufan, siklon latitud tengah atau
ekstratropikal dan siklon artik atau juga dikenali sebagai puting beliuang artik. Rajah 2 berikut
menunjukkan ringkasan pembentukan siklon.

Rajah 2: Siklon
2. Berasaskan klasifikasi awan, bincangkan jenis-jenis awan dan ciri-ciri awan yang boleh dikenal
pasti di kawasan anda.

Klasifikasi awan boleh dibuat berdasarkan kedudukan atau ketinggian dari permukaan
bumi. Klasifikasi awan terbahagi kepada empat iaitu awan tinggi, awan pertengahan, awan rendah
dan awan menegak.

Klasifikasi awan yang pertama ialah awan tinggi yang terletak pada ketinggian 6000
hingga 18,000 meter. Jenis awan bagi klasifikasi ini yang dapat dikenal pasti di kawasan saya iaitu
Sibu, Sarawak adalah awan sirus dan sirostratus. Awan sirus kelihatan sangat nipis dan kelihatan
seperti cebisan gula-gula kapas yang halus dan berjalur seperti pada Rajah 3. Awan ini juga
berwarna putih dan kelabu. Awan ini terdiri daripada kristal ais yang terhasil daripada kuantiti air
tersejat yang rendah akibat udara kering. Ia juga boleh terhasil secara bukan semulajadi iaitu
melalui “contrails” iaitu jejak wap daripada kapal terbang. Ia terhasil daripada ekzos enjin kapal
terbang yang bertindak balas dengan ruang udara pada ketinggian lebih 7000 meter. Pada
ketinggian tersebut, suhu boleh mencecah -40˚C, oleh itu ia menyebabkan wap air terkondensasi
menjadi titisan air atau beku seperti kristal ais kecil dan meninggalkan jejak seperti awan di atas
lapisan troposfera. Arah pergerakan awan sirus menentukan dari arah mana angin akan bertiup.
Tiada proses kerpasan berlaku pada awan ini dan kebiasaanya cuaca adalah cerah.

Rajah 3: Awan Sirus

Awan sirostrastus pula terbentuk dengan lebih luas daripada awan sirus dan berbentuk jalur-jalur
nipis yang melitupi seluruh langit. Ia sangat nipis sehingga matahari dan bulan dapat dilihat dengan
jelas. Ia terhasil daripada lapisan udara yang diangkat melalui proses penumpuan skala besar.
Awan ini juga terdiri daripada hablur ais yang membiaskan cahaya yang melaluinya, membentuk
lingkaran cahaya atau “halo” mengelilingi matahari atau bulan. Oleh sebab awan sirostratus
kadang kala sangat nipis hingga sukar dikenal pasti, maka lingkaran cahaya tersebut menjadi
petunjuknya. Awan sirostratus yang tebal pula menandakan bahawa ribut akan datang dan hujan
akan turun dalam masa 12 hingga 24 jam. Rajah 4 berikut adalah contoh awan sirostratus dan
lingkaran cahaya yang mengelilingi matahri.

Rajah 4: Awan Sirostratus dan fenomena lingkaran cahaya berbentuk cincin atau “halo”

Seterusnya bagi klasifikasi awan pertengahan pula adalah pada ketinggian 2000 hingga
8000 meter dari permukaan bumi. Jenis awan pertengahan yang dapat dikenal pasti di kawasan
saya ialah awan altokumulus. Awan altokumulus merupakan awan yang kelihatan kelabu dan
berbentuk gumpalan bulat. Sebahagian daripada awan ini juga akan kelihatan lebih gelap seperti
yang boleh dilihat pada Rajah 5. Awan altokumulus tersusun secara rapat-rapat antara satu sama
lain. Ia juga disebut sebagai “mackerel sky” kerana susunannya kelihatan seperti sisik ikan. Ia
terbentuk hasil daripada campuran antara hablur ais dan titisan air, menyebabkan bentuknya lebih
halus daripada kumulus. Awan altokumulus ketika siang yang hangat dan lembap menandakan
ribut petir akan menyusul pada sebelah petang. Walau bagaimanapun, awan ini tidak menghasilkan
kerpasan. Awan ini terhasil daripada pemecahan awan altostratus dan pengangkatan poket udara
lembap yang telah disejukkan oleh perolakan.
Rajah 5: Awan Altokumulus

Klasifikasi awan yang seterusnya pula ialah awan rendah yang terletak pada ketinggian
tidak lebih 2000 meter. Jenis awan bagi klasifikasi ini yang dapat dikenal pasti ialah awan
nimbostratus. Awan nimbostratus kelihatan gelap dan berwarna kelabu. Ia juga tidak tersusun rapat
serta tiada bentuk. Ia juga kelihatan tebal menyebabkan matahari terlindung serta tidak dapat
dilihat dengan jelas. Hal ini dikatakan demikian kerana air tersejat dan bertindak balas dengan
udara menyebabkan bawah lapisan awan tersebut menjadi berkabus. Intensiti kerpasan adalah
rendah pada awan nimbostratus menyebabkan hujan yang turun adalah tidak lebat. Oleh itu, ia
kebiasaannya dikaitkan dengan cuaca mendung. Awan nimbostratus dikatakan terbentuk hasil
daripada awan altostratus yang semakin menebal. Kandungan utamanya adalah titisan air
disebabkan ketinggiannya yang lebih hampir dengan permukaan menggalakkan proses sejatan.
Rajah 6 berikut menunjukkan contoh rupa awan nimbostratus.

Rajah 6: Awan Nimbostratus


Klasifikasi awan yang terakhir pula ialah awan menegak. Jenis awan bagi klasifikasi ini
yang dapat dikenal pasti ialah kumulus dan kumulonimbus. Awan kumulus merupakan awan
berkepul-kepul yang kelihatan seperti kapas yang terapung seperti pada Rajah 7. Tapak awan
tersebut kebiasaannya adalah rata dan kira-kira 1000 meter dari permukaan. Awan ini berwarna
putih tetapi kelihatan sedikit kelabu di bahagian bawah. Apabila bahagian atas awan kumulus
berbentuk seperti bunga kobis, ia dipanggil kumulus kongestus, dan ia akan terus membesar ke
atas membentuk awan kumulonimbus. Awan kumulus dikaitkan dengan cuaca cerah. Ia terbentuk
ketika cuaca cerah pada waktu pagi dan semakin berkembang pada waktu petang, kemudian
bercantum antara satu sama lain. Awan ini terbentuk hasil daripada perolakan. Apabila udara yang
telah dipanaskan di permukaan mengalami pengangkatan, ia menyejuk dan wap air tersejat
menghasilkan awan kumulus.

Rajah 7: Awan Kumulus

Awan kumulonimbus pula hasil daripada awan kumulus kongestus yang semakin berkembang. Ia
merupakan satu jenis awan yang paling mudah dikenal pasti disebabkan oleh saiz yang besar dan
tinggi. Warnanya agak cerah di bahagian atas tetapi berwarna kelabu atau gelap di bahagian bawah.
Ia juga dikenali sebagai awan ribut petir. Awan kumulonimbus menghasilkan kerpasan yang
banyak. Awan kumulonimbus merupakan satu-satunya jenis awan yang menghasilkan guruh dan
kilat. Tapak awan adalah berbentuk mendatar dengan warna yang gelap dan jaraknya hanyalah
beratus kaki daripada permukaan. Oleh itu, bahagian bawah awan kumulonimbus adalah sangat
lembap kerana banyak titisan air yang terpeluwap. Bahagian puncak awan ini pula boleh sampai
pada ketinggian 12,000 meter atau melebihi lapisan troposfera. Awan kumulonimbus memerlukan
tenaga pengangkatan, jisim udara dan kelembapan untuk terbentuk. Ia boleh terbentuk daripada
perolakan yang berkembang dari awan kumulus di atas permukaan panas. Awan kumulonimbus
biasanya akan membawa hujan lebat. Rajah 8 berikut merupakan contoh awan kumulonimbus.

Rajah 8: Awan Kumulonimbus


3. Bincangkan pembentukan hujan berdasarkan teori Bergeron Findeison dan teori Pelanggaran di
kawasan Tropika.

Pembentukan hujan atau juga disebut sebagai proses kerpasan boleh terjadi bukan sahaja
disebabkan adanya awan. Awan boleh wujud di langit tanpa menghasilkan kerpasan selama
berhari-hari. Awan yang terdiri daripada titisan air kecil adalah terlalu kecil dan proses
pemeluwapan titisan air juga amat perlahan untuk menghasilkan hujan. Oleh itu, terdapat proses
lain yang mampu menambah saiz titisan wap yang cukup berat untuk menghasilkan kerpasan.
Proses yang dimaksudkan adalah berdasarkan teori Bergeron Findeisen dan teori pelanggaran atau
Collision and Coalescence Process. Dalam perbincangan ini, pembentukan hujan berdasarkan
teori-teori tersebut di kawasan tropika akan dibincangkan.

Teori Bergeron Findeisen juga disebut sebagai proses pembentukan hablur ais atau hujan
sejuk. Pembentukan hujan berdasarkan teori Bergeron Findeisen merupakan proses pembentukan
hujan pada kedudukan latitud tengah dan tinggi. Pada kedudukan ini, awan terbentuk pada
ketinggian di mana suhunya mencapai titik beku, misalnya awan kumulonimbus. Hablur ais dan
titisan wap air dalam awan mesti wujud bersama dalam awan tersebut pada suhu di bawah takat
beku iaitu 0°C hingga -40°C. Proses ini berlaku di bahagian awan yang berada pada latitud tengah
dan tinggi di mana suhu adalah sejuk, atau disebut sebagai awan sejuk. Walau bagaimanapun,
titisan wap air masih dalam bentuk cecair walaupun suhu adalah di bawah takat beku. Ini adalah
kerana tekanan pada altitud tinggi adalah lebih rendah daripada tekanan atmosfera, maka air hanya
aka beku pada suhu Ia dikenali sebagai supercooled droplets iaitu titisan air yang sangat sejuk.

Supercooled droplets tersebut akan membeku apabila bertindak balas dengan partikel lain
iaitu hablur ais yang disebut sebagai nukleus pembekuan. Nukleus pembekuan di atmosfera adalah
tidak banyak sehingga suhu -10°C. Hasil daripada perbezaan tekanan wap ini, terbentuk cerun
tekanan dari arah air ke hablur ais. Titisan air akan tersejat dan melekat pada hablur ais, manakala
wap air juga akan tersejat berterusan sehingga menjadi ais. Hablur-hablur ais yang terhasil
tersebutlah disebut sebagai nukleus pembekuan. Seterusnya, proses Bergeron menegaskan bahawa
tekanan wap tepu pada hablur ais adalah rendah daripada tekanan wap tepu pada supercooled
droplets. Ia adalah disebabkan oleh sifat hablur ais yang lebih padat, bermakna setiap molekul
airnya termampat dengan rapat sekali berbanding dengan titisan cecair atau supercooled droplets.
Oleh itu, ia memudahkan molekul air untuk bebas dari supercooled droplets. Perbezaan tekanan
wap tersebutlah yang menggalakan molekul wap air meresap atau tersejat ke hablur ais dan
memberi kelembapan kepada hablur ais. Kesannya, ia menarik lebih banyak wap air seterusnya
mempercepat perkembangan hablur ais. Proses ini berlaku pada awan yang mempunyai suhu -
10˚C, hablur ais akan menarik titisan air atau supercooled droplets lalu bercantum, membesar dan
mengembang, manakala supercooled droplets mengecut. Lama-kelamaan hablur ais menjadi
semakin besar dan berat. Di bahagian awan yang lebih sejuk, hablur ais ini berkemungkinan akan
berlanggar dengan hablur ais yang lain dan pecah menghasilkan hablur ais kecil yang banyak.
Kemudian hablur ais tersebut akan turun ke permukaan bumi. Di kawasan tropika di mana suhunya
adalah melebih 18˚C, hablur ais yang jatuh tersebut akan cair sebelum sampai ke permukaan bumi,
akibat suhu menjadi lebih panas apabila sampai ke lapisan awan yang lebih rendah. Contohnya di
negara Malaysia yang beriklim hujan tropika iaitu panas dan lembap sepanjang tahun. Rajah 9
berikut merupakan gambaran pembentukan hujan berdasarkan teori Bergeron Findeisen.

Rajah 9: Pembentukan hablur ais yang turun ke bumi sebagai hujan


Proses pembentukan yang seterusnya pula berdasarkan teori pelanggaran yang juga
dikenali sebagai Collision and Coalescence Process. Proses berdasarkan teori ini dikatakan proses
utama dan paling lazim untuk membentuk hujan. Proses ini berlaku pada lapisan awan yang lebih
panas dan melibatkan titisan wap yang bersifat cecair sahaja. Oleh itu, ia juga dikenali sebagai
“warm rain process”. Proses ini juga hanya berlaku di kawasan tropika seperti Mexico, Malaysia,
Thailand dan lain-lain. Awan yang panas atau hangat mempunyai udara yang lebih hangat dan
mampu memberi kelembapan yang lebih banyak. Oleh itu, proses berdasarkan teori ini mampu
menghasilkan hujan lebat. Proses ini melibatkan pelanggaran dan percantuman antara titisan wap.
Bagi membolehkan proses pelanggaran berlaku, sebahagian titisan perlu mempunyai saiz yang
lebih besar. Saiz titisan wap yang besar boleh terbentuk hasil daripada tindak balas dengan nukleus
pemeluwapan seperti partikel garam atau pelanggaran dengan titisan yang lain.

Titisan awan yang besar mempunyai halaju terminal yang tinggi, membolehkan ia jatuh
dengan cepat dan berlanggar dengan titisan awan kecil yang bergerak perlahan. Kemudian, kedua-
dua jenis titisan tersebut akan bercantum yang disebut sebagai “coalescence”. Kesannya, titisan
yang besar tersebut menjadi semakin besar dan jatuh dengan lebih cepat, seakan-akan bebola salji
yang bergolek menuruni bukit dengan laju apabila saiznya semakin besar. Kadangkala, titisan
awan yang jatuh dan berlanggar tidak akan bercantum akibat ketegangan permukaan. Antara faktor
lain yang mempengaruhi pertumbuhan saiz titisan awan adalah tempoh masa titisan tersebut
berada di awan. Apabila arus udara yang menaik melambatkan pergerakan turun titisan, awan tebal
yang mempunyai pergerakan naik udara panas(updraft) yang kuat akan memanjangkan tempoh
masa titisan awan berada di awan. Kesannya, saiz titisan akan bertambah besar.

Selain itu, akibat daripada updraft dalam awan, titisan awan tidak dapat terus jatuh ke
bawah, maka ia akan bergerak naik ke atas sedikit lalu berlanggar dengan titisan awan lain
sehingga mencapai saiz 1 milimeter seperti dalam Rajah 10. Seterusnya, updraft dalam awan
mengimbangkan tarikan graviti titisan awan tersebut. Setelah ia bertambah besar dan menjadi
berat, halaju jatuhnya akan melebihi halaju updraft, maka secara perlahan-lahan ia akan mula
jatuh. Apabila titisan ini jatuh sampai ke dasar awan, ia akan menjadi titisan hujan yang besar
bersaiz 5 milimeter. Titisan hujan tersebut jatuh dengan laju sehingga ke permukaan dan biasanya
terhasil daripada awan kumulus yaang merupakan “warm clouds”. Manakala awan nipis seperti
stratus pula, hanya hujan gerimis terhasil melalui proses ini kerana arus pergerakan naik udaranya
perlahan.

Rajah 10: Titisan awan yang naik akibat updraft berlanggar dengan titisan lain di atas

Rajah 11: Proses pembentukan hujan berdasarkan teori pelanggaran

Kesimpulannya, di kawasan tropika, pembentukan hujan lebih banyak berlaku melalui


proses berdasarkan teori pelanggaran. Hal ini dikatakan demikian kerana ia melibatkan awan yang
mempunyai suhu yang lebih hangat dan titisan awan dalam bentuk cecair.
4. Berasaskan sebuah bandar di Malaysia, bincangkan bagaimana konsep imbangan bahangan
sukar terbentuk akibat pengaruh aktiviti manusia.

Imbangan bahangan merujuk kepada jumlah bahangan yang diterima oleh bumi daripada
matahari melalui gelombang-gelombang pendek dan sinaran ultraungu. Konsep imbangan
bahangan menegaskan bahawa jumlah bahangan matahari yang diterima bumi adalah sama dengan
jumlah bahangan yang dibebaskan oleh permukaan bumi ke atmosfera. Imbangan bahangan yang
seimbang menandakan bahawa suhu dan iklim bumi adalah stabil. Ringkasnya, imbangan
bahangan adalah apabila sinaran matahari menembusi lapisan atmosfera, ia seterusnya akan
diserak dan dipantul kembali ke angkasa oleh lapisan ozon, awan dan permukaan bumi. Selebihnya
pula akan diserap oleh wap air, awan atau debu, di mana ia bertukar menjadi haba. Antara proses
yang terlibat adalah pengaliran, radiasi dan haba pendam.

Rajah 12: Imbangan bahangan

Walau bagaimanapun, ketidakseimbangan imbangan bahangan boleh berlaku, di mana ia


mempengaruhi suhu sesuatu tempat. Dalam perbincangan ini, merujuk kepada sebuah bandar di
Malaysia iaitu Kuala Lumpur, pengaruh aktiviti manusia di bandar tersebut terhadap imbangan
bahangan akan dibincangkan. Kuala Lumpur umum diketahui bahawa ia merupakan salah satu
bandar yang sibuk di Malaysia yang juga meliputi sebahagian besar Lembah Klang. Selain
daripada padat dengan penduduk, ia juga dipenuhi dengan bangunan konkrit yang tinggi-tinggi.
Bandar ini juga adalah pusat industri, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi disebabkan oleh
peranannya sebagai ibu negara Malaysia. Kedudukan Kuala Lumpur di tengah-tengah
Semenanjung dengan kemudahan sistem pengangkutan yang baik memudahkan ia dikunjungi
merupakan antara faktor kepesatan perkembangan bandar terssebut. Maka tidak mustahil aktiviti
manusia yang dijalankan di bandar tersebut akan memberi kesan kepada proses imbangan
bahangan.

Klorofluorokarbon(CFC) merupakan sebatian kimia yang dibebaskan ke atmosfera melalui


pelbagai peralatan elektrik seperti alat pendingin hawa, peti sejuk dan penggunaan penyembur
yang mengandungi aerosol, penghasilan produk pembersihan dalam industri dan styrofoam. CFC
merupakan salah satu agen utama yang boleh membawa kepada ketidakseimbangan imbangan
bahangan. Seperti yang dapat dilihat bagi bandar Kuala Lumpur, ia semakin pesat membangun
dengan pembinaan bangunan konkrit dan pertambahan petempatan sehingga ke pinggir bandar.
Kesan daripada itu, ia menyebabkan pertambahan penggunaan pendingin hawa khususnya.
Misalnya, mereka yang bekerja di pejabat atau memasang pendingin hawa di rumah kerana tidak
tahan dengan cuaca panas. CFC mempengaruhi imbangan bahangan melalui penipisan lapisan
ozon yang terletak di stratosfera. Umum mengetahui bahawa lapisan ozon berfungsi sebagai
penapis sinaran ultraungu dari sinaran matahari. CFC akan naik ke stratosfera dan molekulnya
terurai melalui radiasi ultraungu yang kemudiannya menghasilkan atom klorin. Atom klorin
tersebut kemudiannya bertindak balas dengan molekul ozon secara berterusan yang mewujudkan
rantaian tindak balas lalu menyebabkan lapisan ozon semakin menipis. Oleh itu, berlakulah
penipisan lapisan ozon lalu mengakibatkan keberkesanan lapisan ozon memantulkan kembali
sinaran ultraungu matahari ke angkasa semakin berkurang. Oleh itu, berlakulah masalah imbangan
bahangan sukar dibentuk, di mana penipisan lapisan ozon menyebabkan sebahagian sinaran
matahari menembusi terus ke permukaan dan meningkatkan suhu bandar.

Ia dikatakan bahawa sejak Revolusi Perindustrian yang bermula sekitar tahun 1750,
kegiatan manusia telah banyak menyumbang kepada perubahan iklim terutamanya dari aspek suhu
melalui penambahan kandungan karbon dioksida, metana, nitrus oksida dan lain-lain gas yang
memerangkap haba di atmosfera. Keadaan ini berlaku hasil daripada aktiviti-aktiviti perindustrian
yang giat dilaksanakan. Begitu juga yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, di mana aktiviti
perindustrian iaitu perkilangan wujud. Walaupun perindustrian memainkan peranan yang agak
kecil dalam ekonomi Kuala Lumpur berbanding dengan sektor komersil lain tetapi komponen
perindustrian masih lagi diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan serta peluang pekerjaan
kepada warga kota. Misalnya industri petrokimia yang melibatkan bahan-bahan kimia yang berasal
daripada bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan juga pelbagai bahan mentah lain. Bahan-
bahan bakar yang termasuk dalam kategori tersebut ialah metana, propana, diesel serta bahan kimia
seperti racun perosak serta bahan-bahan untuk menghasilkan plastik iaitu polyethylene. Bahan-
bahan api fosil tersebut akan membebaskan amaun karbon dioksida yang banyak, mengakibatkan
kepekatannya meningkat di atmosfera. Peningkatan kandungan gas industri ini telah menjadi
punca imbangan bahangan bumi tidak stabil kerana ia menyerap dan memerangkap haba lalu
menghalang pembalikan bahangan ke luar bumi. Kesannya, lebih banyak haba diserap oleh
permukaan bumi dan suhu setempat meningkat. Hal ini kerana untuk mendapatkan imbangan
bahangan yang positif, jumlah bahangan yang masuk perlu sama dengan jumlah bahangan yang
dilepaskan oleh bumi. Keadaan ini berlaku kerana gas karbon dioksia, metana dan lain-lain gas
pemerangkap haba mempunyai struktur molekul yang membolehkan ia menyerap radiasi
gelombang pendek Proses karbon dioksida memerangkap haba inilah yang disebut sebagai kesan
rumah hijau.

Seterusnya, aktiviti manusia yang menyebabkan imbangan bahangan sukar dibentuk


adalah aktiviti pengangkutan. Sebagai sebuah ibu negara, sudah pasti Kuala Lumpur dilengkapi
jaringan pengangkutan yang padat. Ia adalah hasil daripada pertambahan berterusan aktiviti
ekonomi dan petempatan penduduk yang memerlukan jalan raya untuk meningkatkan darjah
ketersampaian. Kesan daripada pertambahan jaringan pengangkutan sekali gus menambahkan
bilangan kenderaan di jalan raya yang membawa kepada peningkatan suhu atau imbangan
bahangan negatif. Sehingga tahun 2019, jumlah kenderaan bermotor di Malaysia dikatakan telah
mencecah 31.2 juta unit. Penggunaan kenderaan tidak dapat dinafikan adalah punca peningkatan
suhu utama bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga di bandar-bandar besar lain. Sama seperti
aktiviti aktiviti perindustrian, aktiviti pengangkutan yang melibatkan kenderaan bermotor juga
membebaskan gas pemerangkap haba iaitu karbon dioksida. Molekul-molekul gas ini terdiri
daripada tiga atau lebih atom yang tersusun jarang-jarang antara satu sama lain, menyebabkan ia
mengalami vibrasi ketika menyerap haba. Molekul yang bervibrasi akan melepaskan radiasi yang
kemudian diserap oleh molekul gas rumah hijau lain. Proses ini menyebabkan haba semakin dekat
dengan permukaan bumi. Ia juga disebabkan oleh gas atmosfera yang terdiri daripada nitrogen dan
oksigen yang tidak dapat menyerap haba lalu mewujudkan kesan rumah hijau. Maka berlakulah
ketidakseimbangan imbangan bahangan di mana haba sukar dilepaskan kembali ke angkasa.

Akhir sekali aktiviti penebangan pokok untuk tujuan pembinaan atau pembangunan.
Seperti yang sedia maklum, Kuala Lumpur adalah sebuah bandar yang masih pesat berkembang.
Penebangan pokok secara besar-besaran untuk membuka tapak pembinaan bangunan baru menjadi
penyumbang kepada imbangan bahangan negatif. Hal ini dikatakan demikian kerana penebangan
pokok menjejaskan peranan pokok menyerap lebihan karbon dioksida di atmosfera lalu
membebaskannya dalam bentuk oksigen melalui fotosintesis yang penting bagi mewujudkan
keseimbangan kandungan gas dalam atmosfera. Menurut anggaran, penebangan pokok
menyumbang 10 peratus kepada peningkatan suhu setempat. Selain daripada itu, penebangan
pokok juga mengurangkan tahap kelembapan udara di bandar kerana kurang proses perpeluhan
tumbuhan yang mampu membebaskan wap air ke udara. Kesan daripada kurang pembebasan wap
air juga mendorong kepada kesukaran pembentukan awan. Maka bahangan pada waktu siang di
bandar cenderung menjadi banyak kerana kurang litupan awan. Hal ini dikatakan demikian kerana
litupan awan yang tebal membantu memantulkan sinaran matahari ke angkasa. Ringkasnya,
kawasan yang kurang litupan awan akan menerima banyak tenaga haba. Selanjutnya, aktiviti
pembinaan bangunan konkrit dan jalan tar mengakibatkan penyerapan dan penyimpanan haba dari
matahari pada waktu siang dan membebaskannya pada waktu malam sebagai haba pendam.
Pembinaan bangunan tinggi-tinggi dan berkaca telah menghalang pergerakan keluar haba, maka
lebih banyak haba akan terperangkap. Begitu juga dengan permukaan jalan bertar yang memiliki
warna yang gelap, di mana penyerapan haba lebih tinggi daripada pantulan, menunjukkan bahawa
ia mempunyai nilai albedo yang rendah. Oleh itu, imbangan bahangan yang seimbang sukar
dibentuk.

Kesimpulannya, aktiviti-aktiviti manusia yang dilakukan oleh penduduk di bandaraya


Kuala Lumpur banyak mendatangkan kesan negatif kepada imbangan bahangan melalui
pembebasan gas pemerangkap haba yang banyak dalam ruang atmosfera. Oleh itu, imbangan
bahangan cenderung men jadi negatif, di mana jumlah sinaran matahari yang masuk melebihi
jumlah sinaran yang dibebaskan keluar bumi. Maka, terjadilah fenomena seperti kesan rumah hijau
dan pulau haba bandar.

Anda mungkin juga menyukai