Anda di halaman 1dari 2

Buku bukan akademik yang pernah saya baca ialah Novel Hari-Hari Terakhir

Seorang Seniman. Novel ini merupakan karya pertama Anwar Ridhwan yang
pertama kali saya baca. Novel ini mempunyai 189 halaman dan ia diterbitkan pada
tahun 1979 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini ditulis dalam Bahasa Melayu
dan telah diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis
dan bahasa Urdu. Anwar Ridhwan iaitu penulis novel ini pernah mendapat anugerah
sebagai kelompok Sasterawan Negara (SN). Novel ini juga pernah memenangi
anugerah Hadiah Pertama Sayembara Menulis Novel Anjuran Yayasan Sabah
(GAPENA) pada tahun 1979. Walau pun sedikit kecewa dengan pengakhiran novel
tersebut, tapi saya amat berpuas hati apabila dapat membaca karya sebegini.
Timbul perasaan yang pelbagai dalam diri setelah menghayati peristiwa yang
terkandung di dalam novel tersebut. Kadang kala menghiburkan, sedih, suspen.
marah dan bersemangat.
Novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman merupakan sebuah novel yang
mengisahkan berkenaan seorang lelaki tua yang lebih dikenali sebagai Pak Hassan,
iaitu seorang penglipur lara di kala kehidupan zaman pendudukan British dan Jepun.
Kehadirannya di beberapa buah daerah nyata sekali menghiburkan penduduk
setempat kerana kebijaksanaan dan kepintaran beliau mengolah cerita yang nyata
sekali menceriakan mereka untuk mendengarnya. Maklumlah, pada masa itu masih
tidak dilengkapi dengan teknologi seperti sekarang. Radio pula mahal dan tidak
mampu milik oleh semua orang (pada zaman itu). Maka, Pak Hassan menjadi
tumpuan penduduk untuk berhibur. Namun di sebalik itu, kehidupan Pak Hassan
dilingkari dengan kesedihan atas pemergian isteri kesayangan, Selemah setelah
meninggal akibat sakit selepas bersalin. Nyata, pemergian isterinya membuatkan
Pak Hassan kerinduan dan hanya ditemani dua orang anaknya yakni Senah dan Mat
Jusuh yang terencat akal.
Sebelum itu, keistimewaan yang dimiliki oleh Pak Hassan telah menjadinya amat
disenangi oleh penduduk. Keperibadiannya yang ceria, ramah dan suka bergurau
menjadikan jiran-jiran tidak merasa janggal dengan Pak Hassan sekeluarga.
Akhirnya, di sebuah kampung Pak Hassan sekeluarga dijemput untuk tinggal
menetap dengan tawaran tanah dan rumah oleh Imam Mahali. Sejak itu, dari sebuah
kampung yang suram kini bersinar dengan kehadiran Pak Hassan sekeluarga. Itu
lah yang berlaku sebelum kepergian isterinya. Kini, anak-anaknya sudah membesar
dan Senah selaku anak sulung banyak mengikut ciri-ciri isterinya sehingga Pak
Hassan teringat kepada Selemah. Namun, keadaan Mat Jusuh yang tidak sempurna
sedikit sebanyak menganggu pemikirannya.
Dalam novel ini, pembaca akan didendangkan dengan bahasa yang indah dan
tersusun rapi. Setiap unsur-unsur alam seolah-olah dicirikan dengan baik sekali. Ia
membuatkan pembaca seolah-olah tenggelam dalam kehidupan Pak Hassan. Itu lah
tarikan penulisan Anwar Ridhwan. Apabila plot yang mendebarkan, pembaca akan
turut rasa berdebar sebagaimana wataknya. Melalui HHTSS ini juga, pembaca akan
diingatkan kepada keseronokan permainan-permainan tradisional atau permainan
orang kampung yang nyata sekali mengimbau kenangan zaman keanak-anakan
pembaca. Saya tersenyum sendirian apabila membaca dan menghayatinya melalui
watak Aziz, anak lelaki Ramli. Di samping itu, pembaca juga dihidangkan dengan
keadaan atau situasi ketika penduduk di ambang penjajahan Jepun. Jika
sebelumnya, penduduk bebas ke mana-mana. Tetapi semenjak kehadiran mereka,
batas-batas perjalanan terhad kerana risau dengan nafsu askar Jepun ke atas para
perawan khususnya golongan gadis kampung. Deruan kapal terbang Jepun di
malam hari. Kegelapan rumah kerana takut dihampiri askar Jepun. Semuanya
mendedahkan kepada generasi muda sekarang kepada suasana yang berlaku pada
suatu ketika dahulu.
Apa yang menyedarkan melalui novel ini adalah bagaimana pada suatu ketika
dahulu masyarakat setempat hidup secara bersama-sama, tolong-menolong tanpa
mengira sesiapa sahaja. Semuanya dilakukan dengan ikhlas dan penuh kejujuran.

Anda mungkin juga menyukai