Anda di halaman 1dari 3

Langkah Mengukuhkan Perpaduan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

September 15th, 2014 (Noor Hidayah Yusuf)

Setiap tahun menjelang sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan, rakyat Malaysia tidak asing
lagi dengan tema sambutan yang silih berganti. Jika slogan tersebut dibaca dan diteliti, ia akan
membawa satu mesej yang sama iaitu kepentingan masyarakat berbilang kaum, budaya dan
agama di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati antara satu sama lain serta
saling membantu sesama jiran tetangga.

Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi
kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh yang demikian, perpaduan dan keharmonian
adalah elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan
masyarakat Malaysia. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan dan kedaulatan negara yang telah
diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip mata. Persoalannya, bagaimanakah kita
dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini?

Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan memupuk
persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah sentiasa menerapkan
nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh
biar dari rebungnya”.

Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga
disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau
perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan
membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai jenis kaum dan etnik.

Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa,
misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda
menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa
dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan
kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang
dengan sempurna.
Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-
padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan
memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan
pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains,
persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah.

Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk


menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya
sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh
mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan
budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru
perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.

Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat
memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan
permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar
lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun
2013.

Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya
perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang
berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda
dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini.
Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan
dalam diri mereka.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh
mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah
tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat
merosakkan rasa muhibah dan perpaduan.

Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di
negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun
Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat
pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga
setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan
bangsa.

Anda mungkin juga menyukai