Anda di halaman 1dari 15

ULASAN BUKU

Nama Guru : Norhafiza binti Harun


Tajuk : Kesihatan Diri dan Kecergasan
Penulis : Ikmalhisam Hj. Daroji & Hilezan Zainal
Penerbit : Sasbadi Sdn. Bhd, 2015
Muka surat : 257 halaman.

Ulasan:

Buku bertajuk kesihatan diri dan kecergasan ini membincangkan tentang aspek-aspek
utama dalam membentuk kesihatan dan kecergasan diri. Menampilkan pelbagai informasi
penting serta panduan ke arah untuk hidup yang lebih sihat.

Buku ini amat sesuai dibaca dan dijadikan bahan rujukan untuk pelajar terutama sekali yang
mengambil subjek berkaitan pendidikan jasmani dan sains sukan di Institut Pendidikan Guru
Malaysia, Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta
(IPTS).

Buku ini terdiri daripada 8 bab kesemuanya. Penyampaian isi dalam buku ini ringkas,
menarik dan padat malahan penggunaan bahasa juga tidak terlalu sukar dan mudah
difahami.

Umumnya, kita tahu bahawa kesihatan yang baik merupakan suatu nikmat yang sangat
bernilai untuk menjalani gaya hidup sihat. Penjagaan kesihatan yang baik membolehkan
seorang individu itu melakukan kerja seharian dengan mudah.

Konsep kecergasan pula mencerminkan hidup seseorang itu dan keupayaan diri mereka
untuk bekerja dengan lebih cekap dan berkesan. Komponen kecergasan terbahagi kepada 5
iaitu, fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.

Gaya hidup sihat boleh diamalkan dengan mencapai berat badan normal, mengamalkan
aktiviti fizikal secara konsisten, pemakanan yang sihat, hadkan kandungan lemak dalam
badan, tidak merokok, mengawal stres dengan baik dan pemeriksaan kesihatan secara
berkala.

Penulis juga menerangkan tentang mikroorganisma di mana ianya berkait rapat dengan isu
kesihatan diri. Mikroorganisma adalah organisma seni yang sukar untuk dilihat dengan
menggunakan mata kasar tetapi boleh dilihat dengan bantuan mikroskop. Terdapat lima
jenis mikroorganisma iaitu bakteria, virus, kulat, protozoa dan alga.

Untuk menjalani gaya hidup sihat, penulis berkongsi tentang piramid makanan. Ini kerana
pemilihan makanan yang betul dapat mencegah daripada penyakit yang tidak di ingini.

Penulis menyentuh tentang enam kelas nutrien dalam makanan yang penting dalam tubuh
badan kita seperti vitamin, karbohidrat, protein, lemak, garam dan air. Kerana itu gaya
pemakanan perlu dititik beratkan agar individu memperoleh kesemua nutrien dengan
seimbang.

Selain pemakanan seimbang, pengiraan kalori juga ada diselitkan dalam buku ini. Kalori
ialah satu unit tenaga di mana, pengambilan kalori yang berlebihan akan disimpan di dalam
badan dan seterusnya boleh menaikkan berat badan seseorang itu. Setiap orang
memerlukan sukatan kalori yang berbeza-beza mengikut jantina, umur, ketinggian, berat
badan, pekerjaan dan aktiviti harian.

Antara lain yang dikongsi dalam buku ini adalah berkaitan penyalahgunaan bahan,
kecederaan dan keselamatan. Penyalahgunaan bahan bererti penggunaan jenis bahan yang
salah dan bertentangan dengan rawatan serta fungsinya. Manakala, kecederaan pula sering
kali berlaku kepada individu ketika melakukan aktiviti fizikal. Pentingnya untuk kita menitik
berat langkah-langkah keselamatan kerana mencegah itu lebih baik dari mengubati.

Selain itu, isu keselamatan diri juga penting. Keselamatan diri bermula daripada individu itu
sendiri. Keselamatan merangkumi fizikal dan emosi. Penulis juga berkongsi tentang isu
keselamatan diri dan kanak-kanak, keselamatan ketika di rumah dan memberikan panduan
keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Terdapat pelbagai perkongsian menarik yang diselitkan di dalam buku ini. Bukan sahaja dari
segi kesihatan fizikal dan mental tetapi juga melibatkan alam sekitar. Ini kerana pencemaran
adalah salah satu yang mengundang penyakit. Antara jenis pencemaran adalah pencemaran
air, udara, bahan kimia, bunyi dan penebangan hutan.
ULASAN BUKU

Nama Guru : Norhafiza Binti Harun


Tajuk : Idea Bisnes Kreatif
Penulis : Syahril Jani
Penerbit : Petaling Jaya: Selangor: True Wealth Sdn. Bhd, 2010
Muka surat : 184 halaman.

Ulasan:

Apabila disebut tentang idea bisnes kreatif, pasti ianya sesuatu yang unik berbanding perniagaan
sedia ada. Sama ada ia perniagaan baru atau perniagaan sedia ada yang diberi nafas baru supaya
lebih berdaya maju.

Ramai yang mempunyai idea bisnes kreatif tetapi masih ragu-ragu untuk menzahirkan idea yang
dimiliki disebabkan tidak mahu berdepan tanggapan negatif masyarakat dan takut dikritik.
Fikiran tersebut sepatutnya dikikis, buang rasa rendah diri tanpa perlu berasa segan. Kita perlu
bertindak untuk merealisasikan idea tersebut supaya ia lebih bermanfaat dan menguntungkan.

Buku yang bertajuk “IDEA BISNES KREATIF” ini amat sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan
masyarakat terutamanya mereka yang berkecimpung dalam perniagaan. Kerana buku ini
menyajikan pelbagai teknik dan lebih 200 contoh perniagaan yang kreatif yang telah diusahakan
dan menguntungkan. Buku ini adalah sebagai pendorong kepada anda untuk berfikir di luar
kebiasaan dan tampil segar dalam perniagaan anda.
ULASAN BUKU

Nama Guru : Norhafiza Binti Harun


Tajuk: Rumpai Khasiat Ubatan & Makanan
Penulis: Ong Hean Chooi
Terbitan: Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd, 2013.
Muka surat : 198 halaman.

Ulasan:

Rumpai yang dianggap sebagai musuh tanaman sebenarnya memiliki banyak manfaat dan
khasiat yang berguna sebagai ubatan herba. Kajian yang telah dilakukan oleh penulis buku
ini telah membuktikan bahawa Tuhan tidak menjadikan rumpai sebagai sesuatu yang sia-sia.

Tahukah anda bahawa ara tanah, kemuncup hutan, rumput halia hitam dan semalu berkesan
untuk merawat ketuat, kutil, kurap, usler serta sebagai penawar bisa patukan ular dan
sengatan serangga, penjarang anak, memudahkan ibu bersalin, membuat tidur lena,
melawaskan buang air kecil dan merangsang muntah?

Manakala lalang, paku lipan, pulut-pulut, dan tutup bumi pula sesuai digunakan untuk
merawat batuk berdarah, hidung berdarah, demam kuning, demam panas, buasir, tekanan
darah tinggi, bisul bernanah, tulang patah, gastrik, leukemia, leukoria dan hepatitis.

Selain mengetengahkan khasiat ubatan dan makanan, buku ini turut menampilkan nama
sains, vernakular dan botani, kaedah penanaman, kandungan kimia, jenis kegunaan lain
serta jenis penyakit dan perosak. Gambar foto yang berwarna-warni disertakan agar para
pembaca mudah mengecam atau mengenali setiap jenis rumpai dilapangan.
ULASAN BUKU

Nama Guru : Norhafiza Binti Harun


Tajuk: Melatih Atlet Orang Kurang Upaya
Penulis: Mohan Govindasamy & Nagoor Meera Abdullah
Terbitan: Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd, 2011
Muka surat : 150 halaman

Ulasan:

Industri sukan pada hari ini telah banyak menyumbang kejayaan dalam menaikkan nama
Malaysia di persada antarabangsa. Tidak ketinggalan penglibatan golongan OKU yang
dilihat begitu cemerlang turut menyumbang dalam kejayaan industri sukan pada hari ini.
Perhatian penuh harus diberikan kepada golongan OKU ini agar pencapaian mereka
semakin cemerlang dengan kerjasama jurulatih yang bertauliah.

Buku bertajuk Melatih Atlet Orang Kurang Upaya (OKU) ini bertujuan untuk berkongsi
panduan dan peraturan mengenai sukan olahraga OKU dan boleh dijadikan rujukan untuk
kejurulatihan OKU dalam bidang sukan.

Buku ini sesuai untuk dibaca bagi mereka yang aktif dalam sukan olah raga OKU, terutama
sekali kepada jurulatih sukan olahraga OKU kerana buku ini banyak memberi pendedahan
tentang kejurulatihan. Dengan kepakaran dan kemahiran yang mereka ada, ditambah
dengan pembacaan daripada buku ini dapat memantapkan lagi sesi latihan kepada atlet
sukan olahraga OKU.

Gabungan dua penulis yang berpengalaman luas dalam bidang sukan OKU menjadikan
buku ini dilengkapi dengan tip serta informasi yang cukup padat dan berkesan. Penulis
masing-masing adalah seorang pensyarah di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi di UiTM, Shah
Alam, juga pengasas Persatuan Olahraga Daerah Klang dan juga Persatuan Olahraga Para
Malaysia.

Buku ini sangat menarik kerana pembaca dibekalkan dengan pelbagai jenis gambar sukan
olahraga OKU. Dengan itu, walaupun pembaca bukan dari kalangan mereka yang bergiat
aktif dalam bidang sukan tetapi masih boleh mengetahui bagaimana rupa bentuk sukan
OKU yang dimaksudkan oleh penulis. Setiap jenis acara sukan OKU mempunyai corak
permainan yang berbeza daripada acara sukan biasa.

Mendengar sahaja perkataan OKU membuatkan kita berasa lebih kagum dengan usaha dan
pencapaian mereka untuk meraih kejuaraan dalam sukan olahraga. Penulis ada berkongsi
tentang jenis-jenis kecacatan yang dipertandingkan dalam olahraga OKU. Antaranya ialah
buta dan cacat penglihatan, Palsi Serebrum, kudung, kerdil, kecederaan saraf tunjang,
masalah pembelajaran dan Les Autres.

Menyentuh tentang peraturan-peraturan dalam sukan olahraga OKU, atlet OKU wajib
mematuhi setiap peraturan yang telah digariskan untuk memastikan pertandingan
berlangsung dengan adil dan saksama. Terdapat banyak peraturan yang penulis kongsi di
dalam buku ini. Lebih daripada separuh muka surat buku ini membekalkan pembaca
dengan peraturan yang terperinci dan lengkap dengan gambar sebagai rujukan yang lebih
jelas.

Antara perkongsian penulis mengenai peraturan adalah dalam acara trek. Atlet OKU
kategori T/F 11 iaitu bagi atlet yang buta disarankan untuk memakai cermin mata gelap
yang tidak ditembusi cahaya ketika berlari. Jurulatih juga disarankan untuk memastikan atlet
memakai cermin mata gelap bukan sahaja ketika pertandingan berlangsung tetapi ketika
waktu latihan dan juga regangan badan. Hal ini adalah untuk membiasakan atlet agar tidak
merasa janggal ketika bertanding nanti.

Selain daripada itu, penulis juga menyelitkan beberapa kaedah melatih atlet olahraga OKU.
Melatih atlet OKU memerlukan sedikit kelainan dan tambahan dari segi teknik dan jelas
sekali ianya berbeza daripada teknik atlet yang normal. Sebagai contoh, kaedah melatih
atlet OKU adalah teknik manipulasi pergerakan anggota pada tubuh dan teknik meraba dan
merasa bahagian anggota tubuh yang terlibat dalam pergerakan. Dua teknik ini dikatakan
penulis adalah yang paling efisien untuk melatih atlet OKU.

Menariknya, terdapat perkongsian tentang kecederaan yang biasa terjadi kepada atlet
dalam aktiviti olahraga. Ianya merangkumi penyebab kepada kecederaan tersebut dan juga
rawatannya. Kecederaan yang telah disenaraikan penulis adalah Achilles Tendonitis, Shin
Split, Sprain dan Strain. Penting untuk kita mengetahui perkara asas tentang suatu
kecederaan itu agar rawatan awal dapat diambil sekiranya berlaku.

Sprain ialah kecederaan yang sering kali terjadi bukan sahaja para atlet namun orang biasa
seperti kita juga kerap mengalaminya. Sprain atau istilah yang lebih biasa didengari ialah
tergeliat. Ianya sejenis kecederaan yang berlaku pada ligamen. Bahagian anggota badan
yang sering tergeliat adalah buku lali, lutut atau pergelangan tangan.

Terdapat banyak lagi topik menarik seperti aplikasi sains sukan dalam melatih atlet
olahraga, menguji prestasi atlet, ujian-ujian kecergasan untuk menguji prestasi atlet dan
kadar nadi dan latihan.
ULASAN BUKU

Nama Guru : Norhafiza Binti Harun


Tajuk: Merokok Selangkah ke Alam Kubur
Penulis: Rehanah Mohd. Zain & Ab. Aziz Al-Safi Ismail
Terbitan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014.
Muka Surat : 78 halaman

Ulasan:

Merokok merupakan satu tabiat yang diamalkan secara berleluasa di kalangan masyarakat.
Segelintir masyarakat merokok secara kasual di mana mereka hanya akan merokok pada
masa-masa tertentu seperti, semasa lepak bersama kawan atau semasa menunggu. Namun
demikian, terdapat juga sesetengah masyarakat yang menjadikan tabiat merokok itu
sebagai rutin harian di mana mereka akan menghisap rokok setiap hari, sama ada sebelum
atau selepas melakukan sesuatu aktiviti harian. Contohnya, merokok selepas makan, selepas
bangun tidur atau merokok sambil menonton televisyen.
Umum mengetahui bahawa tabiat merokok banyak mendatangkan kesan negatif terhadap
kesihatan manusia, namun masih ramai perokok yang tidak mengendahkan akibat buruk
yang boleh menimpa mereka atas alasan mereka hanya merokok secara kasual. Hakikatnya,
kesannya tetap sama tidak kira seseorang itu perokok kasual atau perokok tegar. Buku
'Merokok Selangkah ke Alam Kubur' ini mengandungi segala maklumat yang perlu anda
ketahui mengenai rokok. Terdapat lapan bab menarik yang terkandung dalam buku ini
antaranya, kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam rokok, kesan merokok terhadap
kesihatan, dan panduan dan faedah berhenti merokok.

Dalam bab pengenalan, penulis memulakan mukadimah dengan memberi sedikit fakta
ringkas mengenai jumlah kematian secara purata yang disebabkan oleh masalah ketagihan
rokok di seluruh dunia. Setiap lapan saat, seorang individu akan mati dengan pelbagai jenis
penyakit kronik akibat ketagihan rokok. Setiap batang rokok yang dihisap akan
memendekkan jangka hayat setiap perokok sekurang-kurangnya lima minit. Selain itu,
penulis juga menerangkan bagaimana penggunaan tembakau yang pada mulanya hanya
digunakan sebagai sejenis herba untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit ditambah
nilai menjadi rokok atau produk tembakau kunyah.

Hasil tanaman tembakau kemudiannya menjadi penyumbang utama kepada industri rokok
yang bertanggungjawab dalam mengkomersialkan rokok yang dihasilkan daripada
tembakau. Syarikat pasaran antarabangsa menyedari akan potensi keuntungan yang dapat
dikaut melalui jualan rokok lalu membelanjakan wang berbilion ringgit untuk menyediakan
iklan yang menarik dan berkesan dengan menggambarkan diri seorang perokok sebagai
lambang keagungan, kekuasaan, keseronokan, kekayaan, kesihatan dan kejayaan seks.
Teknik pemasaran sebeginilah yang telah berjaya memanipulasi fikiran masyarakat untuk
berjinak-jinak dan meneruskan tabiat merokok.

Dalam bab kedua, penulis merungkai rahsia kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam
rokok. Menurut penulis, asap rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia, lebih 250
daripadanya didapati beracun dan 63 bahan kimia boleh menyebabkan kanser. Hakikatnya,
kebanyakan perokok menyangka hanya nikotin dan tar sahaja yang terkandung dalam
rokok. Antara bahan kimia yang membahayakan kesihatan ialah nikotin, karbon monoksida,
dan tar. Karbon monoksida boleh mempengaruhi sistem pernafasan seorang perokok. Hal
ini demikian kerana karbon monoksida berupa gas buangan dan boleh menjejaskan
peranan hemoglobin sebagai agen pengangkut oksigen ke dalam paru-paru. Selain itu, ia
juga boleh menyebabkan saluran darah tersumbat kerana karbon monoksida mampu
merangsang platelet. Kewujudan tar yang terkumpul dalam badan perokok pula boleh
mengakibatkan penyakit jangkitan paru-paru dan bronkitis. Ini kerana tar merupakan cecair
kental yang bersifat melekit dan boleh mengganggu proses pembersihan paru-paru lalu
menyebabkan paru-paru dipenuhi lendir dan kahak.

Dalam bab keempat, penulis menerangkan bagaimana tabiat merokok mempengaruhi


kajian dalam bidang epidemiologi. Menurut penulis, pada dekad yang lalu hanya penyakit
berjangkit atau wabak penyakit berjangkit bawaan air, udara dan vektor yang
diklasifikasikan sebagai penyakit epidemik. Namun dengan peredaran zaman, pelbagai
penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular (jantung), kanser paru-paru, diabetes
(kencing manis), hipertensi (darah tinggi) dan lain-lain juga tergolong dalam kategori
penyakit epidemik kerana rata-rata punca kematian manusia disebabkan oleh penyakit-
penyakit tersebut. Apa yang membimbangkan ialah kesemua penyakit ini dipercayai
berpunca daripada tabiat merokok.

Kesan merokok kepada kesihatan diterangkan oleh penulis dalam bab yang kelima. Penulis
membahagikan kesan merokok kepada dua iaitu kesan merokok terhadap badan manusia
dan kesan merokok terhadap ekonomi individu, keluarga dan negara. Kesan buruk tabiat
merokok tidak terhad kepada perokok tegar sahaja, malah perokok pasif juga turut terkesan
akibat terhidu dan tersedut asap rokok dari orang sekeliling. Asap rokok boleh mengancam
hampir seluruh organ dalam tubuh badan manusia. Antaranya, rambut cepat beruban, strok
akibat darah beku dalam otak, mudah mendapat katarak mata, hilang deria hidung dan
jangkitan telinga, penyakit gam (gingivitis) pada gigi, kanser esofagus pada kerongkong,
kegagalan fungsi buah pinggang, jantung, hati dan pundi kencing, penyakit prostat,
masalah ketidaksuburan di kalangan wanita dan lain-lain lagi.

Selain itu, kesan merokok juga banyak mendatangkan kerugian terhadap ekonomi
seseorang individu, keluarga dan juga kepada negara. Seorang individu yang menghisap 20
batang rokok sehari biasanya akan membelanjakan purata RM10.00 sehari untuk membeli
rokok, maka dalam sebulan, dia akan menghabiskan RM300.00 untuk rokok sahaja.
Sementara itu, perokok yang telah menghidap pelbagai penyakit kronik pula dianggarkan
akan membelanjakan sebanyak RM200.00 sebulan untuk kos rawatan akibat penyakit yang
dihidapinya. Senario ini jelas menunjukkan bahawa tabiat merokok tidak memberikan
sebarang manfaat boleh mendatangkan masalah kewangan terhadap keluarga dan juga
ekonomi negara kerana Kerajaan Malaysia membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk
menampung kos rawatan penyakit perokok dalam kalangan penjawat awam.

Bagi perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok tetapi tidak mengetahui cara untuk
melaksanakannya bolehlah merujuk bab yang keenam di mana penulis menerangkan secara
terperinci tentang panduan dan faedah berhenti merokok. Bermula dengan niat untuk
berhenti merokok, penulis menghuraikan proses untuk berhenti merokok kemudiannya
diikuti dengan persediaan berhenti rokok, permulaan untuk berhenti merokok, langkah
yang perlu dipatuhi dan akhir sekali faedah yang boleh diperoleh hasil daripada berhenti
merokok. Di samping itu, fungsi Pendidikan Kesihatan yang dibincangkan dalam bab ke
tujuh dan farmakoterapi yang dibahaskan dalam bab ke lapan juga memainkan peranan
dalam menyokong usaha dan membantu perokok tegar dalam menghentikan tabiat dan
ketagihan terhadap rokok.

Dalam bab yang terakhir iaitu bab yang ke sembilan, penulis menerangkan bagaimana
tabiat merokok dinilai dalam perspektif agama Islam. Pelbagai perdebatan dan kajian telah
dibahaskan yang mencerminkan lagi tabiat merokok sebagai satu perkara yang negatif.
Beberapa surah dari pelbagai buku dan kitab juga ada diselitkan dalam bab ini. Selain itu,
penulis juga menerangkan faktor pengharaman rokok dari sisi agama Islam dalam bab ini. 
Ulasan Buku

Nama Guru : Amizahwati binti Misro


Tajuk: Perlindungan Alam Sekitar: Inisiatif Global dan Penglibatan Tempatan
Penulis: Muhammad Rizal Rahman, Abdul Samad Hadi, Jamaluddin Md Jahi, Abdul
Hadi Harman Shah, Ahmad Fariz Mohamed, dan Sharaduddin Idrus
Terbitan: Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2014.
Muka surat : 112 halaman

Ulasan:

Buku bertajuk "Perlindungan Alam Sekitar: Inisiatif Global dan Penglibatan Tempatan"
adalah suatu wacana langkah Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala (MEAs – Multilateral
Environmental Agreements) menerusi pengalaman Malaysia dalam proses rundingan
semasa pembentukan dan penerimaan MEAs seperti contoh, Protokol Montreal.

Persetujuan tersebut sudah pun dicapai di peringkat antarabangsa harus dibawa balik ke
negara masing-masing anggota untuk mendapatkan persetujuan dalaman negara pula.
Sebagai isu global dan serantau, MEAs adalah relevan apabila kegiatan dan tindakan
seterusnya di bincang untuk mendapatkan persetujuan dalam kalangan pihak
berkepentingan dalam negara supaya mereka boleh menggerakkan perkara yang sudah
dipersetujui itu dalam kegiatan sehariannya. Persetujuan yang tercapai dan tindakan susulan
yang diambil akan membantu usaha semua pihak merealisasikan pembangunan mampan di
Malaysia.

Buku ini meneliti bagaimana proses rundingan pembentukan dan penerimaan sesuatu
MEAs boleh mewujudkan kerjasama kesepakatan dengan berdasarkan kepada isu pokok
dalam Protokol Montreal dari pengalaman Malaysia di pentas global. Walaupun buku ini
memberi tumpuan kepada proses rundingan awal dalam kerjasama alam sekitar
antarabangsa semasa pembentukan dan penerimaan Protokol Montreal, buku ini juga
sedikit sebanyak mewakili gambaran keseluruhan proses rundingan dalam kerjasama alam
sekitar antarabangsa terhadap MEAs.

Bab-bab yang dimuatkan dalam buku ini merangkumi topik yang menarik seperti ulasan
mengenai inisiatif global untuk Perlindungan Alam Sekitar, peranan Perjanjian Alam Sekitar
pelbagai hala, penglibatan Malaysia dalam MEAs, penglibatan Malaysia dalam Protokol
Montreal, pengalaman Malaysia di pentas global berhubung MEAs dan penerangan
terperinci mengenai pengalaman Malaysia di pentas global berhubung isu-isu MEAs.

Antara topik yang menarik ialah respons dan penglibatan Malaysia dalam MEAs. Respons ke
atas MEAs boleh dilihat melalui komitmen Malaysia dalam pembentukan dasar dan
kerjasama antarabangsa mengenai alam sekitar, menerusi Rancangan Malaysia RMK6 dan
RMK8, dan melalui kerjasama serta penyertaan Malaysia dalam sekurang-kurangnya 20
kerjasama antara bangsa seperti Ramsar Convention, Montreal Convention, Convention on
Biological Biodiversity dan banyak lagi.

Dua bab yang menarik dan menonjol adalah Bab 5 dan Bab 6 yang masing-masing
memberi perincian mengenai penyertaan Malaysia dalam Montreal Convention atau
Protokol Montreal dan pengalaman Malaysia di pentas global yang mampu memberi input
utama dalam pelaksanaan kebanyakan perjanjian antarabangsa mengenai MEAs. Di bawah
Protokol Montreal sebagai contoh, Malaysia memberi input yang luas berhubung undang-
undang antarabangsa untuk pengurusan persekitaran. Malaysia telah di iktiraf oleh
masyarakat antarabangsa sebagai salah buah negara yang begitu komited dalam
pengurusan persekitaran global terutama sekali berkaitan dengan pemuliharaan lapisan
ozon global melalui Protokol Montreal. Ini telah digambarkan apabila Malaysia telah
memperoleh Anugerah UNEP Ozone Awards pada tahun 1997. Manakala, Protokol Montreal
pula, pada masa yang sama dianggap sebagai salah satu undang-undang antarabangsa
untuk pengurusan persekitaran yang berjaya. Protokol Montreal telah berjaya mendapat
kerjasama antarabangsa dengan melibatkan hampir semua negara di dunia dalam
menangani masalah penipisan lapisan ozon global.

Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Akta Kualiti Alam Sekeliling
1974 adalah asas pengurusan alam sekitar di Malaysia. Dasar-dasar tersebut menjadi
landasan Malaysia untuk dapat berunding di peringkat antarabangsa untuk perkara-perkara
berkaitan alam sekitar. Jabatan Alam Sekitar misalnya menguatkuasakan Akta Kualiti Alam
Sekitar, manakala Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
bertanggungjawab untuk dasar-dasar yang berkaitan dengan perubahan alam sekitar dan
iklim seperti Dasar Alam Sekitar Kebangsaan dan Dasar Perubahan Iklim Negara. Untuk
melaksanakan program-program alam sekitar atau projek-projek yang memberi manfaat
kepada persekitaran global secara berkesan. Malaysia telah berjaya memastikan bahawa
obligasi antarabangsa di pelbagai konvensyen alam sekitar antarabangsa dapat dilunaskan.
Dalam masa yang sama Malaysia secara berterusan memberi galakan supaya negara-negara
yang telah menandatangani konvensyen alam sekitar antarabangsa supaya menunaikan
tanggung jawab kewangan dengan menepati masa pembayaran dan memberi komitmen
secara berterusan.

Buku ini juga menyentuh mengenai salah satu langkah untuk menangani cabaran dalam
berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan alam sekitar melalui rundingan. Di
peringkat tempatan, kaedah rundingan secara lembut dan keras digunakan. Kedua-dua
bentuk rundingan ini dikatakan dapat mempengaruhi kerjasama perundingan antara pihak
berkepentingan dalam proses rundingan untuk melaksanakan perjanjian alam sekitar
antarabangsa termasuk Protokol Montreal di peringkat tempatan.
Ulasan Buku

Nama Guru : Amizahwati binti Misro


Tajuk: Industri Rumpai Laut Negara
Penulis: Rashilah Mohamad, Azhar Kassim, dan Nur Fazliana Md. Noh
Terbitan: Kuala Lu pur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Malaysia (MARDI), 2015.
Halaman : 44 Muka surat.

Ulasan:

Industri rumpai laut merupakan industri yang sedang membangun buat masa kini. Analisis
situasi semasa menunjukkan bahawa industri ini boleh dimajukan melalui pelbagai
penyelidikan untuk mengekalkan mutu yang tinggi.

Rumpai laut menghasilkan karaginin yang mempunyai permintaan dunia yang tinggi dan
masih belum dapat dipenuhi. Pada masa ini, Indonesia merupakan penyumbang utama
kepada permintaan pasaran global diikuti Filipina. Malaysia merupakan negara ketiga dan
membekalkan hanya 1% daripada permintaan tersebut pada tahun 2012. Namun begitu,
kedudukan Malaysia terutamanya di perairan persisiran timur laut Sabah amat bermanfaat
bagi pengkulturan rumpai laut terutamanya jenis Kappaphycus spp. yang menghasilkan
karaginin. Karaginin adalah koloid yang diekstrak sebagai agen pengampai dan penjernih
dalam pengawalan pertumbuhan hablur dalam konfeksi beku.

Penerbitan buku ini sangat bertepatan dengan perkembangan dan pembangunan industri
rumpai laut yang sering menjadi tanda tanya dan perbualan masyarakat di Malaysia
terutamanya dalam kalangan usahawan pemaju industri yang menggunakan atau berhasrat
ingin menggunakan rumpai laut dalam rangkaian pembuatan produk pengguna atau
produk makanan dan minuman terproses mereka. Penerbitan buku ini juga merupakan satu
usaha MARDI untuk membangunkan industri rumpai laut negara.

Antara isi kandungan buku ini adalah seperti kaedah penternakan yang lebih baik,
pembangunan piawaian, amalan baik penternakan rumpai laut, bekalan, permintaan &
penawaran dunia dan sebagainya.
Ulasan Buku

Nama Guru : Amizahwati binti Misro


Tajuk: Menjadi Calon Terpilih Semasa Temuduga
Penulis: Che Jamilah Mohamed
Terbitan: Kuala Lumpur: PBT Consultants Sdn. Bhd.
Halaman :157 muka surat.

Ulasan:

Kebanjiran graduan, tenaga kerja dan teknologi baharu menjadikan persaingan di dunia
pekerjaan semakin sengit. Walaupun melalui banyak kegagalan, ramai yang masih tidak
tahu di mana kesilapan mereka, lantas ramai di antara calon yang masih melakukan
kesilapan yang sama dalam setiap temu duga yang dihadiri.

Fitrah manusia adalah takut, gementar dan gemuruh menghadapi perkara baharu
khususnya perkara yang kita tidak tahu tentangnya. Lagi banyak kita tidak tahu tentang
sesuatu, semakin gementar dan tidak selesa kita menghadapinya. Lebih banyak yang kita
ketahui tentang sesuatu, lebih selesa dan yakin kita menghadapinya. Begitu juga dengan
sesi temu duga.

Senario ini telah mendorong penulis, menghasilkan buku Menjadi Calon Terpilih Semasa
Temuduga. Buku ini amat berfaedah kerana ia dapat memberi panduan kepada kita tentang
kaedah membuat persediaan mantap sebelum menghadapi temu duga, berjaya semasa
menghadapi temu duga dan menjadi calon terpilih semasa temu duga.

Buku ini dihasilkan dari pengalaman dan pengetahuan berpuluh Ketua-ketua Pegawai
Eksekutif (CEO), Ketua-ketua Jabatan dan penemuduga-penemuduga berpengalaman. Buku
ini juga padat dengan panduan dan kaedah-kaedah terkini yang praktikal hasil dari kaca
mata penemu duga berpengalaman yang telah memilih, melatih serta membimbing beribu
kakitangan dan puluhan syarikat-syarikat gergasi dari sektor swasta dan kerajaan. Buku ini
juga mengandungi panduan menjawab dan contoh jawapan kepada soalan-soalan lazim
dalam temu duga.
Ulasan Buku

Nama Guru : Amizahwati binti Misro


Tajuk: Pelaga Merak Air Yang Unik
Penulis: Zaki Ali
Terbitan: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 2014.
Halaman : 99 Muka Surat

Ulasan:

Ikan Pelaga adalah salah satu daripada ratusan ikan peliharaan yang mendapat tempat di
hati para penggemar ikan perhiasan. Ia merupakan sejenis ikan hiasan air tawar yang
terkenal kerana keunikan dan keindahan warna serta corak yang dimilikinya. Ikan ini
mempunyai bentuk serta karakter yang unik dan cenderung agresif dalam mempertahankan
wilayahnya. Selain itu, ikan ini juga tergolong dalam kategori ikan hiasan air tawar yang
tahan lasak dan mampu hidup dalam waktu serta kondisi yang cukup lama tanpa alat
bantuan pengudaraan.

Suatu ketika dulu, ikan ini amat popular kerana digunakan sebagai ikan laga, sama juga
seperti acara sabung ayam. Malah setiap pemilik mempunyai kaedah tersendiri bagi
memastikan ikan laga mereka berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan.
Seiring dengan perubahan masa, ikan perhiasan ini turut melalui pelbagai fasa perubahan.
Demi menghasilkan ikan pelaga yang lebih bermutu, cantik dan memukau, para penternak
telah menginovasi cara pembiakannya. Akibat daripada itu maka terhasillah ikan pelaga
jenis hibrid yang lebih berwarna-warni, unik dan sangat menarik sehingga digelar sebagai
merak air yang unik.

Secara ringkasnya, ikan pelaga ini dipelihara atas sebab yang pelbagai. Selain dijadikan
sebagai satu hobi dalam mengisi masa lapang, ia juga dipelihara bagi mengindahkan ruang
tamu rumah atau kolam. Terdapat juga penggemar yang memelihara ikan perhiasan ini bagi
tujuan terapi kesihatan.

Ini kerana keberkesanan terapi ikan ini telah diakui dapat menenangkan fikiran akibat
daripada tekanan pekerjaan dan sebagainya. Ringkasnya, terapi semula jadi ini jika
dilakukan di tempat yang tenang maka secara automatik ia akan merehatkan minda atau
badan yang keletihan dengan menyalurkan tenaga positif sehingga mampu menghilangkan
stres.

Manfaat lain yang boleh diperoleh hasil daripada pemeliharaan ikan perhiasan seperti
pelaga ialah dapat menjana pendapatan bagi meningkatkan ekonomi keluarga. Berdasarkan
kepada kajian, Malaysia mencatatkan kehadiran 25 spesies pelaga, yang berpotensi untuk
dikomersialkan kerana mempunyai kelebihan dari segi kecantikan, warna, keunikan sifat dan
jumlah anak yang dapat dihasilkan. Di samping itu, ia juga mempunyai pasaran yang meluas
di seluruh dunia seperti negara Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan
dan China.

Walau bagaimanapun, masyarakat harus mempunyai kesedaran tentang perlunya


konservasi terhadap khazanah semula yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada
generasi akan datang.

Pelaga Merak Air Yang Unik merupakan buku yang amat berguna kepada para pembaca
yang meminati ikan hiasan. Buku ini merupakan sebuah buku yang lengkap dengan
maklumat tentang ikan pelaga termasuklah proses pembiakan, jenis-jenis dan kaedah
penjagaannya.

Pada dasarnya, buku ini mengetengahkan enam bab utama berkaitan dengan ikan pelaga
seperti merak di air, jenis-jenis pelaga di Asia Tenggara, pengenalan kepada pelaga siam,
pembiakan, penyakit serta ekonomi dan pasaran.

Buku ini juga turut memuatkan pelbagai gambar ikan pelaga yang cantik dan boleh menjadi
terapi minda yang menyegarkan. Bagi memudahkan para pembaca memahami segala isu
yang dibincangkan, penulis juga turut menyertakan jadual–jadual yang mengandungi
pelbagai maklumat penting tentang ikan pelaga seperti pasaran ikan hiasan jenis pelaga,
kos dan analisis kewangan mengenai pemeliharaan ikan pelaga.

Secara tidak langsung, pembaca akan dapat mengenal dengan lebih dekat lagi beberapa
spesies pelaga tempatan dan pelaga siam yang kini giat dikomersialkan. Di samping itu,
pembaca juga turut didedahkan kepada teknik–teknik pembiakan ikan pelaga yang lebih
mudah dan praktikal

Buku ini juga turut mengupas pelbagai isu yang kerap dihadapi oleh para penternak
termasuklah faktor-faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan para penternak
mengalami kerugian dari segi tenaga, wang dan masa. Di samping itu juga, penulis turut
berkongsi langkah-langkah praktikal dalam menangani permasalahan yang bersangkutan
dengan penjagaan, pemakanan dan penyakit ikan pelaga.

Kesimpulannya, buku ini bukan sahaja sesuai dijadikan bahan bacaan di masa lapang
bahkan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan atau kajian oleh para pembaca, pelajar,
penternak dan pengkaji ikan hiasan, malah amat sesuai dijadikan bahan rujukan di sekolah–
sekolah ataupun di Institusi Pengajian Tinggi.

Anda mungkin juga menyukai