Anda di halaman 1dari 25

1

1.0

PENGENALAN Bidang falsafah merupakan bidang yang meliputi semua nilai kehidupan. Falsafah

iaitu satu disiplin ilmiah yang mengusahakan dan mencari kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah adalah berasal daripada perkataan Yunani iaitu philosophia yang membawa maksud cinta kepada hikmah. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1970) telah mendefinisikan bahawa falsafah membawa maksud pengetahuan tentang pengertianpengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar ilmu-ilmu lain. Manakala berfalsafah membawa maksud memikirkan secara mendalam tentang sesuatu perkara. Malahan menurut Prof Dr Khoo Kay Kim, falsafah membawa dua pengertian iaitu resepi untuk mendapatkan atau cara ideal untuk menjalankan kehidupan dan juga falsafah menampakkan dan difahamkan menurut beliau sebagai satu analisis yang mendalam. Kesan daripada perkembangan falsafah dunia ketika itu, ramai ahli falsafah dunia sama ada dari Barat, dari Timur iaitu ahli falsafah China dan India dan juga ahli falsafah Islam berlumba-lumba untuk memperluaskan pandangan falsafah mereka. Wujud pelbagai tafsiran falsafah untuk dijadikan pandangan dan pegangan hidup pentakrifannya. Dari segi kronologinya, ahli-ahli falsafah sentiasa menyuarakan ideologi mereka dari era kelahiran hinggalah era kegemilangan bidang falsafah. Falsafah Islam misalnya banyak di jadikan sebagai rujukan oleh pakar pengkaji Barat untuk dikaji, ditafsir dan dieksperimentasikan. Antara ahli falsafah Islam terunggul ketika itu seperti Ibn Rushd, Ibn Khaldun, Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Al-Razi, Abu Hamid Al Ghazali dan Abu Ali Husain ibn Abdullah ibn Hasan ibn Ali Sina atau dikenali sebagai Ibn Sina. Dalam mengkaji tokoh falsafah Islam, penyelidik menfokuskan kepada tokoh terbilang iaitu Ibn Sina sebagai tokoh kajian.

2.0

ASPEK KEHIDUPAN

2.1

Latar Belakang dan Riwayat Hidup

Abu Ali Husain ibn Abdullah ibn Hasan ibn Ali Sina terkenal sebagai Syeikh-ur-Rais ataupun dikenali sebagai Pengeran Para Guru. Kebanyakkan buku karyawan daripada Barat lebih mengenali beliau sebagai Avicenna ataupun digelar sebagai Ibnu Sina. Beliau merupakan seorang tokoh Falsafah, Fizik dan Saintis terkenal di Greek pada kurun ke-11. Nama Ibnu Sina ini diambil dariapda nama datuknya yang keempat. Ibnu Sina telah dilahirkan pada 370 Hijrah bersamaan 980M di sebuah Desa di Afshanah yang berdekatan dengan kota Kharmaitan di Bukhara (Turkistan). Ayahnya iaitu Abdullah berasal dari Balkh dan bekerja sebagai seorang Gabenor, manakala ibunya pula berbangsa Farsi tetapi dilahirkan di sebuah perkampungan di Afghanistan. Beliau mempunyai seorang adik iaitu Abul Harist. Sepanjang hidupnya, beliau telah melakukan tiga pekerjaan yang besar sepanjang hayatnya iaitu sebagai doktor, negarawan dan penulis. Beliau telah menjadi doktor di pelbagai tempat seperti di Bukhara, Rayy, Thabaristan, Hamadhan dan Isfahan. Sebagai negarawan pula, beliau melalui pelbagai pengalaman pahit seperti diburu, dipenjarakan dan menyembunyikan diri semata-mata kerana mahu melarikan diri daripada pihak pemerintah yang tidak adil.

2.2

Latar Belakang Pendidikan

Sebagai seorang yang bijak serta mempunyai kecekapan dan kemajuan yang luar biasa, beliau telah menghafal al-Quran dan pelbagai ilmu sastera (bahasa) sewaktu berusia sepuluh tahun, kedua-dua ilmu ini merupakan pelajaran yang paling awal diterimanya pada umur lima tahun. Beliau telah menghabiskan pelajarannya dalam masa 13 tahun meliputi seluruh

ilmu pengetahuan termasuklah ilmu yang berkaitan dengan agama, falsafah, politik dan perubatan. Beliau juga turut mempelajari ilmu-ilmu yang lain misalnya ilmu logik, geometrik dan astronomi daripada gurunya Abu Abdullah yang berasal daripada Natili dan merupakan sahabat karib ayahnya, Abu Abdullah merupakan ahli falsafah terkemuka pada zamannya. Ibnu Sina juga turut mempelajarai ilmu metafizik dan logik daripada karya al-Farabi. Semasa Ibnu Sina berusia sepuluh tahun, ayahnya telah membiayai pengajian beliau dalam bidang Falasafah secara mendalam. Beliau disuruh belajar daripada seorang saudagar rempah untuk mempelajari Ilmu Hitung India. Di samping, itu beliau turut mempelajari ilmu alam dan metafizik terutamanya daripada karya Plato dan Aristotle. Sebagai seorang yang mempunyai ketajaman akal fikiran, beliau hanya memerlukan 13 tahun sahaja untuk mempelajari ilmu agama hinggalah kepada ilmu perubatan. Walaupun telah menjadi ahli falsafah yang lengkap, namun beliau masih gagal memahami isi buku metafizik yang ditulis oleh Aristotle. Padahal beliau telah membaca sebanyak 40 kali. Lantaran tanpa mengenal erti jemu, beliau terus membaca dengan kesungguhan yang di luar kemampuan manusia biasa. Sebagai seorang yang taat beragama, beliau sentiasa memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah S.W.T, apabila tidak dapat menyelesaikan satu-satu masalah, di samping melakukan amalan-amalan dalam beragama.

2.3

Kelebihan dan Sifat-sifat Keperibadian

Ibnu Sina merupakan ahli falsafah yang memiliki akal yang cergas dan tekun di dalam mempelajari ilmu. Hal ini dapat dibuktikan kerana beliau sewaktu berusia 10 tahun sudah dapat menghafal Al-Quran dan ketika beliau berumur 18 tahun, beliau telah dilantik menjadi Doktor Di Raja. Beliau juga digelar oleh para pelajarnya sebagai Al-Sheikh Al-Rais yang bermaksud pemimpin di kalangan cerdik pandai. Beliau hanya memerlukan masa 13 tahun sahaja untuk mendalami dan mempelajari ilmu agama hinggalah ke ilmu perubatan. Beliau juga seorang yang tidak mengenal erti putus asa. Oleh kerana itu beliau berusaha bersungguh-sungguh mempelajari sesuatu ilmu dan menyelesaikan masalah yang

dihadapinya. Buktinya, walaupun beliau telah menjadi ahli falsafah yang lengkap, tetapi beliau masih gagal memahami isi buku metafizik yang telah ditulis oleh Aristotle. Padahal beliau sudah membacanya sebanyak 40 kali dan dengan kesungguhan yang diluar kemampuan manusia biasa. Sehingga suatu ketika, beliau menemui penyelesaian hasil daripada buku huraian singkat oleh Farabi yang dibeli dengan harga tiga dirham. Ibnu sina juga merupakan ahli falsafah yang kreatif, gigih, tabah dan tekun dalam menerokai dan menguasai pelbagai jenis ilmu khususnya ilmu perubatan. Dalam buku-buku beliau, terdapat teori-teori seperti teori anatomi dan fisiologi yang mengambarkan analogi makhluk Allah (manusia) terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar). Selain itu, di dalam buku-buku beliau turut menyatakan bahawa dunia kita terdapat 4 musim dan 12 bulan dalam setahun. Didalam buku karya beliau yang terulung iaitu Canon of Medicine ada menyatakan bahawa sistem pengaliran darah di dalam badan manusia adalah mengalir secara berterusan di dalam satu lingkaran dan tidak pernah berhenti. Berumur 18 tahun, beliau sudah menjadi seorang doktor apabila berjaya merawat dan menyembuhkan Sultan Nouh II bin Mansoor dari kerajaan Samaniyah di Bukhara pada tahun 976 M. Tidak dapat dinafikan lagi, tokoh falsafah ini merupakan seorang yang terkenal dan mahsyur dalam ilmu kedoktoran dan ahli falsafah Islam. Beliau telah diperakui sebagai Orang Besar Dunia kerana telah banyak memberi sumbangan di dalam bidang perubatan, negarawan dan juga sebagai pengarang. Walaupun dari aspek pengarangan, karya beliau tidak diterima oleh masyarakat pada masa itu, namun buku-buku tersebut telah menjadi sumber rujukan yang penting selepas zamannya berakhir sehinggalah kini. Karya-karya beliau banyak menyentuh mengenai ilmu yang didapati melalui hasil bacaan, pengalaman dan penyelidikan yang dilakukan.

2.4

Kewafatan

Ibnu Sina telah menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan Ramadan 428 H bersamaan dengan 1037 M ketika berusia 58 tahun. Ketika itu beliau sedang mengajar di sebuah sekolah

yang terletak di Hamadan, Iran. Punca kematian beliau disebabkan oleh penyakit kronik yang dihidapi oleh beliau.

3.0

IBNU SINA SEBAGAI AHLI FALSAFAH

Ibnu Sina menceburkan diri ketengah-tengah masyarakat, bukan sahaja sebagai manusia biasa, sarjana mahupun pemimpin malah beliau mengukur kemampuan dirinya sendiri, dan telah memilih pekerjaan yang sesuai dengan kelulusannya dan juga kepimpinannya untuk di sumbangkan kepada manusia sejagat. Pemilihan profesion yang tepat telah membuahkan hasil, dimana dunia mengakuinya sebagai orang besar dunia yang memberikan sumbangan dalam bidang perubatan, negarawan dan juga sebagai pengarang (Zainal, 1974). Semasa berusia 17 tahun, beliau telah menguasai bidang ilmu perubatan, dan kelulusannya telah diperakui. Beliau telah menerima undangan daripada kerajaan Samaniyah di Bukhara untuk merawat Sultan Nouh II bin Mansor (976 M 997 M) yang menghidapi penyakit yang pelik (Zainal, 1974). Kebijaksaan Ibnu Sina terserlah apabila beliau telah berjaya mengubati penyakit yang dihadapi baginda. Selepas itu, beliau telah mendapat penghormatan yang besar dan diberi hak yang istimewa untuk menggunakan perpustakaan di Raja. Di perpustakaan inilah beliau menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku untuk melengkapkan ilmu pengetahuannya terutama dalam ruang lingkup ilmu falsafah. Selain daripada itu juga, beliau telah menjadi seorang negarawan. Dengan pengalamannya sebagai doktor istana dan sentiasa bergaul dengan para pemimpin istana, beliau menjadi matang dalam bidang politik. Beliau juga mempunyai pengetahuan tentang politik daripada ayahnya sendiri dan pemahaman dari hal politik yang diperoleh sewaktu umurnya masih muda, daripada kaum Ismailiyah. Pada usia yang masih muda beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan pemerintahan, daripada jawatan pembesar daerah sehinggalah menjadi menteri dan juga penasihat (Zainal, 1974). Pekerjaan yang mendominasi sepanjang kehidupannya ialah sebagai pengarang. Beliau menggunakan keseluruhan masanya dengan mengarang tanpa mengira di mana beliau berada, dan dalam apa jua keadaan sekalipun. Beliau mempunyai pandangan yang jauh sewaktu mengarang. Walaupun karyanya tidak diterima masyarakat pada masa itu, namun

buku-buku tersebut telah menjadi sumber rujukan penting yang diterima ramai selepas zamannya sehingga kemasa kini. Beliau mula menulis atas desakan murid-muridnya pada ketika berusia 21 tahun. Beliau menulis berkenaan dengan segala ilmu yang didapatinya melalui pembacaan, pengalaman dan penyelidikan yang pernah dilakukan. Pengaruh Ibn Sina sebagai seorang ahli falsafah dan doktor perubatan dalam kebudayaan Eropah adalah amat meluas. Buku karangannya, Al-Qanun Fit Tibb (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid telah dianggap sebagai satu himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden telah banyak diperolehi daripada Ibn Sina sama ada dari segi penggunaan ubat, diagnosis mahupun pembedahan. Kenyataan ini dibuktikan pada tahun 1114M, beliau telah menterjemahkan bukubuku beliau ke dalam ke bahasa Latin pada abad ke-12. Buku ini menjadi sumber rujukan utama di universiti-universiti Eropah sehingga ke 1500M. Bukunya telah disalin atau dicetak sebanyak 16 kali; 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah lagi edisi dalam bahasa Yahudi(Hebrew). Manakala pada abad ke-16, buku ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Penulis-penulis Barat telah menganggap Ibn Sina sebagai bapa perubatan kerana beliau telah dapat menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen serta pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi di samping pengalaman beliau sendiri. Dari segi Tauhid (ketuhanan) pula, Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh falsafah Plato dan Aristotle seperti mana dihuraikan oleh Imam al-Ghazali di dalam bukunya "Tahafut alFalasifah" (Ketidaksinambungan Dalam Pemikiran Falsafah). Sumbangan umat Islam yang ketara dalam ilmu perubatan adalah dari segi pengalaman dan kebolehan mereka untuk merawat seseorang pesakit.

4.0

ALIRAN PEMIKIRAN IBNU SINA

Ibnu Sina sangat masyhur dalam bidang falsafah. Pemikiran beliau mempunyai pengaruh yang kuat baik di timur mahupun di barat. Selain itu, beliau turut masyhur sebagai seorang negarawan dan sarjana politik. Ibnu Sina telah menyumbangkan beberapa falsafah pemikirannya, terutama dalam Islam. Sehubungan dengan itu, Ibnu Sina telah memberikan perhatian yang khusus terhadap perbahasan kejiwaan. Semua ini dapat kita lihat daripada buku-buku khusus tentang kejiwaan atau berbagai persoalan tentang falsafah. Ibnu Sina mempunyai aliran pemikiran yang tersendiri. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Ibnu Sina percaya akan kekuasaan akal yang tidak terbatas. Dalam ilmu fizikal pula, ilmu Ibnu Sina sangat berbeza daripada Aristotle yang hanya mempercayai akan dinamiknya kekuatan. Ibnu Sina menggunakan banyak kaedah eksperimen dan lebih terpengaruh kepada perbahasan dalam lapangan kedoktoran. Falsafah Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh Peripatetic dan Neo Platoni tetapi konsepnya cukup tegas. Beliau membincangkan ajaran Aristotle sebagai orang sedarjat. Keaslian pemikiran Ibnu Sina menjadi petunjuk bagi pelapor dari teori-teori ilmu pengetahuan moden. Ibnu Sina mempunyai pemikiran yang baru, baik di dalam menafsir doktrin yang ditinggalkan oleh Aristotle mahupun penemuan-penemuan yang diperolehi sendiri. Namun beliau tetap meningkatkan falsafah kepada iman agama iaitu Islam. Permikiran terpenting yang dihasilkan oleh Ibnu Sina boleh dilihat dari aspek cabang falsafah epistemologi, logik dan metafizik seperti berikut:

4.1

Epistemologi

Epistemologi berasal dari bahasa Yunani kuno, (episteme) yang bermakna pengetahuan atau ilmu dan (logos) yang bererti kata, logik, akal, keterangan dan teori. Jesteru, epistemologi bermakna keterangan ataupun teori mengenai ilmu. Dengan perkataan lain, asas pembahasan dalam epistemologi adalah berkaitan dengan ilmu. Epistemologi ini

akan cuba menjawab mengenai proses atau cara mendapat ilmu, sumber-sumber ilmu dan klasifikasi ilmu, teori tentang kebenaran, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan falsafah ilmu. Ibnu Sina menjelaskan bahawa akal manusia selepas dilahirkan adalah seperti tabula rasa iaitu kertas kosong, kemudiannya berkeupayaan mempelajari serta mengetahui melalui pengalaman, pengujian serta pemerhatian pada dunia yang dilaluinya. Menurut Ibnu Sina, terdapat dua jenis falsafah, pertama, falsafah teori mencari kebenaran melalui pengetahuan. Tujuan falsafah ini adalah menyempurnakan jiwa melalui pengetahuan semata. Ia merupakan pengetahuan tentang hal-hal yang ada, bukan kerana pilihan dan tindakan kita. Falsafah kedua pula adalah falsafah amalan. Falsafah ini merupakan pengetahuan tentang kebaikan yang mana tujuannya adalah untuk menyempurnakan jiwa melalui pengetahuan tentang perkara yang seharusnya dilakukan sehingga jiwa bertindak sesuai dengan pengetahuan ini. Falsafah amalan merupakan pengetahuan tentang hal-hal yang ada berdasarkan pilihan dan tindakan seseorang individu (Nasr dan Learman, 1996). Menurut beliau juga, subjek pengetahuan teori memiliki dua jenis yang utama, iaitu subjek-subjek yang dapat bergerak seperti manusia dan kesepaduan, dan subjek-subjek yang tidak dapat bergerak seperti Tuhan dan intelek. Subjek yang bergerak pula dipecahkan kepada subjek yang tidak boleh wujud dengan tanpa adanya gerak dan yang boleh wujud tanpa bergerak. Dalam aspek lain, falsafah amalan mempelajari salah satu prinsip berikut:
1. Pinsip-prinsip yang berdasarkan urusan umum anggota masyarakat iaitu berkaitan

dengan pengurusan sesebuah negara yang lebih dikenali ilmu politik.


2. Prinsip-prinsip yang berdasarkan berbagai urusan peribadi di dalam masyarakat

iaitu pengurusan rumah tangga. 3. Pinsip-prinsip yang berdasarkan urusan-urusan individu ataupun disebut sebagai etika. Prinsip-prinsip falsafah amalan yang diperkenalkan oleh Ibnu Sina ini adalah berpandukan syariah Ilahi (Nasr dan Learman, 1996). Menurut beliau, manfaat dari pengurusan negeri adalah untuk mengetahui cara pentadbiran sesebuah negara yang baik

demi mewujudkan kesejahteraan bersama. Manakala faedah pengurusan rumah tangga adalah untuk mewujudkan sikap saling memahami diantara ahli rumahtangga. Manakala manfaat pengurusan individu pula adalah untuk mengetahui kebajikan-kebajikan dan cara memperolehinya supaya ia dapat memperbaiki jiwa dan untuk mengetahui perbuatanperbuatan jahat untuk menjahuinya supaya dapat membersihkan jiwa. (ibnu sina, 1954).

4.2

Logik

Ilmu logik adalah satu bidang falsafah yang mengkaji penakulan manusia dan ianya juga merupakan kunci falsafah yang mana menurut Ibnu Sina, pencarian keatasnya merupakan kunci kebahagiaan manusia. Ibn Sina mendefinisikan ilmu logik ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia daripada tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dalam erti kata lain, beliau juga menakrifkan logik sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir. Menurut Ibnu Sina, akal berperanan penting dalam mencari dan menuntut ilmu pengetahuan dan akal adalah merupakan sumber ilmu pengetahuan. Justeru, akal mempunyai peranan paling penting dalam membina pengetahuan. Beliau juga menyatakan bahawa akal merupakan jalan penting dalam mengenal Tuhan. Akal juga berperanan untuk mengkaji, meneliti seterusnya melahirkan idea-idea penting terutamanya berkaitan nilai atau etika. Pandangan Ibnu Sina mengenai akal ini seolah-olah lebih penting dalam usaha mengenal tuhan dan alam berbanding wahyu. Ibnu Sina dianggap mempunyai pandangan yang sama dengan muktazilah bahawa akal sudah mampu untuk mendapat jalan pengetahuan benar sekalipun wahyu tidak diutuskan. Pemikiran Ibnu Sina dalam ilmu logik banyak berkait dengan pendidikan. Menurut Ibnu Sina, ilmu terbahagi menjadi dua, iaitu ilmu yang tidak kekal dan ilmu yang kekal (hikmah). Ilmu yang kekal berperanan sebagai alat disebut logik. Berdasarkan tujuan tersebut, ilmu ini boleh dibahagi kepada dua iaitu ilmu praktis seperti ilmu alam, matematik, ilmu ketuhanan dan ilmu pekerjaan. Manakala ilmu teoritis pula adalah ilmu akhlak, ilmu pengurusan, rumah ilmu, pengurusan kota dan ilmu nabi (syariah).

10

Pemikiran pendidikan Ibnu Sina dianggap bersifat komprehensif. Ini kerana menurut beliau, pendidikan yang diberikan oleh nabi pada hakikatnya adalah pendidikan kemanusiaan. Menurutnya juga, tujuan pendidikan adalah untuk mencapai kebahagiaan (saadat) iaitu kebahagian yang dicapai secara berperingkat, sesuai dengan tingkat pendidikan yang dikemukakannya, iaitu kebahagiaan peribadi, kebahagiaan rumah tangga, kebahagiaan masyarakat, kebahagian manusia secara menyeluruh dan kebahagian akhir adalah kebahagian di akhirat. Oleh itu, kebahagian manusia secara menyeluruh menurut Ibnu Sina hanya akan dicapai melalui risalah kenabian. Jadi para nabilah yang membawa manusia mencapai kebahagian secara menyeluruh. Dalam pemikiran pendidikan Ibnu Sina, beliau telah menghuraikan psikologi pendidikan yang berkaitan hubungan anak dengan tingkatan usia, kemahuan dan bakat anak. Menurut beliau, bimbingan yang ingin disampaikan kepada anak akan terhasil sekiranya aspek seperti latar belakang tingkat perkembangan, bakat dan kemahuan anak dikaji terlebih dahulu. Ini kerana menurut Ibnu Sina, kecenderungan manusia untuk memilih pekerjaan yang berbeza adalah disebabkan oleh faktor dalaman manusia itu sendiri yang tersembunyi yang sukar difahami dan diukur kadarnya.

4.3

Metafizik

Ibn Sina telah membicarakan teori emanasi atau Al-Faid yang dikenali sebagai satu proses limpahan. Di peringkat awalnya teori ini adalah pengaruh daripada pemikiran falsafah neoplatonisme dan menjadi satu bidang perbahasan di kalangan ahli falsafah Islam. Antara yang terpengaruh dengan teori ini ialah al-Farabi yang menggunakan teori emanasi ini, al-Farabi cuba untuk menjawab persoalan mengenai kejadian alam secara rasional. Hal ini ada kaitannya dengan Ibnu Sina di mana beliau juga turut terpengaruh dengan pemikiran alFarabi, juga merupakan gurunya. Beliau juga cuba menggunakan teori ini dalam membahaskan tentang kewujudan tuhan dan alam. Dalam memahami proses emanasi ini, Ibnu Sina menggunakan teori al-Aqlu al-Asyarah.

11

Menurut Ibnu Sina akal yang tertinggi itu adalah tuhan yang mana memancarkan akal pertama. Hasil daripada taaqqul akal pertama sebagai wajib al-wujud maka terpancarlah akal yang kedua yang bertaaqqul sebagai wajib wujud li-gharihi lalu menghasilkan anNufus al - Awwal (jiwa) yang berperanan untuk mengerakkan langit yang terjauh maka keadaan ini disebut sebagai Mumkin al-Wujud Lizatihi. Seterusnya hasil daripada taaqqul akal kedua pula akan memancarkan akal yang ketiga lalu mewujudkan jiwa yang kedua yang berperanan mengerakkan falakul tsawabit maka terhasil planet musytari dan proses taaqqul ini akan berterusan sehingga sampai kepada akal yang kesepuluh dan terciptanya bumi. Maka dari akal yang kesepuluh ini disebut sebagai Akal Faal lalu terpancarlah segala yang ada di bumi dan jua segala yang terdapat dibawah sinaran bulan. (Parvis Morewedge 1973) Oleh yang demikian, dapat dikatakan di sini proses emanasi ini bermula daripada Tuhan sebagai wajib al-wujud. Bermula daripadanya, terhasillah mumkin al-wujud. Hal demikian kerana pada awalnya Tuhan itu bersifat Esa (tunggal) namun Ia hanya memancar dari zat yang Esa. Tambahan lagi, akal pertama iaitu tuhan memancarkan akal yang pertama yang bersifat wajib al-wujud yang kemudiannya wujud dalam tiga bentuk iaitu Akal, Jiwa, dan Falak (segala yang wujud antara langit dan bumi). Antara sebab berlakunya emanasi itu dalam tiga bentuk ianya disebabkan oleh: (Al-Sharastani 2006) i. Taaqqul akal terhadap penciptanya yang memancarkan zat akal yang lain. Akal-akal ini merupakan sebagai penggerak secara tidak langsung daripada jiwa (Qudrah). ii. Taaqqul akal terhadap zat-Nya sendiri sebagai wajib al-wujud. Hasil daripada taaqqul ini memancarkan jiwa yang darjatnya lebih rendah daripada akal dan jiwa ini juga berperanan sebagai penggerak secara langsung falak. iii. Taaqqul akal sebagai mumkin al-wujud yang ada pada zat Tuhan maka terjadilah alam semesta ini. Kemunculan atau limpahan kedua berlaku kerana akal pertama boleh memantul dua kali ganda ke atas alamnya.

Motif utamanya adalah untuk menggerakkan dunia, bukan sebagai pencipta. Jadi menurut pandangan Ibnu Sina ini, Tuhan sebagai wajib al-wujud itu adalah hanya sebagai

12

penggerak yang pertama bukan sebagai pencipta. Menurutnya lagi, akal ini tidak mampu untuk menggerakkan alam yang berjisim, oleh sebab itulah ada jiwa untuk menggerakkan alam ini. Selain itu, menurut Ibnu Sina akal-akal yang melahirkan jiwa-jiwa tersebut adalah malaikat Allah dan akal al-faal atau akal kesepuluh merupakan malaikat Jibril kerana alam berkait rapat dengan akal-akal malaikat hingga berhubung denganwajib al-wujud (Yuhanna Qamir 1968). Di samping itu, Ibnu Sina mengatakan bahawa setiap falak yang terjadi ialah limpahan jirim-jirim langit yang terdiri daripada empat elemen iaitu ringan dan berat. Bagi elemen yang ringan ianya akan cenderung untuk naik ke atas manakala bagi elemen yang berat pula ia cenderung untuk turun ke bawah. Seterusnya elemen pertengahan antara elemen yang ringan dan berat ini akan berada dalam keadaan stabil iaitu berada antara atas dan bawah. Inilah yang digambarkan sebagai kejadian alam iaitu merangkumi unsur air, api, tanah dan angin. (Al-Sharastani 2006) Di samping itu, Ibnu Sina turut menyatakan bahawa proses emanasi ini berlaku atas Tuhan redha dengan apa yang dilimpahkan olehNya. Sebagaimana yang diketahui, sesuatu zat tidak berjisim dan tidak berjirim serta segala entiti yang wujud adalah kerana Zat-Nya. Oleh itu, pencipta makhluk itu mustahil untuk berniat untuk mengqasadkan sesuatu tentang penciptaan-Nya seperti kejadian langit dan bumi dan segala yang ada diantara kedua-duanya. Justeru, setiap yang menjadi sebab (illat) bagi sesuatu yang lain adalah lebih sempurna dari kewujudan yang lain. (Al-Sharastani 2006)

5.0

PANDANGAN AHLI FALSAFAH TERHADAP ALIRAN PEMIKIRAN IBNU SINA

Pemikiran Ibnu Sina mempunyai pengaruh yang kuat baik di sebelah Timur mahupun sebelah Barat. Ini jelas dibuktikan dengan terdapatnya banyak ulasan yang dibuat, antaranya yang paling menonjol adalah Ibn Kammunah, al-Razi, Nashir al-Din al-Syirazi sebahagian daripada al-Syifa. Terdapat juga ahli pemikir Timur yang mencerminkan pemikiran Ibnu

13

Sina seperti al-Thusi, Suhrawardi, Quthb al-Din al-Syirazi, Mir Damad, Shadr al-Din, alSyirazi dan Ibn al-Ibri. Walaupun demikian, pemikiran beliau juga telah dikritik hebat oleh al-Ghazali dan alSyahrastani di Timur dan William dari Auvergne serta Thomas Aquinas dari Barat. Kritikan ini pada dasarnya menolak falsafah beliau tentang sifat dasar Tuhan, pengetahuan-Nya dan hubungan-Nya dengan dunia serta ketetapan jiwa. Dalam kitab Tahaful Al-Falasifah(1947), membicarakan dan mengkritik 20 persoalan falsafah dan yang terpenting adalah 10 hal yang meliputi ajaran falsfah Peripetatik dalam islam (Bakker Sy,1978 dan Nasution, 1973); 1. Tuhan tidak mempunyai sifat
2. Tuhan mempunyai unsur sederhana (Basita) dan tidak mempunyai hakikat

(Mahiyah). 3. Tuhan tidak mengetahui perincian (Juziyah) 4. Tuhan tidak dapat diberi sifat atau jenis.
5. Planet-planet adalah bintang yang bergerak mengikut kemahuan.

6. Jiwa planet-planet mengetahui semua perincian. 7. Hukum alam tidak berubah. 8. Tiada pembangkitan jasmani. 9. Alam tidak bermula. 10. Alam ini tidak kekal. Menurut Al-Ghazali tiga daripada 10 pendapat berikut dapat membawa kepada kekufuran iaitu (Al-Ghazali, Al-Munqridz, dan Nasution,1979) : 1. Alam adalah azali iaitu kekal dan tiada permulaan. 2. Tuhan hanya mengetahui perkara yang besar sahaja dan tidak mengetahui setiap perincian yang berlaku di alam ini. 3. Tiada pembangkitan jasmani, yang ada hanyalah perhimpunan roh.

14

Menurut Al-Ghazali, ketiga-tiga hal tersebut adalah menyimpang dari ajaran yang di anuti oleh umat islam dan sangat bertentangan dengan Nahs, sehingga kepada sesiapa yang berpegang kepada ketiga-tiga pendapat tersebut dianggap sebagai kafir (Yahya, 1996). Kritikan Al-Ghazali ini sebenarnya ditujukan kepada ahli falsafah muslim awal, khususnya Ibnu Sina. Sungguhpun begitu, kritikan tersebut tidak menghalang para pengkritik tersebut meminjam pemikiran beliau dalam pelbagai hal. Ini kerana, sebahagian besar logik dan terminologi Al-Ghazali adalah diambil daripada logik dan terminologi Ibnu Sina. Begitu juga dengan konsep pembedahan baik dan buruk yang diperkenalkan oleh Ibnu Sina dalam teodisi, juga diguna pakai oleh Aqinas dan Suarez.

6.0 SUMBANGAN IBNU SINA

6.1

Bidang Perubatan

Ibn Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam bidang perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatik "psychosomatic medicine". Beliau telah memperkembangkan ilmu diagnosi melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenalpasti (dalm masa beberapa detik sahaja) ketidakseimbangan humor yang berkenaan. Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih lagi dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afganistan dan Parsi yang mana mereka menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) telah melaporkan bahawa para hakim di Afganistan, China , India dan Parsi adalah sangat berkebolehan dalam menentukan penyakit melalui denyutan jantung. Kaedahnya bukan sahaja membilang denyutan di tempat yang dirasa tetapi mutunya yang pelbagai merangkumi

15

a. Kuat atau denyut yang lemah b. Masa antara denyutan


c. Kandungannya lembap (moisture content) diparas kulit berhampiran

denyutan itu dan lain-lain lagi. Oleh yang demikian, dari ukuran denyutan jantung (pulse measurement), seseorang hakim mungkin dapat mengetahui dengan tepat penyakit yang dihadapi dalam tubuh si pesakit. Ibn Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mengalami sakit jiwa disebabkan perpisahan dengan kekasihnya, beliau boleh mengetahui nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut: "Untuk menyebut namanya beberapa kali dan mengulanginya, jari hendaklah diletakkan di atas denyutan (pulse) dan apabila denyutan itu terrjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti, seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang demikian, nama jalan, rumah dan keluarga akan disebutkan. Selepas itu, kata Ibn Sina "jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya melainkan dengan menemukan sipesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah, maka buatlah". Selain itu Ibn Sina juga merupakan seorang doktor perubatan pertama yang mencatatkan bahawa penyakit paru-paru adalah (pulmonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh berjangkit (contagious). Di samping itu beliau turut menceritakan dengan tepat tanda-tanda (symptoms) penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang timbul darinya. Beliau amat berminat dalam bidang yang berkaitan dengan kesan akal ke atas jasad serta telah banyak menulis mengenai gangguan psikologi. Di dalam buku awalnya yang bertajuk "Al-Qanun fit Tibb" (Peraturan Perubatan) yang mengandungi 14 jilid, Ibn Sina pernah berkata bahawa, perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh badan manusia. Tugas doktor ialah untuk pemulihan atau penjagaan keadaan keseimbangan yang disebut kesihatan, yakni tugas doktor

16

adalah pemulihan dan penjagaan kesihatan. Selaras dengan patologi unsur-unsur Hiprocates (Yunani), Ibnu Sina menganggap bahawa tubuh badan manusia mengandungi empat unsur iaitu: 1. darah 2. lendir 3. hempudu kuning 4. hempudu hitam Dunia alam dibahagikan kepada empat unsur juga iaitu: 1. api (darah) 2. udara (hempudu kuning) 3. air (lendir) 4. tanah (hempudu hitam) Setiap unsur badan mempunyai dua sifat berikut: darah-panas dan lembap, lendirdingin dan lembap, hempudu kuning-panas dan kering, hempudu hitam-dingin dan kering. Campuran keempat-empat unsur tersebut yang akan menentukan keadaan kesihatan. Sekiranya seimbang maka sihatlah badan dan sebaliknya.Setiap individu mempunyai campuran humor berkenaan di mana ia amat unik seperti uniknya organ-organ dan temperamen individu seseorang itu. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa dalam setahun terdapat empat musim dan 12 bulan. Oleh yang demikian, manusia mempunyai anggota badan yang lengkap dan 12 tulang sendi. Beliau menyatakan bahawa hati adalah pangeran bagi tubuh manusia. Pangeran merupakan panggilan khusus untuk anak-anak raja dan pembesar. Disini, dapat dilihat bahawa hati merupakan elemen amat penting dalam badan manusia. Beliau turut menyifatkan paru-paru manusia seperti menteri, leher sebagai jendelabadan dan empedu sebagai markas pusat manusia. Disamping itu, beliau juga menerapkan tentang usus sebagai sistem komunikasi dan pembuangan. Kenyataan ini membawa maksud, usus memainkan peranan yang amat penting dalam system perkumuhan manusia, di mana segala yang tidak diperlukan oleh badan akan disingkirkan.

17

Tindakbalas seseorang terhadap stimulan eksternal yang sama adalah tidak serupa. Tenaga badan yang akan mempertahankan dan memperbaiki keseimbangan serta menentukan kesihatan badan seseorang. Ubat membantu pesakit tetapi badan sendiri yang akan melakukan proses ke arah kesihatan manakala tabii pula yang akan memulihkan sesuatu penyakit (Nature Cures not the medicine).Keadaan tubuh atau temperamen setiap individu akan menentukan bahan makanan yang bermanfaat baginya. Selain itu Ibn Sina turut mencatatkan bahawa penyakit adalah disebabkan umur, jantina, pekerjaan, tempat kediaman, cuaca dan musim, makanan dan minuman, udara dan air, serta aktiviti fizikal dan mental. Ini bererti cara perubatan Ibn Sina adalah merangkumi bahan makanan, udara, aktiviti fizikal dan mental, rehat dan sebagainya. Selain itu pada jilid kedua di dalam buku yang sama "Al-Qanun fit Tibb" Ibn Sina ada menulis mengenai kajiannya terhadap tumbuh-tumbuhan. Beliau telah membahagikan sesi pertama jilid ini kepada enam bab iaitu pengenalan campuran ubat dadah melalui percubaan dan kias. Manakala di bahagian kedua ia mengandungi beberapa lukisan dan peraturan. Bagi setiap tumbuhan ini beliau akan menceritakan mengenai bentuk dan sifatnya dengan tepat serta membandingkannya antara satu sama lain di samping memberikan petikan-petikan berkenaan dengan tumbuhan tersebut daripada ahli sains purba seperti Dioscorides dan Galen. Selepas itu beliau akan membuat ujian bagi setiap tumbuhan sama ada dari segi tabii ataupun sifatnya. Seterusnya Ibn Sina turut membuat kajian mengenai pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, tanaman bunga, kulat (fungi), rumpai-rumpai (algae) dan mengambil berat mengenai pelbagai jenis tumbuhan dari spesis yang berlainan bagi setiap genus. Beliau juga membuat catatan berkenaan dengan tumbuhan yang sama dan tidak sama serta membincangkan mengenai kediaman asli (habitat) bagi setiap tumbuhan, di samping tanah yang sesuai bagi tumbuhan berkenaan sama ada bergaram atau tidak. Selain itu beliau ada menceritakan mengenai warna-warna bunga dan buah-buahan, sama ada keras atau kering; daunnya yang lebar atau sempit; bergigi atau kesemuanya bertepi. Bahagian yang terbaik baginya ialah senarai tumbuh-tumbuhan di mana beliau telah memberi pelbagai nama bagi setiap tumbuhan

18

6.2

Bidang Politik Dan Agama

Menurut Ibn Sina, perbincangan tentang politik tidak dapat dipisahkan daripada agama, kerana hampir kesemua cabang ilmu Islam ada hubungan dengan politik. Sebagai contoh, bukunya bernama Al-Mabda Wa Al-Maaad yang mengulas tentang bermula dengan berakhirnya dunia ini di samping kupasan tentang ilmu fiqah atau hukum ibadat dan lain-lain. Sekalipun diakui bahawa tidak banyak buku politik karangan Ibn Sina, namun penjelasan beliau mengenainya cukup untuk menyusun suatu teori dalam ilmu politik. Antara karya beliau dalam bidang ini ialah: i) Al-Syifaa yang membicarakan awal dan akhir dunia menetapkan nubuwah dan cara-cara dakwah nabi, ibadat dan faedahnya di dunia dan di akhirat, peraturan membentuk rumah tangga, khalifah atau imam dan kewajipan taat kepadanya serta mengenai muamalat dan akhlak. ii) iii) Risalah Al-Siyasah yang secara khusus membicarakan ilmu politik. Al-Arzaq yang membicarakan pembahagian ekonomi secara umum sama ada pendapatan individu dan negara.

6.3

Bidang Geografi

Ibnu Sina juga merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan

19

beliau telah membuktikan kemampuannya dalam mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu, yang gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Aristotles.

6.4

Bidang Geologi dan Kimia

Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi dan kimia memang tidak dapat disangsikan lagi. Menurut A.M.A Shushtery, karangan Ibnu Sina mengenai ilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Beliau juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanafaat dalam bidang kimia. Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain. Setiap logam terdiri dari pelbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu Hayyan Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya adalah seperti berikut: i. ii. iii. iv. v. vi. Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional. Bidang metafizika , Ilahiyyat (Ilmu ketuhanan) Bidang psikologi , Kitab an-Nayat (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa. Bidang sastera arab Risalah fi Asab Huduts al-Huruf ,risalah tentang sebabsebab terjadinya huruf. Bidang syair dan prosa Al-Qasidah al- Aniyyah syair-syair tentang jiwa manusia. Bidang politik Risalah as-Siyasah (Book on Politics) Buku tentang politik.

20

Menerusi karyanya dalam bidang agama, Ibn Sina sering menghubunginya dengan bidang politik. Sebahagian besar karyanya dalam bidang agama telah hilang, namun banyak perbahasan beliau terdapat dalam beberapa karyanya yang lain.

7.0

HASIL KARYA IBNU SINA

Daripada maklumat yang diperolehi, Ibn Sina telah menghasilkan sebanyak 250 buah karya yang masih kekal sehingga ke hari ini, termasuklah 116 buah karya dalam bidang ilmu perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan terdapat juga yang ditulis dalam bahasa Parsi. "Al-Qanun fit Tibb" merupakan karyanya yang termasyhur dan kerap kali dicetak di Eropah pada zaman Renaisans dan telah menjadi bahan rujukan yang utama di Universiti-universiti Eropah sehingga abad ke 17. Ibnu Sina mula mengarang pada usia yang cukup muda iaitu sewaktu berusia 21 tahun di Bukhara. Beliau menulis atas desakan seorang murid yang selalu mendampinginya bernama Abul Hussein el Arudi. Permintaan tersebut ditunaikannya dan lahirlah karyanya yang pertama iaitu sebuah buku berjudul Al Majmu (Compendium). Buku ini berkenaan dengan ilmu dan seni syair. Selain itu juga, buku Al-Birru Wal Ithmu (baik dan dosa) telah berjaya dihasilkan. Terdapat dua karya yang paling terkenal yang ditulis oleh Ibnu Sina. Karya yang dimaksudkan ialah As-syifa dan Al Qanun Fi Al Tibb. (As Syifa buku tentang penyembuhan) berkenaan ilmu falsafah dengan semua bidang yang berkaitan. Ia meliputi segala bidang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu politik. Buku ini turut membincangkan dengan panjang lebar tentang proses pembentukan dan keterangan logam dan mineral serta pengelasannya. Selain itu, As Syifa turut membicarakan tentang kajian tentang halaju dan cahaya. Turut dibincangkan ialah bab berkenaan dengan teori kenabian dan hal-hal ghaib. Bidang seperti zoology, botani dan geologi juga menjadi tumpuan perbincangan dalam buku As Syifa.

21

Al Qanun Fi Al Tibb ataupun dikenali sebagai ensiklopedia perubatan turut menaikkan nama Ibnu Sina. Buku tersebut telah dijadikan buku teks kedoktoran di berbagai universiti di Negara Perancis, sebagai contoh pada abad ke 17 Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Lovin telah menggunakan buku tersebut sebagai rujukan. Menerusi karya ini, beliau membicarakan tentang bidang biologi yang meliputi ilmu botani. Walaupun tentang ilmu botani hanya sebahagian kecil tetapi ia menghuraikan tentang tumbuhtumbuhan, ubat-ubatan di samping ilmu perubatan umum, ubat-ubat sederhana dan penyakitpenyakit yang mempengaruhi semua bahagian badan dari kepala hingga ke kaki. Beliau turut mengarang Al Magast iaitu berkenaan etika, kitab An-Najat, Namai Alai, kitab Al Insaf dan Isharaat (perintah-perintah). Selain daripada itu, terdapat juga pembahagian ilmu iaitu muzik dan definisinya serta karya-karya sastera. Beliau turut menulis puisi. Beliau juga memberi sumbangan yang mengagumkan dalam bidang mekanik dan telah memberi beberapa saranan tentang prinsip inersia yang terkandung dalam kata-katanya yang berbunyi tidak ada jasad yang mula bergerak atau berhenti sendiri; masa tidak boleh dibayangkan tanpa pergerakan; daya hanya boleh disukat dalam sebutan kesan-kesannya (Shaharil, 1985). Ibnu Sina juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pada usia 21 tahun, ketika berada di Khawarizm, beliau mula menulis karyanya yang pertama yang berjudul AlMajmu yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan yang lengkap. Kemudian beliau telah melanjutkan penulisannya dengan menulis buku-buku lain iaitu 116 karya dalam pelbagai bidang seperti falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi dan sains politik. Karya-karya beliau telah dihimpun oleh Domonican Institute for Oriental Studies di Kaherah, Mesir. Dalam pada itu, karya-karya beliau telah diterjemahkan ke bahasa Arab pada tahun 1950 oleh Liga Arab dan diberi tajuk Muallafat Ibnu Sina. Jasa Ibn Sina dalam bidang perubatan dan keilmuan amat dihargai sehingga sebuah institusi pendidikan di Hungary dinamakan sebagai Avicenna College. Dalam bidang ilmu Tauhid (ketuhanan), Ibn Sina terpengaruh denhan falsafah Plato dan Aristotle sebagaimana dihuraikan oleh imam Al-Ghazali dalam karyanya yang berjudul Tahaful Al-Falasifah (Ketidaksinambungan Dalam Pemikiran Filasuf). Beliau

22

dapat menguasai ilmu ini setelah mempelajarinya daripada Aristotle dengan dibantu oleh buku karangan Al-Farabi tentang falsafah. Di samping buku-buku kedoktoran, Ibn Suna juga terkenal dalam menyumbangkan buku dalam bidang falsafah. Karya beliau yang terkenal mengenainya ialah Al-Syifaa yang memuatkan segala cabang ilmu falsafah. Buku ini mempunyai 18 jilid semuanya. Ia merupakan satu ensiklopedia falsafah yang memuatkan ilmu metafizik, fizik, psikologi dan lain-lain. Karya ini juga dinamakan Kitab Al-Najat.Antara bukunya yang lain ialah Kitab AlIsyarat wa Al-Tanbihat. Buku ini mengulas tentang bimbingan dan peringatan, di samping memperkatakan prinsip ketuhanan dan keagamaan. Beliau telah menghasilkan Kitab Al-Insaf, iaitu mengenai proses keinsafan yang berasal daripada bukunya Hikmat Al-Masriqiyy iaitu kupasan tentang falsafah Timur. Sebuah lagi karya Ibn Sina dalam bidang falsafah ini ialah Kitab Al-Hudud, iaitu sebuah karya yang membicarakan pelbagai kesimpulan dan rumusan berhubung dengan istilah atau pengertian yang digunakan dalam ilmu falsafah.

8.0

PENUTUP

Kesimpulannya, pemikiran falsafah yang dibincangkan menggabungkan suatu idealisme kesejagatan persepsi tentang perkembangan kehidupan manusia. Antara tamadun Islam dan tamadun Barat tidak terdapat perbezaan dalam menentukan bahawa tamadun adalah pencapaian, perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh kelompok-kelompok manusia. Yang berbeza antara kedua falsafah ini ialah persepsi tentang aspek yang perlu ditekankan oleh tamadun, serta asas, sumber dan matlamat yang di bawa oleh tamadun di sebalik pencapaian tersebut. Islam juga amat mementingkan ilmu pengetahuan dalam kehidupan umatnya. Ilmu tersebut bukan hanya berkaitan dengan soal akhirat, tetapi juga merangkumi hal-hal keduniaan. Ternyata masyarakat Islam menguasai pelbagai jenis Ilmu pengetahuan termasuklah Ilmu Fardu Ain dan Ilmu Fardu Kifayah. Tamadun Islam berjaya melahirkan

23

tokoh Ilmuan terkemuka di dunia termasuklah Ibnu Sina, al-Farabi, al-Khawarizmi, Jabir ibni Hayyan, al-Jahiz, al-Haitham, ibnu al-Baitar dan ramai lagi. Secara ringkasnya, Ibnu Sina (980-1037) ataupun Avicenna merupakan orang pertama yang menjelaskan mengenai penyakit radang selaput otak atau meningitis. Sumbangan beliau yang besar adalah buku beliau yang bernama al-Qanun. Buku ini adalah sebuah ensiklopedia perubatan yang mengandungi lebih daripada sejuta perkataan dan ia terjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gerard dari Cremona pada abad kedua belas dan menjadi buku teks di sekolah-sekolah perubatan di Eropah dari abad ke-12 sehingga abad ke17. Seorang tokoh perubatan di abad ke-20, Dr Willliam Osler, pengarang buku Evolution of Modern Science berkata, The Qanun has remained a medical bible for a longer period than any other work. Ia bermaksud Qanun menjadi buku rujukan utama dalam bidang perubatan lebih lama daripada buku-buku lain. Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam juga tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (AlFarabi).

24

RUJUKAN

Al-Ahwani, Ahmad Fuad. Ibn Sina. Dar al-Maarif, al-Qahirah. Amroeni D., (2005). Suhrawardi: Kritik Falsafah Peripatetik. Edisi Pertama. Yogyarkata: LKis Pelangi Aksara. Azreen A., (2007). Kerjaya Sebagai Seorang Perubatan. Edisi Pertama. Perpustakaan Negara Malaysia: PTS Professional Publishing. Baharudin Yatim & Sulaiman Nordin. 1997. Sains Menurut Perspektif Islam: Pusat pengajian umum UKM, Bangi. Baharudin Yatim & Sulaiman Nordin. 1997. Islam Al-Quran dan Ideologi Masa Kini: Pusat Pengajian Umum UKM, Bangi Dr Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, 2009. PTSMilennia Sdn Bhd. H. Zainal Abidin Ahmad. 1974. Ibnu Sina . Bulan Bintang Jakarta. Kamus Dewan Edisi ke empat, Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007.

25

Mulyadhi K., (2007). Nalar Religius: Memahami Tuhan, Alam & Manusia. Edisi Pertama. Jakarta: Erlangga Publications. Nasr, S.H (1976.). Islamic Science. London: World of Islamic Festival Publishing Company. Qumary, Yuhanna.( 1968) Ibn Sina. Dar al-Sharq, Beirut.

Anda mungkin juga menyukai