Anda di halaman 1dari 10

21ST CENTURY KNOWLEDGE AND SKILLS IN EDUCATOR PREPARATION

PERSEDIAAN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN GURU ABAD KE‐21

Juliana.Osong
Jabatan PIPK, IPGK Gaya, Kota Kinabalu Sabah
Tel: +60198301160 E‐mail: alyssamichelle_simon98@hotmail.com

Norafidah.Noralidin
Jabatan PIPK, IPGK Gaya, Kota Kinabalu Sabah
Tel: +60198117234 E‐mail: nnfiee@yahoo.com.my

ABSTRAK

Tujuan kertas ini adalah untuk mewujudkan asas bagi dialog yang berterusan dalam
kalangan tenaga pengajar di IPG mengenai isu bagaimana pengetahuan dan kemahiran abad
ke‐21 diterapkan dalam struktur program persediaan guru dan menjadi garis panduan
penyediaan sumber pendidikan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk menyokong
program pendidikan. Kertas ini bertujuan untuk mengupas isu berkaitan (1) Pelajar hari ini
dan cara pelajar belajar, (2) Tuntutan abad ke‐21 terhadap guru, sekolah, dan Sistem
Pendidikan, (3) Persediaan pengetahuan dan kemahiran yang perlu ada pada guru untuk
menangani pelajar semasa, (4) Cabaran abad ke‐21 dan bagaimana menghadapi tuntutan
abad ke‐21. Kertas kerja ini juga membincangkan isu‐isu yang berkaitan dengan pengajaran
dan penilaian kemahiran abad ke‐21 dan kompentensi guru‐guru di negara‐negara OECD.
Perbincangan mengenai program latihan guru di Malaysia yang mensasarkan pengajaran
dan latihan kemahiran abad ke‐21 serta implikasi penemuan kajian lepas yang berkaitan
dengan peranan TMK dalam pembangunan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan guru.
Kertas ini juga penting dalam usaha untuk menyedarkan dan menggalakkan pihak
berkepentingan memasukkan pengetahuan dan kemahiran abad ke‐21 secara rasmi ke
dalam program persediaan guru.

Kata kunci: Pengetahuan guru, Kemahiran guru, Abad ke‐21, Masyarakat berilmu, Pihak
berkepentingan.

PENGENALAN

Dalam usaha menjadikan sesebuah negara berdaya saing dengan negara‐negara lain di dunia
dan mencapai hasrat dan harapan negara berkenaan untuk mengadakan pendidikan
berkualiti yang sama kepada semua warganya, negara tersebut perlu mengenal pasti,
mengambil, melatih, terus mempelajari, menghargai dan memberikan ganjaran kepada
generasi baru guru yang berbakat dan berkemahiran. Hari ini, para guru dituntut untuk
meningkatkan pengetahuan akademik dan kemahiran mereka secara signifikan, di samping
melaksanakan pengajaran bagi memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai terutamanya
bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam abad ke‐21. Sehubungan dengan itu, kerajaan
Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah melaksanakan perubahan
besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan semasa dengan mengambil langkah
menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Pelan ini menyediakan
kerangka pembangunan yang menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem
pendidikan secara pantas dan mapan sehingga tahun 2025 (KPM, 2013).

Transformasi pendidikan negara bermatlamat untuk melengkapkan setiap murid di


negara kita dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut
peluang dan menangani cabaran abad ke‐21. Dalam usaha kita untuk bersaing dengan
negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda
yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran
kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat
global. Bagaimanapun sistem pendidikan Malaysia telah digubal berdasarkan acuan sendiri.
Nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warga negara diterapkan, agar generasi muda
Malaysia dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga, dan negara, serta
berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran masa depan (KPM, 2013). Persoalannya
adakah kita telah menyediakan guru kita secukupnya untuk memenangi pertempuran dan
kehendak pekerjaan di abad ke‐21 ini?

Untuk bersedia di abad ke‐21, pelajar perlu belajar melebihi tahap menguasai
(master) isi kandungan dalam mata pelajaran utama, dan menguasai kemahiran berfikir
secara kritikal, kemahiran berkomunikasi, berkolaborasi dan literasi teknologi. KPM percaya
guru baharu perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan kemahiran abad ke‐21 dan
mempelajari cara untuk mengintegrasinya dalam amalan di bilik darjah. Perkara ini bagi
membolehkan negara melahirkan generasi muda yang memenuhi tuntutan ekonomi global,
selain menjadi warganegara yang menjadi ahli masyarakat yang mampu melaksanakan
peranan dan tanggungjawab mereka dengan cergas (Ananiadou & M. Claro, 2009; Duncan,
2009; AACTE, 2010).

Kertas ini merupakan satu langkah untuk mewujudkan asas untuk dialog yang
berterusan dalam kalangan tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru mengenai isu
bagaimana pengetahuan dan kemahiran abad ke‐21 diselitkan dalam persediaan guru dan
menjadi garis panduan penyediaan sumber pendidikan dan perkhidmatan yang perlu untuk
menyokong program pendidikan. Kertas ini juga penting dalam usaha untuk menyedarkan
dan menggalakkan pihak berkepentingan memasukkan pengetahuan dan kemahiran abad
ke‐21 secara rasmi ke dalam program persediaan guru. Kertas ini mengambil kira konteks
dan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru di abad ke‐21 dan mencadangkan pelaburan
untuk mengekalkan intelektual dan emosi diri yang merupakan kunci kepada kejayaan
pendidikan di sekolah selaras dengan perubahan masa. Dalam fasa kajian selanjutnya, kami
berharap dapat memberikan input yang lebih meluas dari maklum balas kesediaan para guru
praperkhidmatan dan dalam latihan untuk menyokong pelaksanaan usaha ini dalam
kalangan pensyarah di Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.

KAJIAN LITERATUR

Abad ke‐21 are roaming the world dan dunia ini memiliki warga yang dikenali sebagai digital
natives yang juga dikenali sebagai masyarakat berilmu. Digital native ini menghabiskan
lebih banyak masa di dunia maya daripada belajar dengan guru di sekolah. Masyarakat ini
muncul dengan kewujudan teknologi komunikasi maklumat yang boleh didapati dalam
kebanyakan situasi (ubiquitous). Persoalannya, Apakah bentuk pendidikan yang perlu ada
untuk memenuhi kehendak masyarakat berkenaan? dan bagaimana harus profesionalisme
pendidikan berubah? Untuk menjawab soalan ini seorang perlu faham tentang tuntutan
masyarakat berilmu ke atas warganya dan tentang pekerja berilmu. Inovasi yang berterusan
dalam semua aspek merupakan karakteristik masyarakat berilmu. Hal ini meletakkan tiga
tuntutan ke atas warga dan pekerja iaitu lifelong learning, knowledge development dan
knowledge sharing (Andrew J. Rotherham & Daniel Willingham, 2009; Christopher Day,
2010).

Dalam masyarakat berilmu, pembelajaran menjadi satu proses yang berterusan iaitu
sepanjang hayat. Dalam kebanyakan kes pembelajaran, perkara ini melibatkan
pembangunan pengetahuan dalam konteks profesional (kehidupan seharian) kerana
pengetahuan baharu diperlukan untuk menangani inovasi. Implikasinya adalah
pendemokrasian pembangunan pengetahuan (penyelidikan) dan perubahan peranan
pengetahuan ke arah pengetahuan yang lebih preskriptif. Masyarakat berilmu menuntut
pertambahan pengetahuan melalui perkongsian pengetahuan tersebut. Perkongsian
pengetahuan dipermudahkan dengan kewujudan komuniti yang sentiasa mahu mencari
jawapan kepada persoalan yang timbul (penyelidikan, amalan, minat, perbincangan), yang
boleh menyokong pertukaran dan pembangunan pengetahuan seterusnya (Tom J. Van
Weert, 2006; Miller, 2009; OECD, 2011).

Pelajar dan Cara belajar pelajar di Abad ke‐21

Abad ke‐21 dikenal pasti sebagai abad yang diwarnai dengan pengetahuan yang memacu
ekonomi (knowledge‐driven economies), perubahan informasi yang pantas dan teknologi
komunikasi yang bergerak cepat menjadikan dunia pendidikan tidak tetap (votile), tidak
pasti (uncertain), rumit (complex) dan kabur (ambiguos) (VUCA) telah mencipta tuntutan
baru dalam sistem pendidikan secara sejagat.

Lanskap pendidikan abad ke‐21, mesti memberikan fokus kepada pemupukan


potensi keseluruhan kanak‐kanak (moral, intelek, fizikal, sosial dan estitika). Pelajar perlu
mendapatkan pengetahuan baru, kemahiran dan amalan untuk memastikan kelangsungan
dan kejayaan hidup sebagai individu, ahli masyarakat, dan warganegara Malaysia. Pelajar di
sekolah hari ini bukan setakat celik komputer tetapi ramai pelajar yang mahir dalam
komputer kerana didedahkan kepada teknologi berkenaan sejak kecil lagi. Bagaimana pun
pelajar hari ini memerlukan perhatian yang lebih personal, sentiasa mahu berhubung secara
sosial dengan rakan dan masyarakat, suka kepada perkara yang kurang struktur dan belajar
melalui makna dan relevan (Pang, 2005; NIE, 2009; Thang, Murugaiah, Lee, Azman, Tan, &
Lee, 2010; Lim, Ching, & Churchill, 2010)

Dalam usaha untuk mencapai kehendak abad ke‐21, Malaysia perlu membangunkan
guru yang mampu melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang lebih besar kerana
mereka merupakan barisan hadapan dalam mendidik generasi muda kita. Hari ini,
kenyataan bahawa kualiti guru merupakan kuasa penentu kepada kualiti pendidikan telah
diterima secara sejagat. Sehubungan dengan itu, dalam usaha kita mengangkat naik
standard anak‐anak kita, maka guru‐guru abad ke‐21 juga perlu nilai yang betul,
pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pelaksana yang berkesan serta mampu
membawa hasil pendidikan yang dihasratkan (NIE, 2009).

Abad ke‐21 turut membawa tuntutan yang lebih besar kepada negara untuk
melahirkan guru‐guru yang berkualiti, namun laluan dihadapan bukanlah satu laluan yang
mudah dalam usaha untuk melahirkan generasi guru yang berkualiti. Kerajaan Malaysia
melalui KPM telah mengambil langkah yang besar dalam usaha untuk mencapai sasaran
mengadakan guru berijazah di sekolah rendah dan menengah; merapatkan jurang digital;
mengintegrasikan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran; merangka strategi
program pembangunan guru; dalam usaha untuk memenuhi aspirasi pendidikan yang
ditakrifkan oleh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), membangunkan kepimpinan
yang inovatif dan meningkat kemahiran dan penguasaan Bahasa Inggeris (KPM, 2013).

Tuntutan Abad ke‐21 Terhadap Guru, Sekolah dan Sistem Pendidikan

Peranan sekolah menjadi lebih berat apabila masyarakat berilmu menuntut sekolah untuk
mampu membangunkan warganegara yang bertanggungjawab, terlibat secara aktif dalam
pendidikan untuk pembangunan kendiri (self‐improvement) dan dapat menyediakan
generasi muda untuk dunia pekerjaan masa hadapan. Persoalannya bagaimana kita boleh
menyediakan generasi muda kita untuk masa hadapan; apakah kemahiran yang
membolehkan seseorang itu mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan serta jenis
pekerjaan pada masa hadapan? Apakah persediaan pengetahuan dan kemahiran yang perlu
ada pada guru untuk menangani pelajar semasa?

Implikasi Kepada Sekolah

Peranan yang dipertanggungjawabkan kepada sekolah ini memerlukan sekolah berubah dari
high compliance kepada lebih Autonomi dan Inovasi, dari time driven kepada life long
learning. Guru bukan lagi menjadi sumber tunggal untuk mendapatkan ilmu kerana seluruh
dunia bertindak sebagai sumber ilmu (Miller, 2009; Christopher Day, 2010; OECD, 2011).

Sehubungan dengan itu, content knowledge yang ada pada guru perlu berubah
kepada kemahiran untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, mengaplikasikan kemahiran
secara kreatif, menjana pengetahuan baru serta menggunakan pengetahuan dan kemahiran
yang ada untuk menyelesaikan masalah. Kompetensi pembelajaran secara menghafal (Rote‐
learning) juga perlu berubah kepada pemikiran kritikal serta mampu berfikir pada aras
tinggi. Pembelajaran hafalan dan Pengajaran berdasarkan isi kandungan semata‐mata akan
menjadikan guru outdated kerana banyak fakta akan menjadi tidak relevan dan guru perlu
unlearn dan relearn pengetahuan yang sentiasa berubah dengan cepat.

Implikasi kepada sistem pendidikan

Tuntutan abad ke‐21 turut memberikan implikasi yang besar kepada sistem pendidikan itu
sendiri. Masa belajar di sekolah (school time) berubah kepada pembelajaran bila‐bila masa,
pada sebarang kelajuan (learning any time, any pace). Pembelajaran berpusatkan guru
kepada pembelajaran berpusatkan pelajar, pelajar menentukan apa yang ingin dipelajari
pada kelajuan dan cara mereka sendiri berdasarkan kebolehan mereka. Cara pembelajaran
yang berlandaskan kepada satu tahap untuk semua (one pace for all) kepada gaya dan kadar
pembelajaran yang berbeza. Pembelajaran di bangunan tetap (sekolah) kepada pelbagai
pusat akses pembelajaran (access points for learning). Akhir sekali adalah pengajaran secara
beramai‐ramai (mass) kepada pengajaran secara peribadi (Asariah binti Mior Shaharudin,
2009; Duncan, 2009; AACTE, 2010).

Cabaran abad ke‐21 membawa kesan yang mendalam (profound consequences)


terhadap pendidikan dan profesionalisme dalam pendidikan. Pendidikan akan melalui proses
perubahan yang berterusan, diterapkan (embedded) dalam perubahan persekitaran
masyarakat berilmu. Organisasi pendidikan perlu berubah kepada organisasi pembelajaran,
organisasi yang tangkas dan mampu membuat inovasi ke atas proses pendidikan dalam
menangani kesemua tuntutan. Profesionalisme baru diperlukan dalam organisasi berkenaan
untuk memahami, menyokong dan mencipta cara dan pesekitaran pembelajaran yang baru.

Kualiti Guru Sekolah

Kerajaan meletakkan sasaran untuk mencapai 25% guru sekolah rendah dan 100% guru di
sekolah menengah sebagai guru berijazah menjelang tahun 2015. Program pensiswazahan
guru sudah bermula sejak tahun 2004 dengan tujuan untuk membangunkan profesionalisme
guru sekolah rendah, namun pencapaian setakat ini, hanya pada 13.7% bagi guru‐guru
sekolah rendah dan 87.1% bagi guru‐guru sekolah menengah (KPM, 2013). Cabaran KPM
adalah untuk memastikan guru berijazah yang dilahirkan benar‐benar guru yang berkualiti
yang mampu menangani penyampaian kurikulum secara berkesan.

Pengintegrasian TMK Berkesan


Kajian menunjukkan guru memerlukan masa latihan yang panjang untuk mencapai tahap
kompetensi TMK yang tinggi dalam pengajaran. Walaupun TMK merupakan sebahagian
daripada kurikulum di maktab perguruan, namun guru tidak mempunyai keyakinan yang
mencukupi untuk mengintegrasikannya dalam PdP (Thang, Murugaiah, Lee, Azman, Tan, &
Lee, 2010). Usaha berterusan perlu dilakukan untuk memastikan pelajar guru di Institut
Pendidikan Guru (IPG) mempunyai tahap keyakinan dan kecekapan yang diperlukan untuk
mengintegrasikan TMK di dalam kelas mereka. Perkara ini adalah satu cabaran besar bagi
KPM untuk mengkaji semula kurikulum pendidikan guru dan strategi penyampaian sebagai
proses yang berterusan untuk memastikan bahawa potensi TMK boleh dimanfaatkan untuk
meningkatkan proses PdP.

Perdana Menteri Malaysia berpandangan bahawa penggunaan Teknologi Maklumat


dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran serta dalam bidang pentadbiran
dan pengurusan sekolah dan institusi pendidikan adalah prasyarat bagi Malaysia untuk
menjadi negara yang berpendapatan tinggi (BPPDP, 2012). E‐pembelajaran merupakan PdP
yang menggunakan rangkaian elektronik untuk menyampaikan isi kandungan, interaksi atau
pemudahcaraan. Internet, intranet, setelit, pita audio dan video, televisyen interaktif dan
CD‐ROM adalah sebahagian daripada media elektronik yang dimaksudkan dalam kategori ini.
Pengajaran boleh disampaikan pada waktu yang sama atau pada waktu yang berbeza

Peruntukan Masa untuk Pembangunan Profesional Guru

Satu lagi kakangan yang dihadapi oleh KPM adalah masa yang diperuntukan untuk
membangunkan profesional guru yang sangat sedikit dan terhad. Guru seringkali
dibebankan dengan kerja‐kerja yang tidak berkesudahan dan tugasan lain selain tugas utama
iaitu mengajar (KPM, 2013). Pakar, pembuat polisi dan guru sejak lama dahulu lagi, secara
konsistennya menyatakan kekurangan masa sebagai cabaran terbesar dalam melaksanakan
pembangunan profesional guru yang berkesan. Guru menonjolkan isu kekurangan masa
sebagai halangan utama mereka melaksanakan pembangunan profesional dan membawa
kesan yang besar ke atas profesionalisme mereka (Thang, Murugaiah, Lee, Azman, Tan, &
Lee, 2010).

Antara cabaran yang dihadapi oleh sekolah adalah jurang pencapaian yang besar
antara pelajar terutamanya dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di
sebalik insentif dan elaun yang dibayar kepada guru ketiga‐tiga mata pelajaran berkenaan.
Keputusan PISA dan TIMSS 2012 menunjukkan pencapaian pelajar berusia 15 tahun di
Malaysia dalam subjek membaca, Sains dan Matematik berada di bawah tahap purata
antarabangsa iaitu masing‐masing berada pada mata poin 398/496; 421/494; 420/501 (KPM,
2013). Kekurangan kepakaran guru di luar bandar dalam subjek ini perlu ditangani dengan
segera untuk mengatasi masalah ini dari terus berpanjangan dan menjadi lebih teruk.

Meningkatkan Kualiti Guru Prasekolah dan juga Pembantu Guru

Cabaran besar di hadapan adalah meningkatkan kemahiran pengajaran dan latihan kira‐kira
30,000 guru prasekolah sedia ada dan pengambilan guru baru dalam tempoh tiga tahun
akan datang seperti yang dihasratkan untuk mencapai aspirasi Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA).

Selain dari itu, membangunkan rangka kerja yang sesuai untuk kecemerlangan
pendidikan prasekolah dan memperincikan sasaran berdasarkan outcome‐based.
Menggalakkan murid pra‐sekolah untuk mendaftar di bawah sekolah arus perdana juga
merupakan satu cabaran yang besar kepada KPM.
Kemahiran Literasi & Numerasi Murid

Pada tahun 2008 terdapat lebih daripada 54,000 murid Tahun 1 (30%) yang tidak memenuhi
tahap celik huruf dan dianggarkan 117,000 (24%) murid Tahun 4 yang tidak mencapai
sasaran standard numerasi (NKRA, 2010). KPM bertanggungjawab untuk melatih guru
menjadi guru pakar dalam Literasi dan numerasi (LINUS) antara tahun November 2009
hingga Febuari 2010. Cabaran baru yang dihadapi oleh KPM adalah untuk memantau
keboleh laksanaan program ini selepas latihan intensif yang dilalui (KPM, 2013).

Pelaksanaan proses saringan program LINUS dilakukan tiga kali setahun iaitu pada
bulan Mac, Jun dan September. Saringan dilakukan untuk mengenal pasti murid yang tidak
menguasai standard LINUS dan diletakkan di bawah program LINUS atau pun Program
Pendidikan Khas. Satu lagi cabaran KPM yang wujud dalam aspek ini adalah keperluan untuk
mengadakan bilangan guru‐guru pendidikan khas terlatih yang mencukupi.

Kemahiran dan Penguasaan Bahasa Inggeris

Dalam usaha untuk menyediakan guru berkesan, Malaysia berhasrat untuk melaksanakan
program pengajaran dalam dua bahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris). Namun
begitu penguasaan dan kemahiran dalam Bahasa Inggeris adalah penting. Penguasaan dan
kemahiran dalam Bahasa Inggeris menjadi faktor penyumbang utama untuk mendapat akses
kepada bahan saintifik dan jurnal yang relevan serta menyumbang kepada kejayaan
pelaksanaanPdP yang berasaskan TMK. Usaha yang dilaksanakan termasuklah
meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pensyarah di IPG yang
melatih pelajar guru. Bidang ini masih terus menjadi cabaran utama kepada Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Kemahiran Guru Untuk Menghadapi Abad ke‐21

Dalam menghadapi masyarakat berilmu abad ke‐21, guru perlu sentiasa mengikuti
perubahan arus semasa dalam literasi media baru; tangkas dalam mengadaptasi semua
perubahan; mempunyai kemahiran bekerja yang pelbagai; kemahiran dalam bersosial; tahu
bagaimana untuk mengendalikan data (data mining); timeless work skills dengan memiliki
motivasi kendiri yang tinggi, perancangan yang terancang, sistematik dan ke hadapan,
pengurusan masa yang baik, komunikasi berkesan, kemahiran inter‐personal yang tinggi,
kemahiran menyelesaikan masalah dan berfikiran kritikal (Andrew J. Rotherham & Daniel
Willingham, 2009; Duncan, 2009; AACTE, 2010). Tuntutan ini juga menyebabkan masyarakat
pendidik perlu menguasai karateristik pendidikan abad ke‐21 sepeti dalam rajah 1.1.
The Adaptor

The Risk
taker Komunikator

Karateristik
Kolaborator Guru Abad Pelajar
ke‐21

Role‐Model Berwawasan

Pemimpin

Rajah 1.1: Karakteristik Pendidik Abad ke‐21

Guru juga perlu menangani keperluan pelajar dengan sebaik mungkin,


memanafaatkan teknologi komunikasi maklumat dalam pendekatan pengajaran, sentiasa
mengikuti dan relevan dengan perubahan teknologi, mengubah cara pengajaran mengikuti
kehendak semasa, mengubah cara pentaksiran mengikut perubahan semasa dan penting
sekali untuk melakukannya semua yang dinyatakan tadi dengan betul.

Kursus Guru Praperkhidmatan

Malaysia telah menaiktaraf 27 Maktab Perguruan Guru kepada Institut Pendidikan Guru
pada Julai 2005 dan ekoran daripada penaiktarafan tersebut, pengambilan pertama pelajar
guru bagi Progran Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (PISMP), seramai 3,725 orang telah
mendaftar untuk program berkenaan. Program ini direka bentuk khusus untuk melahirkan
guru sekolah rendah yang berijazah dengan kurikulum yang berlandaskan kepada lima
prinsip asas iaitu berasaskan hasil pembelajaran (outcome‐based); berbentuk spiral &
developmental; koheren dan holistik, praktikal & kontekstual selaras dengan keperluan
Malaysian Qualifying Framework (MQF) dan kehendak abad ke‐21. PISMP memberikan
fokus kepada integrasi pengetahuan, kemahiran, nilai‐nilai murni, dan juga mewajibkan
kursus Teknologi dalam PdP serta pengajaran berbantukan komputer bagi menyediakan
guru praperkhidmatan kepada PdP abad ke‐21.

Pembangunan Profesional Guru

Pembangunan profesional boleh berlaku secara formal dengan menghadiri bengkel,


perbincangan profesional, penyelidikan, seminar, konferen, pementoran) atau secara tidak
formal seperti pembacaan bahan‐bahan bacaan profesional, dokumentari akademik,
menonton television. Selaras dengan perkembangan berkenaan, kemahiran guru meningkat
dan guru melalui kitaran kerjaya profesional dari guru novis kepada guru pakar (Glatthorn,
1995; Ganser, 2000). Dua konsep pembangunan profesional guru ialah membangunkan
pengetahuan dan kemahiran berkaitan amalan profesional berkesan selaras dengan
perubahan semasa dan tanggungjawab baru yang dipikul oleh guru. Konsep kedua adalah
pemerolehan pengetahuan dan pembangunan kemahiran yang perlu, hingga ke satu tahap
yang lebih tinggi untuk terus relevan dengan perubahan masa.
Kursus Dalam Perkhidmatan

Sehubungan dengan itu, kursus dalam perkhidmatan direka untuk menyediakan


latihan dalam perkhidmatan bagi guru‐guru yang berada dalam sistem pendidikan agar
dapat meningkatkan kemahiran dan kompetensi profesional mereka dalam bidang
pengkhususan masing‐masing. Ianya juga bertujuan untuk mengekalkan guru pada tahap
berkualiti, berdaya saing dan relevan mengikut perubahan masa dan teknologi yang begitu
pantas. Antara kursus yang ditawarkan termasuk:
• Kursus Pembangunan Profesional yang berterusan (CPD) untuk pensyarah di institutsi
pendidikan guru.
• Program Eksekutif Pensiswahan Pensyarah (Peringkat Sarjana dan Kedoktoran)
• Latihan Profesionalisme Staf (LPS) dan Kursus dalam perkhidmatan jangka pendek yang
berterusan (tempoh masa 1 ‐ 5 hari)
• Program pembangunan dan Kursus dalam perkhidmatan jangka pendek untuk guru yang
mengajar mata pelajaran kritikal (Matematik, Sains, ICT & Baha Inggeris).
• Program Pembangunan Jurulatih Malaysia (Malaysian Trainers) (Kursus 14 minggu untuk
pembangunan profesional). Kursus ini direkabentuk khusus untuk meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran guru sekolah rendah dan menengah dalam lebih 20 kursus
yang boleh dipilih.
• Kursus Ijazah Khas untuk guru‐guru bukan siswazah (1 tahun di IPG & 2 tahun di Universiti)
• Program Pensiswazahan untuk guru‐guru bukan siswazah melalui pembelajaran Jarak Jauh
(Open University Malaysia)
• Kursus Ijazah Khas untuk Guru‐guru yang mengajar Bahasa Asing (Bahagian Pendidikan
Guru menawarkan kursus Ijazah Bahasa Peranchis)
• Kursus khas untuk guru‐guru yang mengambil masa satu tahun. Kursus ini ditawarkan
kepada guru‐guru yang sudah berkhidmat sekurang‐kurangnya tiga tahun dengan
pengkhususan dalam bidang Teknologi Komunikasi Maklumat.
• Kursus 4 minggu untuk peningkatan profesionalisme untuk guru‐guru di sekolah orang Asli.
• Kursus dalam perkhidmatan untuk peningkatan profesionalisme untuk guru‐guru di
sekolah terpencil (pedalaman) (KPM, 2013).

Pembangunan Profesional Berterusan (CDP) dan latihan dalam perkhidmatan


penting untuk mengekalkan profesionalisme guru di Malaysia. Kerajaan memperuntukkan
sejumlah besar budget pendidikan setiap tahun untuk melaksanakan latihan dalam
perkhidmatan. Pada tahun 2008 peruntukan budget KPM untuk latihan dalam
perkhidmatan adalah sejumlah RM200 juta (Mokshein, Ahmad, & Vongalis‐Macrow, 2009)
Dua jenis latihan dalam perkhidmatan ialah kursus peningkatan kelayakan diri dan kursus
peningkatan pengetahuan kemahiran yang mengambil masa kurang dari satu tahun. Sebagai
tambahan, sekolah juga digalakkan untuk melaksanakan program latihan dalaman untuk
membangunkan dan meningkatkan pengetahuan dan amalan guru merangkumi bidang yang
luas sesuai dengan keperluan sekolah.

KESIMPULAN

Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Malaysia selaras dengan usaha
untuk mencapai status negara maju. Kerajaan Malaysia melabur sebahagian besar daripada
perbelanjaan tahunannya pada pendidikan dari segi infrastruktur dan peruntukan dan dalam
pembangunan sumber manusia. Purata Perbelanjaan Malaysia untuk Pendidikan adalah
5.9% setahun dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dengan globalisasi dan perkembangan teknologi yang meningkat di seluruh dunia, Malaysia
turut meningkatkan usaha untuk terus kekal berdaya saing dan relevan dengan
perkembangan semasa. Langkah‐langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk
meningkatkan kualiti latihan pendidikan adalah setanding dengan amalan terbaik
antarabangsa.

Kerajaan mengambil langkah dari semasa ke semasa untuk mengubah trend


pembangunan profesional guru demi kebaikan masyarakat dan negara amnya. Kurikulum
latihan guru telah diperkukuh dalam usaha untuk menjadikan guru sebagai pengurus yang
cekap dalam PdP. Guru‐guru dilatih untuk mencapai tahap kecekapan yang tinggi dalam
TMK dan mampu melaksanakan strategi PdP yang inovatif dan berkesan. KPM telah
memudahkan usaha ini dengan membekalkan peralatan sokongan pendidikan seperti
komputer, komputer riba dan LCD bagi membolehkan guru‐guru meningkatkan
pembangunan profesionalisme mereka. Guru ditawarkan dengan insentif, imbuhan, dan sijil
kecemerlangan dan ini memotivasikan guru untuk melakukan yang lebih baik dalam
perkhidmatan mereka dan mengekalkan status mereka sebagai guru cemerlang. Pada abad
ke‐21, semua guru memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan dan kerjaya
pelajar mereka. Dalam kertas ini, kami berharap untuk mengesahkan peranan penting
pelaksanaan program persediaan dalam membangunkan profesionalisme guru secara
berkesan seterusnya membolehkan guru menyediakan pelajar mereka kepada pekerjaan
abad ke‐21. Namun begitu, kami menyedari bahawa tugas ini akan menghadapi kakangan
yang sukar. Ia memerlukan mengembangkan visi dan misi yang bermakna untuk
menyediakan guru untuk memainkan peranan mereka dengan sebaik mungkin untuk masa
depan generasi muda yang lebih baik. Perkara ini juga memerlukan perancangan yang
berdedikasi, strategik, penjajaran sistematik; dan perkongsian mantap berkesan daripada
semua pihak.

RUJUKAN

NIE. (2009). A Teacher Education Model for the 21 st Century. A Report by the National
Institute of Education. Nanyang Institute of Education. Singapore: Nanyang Institute.
Hoyle, E. (1974). Professionality, Professionalism and Control in Teaching. Education Review ,
2 (3), 13 ‐ 19.
Glatthorn, A. (1995). Teacher Development. In L. Anderson, International Encyclopedia of
Teaching and Teacher Education (p. 41). London: Pergamon Press.
Ganser, T. (2000). An Ambitious Vision of Profesional Development for Teachers. NASSP
Bulletin , 84 (618), 6 ‐ 12.
KPM. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013‐2025 (Pendidikan Prasekolah
hingga Lepas Menengah). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tom J. Van Weert. (2006). Education of the twenty‐first century: New professionalism in
lifelong learning, knowledge development and knowledge sharing. Education and
Information Technologies , 11 (4), 217 ‐ 223.
Thang, S., Murugaiah, P., Lee, K. W., Azman, H., Tan, L., & Lee, Y. S. (2010). Grappling with
Technology: A case of supporting SMart School Teachers' Professional Development.
Australasian Journal of Educational Technology , 26 (3), 400‐416.
Mokshein, S. E., Ahmad, H., & Vongalis‐Macrow, A. (2009). Secondary Teacher Policy
Research in Asia: Towards providing quality secondary education. Training and retaining
quality teachers in Malaysia. (pp. 1 ‐ 28). Bangkok: UNESCO Bangkok.
Asariah binti Mior Shaharudin. (2009). The Next Generation of Teachers: The Malaysian
perspeective. 1 ‐ 13. Putrajaya, Malaysia: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pang, V. (2005). Curriculum Evaluation. An application in a Smart School Curriculum
Implementation. Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia: Universiti Malaysia Sabah.
Lim, C., Ching, S., & Churchill, D. (2010). Leading ICT in Education Practices. Singapore,
Singapore: Microsoft Partners in Learning.
Miller, M. (2009). Teaching for a New World: Preparing High School Educators to Deliver
College and Career‐Ready Instruction. Policy Brief. Washington D.C, USA: Alliance for
Excellent Education.
Duncan, A. (2009, October 22). Teacher preparation: Reforming the uncertain profession.
Columbia University.
OECD,;. (2011). Building a HIgh‐Quality Teaching Profession Lessons from around the World.
From www.oecd.org/publishing
AACTE. (2010). 21st Century Knowledge and Skills in Educator Preparation. American
Association of Colleges of Teacher Education and the Partnership for 21st Century Skills.
Pearson.
Christopher Day. (2010). Teachers in the Twenty‐first Century: Time to renew the vision.
Teachers and Teaching: Theory and practice , 6 (1).
Andrew J. Rotherham, & Daniel Willingham. (2009). 21st Century Skill: The Challenge a Head.
University of Virginia, USA: Jossey‐Bass .
Ananiadou, K., & M. Claro. (2009). 21st Century Skills and Competencies for New Millenium
Learners in OECD Countries. OECD .

Anda mungkin juga menyukai