Anda di halaman 1dari 7

Tugasan 1 : Submodul 1.

Soalan :

Berdasarkan petikan tersebut, pilih SATU ciri daripada


Tonggak 12 dan jelaskan bagaimana ciri tersebut
memberi impak kepada anda sebagai seorang
pemimpin.

PENGENALAN

Tonggak 12 merupakan ilham dan cetusan idea Yang Berbahagia Tan Sri
Dato’ Seri Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid, Mantan Ketua Setiausaha Negara pada 2
Mac 1992, di Hotel Pan Pasific, Kuala Lumpur sempena ucaputama beliau ketika
Perasmian Seminar Nilai dan Etika. Tonggak 12 merupakan satu dasar, garis
panduan dan pokok kepercayaan yang menjadi asas sesuatu tindakan yang perlu
diamalkan oleh semua kakitangan perkhidmatan awam di semua peringkat. Beliau
juga menyarankan agar Tonggak 12 ini menjadi amalan dan kerja buat bagi semua
kakitangan awam bagi menjamin mutu perkhidmatan awam amnya dan sector
Pendidikan khususnya agar lebih cekap, efisen dan berkualiti.

Tonggak 12 yang mengandungi beberapa perkara seperti panduan-panduan,


contoh-contoh nilai dan etika serta amalan-amalan baik yang pelu diamalkan serta
beberapa amalan-amalan negative yang perlu dihentikan dan dihindari oleh kita
sebagai penjawat awam di sector Pendidikan. Secara dasarnya kita sebagai
pemimpin sekolah perlu mengamalkan sikap yang baik dan menghindari sikap yang
negatif. Perkara ini akan mewujudkan kepercayaan bahawa pembudayaan amalan
nilai-nilai baik akan menjadikan kita sebagai pemimpin mampu mentadbir dan
mengemudi organisasi kita ke arah oraganisasi yang berkualiti dan cemerlang.

Tonggak 12 yang berlandaskan kepada konsep nilai, norma dan etika dalam
kehidupan seharian sewajarnya diamalkan oleh semua kakitangan awam dan
semua pihak terutamanya kita yang berada disektor pendidikan agar lebih
memahami dan menghayati bagi membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Sebagai seorang pemimpin di sekolah, penghayatan dan
pengamalan Tonggak 12 dapat memberi impak yang positif kepada pentadbiran
organisasi kita. Seorang pentadbir pastinya akan menjadi peneraju, pembimbing
dan pendorong kepada kecemerlangan organisasinya dengan syarat Tonggak 12
menjadi amalan kepada setiap orang yang berada di organisasinya. Pengamalan
dan pembudayaan Tonggak 12 sudah pastinya dapat memberikan impak yang
sangat positif dan efektif dalam membudayakan kecemerlangan kepimpinan di
sekolah. Justeru itu, saya memlilih Tonggak 12 melalui “Ketinggian Peribadi”
sebagai ulasan saya dalam tugasan ini. Kayu ukur kepada ketinggian peribadi ialah
sesuatu yang dapat dilihat dan dinilai dari s ikapnya, wataknya, perilakunya dan
gaya seseorang itu membawa diri dan menyesuaikan diri dalam pergaulan
seharian sesama manusia, baik di rumahnya sendiri bersama keluarga atau
tetamu, di dalam organisasinya mahupun di kalangan masyarakat umum
disekitarnya. Selain daripada itu, ketinggian peribadi seseorang itu juga dapat
dilihat dan dinilai sebagai seorang yang berjiwa besar dan berakhlak tinggi.
Pengalaman hidup seseorang biasanya menjadi pemangkin kepada pembinaan
watak yang tinggi peribadinya. Walau bagaimanapun, ianya belum cukup untuk
membentuk keperibadian yang tinggi.

Secara dasarnya Keperibadian yang tinggi terbentuk melalui pembentukan


peribadi unggul secara dalaman seperti bersikap tenang, belas kasihan, disiplin
diri yang tinggi, berhemah tinggi, dan pemaaf terhadap orang lain. Pembentukan
keperibadian secara luaran pula mencakupi peribadi yang bersopan santun dan
gaya yang kemas serta bersih.

Sebagai seorang pemimpin di sekolah, Keperibadian yang tinggi


merupakan elemen yang sangat penting dan perlu ada untuk diamalkan dalam
mentadbir organisasi kita. Keperibadian yang tinggi melalui amalan-amalan positif
seperti tertib dan baik budi bicara amat relevan dalam komunikasi kita sebagai
pemimpin bersama dengan organisasi kita. Melalui sikap ini, seorang pemimpin
akan dapat menghasilkan satu situasi yang nyaman, santai, bersahaja serta dapat
mengelakan situasi yang agak kekok. Di samping itu, sebagai seorang pemimpin
yang mentadbir organisasi sekolah, keperibadian yang tinggi melalui unsur
bersopan santun dan sederhana dalam kelakuan juga akan mewujudkan suasana
yang harmoni di dalam organisasi kita. Seorang pemimpin yang sentiasa
mengamalkan sikap sopan santun dan sederhana dalam pentadbirannya akan
lebih membuahkan hasil kerja yang berkualiti dan cemerlang dalam organisasinya.
Dalam kepimpinan kita disekolah, sikap sopan santun dan sederhana ke atas
kakitangan kita akan menjelmakan ruang kerja yang semakin mesra penuh
dengan keharmonian tetapi dalam keadaan yang terkawal.

Di samping itu juga, keperibadian yang tinggi melalui faktor ilmu dan
pengetahuan yang luas, akan menjadi asbab kepada kecemerlangan organisasi di
bawah pimpinan kita. Seorang pemimpin atau ketua di sekolah yang mempunyai
ilmu serta pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara mampu menjadi pakar
rujuk kepada organisasi kita. Selain daripada itu juga, seorang pemimpin yang
memiliki ilmu dan pengetahuan yang luas dalam sesuatu bidang mampu
menghasilkan impak yang besar terhadap organisasinya di samping menjadi satu
nilai motivasi serta pembakar semangat kepada guru-guru atau warga sekolah
untuk lebih berusaha mencapai kecemerlangan.
Selain daripada itu, amalan positif keperibadian tinggi yang mencakupi nilai
adil dalam tindakan mampu menjadikan kita sebagai seorang pemimpin disekolah
cukupi dihormati. Amalan dan pembudayaan kita dengan keputusan-keputusan
dan tindakan-tindakan yang adil dalam meneraju kepimpinan sekolah akan
menyebabkan orang dibawah seliaan kita semakin rasa dihargai dan diambil
peduli di atas sumbangan mereka kepada sekolah. Istilah ‘pilih bulu’ atau ‘pilih
kawan’ bukanlah satu penyelesaian kepada permasalahan yang kita hadapi.
Sebagai peneraju pimpinan di sekolah juga, agihan dan tanggungjawab yang ada
hendaklah dibahagi sama rata mengikut kepakaran dan kelebihan yang ada pada
orang dibawah pimpinan kita. Sebagai pemimpin di sekolah yang adil, kita
seharusnya mengiktiraf kebaikan dan kelebihan orang lain dengan memberi peluang
kepada mereka untuk meningkatkan kerjayanya. Pemimpin yang adil bersedia
mengakui kesilapannya dan bersedia memaafkan kesilapan orang lain.

Disamping itu, amalan positif keperibadian yang tinggi melalui sikap ikhlas
dan amanah dalam melaksanakan dan menjalankan tugas mampu menjadikan
kita sebagai pemimpin yang disegani dan dihormati. Pembudayaan dan
pengamalan nilai ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab akan menjadikan
kita seorang pemimpin yang sentiasa terbuka, berfikiran positif, proaktif dan
berdaya saing dalam menyelesaikan tanggungjawab kita. Seorang pemimpin yang
ikhlas juga tidak akan merasai terjejas dengan teguran, kritik, bangkangan dan
pertentangan pendapat. Kita sebagai pemimpin juga tidak harus merasa megah
dengan pujian dan sanjungan. Teguran adalah peringatan ke arah kesempurnaan
peribadi dan pujian adalah amaran supaya kita supaya jangan leka dengannya.
Keikhlasan dalam bekerja dengan menjadikan tanggungjawab atau kerja itu
sebagai ibadah dan amalan yang harus digalas dengan sebaiknya mampu
menzahirkan ciri-ciri kita sebagai pemimpin disekolah. Dalam melaksanakan
tanggungjawab juga, seorang pemimpin disekolah harus membudayakan sikap
amanah, agar menjadi ikutan kepada organisasinya.

Dalam menjadikan diri kita sebagai pemimpin yang disegani dan dihormati
di sekolah, kita perlu menjadi seorang yang tegas dan berani serta tidak teragak-
agak dalam mempertahankan kebenaran, kebaikan dan keadilan walaupun kadang
kala kita terpaksa menghadapi pelbagai risiko. Cacian, tindak balas negatif, marah
dan apa sahaja perbuatan yang menjurus rasa tidak puas hati organisasi, perlu
ditangani oleh kita sebagai pemimpin. Melenting dan tindak balas terhadap
perbuatan mereka hanya akan mengeruhkan keadaan. Oleh itu kita sebagai
pemimpin harus tangani dengan sebaik mungkin dengan amalan tonggak 12
keperibadian tinggi menjadi amalan. Tanganilah sebaiknya secara sopan dan
bijaksana.

Selain daripada itu, kita sebagai pemimpin di sekolah harus menerapkan


dan membudayakan amalan bekerjasama serta saling hormati menghormati
dalam pentadbiran disekolah kita. Kerjasama yang padu dan erat di sekolah
merupakan faktor utama penyebab kepada cemerlangnya sesebuah sekolah itu.
Dengan kerjasama pelbagai pihak di sekolah, apa sahaja tugasan, kerja serta
tanggungjawab akan terlaksana dengan mudah, terancang dan akhirnya
membuahkan kejayaan. Di samping kerjasama yang erat, faktor saling hormati
menghormati antara staf atau kakitangan di sekolah juga menjadi aset kita
sebagai pemimpin di sekolah. Sikap menghormati pandangan, cadangan
mahupun idea guru-guru kita tidak akan menyebabkan kita ‘jatuh standard’
sebagai pemimpin. Saya lebih suka menguna pakai pepatah ‘jika kita ingin
dihormati, kita sepatutnya terlebih dahulu menghormati orang lain’. Justeru itu
sebagai pemimpin di sekolah sikap bekerjasama dan saling hormati menghormati
perlu kita budayakan demi mencapai iklim sekolah yang harmoni, ceria serta
bersatu hati.

Sesebuah sekolah yang cemerlang juga akan terbentuk sekiranya seorang


pemimpin itu mengamalkan sikap bersih hati dan menjauhi sikap dengki, khianat
dan buruk sangka terhadap guru-guru dan kakitangan dibawah pimpinannya.
Sebagai pemimpin yang baik, setiap pencapaian yang diperolehi oleh guru atau
individu di sekolah kita merupakan cerminan kepada kepimpinan yang kita
amalkan di sekolah. Oleh itu, sebagai pemimpin, kita seharusnya memberikan
sokongan dan dokongan terhadap apa jua yang dilakukan oleh guru-guru kita
selagi tidak melanggar etika perkhimatan awam. Hindari sikap negatif
membanding beza, dengki, khianat dan buruk sangka terhadap guru dan staf. Kita
sebagai pemimpin juga seharusnya menjauhi sikap suka merendah-rendahkan
usaha guru-guru dan staf kita, walau usaha sekecil pun. Masyarakat dan komuniti
juga akan membuat penilaian kepada sekolah amnya dan kepada pemimpin atau
guru besar disekolah apabila menghidu pencapaian yang diperolehi oleh mereka
yang berada dibawah kepimpinan kita.

PENUTUP

Konklusinya, kita sebagai pemimpin disekolah perlu mengamalkan dan


membudayakan nilai ketinggian peribadi dalam kepimpinan kita di sekolah.
Seorang guru besar atau pemimpin di sekolah juga perlu menjadi pakar rujuk,
pakar nasihat mahupun pakar motivasi. Dengan kata lainnya, guru besar harus
menjadikan dirinya ‘role model’ kepada warga sekolahnya.

Selain daripada itu, seorang pemimpin itu juga perlu menyediakan dirinya
dengan ilmu-ilmu semasa agar tidak ketinggalan dan sentiasa berpandangan jauh.
Dalam mencapai matlamat sekolah cemerlang, kita seharusnya ikhlas
menunaikan tanggungjawab serta sentiasa bersemangat untuk memberi yang
terbaik. Kita juga seharusnya tidak mudah patah semangat walaupun
terpaksa menghadapi pelbagai cabaran tugas mahupun ujian dari yang Maha
Esa.

Akhir sekali, sebagai khalifah di bumi ini ingatlah pangkat dan kedudukan
hanya sementara, justeru itu sebagai pemimpin yang mempunyai keperibadian
yang tinggi harus mengelakkan nilai-nilai atau aura negatif seperti sombong dan
suka menunjuk-nunjukkan kuasa, suka menghina dan merendah-rendahkan kerja
orang, hasad dengki, berpura-pura dalam tindakan, pemarah dan tidak sabar serta
apa juga perbuatan negatif yang lain. Andainya perkara ini dapat dipraktikan oleh
kita sebagai guru besar dan pemimpin, nescaya kita akan mengaut hasilnya dalam
pentadbiran semasa, waima apabila tiba masanya kita bersara kelak.

RUJUKAN
1. Institut Tadbiran Awam Malaysia, (1992), Tonggak Dua Bekas :
Penerapan Nilai, Norma dan Etika Perkhidmatan, Kuala Lumpur : INTAN

2. STANDARD KEPERIBADIAN DAN AMALAN PEMIMPIN PENDIDIKAN


BERPRESTASI TINGGI https://iab.moe.edu.my/bahanportal/penerbitan/IAB-
manuskrip

3. ETIKA DAN TONGGAK 12


Moderator : Hj. Huzili Bin Hj. Hussin K.B.,P.A. (Mal) Pensyarah Kanan pusat
Kemahiran Komunikasi Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Perlis

Anda mungkin juga menyukai