Anda di halaman 1dari 1

ETIKA MENJAWAB TELEFON

Telefon bimbit kini dimiliki hampir semua individu sama ada yang masih belajar, pekerja, tua atau
muda tetapi secanggih mana sekali pun telefon, ia tidak bermakna jika individu yang
menggunakannya tidak bijak mengendalikan panggilan yang diterima atau ketika membuat
panggilan, apatah lagi sehingga mengganggu orang lain.

PASTIKAN TUJUAN
Pastikan anda tahu tujuan membuat panggilan supaya tidak menyusahkan orang yang dihubungi.
Jikatidak keberatan, catatkan segala pertanyaan yang mahu diutarakan dan maklumat yang
berkaitan supaya anda tidak perlu membuat panggilan semula untuk bertanyakan pelbagai
soalan lagi. Selain itu, anda juga perlu pastikan nombor yang anda dial itu adalah individu yang
perlu anda hubungi.

MEMULAKAN PERBUALAN
Saat memulakan perbualan, pastikan semua pertanyaan disuarakan dengan berhemah. Sebaik-
baiknya mulakan pertanyaan dengan gelaran yang baik seperti encik, puan atau Datuk sekiranya
penerima panggilan mempunyai gelaran itu. Pastikan juga, ucapan terima kasih diucapkan pada
akhir panggilan supaya anda tidak dipandang sebagai individu yang pentingkan diri sendiri. Cara
anda berbual di telefon menandakan keperibadian anda sebenar.

NADA DERING
Kecanggihan zaman teknologi memungkinkan pelbagai nada dering telefon boleh digunakan.
Walau secanggih mana nada dering yang anda gunakan, ia perlu dimatikan atau ditukarkan
kepada mod senyap setiap kali melangkah ke tempat tertentu seperti masjid, mesyuarat, atau
seminar.
Tidak salah menghormati orang lain apatah lagi majlis yang anda hadiri. Jangan bimbang
dengan panggilan yang tidak berjawab kerana teknologi juga memungkinkan semua panggilan
tidak berjawab direkod supaya anda boleh menghubungi semula individu yang membuat
panggilan tadi.

PILIH WAKTU
Sebelum menghubungi seseorang, anda perlu pastikan sama ada waktu itu sesuai atau tidak.
Waktu seperti selepas tengah malam, subuh atau maghrib dianggap sebagai antara waktu yang
tidak sesuai. Ia adalah masa untuk berehat serta melakukan amal ibadat. Panggilan awal pagi
atau lewat malam hanya dibenarkan sekiranya terdapat berita kecemasan yang perlu
disampaikan. Gunakan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (sms) untuk bertanyakan sesuatu
dan anda tidak perlu membuat panggilan.

HAK PERIBADI
Ada kalanya teman anda sering meninggalkan telefon bimbit mereka merata-rata. Anda dilarang
sama sekali mengusik telefon mereka kerana ia dianggap sebagai harta peribadi. Pasti telefon
bimbit berkenaan mengandungi senarai nombor rahsia atau mesej peribadi yang pasti tidak patut
diketahui orang lain. Sekiranya telefon berkenaan milik ahli keluarga anda sekalipun, anda perlu
meminta keizinan mereka terlbih dahulu.

(FRI,20 MARCH 2009,METRO)


(dayana@hmetro.com.my)

Anda mungkin juga menyukai