Anda di halaman 1dari 8

BM- SPM 2013- Karangan Rangsangan

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang
diperoleh apabila kita menuntut ilmu.





Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita ini
jelas menekankan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang yang sememangnya penting serta
perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah
membuktikan ilmu atau pengetahuanlah yang akan menetukan kejayaan seseorang
seandainya dimanfaatkan. Oleh itu, setiap orang seyogianya berusaha mencari seberapa
banyak ilmu demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Ilmu Pelita hidup,
demikianlah kata-kata hikmat yang menggambarkan pada kita manfaat yang diperoleh
seandainya kita berilmu. Oleh itu, semua anggota masyarakat hendaklah menggunakan masa
untuk memenuhkan ilmu di dada. Apabila seseorang itu berilmu, sudah tentulahlah pelbagai
maslahat akan diperoleh. Persoalannya, apakah faedah yang diperoleh apabila kita menuntut
ilmu ?

Terdapat banyak maslahat ataupun kebaikan menuntut ilmu, antaranya ilmu
membolehkan kita memperoleh kerja yang lebih baik. Dengan pelbagai ilmu yang dimiliki,
peluang kerjaya seseorang akan lebih terbuka dan seseorang itu lebih mudah untuk
mendapat kerja. Kita juga akan mampu menjawat jawatan yang lebih tinggi. Dengan jawatan
dan gaji yang lumayan, seseorang itu mampu membantu kedua-dua ibu bapa dan memberikan
kesenangan kepada mereka. InsyaAllah, hasrat dan impian yang terpendam selama ini akan
direalisasikan jika kita mempunyai ilmu sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad
yang bermaksud barangsiapa yang mahu kehidupan di dunia, maka bagi mereka ilmu
sandarannya . Oleh itu, terbuktilah bahawa jika kita mempunyai ilmu, maka kita mampu
meneruskan kehidupan dengan ilmu yang dimiliki. Kerja seperti doktor, peguam, jurutera,
guru, akauntan dan sebagainya memerlukan mereka yang berilmu. Ingatlah, kuat ketam
kerana sepitnya, kuat manusia kerana ilmunya. Sekiranya kita tidak memiliki ilmu, sudah
tentulah kita tidak akan mendapat kerja yang kita idam-idamkan. Tegasnya, seseorang itu
akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan terbuka sekiranya mereka mempunyai ilmu
pengetahuan.
Selain itu, kelebihan menuntut ilmu ialah dapat melahirkan individu yang memiliki
minda kelas pertama. Masyarakat minda kelas pertama ini ialah masyarakat yang mampu
berdaya saing kerana sudah tentu masyarakat yang sebegini memiliki jati diri dan akhlak
yang terpuji berkat daripada ilmu yang dimiliki. Seandainya kita tidak mempunyai ilmu, maka
kita tentu tidak mampu bersaing dengan orang yang lebih berjaya kerana tidak mempunyai
kemahiran untuk mengahadapi cabaran. Masyarakat minda kelas pertama yang disegani dan
dihormati lahir daripada masyarakat yang sentiasa mengutamakan aspek tarbiah yang
berterusan sesama anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana mereka mengganggap
bahawa ilmu itu adalah harta yang paling bernilai dengan harta yang lain. Dengan ilmu yang
kita miliki, kita boleh diangkat menjadi pemimpin yang berketerampilan. Kita juga tidak
mudah ditipu oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan diri kita
dek kurangnya ilmu di dada. Golongan yang terpedaya dengan tipu helah golongan yang
berkepentingan ialah golongan yang tidak berfikir panjang kerana mereka tidak boleh
membezakan antara hak dan batil. Hal ini selaras dengan gurindam melayu yang berbunyi:
Kalau kamu rajin mengaji,
Tentu kamu akan dipuji.

Akhir sekali, apabila seseorang itu menuntut ilmu, dia boleh mencipta pelbagai
peralatan berasaskan keperluan semasa. Seseorang yang memilih bidang Teknik dan
Vokasional umtuk melanjutkan pelajaran, sudah pasti didedahkan dengan kemahiran dan
latihan dalam bidang-bidang tertentu. Latihan dan kepakaran yang dimiliki ini membolehkan
seseorang itu untuk mencipta pelbagai peralatan berasaskan keperluan semasa. Ketika
menuntut ilmu sama ada di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, pelajar-
pelajar telah diajar dan diterapkan dengan unsur inovasi dan kreativiti. Keadaaan ini
membolehkan pelajar mencipta sesuatu yang lebih kreatif dan inovasi bagi meningkatkan
penguasaan diri. Selain itu, seseorang yang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang Sains dan Teknologi sudah pasti dapat menyumbang idea dan kepakaran dengan
mencipta teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara seperti mencipta mesin-mesin
dan peralatan berteknologi tinggi dalam bidang pertanian dan perindustrian. Hal ini
membolehkan negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju yang lain dalam bidang sains dan Teknologi.
Sudah terang lagi bersuluh, ilmu amat penting sekali dan memiliki banyak kebaikan
dalam kehidupan kita. Ilmu yang ingin kita cari mestilah mencakupi ilmu dunia dan ilmu
akhirat. Kedua-dua ilmu ini mestilah seimbang demi menjamin hidup yang bahagia di dunia
dan di akhirat. Oleh itu, kita janganlah membuang masa dengan melakukan perkara yang
tidak bermanfaat. Gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang
terutamanya bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berubah dari masa ke
masa. Akhirulkalam, janganlah kita persia-siakan masa yang ada dengan menjadi manusia
yang lalai tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah.





























Maklumat di bawah menerangkan kelebihan amalan bergotong-royong yang diamalkan
oleh masyarakat Malaysia. Huraikan pendapat anda tentang kelebihan amalan
bergotong-royong. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.




Sejak dahulu lagi, amalan bergotong-royong telah diamalkan dan menjadi sebahagian
daripada cara hidup atau adat resam masyarakat Melayu. Kini, amalan gotong-royong masih
terus diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menjadi agenda penting dalam
usaha membentuk masyarakat Malaysia yang bekerjasama. Namun, sejak belakangan ini,
amalan bergotong-royong sudah semakin kurang diamalkan oleh masyarakat kita.
Masyarakat pada hari ini sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tidak
berkesempatan untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan tempat
tinggal mereka. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memupuk semangat amalan
bergotong-royong ini agar amalan ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Persoalannya, apakah kelebihan amalan bergotong-royong?
Salah satu kelebihan amalan bergotong-royong ialah dapat memupuk perpaduan
dalam kalangan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amalan bergotong-
royong mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu. Amalan positif ini perlu
melibatkan semua anggota masyarakat dalam satu kawasan kediaman tanpa mengira kaum
atau usia. Semua penduduk melalui semangat bekerjasama dan bantu membantu serta
berganding bahu bagai aur dengan tebing membersihkan taman permainan, longkang-
longkang yang tersumbat, balai raya, rumah-rumah ibadat dan aktiviti-aktiviti lain. Secara
tidak langsung, masyarakat yang berbilang kaum ini akan bekerjasama menjaga kawasan
persekitaran dan memastikan keadaan sentiasa kondusif. Ahli masyarakat dapat
merapatkan persefahaman antara kaum dan menanamkan nilai-nilai murni dalam jiwa
mereka. Jelasnya, perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dapat dipupuk
menerusi amalan bergotong-royong.
Selain itu, kelebihan amalan bergotong-royong juga dapat menjadikan kerja yang
dilaksanakan lebih mudah dan cepat. Secara umumnya, sesuatu kerja yang berat, besar
buatannya dan besar perbelanjaannya akan menjadi mudah dan cepat jika dilakukan
bersama-sama. Sebagai contoh, jika sesuatu tempat itu menjadi kotor kerana terdapat
sampah sarap yang berlonggokan, sekiranya anggota masyarakat bekerjasama
membersihkan kawasan tersebut, sudah pasti kerja yang dilakukan menjadi lebih mudah dan
lebih ringan. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Setiap anggota
masyarakat tidak perlu membazirkan masa dan wang untuk mengupah orang lain
membersihkan kawasan tersebut kerana kerja-kerja tersebut mudah dan cepat. Orang
ramai lebih memahami peranan dan tugas masing-masing menjadikan kerja yang dilakukan
menjadi lebih cepat dan mudah. Masyarakat bekerjasama untuk melaksanakan tugas agar
matlamat mewujudkan alam sekitar yang bersih dapat diwujudkan. Tegasnya, amalan
bergotong royong dapat menyebabkan kerja yang berat dan susah menjadi lebih mudah dan
cepat kerana tidak membebankan dan pengguna tidak perlu menunggu terlalu lama.
Akhir sekali, kelebihan amalan bergotong-royong ialah dapat melahirkan sikap
prihatin dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada masa ini terlalu
sibuk dengan kerjaya sehingga tidak ada masa untuk mengenali jiran tetangga mereka.
Terdapat juga jiran-jiran yang bersikap individualistik dan materialistik kerana menganggap
kehidupan di sekeliling mereka tidak penting. Namun, sekiranya amalan bergotong-royong ini
dapat dihidupkan semula, amalan tersebut dapat mengurangkan sikap mementingkan diri
sendiri kerana mereka pasti tidak mahu disisihkan dalam kalangan masyarakat. Sekiranya,
anggota masyarakat turut serta dalam aktiviti gotong-royong di kawasan tempat tinggal
mereka, mereka akan lebih bersikap prihatin dan bertolak ansur sesama jiran. Hal ini
kerana semasa melakukan aktiviti gotong-royong, setiap anggota masyarakat harus bertolak
ansur bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan dapat disiapkan dengan baik dan
lancar. Jelasnya, amalan bergotong-royong dapat melahirkan sikap prihatin dan bertolak
ansur.
Kesimpulannya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus
dipraktikkan oleh semua anggota masyarakat. Semua pihak perlulah bekerjasama dalam
aktiviti gotong-royong kerana amalan gotong-royong dapat mengeratkan hubungan sesama
insan.








































Arahan: Lihat gambar gambar di bawah dengan teliti.Huraikan pendapat anda tentang
langkah-langkah mengatasi kesesakan jalan raya. Panjangnya huraian hendaklah antara
200 hingga 250 patah perkataan.






Kemajuan negara hasil keringat pemimpin hari ini dan pada masa lalu turut dirasai oleh
rakyat. Seiring dengan kemajuan negara, peningkatan pendapatan penduduk membolehkan
rakyat mampu memiliki kenderaan sendiri. Kita dapat melihat sendiri hampir setiap keluarga
mempunyai kenderaan. Selaras dengan peningkatan jumlah kenderaan ini, kadar kesesakan
di jalan raya turut semakin meningkat dan menjadi masalah utama kepada semua rakyat.
Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya?
Antara cara untuk menangani masalah ini termasuklah pihak kerajaan harus
menambahkan rangkaian lebuh raya dengan membina lebih banyak jaringan pengangkutan
terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Lebuh raya yang
sedia ada perlu dinaikkan tarafnya. Contohnya, pihak kerajaan boleh memperlebar jalan
raya yang sempit. Langkah ini membolehkan jalan raya menampung bilangan kenderaan yang
lebih banyak. Pembinaan jalan raya bertingkat turut harus dilaksanakan agar kesesakan
dapat dikurangkan. Kerajaan juga perlu menambah dan meningkatkan kemudahan
pengangkutan awam bagi mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Contohnya,
perkhidmatan bas perlu dinaik taraf daripada bas mini kepada bas yang lebih selesa.
Perkhidmatan komuter, LRT , dan monorel harus dimajukan dari semasa ke semasa bagi
menarik minat orang ramai menaikinya. Jelasnya, pihak kerajaan berperanan penting dalam
menyediakan pelbagai kemudahan dan pembinaan jalan raya dalam menangani masalah ini.
Selain itu, polis trafik perlu mengawal lalu lintas terutama ketika waktu kesesakan .
Polis trafik perlu bertugas di laluan yang sentiasa mengalami masalah kesesakan khususnya
pada waktu balik kerja dari pejabat. Dengan adanya pengawalan lalu lintas oleh pihak trafik,
masalah seperti kegagalan fungsi lampu isyarat tidak lagi dapat menyebabkan kesesakan
lalu lintas. Bukan itu sahaja, kesesakan jalan raya akibat kemalangan jalan raya turut dapat
dikendalikan dengan cepat dan efektif kerana polis trafik telah sedia ada bertugas di jalan
raya tertentu. Polis trafik turut dapat membantu memastikan kelicinan jalan raya dan
seterusnya mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Tegasnya, polis trafik menggalas
tanggungjawab yang berat dalam mengurangkan masalah kesesakan di jalan raya.
Selain itu, kerajaan juga boleh menggalakkan masyarakat berkongsi kereta ke
tempat kerja. Berkongsi kereta merupakan saranan yang ideal dalam usaha mengatasi
masalah kesesakan jalan raya. Hal ini demikian kerana apabila masyarakat berkongsi kereta
ke tempat kerja, sudah tentu bilangan kereta di atas jalan raya dapat dikurangkan. Namun
demikian, langkah ini juga mempunyai masalahnya yang tersendiri kerana terpaksa
berhadapan dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengan faktor kemanusiaan. Ada
segelintir masyarakat yang bersikap mementingkan diri sendiri. Mereka tidak rela
berkongsi kereta dengan pihak lain. Ada juga ramai yang tidak menyahut seruan berkongsi
kereta untuk memudahkan diri ke sesuatu destinasi tanpa menyusahkan orang lain.
Jelasnya, masyarakat kini perlulah menghakis sikap tersebut dan mengambil langkah yang
proaktif seperti rela berkongsi kereta agar kesesakan di jalan raya dapat dikurangkan.

Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu melarang kenderaan berat memasuki laluan
utama dalam tempoh tertentu. Kenderaan berat hanya dibenarkan mengguna laluan utama
pada masa-masa yang tertentu untuk memastikan kelicinan lalu lintas pada waktu puncak
seperti waktu pagi dan waktu malam. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat keluar pada
waktu ini atas urusan ke pejabat, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Dalam hal ini,
pihak polis trafik haruslah sentiasa meronda di laluan utama agar tiada kenderaan berat
yang berada di jalan raya yang biasanya sesak. Sekiranya sesebuah kenderaan berat telah
rosak di tengah- tengah jalan, kenderaan tersebut akan mengganggu pergerakan lalu lintas
kerana saiznya yang besar akan menghalang kenderaan yang lain. Tegasnya, kenderaan berat
mestilah dilarang memasuki laluan utama terutamanya pada waktu puncak.
Kesimpulannya, kesesakan di jalan raya mendatangkan banyak kerugian terhadap
masyarakat dari segi masa, tenaga dan kewangan. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa
haruslah berganding bahu dengan menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Bagi
masyarakat pula, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri mestilah dihakis dan
sedia menerima perubahan untuk kebaikan bersama.

Anda mungkin juga menyukai