Anda di halaman 1dari 12

1.

0 Pendahuluan
Penemuan pada awal kurun 19 mendapati bahawa bahasa Eropah seperti bahasa
Inggeris, Jerman dan Perancis mempunyai perkaitan dengan bahasa-bahasa dari tamadun
awal seperti bahasa Latin, Yunani dan Sanskrit. Ini membawa kepada pengkajian dalam
memahami sifat dan sejarah bahasa. Kajian terhadap persamaan bahasa antara bahasa
Eropah yang berbeza sebenarnya telah dilakukan sebelum kurun ke-19 (Comrie, 1998).
Pengkajian ini menunjukkan berlakunya proses persilangan dan asimilasi bahasa yang
mewujudkan pelbagai bahasa yang mempunyai ragam, nahu, tatabahasa dan struktur yang
berbeza-beza.
Bidang perterjemahan telah dianggap penting sejak berkurun-kurun lamanya
menyusuri sejarah peradaban manusia. Penterjemahan kitab Bible secara besar-besaran
pada zaman peluasan dan penyebaran agama Kristian di Eropah, diikuti dengan
penterjemahan Al-Quran semasa era kegemilangan Islam, terutamanya dengan peranan
institusi seperti Baitul Hikmah dalam zaman pemerintahan kerajaan Abbassiyah di Baghdad,
Iraq. Penterjemahan pada zaman dahulu hanya tertumpu kepada kitab-kitab atau bahan
bacaan umum yang diperlukan dalam penyebaran agama, penaklukan dan penjajahan
kawasan-kawasan baru.
Struktur sesebuah bahasa itu berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Disebabkan
perubahan ini, maka wujud kelemahan kepada penutur dari satu generasi untuk memahami
bahasa yang dituturkan oleh generasi yang lain, terutama bahasa yang digunakan generasi
yang datangnya dari zaman yang berbeza latar masanya. Perkembangan bahasa dan
budaya serta ilmu dalam era moden ini telah menyebabkan setiap bahasa di dunia ini perlu
mewujudkan suatu pertalian yang membolehkan masyarakat berkomunikasi dalam menjana
pelbagai bidang ilmu. Justeru itu walaupun sesuatu bahasa itu tidak mempunyai pertalian
genetik atau secara ringkasnya pertalian kekeluargaan, bahasa-bahasa tersebut masih lagi
mampu untuk berkongsi ilmu melalui bidang penterjemahan.
Terjemahan secara umum dapat difahami sebagai sebuah karya bahasa asing yang
dipindah bahasa kepada bahasa sasaran. Karya yang telah diterjemah ini disebut sebagai
karya terjemahan. Bidang penterjemahan ini memerlukan kepekaan seseorang penterjemah
untuk menganalisa teks mencakupi laras bahasa, teknik pengolahan, cara penyampaian
serta juga pemilihan perkataaan, selain unsur kebudayaan dan semantik.


1.1 Definisi Penterjemahan
Terjemahan kebiasaannya didefinisikan dengan merujuk kepada pertukaran perkataan yang
mempunyai makna yang sama dengan teks asal. Larson (1984), mendefinisikan
penterjemahan sebagai transferring the meaning of the source language into the receptor
language. Ini jelas menunjukkan bahawa makna menjadi ukuran kepada hasil kerja
terjemahan. Manakala seorang sarjana Barat yang banyak menghasilkan karya terjemahan,
Nida (1974) dalam Norizah Ardi et. al. (2008) pula menyatakan terjemahan sebagai;
Translating consists in reproducing in the receptor language the closest natural equivalent of
the source language message, first in terms of meaning and secondly, in terms of style.
Dalam Kamus Dewan (2007:1670) pula mendefinisikan terjemahan sebagai
pindahan (karangan dll) daripada suatu bahasa ke suatu bahasa yang lain, alihan
bahasa. Ainon Mohamad dan Abdullah Hassan (2003) dalam Norizah Ardi et. al. (2008)
pula mendefinisikan terjemahan sebagai;
Terjemahan seharusnya memberikan gambaran yang sesuai dan jelas
tentang segala maksud dan idea karya dalam bahasa sumber dan seboleh
mungkin menyampaikannya dengan gaya dan bentuk yang paling bersahaja
ke dalam bahasa sasaran, tanpa menjejaskan maksud dan mutu teks asal.

Walaupun pelbagai definisi diberikan berkenaan proses penterjemahan, namun
proses ini merupakan cabang ilmu linguistik yang begitu penting dalam keperluan pertukaran
maklumat daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Penterjemahan tidak lagi
tertumpu kepada proses penukaran perkataan semata-mata, sebaliknya aspek
penterjemahan meliputi proses pemindahan makna, budaya, aspek kepengarangan dan lain-
lain.
Justeru, terjemahan bukan sekadar mengalihkan bahasa tetapi juga menyampaikan
maklumat-maklumat kebudayaan yang terkandung dalam teks asal. Oleh itu, seandainya
sesuatu teks yang diterjemah itu terpisah daripada konteks masyarakatnya, sudah tentu
makna yang diterima akan berbeza-beza.



1.2 Sejarah Perkembangan Penterjemahan di Tanah Melayu.
Sejarah penterjemahan di Tanah Melayu boleh dikatakan bermula ketika zaman
kegemilangan Melaka. Sejarah penterjemahan dikatakan bermula di Melaka kerana ketika
itu kedatangan kuasa asing ke alam Melayu. Bagi memenuhi keperluan kuasa asing ini di
tanah Melayu, maka penterjemahan dilakukan.
Menurut Kasim Ahmad (1991), dalam sejarah penterjemahan bahasa Melayu, banyak
cerita dari India dan Semenanjung Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Contohnya Hikayat Seri Rama, Hikayat Sang Boma, Hikayat Si Miskin, Hikayat Iskandar
Zulkarnain dan sebagainya.
Kedatangan kuasa asing ini bukan sahaja membawa pengaruh bahasa, namun turut
membawa agama mereka. Oleh yang demikian,pada zaman kemasukan agama Hindu,
Buddha dan Islam, mereka mereka telah menterjemahkan kitab-kitab Mahabratha dan
Ramayana serta Al-Quran ke dalam bahasa Melayu walaupun hanya secara lisan.
Dalam masa yang sama, pada awal abad ke-20 telah berlakunya pertembungan
bahasa dan budaya. Pertembungan bahasa ini telah menyebabkan timbulnya masalah
dalam berkomunikasi. Keadaan ini telah menyebabkan pegawai Inggeris yang bertugas di
Tanah Melayu mula menggunakan buku terbitan berbentuk terjemahan sebagai panduan
bagi mereka menguasai bahasa Melayu demi kepentingan pentadbiran.
Kesimpulannya, kedatangan kuasa asing ke Tanah Melayu telah memberi kesan
dalam perkembangan bahasa akibat pertembungan bahasa penjajah dan bahasa penduduk
pribumi. Tanpa kedatangan penjajah, kita kemungkinan tidak menerima bahasa lain malah
hanya menguasai bahasa pribumi sahaja. Sifat kedinamikan bahasa itu mungkin tidak akan
berkembang tanpa pengaruh bahasa dari luar.

1.3 Prinsip-Prinsip Penterjemahan
Sebelum kedatangan teori terjemahan moden, menguasai dua bahasa sudah cukup dan
telah dianggap berkelayakan untuk menjadi penterjemah tanpa memerlukan pengetahuan
lanjut termasuk penguasaan terhadap budaya kedua-dua bahasa. Namun setelah
pengenalan konsep teori dan amalan penterjemahan yang menjadi pedoman bagi para
penterjemah, maka seseorang yang ingin menjadi penterjemah harus memenuhi syarat-
syarat seperti berikut;

Menguasai bahasa sumber secara mendalam
Keperluan ini dikehendaki untuk membolehkan seseorang penterjemah mengetahui selok-
belok keistimewaan dan kelainan bahasa sumber supaya dapat membezakan makna yang
terkandung dalam teks asal agar dapat mentakrifkan maksudnya dengan tepat (Ainon Mohd
dan Abdullah Hassan, 2005).
Mengetahui bahasa sasaran
Mengikut pakar terjemahan hari ini, seseorang penterjemah harus juga menguasai bahasa
penerima dengan sama baik, jika bukan dengan lebih baik, supaya penterjemah dapat
mengolah teks sasaran dengan jelas, mudah difahami, struktur ayat yang mantap, elakkan
kesamaran dan tiada kesalahan bahasa di samping teks yang dihasilkan juga tidak berbau
terjemahan. Semua ini akan membolehkan penterjemah menghasilkan sebuah teks
terjemahan dengan bahasa yang indah, halus, berimaginasi dan menjimatkan kata-kata,
serta kepakaran menggunakan segala jenis struktur bahasa yang ada padanya dan memiliki
perbendaharaan kata yang luas (Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, 2005).
Pengetahuan dalam bidang yang diterjemahkan
Untuk menjamin supaya makna atau maklumat yang terkandung dalam teks asal dapat
dipindahkan dengan tepat dan sempurna daripada bahasa sumber ke dalam bahasa
penerima, seseorang penterjemah harus menguasai bidang yang hendak diterjemahkan. Ini
adalah penting, bukan sahaja untuk penterjemahan teks-teks khusus dan teknikal, tetapi
juga untuk penterjemahan karya-karya kesusasteraan. Ini bukan saja melibatkan soal ilmu
malahan turut berkait dengan laras bahasa yang digunakan dan penggunaan pelbagai
konsep dan istilah-istilah bidang yang diterjemahkannya (Ainon Mohd dan Abdullah Hassan,
2005).
Mengetahui teori dan amalan terjemahan
Pada suatu masa dahulu, penterjemahan dianggap sebagai suatu tugas untuk mencari
perkataan-perkataan padanan yang boleh menggantikan perkataan-perkataan asal dalam
bahasa sumbernya. Ini tidak lagi dianggap benar kerana penterjemah juga
bertanggungjawab untuk memindahkan idea, maklumat dan gaya teks yang diterjemahkan.
Ini bermaksud bahawa penterjemahan perlu dibantu oleh ilmu pengetahuan yang mencukupi
dalam bidang teori dan kaedah terjemahan semasa menjalankan tugasnya (Ainon Mohd dan
Abdullah Hassan, 2005).


Memiliki pengetahuan am
Penterjemah haruslah juga seorang yang peka dan memiliki pengetahuan am yang baik. Ini
merangkumi peristiwa semasa, suasana politik, ekonomi, geografi, budaya dan adat serta
sejarah. Faktor ini juga adalah penyumbang kepada penghasilan teks terjemahan yang baik
(Muhammad Bukhari Lubis et.al, 1998).
Amanah
Ciri amanah ini adalah merupakan ciri yang penting kepada seorang penterjemah, untuk
menunjukkan kesetiaan serta kejujurannya dengan tugasan yang dipikul. Penterjemah tidak
boleh mengambil jalan pintas dalam kerja-kerja penterjemahannya dengan cara seperti
menambah, membuang, meringkas atau memendekkan maksud teks sumber. Namun
demikian, penambahan perkataan untuk menjadikan sesuatu ayat betul tata bahasanya dan
tidak membawa makna baru bukanlah merupakan satu kesalahan (Muhammad Bukhari
Lubis et. al., 1998).

Kesimpulan Bab
Kesimpulannya, penterjemahan ialah pertukaran perkataan yang mempunyai makna yang
sama dengan teks asal. Menterjemah makna bahasa bukanlah menterjemah bentuk bahasa.
Dalam proses penterjemahan, makna perlu diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya
berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang
berbelit-belit dan sukar difahami. Terdapat beberapa prinsip yang perlu dipatuhi semasa
melaksanakan penterjemahan. Maka dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip ini,
seorang penterjemah dapat menghasilkan satu karya yang boleh dipercayai sebagai satu
karya terjemahan, serta karya ini merupakan sebuah karya yang boleh difahami serta selesa
untuk dibaca oleh masyarakat.






3.0 Fenomena Bahasa: Bahasa Rojak
3.1 Pengenalan
Bahasa rojak menjadi satu tanda baharu bagi kewujudan fenomena bahasa kacukan (Awang
Sariyan, 2006). Sesetengah orang berpendapat, fenomena bahasa rojak atau bahasa yang
bercampur aduk tidak lebih daripada bersifat fesyen semasa semata-mata. Isu tersebut telah
menjadi isu yang hangat diperkatakan. Selain isu nasib bahasa Melayu yang semakin
terpinggir atau tidak diberikan keutamaan pada tempat dan haknya yang wajar (Awang
Sariyan, 2006). Pada masa sekarang, bahasa Melayu telah menerima sekian banyak istilah
dan kata daripada bahasa Barat, terutamanya daripada bahasa Inggeris. Menurutnya, tidak
ada salahnya kita mengambil kata daripada bahasa asing untuk tujuan memperkaya ilmu,
kebudayaan dan pemikiran bangsa, namun pengaruh bahasa asing itu tentulah perlu diserap
dan diambil secara sistematik dan sedapatnya ditapis melalui sistem bahasa Melayu.

Menurut Asmah Hj Omar (2007), bahasa rojak sebenarnya bahasa campur kod dan
alih kod. Dalam sesuatu pertuturan atau perbualan, sama ada antara kaum yang berbeza
seperti dalam filem dan pekerjaan atau profesion seseorang, ianya boleh berlaku salah
satunya dan boleh berlaku kedua-duanya. Apa yang dimaksudkan dengan bahasa rojak
ialah wujudnya perkataan atau frasa daripada bahasa asing dalam bahasa yang dituturkan.
Gejala ini merupakan ciri yang sangat lazim dalam pertuturan orang di Malaysia daripada
semua suku kaum, dan melibatkan semua peringkat sosial, apatah lagi dalam filem yang
berbentuk komersial. Merujuk konsep yang telah dikemukakan oleh Asmah, mereka
mempunyai bahasa matriks, iaitu bahasa Melayu. Oleh sebab bahasa Inggeris merupakan
bahasa kedua, maka kod daripada bahasa Inggeris seolah-olah timbul dengan sendirinya
dalam pertuturan mereka.

Walaupun banyak isu yang dikaitkan dengan penggunaan bahasa rojak di Malaysia,
namun penggunaan bahasa rojak tidak dapat dielakkan kerana terdapat banyak bahasa lain
yang dituturkan oleh pelbagai bangsa yang berlainan di Malaysia. Bahasa rojak seperti ini
dilihat dilihat sebagai satu keperluan dalam masyarakat kerana dapat merapatkan hubungan
kaum yang pelbagai, memudahkan interaksi dan komunikasi antara mereka. Bahasa rojak
juga penting sebagai bahasa alternatif yang dapat digunakan oleh semua pihak atas tujuan
dan matlamat untuk berada dalam satu masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum dan
latar belakang bahasa ibunda yang berbeza-beza.


3.2 Kesan Penggunaan Bahasa Rojak
Pencemaran bahasa yang semakin berleluasa ini sudah pasti akan memberikan kesan
negatif kepada bahasa itu sendiri.
Mutu Bahasa yang Merosot
Kesan yang paling ketara ialah mutu bahasa Melayu baku sama ada lisan atau
tulisan merosot. Perkara ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan khususnya dalam
kalangan pelajar. Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak
dibendung dengan meluas, lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada
seseorang individu tersebut. Begitu juga pencemaran bahasa dalam bidang pentadbiran
akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu sama ada lisan atau tulisan merosot. Sekiranya
pihak pentadbir menggunakan bahasa rojak ketika menyampaikan ucapan atau
menggunakan bahasa rojak dalam urusan surat menyurat, sudah pasti akan menyebabkan
mutu Bahasa Melayu itu merosot.
Peranan Bahasa Rasmi Tergugat
Selain itu, pencemaran bahasa juga menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan akan tergugat. Umumnya, Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
dan bahasa rasmi negara. Selaras dengan bahasa kebangsaan negara dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan, maka Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama di semua
sekolah. Hal ini akan menyebabkan penggunaan bahasa rojak yang melibatkan bahasa
Inggeris dalam perbualan dianggap satu standard yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), dalam bahasa
Inggeris telah mengubah bahasa pengantar daripada Bahasa Melayu Kepada Bahasa
Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang sama sekali bertentangan dengan
Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
utama di sekolah.
Bahasa Melayu Dipinggirkan
Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu
yang indah akan dipinggirkan oleh generasi Melayu. Bahasa Melayu merupakan satu
bahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu. Dalam perbualan atau pertuturan kita
seharian, kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa Melayu
tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi. Pada masa ini, Bahasa Melayu kian
dilupakan dan semakin kurang penggunaannya dalam pertuturan seharian. Bahasa Melayu
yang indah kian dilupakan oleh generasi-generasi pada zaman ini, khususnya generasi
muda. Mereka beranggapan bahawa mereka akan sentiasa dipandang tinggi kerana
mempunyai pengetahuan bertutur dalam bahasa asing. Tanpa mereka sedari, tindakan
mereka ini akan menyebabkan mereka kian lupa dengan satu bahasa yang sangat penting,
iaitu Bahasa Melayu.
Kekeliruan Penggunaan
Begitu juga pencemaran bahasa ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada
generasi akan datang. Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan
kepada generasi akan datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan
datang akan terkeliru untuk mempraktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam
kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi akan datang mengikut trend yang ada pada
masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan menjadi sejarah pada suatu hari nanti
kerana telah hilang identiti bahasa tersebut. Perbuatan ini akan meletakkan bahasa Inggeris
bukan lagi sebagai bahasa kedua tetapi mengatasi Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan


3.3 Kaedah Mengatasi
Wadah Pendidikan
Penggunaan bahasa yang baik dan santun hanya dapat dibudayakan melalui pendidikan.
Oleh sebab itu semua pihak perlu menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk membina
sahsiah generasi kita, termasuk dalam soal penggunaan bahasa dan kecintaan kepada
bahasa warisan bangsa, sekalipun kita tetap perlu mempelajari dan menguasai bahasa
asing. Di sekolah dan di institusi pendidikan yang lain, penekanan perlu diberikan kepada
penguasaan bahasa Melayu yang baku dan standard di samping penguasaan pelbagai
ragam lain untuk keperluan dalam kehidupan. Pelajar mesti diberi kekuatan menggunakan
bahasa yang baik, teratur dan berkesan.
Anggapan bahawa bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari
secara serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Guru pula patut dapat menjadi contoh
yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang teratur. Di maktab dan di universiti pun
penguasaan bahasa yang baik perlu terus diberi penekanan. Tidak patut timbul anggapan
salah bahawa pelajar telah belajar bahasa selama 11 tahun di sekolah dan oleh itu di
maktab dan di universiti tidak perlu lagi ditekankan kursus bahasa.
Akibatnya ialah kegagalan kita melahirkan lepasan universiti yang mampu berbahasa
dengan baik dan berkesan, baik secara lisan mahupun dalam tulisan. Dalam pengalaman
saya selama 15 tahun mengajar di universiti, masih besar jumlah mahasiswa yang tidak
mampu menulis esei dengan bahasa yang jelas dan kemas. Akhirnya mereka yang
tergolong dalam kumpulan ini apabila keluar dari universiti dan masuk ke alam pekerjaan
menjadi pegawai atau pengurus yang tidak dapat menulis dokumen dengan baik dan
berkesan. Dalam mesyuarat pula, apabila bahasa Melayu tidak dapat dikuasainya dengan
baik, maka mulalah mereka mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing,
seolah-olah di luar kesedaran bahawa bahasa Melayu yang digunakan dalam mesyuarat itu
ialah bahasa rasmi.

Penguatkuasaan Undang-undang
Penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib
perlu untuk memastikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati
penggunaannya pada papan iklan, papan perniagaan, nama tempat, jalan, bangunan dan
sebagainya. Demikian juga bahasa Melayu hendaklah ditegaskan penggunaannya dalam
surat rasmi, mesyuarat, ucapan, taklimat dan sebagainya. Majlis rasmi di peringkat
kebangsaan perlu dilangsungkan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Jika ada keperluan menggunakan bahasa asing atas
sebab tertentu yang munasabah, maka bahasa Melayu mestilah diutamakan, baik dalam
pengacaraan majlis, dalam ucapan dan juga pada latar pentas dan sekitaran majlis. Dewan
Bahasa dan Pustaka baru-baru ini telah menyerahkan draf Garis Panduan Penggunaan
Bahasa Kebangsaan dalam Urusan dan Majlis Rasmi kepada Menteri Pelajaran dan
diharapkan agar garis panduan itu dapat diluluskan oleh Jemaah Menteri sebagai panduan
penggunaan bahasa yang baik, sama ada daripada sudut pengutamaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mahupun daripada sudut mutu bahasa yang
digunakan.
Serentak dengan itu, mutu bahasa yang digunakan dalam semua bidang pentadbiran
hendaklah dikawal dengan tegas. Dalam bidang pentadbiran, saran saya agak radikal tetapi
masih tetap masuk akal. Jika kita dapat menerima sistem penolakan mata oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan untuk menghukum pesalah di jalan raya, maka tidak munasabahkah
kakitangan kerajaan yang mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan yang
meremehkan penggunan bahasa yang baik dipotong markah kemahirannya dalam penilaian
prestasi kerjanya? Tentu langkah itu perlu didahului dengan usaha meningkatkan kemahiran
bahasa mereka, sama dengan penekanan yang diberikan dalam kemahiran dalam aspek
lain yang berkaitan dengan tugas kakitangan kerajaan.
Dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu, badan atau agensi yang diberi
amanah perlu tegas. Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Pengiklanan di Tempat Awam
mensyaratkan pengutamaaan bahasa Melayu dan bahasa Melayu yang digunakan mestilah
yang betul, malah disyaratkan supaya mendapat pengesahan DBP lebih dahulu.
Peranan Media Massa dan Media Cetak
Dalam bidang penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
bertanggungjawab memastikan garis panduan yang mensyaratkan 60% siaran mestilah
dalam bahasa Melayu dipenuhi oleh stesen radio dan televisyen swasta. Di samping itu,
penggunaan bahasa pinjaman asing dalam media massa dan media cetak bahasa Melayu
mestilah terkawal. Hingga kini, mutu bahasa Melayu dalam bidang-bidang ini masih sukar
dikawal biarpun DBP menawarkan khidmat nasihat bahasa, memberikan kursus bahasa
terus-menerus, mengirimkan surat teguran dan juga memberikan anugerah dan hadiah
sebagai pengiktirafan. Kita akuilah hakikat bahawa belum meluas kesedaran dan budaya
berbahasa yang baik dan berkesan dalam kalangan sebilangan anggota masyarakat kita.
Bahasa sebenarnya belum lagi dihargai sebagai 'jiwa bangsa'. Pantun 'Yang kurik kundi,
yang merah saga; yang cantik budi yang indah bahasa' belum sebenar-benarnya dihayati
oleh semua orang.
Pelaksanaan dasar bahasa
Selain itu, yang jauh lebih penting ialah keazaman politik dalam pelaksanaan dasar
bahasa di negara ini. Jika para pemimpin memperlihatkan iltizam yang teguh dan jelas
tentang keutamaan bahasa Melayu dan tentang mutu bahasa Melayu dalam ranah-ranah
utama kehidupan di negara ini, maka saya yakin bahawa semua jabatan kerajaan dan pihak
lain akan bersungguh-sungguh melaksanakan bahasa kebangsaan dan pada waktu yang
sama peka akan mutu bahasa yang digunakan. Kita berdoalah bersama-sama agar iltizam
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai
warisan bangsa dan negara yang agung menjadi kenyataan dan didukung oleh semua pihak,
terutama pucuk pimpinan negara sendiri.

Kesimpulan Bab
Pelbagai usaha harus dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Oleh itu, bahasa
Melayu perlu dijadikan agenda utama yang dilaksanakan secara berterusan supaya bahasa
Melayu benar-benar menjadi jiwa bangsa sekaligus mengikis perasaan mengagung-
agungkan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Keaslian bahasa Melayu perlu terus dipelihara agar kekal menjadi wahana komunikasi
utama di negara ini tanpa dicampuradukkan dengan bahasa-bahasa lain. Bak kata pepatah
"yang kurik itu kendi, yang merah itu saga,yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Bahasa
melambangkan bangsa.


























Rujukan

Asmah Haji Omar, 2007. Taksonomi Pertemuan Bahasa: Di Manakah Letaknya Bahasa Rojak? Kertas kerja
dalam Seminar Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur. 18-19 Julai 2007.

Norizah Ardi et. al. (2008). Pengantar Prinsip Penterjemahan. Petaling Jaya: August Publishing
Sdn. Bhd

Muhammad Bukhari Lubis et al. (1998). Penerjemahan Arab Melayu, Peraturan Dan Dasar.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Kamus Dewan (2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Comrie, Bernard (1998). Ensaiklopedia Bahasa Utama Dunia. (Aishah Mohd. ed.) Kuala Lumpur:
DBP


Muhammad Bukhari Lubis et al. (1998). Penerjemahan Arab Melayu, Peraturan Dan Dasar.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai