Anda di halaman 1dari 1

Kain dastar

Tenunan asli negeri Sabah merupakan warisan dari zaman Dong-son. Pada hari ini kaum Bajau
Irranum dan Dusun merupakan pelopor kepada tenunan dastar yang juga dikenali sebagai kain
tubau. Kemahiran menenun kain dastar dipercayai berasal dari Kota Batu (Cotabato) di Filipina
dan telah dibawa masuk melalui Kampung Merabau di daerah Kota Belud, Sabah.
Untuk menghasilkan sehelai kain dastar yang cantik dan unik, beberapa proses yang agak rumit
harus dijalankan. Benang kapas dikanji dan dicelup bahan pewarna. Benang yang telah diwarna
perlu diikat dan diberus menggunakan opar (sabut kelapa) bagi membuang sisa kanji, juga secara
tidak langsung melicin dan melembutkan benang.
Proses menerai benang dilakukan dengan menggunakan alat betera (spinning wheel) sebelum
proses menganing dilakukan bertujuan menentukan panjang dan lebar kain yang akan ditenun.
Proses menggulung dilakukan untuk menyediakan benang loseng. Kayu cengal biasanya
digunakan untuk membuat papan gulung atau sulayah yang berfungsi menegangkan benang
loseng supaya tersusun dengan kemas.
Benang loseng ini kemudiannya dimasukkan ke dalam gigi jentera untuk proses menyapuk atau
mencolek. Setelah proses menyapuk, kerja melilitkan benang karat pada benang loseng akan
bermula. Peringkat ini disebut mengarat atau bibitan. Proses menenun kain dastar adalah
hampir serupa dengan menenun songket. Reka corak akan terhasil pada peringkat mencolek
bunga.
Menenun kain dastar memerlukan daya kreativiti dan pengamatan yang teliti dari tukang tenun,
terutamanya semasa proses mencolek bunga. Benang pelbagai warna digunakan untuk mencolek
reka corak yang terdiri daripada motif tumbuh-tumbuhan, haiwan dan corak geometrik. Warnawarna tradisi suku kaum Bajau seperti warna hitam, putih, merah, kuning dan hijau telah menjadi
identiti tenunan dastar sejak dahulu lagi. Kain tenunan dastar digunakan oleh kaum lelaki Bajau
sebagai tanjak (pudong) yang dipakai untuk menghadiri sesuatu upacara kebesaran, perayaan
atau majlis perkahwinan.

Anda mungkin juga menyukai