Anda di halaman 1dari 2

Persepsi Masyarakat Terhadap Takaful, Cabaran

Dan Halatuju
Oleh Zafri Ab Halim
Ketua Pegawai Eksekutif, Great Eastern Takaful Berhad

Sejak bercambahnya pengendali-pengendali takaful yang baru, kita dapat melihat pertumbuhan yang
memberangsangkan dalam pasaran melalui kadar penembusan takaful yang bermula dari 11% pada
2010, 12% pada 2011 dan seterusnya 13% pada 2012. Pada tahun 2013, kita dapati kadar
penembusan keseluruhan bagi insurans dan takaful adalah sebanyak 53% di mana penembusan
insurans adalah sebanyak 39% manakala penembusan takaful terus meningkat ke 14% *.
Walaupun peningkatan tersebut tidaklah terlalu menggalakkan berbanding penyertaan insurans,
namun Malaysia berjaya dilihat sebagai peneraju dalam industri takaful di dunia bagi takaful keluarga
seperti yang dilaporkan oleh Ernst & Young dalam laporan Global Takaful Insights 2014.
Secara realitinya takaful masih lagi tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu walaupun
Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan resolusi pengharaman insurans konvensional dan
takaful seharusnya menjadi pilihan perlindungan dikalangan umat Islam. Di antara sebab-sebab
utamanya adalah apabila masyarakat melihat takaful sebagai satu instrumen pelaburan atau
simpanan berbanding perlindungan.
*Sumber: Insurance Services Malaysia Report 2010, 2011 & 2012.

Produk perlindungan yang menawarkan tahap perlindungan kesihatan yang tinggi dianggap kurang
dari segi nilai pelaburannya. Rata-rata masyarakat sanggup membayar lebih untuk sesuatu produk
bagi pulangan pelaburan yang tinggi walaupun kadar perlindungan yang ditawarkan adalah rendah.
Ini seperti yang dilaporkan oleh pihak Malaysian Takaful Association melalui Protection Gap Study
yang dikeluarkan baru-baru ini.
Ada juga yang mempunyai kefahaman bahawa pemilikan takaful dianggap sama sahaja sekiranya
seseorang itu telah memiliki insurans. Faktor kesedaran pemilikan takaful yang mengikut lunas
syariah berkaitan konsep halal amatlah kurang disedari dan difahami oleh masyarakat Islam di negara
ini.
Kadar penembusan yang rendah ini turut berlaku akibat kurangnya kesedaran dan pengetahuan
berkaitan perancangan kewangan dan perlindungan dikalangan pelbagai golongan dalam
masyarakat itu sendiri. Ramai antara kita yang tidak faham akan kepentingan memiliki perlindungan
takaful pada peringkat awal. Ini jelas dilihat dalam laporan Protection Gap Study tersebut yang mana
kadar pemilikan perlindungan, keyakinan serta kecenderungan masyarakat terhadap pemilikan
takaful masih berada pada tahap yang rendah. Bagi golongan muda yang bekerja terutama yang
berumur 30 tahun ke bawah, kepentingan membelanjakan wang kearah gaya hidup terkini seperti
memiliki gajet terkini, mengikut trend semasa dan sebagainya telah mengakibatkan berlakunya jurang
perlindungan sebanyak RM1,065 bilion bersamaan purata RM 250,000.00 bagi setiap seorang.

Pelbagai cabaran turut berlaku dalam industri takaful, antaranya adalah faktor ketidakmampuan untuk
memiliki pelan takaful, jenis produk yang terhad yang menjurus kepada duplikasi produk konvensional
serta jumlah ejen yang terhad untuk menawarkan perkhidmatan yang berkualiti turut memberi kesan
kepada berlakunya kadar penembusan takaful yang rendah.
Pengendali takaful perlu meningkatkan usaha dalam memastikan halatuju industri takaful sentiasa
relevan dan menjadi penyumbang aktif untuk ekonomi negara. Peningkatan kualiti perkhidmatan dan
kesedaran terhadap kepentingan takaful mampu memperbetulkan pesepsi masyarakat serta
membantu mereka membuat pilihan tepat untuk memiliki takaful. Ejen-ejen yang berkualiti dan
rangkaian pemasaran yang lebih efektif yang mementingkan pemahaman dan keperluan terhadap
takaful pada setiap peringkat umur, sudah pasti mampu menjangkau potensi pasaran masyarakat
Melayu dengan lebih luas lagi.
Penyelidikan dan inovasi produk perlu dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan serta mengambil
langkah yang lebih agresif bagi memperkenalkan produk-produk inovatif, mengikut kehendak
pelanggan dan bukan hanya melakukan duplikasi daripada produk insurans konvensional sematamata. Ini akan membuktikan bahawa takaful bukan sahaja sebagai alternatif halal kepada insurans
malah ianya mempunyai fleksibiliti dan keunikan tersendiri dalam menawarkan pelan-pelan dan
perkhidmatan.
Halatuju yang jitu serta pematuhan syariah pada semua peringkat yang bukan sahaja melibatkan
produk tetapi menjangkau kepada setiap aktiviti, operasi dan perniagaan, diperlukan dalam
meningkatkan pendidikan dan kesedaran kewangan disemua peringkat. Bank Negara Malaysia juga
telah mengambil satu inisiatif yang positif dengan memperkenalkan Akta Kewangan Islam 2013 agar
dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat mengenai ketelusan operasi sesebuah pengendali
Takaful dan kepatuhan mereka terhadap Syariah.
Apa yang diharapkan dalam masa yang terdekat ialah agar semua masyarakat khususnya umat Islam
mempunyai perlindungan Takaful bagi memastikan masa depan dan ekonomi mereka terpelihara
serta keindahan konsep kewangan Islam ini dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira
bangsa, agama, tahap pendidikan dan kewangan.

Anda mungkin juga menyukai