Anda di halaman 1dari 2

ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN

Terdapat lima hasil yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, iaitu; akses,
kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Lima aspirasii ini muncul daripada laporan pendidikan
yang pernah dikeluarkan sebelum ini tetapi kandungannya masih relevan iaitu Laporan Razak
(1956), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) dan PIPP (2006-2010).
Sekolah adalah barisan hadapan dan peringkat operasi dalam melaksanakan tanggungjawab
memastikan lima aspirasi sistem pendidikan dapat dicapai.
1. Akses Kepada Kejayaan
Sekolah mempunyai peranan untuk memastikan setiap murid di sekolah mendapat akses yang
sama kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira taraf ekonomi, kaum atau latar belakang
murid bagi membolehkan murid mencapai potensi masing-masing.
Prinsip pendidikan untuk semua, perlu dijadikan asas dalam memastikan akses dan enrolmen
setiap lapisan murid dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah dapat dipenuhi.
Bagi tujuan ini pihak sekolah perlu memberi komitmen demi memastikan tiada murid yang
tercicir dan semua murid memenuhi standard minimum iaitu sekurang-kurangnya lulus dalam
mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan
Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral pada akhir tingkatan 5.
Tujuannya adalah untuk meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain di
samping meningkatkan peratusan murid melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti, kolej,
politeknik, vokasional dan program latihan kemahiran yang berstruktur.
2. Kualiti Standard Antarabangsa Yang Tinggi.
Aspirasi kedua ini melibatkan peranan sekolah dalam meastikan setiap sekolah memberikan
proses pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid setanding dengan negara maju yang lain
mengikut standard antarabangsa. Langkah ini termasuklah standard untuk bidang Matematik,
Sains dan Bahasa Inggeris serta kemahiran berfikir aras tinggi.
KPM misalnya telah mensasarkan agar negara berada dalam kelompok sepertiga teratas dari segi
prestasi dalam TIMSS (Trends in Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme For
International Student Assessment) dalam tempoh 15 tahun.
Oleh itu komitmen guru dan masyarakat yang mendukung sekolah yang tinggi amatlah
diharapkan. Pelaksanaan i-THINK dan Frog VLE perlulah dilaksanakan secara serius kerana ia
adalah kerangka asas yang dapat memenuhi keperluan proses pembelajaran dan pengajaran
berkualiti tinggi.
3. Ekuiti Untuk Semua Murid

Sekolah perlu memastikan sistem pendidikan yang dilaksanakan berada pada tahap yang terbaik
kepada setiap murid tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosioekonomi. Sekolah
perlu meberi peluang kepada setiap murid supaya jurang yang ada dalam kalangan mereka dapat
dirapatkan.
Sekolah bertanggungjawab untuk memastikan setiap murid yang mempunyai pelbagai
latarbelakang dan sosioekonomi di sekolah mendapat hak dan ekuiti yang sama terhadap
kemudahan dalam menyokong pembelajaran dan pembangunan sahsiah mereka.
Program Pendidikan Khas, Kelas Rancanagan Khas dan Program Kawalan yang terdapat
disekolah perlulah diurus dengan berkesan bagi membolehkan murid dibangunkan mengikut
kebolehan dan potensi masing-masing.
4. Memupuk Perpaduan Dalam Kalangan Murid
Sejak merdeka aspirasi negara yang utama ialah mewujudkan perpaduan dalam kepelbagaian
kaum yang ada. Sesebuah negara yang menghargai kepelbagaian dan mengutamakan
keterangkuman sosial yang unik akan mempamirkan perpaduan yang lebih kuat. Kajian yang
dilakukan oleh OECD pula menunjukkan bahawa perpaduan yang kuat mempunyai kaita yang
rapat dengan rakyat yang sihat, masyarakat yang selamat dan kadar guna tenaga yang tinggi.
Murid menghabiskan masa lebih seperempat daripada mereka di sekolah semasa mereka berusia
7 hingga 17 tahun, maka sekolah merupakan medan yang subur untuk pemupukan semangat
perpaduan. Oleh itu sekolah perlu mewujudkan interaksi dalam kalangan murid-murid agar
mereka belajar saling memahami, menerima dan menghargai kepelbagaian.
Gerak kerja kokurikulum perlu dioptimumkan dan dasar 1 murid 1 sukan perlu dimantapkan agar
penerapan nilai dan pengalaman dapat diterapkan ke arah pembinaan identiti nasional yang
seterusnya memupuk perpaduan.
5. Pelaksanaan Berkecekapan Tinggi
Aspirasi pendidikan nasional yang kelima ialah elemen kecekapan. Kerajaan menerusi bajet
tahunan telah memperuntukan perbelanjaan besar kepada sektor pendidikan (16%), yang secara
jelas menunjukkan komitmen tinggi kerajaan terhadap pendidikan. Oleh itu adalah menjadi
tanggungjawab guru-guru dan warga pendidikan di sekolah untuk memastikan pulangan dalam
bentuk keberhasilan murid dimaksimumkan untuk setiap ringgit yang dibelanjakan.
Pelaksanaan program pendidikan perlu dibuat secara lebih bertanggungjawab dan menggunakan
sumber yang ada secara cekap, berkesan dan memberi impak yang maksimum.

Anda mungkin juga menyukai