Anda di halaman 1dari 3

BIDANG KAJIAN LINGUISTIK

Kajian linguistik meliputi bidang yang luas. Antara kajian linguistik yang perlu
diketahui oleh pelajar ialah fonetik dan fonologi, morfologi, sintaksis,
leksikografi, semantik, pragmatik, linguistik sinkronik dan linguistik
diakronik, linguistik teoritis dan linguistik terapan. Tiga bidang utama sahaja
akan disentuh, iaitu:
i. bidang fonetik dan fonologi,
ii. morfologi
iii. sintaksis.

i. Fonetik dan Fonologi


Pertuturan bahasa melibatkan bunyi-bunyi bahasa. Bunyi-bunyi bahasa yang
dihasilkan berbentuk tertentu dan berbeza menurut bahasa tertentu. Kesemua
bunyi yang dihasilkan merupakan bidang kajian ilmu fonetik dan fonologi. Fonetik
meneliti bunyi bahasa menurut cara sebutannya dan sifat-sifat akuastiknya,
manakala ilmu fonologi pula meneliti bunyi-bunyi bahasa tertentu mengikut fungsi,
susunan dan strukturnya. Kita dapat melihat fungsi fonetik dan fonologi ini dengan
menjelaskannya bersertakan contoh yang memaparkan wujudnya perbezaan
penelitian mengikut bidang kajian masing-masing. Sebagai contoh, bunyi "p" yang
secara lazimnya menurut sifat fonetiknya diapit oleh tanda condong. Ia disebut
dengan menutup kedua-dua bibir dan melepaskannya sehingga udara keluar
dengan "menghasilkan suatu bunyi letupan". Penghasilan bunyi "p" tersebut
merupakan deskripsi fonetik sahaja.
Seterusnya, jika dua bunyi yang secara fonetik mempunyai perbezaan tertentu, ia
dikatakan berbeza fonologinya. Perbezaan tersebut memperlihatkan perbezaan
makna. Ini bermakna dua bunyi tersebut dikatakan mempunyai perbezaan fonologi
jika bunyi-bunyi tersebut memperlihatkan perbezaan makna. Sebagai contoh, di
dalam bahasa Melayu, bunyi "p" dan "t" berbeza dari segi fungsional atau secara
fonologi. Ia disebut sebagai pasangan minimum kerana kata-kata yang dihasilkan
oleh kedua-dua bunyi tersebut berbeza dari segi kata-kata yang dihasilkan, seperti
dalam contoh kata "padi" dan "tadi". "Padi" merujuk kepada sejenis tanaman,
manakala "tadi" merujuk kepada kata keterangan masa. Jelas, perbezaan pasangan
minimum tersebut memperlihatkan wujudnya tafsiran makna yang berlainan bagi
kedua-dua kata tersebut. Perbezaan makna yang dibawa oleh bunyi-bunyi tersebut
merupakan bidang kajian ilmu fonologi.

ii. Morfologi
Nik Safiah Karim et al. (1993) mentakrifkan morfologi sebagai "bidang ilmu bahasa
yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata", manakala Arbak Othman
(1968) menjelaskan morfologi sebagai peninjauan linguistik yang menitikberatkan
hubungan antara morfem dan varian morfem. Sebagai rumusan, dapat disimpulkan
bahawa morfologi ialah bidang yang mengkaji cara kata dibentuk. Bentuk kajian
morfologi yang terkecil ialah morfem dan bentuk yang terbesar ialah kata. Kata
mempunyai bentuk yang bebas, bermakna dan dapat berdiri sendiri manakala
morfem terdiri daripada dua bahagian, iaitu bentuk bebas dan bentuk terikat.
Kata-kata yang dibentuk lahir daripada kata yang terdapat di dalam sesuatu bahasa
dan juga melalui proses-proses tertentu. Kata yang dilahirkan melalui kata tertentu;
sebagai contoh di dalam bahasa Melayu merupakan kata yang dihasilkan di dalam
bahasa Melayu itu sendiri. Manakala, kata yang melalui proses tertentu pula ialah
melalui proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Melalui proses
pengimbuhan kata dasar, kata yang dihasilkan ialah kata terbitan. Melalui proses
penggandaan, kata yang dihasilkan merupakan kata ganda dan melalui proses
pemajmukan pula, kata yang dihasilkan merupakan kata majmuk.
Di dalam bahasa Melayu, terdapat bentuk kata utama; yakni kata nama, kata kerja,
dan kata adjektif. Contoh kata nama ialah "sabun", "cangkul', dan "penyapu".
Contoh kata kerja pula ialah kata "gerak", "kumpul" dan "letup" manakala contoh
kata adjektif ialah kata "baik", "gemuk" dan "panjang". Selain kata utama, terdapat
juga kata tugas yang mempunyai tugas tertentu, sama ada di dalam perkataan atau
binaan ayat.

iii. Sintaksis
Perkataan "sintaksis" berasal daripada perkataan Yunani "suntutein" yang
bermaksud menyusun atau susunan. Di dalam bidang linguistik, "sintaksis"
bermaksud "kajian pembentukan ayat". Menurut Kamus Linguistik (1997), sintaksis
ialah cabang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembentukan ayat, seperti
penyusunan kata kepada ayat dan cara hubungan antara kata di dalam ayat. Nik
Safiah Karim et al. (1986) mendefinisikan sintaksis sebagai "bidang linguistik yang
mengkaji proses pembinaan ayat". Abdullah Hassan (1981) menyatakan sintaksis
ialah "istilah untuk mengkaji pembentukan ayat", iaitu bagaimana morfem dan kata
disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa, atau menjadi klausa, dan ayat
merupakan inti terbesar. Asmah Hj. Omar (1968) turut mendefinisikan sintaksis
sebagai "bahagian daripada linguistik deskriptif atau sinkronis yang mempelajari
kombinasi kata di dalam rangkai kata dan ayat".

Berdasarkan pandangan tersebut, kita dapat merumuskan bahawa sintaksis sebagai


bidang ilmu bahasa yang mengkaji "bentuk, struktur dan binaan ayat". Ia
sebenarnya mengkaji konstruksi ayat, iaitu mengkaji bagaimana ayat dibentuk
bermula dengan penyusunan perkataan untuk membentuk frasa, klausa dan
seterusnya ayat. Bidang kajian sintaksis pula meliputi perkataan, frasa, klausa dan
ayat. Kajian sintaksis melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat
serta hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari cara penggabungan dan
penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membina ayat.

Anda mungkin juga menyukai