Anda di halaman 1dari 4

AKHLAK MULIA PENCETUS UMAT SEJAHTERA

Bismillah Hirahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullah,

Kalungan apreasasi untuk pengacara majlis, barisan panel hakim yang bertunjangkan keadilan,
seterusnya umat Muhammad sekalian.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya aku
diutuskan adalah untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad)

Justeru, tampilnya saya di podium ini demi melakarkan wacana yang bertajuk Akhlak Mulia
Pencetus Umat Sejahtera.

Lantas saya tampilkan dahulu interpretasi yang membina maudhuknya. Akhlak mulia membawa
maksud budi pekerti atau kelakuan yang luhur dan terhormat. Menurut kamus dewan edisi ke-4,
pencetus membawa konotasi perihal mencetuskan atau menerbitkan sesuatu. Manakala umat
sejahtera ditakrifkan sebagai seluruh rakyat hidup dalam aman dan makmur.

Secara deduksinya, tajuk ini akan memperkatakan tentang akhlak yang baik akan mengangkat
seseorang insan dan juga akan menjana modal insan yang terbilang.

Sidang dewan sekalian,

Isi saya yang pertama ialah,

1) Iman asas kepada pembentukan akhlak yang mulia.

Iman seseorang itu bergantung sejauhmana penghayatan individu itu terhadap akhlak yang
mulia. Di sini, saya akan memberi satu contoh yang menunjukkan bahawa akhlak dan iman itu
berhubungkait. Contoh paling mudah .kebersihan. Kontemporari ini, terdapat pelbagai kempen
yang menyeru kita mementingkan kebersihan seperti kempen yang berbunyi Kebersihan
Amalan Baik. Apa yang kita tahu amalan baik yang dimaksudkan ialah akhlak mulia.
Kebersihan ini ada disebut di dalam hadis Baginda:
Daripada Abu Malik Al-asyari berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Bersuci
(kebersihan) itu adalah sebahagian daripada iman. (Hadis riwayat Muslim)

Maka tak syak lagi bahawa akhlak dan iman itu saling berhubungkait. Justeru, akhlak dan iman
pasti akan melahirkan umat yang sejahtera, aman dan tenteram.
Sidang saksi bermisi,
Misi saya yang kedua adalah:

2) Bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia.

Bersahabat membawa takrif berkenalan dan berbaik-baik dengan seseorang sehingga menjadikan
persahabatan tersebut ibarat sekolah yang menimba akhlak mulia darinya. Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya, Seseorang itu tergantung dengan agama sahabatnya, maka hendaklah kamu melihat
orang yang akan kamu pergauli. Maka, pilihan terletak di tangan kita, buatlah pilihan yang tepat
dalam bersahabat. Pastinya yang menjadi kerisauan maya ini, kecenderungan para remaja yang
salah memilih sahabat sehinggakan berlaku gejala yang merosak diri dan akal.

Konklusinya, bersahabat dengan orang yang berakhlak dapat menjamin kesejahteraan ummah
yang mantap dan berdedikasi.

Sidang saksi bervisi,


Visi saya yang ketiga,

3) Sifat mazmumah memberi implikasi yang buruk.

Orang yang berakhlak buruk pasti dibenci, ditinggalkan dan akan dikenali dengan sebutan yang
jelek. Maka, jika seseorang mengetahui bahawa akhlak yang buruk akan mengakibatkan semua
ini, nescaya ia akan menjauhinya.
Saya tampilkan satu contoh bagi menggambarkan islam membenci akhlak mazmumah.
Perbuatan mengumpat.. kelihatan tidak berat, tetapi impaknya sangat besar.. perbuatan ini
sesungguhnya boleh memecah belahkan masyarakat dan menghancurkan negara. Maka Allah
memeberi ancaman yang kasar kepada mereka yang memiliki sifat ini spertimana yang
dijelaskan dalam Al-Quran surah Al-Nur ayat 19 :

Yang bermaksud : mereka yang gemar menyebarkan kejahatan kepada mereka yang beriman
akan menerima siksa yang pedih di dunia dan akhirat

Secara tuntasnya, pemerhatian ummah dalam aspek ini mampu mewujudkan umat yang
berkualiti dari segi fizikal dan mental.

Hadirin sekalian,
Visi saya yang keempat ialah,

4) Rasulullah s.a.w sebagai idola.


Baginda Rasulullah s.a.w merendahkan dirinya di hadapan umatnya, bersikap sopan-santun
terhadap mereka, memaafkan mereka dan juga selalu bersabar dari gangguan mereka. Firman
Allah s.w.t di dalam surah al-Qalam ayat 4:

Yang bermaksud dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti.

Seandainya, seseorang mampu mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w, beliau adalah sebaik-baik
manusia. Maka, hal tersebut menjadi model baginya yang mengajak kepada perilaku yang baik.

Sidang pendengar sekalian,


Hujah saya yang kelima,

5) Kekuatan akidah teras akhlak mahmudah.

Kekuatan akidah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan akhlak mahmudah.
Seperti yang dinyatakan, terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan apabila berbicara
tentang akhlak. Aspek pertama ialah jiwa dan nafs dan aspek kedua ialah tindakan-tindakan
luaran.

Ibnu Maskawih Al-Tusi dan al-Ghazali menyakini bahawa terdapat hubung kait yang amat rapat
di antara jiwa dan tindakan atau perbuatan. Sekiranya, keadaan jiwa itu tidak tenang, berserabut
dan sakit, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang janggal dan tidak bermoral. Sebaliknya,
jika jiwa seseorang itu tenang dan sihat, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang sihat dan
bermoral. Oleh itu, jiwalah yang perlu dididik dengan sebaik-baiknya untuk mencapai hasil
akhlak yang terpuji. Seterusnya, melahirkan ummah yang sejahtera.

Sidang umat Muhammad sekalian,


Hujah saya yang terakhir,

6) Al-Quran teras segala ilmu untuk mencorak umat sejahtera.

al-Quran ialah kitab yang termaktub segala ilmu di dalamnya dan tiada sempadan. Penghayatan
ilmu al-Quran ternyata mampu melahirkan masyarakat yang harmoni, dinamik dan efektif.
Sejarah membuktikan penguasaan dan pengaplikasian ilmu al-Quran dapat melahirkan umat
yang cemerlang, gemilang dan terbilang dan seterusnya mewujudkan umat yang sejahtera. Sabda
Rasulullah s.a.w:
Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara selama kamu berpegang padanya,
nescaya tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitabullah dan sunnah Rasulullah.
Sesungguhnya, betapa indah dan cantiknya masyarakat al-Quran yang pasti menjamin
kesejahteraan.

Akhir kalam, dapatlah disimpulkan bahawa keenam-enam hujah yang saya kemukakan seperti

Pertama: Iman asas kepada pembentukan akhlak yang mulia.


Kedua: Bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia.
Ketiga: Sifat mazmumah memberi impak buruk.
Keempat; Rasulullah s.a.w sebagai idola.
Kelima: Kekuatan akidah teras akhlak mahmudah.
Keenam: Al-Quran teras segala ilmu untuk mencorak ummah sejahtera.

Jelaslah di sini bahawa keenam-enam isi tersebut menjadi pemangkin kepada akhlak mulia.
Akhlak yang mulia merupakan jati diri kepada Islam. Ia merupakan roh yang mengalir dan boleh
ditemui di segenap sudut pengajaran agama.

Akhir kata,akhlak mulia membentuk perpaduan, utuh perpaduan sejahteralah ummah. Sekian
terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai