Anda di halaman 1dari 1

Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri

Kebersihan diri amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita mestilah menjaga kebersihan diri.

Kita mestilah mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Kita hendaklah membersihkan semua anggota
badan dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan sabun dan air yang bersih. Kita juga mestilah
mencuci rambut menggunakan syampu untuk mengelakkan rambut berkelemumur dan berkutu.

Selepas mandi, kita mestilah memakai pakaian yang bersih. Pakaian yang kita pakai mestilah
ditukar setiap hari. Pakaian yang kotor mesti dicuci. Kawan-kawan akan menjauhi kita jika kita kotor dan
berbau busuk.

Selain itu, kita mestilah memotong kuku tangan dan kaki yang panjang. Hal ini demikian kerana kuman
mudah membiak di celah-celah kuku tangan dan kaki yang panjang. Bukan itu sahaja, kita perlu
menggosok gigi tiap-tiap hari. Kita juga hendaklah berkumur selepas makan agar sisa makanan tidak
melekat di celah-celah gigi. Kita hendaklah membuat pemeriksaan gigi dua kali setahun untuk
memastikan gigi kita sentiasa sihat dan kuat.

Di samping itu, kita mestilah menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal. Persekitaran tempat tinggal
yang bersih mencerminkan imej dan personaliti kita. Orang yang bersih akan disenangi oleh orang lain.
Justeru, kita perlu menanam tin-tin kosong, membersihkan longkang yang tersumbat dan memastikan
sampah sarap dibuang ke dalam tong sampah bagi mengelakkan pembiakan haiwan perosak. Tikus dan
lalat boleh membawa jangkitan penyakit kepada kita.

Pendek kata, kebersihan adalah asas kesihatan. Jika kita menjaga kebersihan diri, kita tidak akan mudah
dijangkiti penyakit. Orang yang bersih dan sihat juga akan hidup ceria.

Anda mungkin juga menyukai